Waktu Yang Tepat Bagi Makmum Untuk Turun Sujud Dalam Solat Jamaah

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Al-Baraa’ bin ‘Aazib, beliau mengkhabarkan:

Ensiklopedi_Solat_Menurut_Al_Quran_dan_Sunnah_main

أَنَّهُمْ كَانُوا يُصَلُّونَ خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ أَرَ أَحَدًا يَحْنِي ظَهْرَهُ، حَتَّى يَضَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَبْهَتَهُ عَلَى الْأَرْضِ، ثُمَّ يَخِرُّ مَنْ وَرَاءَهُ سُجَّدًا

“Bahawasanya mereka (para sahabat) ketika solat di belakang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebaik Rasulullah mengangkat kepala dari ruku’ (i’tidal), aku tidak melihat seorang pun membongkokkan (atau melengkungkan) badannya (untuk sujud) sampailah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meletakkan keningnya di atas tanah (tempat sujud), kemudian barulah (makmum) di belakang beliau ikut sujud.” [Shahih Muslim, no. 474]

Dalam lafaz yang lain, Al-Baraa’ berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا قَالَ: «سَمِعَ اللهِ لِمَنْ حَمِدَهُ لَمْ يَحْنِ أَحَدٌ مِنَّا ظَهْرَهُ، حَتَّى يَقَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدًا، ثُمَّ نَقَعُ سُجُودًا بَعْدَهُ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila mengucapkan “sami’a Allaahu li man hamidah”, tidak seorang pun daripada kami langsung membongkokkan (atau melengkungkan) badannya (untuk ikut sujud), sampailah Rasulullah Shalallaahu ‘alaihi wa Sallam benar-benar telah sujud barulah kami turut ikut turun sujud setelah itu.” [Shahih Muslim, no. 474]

Dalam lafaz yang lain,

أَنَّهُمْ كَانُوا يُصَلُّونَ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا رَكَعَ رَكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ فَقَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ لَمْ نَزَلْ قِيَامًا، حَتَّى نَرَاهُ قَدْ وَضَعَ وَجْهَهُ فِي الْأَرْضِ ثُمَّ نَتَّبِعُهُ

“Bahawasanya mereka (para sahabat) ketika solat bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, apabila Rasulullah ruku’ mereka pun ruku’, apabila Rasulullah mengangkat kepala dari ruku’ seraya mengucapkan “sami’a Allaahu li man hamidah”, mereka tetap berdiri (i’tidal) sampailah mereka melihat Rasulullah telah meletakkan wajahnya di atas tanah (tempat sujud), kemudian barulah mereka mengikutinya (untuk sujud).” [Shahih Muslim, no. 474. Sunan Abi Dawud, no. 622]

Dalam lafaz yang lain lagi, Al-Baraa’ berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحْنُو أَحَدٌ مِنَّا ظَهْرَهُ، حَتَّى نَرَاهُ قَدْ سَجَدَ

“Kami dulu solat bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tidak seorang pun daripada kami yang membongkokkan badannya (untuk turun sujud) sampailah kami telah benar-benar melihat beliau sujud.” [Shahih Muslim, no. 474]

Dalam riwayat yang lain dari ‘Amru bin Huraits, beliau berkata:

صَلَّيْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْفَجْرَ فَسَمِعْتُهُ يَقْرَأُ {فَلَا أُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ} [التكوير: 16] الْجَوَارِ الْكُنَّسِ وَكَانَ لَا يَحْنِي رَجُلٌ مِنَّا ظَهْرَهُ حَتَّى يَسْتَتِمَّ سَاجِدًا

“Aku pernah solat Subuh di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu aku mendengar beliau membaca Surah At-Takwir (ayat 15-16…).

Tidak ada seorang pun dari kalangan kami yang membongkokkan badan (untuk turun sujud) sampailah beliau (Nabi) benar-benar telah sujud dengan sempurna, (kemudian baru kami turun ikut sujud).” [Shahih Muslim, no. 475]

Penjelasan hadis,

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

وفي هذا الحديث هذا الأدب من آداب الصلاة وهو أن السنة أن لا ينحني المأموم للسجود حتى يضع الإمام جبهته على الأرض إلا أن يعلم من حاله أنه لو أخر إلى هذا الحد لرفع الإمام من السجود قبل سجوده قال أصحابنا رحمهم الله تعالى في هذا الحديث وغيره ما يقتضى مجموعة أن السنة للمأموم التأخر عن الإمام قليلا بحيث يشرع في الركن بعد شروعه وقبل فراغه منه والله أعلم

“Pada hadis ini terkandung sebahagian adab dari adab-adab solat, di mana disunnahkan bagi makmum untuk tidak turun sujud sampailah imam telah benar-benar meletakkan dahinya (atau keningnya) di atas tanah (tempat sujud), kecuali dia mengetahui jika dia tidak segera sujud maka imam sudah mengangkat badannya bangun dari sujud sebelum dia sempat sujud.

Para sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i) rahimahumullahu Ta’ala berkata, “Pada hadis ini dan selainnya mengadungi sejumlah penjelasan bahawa yang disunnahkan bagi para makmum adalah melewatkan sedikit gerakkannya berbanding imam (agar tidak bergerak serentak), hendaklah dia mula melakukan gerakan dari rukun solat setelah imam melaksanakannya terlebih dahulu, dan jangan dia melakukannya sebelum imam melakukannya. Wallaahu a’lam.” [Syarh Shahih Muslim, 4/191]

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedi_Shalat_Edisi_Baru_2

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest