Sunnah Meruqyah Sakit Pada Tubuh

www.ilmusunnah.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

“Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim kecuali kerugian.” (Surah Al-Israa’, 17: 82)

Di antara tanda dekat dan aqrabnya seseorang terhadap Al-Qur’an adalah dia sentiasa bersama Al-Qur’an walaupun dalam keadaan sakit. Sehingga apabila dia ditimpa sakit pun, maka Al-Qur’an adalah pilihan pertamanya di samping dzikir-dzikir dan doa-doa lainnya dalam sarana mencari kesembuhan dari sisi Allah sebelum dia beralih kepada pilihan perawatan lainnya. Dan hal inilah yang telah ditunjukkan dan dicontohkan oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dan siapakah sebaik-baik teladan bagi kita kalau bukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam? Fahamilah bahawa inilah sebahagian dari bentuk-bentuk keimanan kita kepada Allah, kepada Kitab-Nya (Al-Qur’an), dan kepada Nabi-Nya.

Ini sekaligus menjadi tamparan besar bagi sebahagian golongan yang mengatakan rawatan dengan Al-Qur’an hanyalah sekadar rawatan alternatif, rawatan pilihan kedua atau ketiga atau terakhir, atau setelah segala bentuk cara perubatan diusahakan barulah mereka mengatakan berubatlah dengan Al-Qur’an. Subhanallaah…

Dan Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah ketika menyebutkan di antara bentuk perbuatan meninggalkan Al-Qur’an dalam kitab beliau Al-Fawa’id, adalah, “… meninggalkan berubat dengan Al-Qur’an untuk menyembuhkan segala penyakit hatinya dan meninggalkan mencari kesembuhan dengannya, lalu dia mencari-cari penyembuh sakit yang lainnya seraya berpaling dari berubat dengan Al-Qur’an.”

InsyaAllah sama-sama kita semak.

Dalam suatu hadis, dari Abu Al-Mutawakkil dari Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا، حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ العَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الحَيِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا، لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَيْءٌ، فَأَتَوْهُمْ، فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأَرْقِي، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضَيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلًا، فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الغَنَمِ، فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ، وَيَقْرَأُ: الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِينَ فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ، قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: اقْسِمُوا، فَقَالَ الَّذِي رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِي كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا، فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: «وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ»، ثُمَّ قَالَ: «قَدْ أَصَبْتُمْ، اقْسِمُوا، وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا» فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Ada rombongan beberapa orang dari sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sedang safar dalam suatu perjalanan, lalu ketika mereka sampai di salah satu perkampungan ‘Arab, mereka pun meminta penduduk kepada setempat di sana agar bersedia menerima mereka sebagai tamu penduduk tersebut, namun penduduk tersebut menolaknya.

Kemudian pada waktu itu ketua penduduk kampung tersebut telah terkena sengatan binatang. Mereka telah mengusahakan pelbagai cara bagi tujuan menyembuhkannya tetapi belum juga berhasil. Lalu ada di antara mereka yang mengutarakan pandangan:

“Cuba kalian temui rombongan tadi semoga ada di antara mereka yang memiliki sesuatu (yang boleh merawat).”

Lalu mereka mendatangi rombongan tersebut dan berkata:

“Wahai ahli rombongan, sesunguhnya kepala suku kami telah digigit binatang dan kami telah mengusahakan perawatannya namun belum berhasil. Jadi, adakah ada di antara kalian yang boleh membantu untuk menyembuhkannya?”

Maka berkata, salah seorang dari ahli rombongan:

“Ya, demi Allah aku akan merawatnya tetapi demi Allah semalam kami meminta untuk menjadi tamu kalian tetapi kalian enggan menerimanya. Maka aku pun enggan menjadi orang yang mengubati kecuali jika kalian memberi upah.”

Akhirnya mereka sepakat dengan upah puluhan ekor kambing. Maka beliau pun berangkat untuk merawat dengan membacakan Alhamdulillahi rabbil ‘alamiin… (yakni membacakan Surah Al-Fatihah), seakan-akan penyakit segatan tersebut pun terlepas dari ikatan tali sedangkan dia pergi tanpa membawa sebarang ubat apapun.

Beliau berkata, maka penduduk tersebut pun membayar upah yang telah mereka sepakati kepadanya. Seorang dari mereka berkata:

“Berikanlah kambing-kambing tersebut!” Maka orang yang merawat pun berkata:

“Jangan kalian bahagikan sampailah kita temui Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu kita ceritakan kejadian tersebut kepada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kita tunggu apa yang akan beliau perintahkan kepada kita.”

Akhirnya rombongan tersebut pun menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu mereka ceritakan peristiwa tersebut. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Salam berkata:

“Kamu tahu dari mana kalau Al-Fatihah itu mampu menjadi ruqyah (bacaan untuk merawat)?” Kemudian Beliau melanjutkan:

“Kalian telah melakukan perbuatan yang benar, maka bahagikanlah upah kambing-kambing tersebut dan masukkanlah aku bersama kalian (sebagai salah seorang yang menerima upah tersebut).” Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun tertawa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2276)

Dari hadis ini terdapat pensyari’atan berubat dan mencari kesembuhan dengan Al-Qur’an. Pada hadis ini juga terdapat petunjuk bahawa kesan sengatan binatang berbisa dapat disembuhkan dengan meruqyah bacaan Al-Fatihah, sekaligus menunjukkan keutamaan surah Al-Fatihah sebagai salah satu bacaan yang dapat digunakan untuk meruqyah.

Pada hadis ini juga terdapat petunjuk bahawa para sahabat Nabi langsung memulakan perawatannya dengan meruqyahkan Surah Al-Fatihah pada pesakit tanpa didahului dengan sebarang cubaan perawatan yang lainnya atau didahulukan dengan pertanyaan tentang bentuk perawatan apakah yang telah mereka usahakan sebelumnya?

Dari itu, di sini terdapat petunjuk dan anjuran agar memulakan berubat dengan Al-Qur’an sebelum memulakan praktik perawatan dengan yang lainnya.

Pada hadis ini juga terdapat bantahan atas orang-orang yang meninggalkan dan mengabaikan Al-Qur’an untuk berubat dengan mendahulukan kaedah-kaedah perawatan yang lainnya.

Di hadis seterusnya, dari hadis Kharijah bin Ash-Shalt At-Tamimiy dari pakciknya, beliau berkata:

أَقْبَلْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَيْنَا عَلَى حَيٍّ مِنَ الْعَرَبِ، فَقَالُوا: إِنَّا أُنْبِئْنَا أَنَّكُمْ قَدْ جِئْتُمْ مِنْ عِنْدِ هَذَا الرَّجُلِ بِخَيْرٍ، فَهَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ دَوَاءٍ أَوْ رُقْيَةٍ فَإِنَّ عِنْدَنَا مَعْتُوهًا فِي الْقُيُودِ؟ قَالَ: فَقُلْنَا: نَعَمْ قَالَ: فَجَاءُوا بِمَعْتُوهٍ فِي الْقُيُودِ، قَالَ: فَقَرَأْتُ عَلَيْهِ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ غُدْوَةً، وَعَشِيَّةً، كُلَّمَا خَتَمْتُهَا أَجْمَعُ بُزَاقِي ثُمَّ أَتْفُلُ فَكَأَنَّمَا نَشَطَ مِنْ عِقَالٍ، قَالَ: فَأَعْطَوْنِي جُعْلًا، فَقُلْتُ: لَا، حَتَّى أَسْأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «كُلْ فَلَعَمْرِي مَنْ أَكَلَ بِرُقْيَةِ بَاطِلٍ لَقَدْ أَكَلْتَ بِرُقْيَةِ حَقٍّ

“Kami datang dari sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian kami mendatangi suatu perkampungan penduduk ‘Arab. Lalu penduduk kampung itu berkata kepada kami:

“Sesungguhnya kami telah diberitahu bahawa kalian datang dari orang ini (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dengan membawa kebaikan. Adakah dari sisi kalian memiliki ubat atau ruqyah (bacaan jampi)? Kerana sesungguhnya kami memiliki orang yang kurang akal (yakni gila) yang terbelenggu.”

Pakcik Kharijah pun berkata, “Kami katakan, “Ya.” Kemudian mereka pun datang dengan membawa orang yang kurang akal yang terbelenggu tersebut. Lalu aku pun bacakan kepadanya Surat Al-Fatihah selama tiga hari di awal pagi dan petang. Setiap kali aku selesai membacakannya pada dua waktu tersebut aku pun kumpulkan ludahku kemudian aku ludahkan. Kemudian orang tersebut seolah-olah telah terlepas dari ikatan yang membelenggunya.

Pakcik Kharijah berkata lagi, “Kemudian mereka memberiku hadiah.” Lalu aku katakan, “Tidak, sampailah aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Maka Rasulullah bersabda:

“Makanlah, demi Dzat yang memanjangkan umurku. Benar-benar ada orang yang memakan dengan sebab ruqyah (jampi) yang bathil, tetapi engkau makan dengan sebab ruqyah (jampi) yang haq (benar).” (Sunan Abi Dawud, no. 3901. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Di hadis yang lain, dari hadis Thalaq bin ‘Ali, beliau berkata:

لَدَغَتْنِي عَقْرَبٌ عِنْدَ نَبِيِّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَرَقَانِي وَمَسَحَهَا

“Seekor kala jengking menyegatku ketika aku berada di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka Rasulullah pun meruqyahiku dan mengusapkannya (pada bahagian tubuh yang terkena sengatan).” (Musnad Ahmad, no. 16298. Shahih Ibn Hibban, no. 6093)

Kemudian di hadis yang lain dari riwayat Imam Muslim disebutkan, daripada Naafi’ bin Jubair bin Muth’im:

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ، أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ، وَقُلْ بِاسْمِ اللهِ ثَلَاثًا، وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

Daripada ‘Utsman bin Abi Al-‘Aash Ats-Tsaqafi, bahawa beliau mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan satu penyakit pada tubuh beliau yang beliau hadapi semenjak masuk Islam. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda kepada beliau:

“Letakkanlah tangan engkau pada bahagian tubuh yang terasa sakit tersebut dan ucapkanlah “bismillaah” tiga kali dan seterusnya bacakanlah sebanyak tujuh kali (doa berikut):

أَعُوذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

“Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-Nya dari keburukan apa yang aku hadapi dan apa yang aku bimbangkan.” (Shahih Muslim, no. 2202. Bab: Disunnahkan meletakkan tangan pada bahagian yang sakit sambil berdoa)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

ومقصوده أنه يستحب وضع يده على موضع الألم ويأتى بالدعاء المذكور والله أعلم

“Dan maksudnya (dari hadis ini) sesungguhnya adalah dianjurkan meletakkan tangan di atas tempat yang sakit sambil mengucapkan doa yang disebutkan sebagaimana di dalam hadis, Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 14/189)

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) pula menjelaskan:

ففي هذا العلاج من ذكر الله، والتفويض إليه، والاستعاذة بعزته وقدرته من شر الألم ما يَذهب به، وتكراره ليكونَ أنجعَ وأبلغ، كتكرار الدواء لإخراج المادة، وفي السبع خاصية لا توجد في غيرها

“Maka pada kaedah rawatan/terapi ini mengandungi penyebutan nama Allah, menyerahkan (urusan) kepada-Nya, dan permohonan perlindungan kepada-Nya dengan Izzah-Nya (kemuliaan-Nya) dan Qudrah-Nya (kekuasaan-Nya) dari bahaya/keburukan rasa sakit agar dapat menghilangkannya. Dan ianya diulang-ulang agar lebih bermanfaat (mujarab) dan sampai kepada tujuan, sebagaimana halnya mengambil ubat yang juga dilakukan dengan berulang-ulang agar dapat mengeluarkan hal-hal yang menyebabkan sakit. Dan pada pengulangan dengan jumlah tujuh kali tersebut, itu adalah bentuk pengkhususan yang mengandungi keistimewaan tersendiri yang tidak ditemui pada selainnya.” (Zaadul Ma’ad, 4/188)

Kemudian dalam hadis yang lain diriwayatkan bahawa ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا اشْتَكَى مِنَّا إِنْسَانٌ، مَسَحَهُ بِيَمِينِهِ، ثُمَّ قَالَ: «أَذْهِبِ الْبَاسَ، رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا» فَلَمَّا مَرِضَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَثَقُلَ، أَخَذْتُ بِيَدِهِ لِأَصْنَعَ بِهِ نَحْوَ مَا كَانَ يَصْنَعُ، فَانْتَزَعَ يَدَهُ مِنْ يَدِي، ثُمَّ قَالَ: «اللهُمَّ اغْفِرْ لِي وَاجْعَلْنِي مَعَ الرَّفِيقِ الْأَعْلَى» قَالَتْ: فَذَهَبْتُ أَنْظُرُ، فَإِذَا هُوَ قَدْ قَضَى

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, apabila ada dari kalangan kami menghadapi sakit, beliau pun mengusapnya dengan tangan kanannya, lalu mengucapkan (berdoa):

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

“Hilangkanlah penyakit ini wahai Rabb manusia, dan berilah kesembuhan, sesungguhnya Engkau yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan melainkan dengan kesembuhan dari Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit sedikitpun.”

Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sakit dan semakin parah, aku memegang tangan beliau untuk melakukan seperti yang biasa beliau lakukan. Tetapi beliau menarik tangan beliau dari tanganku lalu beliau berdoa:

اللهُمَّ اغْفِرْ لِي وَاجْعَلْنِي مَعَ الرَّفِيقِ الْأَعْلَى

“Ya Allah, ampunilah aku dan jadikanlah aku bersama Ar-Rafiiqil A’la.”

Maka aku pun segera melihat beliau, ternyata beliau telah wafat.” (Shahih Muslim, no. 2191. Bab: Anjuran meruqyah orang sakit)

Dalam riwayat yang lain:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَى الْمَرِيضَ يَدْعُو لَهُ قَالَ: «أَذْهِبِ الْبَاسَ، رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا» وَفِي رِوَايَةِ أَبِي بَكْرٍ: فَدَعَا لَهُ، وَقَالَ: «وَأَنْتَ الشَّافِي

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila menjenguk orang sakit, beliau pun berdoa untuknya dengan doa:

أَذْهِبِ الْبَاسَ، رَبَّ النَّاسِ، وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

“Hilangkanlah penyakit ini wahai Rabb manusia, dan berilah kesembuhan, sesungguhnya Engkau yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan melainkan dengan kesembuhan dari Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan rasa sakit sedikitpun.”.” (Shahih Muslim, no. 2191)

Dalam riwayat yang lain, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ أَحَدٌ مِنْ أَهْلِهِ نَفَثَ عَلَيْهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ، فَلَمَّا مَرِضَ مَرَضَهُ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، جَعَلْتُ أَنْفُثُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُهُ بِيَدِ نَفْسِهِ، لِأَنَّهَا كَانَتْ أَعْظَمَ بَرَكَةً مِنْ يَدِي

“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila salah seorang dari ahli keluarganya sakit, beliau meniupkan (dengan tiupan yang lembut tanpa mengeluarkan air liur) ke atasnya dengan bacaan Al-Mu’awwidzat (3 Qul). Tetapi ketika beliau sakit yang membawa kepada kewafatannya, akulah yang meniupkan padanya, aku mengusap beliau dengan tangan beliau sendiri kerana tangan beliau lebih besar barakahnya berbanding tanganku.” (Shahih Muslim, no. 2192. lihat: Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 14/182)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H), “Yang dimaksudkan dengan Al-Mu’awwizat adalah surah Al-Ikhlash, Al-Falaq, dan An-Naas.” (Fathul Bari, 9/62)

Kata Al-Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 852H):

وفى هذا الحديث استحباب الرقية بالقران وبالاذكار وانما رقى بالمعوذات لأنهن جامعات للاستعاذة من كل المكروهات جملة وتفصيلا ففيها الاستعاذة من شر ما خلق فيدخل فيه كل شيء ومن شر النفاثات فى العقد ومن السواحر ومن شرالحاسدين ومن شر الوسواس الخناس والله أعلم

“Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk meruqyah (merawat) dengan menggunakan Al-Qur’an dan dzikir-dzikir. Adapun ruqyah dengan bacaan Al-Mu’awwidzat, itu adalah kerana di dalamnya menggabungkan permohonan perlindungan dari segala sesuatu yang dibenci sama ada secara  umum atau pun terperinci. Di dalam Al-Mu’awwidzat (3 Qul), ia mengandungi doa perlindungan dari kejahatan makhluk yang Allah ciptakan, maka segala sesuatu termasuk di dalamnya dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul (simpulan-simpulan tali), dari kejahatan para penyihir (tukang sihir), dari kejahatan para pendengki, dan dari kejahatan bisikan was-was Syaitan Al-Khannas (yang bersembunyi).” (Syarh Shahih Muslim, 14/183)

Dalam sebuah hadis turut dijelaskan tatkala tangan (atau jari) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam disengat dengan kala jengking, beliau pun mencampurkan garam dan air dalam sebuah bekas, lalu beliau curahkan air tersebut ke tempat yang terkena sengatan dan beliau pun membacakan Al-Mu’awwidzatain padanya. (lihat: Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 23553. Al-Mu’jam Al-Awsath oleh Ath-Thabrani, no. 5890. Syu’abul Iman oleh Al-Baihaqi, no. 519, 2340, dan 2341. Majma’ Az-Zawa’id oleh Al-Haitsami, 5/191. As-Silsilah Al-Ahaadits Ash-Shahihah oleh Al-Albani, no. 548)

Kemudian dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا، لَمْ يَحْضُرْ أَجَلُهُ فَقَالَ عِنْدَهُ سَبْعَ مِرَارٍ: أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ، إِلَّا عَافَاهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ الْمَرَضِ

“Sesiapa yang mengunjungi orang sakit, yang belum sampai masa ajalnya, lalu dia mendoakan di sisinya sebanyak tujuh kali (dengan doa):

أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ

“Aku memohon kepada Allah Al-‘Adziim (Yang Maha Agung), Rabb ‘Arsy yang agung, agar Dia menyembuhkan engkau.”

Melainkan Allah akan mengembalikan kesihatannya dari penyakit tersebut.” (Sunan Abi Dawud, no. 3106. At-Tirmidzi, no. 2083. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Di hadis yang lain lagi, dari hadis Muhammad bin Haathib, beliau berkata:

وَقَعَتِ الْقِدْرُ عَلَى يَدِي ، فَاحْتَرَقَتْ يَدِي، فَانْطَلَقَ بِي أَبِي إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَ يَتْفُلُ فِيهَا ، وَيَقُولُ: ” أَذْهِبِ الْبَأَسَ رَبَّ النَّاسِ ” وَأَحْسِبُهُ قَالَ: ” وَاشْفِهِ إِنَّكَ أَنْتَ الشَّافِي

“Sebuah bekas memasak (periuk atau cerek) yang panas telah jatuh di atas tanganku, lalu tanganku pun melecur. Maka ayahku pun membawa aku kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau meludahi tanganku seraya membacakan, “Hilangkanlah bahaya wahai Rabb manusia.” Dan aku mengira beliau membacakan, “Sembuhkanlah ia sesungguhnya Engkau Asy-Syaafi (Yang Maha Penyembuh).” (Musnad Ahmad, no. 18281. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Di hadis yang lain lagi, dari hadis ‘Aisyah bin Sa’d, bahawa ayahnya (Sa’d bin Abi Waqqash radhiyallahu ‘anhu) berkata:

اشْتَكَيْتُ بِمَكَّةَ فَجَاءَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي، وَوَضَعَ يَدَهُ عَلَى جَبْهَتِي، ثُمَّ مَسَحَ صَدْرِي وَبَطْنِي، ثُمَّ قَالَ: «اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا وَأَتْمِمْ لَهُ هِجْرَتَهُ»

“Aku pernah menderita sakit ketika berada di Makkah, lalu datanglah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepadaku. Beliau meletakkan tangan beliau di atas dahiku, lalu mengusap dada dan perutku, seraya mengucapkan, “Ya Allah, sembuhkanlah Sa’d dan sempurnakanlah hijrahnya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3104. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Di hadis yang lain, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ، قَالَ: ” أَمَا لَوْ قُلْتَ، حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ تَضُرَّكَ

“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu mengadu:

“Wahai Rasulullah, alangkah sakitnya ketika aku disengat oleh kala jengking semalam.”

Maka Nabi pun berkata, “Jika engkau mengucapkan (doa) ini ketika masuk waktu petang:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari keburukan apa yang Dia ciptakan.”

nescaya engkau tidak akan dimudharatkan (oleh sengatan kala jengking).” (Shahih Muslim, no. 2709)

Demikianlah sebahagian dari bukti dan contoh-contoh praktik ruqyah dari hadis-hadis Nabi yang sahih, dan masih banyak lagi contoh-contoh yang lainnya.

Untuk penjelasan lebih terperinci, kami cadangkan para pembaca dapatkan sebuah buku dengan judul Al-Istisyfaa’ bil Qur’anil Kariim, dan Alhamdulillah buku ini telah pun diterjemahkan (dengan judul Penyembuhan Dengan Al-Qur’an).

Wallahu a’lam.

Penyembuhan_Dengan_Al_Qur'an

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest