Ingin melihat Nabi, Justeru Mendapat Kemarahan?!

Faedah Tafsir Ibnu Katsir
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Jubair bin Nufair, dari ayahnya, beliau menceritakan: “Pada suatu hari kami duduk bersama Al-Miqdad bin Al-Aswad. Tiba-tiba seorang lelaki melintas di depan beliau seraya mengatakan:

طُوبَى لِهَاتَيْنِ الْعَيْنَيْنِ اللَّتَيْنِ رَأَتَا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَاللهِ لَوَدِدْنَا أَنَّا رَأَيْنَا مَا رَأَيْتَ، وَشَهِدْنَا مَا شَهِدْتَ

Alangkah bahagianya kedua mata engkau yang pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Demi Allah, betapa inginnya kami melihat apa yang pernah engkau lihat, dan menyaksikan apa yang pernah saksikan.”

Lalu Al-Miqdad pun Marah dengan apa yang diucapkan lelaki tersebut. Pada ketika itu aku (Nufair) merasa hairan dengan kemarahan Al-Miqdad kerana menurut pandanganku tidaklah apa yang diucapkan oleh orang tersebut melainkan kebaikan.

Lalu Al-Miqdad pun menghadapkan wajahnya ke arah lelaki tersebut seraya berkata:

“Apa yang membuatkan lelaki ini mengharapkan sesuatu yang tidak pernah ditampakkan oleh Allah kepadanya? Dia tidak tahu yang seandainya dia dapat menyaksikan apa yang sebenarnya terjadi, demi Allah! Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam benar-benar telah dihadapkan kepada sekelompok manusia yang Allah telungkupkan wajahnya di Neraka Jahannam. Sekelompok manusia yang tidak pernah memenuhi dakwah Nabi dan tidak pernah membenarkan ajaran beliau.

Hendaklah kalian bersyukur kepada Allah kerana Allah telah mengeluarkan kalian dari perut ibu kalian. Tidak ada yang kalian ketahui melainkan Allah, Rabb kalian, dan kalian lahir dalam keadaan membawa keimanan terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi kalian. Benar-benar kalian telah dijauhkan dari ujian yang dideritai oleh umat sebelum kalian. Sesungguhnya Allah mengutus Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan ujian yang sangat besar. Allah mengutus Nabi Muhammad di saat bergeloranya ke-jahiliyyahan, iaitu di saat mereka tidak melihat satu agama pun yang lebih utama dari menyembah berhala.

Maka datanglah kepada mereka seorang Nabi dengan membawa Al-Furqaan (iaitu Al-Qur’an) yang telah membezakan yang mana haq dan yang mana bathil, yang telah memisahkan antara ayah dengan anaknya (kerana berbeza agama dan keyakinan). Jika seorang mu’min melihat orang tua, anak, atau saudaranya masih dalam keadaan kafir sementara Allah telah membukakan pintu hatinya untuk beriman, dan dia yakin jika dia tersesat dalam jurang kekufuran maka dia pun akan masuk ke dalam api Neraka, maka (dalam keadaan seperti ini) hati nuraninya pun berada dalam keadaan gusar, tidak tenang dan tidak tenteram disebabkan dia tahu bahawa orang-orang yang dikasihinya itu akan masuk ke dalam Neraka (disebabkan masih kafir). Sehingga mereka pun berdoa sebagaimana yang disebutkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla:

الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ

“Dan orang-orang yang berkata, “Wahai Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penenang (atau penyejuk) hati kami…” (Surah Al-Furqaan, 25: 74).”

Sila lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 6/132-133. Musnad Ahmad, no. 23810. dan Al-Adabul Mufrad, no. 87.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest