Sifat Istiwa’ Bagi Allah, Dalil-dalilnya, dan Kefahaman Terhadapnya

www.ilmusunnah.com

istiwa-Allah

Sifat istiwa’ adalah sifat fi’liyah yang benar bagi Allah ‘Azza wa Jalla.[1] Dalam Al-Qur’an, sifat ini dipaparkan secara jelas dan tegas pada tujuh ayat, iaitu:

1, Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْش

“Sesungguhnya Rabb-mu adalah Allah yang telah menciptakan langit-langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia istiwa’ di atas ‘Arsy.” (Surah Al-‘Araf, 7: 54)

2, Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مَا مِنْ شَفِيعٍ إِلَّا مِنْ بَعْدِ إِذْنِه

“Sesungguhnya Rabb-mu adalah Allah yang telah menciptakan langit-langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia istiwa’ di atas ‘Arsy, Dia mentadbir segala urusan. Tiada seorang pun yang akan memberi syafa’at kecuali setelah ada izin-Nya.” (Surah Yunus, 10: 3)

3, Firman Allah Ta’ala:

اللَّهُ الَّذِي رَفَعَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ يَجْرِي لِأَجَلٍ مُسَمًّى

“Allahlah yang meninggikan langit-langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia istiwa’ di atas ‘Arsy, menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan.” (Surah Ar-Rad, 13: 2)

4, Firman Allah Ta’ala:

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

“Allah Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah) yang istiwa’ di atas ‘Arsy.” (Surah Thaha, 20: 5)

5, Firman Allah Ta’ala:

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ الرَّحْمَنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا

“Yang menciptakan langit-langit dan bumi dan apa-apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia istiwa’ di atas ‘Arsy, Dia-lah Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah), maka tanyakanlah tentang Allah kepada yang lebih mengetahui (yakni Muhammad) tentang Dia.” (Surah Al-Furqaan, 25: 59)

6, Firman Allah Ta’ala:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ مَا لَكُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ (4) يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ

“Allah-lah yang menciptakan langit-langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia istiwa’ di atas ‘Arsy. Tidak ada bagimu selain dari-Nya seorang penolong dan tidak pula seorang pemberi syafa’at. Maka adakah kalian tidak memikirkan?”

Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (segala urusan itu) naik kepada-Nya dalam masa sehari yang kadarnya adalah seribu tahun berdasarkan perhitungan di sisi kalian.” (Surah As-Sajdah, 32: 4)

7, Firman Allah Ta’ala:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الْأَرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (4)

“Dia-lah yang menciptakan langit-langit dan bumi dalam enam masa; kemudian Dia istiwa’ di atas ‘Arsy. Dia Maha Mengetahui apa-apa yang masuk ke dalam bumi dan apa-apa yang keluar daripadanya, dan apa-apa yang turun dari langit dan apa-apa yang yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kalian di mana pun kalian berada. Dan Allah Maha melihat apa yang kalian lakukan.” (Surah Al-Hadiid, 57: 4)

Ayat-ayat yang mulia tersebut, semuanya menunjukkan tentang istiwa’nya Allah di atas ‘Arsy-Nya, sesuai dengan apa yang Dia kehendaki, setelah menciptakan langit dan bumi. Dia istiwa’ bersesuaian dengan apa yang layak bagi-Nya dan bersesuaian dengan keagungan dan kebesaran-Nya.

Demikian pula di dalam hadis-hadis, terdapat cukup banyak hadis-hadis yang menjelaskan sifat istiwa’ bagi Allah ini, di antaranya:

1, Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu.

Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَمَّا قَضَى الخَلْقَ، كَتَبَ عِنْدَهُ فَوْقَ عَرْشِهِ: إِنَّ رَحْمَتِي سَبَقَتْ غَضَبِي

“Sesungguhnya Allah, ketika selesai menciptakan ciptaan-Nya, Dia menulis di sisi-Nya di atas ‘Arsy-Nya (Dia berfirman):

“Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului murka-Ku.”.” (Musnad Ahmad, no. 7500, 7529, 9159, 10014. Shahih Al-Bukhari, no. 7422, 7453)

2, Hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu.

Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ، وَأَقَامَ الصَّلاَةَ، وَصَامَ رَمَضَانَ، كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، هَاجَرَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، أَوْ جَلَسَ فِي أَرْضِهِ الَّتِي وُلِدَ فِيهَا»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَلاَ نُنَبِّئُ النَّاسَ بِذَلِكَ؟ قَالَ: «إِنَّ فِي الجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الجَنَّةِ، وَأَعْلَى الجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الجَنَّةِ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan solat, dan berpuasa di bulan Ramadhan, maka telah menjadi hak bagi Allah untuk memasukkannya ke dalam Syurga, sama ada dia berhijrah di jalan Allah atau tetap tinggal di bumi tempat kelahirannya.”

Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah perlu kami khabarkan manusia (dengan berita ini)?” Nabi bersabda:

“Sesungguhnya di Syurga ada seratus darjat (tingkatan) yang disediakan untuk para mujahid (yakni para pejuang) di jalan Allah. Jarak setiap antara dua tingkatannya seperti jarak antara bumi dan langit. Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah Syurga Al-Firdaus, kerana ia adalah Syurga yang paling tengah dan paling tinggi.

Dan di atasnya adalah ‘Arsy Ar-Rahman, darinya terpancar sungai-sungai Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7423)

Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata dalam komentarnya tentang hadis ini:

فَالْخَبَرُ يُصَرِّحُ أَنَّ عَرْشَ رَبِّنَا جَلَّ وَعَلَا فَوْقَ جَنَّتِهِ، وَقَدْ أَعْلَمَنَا جَلَّ وَعَلَا أَنَّهُ مُسْتَوٍ عَلَى عَرْشِهِ، فخَالِقُنَا عَالٍ فَوْقَ عَرْشِهِ الَّذِي هُوَ فَوْقَ جَنَّتِهِ

“Maka khabar (hadis) ini menjelaskan bahawa ‘Arsy Rabb kita Jalla wa ‘Ala berada di atas Syurga-Nya dan sesungguhnya Dia telah mengkhabarkan kepada kita bahawa Dia istiwa’ di atas ‘Arsy-Nya. Jadi, Pencipta kita berada di atas ‘Arsy-Nya yang terletak di atas Syurga-Nya.”[2]

Cukup banyak hadis-hadis yang memiliki makna seperti ini.[3]

Ahlus sunnah wal-jama’ah mengimani dalil-dalil ini semuanya sebagaimana datangnya, menetapkannya tanpa mempertikaikan bagaimananya, tanpa mempermisalkanya, tanpa ta’thil, dan tanpa tahrif.[4]

3, Atsar Abu Bakr Ash-Shiddiq radhiyallahu ‘anhu.

Di saat hari kewafatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau melihat orang-orang bersedih dan seakan-akan tidak dapat menerima kewafatan Nabi, maka beliau pun berkata:

من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات ومن كان يعبد الله فإن الله في السماء حي لا يموت

“Siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi siapa yang tetap menyembah Allah, sesungguhnya Allah yang di langit tetap hidup dan tidak mati.” (Itsbaat Shifat Al-‘Uluw oleh Ibn Qudamah, m/s. 102 – Tahqiq Badr bin ‘Abdullah Al-Badr)

4, Dari atsar ‘Umar bin Al-Khattab radhiyallahu ‘anhu.

Beliau berkata:

هذه خولة بنت حكيم التي سمع الله قولها من فوق سبع سماوات، فعمر أحق أن يسمع لها

“Ini adalah Khaulah bintu Hakim yang mana Allah mendengar perkataannya dari atas tujuh langit-langit-Nya, maka ‘Umar lebih berhak (lebih patut) untuk mendengar kata-katanya.” (Istbat Shifat Al-‘Uluw, m/s. 103)

5,  Atsar ‘Abdullah Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma.

Beliau berkata:

إن الله عز وجل كان على عرشه قبل أن يخلق شيئا فخلق الخلق فكتب ما هو كائن إلى يوم القيامة

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berada di atas ‘Arsy sebelum Dia menjadikan sesuatu, lalu Dia menjadikan makhluk, dan menulis (taqdir) setiap yang ada (diciptakan) sehingga hari kiamat.” (Syarh Usul I’tiqad Ahlis Sunnah wal-Jama’ah oleh Al-Laalikaa’i, 3/396, no. 660 – Tahqiq Ahmad Sa’id Hamdan. Istbat Shifat Al-‘Uluw, m/s. 106)

6, Atsar ‘Abdullah Ibnu Mas’ouud radhiyallahu ‘anhu.

Beliau berkata:

والله فوق العرش لا يخفى عليه شيء من أعمال بني آدم

“Dan Allah tinggi di atas ‘Arsy, tiada yang tersembunyi pada-Nya sesuatu pun dari perbuatan anak keturunan Adam (manusia).” Syarh Usul I’tiqad Ahlis Sunnah wal-Jama’ah oleh Al-Laalikaa’i, 3/396, no. 659)

Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) menegaskan:

فَنَحْنُ نُؤْمِنُ بِخَبَرِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا أَنَّ خَالِقَنَا مُسْتَوٍ عَلَى عَرْشِهِ، لَا نُبَدِّلُ كَلَامَ اللَّهِ، وَلَا نَقُولُ قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَنَا، كَمَا قَالَتِ الْمُعَطِّلَةُ الْجَهْمِيَّةُ: إِنَّهُ اسْتَوْلَى عَلَى عَرْشِهِ، لَا اسْتَوَى، فَبَدَّلُوا قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ، كَفِعْلِ الْيَهُودِ كَمَا أُمِرُوا أَنْ يَقُولُوا: حِطَّةٌ، فَقَالُوا: حِنْطَةٌ، مُخَالِفِينَ لِأَمْرِ اللَّهِ جَلَّ وَعَلَا كَذَلِكَ الْجَهْمِيَّةُ

“Maka kita beriman kepada khabar (wahyu) Allah Jalla wa ‘Ala bahawa Pencipta kita istiwa’ di atas Arsy-Nya. Kita tidak mengubah (atau mengganti) kalam Allah dan tidak pula mengatakan dengan selain apa yang dikatakan kepada kita, (kita tidak mengatakan) sebagaimana yang dikatakan oleh Al-Mu’aththilah Al-Jahmiyyah yang berkata:

“Sesungguhnya Dia اسْتَوْلَى (menundukkan, atau menguasai, dengan cara merampas) atas ‘Arsy-Nya, bukan istiwa’.”

Jadi, mereka telah menggantikan dengan perkataan yang lain dari apa yang telah dikatakan (difirmankan) kepada mereka sebagaimana apa yang dilakukan oleh kaum Yahudi ketika mereka diperintahkan supaya mengatakan hiththah (pembebasan dari dosa-dosa – pent.), tetapi mereka mengatakan hinthah (gandum) sehingga menyalahi perintah Allah ‘Azza wa Jalla, demikian pula dengan kelompok Al-Jahmiyyah.”[5]

Para ulama Salaf rahimahumullah telah sepakat bahawa Allah Ta’ala istiwa’ di atas ‘Arsy-Nya dan tidak ada sesuatu apa pun yang tersembunyi dari-Nya dari perbuatan-perbuatan para hamba. Manakala atsar yang mendukung ketetapan ini, sama ada yang diriwayatkan dari kalangan Sahabat, Tabi’in, mahupun para imam setelah mereka, amatlah banyak jumlahnya.

InsyaAllah atsar-atsar tersebut akan kami paparkan di artikel tersendiri.

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

القول بان الله فوق العرش هو مما اتفقت عليه الانبياء كلهم وذكر في كل كتاب انزل على كل نبي ارسل وقد اتفق على ذلك سلف الامة وائمتها من جميع الطوائف وجميع طوائف

“Pendapat yang menegaskan bahawa Allah di atas ‘Arsy adalah pendapat yang disepakati oleh para Nabi seluruhnya, dan ianya disebutkan dalam setiap Kitab yang diturunkan kepada setiap Nabi yang diutus sebagai Rasul. Ketetapan tersebut telah disepakati pula oleh generasi pendahulu dari ummat ini serta oleh kalangan imam mereka dari setiap kelompok.”[6]

Dalam menafsirkan kata istiwa’, para ulama Salaf rahimahumullah memiliki empat ungkapan makna tentangnya:

1, Al-‘Uluw (ketinggian)

2, Al-Irtifaa’ (meninggi)

3, Al-Sho’uud (naik, yang paling atas)

4, Al-Istiqraar (menetap)

Al-Imam Ibn Jarir Ath-Thabari rahimahullah berkata:

وقوله ( الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى ) يقول تعالى ذكره: الرحمن على عرشه ارتفع وعلا

“Dan firman Allah; Ar-Rahman istiwa’ di atas ‘Arsy, Allah Ta’ala menyebutkan bahawa: Ar-Rahman (Allah yang maha Pemurah) di atas ‘Arsy-Nya Irtafa’a (meninggi) dan ‘ala (tinggi di atas)”. (Tafsir Ath-Thabari, 18/270)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan beberapa tafsir salaf tentang istiwa’ di kitab Shahih-nya sebagaimana berikut:

Telah berkata Abu Al-‘Aaliyah (tentang firman Allah):

{اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ} [البقرة: 29]: «ارْتَفَعَ»

“… istawa’ (berkehendak menyempurnakan) langit.” (Surah Al-Baqarah, 2: 29)

Maksudnya, naik (meninggi).

Mujahid berkata:

{اسْتَوَى}: «عَلاَ» {عَلَى العَرْشِ} [الأعراف: 54]

“Istawa’ maksudnya عَلاَ (naik atau meninggi di atas) di atas ‘Arsy.”.” (Shahih Al-Bukhari, 9/124. Fath Al-Bari, 13/405)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

قال بن بطال اختلف الناس في الاستواء المذكور هنا فقالت المعتزلة معناه الاستيلاء بالقهر والغلبة … وقال بعض أهل السنة معناه ارتفع وبعضهم معناه علا … وقيل معنى الاستواء التمام والفراغ من فعل الشيء ومنه قوله تعالى ولما بلغ أشده واستوى فعلى هذا فمعنى استوى على العرش أتم الخلق

واما تفسير استوى علا فهو صحيح وهو المذهب الحق وقول أهل السنة لأن الله سبحانه وصف نفسه بالعلي

“Telah berkata Ibn Baththal, “Manusia telah berselisih pada memahami kata al-istiwa’ yang disebutkan di sini. Telah berkata Al-Mu’tazilah, maknanya adalah Al-Istilaa’ (menguasai) dengan menundukkan (mengalahkan) dan kemenangan (dengan cara merampas)…

Berkata sebahagian ahlus sunnah, maknanya adalah irtifa’a (naik atau meninggi), dan sebahagian yang lain mengatakan maknanya ‘ala (meninggi, yang tertinggi)…

Dikatakan juga makna al-istiwa’ adalah sempurna dan selesai dari melakukan sesuatu, seperti di firman Allah Ta’ala:

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاسْتَوَى

“Dan setelah Musa cukup umur dan sempurna akalnya.” (Surah Al-Qashash, 28: 14)

Berdasarkan makna ini, istiwa’ di atas ‘Arsy adalah selesai dari menciptakan…

Adapun menafsirkan istiwa’ dengan علا, maka ianya sahih, ia adalah mazhab al-haq dan merupakan pendapat ahlus sunnah kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala menyifatkan Diri-Nya dengan Tinggi.” (Fath Al-Bari, 13/406)

Al-Hafiz Ibnu Hajar turut menyebutkan:

وقد نقل أبو إسماعيل الهروي في كتاب الفاروق بسنده إلى داود بن علي بن خلف قال كنا عند أبي عبد الله بن الأعرابي يعني محمد بن زياد اللغوي فقال له رجل الرحمن على العرش استوى فقال هو على العرش كما أخبر قال يا أبا عبد الله انما معناه استولى فقال اسكت لا يقال استولى على الشيء الا ان يكون له مضاد

“Dinukil dari Abu Isma’il Al-Harawi di kitab beliau Al-Faaruuq dengan sanadnya sampai kepada Dawud bin ‘Ali bin Kholaf, beliau berkata:

“Ketika kami berada di sisi Abu ‘Abdullah bin Al-A’rabi, yakni Muhammad bin Ziyad Al-Lughawi, lalu seorang lelaki berkata kepadanya (tentang firman Allah):

الرحمن على العرش استوى

“Ar-Rahman istiwa’ di atas ‘Arsy.”

(Muhammad bin Ziyad) mengatakan, “Allah di atas ‘Arsy sebagaimana yang Dia khabarkan.”

Lelaki itupun berkata kepadanya, “Wahai Abu ‘Abdillah, sebenarnya maknanya adalah istaula (menundukkan dan mengalahkan).”

Maka jawab Muhammad bin Ziyad, “Diamlah, tidaklah dikatakan istaula (menundukkan dan mengalahkan) atas sesuatu kecuali ia membawa makna ada yang melawannya (dari seterunya).” (Fath Al-Bari, 13/406)

Maka istiwa’ dengan makna istaula adalah tidak benar, bahkan bathil.[7]

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan lagi:

ونقل محيي السنة البغوي في تفسيره عن بن عباس وأكثر المفسرين ان معناه ارتفع وقال أبو عبيد والفراء وغيرهما بنحوه واخرج أبو القاسم اللالكائي في كتاب السنة من طريق الحسن البصري عن أمه عن أم سلمة انها قالت الاستواء غير مجهول والكيف غير معقول والاقرار به إيمان والجحود به كفر

“Dinukil dari Muhyi As-Sunnah yakni Al-Imam Al-Baghawi di Tafsir beliau, dari Ibn ‘Abbaas dan kebanyakan mufassirin (ulama ahli tafsir) bahawa maknanya adalah irtafa’a (naik atau meninggi).

Telah berkata Abu ‘Ubaid dan Al-farra’ serta selain mereka berdua dengan pendapat yang serupa.

Abu Al-Qasim Al-Laalikaa’i mengeluarkan di kitab As-Sunnah dari jalan Al-Hasan Al-Bashri dari ibunya dari Umm Salamah, bahawa beliau berkata:

AlIstiwa’ itu bukanlah suatu yang majhul (tidak dimaklumi), tatacaranya tidak dapat difikirkan akal, mengakuinya adalah iman, manakala mengingkarinya adalah kufur.” (Fath Al-Bari, 13/406)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 510H) berkata:

{ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ } قال الكلبي ومقاتل: استقر. وقال أبو عبيدة: صعد. وأولت المعتزلة الاستواء بالاستيلاء، وأما أهل السنة فيقولون: الاستواء على العرش صفة لله تعالى، بلا كيف، يجب على الرجل الإيمان به، ويكل العلم فيه إلى الله عز وجل . وسأل رجل مالك بن أنس عن قوله:(الرحمن على العرش استوى) [طه-5]، كيف استوى؟ فأطرق رأسه مليًّا، وعلاه الرحضاء، ثم قال: الاستواء غير مجهول، والكيف غير معقول، والإيمان به واجب، والسؤال عنه بدعة، وما أظنك إلا ضالا ثم أمر به فأخرج.

وروي عن سفيان الثوري والأوزاعي والليث بن سعد وسفيان بن عيينة وعبد الله بن المبارك وغيرهم من علماء السنة في هذه الآيات التي جاءت في الصفات المتشابهة: أمِرّوها كما جاءت بلا كيف.

“(Firman Allah Ta’ala), “Kemudian Dia beristiwa’ di atas ‘Arsy.”; telah berkata Al-Kalbi dan Muqatil, (maknanya) istiqarra (menetap). Dan telah berkata Abu ‘Ubaid, (maknanya) sho’ud (naik, yang paling atas).

Sedangkan Al-Muktazilah telah mentakwilkan al-istiwa’ dengan al-istila’, adapun ahlus sunnah mereka mengatakan:

Al-Istiwa’ di atas ‘Arsy adalah sifat Allah Ta’ala, tanpa kaif (dipertikaikan bagaimananya), wajib bagi seseorang untuk mengimaninya, dan menyerahkan ilmu tentangnya kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Imam Malik bin Anas (rahimahullah) tentang firman Allah “Ar-Rahman istiwa’ di atas Arsy.”; “Bagaimana (Allah) istiwa’?”

Imam Malik seraya tertunduk diam dan badannya mengeluarkan peluh, lalu beliau pun berkata:

Istiwa’ itu bukanlah suatu yang majhul (tidak diketahui maknanya), tata caranya tidak dapat dita’akul (difikirkan), namun mengimaninya adalah wajib manakala mempertanyakan (bagaimananya) adalah bid’ah, dan aku tidak mengesyaki-mu kecuali seorang yang telah tersesat.” Lalu Imam Malik pun memerintahkannya agar pergi.

Dan diriwayatkan dari Sufyan Ats-Tsauri, Al-Auzaa’i, Al-Laits bin Sa’ad, Sufyan bin ‘Uyainah, ‘Abdullah bin Al-Mubarak dan yang lainnya dari kalangan ulama As-Sunnah pada ayat-ayat yang datang terkait sifat-sifat al-mutasyabbihah, (mereka mengatakan):

“Terimalah sebagaimana ia datang tanpa mempertanyakan (bagaimananya).”.” (Ma’alim At-Tanzil – Tafsir Al-Baghawi, 3/236)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah berkata:

وتارة تكون بمعنى “علا “و “ارتفع “وذلك إذا عديت بـ “على “كما في قوله تعالى: { ثم استوى على العرش } (2)

Istiwa’ menjadi bermakna علا (naik atau tinggi di atas) dan ارتفع (menaik tinggi di atas), dan yang demikian ini apabila ia dijadikan sebagai kata kerja muta’addi dengan على sebagaimana firman-Nya:

“Lalu Dia istawa’ di atas ‘Arsy.” (Tafsir As-Si’di, m/s. 48)

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671) berkata:

وَقَدْ كَانَ السَّلَفُ الْأَوَّلُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ لَا يَقُولُونَ بِنَفْيِ الْجِهَةِ وَلَا يَنْطِقُونَ بِذَلِكَ، بَلْ نَطَقُوا هُمْ وَالْكَافَّةُ بِإِثْبَاتِهَا لِلَّهِ تَعَالَى كَمَا نَطَقَ كِتَابُهُ وَأَخْبَرَتْ رُسُلُهُ. وَلَمْ يُنْكِرْ أَحَدٌ مِنَ السَّلَفِ الصَّالِحِ أَنَّهُ اسْتَوَى عَلَى عَرْشِهِ حَقِيقَةً. وَخُصَّ الْعَرْشُ بِذَلِكَ لِأَنَّهُ أَعْظَمُ مَخْلُوقَاتِهِ، وَإِنَّمَا جَهِلُوا كَيْفِيَّةَ الِاسْتِوَاءِ فَإِنَّهُ لَا تُعْلَمُ حَقِيقَتُهُ. قَالَ مَالِكٌ رَحِمَهُ اللَّهُ: الِاسْتِوَاءُ مَعْلُومٌ- يَعْنِي في اللغة- والكيف مَجْهُولٌ، وَالسُّؤَالُ عَنْ هَذَا بِدْعَةٌ. وَكَذَا قَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا. وَهَذَا الْقَدْرُ كَافٍ، وَمَنْ أَرَادَ زِيَادَةً عَلَيْهِ فَلْيَقِفْ عَلَيْهِ فِي مَوْضِعِهِ مِنْ كُتُبِ الْعُلَمَاءِ. وَالِاسْتِوَاءُ فِي كَلَامِ الْعَرَبِ هُوَ الْعُلُوُّ وَالِاسْتِقْرَارُ.

“Dan adalah kaum Salaf generasi awal radhiyallahu ‘anhum tidak pernah menyatakan berkenaan penafian jihah (arah) dan tidak pula mereka memperkatakannya, bahkan mereka semuanya bersepakat menetapkannya (Istiwa’) bagi Allah Ta’ala sebagaimana yang ditetapkan oleh Kitab-Nya dan yang dikhabarkan oleh para Rasul-Nya. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan Salaf Ash-Sholeh yang mengingkari bahawa Allah Ta’ala istiwa’ di atas ‘Arsy-Nya secara hakikat dan dikhususkan dengan ‘Arsy kerana ia adalah makhluk Allah yang paling besar, tetapi mereka hanya tidak mengetahui kaifiyat (tatacara) istiwa’, maka tidak diketahui hakikat bagaimananya.

Telah berkata Imam Malik rahimahullah; AlIstiwa’ itu maklum (difahami) yakni pada bahasa, tetapi kaifiyat-nya majhul (tidak diketahui tatacaranya), dan bertanya tentang ini (kaifiyat istiwa’) adalah bid’ah. Demikianlah yang dinyatakan juga dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha. Cukuplah sekadar ini dan mereka yang memerlukan tambahan perbahasan maka lihatlah di tempatnya dalam kitab-kitab para ulama. Dan istiwa’ dalam perkataan (bahasa) ‘Arab itu bermaksud Al-‘Uluw (tinggi) dan al-istiqraar (menetap).” (Tafsir Al-Qurthubi, 7/219 – Tahqiq Hisyam Samiir Al-Bukhari)

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) mengungkapkan tentang hakikat tersebut:

فلهم عبارات عليها أربع … قد حصلت للفارس الطعان

وهي استقر وقد علا وكذلك ار … تقع الذي ما فيه من نكران

وكذاك قد صعد الذي هو أربع … وأبو عبيدة صاحب الشيباني

يختار هذا القول في تفسيره … درى من الجهمي بالقرآن

Mereka (para salaf) memiliki empat ungkapan tentangnya

Telah dimiliki oleh perajurit berkuda yang banyak menikam

Iaitu, istaqarra, ‘ala, dan demikian juga irtafa’a

Yang tidak ada padanya pengingkaran.

Demikian pula sha’ida menjadi yang ke-empat.

Sementara Abu ‘Ubadah[8] sahabat Asy-Syaibani,

Memilih pendapat ini di dalam tafsirnya

Yang lebih mengetahui berbanding Al-Jahmi tentang Al-Qur-an.[9]

Ini semua menjelaskan kedudukan mazhab Salaf rahimahumullah dalam keimanan mereka terhadap sifat-sifat Allah ‘Azza wa Jalla. Mereka menyakini bahawa sifat-sifat ini memiliki makna yang layak bagi Allah ‘Azza wa Jalla, bukan hanya sekadar kata-kata yang kering (tidak difahami), kaku, dan tidak memiliki erti sebagaimana sangkaan sebahagian orang yang tidak memiliki pengetahuan pada dirinya tentang mazhab Salaf, sementara mereka menganggap bahawa itulah mazhab Salaf.

Kesimpulannya di sini, para Salaf beriman kepada sifat ketinggian Allah di atas makhluk-Nya dan istiwa’-Nya di atas ‘Arsy-Nya sebagaimana yang layak dengan keagungan dan kebesaran-Nya.

Al-Imam Ibn Baththah Al-‘Ukbari rahimahullah (Wafat: 387H) menegaskan:

وَأَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ مِنَ الصَّحَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَجَمِيعِ أَهْلِ الْعِلْمِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَلَى عَرْشِهِ، فَوْقَ سَمَاوَاتِهِ بَائِنٌ مِنْ خَلْقِهِ، وَعِلْمُهُ مُحِيطٌ بِجَمِيعِ خَلْقِهِ

“… dan telah ijma’ (bersepakat) kaum muslimin dari kalangan para Sahabat dan Tabi’in, dan seluruh ahli ilmu dari kalangan kaum mukminin bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala di atas ‘Arasy, di atas langit-langit-Nya, terpisah dari makhluk-Nya, manakala Ilmu (pengetahuan)-Nya meliputi seluruh makhluk-Nya.” (Al-Ibanah Al-Kubra, 7/136)

Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) menyebutkan dalam kitabnya Al-‘Uluw:

روى شيخ الإسلام أبو الحسن الهكاري والحافظ أبو محمد المقدسي بإسنادهم إلى أبي ثور وأبي شعيب كلاهما عن الإمام محمد بن إدريس الشافعي ناصر الحديث رحمه الله تعالى قال القول في السنة التي أنا عليها ورأيت عليها الذين رأيتهم مثل سفيان ومالك وغيرهما الإقرار بشهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وأن الله على عرشه في سمائه يقرب من خلقه كيف شاء وينزل إلى السماء الدنيا كيف شاء وذكر سائر الإعتقاد

“Syaikh Al-Islam Abul Hasan Al-Hakkaari dan Al-Hafiz Abu Muhammad Al-Maqdisi meriwayatkan dengan rangkaian sanad mereka kepada Abu Tsaur dan Abu Syu’aib, keduanya daripada Al-Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i Nashir Al-Hadis (pembela hadis) rahimahullahu Ta’ala (Wafat: 204H), beliau berkata:

“Perkataanku (atau pendapatku) di dalam Sunnah yang aku anut adalah sebagaimana yang dipegang (dianuti) oleh Sufyan (Ats-Tsauri), Malik dan selain mereka berdua; adalah mengakui dengan Syahadat (kesaksian) bahawa tiada yang yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad adalah Rasul Allah, dan sesungguhnya Allah di atas ‘Arsy-Nya di langit-langit-Nya. Dia dekat dengan makhluk-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki, dan Dia turun ke langit dunia sebagaimana yang Dia kehendaki.”

Dan begitulah seterusnya beliau menyebutkan keyakinannya yang lainnya.”[10]

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

عِلْمُ اللهِ وَقُدْرَتُهُ وَسُلْطَانُهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ، وَهُوَ عَلَى العَرْشِ كَمَا وَصَفَ فِي كِتَابهِ

“Ilmu Allah, kekuasaan-Nya, dan pemerintahan-Nya ada di setiap tempat, dan adalah Dia (Allah) di atas ‘Arsy sebagaimana yang disifatkan dalam Kitab-Nya.”[11]

Berkata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah: “Asy-Syafi’i berkata:

وَقَالَ الشَّافِعِيُّ: خِلَافَةُ أَبِي بَكْرٍ حَقٌّ قَضَاهُ اللَّهُ تَعَالَى فِي سَمَائِهِ وَجَمَعَ عَلَيْهِ قُلُوبَ عِبَادِهِ

“Kekhalifahan Abu Bakar Ash-Shiddiq adalah haq (benar), yang telah diputuskan Allah Ta’ala dari atas langit-Nya, dan Dia telah menghimpun hati hamba-hamba-Nya kepada Abu Bakar Ash-Shiddiiq.”.”

Kemudian Ibn Taimiyyah menambah:

وَلَوْ يُجْمَعُ مَا قَالَهُ الشَّافِعِيُّ فِي هَذَا الْبَابِ لَكَانَ فِيهِ كِفَايَةٌ؛ وَمِنْ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ يَحْيَى الْكِنَانِيُّ الْمَكِّيُّ لَهُ كِتَابُ: ” الرَّدِّ عَلَى الْجَهْمِيَّة ” وَقَرَّرَ فِيهِ ” ” مَسْأَلَةَ الْعُلُوِّ ” وَأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَوْقَ عَرْشِهِ

“Kalaulah dikumpulkan apa-apa yang dikatakan oleh Asy-Syafi’i dalam permasalahan ini, nescaya padanya terdapat keterangan yang memadai lagi mencukupi. Dan dari pengikut Asy-Syafi’i, yakni ‘Abdul ‘Aziz bin Yahya Al-Kinani Al-Makki, pemilik kitab Ar-Raddu ‘ala Al-Jahmiyyah, dan beliau mentaqrirkan (mengakui) padanya di permasalahan Al-‘Uluw, bahawasanya Allah Ta’ala tinggi di atas ‘Arsy-Nya.”[12]

Di kitab Al-Asma’ wa Ash-Shifat, Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) berkata:

والآثار عن السلف في مثل هذا كثيرة وعلى هذه الطريق يدل مذهب الشافعي رضي الله عنه، وإليها ذهب أحمد بن حنبل والحسين بن الفضل البجلي. ومن المتأخرين أبو سليمان الخطابي. وذهب أبو الحسن علي بن إسماعيل الأشعري إلى أن الله تعالى جل ثناؤه فعل في العرش فعلا سماه استواء

“Atsar-atsar (riwayat-riwayat) dari kalangan salaf yang semisal ini sangatlah banyak, dan atas jalan ini menunjukkan kepada mazhab Asy-Syafi’i radhiyallahu ‘anhu, yang juga mazhab Ahmad bin Hanbal, Al-Husain bin Al-Fadhl Al-Bajali. Dan dari kalangan muta’akhirin yakni Abu Sulaiman Al-Khaththabi. Dan juga merupakan mazhab Abu Al-Hasan ‘Ali bin Isma’il Al-Asy’ari bahawa Allah Ta’ala Jalla Tsana’uhu di atas ‘Arsy di atas langit-langit-Nya Dia istiwa’.”[13]

Al-Imam Ibn ‘Abdil Barr rahimahullah (Wafat: 463H) berkata:

أهل السنة مجمعون على الإقرار بالصفات الواردة كلها في القرآن والسنة والإيمان بها وحملها على الحقيقة لا على المجاز إلا أنهم لا يكيفون شيئا من ذلك ولا يحدون فيه صفة محصورة وأما أهل البدع والجهمية والمعتزلة كلها والخوارج فكلهم ينكرها ولا يحمل شيئا منها على الحقيقة ويزعمون أن من أقر بها مشبه وهم عند من أثبتها نافون للمعبود والحق فيما قاله القائلون بما نطق به كتاب الله وسنة رسوله وهم أئمة الجماعة والحمد لله

“Ahlus sunnah sepakat mengakui (mengimani) sifat-sifat Allah seluruhnya sebagaimana yang warid dari Al-Qur’an dan As-Sunnah, dan mengimaninya serta membawanya kepada makna hakikat bukan majaz. Tetapi mereka tidak menyatakan kaifiyat (tatacara atau mempersoalkan bagaimananya) sesuatu pun dari sifat-sifat tersebut dan tidak pula menghadkan padanya dengan suatu sifat yang terbatas.

Adapun ahli bid’ah, Al-Jahmiyyah, Al-Mu’tazilah seluruhnya, dan Al-Khawarij, kesemua mereka mengingkarinya dan tidak membawanya kepada makna yang hakikat dan mereka beranggapan bahawa sesiapa yang mengakui sifat-sifat Allah tersebut sebagai musyabbih (menyerupakan Allah dengan sesuatu/makhluk). Dan mereka ini di sisi ahlus sunnah yang menetapkan sifat-sifat Allah, adalah kaum yang menafikan Tuhan.

Dan Al-Haq (kebenaran) itu bersama mereka yang mengatakan dengan apa-apa yang bersesuaian dengan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, dan mereka adalah para imam Al-Jama’ah. Walhamdulillah.” (At-Tamhid lima fi Al-Muwaththa’ min Al-Ma’ani, 7/145 – Mu’asasah Al-Quthubah)[14]

Demikianlah, dalil-dalil ini semua menunjukkan ketetapan bahawa Allah Ta’ala itu tinggi di atas seluruh makhluk-Nya, bahawa Dia istiwa’ di atas ‘Arsy-Nya. Dan inilah yang diimani oleh para salaf, ahlus sunnah wal-jama’ah.

Wallaahu a’lam.


[1] Baca juga artikel dengan judul, Ketinggian Allah Ta’ala di Atas Seluruh Makhluk-Nya.

[2] Kitab At-Tauhid oleh Ibn Khuzaimah, 1/221 – Tahqiq Dr. Samir bin Amiin Az-Zuhairi, Daar Al-Mughni (Riyadh), Cet. 2 (1432H).

[3] Lihat: Kitab At-Tauhiid oleh Ibnu Khuzaimah, 1/216-258. Ijtimaa’ Al-Juyuusy Al-Islamiyyah, m/s. 48-61. Mukhtashar Al-‘Uluw oleh Adz-Dzahabi, m/s. 81 dan yang lainnya.

[4] Lihat: Artikel dengan judul Kaedah-kaedah Umum Dalam Memahami Sifat-sifat Allah.

[5] Kitab At-Tauhiid oleh Ibnu Khuzaimah, 1/216.

[6] Bayaan Talbis Al-Jahmiyyah, 2/9.

[7] Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar Al-‘Asqalani, 13/406.

[8] Ma’mar bin Al-Matsna At-Taimiy adalah bekas hamba mereka, seorang ahli nahwu, ahli bahasa, dan sahabat kepada Imam Ahmad. Seorang yang sangat jujur, wafat tahun 208H. Lihat: Kitab At-Taqriib, 2/266-3).

[9] An-Nuniyyah oleh Ibn Al-Qayyim dengan syarah Al-Harras, 1/215.

[10] Al-‘Uluw lil ‘Aliyyil Ghoffar oleh Adz-Dzahabi, no. 443.

[11] Lihat: Sunan At-Tirmidzi, 5/241; komentar hadis no. 3298.

[12]  Majmu’ Al-Fatawa, 5/139. Al-Atsar fi ‘Aqidati Al-Hafiz ‘Abd Al-Mughni Al-Maqdisi, m/s. 47. Ijtimaa’ Al-Juyuusy Al-Islamiyyah, m/s. 95.

[13] Al-Asmaa’ wash Shifaat, 2/308. Fath Al-Baari, 13/407.

[14] Lihat juga: Mukhtashar Al-‘Uluw, no. 328. Fath Al-Bari, 13/407

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Pingback: Ketinggian Allah Ta’ala di Atas Seluruh Makhluk-Nya » ilmusunnah.com

Comments are closed.