Bertemu Allah Di Langit
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah satu peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang wajib diimani oleh kita semua.
Aqidah ahli sunnah wal-jama’ah mewajibkan kita mengimani dan meyakini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah disra’kan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dari Makkah ke Baitul Maqdis lalu dimi’rajkan (naik) ke langit dengan ruh dan jasadnya dalam keadaan sedar sehingga melepasi langit yang ke tujuh, kemudian ke Sidratul Muntaha, dan ke Baitul Ma’mur. Kemudian (beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) memasuki Syurga, melihat Neraka, melihat para malaikat, bertemu Allah, mendengar perkataan Allah, bertemu dengan para Nabi, dan beliau mendapat perintah solat lima waktu sehari semalam. Dan beliau kembali ke Makkah pada malam itu juga (malam yang sama). (lihat: Syarh As-Sunnah oleh Al-Barbahari, Syarh Ath-Thawiyah oleh Ibn Abil ‘Izz, dan Zaadul Ma’ad oleh Ibn Al-Qayyim)
Hikmah Perjalanan Ke Baitul Maqdis
Sebelum Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dimi’rajkan ke langit, beliau terlebih dahulu mengalami isra’ ke Baitul Maqdis. Ini menjadi salah satu bukti kekuasaan Allah dan tanda kebenaran mi’raj Nabi ke langit.
Ketika kaum Quraisy bertanya kepada beliau berkaitan ciri-ciri Baitul Maqdis, beliau segera menjawabnya dengan tuntas dan benar. Ini menjadi dalil di hadapan Quraisy akan kebenaran isra’ beliau ke Baitul Maqdis dalam satu malam. Kerana sebahagian besar kaum Quraisy pernah melihat sendiri Baitul Maqdis dan mengetahui ciri-cirinya.
Tetapi kalau sekiranya mi’raj itu dilakukan dari Makkah dan beliau menjelaskan semata-mata apa yang beliau lihat di langit, sudah tentu mereka pun tidak mampu membenarkannya kerana kaum Quraisy tidak mengetahui apa yang ada di langit. Maka sekaligus ia menjadi dalil bagi golongan yang mendustakannya secara mentah-mentah isra’ dan mi’raj Nabi ketika itu. (Lihat: Syarh Ath-Thahawiyah oleh Ibnu Abil ‘Izz Al-Hanafi)
Bertemu Allah Di Langit
Bertemunya Nabi dengan Allah di atas langit ke tujuh adalah suatu kebenaran. Namun cuma Nabi tidak melihat Allah disebabkan hijab cahaya yang menghalanginya antara dirinya dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini sebagaimana dijelaskan Al-Imam Ibnu Abil ‘Izz Al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 792H) dalam Syarh Ath-Thahawiyahnya. (Lihat artikel; Melihat Allah)
Dalam peristiwa ini, beliau berulang-alik beberapa kali menemui Allah bagi menerima pensyari’atan solat lima waktu sehari semalam.
Naiknya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertemu Allah di langit menjadi satu dalil dan penjelasan akan sahihnya i’tiqad ahli sunnah wal-jama’ah tentang ketinggian Allah di atas seluruh makhluk-Nya melangkaui langit ke tujuh di atas ‘Arsy-Nya, Dia istiwa’.
Di dalam beberapa lafaz hadis-hadis berhubung isra’ dan mi’raj Nabi terkandung isyarat yang menunjukkan makna dan hakikat ketinggian Allah Ta’ala di atas ‘Arsy-Nya, di antaranya pada ungkapan:
فَحُمِلْتُ عَلَيْهِ، ثُمَّ انْطَلَقْنَا حَتَّى أَتَيْنَا السَّمَاءَ الدُّنْيَا، فَاسْتَفْتَحَ
“Lalu aku dibawa naik kepada-Nya, maka berangkatlah Jibril bersamaku hingga sampai ke langit yang terendah (langit dunia), Jibril pun memohon izin agar dibukakan.”
Kemudian, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam naik hingga melepasi langit ketujuh dan berakhir pada sisi Rabb-nya. Maka Allah pun mendekatkannya kepada-Nya dan difardhukan solat atasnya.
Di antara yang lain lagi adalah ulang-aliknya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di antara Musa ‘alaihis Sallam dan Rabbnya, dan turunnya beliau dari sisi Rabb-nya Tabaraka wa Ta’ala menuju Musa sampailah akhirnya Allah memberikan keringanan kepada ummatnya.
Bahkan, di dalam sejumlah lafaz hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan yang lainnya begitu jelas diungkapkan dengan kata ‘uluw, seperti hadis daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan yang lainnya, di mana padanya disebutkan:
ثُمَّ عَلاَ بِهِ فَوْقَ ذَلِكَ بِمَا لاَ يَعْلَمُهُ إِلَّا اللَّهُ، حَتَّى جَاءَ سِدْرَةَ المُنْتَهَى، وَدَنَا لِلْجَبَّارِ رَبِّ العِزَّة، …ثُمَّ هَبَطَ حَتَّى بَلَغَ مُوسَى، فَاحْتَبَسَه… فَعَلاَ بِهِ إِلَى الجَبَّارِ، فَقَالَ وَهُوَ مَكَانَهُ…
“Kemudian naik bersamanya melampaui yang demikian dengan sesuatu yang tidak diketahui, kecuali oleh Allah hingga sampailah ke Sidratul Muntaha. Dan kami menuju mendekat kepada Al-Jabbaar Rabb yang memiliki kemuliaan… Kemudian kami bergerak turun hingga sampai kembali kepada Musa, lalu Musa menahannya… Maka Nabi naik lagi bersama Jibril menuju kepada Allah Al-Jabbaar, lalu Nabi pun berkata dengan tetap pada kedudukannya…” (Shahih Al-Bukhari, no. 7517)
Hadis ini memiliki kesan yang besar dan isyarat yang jelas akan ketinggian Allah di atas seluruh makhluk-Nya sedang orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya sangat berat untuk mengakuinya. (lihat rinciannya di, Artikel; Ketinggian Allah Ta’ala di Atas Seluruh Makhluk-Nya)
Menurut Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H):
“Sunnah yang aku anut adalah sebagaimana yang dipegang (dianuti) oleh Sufyan Ats-Tsauri, Imam Malik bin Anas dan selain keduanya yang merupakan pengakuan dengan syahadah (kesaksian) bahawa tiada Rabb yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, dan sesungguhnya Allah di atas ‘Arsy-Nya di atas langit-Nya. Dia dekat dengan makhluk-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki, dan turun ke langit dunia sebagaimana yang Dia kehendaki.” (Al-‘Uluw lil ‘Aliyyil Ghoffar, no. 443)
Apa yang ditaqrirkan oleh Al-Imam Asy-Syafi’i ini bertepatan dengan pegangan para ulama ahli sunnah wal-jama’ah lainnya bermula dari para sahabat, para ulama tabi’in, dan seterusnya termasuklah Abu Hanifah, Malik, Ahmad, dan Al-Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari rahimahumullah yang dikatakan menjadi ikutan dan rujukan kelompok mazhab Al-Asya’irah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan dalam Al-Qur’an sekurang-kurangnya pada tujuh ayat bahawa Dia istiwa’ di atas langit di atas ‘Arsy-Nya. Antaranya dalam Surah Al-A’raaf ayat 54, Surah Yunus ayat 3, Surah Ar-Ra’d ayat 2, Surah Thaha ayat 5, Al-Furqan ayat 59, As-Sajdah ayat 4, dan Al-Hadid ayat 4. (lihat rinciannya di artikel kami, Sifat Istiwa’ Bagi Allah, Dalil-dalilnya, dan Kefahaman Terhadapnya)
Juga sebagaimana hadis daripada Mu’awiyah bin Al-Hakam ketika mana Rasulullah menyoal seorang hamba wanita yang mengembalakan kambing miliknya (milik Mu’awiyah). Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepadanya:
أَيْنَ اللهُ؟ قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: مَنْ أَنَا؟ قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ
“Di mana Allah?” Hamba wanita tersebut menjawab, “Di langit.” Rasulullah bertanya, “Siapa aku?” Wanita itu menjawab, “Engkau adalah utusan Allah.” Maka Nabi bersabda, “Merdekakanlah dia, kerana dia adalah wanita beriman.” (Shahih Muslim, no. 537)
Dari hadis ini jugalah Al-Imam ‘Utsman bin Sa’id Ad-Darimi rahimahullah (Wafat: 280H) ketika membantah kelompok jahmiyyah, beliau membawakan satu riwayat daripada Al-Imam ‘Abdullah Ibn Al-Mubarak di mana ketika beliau (Ibn Al-Mubarak) ditanya, “Bagaimana kita mengenali Rabb (Tuhan) kita?” Maka Ibn Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) pun menjawab:
بأنه فوق السماء السابعة على العرش بائن من خلقه
“Bahawasanya Allah berada tinggi di atas langit yang ke tujuh di atas ‘Arsy terpisah dari makhluk-Nya.” (Ar-Radd ‘ala Al-Jahmiyyah, m/s. 47 – Maktabah Syamilah)
Selain itu, dalam lembaran yang sama, Al-Imam Ad-Darimi juga turut membantah kelompok sesat yang mendakwa Allah itu di mana-mana. Beliau menyatakan:
وفي قول رسول الله أين الله تكذيب لقول من يقول هو في كل مكان لا يوصف ب أين لأن شيئا لا يخلو منه مكان يستحيل أن يقال أين هو ولا يقال أين إلا لمن هو في مكان يخلو منه مكانولو كان الأمر على ما يدعي هؤلاء الزائغة لأنكر عليها رسول الله قولها وعلمها ولكنها علمت به فصدقها رسول الله وشهد لها بالإيمان بذلك
“Dan sabda beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), “Dimana Allah?” sebenarnya telah membongkar kebodohan orang yang mengatakan bahawa Allah ada di mana-mana. Kerana sekiranya sesuatu itu ada pada semua tempat maka adalah mustahil untuk dikatakan (atau ditanyakan) dengan pertanyaan, “Di mana dia?” Dan tidak dikatakan “di mana” kecuali pada sesuatu yang berada pada tempat tertentu.
Sekiranya Allah ada di mana-mana sebagaimana yang disangka oleh orang-orang yang menyimpang tersebut, maka pasti Rasulullah akan mengingkari ucapan hamba wanita tersebut. Tapi yang berlaku adalah sebaliknya di mana Rasulullah justeru membenarkannya dan mengakui keimanan hamba wanita tersebut.” (Ar-Radd ‘ala Al-Jahmiyyah, m/s. 47 – Maktabah Syamilah)
Maka, sebagai ahli sunnah wal-jama’ah kita wajib menerima dan memahami khabar tentang sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana datangnya tanpa mempersoalkan bagaimana, tanpa menyerupakan atau menyamakan dengan makhluk, dan tanpa ta’thil (menafikan), tahrif (mengubah maksud), atau menyelewengkan maknanya. Sebagaimana telah kita ketahui bahawa Allah itu istiwa’ di atas ‘Arsy-Nya di atas langit, maka kita terima sebagaimana dikhabarkan tanpa mempersoal atau menyerupakan-Nya dengan makhluk. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.” (Surah asy-Syuura, 42: 11) (lihat: Artikel; Kaedah-kaedah Umum Dalam Memahami Sifat-sifat Allah)
Manusia Pertama Mengingkari Allah Di Langit
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ. أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ
“Dan Fira’un pula berkata: “Wahai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, supaya aku sampai ke pintu-pintu, (iaitu) pintu-pintu langit, agar aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” Demikianlah dijadikan Fir’aun memandang baik perbuatan yang buruk itu, dan dia dihalangi dari jalan (yang benar), dan tipu daya Fir’aun itu tidak lain hanyalah membawa kerugian.” (Surah Al-Mu’min, 36-37)
Di sini kita bertanya, kenapakah Fir’aun hendak membina bangunan tinggi supaya dia boleh mencapai atau mendaki pintu-pintu langit sambil mendakwa Musa ‘Alaihis Salam berdusta? Apakah yang telah Musa ‘Alaihis Salam beritahu kepada Fir’aun sehingga dia begitu berang dan mendakwa Musa seorang pendusta dan dia perlu naik ke langit untuk mempercayai kata-kata Musa tersebut?
Maka di sini Al-Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H) menjelaskan:
وقوله: (وَإِنِّي لأظُنُّهُ كَاذِبًا) يقول: وإني لأظنّ موسى كاذبا فيما يقول ويدّعي من أن له في السماء ربا أرسله إلينا
“Dan firman-Nya (berkenaan kata-kata Fir’aun): “Dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!” maksudnya adalah, “Dan sesungguhnya aku percaya Musa ini pendusta dalam apa yang dia katakan dan dakwakan bahawa dia (Musa) memiliki Rabb (Tuhan yang diibadahi) di atas langit yang telah mengutusnya.” (Tafsir Ath-Thabari, 21/387)
Kata Al-Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari rahimahullah (Wafat: 324H) dalam kitab beliau, Al-Ibanah:
كذب موسى عليه السلام في قوله: إن الله سبحانه فوق السماوات
“Dia (Fir’aun) mendustakan Musa ‘Alaihis Salam berkenaan perkataan baginda, “Bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala berada tinggi di atas langit.” (Al-Ibanah ‘an Ushul Ad-Diyanah, m/s. 105)
Dari sini kita mengetahui bahawa wahyu dan sejarah telah mencatatkan makhluk pertama yang ingkar keberadaan Allah di atas ‘Arsy di atas langit ketujuh adalah Fir’aun.
Atas sebab itulah Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah sendiri mengatakan dalam Nuniyahnya:
فإمام كل معطل في نفسه … فرعون مع نمرود مع هامان
“Maka Imam setiap Mu’athil (pengingkar sifat-sifat Allah) itu pada dirinya adalah Fir’aun bersama Namrud dan juga Haman.”
Jadi, selisihilah aqidah Fir’aun tersebut. Sebaliknya hendaklah kita imani bahawa Allah itu Maha Tinggi. Tinggi di atas ‘Arsy-Nya di atas langit ketujuh dengan Kemuliaan-Nya, Kekuasaan-Nya, Keagungan-Nya, dan Dzat-Nya sebagaimana yang layak bagi diri-Nya.
Tarikh Isra’ dan Mi’raj
Tiada tarikh yang disepakati berlakunya peristiwa isra’ dan mi’raj ini. Tiada juga sebarang sambutan khusus berkaitan dengannya. Nabi dan para sahabatnya juga tidak pernah meraikannya dengan sebarang sambutan tertentu sama ada dengan berpuasa, solat sunnah tertentu, mahupun bacaan ayat-ayat Al-Qur’an tertentu.
Apa yang perlu kita terima, peristiwa tersebut membawa begitu banyak faedah terutamanya dalam aspek aqidah, ibadah, solat, akhlak, dan selainnya. Kita perlu mengimaninya dan zahirkannya dalam kehidupan seharian. Untuk memahami faedah-faedah tersebut dengan lebih lanjut, para pembaca boleh menela’ah hadis-hadis sahih berkaitan dengannya berserta huraian para ulama ahli sunnah wal-jama’ah, melihat kitab-kitab sirah, dan juga melihat pengakuan para ulama ahlus sunnah di kitab-kitab aqidah mereka dalam rangka membantah kelompok-kelompok yang mengigkarinya. Wallahu a’lam.
1 Comment
T. kasih atas usaha saudara