Tanda Dekatnya Kiamat: Tanah Arab Kembali Hijau, Dipenuhi Tumbuhan dan Sungai-sungai

Dr. Yusuf bin ‘Abdillah bin Yusuf Al-Wabil
Asyraathus Saa’ah
www.ilmusunnah.com

Dan di antara tanda-tanda kiamat adalah tanah ‘Arab kembali hijau dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan dan sungai-sungai. Dijelaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَعُودَ أَرْضُ الْعَرَبِ مُرُوجًا وَأَنْهَارًا

“Tidak akan tiba hari Kiamat sampailah tanah ‘Arab kembali hijau penuh dengan tumbuhan dan sungai-sungai.” (lihat: Shahih Muslim, no. 157)

Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tanah ‘Arab sebelumnya dipenuhi dengan kehijauan tumbuh-tumbuhan dan sungai-sungai dan ia akan kembali sebagaimana semula.

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata tentang makna “حَتَّى تَعُودَ أَرْضُ الْعَرَبِ مُرُوجًا وَأَنْهَارًا” (sampailah tanah ‘Arab kembali hijau penuh dengan tumbuhan dan sungai-sungai):

معناه والله أعلم أنهم يتركونها ويعرضون عنها فتبقى مهملة لا تزرع ولا تسقى من مياهها وذلك لقلة الرجال وكثرة الحروب وتراكم الفتن وقرب الساعة وقلة الآمال وعدم الفراغ لذلك والاهتمام به

“Maknanya (wallahu a’lam) adalah sesungguhnya mereka meninggalkan dan enggan menjaganya, sehinggalah tanah tersebut pun terabai, tidak ditanami dan tidak pula disirami dengan air. Perkara tersebut disebabkan oleh sedikitnya kaum lelaki, banyaknya peperangan, fitnah yang terus-menerus terjadi, dekatnya Kiamat, pendeknya harapan, dan tidak adanya kesempatan dan perhatian untuk hal tersebut.” (Syarah Shahih Muslim, 7/97)

Dan dari apa yang aku pandang terhadap apa yang menjadi pendapat Imam An-Nawawi rahimahullah terhadap syarahnya pada hadis ini, ianya perlu diteliti kembali, kerana tanah ‘Arab (sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini – pent.) adalah padang pasir yang tidak berair, sedikit tumbuh-tumbuhannya, dan kebanyakan airnya berasal dari telaga (atau sumber air hasil kolam atau parit buatan) dan juga air hujan, maka ketika tanah tersebut ditinggalkan, sementara pemiliknya tidak sempat untuk bercucuk-tanam, maka semua tumbuhannya akan mati dan tidak kembali menjadi hijau dengan rerumputan dan sungai-sungai.

Yang nampak zahir dari hadis tersebut menunjukkan negeri-negeri ‘Arab akan dilimpahi dengan air yang banyak, sampailah terwujud di sana beberapa sungai, tumbuh di atasnya pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan sehingga menjadi pula padang rumput, kebun-kebun, dan hutan-hutan.

Bukti yang mendukung pendapat ini adalah munculnya di zaman ini sumber-sumber air seperti sungai dan tumbuh pula di atasnya pelbagai jenis tanaman, dan akan terbukti segala perkara yang dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Diriwayatkan daripada Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّكُمْ سَتَأْتُونَ غَدًا، إِنْ شَاءَ اللهُ، عَيْنَ تَبُوكَ، وَإِنَّكُمْ لَنْ تَأْتُوهَا حَتَّى يُضْحِيَ النَّهَارُ، فَمَنْ جَاءَهَا مِنْكُمْ فَلَا يَمَسَّ مِنْ مَائِهَا شَيْئًا حَتَّى آتِيَ» فَجِئْنَاهَا وَقَدْ سَبَقَنَا إِلَيْهَا رَجُلَانِ، وَالْعَيْنُ مِثْلُ الشِّرَاكِ تَبِضُّ بِشَيْءٍ مِنْ مَاءٍ، قَالَ فَسَأَلَهُمَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «هَلْ مَسَسْتُمَا مِنْ مَائِهَا شَيْئًا؟» قَالَا: نَعَمْ، فَسَبَّهُمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ لَهُمَا مَا شَاءَ اللهُ أَنْ يَقُولَ. قَالَ: ثُمَّ غَرَفُوا بِأَيْدِيهِمْ مِنَ الْعَيْنِ قَلِيلًا قَلِيلًا، حَتَّى اجْتَمَعَ فِي شَيْءٍ، قَالَ وَغَسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِ يَدَيْهِ وَوَجْهَهُ، ثُمَّ أَعَادَهُ فِيهَا، ” فَجَرَتِ الْعَيْنُ بِمَاءٍ مُنْهَمِرٍ أَوْ قَالَ: غَزِيرٍ – شَكَّ أَبُو عَلِيٍّ أَيُّهُمَا قَالَ – حَتَّى اسْتَقَى النَّاسُ، ثُمَّ قَالَ «يُوشِكُ، يَا مُعَاذُ إِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، أَنْ تَرَى مَا هَاهُنَا قَدْ مُلِئَ جِنَانًا

“Sesungguhnya kalian insyaAllah akan mendatangi mata air Tabuk esok hari, dan sesungguhnya kalian tidak akan mendatanginya sehingga siang telah meninggi. Sesiapa dari kalian mendatanginya, maka janganlah dia menyentuh airnya sedikit pun sehingga aku tiba.”

Akhirnya kami (perawi hadis) datang dan ternyata ada dua orang yang telah mendahului kami. Mata air itu bagaikan tali kasut yang mencurahkan sedikit air. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepada kedua mereka:

“Adakah kalian berdua telah menyentuh sedikit dari airnya?” Keduanya menjawab, “Benar.”

Lalu Rasulullah mencela keduanya dan mengatakan sesuatu kepada mereka.

Kemudian mereka (para sahabat) menciduk air dari mata air sedikit demi sedikit sehingga air tersebut pun terkumpul dalam satu bekas. Mu’adz berkata:

“Akhirnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencuci kedua tangan serta muka di dalamnya, lalu beliau mengembalikan air tersebut ke dalam mata air, kemudian mata air tersebut memancarkan air dengan jumlah yang banyak.” Atau beliau (Mu’adz) mengatakan:

“Dengan melimpah.”

Sampailah semua orang dapat memanfaatkannya. Akhirnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Hampir saja wahai Mu’adz, seandainya engkau berumur panjang, nescaya engkau akan melihat tempat ini dipenuhi dengan kebun-kebun.” (Shahih Muslim, no. 706)

Dari buku, Asyraathus Saa’ah, m/s. 201-203 – Daar Ibnul Jauzi (1411H).

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest