Qadha Puasa Ramadhan Bagi Orang Yang Telah Meninggal

Team IlmuSunnah
www.ilmusunnah.com

Dari hadis A’isyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:beras_biji_senduk

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

“Siapa yang mati sedangkan dia masih memiliki tanggungan (hutang) puasa, maka walinya-lah (warisnya) yang puasa untuknya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1952. Muslim, no. 1147. Sunan Abi Dawud, no. 2400)

Kata Abu Dawud rahimahullah (Wafat: 275H):

هَذَا فِي النَّذْرِ وَهُوَ قَوْلُ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ

Yang dimaksudkan puasa dalam hadis ini adalah puasa nadzar, dan ia adalah pendapat Imam Ahmad.” (Sunan Abi Dawud, no. 2400)

Al-Imam Abu Dawud juga mengatakan dalam Masa’il Al-Imam Ahmad:

سَمِعْتُ أَحْمَدَ، ” قَالَ: لَا يُصَامُ عَنِ الْمَيِّتِ إِلَّا فِي النَّذْرِ، قُلْتُ لِأَحْمَدَ: فَشَهْرُ رَمَضَانَ؟ قَالَ: يُطْعَمُ عَنْهُ

“Aku mendengar Imam Ahmad berkata, “Tidak diqadha-kan puasa bagi orang yang meninggal kecuali bagi puasa nazdzar.”

Aku bertanya kepada Ahmad, “Bagaimana dengan puasa bulan Ramadhan?”

Jawab Imam Ahmad, “Dia mengeluarkan makanan (fidyah) untuknya.” (Masa’il Al-Imam Ahmad oleh Abi Dawud, 1/137. Lihat juga Masa’il Al-Imam Ahmad oleh Al-Marwazi, 3/1218)

Ini diperincikan lagi berdasarkan hadis-hadis yang lain, antaranya dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma di Sunan Abi Dawud, beliau berkata:

إِذَا مَرِضَ الرَّجُلُ فِي رَمَضَانَ، ثُمَّ مَاتَ وَلَمْ يَصُمْ أُطْعِمَ عَنْهُ، وَلَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ قَضَاءٌ، وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ نَذْرٌ قَضَى عَنْهُ وَلِيُّهُ

“Apabila seseorang sakit di bulan Ramadhan kemudian dia meninggal dunia, maka puasanya dibayar dengan memberi makan orang miskin (oleh walinya atau warisnya) dan ianya tidak diqadha’. Manakala bagi puasa nazdzar, maka walinya (atau warisnya) mengqadha (yakni berpuasa) untuknya.” (Sunan Abi Dawud, no. 2401)

Di riwayat lain dari Ibn ‘Abbas, beliau berkata:

أَنَّ امْرَأَةً رَكِبَتِ الْبَحْرَ فَنَذَرَتْ إِنْ نَجَّاهَا اللَّهُ أَنْ تَصُومَ شَهْرًا، فَنَجَّاهَا اللَّهُ، فَلَمْ تَصُمْ حَتَّى مَاتَتْ فَجَاءَتْ، ابْنَتُهَا أَوْ أُخْتُهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَأَمَرَهَا أَنْ تَصُومَ عَنْهَا

“Bahawa ada seorang wanita yang berlayar di lautan (menaiki kapal) lalu dia bernadzar jika Allah menyelamatkannya (sehingga sampai ke daratan) dia akan berpuasa untuk sebulan. Lalu kemudian Allah pun menyelamatkannya. Namun wanita tersebut belum dapat berpuasa (untuk memenuhi nadzarnya) sampailah mati mendatanginya.

Maka datanglah anak perempuannya atau saudara perempuannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Rasulullah pun memerintahkannya agar berpuasa untuknya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3308. Dinilai sahih oleh Al-Albani. Lihat juga: Musnad Ahmad, no. 1861, 3420. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 2054)

Di riwayat yang lain dari Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

لَا يُصَلِّي أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ، وَلَا يَصُومُ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ وَلَكِنْ يُطْعِمُ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مُدًّا مِنْ حِنْطَةٍ

“Tidak boleh seseorang bersolat untuk menggantikan solat seseorang yang lain, dan tidak boleh seseorang berpuasa untuk menggantikan puasa seseorang yang lain, tetapi dia memberikan makanan berupa satu mud gandum bagi setiap sehari puasa yang tertunggak.” (As-Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 2930. Musykilul Atsaar oleh Ath-Thahawi, no. 1986)Rice_in_hand_sha

Di riwayat yang lain, dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَتَتْهُ امْرَأَةٌ فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ فَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: ” أَرَأَيْتَكِ لَوْ كَانَ عَلَيْهَا دَيْنٌ، كُنْتِ تَقْضِينَهُ ؟ ” قَالَتْ: نَعَمْ قَالَ: ” فَدَيْنُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

“Telah datang seorang perempuan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau berkata:

“Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan atasnya ada beban puasa untuk sebulan, adakah aku mengqadha untuknya?”

Maka Nabi pun bertanya:

“Apa pendapatmu jika ibumu memiliki hutang, adakah engkau akan membayarkannya?”

Maka jawabnya, “Ya.” Lalu Nabi pun bersabda:

“Kalau begitu, hutang kepada Allah ‘Azza wa Jalla lebih berhak untuk diselesaikan.” (Musnad Ahmad, no. 3420)

Yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah puasa nadzar, sebagaimana dalam Musnad Ahmad, no. 1861, 3420. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 2054. Dan juga sebagaimana yang telah disebutkan (dirincikan) dalam riwayat-riwayat yang lain.

Kemudian dalam riwayat yang lain dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَنَّ سَعْدَ بْنَ عُبَادَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ اسْتَفْتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا نَذْرٌ، فَقَالَ: اقْضِهِ عَنْهَا

“Bahawa Sa’d bin ‘Ubadah radhiyallahu ‘anhu bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Sesungguhnya ibuku telah meninggal dan beliau memiliki nadzar (puasa).” Maka Rasulullah pun bersabda, “Tunaikanlah (qadha-lah) nadzarnya (puasanya).” (Shahih Al-Bukhari, no.  2761. Sunan Abi Dawud, no. 3307)

Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:

ورُوِيَ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ إِنْ كَانَ عَلَيْهِ قَضَاءُ رَمَضَانَ يُطْعِمُ عَنْهُ، وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ صَوْمُ نَذْرٍ، صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ، وَقِيلَ: هَذَا قَوْلُ أَحْمَدَ، وَإِسْحَاقَ.

“Telah diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas, jika atasnya ada qadha’ puasa Ramadhan, maka walinya mengeluarkan makanan (sebagai fidyah), dan jika atasnya hutang puasa nadzar, maka walinya berpuasa untuknya. Inilah pendapat Imam Ahmad dan Ishaq.” (Syarhus Sunnah oleh Al-Baghawi, 6/326)

InsyaAllah, inilah pendapat yang mendekati kebenaran dan dikuatkan dengan dalil-dalil.

Di antara dalil-dalil yang memperkuatkan lagi pendapat ini adalah,

Dari ‘Amrah bin ‘Abdurrahman, beliau berkata:

سألت عائشة رضي الله عنها، فقلت لها: إن أمي توفيت وعليها رمضان، أيصلح أن أقضي عنها؟ فقالت: لا، ولكن تصدقي عنها مكان كل يوم على مسكين، خير من صيامك عنها

“Aku bertanya kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa ibuku telah meninggal dunia dan beliau ada hutang puasa Ramadhan, adakah aku mengqadha untuknya?”

Maka beliau berkata:

“Tidak, tetapi bersedekahlah (yakni keluarkan fidyah) untuknya bagi setiap hari yang ditinggalkannya atas seorang miskin, itu lebih baik dari engkau berpuasa untuknya.” (Musykilul Atsar oleh Ath-Thahawi, no. 1989)

Di riwayat berikutnya disebutkan jawaban ‘Aisyah:

بل تصدقي مكان كل يوم على مسكين نصف صاع

“Bahkan (yang benar), engkau bersedekah (keluarkan fidyah) bagi setiap harinya atas seorang miskin sebanyak setengah shaa’ makanan (seukuran 2 raupan dua tangan orang dewasa – pent.).” (Musykilul Atsar, 1991. Lihat: Ahkamul Jana’iz oleh Al-Albani, m/s. 170)

Kesimpulan:

Berdasarkan dalil-dalil dan nukilan-nukilan keterangan tersebut, pendapat yang kuat untuk pelunasan hutang puasa bagi orang yang telah meninggal dunia dapat dirincikan menjadi dua keadaan:

1, Jika yang ditinggalkan adalah puasa Ramadhan (yakni yang belum sempat dia ganti atasnya disebabkan udzur misalnya), maka cara mengqadhanya adalah walinya (atau warisnya) mengeluarkan fidyah (sedekah makanan) atas namanya dengan nilai setengah shaa’ (seukuran 2 raupan dua tangan orang dewasa – pen.) makanan ruji yang biasa dia makan sebagai makanan hariannya. (dalam riwayat yang lain disebutkan boleh juga dengan ¼ shaa’, yakni bersamaan 1 mud, atau bersamaan 1 raupan dengan dua tangan orang dewasa)

2, Manakala jika puasa yang ditinggalkan (yakni yang belum sempat dia berpuasa atasnya) tersebut adalah puasa nadzar, maka cara mengqadhanya adalah wali (atau warisnya) mempuasakan untuknya sebanyak hari yang dia tinggal tersebut.

Adapun fidyah, ia hendaklah dikeluarkan dalam bentuk makanan yang siap untuk dimakan (dari makanan ruji yang biasa bagi orang-orang di tempatnya) sama ada yang telah siap dimasak atau belum, tidak boleh dikeluarkan dalam bentuk nilai ringgit (mata wang).

Sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:

وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

“Dan bagi orang-orang yang berat untuk berpuasa (ketika bulan Ramadhan), maka hendaklah dia keluarkan fidyah berupa makanan untuk seorang miskin (bagi setiap hari yang dia tinggalkan).” (Surah Al-Baqarah, 2: 184)

Juga sebagaimana dalil-dalil yang telah disebutkan sebelumnya.

Cara mengeluarkannya; dia boleh menghantarkan makanan tersebut (misalnya nasi berserta lauknya) ke rumah-rumah orang miskin dengan jumlah setengah shaa’ makanan untuk seorang orang miskin bagi setiap hari puasanya.rice_in_hand

Atau boleh juga dia menyediakan jumlah makanan tersebut (mengikut kadar puasa yang dia tinggalkan dan bayaran fidyah yang wajib atasnya), lalu dia mengundang orang-orang miskin untuk makan di tempatnya (atau rumahnya). (lihat: Majmu’ Fatawa Ibn ‘Utsaimin, 19/116 – http://islamqa.info/ar/39234)

Juga sebagaimana penjelasan Asy-Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafidzahullah:

والإطعام لا يكون بالنقود كما ذكرت، وإنما يكون الإطعام بدفع الطعام الذي هو قوت البلد؛ بأن تدفع عن كل يوم نصف الصاع من قوت البلد المعتاد، ونصف الصاع يبلغ الكيلو والنصف تقريباً. فعليك أن تدفع طعاماً من قوت البلد بهذا المقدار الذي ذكرنا عن كل يوم ، ولا تدفع النقود ؛ لأن الله سبحانه وتعالى يقول: ( وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين ) البقرة/184؛ نص على الطعام

“Adapun makanan (untuk fidyah) tidak boleh digantikan dengan nilai tunai (mata wang) sebagaimana yang telah disebutkan. Fidyah hanya boleh dikeluarkan dalam bentuk makanan yang menjadi makanan ruji (yakni makanan kebiasaan) bagi wilayah (atau negara) tersebut. Kadarnya adalah setengah shaa’ dari makanan kebiasaan tersebut untuk setiap hari yang dia tinggalkan.

Dan setengah shaa’ adalah kira-kira 1 kilo setengah (1.5 kg). Jadi, hendaklah anda mengeluarkan fidyah dalam bentuk makanan yang menjadi kebiasaan masyarakat tempat tersebut dengan kadar sebagaimana yang kami sebutkan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan, dan sama sekali tidak boleh mengeluarkan fidyah dengan nilai atau bayaran wang. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:

“Dan bagi orang-orang yang berat untuk berpuasa (ketika bulan Ramadhan), maka hendaklah dia keluarkan fidyah berupa makanan untuk seorang miskin (bagi setiap hari yang dia tinggalkan).”

Yang mana ia adalah nash yang memerintahkan mengeluarkan fidyah dalam bentuk makanan.” (Al-Muntaqa min Fatawa Asy-Syaikh Soleh Al-Fauzan, 3/140 – lihat: http://islamqa.info/ar/66886)

Wallaahu a’lam.

Sifat_Puasa_Nabi_1

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest