Solat Orang-orang Dalam Perjalanan
(Qashar Solat Ketika Safar)

www.ilmusunnah.com

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ الْعَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ، فَإِذَا قَضَى أَحَدُكُمْ نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ، فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

“Safar adalah potongan dari adzab, ianya menghalangi kalian dari makanannya, minumannya, dan tidurnya. Maka apabila salah seorang dari kalian telah menunaikan keperluannya, maka hendaklah dia segera pulang kepada keluarganya.” (Shahih Al-Bukhari, 1804. Muslim, no. 1927)

Namun, di balik kesulitan pasti diiringi dengan kemudahan. Demikianlah yang telah ditetapkan pada safar (perjalanan jauh). Bagi orang-orang yang safar dari kalangan kaum muslimin itu diturunkan untuk mereka beberapa keringanan dalam ibadah.

Di antara bentuk keringanan untuk mereka adalah rukhshah untuk mengqashar (meringkas)kan solat. Yakni solat yang empat rakaat diringkas menjadi 2 rakaat sahaja.

Rukhshah mengqasharkan solat ini merupakan hadiah khusus dari Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk para hambanya di dalam safar.

Ketika mula-mula solat difardhukan ia dilaksanakan dengan dua rakaat masing-masing. Tetapi kemudian menjadi empat rakaat bagi fardhu Zuhur, Asar, dan Isyak setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berhijrah, melainkan sekiranya berada dalam perjalanan (safar) ia tetap dilaksanakan dengan dua rakaat masing-masing.

Sahabat Nabi; Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

فَرَضَ اللَّهُ الصَّلَاةَ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحَضَرِ أَرْبَعًا وَفِي السَّفَرِ رَكْعَتَيْنِ وَفِي الْخَوْفِ رَكْعَةً

“Allah telah mewajibkan solat melalui lisan Nabi kamu empat rakaat ketika hadir (ketika bermukim atau menetap), dua rakaat ketika dalam perjalanan (safar), dan satu rakaat ketika dalam peperangan (khauf).” (Shahih Muslim, no. 687)

Dari Umayyah bin ‘Abdillah bin Khalid bin Usaid, bahawa Ibnu ‘Umar berkata kepadanya:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَانَا وَنَحْنُ ضُلَّالٌ فَعَلَّمَنَا، فَكَانَ فِيمَا عَلَّمَنَا أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَمَرَنَا أَنْ نُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ فِي السَّفَرِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang kepada kami ketika kami tersesat (dalam suatu perjalanan), lalu beliau pun mengajari kami. Termasuk yang beliau ajarkan kepada kami tersebut adalah bahawa Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan kepada kita supaya melaksanakan solat dengan dua raka’at saja (yakni diqasharkan) ketika sedang safar.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 457)

Dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma menyebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah solat dengan empat rakaat (bagi Zuhur, Asar, dan Isyak) ketika dalam perjalanan. Begitu juga dengan Abu Bakar, ‘Umar, dan ‘Utsman. Mereka masing-masing melaksanakannya dua rakaat dua rakaat.

Kata Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ لاَ يَزِيدُ فِي السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ، وَأَبَا بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَعُثْمَانَ كَذَلِكَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ

“Aku telah mendampingi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan aku dapati beliau sama sekali tidak pernah menambah rakaat pada safarnya melebihi dua rakaat (bagi Zuhur, ‘Ashr, dan Isyak). Demikian pula Abu Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1102)

Dari Bisyr bin Harb, bahawa Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «إِذَا خَرَجَ مِنْ هَذِهِ الْمَدِينَةِ لَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى يَرْجِعَ إِلَيْهَا

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar saja dari Madinah ini, beliau tidak akan menambah raka’at-raka’at solatnya lebih dari dua raka’at (kecuali Maghrib) sampailah beliau kembali semula ke Madinah.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1067)

Selain itu, Ibnu ‘Umar juga menyebutkan:

صَلاَةِ السَّفَرِ رَكْعَتَانِ مَنْ خَالَفَ السُّنَّةَ كَفَرَ

“Solat dalam perjalanan itu adalah dua rakaat (bagi Zuhur, ‘Ashr, dan Isyak). Sesiapa yang menyelisihi sunnah maka ia termasuk orang yang ingkar (kufur).” (Majma’ Az-Zawa’id, no. 2936. Dinilai sahih oleh Al-Haitsami, Ash-Shan’ani, dan Al-Albani)

Maka dari itu, seharusnya kita berusaha untuk tetap melaksanakan solat ketika safar dengan tidak melebihi dua rakaat bagi setiap satunya dari fardhu Zuhur, ‘Ashr, dan ‘Isyak. Ini adalah sebahagian dari rangka mengikuti Nabi dan usaha merealisasikan sunnah-sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam buat kita semua. Dan ia juga merupakan sedekah daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada para hamba-Nya yang beriman sebagaimana disebutkan dalam hadis berkaitan.

Ya’la bin Umayyah radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepada ‘Umar:

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ: {لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ، إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا} فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ، فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتُ مِنْهُ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ «صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

“Aku pernah bertanya kepada ‘Umar bin Al-Khaththab tentang ayat, “tidaklah mengapa kamu meng-qashar solat(mu), jika kamu takut diserang orang-orang kafir…” Sedangkan manusia sekarang sudah dalam keadaan aman?”

Lalu jawab ‘Umar:

“Aku juga pernah merasa hairan seperti yang egkau rasa, tetapi aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang hal tersebut, lalu beliau pun bersabda:

Ia adalah suatu sedekah yang telah Allah sedekahkan untuk kalian. Oleh itu, terimalah sedekah-Nya.”.” (Musnad Ahmad, no. 174. Shahih Muslim, no. 686. Sunan Abi Dawud, no. 1199)

Adapun bagi solat Subuh Maghrib, telah dinukilkan ijma’ bahawa padanya tidak ada rukhshah untuk mengqasharkannya.

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 520H) berkata:

(وَالصُّبْحُ وَالْمَغْرِبُ لَا يُقْصَرَانِ، وَهَذَا لَا خِلَافَ فِيهِ) . قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ: أَجْمَعَ أَهْلُ الْعِلْمِ عَلَى أَنْ لَا يُقْصَرَ فِي صَلَاةِ الْمَغْرِبِ وَالصُّبْحِ، وَأَنَّ الْقَصْرَ إنَّمَا هُوَ فِي الرُّبَاعِيَّةِ

“Adapun solat Subuh dan Maghrib, ianya tidak diqasharkan, dan ini tidak diperselisihkan padanya. Telah berkata Ibn Al-Mundzir, “Telah ijma’ ahli ilmu (para ulama) bahawa tidak ada qashar untuk solat Maghrib dan Subuh, kerana qashar itu hanya bagi solat-solat ruba’iyyah (solat yang empat raka’at).” (Al-Mughni, 2/197)

Jarak Perjalanan Dibolehkan Qasar

Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang dinamakan sebagai safar (perjalanan jauh) yang membolehkan qashar solat mestilah dengan jumlah jarak tertentu, dan yang paling masyhur adalah tidak kurang dari 80 batu (atau disebut dua marhalah).

Manakala sebahagian ulama menegaskan bahawa dalam mengqasarkan solat, tiada batas perjalanan yang khusus telah ditetapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita semua, dan tidak pula ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maknanya, yang dinamakan sebagai safar itu tidaklah dihadkan dengan jumlah jarak tertentu.

Maka, perkara ini dikembalikan kepada makna safar (perjalanan) sebagaimana yang difahami oleh para sahabat Rasulullah ketika itu bersama-sama dengan kaedah bahasa arab tentang makna safar itu sendiri.

Kemudian, bilakah waktu solat boleh mula diqasharkan sebaik perjalanan dimulakan? Ringkasnya, solat diqasharkan adalah apabila sebaik sahaja kita telah keluar dari kawasan kebiasaan (secara uruf) untuk safar seperti keluar dari kampung halaman atau wilayah kebiasaan tempat kita bermu’amalah, bermukim (menetap), atau menjalani aktiviti seharian. Sebaik sahaja keluar dari wilayah kebiasaan kita tersebut dengan tujuan melakukan perjalanan (yang dikenal sebagai safar, atau perjalanan di luar kebiasaan) atas urusan tertentu, maka ia telah dikira sebagai safar (perjalanan) yang menuntut kita atau membolehkan kita supaya melaksanakan solat secara qashar. Pendapat ini dikuatkan antaranya oleh Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah, Ibnu Hazm dan Ibnul Qayyim rahimahumullah dengan didukung oleh dalil-dalil hadis dan atsar.

Antaranya sebagaimana dalam sebuah hadis Anas radhiyallahu ‘anhu menyebutkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَرَجَ مَسِيرَةَ ثَلَاثَةِ أَمْيَالٍ أَوْ ثَلَاثَةِ فَرَاسِخَ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila telah keluar dalam jarak tiga batu atau tiga farsakh, beliau melaksanakan solatnya dua rakaat.” (Shahih Muslim, no. 691)

Tiga batu adalah bersamaan lebih kurang enam kilometer, manakala tiga farsakh adalah sejauh 18 kilometer lebih kurang.

Dalam hadis yang lain dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا، وَبِذِي الحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ

“Aku pernah solat Zuhur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di Madinah empat rakaat, manakala di Dzul Khulaifah dua rakaat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1089)

Dzul Khulaifah pada hari ini dikenal juga sebagai Birr ‘Ali dan jaraknya dari Madinah hanya sekitar tiga batu (enam kilometer).

Dalam riwayat yang lain terdapat pula penjelasan yang menunjukkan apabila Rasulullah keluar sahaja dari Madinah, maka beliau akan mengqasarkan solatnya. Sebahagian ulama berhujah bahawa dari nash ini antaranya, menunjukkan bahawa jarak bukanlah penentu untuk mengqasarkan solat. Tetapi sebaliknya, apa jua yang dinamakan sebagai safar (perjalanan jauh secara uruf, atau keluar dari perjalanan kebiasaan), maka ia termasuk perjalanan yang dibolehkan untuk mengqasarkan solat padanya.

Kata Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

ولم يحدَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لأمته مسافة محدودة للقصر والفطر، بل أطلق لهم ذلك في مُطلق السفر والضرب في الأرض، كما أطلق لهم التيمم في كل سفر، وأما ما يُروى عنه من التحديد باليوم، أو اليومين، أو الثلاثة، فلم يصح عنه منها شيء البتة، والله أعلم

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah menetapkan (atau menghadkan) batasan jarak tertentu (dalam safar) bagi membolehkan seseorang untuk mengqasarkan solat dan meninggalkan puasa. Sebaliknya persoalan ini disebutkan secara umum bagi sesiapa sahaja yang sedang dalam keadaan safar dan berjalan di muka bumi (bermusafir). Adapun riwayat yang dinukil daripada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berupa pembatasan tempoh dengan satu hari, atau dua hari, atau tiga hari, maka semua itu adalah tidak sahih sama sekali. Wallahu a’lam.” (Zaadul Ma’ad oleh Ibnu Al-Qayyim, 1/481)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menjelaskan:

وَلَمْ يَحُدَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَافَةَ الْقَصْرِ بِحَدِّ لَا زَمَانِيٍّ وَلَا مَكَانِيٍّ وَالْأَقْوَالُ الْمَذْكُورَةُ فِي ذَلِكَ مُتَعَارِضَةٌ لَيْسَ عَلَى شَيْءٍ مِنْهَا حُجَّةٌ وَهِيَ مُتَنَاقِضَةٌ وَلَا يُمْكِنُ أَنْ يَحُدَّ ذَلِكَ بِحَدٍّ صَحِيحٍ. فَإِنَّ الْأَرْضَ لَا تُذْرَعُ بِذَرْعِ مَضْبُوطٍ فِي عَامَّةِ الْأَسْفَارِ وَحَرَكَةُ الْمُسَافِرِ تَخْتَلِفُ. وَالْوَاجِبُ أَنْ يُطْلَقَ مَا أَطْلَقَهُ صَاحِبُ الشَّرْعِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيُقَيَّدَ مَا قَيَّدَهُ فَيَقْصُرُ الْمُسَافِرُ الصَّلَاةَ فِي كُلِّ سَفَرٍ وَكَذَلِكَ جَمِيعُ الْأَحْكَامِ الْمُتَعَلِّقَةِ بِالسَّفَرِ مِنْ الْقَصْرِ وَالصَّلَاةِ عَلَى الرَّاحِلَةِ وَالْمَسْحِ عَلَى الْخُفَّيْنِ .

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak memberikan had batasan jarak safar, tidak pula memberikan had batasan waktu, dan tidak pula menghadkan tempat. Pelbagai pendapat yang dikemukakan dalam permasalahan ini saling ta’arudh (bertentangan antara satu sama lain) dan dalil-dalil juga tidak konsisten sehingga tidak ada padanya hujah (dalil) yang boleh menjelaskan had batasan yang sahih sebagai pedoman (dalam masalah ini).

Bagi menentukan batasan spesifik suatu perjalanan yang dapat disebut sebagai safar (yang membolehkan rukhshah berkaitan – pent.) amatlah sukar kerana keadaan bumi sendiri sukar untuk diukur (jaraknya) dengan ukuran yang spesifik bagi kebanyakan safar secara umum, dan pergerakan musafir pun saling berbeza-beza.

Maka yang wajib, hendaklah membiarkannya muthlaq sebagaimana telah dimuthlakkan oleh Shahibusy Syari’ (pembawa syari’at, yakni Nabi) Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan mengikat (atau membatasi) sesuatu dengan apa yang telah ditentukan (dibataskan). Maka hendaklah setiap musafir (orang-orang yang safar) mengqasharkan solatnya di setiap perjalanan yang dikenal sebagai safar. Demikianlah pula dengan seluruh hukum-hakam yang terkait dengan safar seperti mengqasharkan solat, solat di atas kenderaan, dan mengusap dua khuff (ketika wudhu’).” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/12-13)

Berapa Hari Dibolehkan Qasar?

Ulama berbeza-beza dalam perkara ini. Namun, pendapat yang terpilih adalah tidak ada pengkhususan atau pembatasan tempoh dengan menetapkan bilangan hari tertentu bagi membolehkan solat secara qasar. Selagi mana kita masih dalam safar (perjalanan) dan tidak pernah berniat mukim (atau menetap), maka selagi itulah kita disunnahkan untuk terus melaksanakan solat secara qasar sehingga selesainya urusan (safar). Ini sebagaimana kata Ibnul Qayyim di atas tadi.

Di antara dalil-dalil yang menjadi landasan para ulama dalam hal ini adalah sebagaimana berikut.

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِسْعَةَ عَشَرَ يَقْصُرُ، فَنَحْنُ إِذَا سَافَرْنَا تِسْعَةَ عَشَرَ قَصَرْنَا، وَإِنْ زِدْنَا أَتْمَمْنَا

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berada dalam safar selama sembilan belas hari di mana beliau sentiasa mengqashar solatnya. Maka kami pun memutuskan apabila berada dalam safar selama sembilan belas hari, maka kami tetap mengqasharkan solat. Dan jika lebih dari itu, kami menyempurnakan solat (yakni tidak lagi mengqashar).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1080)

Dan ini termasuk ijtihad (pendapat) salah seorang sahabat Nabi, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma.

Dari Yahya bin Ishaq, Anas radhiyallahu ‘anhu berkata:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الْمَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى رَجَعَ»، قُلْتُ: كَمْ أَقَامَ بِمَكَّةَ؟ قَالَ: «عَشْرًا

“Kami pernah keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari Madinah ke Makkah, beliau solat dua rakaat dua rakaat sampailah kembali semula (ke Madinah).

Aku bertanya (kepada Anas), “Berapa lama engkau melaksanakan solat secara qashar di Makkah?” Jawab Anas, “Selama dua puluh hari.” (Shahih Muslim, no. 693)

Dalam hadis yang lain dari Jaabir bin ‘Abdillah, beliau berkata:

أَقَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَبُوكَ عِشْرِينَ يَوْمًا يَقْصُرُ الصَّلَاةَ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berada di Tabuk selama dua puluh hari dan beliau sentiasa mengqasharkan solat.” (Musnad Ahmad, no. 14139. Sunan Abi dawud, no. 1235)

Dari Hafs bin ‘Ubaidillah bin Anas, beliau berkata:

أَنَّ أَنَسًا أَقَامَ بِالشَّامِ مَعَ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ مَرْوَانَ شَهْرَيْنِ يُصَلِّي صَلَاةَ الْمُسَافِرِ

“Bahawa Anas pernah berada di Syam bersama ‘Abdul Malik bin Marwan selama dua bulan, dan beliau melaksanakan solat sebagai musafir (yakni diqasharkan).” (As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 5479)

Anas bin Malik berkata:

أَنَّ أَصْحَابَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامُوا بِرَامَهُرْمُزَ تِسْعَةَ أَشْهُرٍ يَقْصُرُونَ الصَّلَاةَ

“Bahawa para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berada di Ramahurmuz selama tujuh bulan di mana mereka tetap mengqasharkan solat.” (As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 5480)

Dari Nafi’, beliau berkata:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ أَقَامَ بِأَذْرَبِيجَانَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ يَقْصُرُ الصَّلَاةَ قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: «إِذَا أَزْمَعْتَ إِقَامَةً فَأَتِمَّ

“Bahawa Ibn ‘Umar berada di Azerbaijaan selama 6 bulan dan beliau tetap mengqasharkan solat. Dan beliau berkata, “Apabila telah memutuskan untuk menetap, maka solat dikerjakan secara tamam (sempurna).” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 4339)

Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah menyebutkan tambahan dari riwayat yang lain:

أن ابن عمر أقام بأذربيجان ستة أشهر يقصر الصلاة وقد حال الثلج بينه وبين الدخول

“Bahawa Ibn ‘Umar berada di Azerbaijaan selama 6 bulan dan beliau tetap mengqasharkan solat. Bahawa ketika itu salji turun menutupi di antara jalan-jalan di sana.” (lihat: Irwa’ Al-Ghalil, 3/27-28)

Para ulama berbeza-beza pendapat apabila seseorang menetap di suatu tempat dalam safarnya. Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 278H) menyebutkan (setelah menyebutkan pelbagai pendapat ulama sebelumnya):

وَأَمَّا إِسْحَاقُ فَرَأَى أَقْوَى المَذَاهِبِ فِيهِ حَدِيثَ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: لِأَنَّهُ رَوَى عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ تَأَوَّلَهُ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا أَجْمَعَ عَلَى إِقَامَةِ تِسْعَ عَشْرَةَ أَتَمَّ الصَّلَاةَ. ثُمَّ أَجْمَعَ أَهْلُ العِلْمِ عَلَى أَنَّ المُسَافِرَ يَقْصُرُ مَا لَمْ يُجْمِعْ إِقَامَةً، وَإِنْ أَتَى عَلَيْهِ سِنُونَ

“Adapun Ishaq (Ibn Rahawayh) berpendapat bahawa mazhab yang paling kuat dalam masalah ini adalah hadis Ibnu ‘Abbas, beliau berkata, kerana beliau telah meriwayatkan dari Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau menafsirkannya setelah Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa jika dipastikan telah menetap sembilan belas hari maka solatnya adalah secara tamam (sempurna). Namun kemudian, para ahli ilmu telah sepakat bahawa seorang musafir tetap boleh mengqashar solatnya selagi tidak ada kesepakatan atau keinginan untuk menetap, sekalipun dia telah berada dalam safar (perjalanan) selama bertahun-tahun lamanya.” (Sunan At-Tirmidzi, 2/431, di hadis no. 548)

Solat Sunnah Ketika Safar

Dari atsar Wabarah bin ‘Abdirrahman, beliau berkata:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ «لَا يَزِيدُ فِي السَّفَرِ عَلَى رَكْعَتَيْنِ، لَا يُصَلِّي قَبْلَهَا، وَلَا بَعْدَهَا»، فَقِيلَ لَهُ: مَا هَذَا؟ قَالَ: «هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ

“Bahawa Ibnu ‘Umar tidak pernah menambah solat (fardhu)nya lebih dari dua rakaat sepanjang dalam safar. Beliau tidak menambah dengan solat sunnah (rawatib) sama ada pada sebelumnya, mahupun sesudahnya. Lalu ditanyakan kepada beliau, “Apa ini?”

Maka beliau pun menjelaskan, “Demikianlah aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya (ketika safar).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 1457)

Dari Naafi’, dari Ibnu ‘Umar bahawa beliau berkata:

سَافَرْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ، وَعُثْمَانَ فَكَانُوا يُصَلُّونَ الظُّهْرَ وَالعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ، لَا يُصَلُّونَ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا»، وقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: «لَوْ كُنْتُ مُصَلِّيًا قَبْلَهَا أَوْ بَعْدَهَا لَأَتْمَمْتُهَا

“Aku pernah melakukan safar bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, pernah bersama-sama Abu Bakr, pernah bersama ‘Umar, dan pernah bersama ‘Utsman, bahawa mereka semuanya melaksanakan solat Zuhur dan ‘Ashar dua raka’at dua raka’at (yakni diqasharkan). Mereka tidak solat sunnah apa pun baik sebelumnya atau pun setelahnya.”

Kata ‘Abdullah (Ibnu ‘Umar), “Kalau seandainya aku solat sunnah sebelumnya atau setelahnya, nescaya aku solat secara tamam (sempurna empat rakaat – yakni tidak diqasharkan).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 544)

Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan:

وكان من هديه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في سفره الاقتصارُ على الفرض، ولم يُحفظ عنه أنه صلى سُنة الصلاة قبلَها ولا بعدَها، إلا ما كان من الوِتر وسنة الفجر، فإنه لم يكن ليدعهما حَضراً، ولا سفراً. قال ابنُ عمر وقد سئل عن ذلَك: فقال: صحبتُ اَلنبى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فلم أره يُسبِّح في السفر، وقال الله عز وجل: {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ في رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ} [الأحزاب: 21]، ومراده بالتسبيح: السنة الراتبة، وإلا فقد صحّ عنه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أنه كان يُسبِّح على ظهر راحلته حيث كان وجهه. وفي “الصحيحين”، عن ابن عمر، قال: كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصلي في السفر على راحلته حيثُ توجهت، يُومئ إيماءً صلاةَ الليل، إلا الفرائضَ ويُوتر على راحلته

“Termasuk petunjuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika dalam safar adalah mencukupkan dengan mengerjakan solat yang fardhu. Tidak dinukil bahawa beliau mengerjakan solat sunnah sama ada sebelum atau pun setelah solat fardhu melainkan solat witir dan solat sunnah Subuh. Kedua solat ini tidak pernah ditinggalkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada ketika mukim atau pun safar.

Ibnu ‘Umar berkata ketika ditanya mengenai perkara tersebut, “Aku menemani Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka aku tidak melihat beliau melaksanakan solat sunnah di ketika sedang safar, sementara Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:

“Telah ada bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik.” (Surah Al-Ahdzab, 33: 21)

Maksud solat sunnah di sini adalah sunnah rawatib. Kerana telah dinukil melalui jalur yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat sunnah di atas haiwan tunggangannya ke mana sahaja haiwan tersebut menghadap (selain solat sunnah rawatib). Dalam Ash-Shahihain (dua kitab Shahih) daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

“Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di atas haiwan tunggangannya ketika dalam safar dengan menghadap ke mana sahaja haiwan tersebut menghadap. Beliau melakukannya dengan isyarat untuk solat malam, melainkan solat-solat fadhu. Dan beliau juga solat witir di atas haiwan tunggangannya.” (Zaadul Ma’ad, 1/474)

Daripada perkataan Ibnul Qayyim ini, ia menunjukkan bahawa tidak disunnahkan melaksanakan sebarang solat sunnah rawatib melainkan sebelum solat subuh. Ini termasuk rangka mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta menahan diri dari melakukan apa yang tidak dianjurkan beliau, sebaliknya ditinggalkan pula oleh beliau. Juga tidak disunnahkan melaksanakan solat-solat sunnah yang lainnya melainkan solat witir di samping solat-solat sunnah yang padanya memiliki sebab tertentu untuk dilsaksanakan secara khusus.

Mengqasarkan Solat Ketika Bersama Imam Atau Ketika Menjadi Imam

Apabila kita sedang dalam safar kemudian melaksanakan solat bersama imam yang bermukim (yang solat sempurna), maka apa yang disunnahkan adalah mengikuti imam untuk turut solat secara sempurna (empat rakaat).

Bagi para musafir yang sedang berada di dalam masjid tatkala adzan dilaungkan dan tatkala solat hendak didirikan, maka hendaklah dia tetap melaksanakan solatnya bersama imam. Namun jika dia tidak berada di dalam masjid, maka dia boleh mengqasharkannya sendirian atau bersama dengan kumpulannya atau rombonganya. Apabila dia hendak solat di masjid dalam keadaan demikian, maka dia boleh melaksanakannya di masjid sebaik imam ratib (bersama jamaahnya) menyelesaikan solatnya.

Dari Naafi’, beliau berkata:

فَكَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا صَلَّى مَعَ الْإِمَامِ صَلَّى أَرْبَعًا، وَإِذَا صَلَّاهَا وَحْدَهُ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ

“Bahawa Ibn ‘Umar (ketika dalam safar) apabila beliau solat bersama imam (yang mukim), beliau solat empat rakaat (sempurna), tetapi apabila beliau solat sendirian maka beliau solat dua rakaat.” (Shahih Muslim, no. 694)

Dari hadis Musa bin Salamah Al-Hudzali, beliau berkata:

سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ: كَيْفَ أُصَلِّي إِذَا كُنْتُ بِمَكَّةَ، إِذَا لَمْ أُصَلِّ مَعَ الْإِمَامِ؟ فَقَالَ: «رَكْعَتَيْنِ سُنَّةَ أَبِي الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Aku pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas, bagaimana cara melaksanakan solat ketika di Makkah (sebagai musafir) dan tidak solat bersama imam (yang mukim)?” Maka jawab Ibn ‘Abbas:

“Solatlah dua rakaat (yakni diqasharkan), itulah sunnah Abu Al-Qasim Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (yakni sunnah Nabi).” (Musnad Ahmad, no. 3119. Shahih Muslim, no. 688)

Bahawa Ibnu ‘Abbas pernah ditanya:

مَا بَالُ الْمُسَافِرِ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ إذَا انْفَرَدَ وَأَرْبَعًا إذَا ائْتَمَّ بِمُقِيمٍ فَقَالَ تِلْكَ السُّنَّةُ

“Mengapa musafir (orang-orang dalam perjalanan) melaksanakan solatnya dua rakaat sahaja jika solat sendirian, tetapi melaksanakan empat rakaat jika bersama imam yang mukim?” Maka jawab Ibn ‘Abbas:

“Itulah sunnah.” (lihat: At-Talkhis Al-Habiir oleh Ibn Hajar, no. 611. Irwa’ Al-Ghalil oleh Al-Albani, no. 571)

Sebaliknya, jika kita yang menjadi imam maka kita hendaklah tetap mengqasarkan solat. Dan bagi makmum yang tidak qashar (yakni bagi makmum yang mukim), maka mereka perlu meneruskan solatnya sehingga sempurna (empat rakaat) setelah imam yang qashar tadi selesai pada rakaat yang kedua.

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah menyatakan, “Para ulama telah sepakat bahawa jika orang yang bermukim menjadi makmum kepada imam yang safar lalu imam tersebut mengucapkan salam (setelah dua rakaat solatnya), maka orang yang bermukim wajib menyempurnakan solatnya (empat rakaat).” (Al-Mughni, 3/146)

Beza Di Antara Jamak Dengan Qasar

Mengqasarkan solat itu tidak memiliki sebab yang lain melainkan kerana berada dalam perjalanan (safar) semata-mata. Maka, tuntutan atau keringanan mengqasarkan (atau memendekkan) solat itu adalah khusus ketika safar sahaja, iaitu bagi solat yang empat rakat menjadi dua rakaat.

Sedangkan menjamakkan solat, ia adalah perbuatan menghimpunkan dua solat sama ada Zuhur ke dalam waktu Asar atau sebaliknya Asar ke dalam waktu Zuhur. Begitu juga dengan Maghrib ke dalam waktu Isyak atau Isyak ke dalam waktu Maghrib.

Tujuan dibolehkan jamak juga lebih luas berbanding mengqasar solat. Di mana jamak memiliki sebab tersendiri dengan tujuan membantu hamba Allah yang mengalami kesulitan untuk melaksanakan solat pada waktunya. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dan penjelasan para ulama, di antara sebab-sebab dibolehkan menjamak (menghimpunkan) dua solat adalah seperti kerana sakit, ingin mempercepatkan perjalanan (yakni ketika terburu-buru), istihadhah, hujan lebat, jalan berlumpur, angin kencang, udara yang terlalu sejuk (turun salji), kesukaran yang dihadapi berkaitan masa bagi salah satu waktu solat, dan seumpamanya.

Sebahagian ulama memakruhkan menjamakkan solat ketika safar jika tidak memiliki sebab. Ini kerana disebutkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila dalam safar, beliau sentiasa mengqasarkan solatnya, tetapi tidak pula disebutkan bahawa beliau sentiasa menjamakkan solatnya tatkala safar. Dan disebutkan pada sebahagian hadis, bahawa beliau menjamakkan solat dalam safar hanya pada ketika terburu-buru, ketika safar yang memberatkan, atau ketika ingin mempercepatkan perjalanan.

Dari riwayat Salim, dari ayahnya (yakni Ibn ‘Umar), beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ إِذَا جَدَّ بِهِ السَّيْرُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat maghrib dengan isyak apabila ingin mempercepatkan perjalanan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1106)

Dalam riwayat yang lain, Ibn ‘Umar berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «يَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ إِذَا جَدَّ بِهِ السَّيْرُ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat maghrib dengan isyak apabila ingin mempercepatkan perjalanan.” (Shahih Muslim, no. 703)

Menurut Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَالْقَصْرُ سَبَبُهُ السَّفَرُ خَاصَّةً لَا يَجُوزُ فِي غَيْرِ السَّفَرِ وَأَمَّا الْجَمْعُ فَسَبَبُهُ الْحَاجَةُ وَالْعُذْرُ فَإِذَا احْتَاجَ إلَيْهِ جَمَعَ فِي السَّفَرِ الْقَصِيرِ وَالطَّوِيلِ وَكَذَلِكَ الْجَمْعُ لِلْمَطَرِ وَنَحْوِهِ وَلِلْمَرَضِ وَنَحْوِهِ وَلِغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ الْأَسْبَابِ فَإِنَّ الْمَقْصُودَ بِهِ رَفْعُ الْحَرَجِ عَنْ الْأُمَّةِ

“Sebab dibolehkan untuk mengqashar solat itu adalah khusus kerana safar. Tidak boleh mengqasharkan solat untuk selain dari safar.

Adapun menjamakkan solat, sebabnya adalah kerana wujudnya hajat (keperluan yang mendesak) dan ‘udzur (yang memberatkan). Jika seseorang perlu kepada jama’ di saat safar, maka dia boleh untuk menjamakkan solat sama ada pada safar yang pendek mahupun yang panjang. Dan demikianlah juga menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat dan seumpamanya, atau dengan sebab sakit dan yang seumpamanya dari selain yang demikian dari sebab-sebab (yang memberatkan). Kerana maksud dari tujuan dibolehkan jama’ itu adalah bagi mengangkat kesukaran dari ummah (kaum muslimin).” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/292)

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan:

ولم يكن مِن هديه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الجمعُ راكباً في سفره، كما يفعله كثير من الناس، ولا الجمع حال نزوله أيضاً، وإنما كان يجمع إذا جدَّ به السير، وإذا سار عقيبَ الصلاة، كما ذكرنا في قصة تبوك، وأما جمعه وهو نازل غيرُ مسافر، فلم يُنقل ذلك عنه إلا بعرفة لأجل اتصال الوقوف، كما قال الشافعي رحمه الله وشيخنا

“Bukan termasuk petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat di atas tunggangannya di ketika safar sebagaimana dilakukan oleh kebanyakan manusia. Dan tidak pula beliau menjamakkan solat di ketika singgah di suatu tempat tertentu. Tetapi beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengumpulkan (menjamakkan) solat sekiranya terburu-buru dalam perjalanan dan apabila hendak berjalan setelah solat (setelah masuk waktu solat – pen.). Seperti yang telah kami sebutkan pada kisah perang Tabuk.

Adapun menjamakkan solat di ketika singgah di suatu tempat tertentu tidak pernah dinukil daripada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melainkan ketika di ‘Arafah agar tidak mengganggu wuquf sebagaimana dinyatakan oleh Asy-Syafi’i rahimahullah dan Syaikh kami.” (Zaadul Ma’ad, 1/481)

Niat Qasar Atau Jamak

Tiada lafaz niat yang khusus berkenaan dengannya. Tetapi cukup dengan merujuk maksud niat itu sendiri, dan niat itu tempatnya adalah di dalam hati dengan hadirnya kefahaman, keinginan dan kehendak yang kuat lalu diiringi dengan usaha melaksanakannya.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Anonymous
    March 7, 2011 at 7:38 am

    Assalamualaikum
    Ana nak tanya, sebagai contoh, ana pergi ke kajang dari bangsar untuk dengar kuliah maghrib seminggu sekali, adakah ana boleh qasarkan solat??? adakah uruf ana ketika itu sudah dikira bermusafir???

  2. Abu Numair Nawawi B. Subandi
    March 7, 2011 at 9:06 am

    Wa 'alaikumussalam…

    Ya, boleh qasar. Secara umumnya itu adalah keluar dari wilayah kebiasaan anda. Tetapi jika anda merasakan ia termasuk rutin dan telah menjadi kebiasaan sebagai tempat anda beraktiviti, maka solatlah secara sempurna.

    Wallahu a'lam…

  3. Anonymous
    August 23, 2011 at 7:44 am

    Salam,
    Kalau nak menjama'kan ta'khir, perlu ikut turutan Zuhur-Asar dan Maghrib-Isya', atau boleh Asar-Zuhur, Isya'-Maghrib?

Comments are closed.