Sunnah-sunnah Ketika Keluar Melakukan Perjalanan dan Safar

Sunnah-sunnah Ketika Keluar Melakukan Perjalanan dan Safar

www.ilmusunnah.com

Secara bahasa, safar adalah menempuh suatu perjalanan.ship-wall

Manakala secara istilah (syari’at), safar adalah keluar meninggalkan tempat bermukim dengan niat menempuh suatu perjalanan untuk menuju suatu tempat (yang di luar ‘urf keseharian dan kebiasaannya bermuamalah dan beraktiviti). (lihat: Lisan Al-‘Arab, 6/277. Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 2/542-543. Asy-Syarh Al-Mumti’ oleh Ibn ‘Utsaimin, 4/490-497. Al-Majmu’ oleh An-Nawawi, 4/150. Majmu’ Al-Fatawa Ibn Taimiyyah, 24/21. Shahih Fiqh As-Sunnah, 1/472)

Alhamdulillah, berikut adalah sebahagian dari adab dan etika yang disunnahkan bagi orang-orang yang keluar bagi melakukan sebuah perjalanan atau melakukan safar (bermusafir).

1, Berdoa memohon petunjuk.

Disukai untuk melaksanakan istikharah dengan solat dua rakaat dan berdoa memohon petunjuk serta kekuatan daripada Allah Subahanahu wa Ta’ala.

Dari hadis Jabir Bin ‘Abdillah radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengajari kami istikharah dalam memutuskan segenap urusan kami sebagaimana beliau mengajari kami surah-surah Al-Qur’an, beliau bersabda:

“Apabila salah seorang di antara kalian hendak melakukan sesuatu urusan (yang berat, besar atau merunsingkan), maka laksanakanlah solat sunnah dua raka’at yang bukan solat fardhu, kemudian bacalah (berdoa):

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي – أَوْ قَالَ عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ – فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي – أَوْ قَالَ فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ – فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pilihan yang tepat kepada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk memutuskan urusanku dan mengatasinya) dengan Kemahakuasaan-Mu.

Aku memohon kepada-Mu kebaikan dari kurniaan-Mu yang agung, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa sedang aku tidak berkuasa, Engkau Maha Mengetahui sedang aku tidak mengetahui dan hanya Engkau-lah Yang Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib.

Ya Allah, apabila pada pengetahuan-Mu bahawa urusan ini (yakni disebutkan urusannya di dalam doa) lebih baik bagiku bagi agamaku, kehidupanku, dan juga bagi akhiratku… [atau – Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (mengatakan): … (bagi) duniaku dan akhiratku – ], maka takdirkanlah ianya untukku, mudahkanlah jalannya, serta berkahilah aku di dalam urusan itu.

Akan tetapi apabila pada pengetahuan-Mu urusan ini memberi kesan buruk bagiku dalam urusan agamaku, kehidupanku, dan bagi akhiratku, [atau – Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (mengatakan): … (bagi) duniaku atau akhiratku -], maka jauhkanlah urusan tersebut dariku, dan jauhkan aku darinya, sebaliknya takdirkanlah untukku kebaikan di mana saja kebaikan itu berada, kemudian jadikanlah aku redha dengan takdir tersebut.”

Beliau (yakni Jabir serta para perawi yang lainnya) mengatakan:

Dan orang yang berdoa tersebut hendaklah menyebutkan urusannya (dalam doanya).” (Shahih Al-Bukhari, no.1162, 6382 dan 7390)

2, Waktu-waktu dianjurkan melakukan safar.

Dari hadis Shakhr bin Wadaa’ah Al-Ghamidi, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا. وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ «وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا، وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ

“Ya Allah, berkahilah umatku di pagi harinya.”

Apabila beliau (Nabi) hendak mengirim pasukan atau hendak mengirim angkatan perang, maka beliau akan mengirimkan mereka pada waktu pagi hari.

Bahawasanya Shakhr adalah seorang lelaki pedagang, beliau sentiasa mengirimkan barang dagangannya pada waktu pagi hari, maka beliau pun menjadi kaya dan hartanya melimpah-ruah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2606. At-Tirmidzi, no. 1212)

Pada hadis ini terkandung penjelasan disunnahkan agar memulakan perjalanan pada waktu awal pagi.

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ، فَإِنَّ الْأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ

“Tetaplah kalian melakukan perjalanan pada malam hari, kerana seakan-akan bumi itu dilipat ketika waktu malam hari.” (Sunan Abi Dawud, no. 2571. Shahih Ibn Khuzaimah, no. 2555)

Biasanya keadaan pada malam hari itu lebih tenang, nyaman, dan sejuk sehingga perjalanan pun akan menjadi lebih tenang dan lancar. Haiwan-haiwan tunggangan (kenderaan pada zaman Nabi) pun lebih lincah dan bersemangat. Dengan demikian, seakan-akan bumi itu dilipat dan perjalanan seakan-akan menjadi lebih dekat.

Selain itu terdapat pula anjuran memulakan safar pada hari Khamis dalam rangka mencontohi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebagaimana dari hadis Ka’b bin Malik radhiallahu ‘anhu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الخَمِيسِ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ وَكَانَ يُحِبُّ أَنْ يَخْرُجَ يَوْمَ الخَمِيسِ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar berangkat ketika Perang Tabuk pada hari Khamis, dan adalah beliau Shallallahu alaihi wa Sallam menyukai keluar (berangkat untuk safar) pada hari Khamis.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2950)

3, Disunnahkan agar melakukan safar dengan berteman atau secara berkumpulan.

Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي الوَحْدَةِ مَا أَعْلَمُ، مَا سَارَ رَاكِبٌ بِلَيْلٍ وَحْدَهُ

“Seandainya orang-orang tahu akibat buruk sekiranya melakukan perjalanan sendirian, nescaya tidak akan ada seorang pun yang melakukannya seorang diri di malam hari.” (Shahih Al-Bukhari, 2998)

Hadis ini menjelaskan perbuatan melakukan perjalanan atau safar secara bersendirian itu adalah suatu yang tidak disukai. Boleh jadi akan ada bahaya atau halangan yang menimpanya di tengah perjalanan lalu dia tidak mendapat sebarang bantuan atau pertolongan.

Dari hadis ‘Amru bin Syu’aib, dari ayahnya dari datuknya, beliau berkata:

الرَّاكِبُ شَيْطَانٌ، وَالرَّاكِبَانِ شَيْطَانَانِ، وَالثَّلَاثَةُ رَكْبٌ

“Orang yang berkenderaan (melakukan perjalanan) seorang diri itu seperti syaitan, jika berkenderaan berdua maka seperti dua syaitan, manakala jika bertiga maka itulah yang dinamakan perjalanan (yang sepatutnya).” (Sunan Abi Dawud, no. 2607. At-Tirmidzi, no. 1674. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdil ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

قال الخطابي: معناه أن التفرد والذهاب وحده في الأرض من فعل الشيطان، وهو شيء يحمل عليه الشيطان ويدعوه إليه. فقيل لذلك أن فاعله شيطان، وكذا الاثنان ليس معهما ثالث. وقوله: «والثلاثة ركب»، أي: إذا وجد ذلك تعاضدوا وتعاونوا على نوائب السفر. ودفع ما فيه من الضرر، وأمنوا من خيانة بعضهم.

“Al-Khaththabi berkata, “Maknanya, melakukan perjalanan secara sendirian di atas muka bumi adalah sebahagian dari perlakuan syaitan. Yakni sesuatu yang dibawa dan diserukan oleh syaitan, sehingga mereka yang melakukan demikian pun dikatakan seperti syaitan. Demikian pula mereka yang hanya berdua tanpa diiringi orang ketiga.”

“…manakala jika bertiga maka itulah yang dinamakan perjalanan (yang sepatutnya).”

Maknanya, jika bertiga, mereka akan dapat saling membantu dan tolong-menolong dalam mengharungi kesukaran, halangan-halangan dan lebih mampu mengelakkan pelbagai mara-bahaya dalam safar (perjalanan).” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 562)

4, Disunnahkan mengangkat ketua rombongan ketika safar.

Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudhri dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

“Apabila tiga orang keluar melakukan perjalanan safar, maka hendaklah mereka melantik seorang ketua dari salah seorang mereka.” (Sunan Abi Dawud, no. 2608, 2609)

5, Tidak membawa anjing dan loceng ketika safar.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَصْحَبُ الْمَلَائِكَةُ رُفْقَةً فِيهَا كَلْبٌ وَلَا جَرَسٌ

“Malaikat tidak akan turut serta (mengiringi) pada rombongan yang membawa loceng atau anjing.” (Shahih Muslim, no. 2113)

Dalam hadis yang lain daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْجَرَسُ مَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ

“Lonceng adalah seruling syaitan.” (Shahih Muslim, no. 2114)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

أما فقه الحديث ففيه كراهة استصحاب الكلب والجرس فى الاسفار وأن الملائكة لاتصحب رفقة فيها أحدهما والمراد بالملائكة ملائكة الرحمة والاستغفار لاالحفظة وقد سبق بيان هذا قريبا وسبق بيان الحكمة فى مجانبة الملائكة بيتا فيه كلب وأما الجرس فقيل سبب منافرة الملائكة له أنه شبيه بالنواقيس أو لأنه من المعاليق المنهى عنها وقيل سببه كراهة صوتها وتؤيده رواية مزامير الشيطان وهذا الذى ذكرناه من كراهة الجرس على الاطلاق هو مذهبنا ومذهب مالك وآخرين وهى كراهة تنزيه وقال جماعة من متقدمي علماء الشام يكره الجرس الكبير دون الصغير

“Adapun fiqh al-hadits (kefahaman dari hadis ini) adalah:

Dibencinya membawa anjing dan loceng dalam safar (perjalanan jauh) kerana para malaikat tidak akan menyertai rombongan perjalanan yang padanya terdapat salah satu dari keduanya (yakni loceng mahupun anjing).

Yang dimaksudkan dengan malaikat dalam hadis ini adalah malaikat ar-rahmah (yakni malaikat pembawa rahmat) yang memohonkan istighfar (keampunan), bukan malaikat penjaga (atau pencatat) amalan. Ini telah pun dijelaskan sebelumnya berserta hikmah menjauhnya malaikat dari rumah yang padanya terdapat anjing.

Adapun tentang loceng, maka ada (dari kalangan ulama) yang mengatakan bahawa malaikat menjauh darinya kerana ia mirip dengan gong (atau loceng besar di gereja-gereja – pent.) atau kerana termasuk di antara gantungan-gantungan yang terlarang. Ada juga yang menyebutkan bahawa sebabnya adalah kerana para malaikat membenci suaranya, dan ini dikuatkan dengan riwayat (hadis):

“Lonceng adalah seruling syaitan.” (Shahih Muslim, no. 2114)

Hukum memasang loceng adalah tidak disukai secara muthlaq (umum), inilah pendapat dalam mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i), mazhab Malik, dan para ulama yang lainnya dan hukumnya adalah makruh tanzih. Berkata sejumlah ulama terdahulu dari kalangan ulama Syam bahawa yang dibenci adalah loceng yang besar, bukan loceng kecil.” (Syarah Shahih Muslim, no. 14/95)

Sebahagian ulama turut mengisyaratkan loceng yang dimaksudkan adalah loceng yang biasa digantung pada leher-leher haiwan yang mengeluarkan bunyi ketika dibawa berjalan.

Selain itu loceng juga adalah merupakan syi’ar agama kaum nashara (kristian) sebagaimana pada gereja-gereja mereka. Wallahu a’lam.

6, Seorang perempuan yang hendak melakukan safar mestilah ditemani oleh mahramnya.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَومِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ عَلَيْهَا

“Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan hari akhir melakukan safar sehari semalam melainkan dengan ditemani oleh mahramnya.” (Muttafaqun ‘alaih; Shahih Al-Bukhari, no. 1088. Muslim, no. 139)

Hadis ini menyebutkan perempuan beriman bagi menunjukkan ciri dan karektor seorang perempuan yang beriman adalah tidak melakukan safar melainkan dengan ditemani oleh mahramnya, dan hanya orang-orang yang beriman akan mampu mengambil faedah seraya mengikuti saranan Allah dan Rasul-Nya.

Pada hadis ini terkandung larangan bagi perempuan yang melakukan safar tanpa ditemani oleh mahramnya.

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdil ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

والمحرم زوجها، أو من تحرم عليه على التأبيد بنسب، أو سبب مباح

“Mahram yang dimaksudkan di sini adalah suaminya, atau sesiapa (dari kalangan lelaki) yang diharamkan untuk menikah dengan perempuan tersebut selamanya sama ada dengan sebab nasab (hubungan rahim atau kerabat dekat) mahupun kerana sebab-sebab yang dibolehkan (pernikahan, saudara sepersusuan).” (Tathrizu Riyadhish Shahilin, m/s. 577)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

“Janganlah seorang perempuan melakukan safar melainkan dengan ditemani oleh mahramnya. Dan janganlah seorang lelaki keluar menemui seorang perempuan kecuali ada bersama perempuan itu mahramnya.”

Lalu ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, sebenarnya aku perlu berangkat bersama pasukan perang ini dan ini, sedangkan isteriku ingin menunaikan haji.”

Maka beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab, “Keluarlah bersamanya (berhaji bersama si isteri).” (Muttafaqun ‘alaih; Shahih Al-Bukhari, no. 5233. Muslim, no. 1341)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

 أن كل ما يسمى سفرا تنهى عنه المرأة بغير زوج أو محرم سواء كان ثلاثة أيام أو يومين أو يوما أو بريدا أو غير ذلك لرواية بن عباس المطلقة وهي آخر روايات مسلم السابقة لا تسافر امرأة الا مع ذي محرم وهذا يتناول جميع ما يسمى سفرا والله أعلم

“Bahawa setiap apa yang dinamakan (atau disebut) sebagai safar, maka tidaklah boleh bagi seorang perempuan menempuhnya tanpa diiringi bersamanya suaminya atau lelaki yang mahram bagi dirinya, sama ada safar itu selama tiga hari, atau dua hari, atau sehari, mahupun hanya separuh hari atau yang lainya berdasarkan hadis riwayat Ibn ‘Abbas yang telah menyebutkannya secara muthlaq di akhir riwayat Muslim tersebut (yakni):

“Janganlah seorang perempuan melakukan safar melainkan dengan ditemani oleh mahramnya.”

Hadis ini mencakup seluruh bentuk perjalanan yang dinamakan sebagai safar.” (Syarh Shahih Muslim, 9/103-104)

7, Berdoa ketika keluar dari rumah.

Dari hadis Anas bin Malik, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ

“Apabila seseorang (lelaki) keluar dari rumahnya, maka ucapkanlah:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

“Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, dan tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.”

Beliau bersabda lagi:

يُقَالُ حِينَئِذٍ: هُدِيتَ، وَكُفِيتَ، وَوُقِيتَ، فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ، فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ؟

“Maka pada ketika itu akan dikatakan kepadanya, “Engkau telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat perlindungan.” Sehingga syaitan-syaitan pun akan menjauhkan diri daripadanya.

Maka berkatalah syaitan kepada teman-temanya, “Bagaimana (engkau akan mampu menggoda) seorang lelaki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan, dan perlindungan?” (Sunan Abi Dawud, no. 5095. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

8, Doa ketika menaiki kenderaan.

Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila naik duduk di atas untanya untuk keluar melakukan safar, beliau pun bertakbir tiga (3) kali, lalu kemudian beliau mengucapkan:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا، وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

“Maha Suci Allah yang telah menundukkan kenderaan ini bagi kami sedangkan sebelumnya kami tidak mampu menguasainya.

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada Engkau di dalam safar (perjalanan) kami ini kebaikan dan ketaqwaan, serta amal yang Engkau redhai.

Ya Allah, mudahkanlah perjalanan kami ini dan jadikanlah perjalanan yang jauh seakan-akan dekat.

Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah peneman di dalam safar dan pengganti bagi ahli keluarga.

Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau dari safar yang sukar, dari pemandangan buruk lagi menyedihkan, dari buruknya keadaan ketika kembali pada harta mahupun keluarga.”

Manakala apabila ketika kembali (dari safar), beliau turut mengucapkan kalimat-kalimat tersebut dan menambahkan dengan ucapan:

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

“Kami kembali, kami bertaubat, kami tetap mengabdikan diri (kepada Allah), dan kepada Rabb kami-lah puji-pujian.” (Shahih Muslim, no. 1342)

9, Ucapan ketika mendaki bukit, tempat tinggi dan ketika menuruninya.

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَفَلَ مِنْ غَزْوٍ أَوْ حَجٍّ أَوْ عُمْرَةٍ يُكَبِّرُ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ مِنَ الأَرْضِ ثَلاَثَ تَكْبِيرَاتٍ، ثُمَّ يَقُولُ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ. صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila beliau pulang dari peperangan (bersama pasukan tempurnya), atau ketika pulang dari haji atau ‘umrah, beliau akan bertakbir dengan tiga kali takbir di setiap kali melalui jalan yang mendaki atau menaik, kemudian beliau mengucapkan:

Tiada ilah (yang berhak diibadahi) kecuali Allah satu-satunya, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya-lah seluruh kerajaan, bagi-Nya-lah segala puji-pujian, dan adalah Dia maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kami kembali, kami bertaubat, dan kami mengabdi kepada Rabb kami yang kepada-Nya-lah kami memuji. Maha benar-lah janji-janji Allah, yang menolong hamba-hamba-Nya, dan yang menghancurkan sendiri kelompok-kelompok musuhnya.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6385. Muslim, no. 1344)

Dalam hadis ini terkandung contoh dan anjuran dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar bertakbir tiga kali tatkala melalui jalan mendaki dalam suatu perjalanan, dan anjuran agar berdoa dengan doa yang dipaparkan tatkala kembali dari safar (perjalanan) sama ada haji, ‘umrah, atau yang lainnya.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي، قَالَ: «عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ»، فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ، قَالَ: «اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ، وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

“Bahawa seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak melakukan safar (perjalanan), maka berikanlah wasiat (pesanan) untukku.”

Rasulullah pun bersabda:

“Hendaklah engkau sentiasa bertaqwa kepada Allah, dan bertakbirlah di setiap kali mendaki (atau melalui jalan yang menaik) dalam perjalanan.”

Ketika lelaki tersebut telah berpaling pergi, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (mendoakannya):

“Ya Allah, dekatkanlah untuknya jarak yang panjang, dan ringankanlah perjalanannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3445. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

Pada hadis ini terkandung anjuran agar mendapatkan nasihat dan pesanan dari orang yang berilmu ketika berhasrat untuk melakukan safar (perjalanan jauh). Pada hadis ini juga terkandung contoh dan anjuran dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar mendoakan kemudahan untuk orang yang hendak safar.

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا، وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا

“Apabila kami berjalan mendaki (menaik) maka kami bertakbir, dan jika kami melalui jalan menurun maka kami pun bertasbih.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2993)

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجُيُوشُهُ إِذَا عَلَوْا الثَّنَايَا كَبَّرُوا، وَإِذَا هَبَطُوا سَبَّحُوا

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan seluruh pasukan tenteranya apabila mendaki lereng bukit, mereka pun bertakbir. Manakala jika melalui jalan menurun, mereka pun bertasbih.” (Sunan Abi Dawud, no. 2599. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Pada hadis-hadis ini terkandung anjuran agar bertakbir ketika melalui jalan mendaki (atau menaik) dan bertasbih ketika melalui jalan menurun dalam perjalanan.

Dengan berdalilkan hadis-hadis ini, sebahagian ulama turut menganjurkan tatkala menaiki pesawat terbang agar bertakbir di kala pesawat tersebut sedang dalam posisi menaik ke udara dan bertasbih tatkala pesawat berada pada posisi menurun (yakni ketika sedang hendak mendarat).

Dari hadis Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكُنَّا إِذَا أَشْرَفْنَا عَلَى وَادٍ، هَلَّلْنَا وَكَبَّرْنَا ارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُنَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا، إِنَّهُ مَعَكُمْ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ، تَبَارَكَ اسْمُهُ وَتَعَالَى جَدُّهُ

“Kami pernah bersama-sama Rasulullah dalam suatu safar (ekspedisi perjalanan), ketika kami mendaki (atau melalui jalan menaik), kami pun bertahlil dan bertakbir dengan suara yang keras. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Wahai manusia, rendahkanlah diri kalian, kerana kalian kalian tidak menyeru kepada suatu yang pekak dan bukan pula kepada yang tiada, sesungguhnya Allah itu selalu bersama kalian dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat, Maha Berkah Nama-Nya dan Maha Tinggi Kemuliaan-Nya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2992. Muslim, no. 2704)

Hadis ini adalah dalil yang menunjukkan adab dalam berdzikir, yakni hendaklah berdzikir (bertakbir dan bertasbih ketika dalam perjalanan tersebut) dengan suara yang sederhana saja atau suara yang pertengahan, di mana tidak disukai berdzikir dengan suara yang lantang, keras, atau pun sampai menjerit-jerit.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

قال الطبري فِيهِ كَرَاهِيَة رَفْع الصَّوْت بِالدُّعَاءِ وَالذِّكْر، وَبِهِ قَالَ عَامَّة السَّلَف مِنْ الصَّحَابَة وَالتَّابِعِينَ اِنْتَهَى

“Ath-Thabari rahimahullah berkata, “Pada hadis ini menunjukkan dibencinya mengangkat suara tatkala berdoa dan dzikir.” Demikianlah umumnya yang dikatakan oleh para salaf dari kalangan sahabat dan tabi’in.” (Fath Al-Bari, 6: 135)

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdil ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

في هذا الحديث: النهي عن المبالغة في رفع الصوت بالذكر، لأنه سبحانه أقرب إلى الإنسان من حبل الوريد، وهو السميع البصير العليم الخبير. وأما الجهر بالذكر من غير مبالغة فهو مطلوب إذا أمن الرياء ولم يؤذ به نحو نائم أو مصلٍّ.

Pada hadis ini terkandung larangan dari berlebih-lebihan dalam mengangkat suara tatkala berdzikir, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sangat dekat terhadap insan melebihi dekatnya salur-salur darah mereka, yakni di mana Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, lagi Maha Mengetahui dengan sangat mendalam (terhadap pada hamba-Nya).

Adapun Al-Jahr (mengeraskan atau memperdengarkan) suara ketika berdzikir tanpa berlebih-lebihan, maka itu adalah dibolehkan jika memang aman dari rasa riya’ dan tidak mengganggu orang yang sedang tidur atau solat.” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 572)

10, Memanfaatkan waktu safar untuk memperbanyakkan doa-doa kebaikan.

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ لاَ تُرَدُّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ، وَدَعْوَةُ الصَّائِمِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ

“Tiga doa yang mustajab yang tidak tertolak adalah doa seorang ayah (untuk anaknya), doa orang yang berpuasa, dan doa orang yang sedang dalam safar.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 6392)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثلاث دعوات مستجابات لهن لا شك فيهن دعوة المظلوم ودعوة المسافر ودعوة الوالدين على ولدهما

“Tiga doa yang mustajab bagi mereka yang tiada syak (keraguan) padanya adalah doa orang yang terzalimi, doa orang yang sedang dalam safar, dan doa keburukan dari ibu dan bapa untuk anak-anak mereka.” (Al-Adab Al-Mufrad, no. 32)

Dalam lafaz Ibnu Majah,

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ

“Tiga doa yang mustajab bagi mereka yang tiada syak (keraguan) padanya adalah doa orang yang terzalimi, doa orang yang sedang dalam safar, dan doa kebaikan seorang ayah untuk anaknya.” (Sunan Ibn Majah, no. 3862)

Dalam riwayat yang lain, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

“Tiga doa yang mustajab yang tiada syak (keraguan) padanya adalah doa orang-orang yang terzalimi, doa orang yang dalam safar (perjalanan jauh), dan doa (keburukan) seorang ayah untuk anaknya.” (Musnad Ahmad, no. 10196, 10708, 10771. Al-Adab Al-Mufrad, no. 481. Sunan Abi Dawud, no. 1536. At-Tirmidzi, no. 1905. Shahih Ibn Hibban, no. 2699)

11, Doa (dzikir atau ucapan) ketika singgah di tempat-tempat persinggahan.

Dari hadis Khaulah bint Hakiim As-Sulamiyyah, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا نَزَلَ أَحَدُكُمْ مَنْزِلًا، فَلْيَقُلْ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، فَإِنَّهُ لَا يَضُرُّهُ شَيْءٌ حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْهُ

“Apabila salah seorang di antara kalian singgah di suatu tempat persinggahan, maka ucapkanlah:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari keburukan-keburukan makhluk yang diciptakan.”

Nescaya dia tidak akan dimudharatkan oleh sesuatu apa pun sampailah dia beredar dari tempat yang dia singgah tersebut.” (Shahih Muslim, no. 2708)

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdil ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

في هذا الحديث: استحباب التعوذ بصفات الله تعالى إذا نزل منزلًا في سفر، أو حضر. وأن من قال ذلك عصم من كل شر.

“Pada hadis ini terkandung anjuran agar berlindung dengan menggunakan sifat-sifat Allah Ta’ala ketika singgah di tempat-tempat persinggahan tertentu di waktu safar, atau ketika mukim (yakni ketika singgah tetapi bukan disebabkan safar).” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 797)

Kata Al-Imam Abu ‘Amr Yusuf Ibnu ‘Abdil Bar rahimahullah (Wafat: 463H):

وفي هذا الحديث دليل على أن كلام الله عز وجل غير مخلوق لأنه لا يستعاذ بمخلوق

“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa kalam Allah ‘Azza wa Jalla bukan makhluk kerana tidaklah boleh memohon perlindungan dengan makhluk.” (At-Tamhid lima fi Muwaththa’ min Al-Ma’ani wal Asanid, 24/110)

Demikian pula kata Al-Imam Abu Dawud rahimahullah (Wafat: 275H):

هَذَا دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ الْقُرْآنَ لَيْسَ بِمَخْلُوقٍ

“Ini adalah dalil bahawa al-Qur’an bukanlah makhluk.” (Sunan Abi Dawud, 4/235)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376H) menyebutkan tentang makna “… Dari keburukan makhluk yang diciptakan.”:

{ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ } وهذا يشمل جميع ما خلق الله، من إنس، وجن، وحيوانات، فيستعاذ بخالقها، من الشر الذي فيها،

“Dari keburukan makhluk yang diciptakan”, ini mencakup seluruh apa-apa (berupa makhluk) yang diciptakan oleh Allah, sama ada merupakan manusia, jin mahupun haiwan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah yang telah menciptakannya dari keburukan-keburukan (atau gangguan) yang ada pada makhluk-makhluk tersebut.” (Tafsir As-Si’di, m/s. 937)

Selain disunnahkan dibaca ketika singgah di tempat-tempat tertentu, doa (atau ucapan) tersebut turut disunnahkan agar dibaca di waktu petang hari sebagaimana di hadis yang lain. (lihat: Shahih Muslim, no. 2709)

12, Disunnahkan agar mengqasharkan solat ketika safar (dalam perjalanan).

Di antara rukhshah (keringanan) bagi para musafir, yakni bagi orang-orang yang sedang dalam safar (perjalanan jauh), adalah dia dianjurkan untuk mengqasharkan solat fardhunya, yakni meringkaskan solat yang empat raka’at menjadi dua raka’at sahaja. Dan rukhshah mengqasharkan solat ini merupakan rukhshah khusus bagi para musafir (orang-orang yang sedang dalam perjalanan).

Mengqasharkan solat ini merupakan rukhshah yang sangat dianjurkan untuk diambil berdasarkan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana Nabi tidak pernah meninggalkan rukhshah ini ketika melakukan safar. Maka, siapa yang tidak mengqasharkan solatnya ketika safar sebenarnya dia telah meninggalkan suatu amalan yang sangat utama, walaupun solatnya tetap sah. Dan sebahagian ulama berpandangan bahawa orang yang sengaja meninggalkan qashar ketika safar sebenarnya dia telah menyelisihi sunnah, yakni menyelisihi suatu yang lebih utama.

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

فَرَضَ اللَّهُ الصَّلَاةَ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحَضَرِ أَرْبَعًا وَفِي السَّفَرِ رَكْعَتَيْنِ وَفِي الْخَوْفِ رَكْعَةً

“Allah telah mewajibkan solat melalui lisan Nabi kalian empat (4) raka’at ketika hadir (ketika mukim atau menetap), dua (2) raka’at ketika safar (dalam perjalanan), dan satu (1) raka’at ketika dalam khauf (perang).” (Shahih Muslim, no. 687)

Dari hadis Umayyah bin ‘Abdillah bin Khalid bin Usaid, bahawa Ibnu ‘Umar berkata kepadanya:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَانَا وَنَحْنُ ضُلَّالٌ فَعَلَّمَنَا، فَكَانَ فِيمَا عَلَّمَنَا أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَرَنَا أَنْ نُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ فِي السَّفَرِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang kepada kami ketika kami tersesat (dalam suatu perjalanan), lalu beliau pun memberi tunjuk-ajar kepada kami. Di antara perkara yang beliau ajarkan kepada kami ketika itu adalah bahawa Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan kepada kita supaya melaksanakan solat dengan dua raka’at saja ketika sedang safar.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 457)

Dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah solat dengan empat raka’at (bagi Zuhur, Asar, dan Isyak) ketika dalam perjalanan. Begitu juga dengan Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Utsman. Mereka masing-masing melaksanakannya dua raka’at dua raka’at.

Kata Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ لاَ يَزِيدُ فِي السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ، وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَعُثْمَانَ كَذَلِكَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ

“Aku telah mendampingi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan aku dapati beliau sama sekali tidak pernah menambah raka’at pada safarnya melebihi dua rakaat (bagi Zuhur, ‘Ashr, dan Isyaa’). Demikian pula Abu Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1102)

Untuk penjelasan lanjut tentang qashr solat, bolehlah baca tulisan dengan judul “Solat Orang-orang Dalam Perjalanan.”

13, Dibolehkan menjamakkan dua solat ke dalam salah satu waktu solat.

Selain mengqasharkan solat, orang-orang yang sedang dalam safar juga boleh memilih untuk menjamakkan antara dua solat dalam masa yang sama jika mereka memerlukannya, yakni menjamakkan sama ada antara Zuhur dengan ‘Ashar, atau Maghrib dengan Isyak, pada salah satu di antara dua waktu pilihan (waktu solat yang pertama, atau waktu solat yang kedua).

Di mana rukhshah bolehnya menjamak dua solat ini merupakan rukhshah yang berbentuk pilihan ketika mana keadaan seseorang memerlukannya, yakni bukanlah suatu rukhshah yang bersifat khusus bagi safar sebagaimana anjuran mengqasharkan solat.

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَالْقَصْرُ سَبَبُهُ السَّفَرُ خَاصَّةً لَا يَجُوزُ فِي غَيْرِ السَّفَرِ وَأَمَّا الْجَمْعُ فَسَبَبُهُ الْحَاجَةُ وَالْعُذْرُ فَإِذَا احْتَاجَ إلَيْهِ جَمَعَ فِي السَّفَرِ الْقَصِيرِ وَالطَّوِيلِ وَكَذَلِكَ الْجَمْعُ لِلْمَطَرِ وَنَحْوِهِ وَلِلْمَرَضِ وَنَحْوِهِ وَلِغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ الْأَسْبَابِ فَإِنَّ الْمَقْصُودَ بِهِ رَفْعُ الْحَرَجِ عَنْ الْأُمَّةِ

“Sebab dibolehkan untuk mengqashar solat itu adalah khusus kerana safar. Tidak boleh mengqasharkan solat untuk selain dari safar.

Adapun menjamakkan solat, sebabnya adalah kerana wujudnya hajat (keperluan yang mendesak) dan ‘udzur (yang memberatkan). Jika seseorang perlu kepada jama’ di saat safar, maka dia boleh untuk menjamakkan solat sama ada pada safar yang pendek mahupun yang panjang. Dan demikianlah juga menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat dan seumpamanya, atau dengan sebab sakit dan yang seumpamanya dari selain yang demikian dari sebab-sebab (yang memberatkan). Kerana maksud dari tujuan dibolehkan jama’ itu adalah bagi mengangkat kesukaran dari ummah (kaum muslimin).” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/292)

Paparan dalil-dalil dibolehkan menjamakkan dua solat fardhu di saat safar telah dikemukakan di tulisan yang lain dengan judul, “Orang Musafir Boleh Jamakkan Solat.”

14, Dibolehkan melaksanakan solat sunnah (solat malam) di atas kenderaan.

Dari hadis Sa’id bin Yaasar, bahawa beliau berkata:

كُنْتُ أَسِيرُ مَعَ ابْنِ عُمَرَ بِطَرِيقِ مَكَّةَ، قَالَ سَعِيدٌ: فَلَمَّا خَشِيتُ الصُّبْحَ نَزَلْتُ، فَأَوْتَرْتُ، ثُمَّ أَدْرَكْتُهُ، فَقَالَ لِي ابْنُ عُمَرَ: أَيْنَ كُنْتُ؟ فَقُلْتُ لَهُ: خَشِيتُ الْفَجْرَ، فَنَزَلْتُ فَأَوْتَرْتُ، فَقَالَ عَبْدُ اللهِ: أَلَيْسَ لَكَ فِي رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُسْوَةٌ، فَقُلْتُ: بَلَى وَاللهِ، قَالَ: «إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُوتِرُ عَلَى الْبَعِيرِ

“Pernah suatu ketika aku melakukan perjalanan (malam hari) bersama Ibn ‘Umar di jalan Makkah. Lalu aku bimbang Subuh akan menjelang maka aku pun turun (dari haiwan tunggangannya) untuk melaksanakan witr, kemudian diteruskan dengan solat Subuh. Lalu Ibn ‘Umar menegurku:

“Kenapa dengan engkau?”

Aku katakan padanya, “Aku bimbang fajr (Subuh) akan menjelang, maka aku pun turun untuk solat witr. Lalu ‘Abdullah (Ibnu ‘Umar) pun berkata:

“Bukankah pada diri Rasulullah telah ada contoh teladan.” Maka aku pun jawab, “Sungguh demi Allah, itu benar.”

Ibnu ‘Umar pun berkata, “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu melaksanakan witr di atas untanya.” (Shahih Muslim, no. 700)

Di hadis yang lain dari Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَبِّحُ عَلَى الرَّاحِلَةِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ، وَيُوتِرُ عَلَيْهَا، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يُصَلِّي عَلَيْهَا الْمَكْتُوبَةَ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melaksanakan solat sunnah di atas untanya dengan menghadap ke arah mana pun untanya berjalan, beliau juga melaksanakan witr di atas untanya, tetapi beliau tidak pernah melaksanakan solat fardhu di atasnya.” (Shahih Muslim, no. 700)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

في هذه الأحاديث جواز التنفل على الراحلة في السفر حيث توجهت وهذا جائز بإجماع المسلمين وشرطه أن لا يكون سفر معصية

“Pada hadis-hadis ini menjelaskan bolehnya melaksanakan solat sunnah di atas kenderaan ketika dalam safar (perjalanan) walau ke mana pun arah kederaan tersebut berjalan. Dan ini dibenarkan dengan ijma’ kaum muslimin dengan syarat bahawa perjalanan tersebut tidak bertujuan untuk melakukan maksiat.” (Syarh Shahih Muslim, 5/210-211)

15, Disunnahkan agar segera pulang dari safar sebaik selesai tugas di dalam safar.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَنَوْمَهُ، فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ، فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

“Safar (berada dalam perjalanan) itu adalah potongan dari adzab, ia menghalangi kalian dari mendapat makan, minum dan tidur (yang selesa). Maka apabila kalian telah menyelesaikan tujuan safar kalian, hendaklah dia segera pulang ke pangkuan keluarganya.” (Muttafaqun ‘alaih; Shahih Al-Bukhari, no. 1804. Muslim, no. 1927)

Maksudnya, safar itu biasanya diiringi dengan pelbagai halangan dan kesukaran yang meletihkan, sehingga mengganggu makan, minum dan waktu tidur. Maka apabila selesai saja tujuan safar, disunnahkan agar segera pulang dan kembali ke pangkuan keluarga.

16, Doa yang diucapkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebaik melihat negerinya ketika kembali dari safar.

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَقْبَلْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَا وَأَبُو طَلْحَةَ، وَصَفِيَّةُ رَدِيفَتُهُ عَلَى نَاقَتِهِ، حَتَّى إِذَا كُنَّا بِظَهْرِ الْمَدِينَةِ، قَالَ: «آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ»، فَلَمْ يَزَلْ يَقُولُ ذَلِكَ حَتَّى قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ

“Kami pernah kembali (ke Madinah) bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, aku bersama-sama Abu Thalhah (di atas tunggangan), manakala Shofiyyah dibonceng di belakang unta Rasulullah. Sehingga apabila kami tiba memasuki pinggir Madinah, Rasulullah mengucapkan:

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

“Kami kembali, kami bertaubat, kami tetap mengabdikan diri (kepada Allah), dan kepada Rabb kami-lah puji-pujian.”

Beliau berterusan mengulang-ulang ucapan tersebut sehinggalah kami telah masuk ke Madinah.” (Shahih Muslim, no. 1345)

17, Disunnahkan memasuki masjid terdekat dan solat dua rakaat di dalamnya sebaik kembali dari safar.

Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma berkata:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، فَلَمَّا قَدِمْنَا المَدِينَةَ قَالَ لِي: ادْخُلِ المَسْجِدَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ

“Aku pernah bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di suatu safar, ketika sebaik kembali tiba di Madinah beliau pun berkata kepada-ku:

“Masuklah ke masjid dan solatlah dua raka’at.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3087)

Dari hadis Ka’ab radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَدِمَ مِنْ سَفَرٍ، ضُحًى دَخَلَ المَسْجِدَ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila kembali dari safar, beliau akan terlebih dahulu masuk ke masjid lalu solat dua raka’at sebelum beliau duduk (menemui orang ramai).” (Shahih Al-Bukhari, no. 3088. Muslim, no. 2769)

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdil ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

في هذا الحديث: استحباب الصلاة في المسجد عند قدومه ليبدأ بتعظيم بيت الله قبل بيته، وليقوم بشكر نعمة الله عليه في سلامته

“Pada hadis ini terkandung anjuran agar solat di masjid terlebih dahulu sebaik kembali tiba dari safar, agar ia memulakan dengan mengagungkan rumah Allah sebelum kembali ke rumahnya, serta sebagai bentuk syukur atas nikmat-nikmat dan keselamatan yang diberikan Allah ke atas dirinya.” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 577)

18, Disunnahkan agar kembali ke pangkuan keluarganya di waktu siang, bukan di waktu malam.

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَطَالَ أَحَدُكُمُ الغَيْبَةَ فَلاَ يَطْرُقْ أَهْلَهُ لَيْلًا

“Jika salah seorang daripada kalian telah pergi (melakukan safar) dalam jangka waktu yang lama, maka janganlah dia kembali ke pangkuan keluarganya di waktu malam (secara tiba-tiba).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5244)

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَطْرُقَ أَهْلَهُ لَيْلًا

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang seseorang dari mendatangi keluarganya di malam hari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1801)

Pada hadis ini terkandung penjelasan dibencinya perbuatan kembali ke pangkuan keluarganya secara tiba-tiba di waktu malam sebaik pulang dari safar. Namun jika dia telah mengkhabarkan kepulangannya lebih awal kepada keluarganya tersebut, maka tidaklah mengapa.

19, Doa dan ucapan ketika masuk ke dalam rumah.

Apabila masuk ke dalam rumah, hendaklah mengucapkan salam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَإِذَا دَخَلْتُمْ بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

“Maka apabila engkau memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini), hendaklah engkau memberi salam (kepada penghuninya) yang merupakan salam atas dirimu sendiri, sebagai bentuk penghormatan (yang ditetapkan) dari sisi Allah, yang diberkati lagi baik.” (Surah An-Nuur, 24: 61)

Dari hadis Abu Malik Al-Asy’ari, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ فَلْيَقُلْ

“Jika seseorang (lelaki) masuk ke dalam rumahnya, hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu tempat masuk yang baik dan tempat keluar yang baik. Dengan menyebut nama Allah, kami masuk (rumah) dan dengan menyebut nama Allah kami keluar.”

ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ

Setelah itu ucapkanlah salam kepada ahlinya (keluarganya).” (Sunan Abi Dawud, no. 5096. Bab: Apa Yang Diucapkan Seseorang Ketika Masuk Ke Rumah. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepadaku:

يَا بُنَيَّ إِذَا دَخَلْتَ عَلَى أَهْلِكَ فَسَلِّمْ يَكُونُ بَرَكَةً عَلَيْكَ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِكَ

“Wahai anakku, apabila engkau masuk kepada (rumah) keluargamu, maka ucapkanlah salam, nescaya ia akan menjadi barakah ke atas engkau dan ke atas ahli rumahmu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2698. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَرَجُلٌ دَخَلَ بَيْتَهُ بِسَلَامٍ فَهُوَ ضَامِنٌ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Dan seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan ucapan salam, maka dia mendapat jaminan (jagaan) Allah ‘Azza wa Jalla.” (Sunan Abi Dawud, no. 2494. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Adapun jika rumah dalam keadaan kosong atau tidak berpenghuni, maka tetap disunnahkan agar memberikan salam.

Sebagaimana kata Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

إِذَا دُخِلَ الْبَيْتُ غَيْرُ الْمَسْكُونِ، فليقل: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ

“Apabila seseorang memasuki rumah yang tidak berpenghuni, maka ucapkanlah:

السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ

“Salam bagi diri kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.” (Al-Adabul Mufrad oleh Al-Bukhari, no. 1055)

Wallaahu a’lam.