Dibenci Menyusukan Bayi Kepada Perempuan-perempuan Hamqaa’

www.ilmusunnah.com

Di antara hak seorang anak kecil adalah mendapatkan penyusuan yang sempurna daripada ibunya. Dengan itu, hendaklah seorang ibu sentiasa memberikan perhatian yang penuh terhadap anak kecilnya dalam perkara penyusuan.botol-susu

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberikan bimbingan dan penekanan kepada para ibu agar menyusukan anak-anak mereka untuk selama tempoh dua tahun penuh sebagai bentuk penyusuan sempurna.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan.” (Surah al-Baqarah, 2: 233)

Seorang anak kecil akan dapat merasakan perhatian dan kasih-sayang seorang ibu ketika sedang menyusu, lebih-lebih lagi di saat ia sangat memerlukannya dan susu tersebut merupakan makanan terbaik buatnya.

Dalam masa sama, amalan penyusuan oleh ibu akan memberikan manfaat yang besar terhadap kesihatan si ibu itu sendiri, baik terhadap kesihatan rahimnya, kesimbangan hormon, kerehatan, dan kesihatan untuk organ-organ dalam sistem pencernaannya.

Apatah lagi apabila amalan penyusuan secara alami (semula jadi) ini sangat ditekankan dan mendapat bimbingan wahyu. Sehingga di dalam Islam, bagi seorang ibu yang menyusukan dibolehkan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan jika dengan sebab penyusuannya tersebut akan mempengaruhi amalan penyusuannya tersebut. Dari sini menjelaskan betapa amalan penyusuan itu harus lebih didahulukan dan diutamakan berbanding puasa fardhu di bulan Ramadhan.

Dalam amalan penyusuan, ia tidak hanya tertumpu pada perbuatan menumpahkan air susu ke mulut si bayi, tetapi Islam memberikan bimbingan agar ia disalurkan secara semula jadi, dengan penuh kasih-sayang, dan dianjurkan agar anak kecil (bayi) disusukan oleh ibu yang penyayang lagi baik akhlaknya. Bahkan terdapat hadis-hadis yang menunjukkan larangan menyusukan bayi kepada perempuan-perempuan yang buruk perangai dan akhlaknya.

Dari Ziyaad As-Sahmi, beliau berkata:

نهى رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أن تُسترضَعَ الحَمْقاءُ فإنَّ اللَّبنَ يشبِه

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang menyusukan (bayi) kepada Al-Hamqaa’, kerana susu itu menyerupainya.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 15682. Kata Al-Baihaqi, mursal)

Yakni,

خفيفة العقل

“Perempuan yang lemah akal.” (Subul As-Salam, 3/218)

 

Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أن رسول الله نهى عن رضاع الحمقاء

“Bahawa Rasulullah melarang menyusukan anak (bayi) kepada Al-Hamqaa’ (perempuan yang dungu).” (Al-Mu’jam Al-Awsath, no. 65)

Dalam riwayat yang lain dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لا تسترضعوا الورهاء قال الأصمعي سمعت يونس بن حبيب يقول الورهاء الحمقاء

“Janganlah kalian menyusukan (bayi kalian) kepada Al-Warhaa’.”.

Al-Ashma’i berkata, “Aku mendengar Yunus bin Habib berkata, Al-Warhaa’ adalah Al-Hamqaa’ (wanita yang dungu).” (Al-Mu’jam Ash-Shaghir oleh Ath-Thabrani, no. 137. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Berdasarkan riwayat-riwayat hadis tersebut, sebahagian ulama pun berpendapat bahawa makruh (dibenci dan dilarang) perbuatan menyusukan anak kepada perempuan-perempuan yang musyrik, fajir, dan lemah akal.

Antaranya sebagaimana kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):

كَرِهَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الِارْتِضَاعَ بِلَبَنِ الْفُجُورِ وَالْمُشْرِكَاتِ.. . وَيُكْرَهُ الِارْتِضَاعُ بِلَبَنِ الْحَمْقَاءِ، كَيْلًا يُشْبِهَهَا الْوَلَدُ فِي الْحُمْقِ، فَإِنَّهُ يُقَالُ: إنَّ الرَّضَاعَ يُغَيِّرُ الطِّبَاعَ

“Abu ‘Abdillah (Imam Ahmad bin Hanbal) memakruhkan menyusukan dengan susu perempuan-perempuan yang fajir atau yang musyrik…

… Dan turut dimakruhkan menyusukan dengan susu Al-Hamqaa’ (perempuan yang dungu atau lemah akal), dibimbangi si anak menyerupainya pada kedunguannya. Kerana dikatakan, “Bahawasanya penyusuan dapat mengubah karetor (tabiat).” (Al-Mughni, 8/194)

Dihikayatkan dari Al-Qadhi, beliau berkata:

أن من ارتضع من امرأة حمقاء خرج الولد أحمق، ومن ارتضع من سيئة الخلق تعدى إليه، ومن ارتضع من بهيمة كان بليدا كالبهيمة

“Bahawa siapa yang menyusu dari hamqaa’ (wanita dungu), maka akan keluar anak yang ahmaq (bodoh). Siapa yang menyusu kepada wanita yang buruk akhlaknya, jadilah ia orang yang kuat melawan (akan orang tuanya). Dan siapa yang menyusu kepada haiwan ternakkan, jadilah ia berperangai seperti haiwan.” (Al-Inshaaf fi Ma’rifah Ar-Raajih, 9/258. Hasyiyah Ar-Raudh Al-Murbi’ Syarh Zad Al-Mustaqni’, 7/106)

Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1152H):

ووجه النهي أن للرضاع تأثيرا في الطباع فيختار من لا حماقة فيها ونحوها

“Sebab larangan di sini kerana penyusuan memiliki kesan (pengaruh) dalam pembentukan karektor. Maka hendaklah dipilih dari kalangan ibu yang baik (yang bukan hamqaa’) bagi tujuan penyusuan, dan semisalnya.” (Subul As-Salam, 3/218)

Lalu bagaimana dengan penyusuan anak-anak dengan menggunakan susu-susu formula (buatan) saat ini yang begitu berleluasa, yang dikatakan berasal dari susu-susu haiwan, atau malah tidak dapat dipastikan sama-sekali? Sehingga penyusuan secara alami menjadi terabai dan diremehkan? [Baca artikel terdahulu, https://ilmusunnah.com/ingatan-agar-tidak-menahan-dari-menyusukan-anak/]

Sebagaimana kata Asy-Syaikh ‘Abdussalam bin ‘Abdillah As-Sulaiman hafizhahullah ketika mengomentari perkataan para imam di atas tersebut dengan katanya:

إن الرضـاع يـغير الطـباع فكيـف بأصـحاب الحـليب الصـناعي الـذي لا يـدري مصـدره و لا مـن صنـعه .

“Bahawasanya penyusuan itu mengubah (mempengaruhi) tabi’at (karektor), lalu bagaimana dengan anak-anak kecil yang dibiasakan minum susu-susu buatan (susu formula) yang tidak diketahui sumbernya, dan tidak pula diketahui siapa yang memformulasikannya?” (Tarbiyah Al-Awlaad fi Dhaw-il Kitaabi wa As-Sunnah, m/s. 28 – Cet. 1 (2011M), Daar Al-Imam Ahmad (Mesir))

Kata beliau juga:

ولعل من أسباب عدم عطف كثير من الأبناء على أمهاتهم، وكثرة العقوق في هذا العصر عدم الرضاعة الطبيعية، وكثرة الرضاعة الصناعية.

“Boleh jadi di antara sebab hilangnya kelemah-lembutan anak-anak kecil terhadap ibu-ibu mereka, dan demikian pula dengan banyaknya kederhakaan pada masa ini adalah berpunca dari meninggalkan amalan penyusuan yang tabi’i (secara natural), dan disebabkan banyaknya amalan penyusuan secara buatan (formulasi).” (Tarbiyah Al-Awlaad fi Dhaw-il Kitaab wa As-Sunnah, m/s. 27-28 – Cet. 1 (2011M), Daar Al-Imam Ahmad (Mesir))

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest