Beriman Terhadap Taqdir
Yang Baik Mahupun Yang Buruk

www.ilmusunnah.com

Dari kitab Syarh Ushul As-Sunnah Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H),

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berkata:taqdir

وَمِنَ السُّنَّةِ اللَّازِمَةِ الَّتِي مَنْ تَرَكَ مِنْهَا خَصْلَةً لَمْ يَقُلْهَا وَيُؤْمِنْ بِهَا لَمْ يَكُنْ مِنْ أَهْلِهَا: الْإِيمَانُ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ، وَالتَّصْدِيقُ بِالْأَحَادِيثِ فِيهِ، وَالْإِيمَانُ بِهَا لَا يُقَالُ لِمَ وَلَا كَيْفَ؟ إِنَّمَا هُوَ التَّصْدِيقُ بِهَا وَالْإِيمَانُ بِهَا

“Dan termasuk As-Sunnah yang wajib (penting), yang sesiapa meninggalkan satu saja perkara darinya, tidak menerimanya, dan tidak mengimaninya, maka dia bukan termasuk pengikutnya (bukan termasuk ahlus sunnah), adalah:

Beriman terhadap taqdir yang baik mahupun yang buruk, membenarkan hadis-hadis tentangnya serta mengimaninya. Tidak boleh ditanyakan, “Mengapa?” Tidak pula, “Bagaimana?” Yang ada hanyalah dengan membenarkannya dan mengimaninya.”

Syarh dan penjelasan oleh Asy-Syaikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali

(Disebutkan):

“Dan termasuk As-Sunnah yang wajib (penting), yang sesiapa meninggalkan satu saja perkara darinya, tidak menerimanya, dan tidak mengimaninya, maka dia bukan termasuk pengikutnya (bukan termasuk ahlus sunnah)…”

Perhatikan perkara ini! Kerana bahagian ini merupakan perkara yang sangat penting. Al-Imam Ahmad rahimahullah akan menyebutkan sifat-sifat dasar (ahli sunnah) kepada kita. Siapa yang meninggalkan sesuatupun darinya, maka dia bukan termasuk dari ahli sunnah. Maknanya menunjukkan dia telah keluar dari wilayah sunnah kepada kubangan bid’ah. Oleh kerana itu, perhatikanlah perkara ini baik-baik.

“Dan termasuk As-Sunnah yang wajib (penting), yang sesiapa meninggalkan satu saja perkara darinya…”

Maka jika dia meninggalkan keseluruhannya atau sebahagian besar darinya, maka ini adalah bala’ (musibah besar).

“…tidak menerimanya…”, yakni ia enggan terhadapnya.

“… dan tidak pula mengimaninya, maka dia bukan termasuk pengikutnya..”

Apabila dia bukan termasuk ahli sunnah, maka menjadilah salah seorang dari kalangan ahli bid’ah dan pengikut kesesatan, wal ‘iyyadzubillah.

Dan kalian telah mengetahui bahawa bid’ah terbagi kepada yang besar dan yang kecil. Ada yang berupa kesyirikan, ilhad (penyelewengan syari’at), atau bala’ (bentuk keburukan) lainnya sebagaimana dikatakan oleh Al-Imam Ibnu Qayyim rahimahullah:

“Bid’ah merupakan serpihan dari kekufuran dan berakhir dengannya (yakni dengan kekufuran).”

Dan bid’ah itu berdiri di atas hawa nafsu dan kesesatan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ

“Pernahkah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai sembahannya dan Allah membiarkannya tersesat di atas ‘ilmunya, lalu Allah mengunci-mati pendengaran serta hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Lalu siapakah yang akan memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)?” (Surah Al-Jatsiyah, 45: 23)

Kita berlindung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dari mengikuti hawa nafsu.

Oleh kerana itu, ahli sunnah menamakan ahli bid’ah dengan (nama) Ahl Al-Ahwa’, kerana mereka telah menyelisihi agama Allah Subhanahu wa Ta’ala serta mengikuti hawa nafsunya. Semisal Al-Khawarij, Ar-Rawafidh, Al-Mu’tazilah, Al-Jahmiyyah, Al-Murji’ah, Ash-Shufiyyah, Al-Hululiyah, para pengamal wihdatul wujud, para penyembah (atau pemuja) kubur dan semisalnya. Semua ini merupakan kebid’ahan dan kesesatan yang menyelisihi dalil-dalil dari Al-Kitab dan As-Sunnah, serta menyelisihi dasar-dasar As-Sunnah beserta kaedah-kaedahnya.

Dasar yang pertama, penulis menyebutkan:

“Beriman terhadap taqdir.”

Maka orang yang tidak mahu mengimani taqdir, bermakna dia bukan termasuk dari ahli sunnah. Kerana orang ini telah meninggalkan salah satu karektor yang besar sekaligus salah satu ushul utama dalam sunnah. Iman terhadap taqdir juga merupakan salah satu rukun iman. Perkara ini di tunjukkan oleh dalil dari Kitab Allah dan Sunnah (hadis) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman:

وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

“Dan segala sesuatu Kami kumpulkan dalam kitab induk yang nyata (Lauhul Mahfudhz).” (Surah Yasin, 36: 12)

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan segala sesuatu dengan taqdirnya.” (Surah Al-Qamar, 54: 49)

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga pernah mengutuskan malaikat Jibrail ‘alaihi Sallam kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam suatu pertemuan bertujuan mengukuhkan dasar-dasar agama dan rukun-rukunnya, yang di atas-nyalah binaan Islam teguh berdiri. Jibrail ‘alaihi Sallam menanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang Islam, lalu beliau menjawab:

الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ

“Islam adalah engkau mengakui bahawa tiada ilah (yang berhak diibadahi, yakni dengan benar) kecuali Allah, dan bahawa Muhammad adalah Rasul-Nya. Engkau tegakkan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan, serta berhaji ke Baitullah.”

Setelah itu, Jibrail ‘alaihi Sallam bertanya kembali:

“Apa itu iman?”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

“Engkau beriman kepada Allah, para malaikat-Nya,kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan hari akhir (Kiamat). Dan engkau imani taqdir, yang baik mahupun yang buruk.” (lihat: Shahih Al-Bukhari, no.  50. Muslim, no. 08. Dan ini adalah lafaz dalam Shahih Muslim, dari hadis ‘Umar bin Al-Khaththab)

Lima rukun selain taqdir, disebutkan sekaligus (dalam ayat berikut), sedangkan (iman) tentang  taqdir disebutkan dalam ayat-ayat yang lain sebagaimana telah berlalu. Jadi, dasar keimanan (ushulul iman) itu disebut sekaligus dalam beberapa ayat:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

“Rasul telah beriman kepada Al-Qur’an yang diturunkan kepadanya dari Rabb-nya, dan demikian pula orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. Kami tidak membeza-bezakan antara seorang pun dari rasul-rasul-Nya, dan mereka juga mengatakan: “Kami dengar dan taat, ampunilah kami wahai Rabb kami dan kepada Engkaulah tempat kembali.” (Surah Al-Baqarah, 2: 285)

Jadi, perkara taqdir disebutkan pada nash-nash tersendiri, demikian pula rukun yang lain, disebutkan sekaligus dalam konteks ayat lainnya. Semua perkara ini telah ditunjukkan oleh dalil-dalil dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebagaimana (di antaranya) pada hadis Jibrail ‘alaihi Sallam yang tadi. Demikian pula dalam hadis ‘Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu. Dan mungkin, jika ada di kesempatan yang lain mengenai taqdir, akan kami sebutkan dalil-dalil yang lain tentangnya, in-syaa-Allah.

Di antara dasar-dasar As-Sunnah yang sesiapa meninggalkan perkara tersebut, maka dia bukan termasuk ahli (sunnah), yakni:

“Beriman terhadap taqdir, yang baik mahupun yang buruk.”

Wajib atas setiap mukmin untuk mengimani bahawa semua taqdir yang baik ataupun yang buruk adalah dari Allah Ta’ala.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah telah berbicara tentang perkara ini dalam Kitab beliau, (‘Aqidah) Al-Wasithiyyah dan kitabnya yang lain, bahawa taqdir itu ada beberapa tingkatan:

Tingkatan yang pertama, bahawa ‘ilmu Allah meliputi segala sesuatu. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengetahui segala sesuatu tentang makhluk ciptaan-Nya sama ada yang kecil ataupun yang besar, yang begitu dalam tersembunyi ataupun yang nampak jelas, dengan ‘ilmu-Nya yang tanpa permulaan (qadim) dan tidak pula berpenghujung (azali). Setelah itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala mencatatnya dalam sebuah catatan yang terjaga (Lauhul Mahfuzh).

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كَتَبَ اللهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

“Allah telah menetapkan taqdir atas segala sesuatu pada 50,000 tahun sebelum menciptakan langit dan bumi.” (Shahih Muslim, no. 2653)

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

إِنَّ أَوَّلُ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ، فَقَالَ لَهُ: اكْتُبْ قَالَ: رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

“Perkara pertama yang Allah Tabaraka wa Ta’ala ciptakan ialah al-qalam (pena taqdir). Kemudian Allah berkata kepadanya:

“Tulislah!”

Pena tersebut menjawab, “Apa yang harus aku tulis?”

Allah mengatakan, “Tulislah apa yang akan terjadi dan segala yang ada hingga datangnya hari kiamat.” (Sunan Abi Dawud, no. 4700. Sunan At-Tirmidzi, no. 2155)

Allah tulis di Lauhul Mahfudz segala yang diketahui oleh ‘ilmu-Nya yang amat luas dan meliputi segala sesuatu.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

“Dan di sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali hanya Dia. Dia mengetahui segala apa yang ada di daratan mahupun di lautan, tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, tidaklah jatuh sebutir biji pun di kegelapan bumi, tidak pula suatu yang basah ataupun kering, melainkan telah tertulis semuanya dalam kitab yang jelas (Lauhul Mahfuzh).” (Surah Al-An’am, 6: 59)

يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ

“(Luqman berkata): Wahai anakku, sesungguhnya jika  ada (suatu perbuatan ) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkan (perhitungan)nya. Sesungguhnya Allah maha teliti lagi maha mengetahui dengan mendalam.” (Surah Luqman, 31: 16)

Jadi, Allah Maha Mengetahui terhadap segala sesuatu. Dan Dia menyusun semuanya di Al-Lauhul Mahfuzh.

Tingkatan yang kedua, beriman terhadap masyi’ah Allah (yakni kehendak Allah) yang menyeluruh dan meliputi segala sesuatu. Mengimani segala sesuatu yang dikehendaki-Nya, serta beriman terhadap kemampuan-Nya yang dengannya Dia ciptakan segala sesuatu dari yang tidak ada (asalnya) menjadi sesuatu yang ada (wujud). Semua yang telah terjadi atau pun yang akan terjadi, kecil atau besar, ucapan dan perbuatan, bergerak ataupun diam, kesemuanya tidaklah terjadi kecuali dengan kehendak-Nya. Tidak akan terwujud kecuali dengan penciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, dengan kehendak dan kemampuan-Nya yang tiada sesuatu pun dapat melemahkannya.

Bersamaan dengan itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuskan para Rasul ‘alaihis Salam, menurunkan kitab-kitab-Nya, serta mensyariatkan atas para hamba-Nya dengan perintah-perintah dan larangan, perkara-perkara ‘aqidah, ibadah dan sebagainya. Orang yang taat, dia akan mentaati atas pilihan dan kehendaknya sendiri. Dan hal tersebut tidaklah bertentangan dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala serta kemampuan-Nya.

Siapa yang berbuat taat dan menempuh jalan para Rasul ‘alaihis Salam yang mulia, maka balasannya adalah Syurga. Sebaliknya, siapa yang bermaksiat atau mendustakan dan menyelisihi mereka, maka dia akan dihisab (dihitung ‘amalnya) dan dibalas bersesuaian dengan kadar penyimpangannya. Jika penyimpangan tersebut berupa kekufuran, maka api Nereka (sebagai balasannya), dia kekal di dalamnya. Dan jika dia termasuk dari kalangan pelaku dosa-dosa besar, dia berada di bawah kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala. Yakni, jika Allah menghendaki, Allah akan mengampuninya dan jika Allah menghendaki, Allah akan menyeksanya.

Penegasan, bahawa sesungguhnya beriman terhadap taqdir, yang baik ataupun yang buruk, tidaklah menafikan untuk mendirikan dan melaksanakan syari’at.

اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ

“Beramallah, kerana setiap orang akan dipermudahkan kepada apa yang dia diciptakan.”

Sebahagian sahabat radhiyallahu ‘anhum benar-benar telah menanyakan perkara ini; atas sebab apa kita beramal ketika ini? Adakah berdasarkan tulisan pena taqdir yang telah mengering dan taqdir yang sudah berlalu, atau pun ketetapan baru saja muncul (musta’naf)??

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

بَلْ فِيمَا فيه جَفَّتْ بِهِ الْأَقْلَامُ، وَجَرَتْ بِهِ الْمَقَادِيرُ

“Bahkan berdasarkan tulisan pena taqdir yang telah mengering dan taqdir yang sudah berlalu.”

Kemudian orang itu mengatakan:

فَفِيمَ الْعَمَلُ

“kalau begitu untuk apa beramal?!”

Beliaupun menjawab:

اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ

“Beramallah, kerana setiap orang akan dipermudahkan kepada apa yang dia diciptakan.” (Shahih Al-Bukhari, 5949)

Orang-orang yang bahagia akan dipermudahkan untuk melakukan amalan orang-orang yang berbahagia. Dan orang-orang  yang celaka akan dipermudahkan untuk melakukan  amalan orang-orang yang celaka.

Ucapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Beramallah,” yakni beramallah dengan syari’at Allah Subhanahu wa Ta’ala, amalkan apa-apa yang dibawa oleh para Rasul, dan taatilah mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi pilihan (ikhtiyar) serta kemampuan (untuk para hamba-Nya). Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menganugerahkan kepadamu akal untuk membezakan antara yang haq dan yang bathil, mana yang merupakan petunjuk dan mana yang merupakan kesesatan, mana amalan ketaatan dan mana yang merupakan kemaksiatan. Kelak Allah Subhanahu wa Ta’ala akan melakukan hisab (perhitungan amal) atasmu terhadap sarana-sarana yang telah diberikan-Nya kepadamu. Dengan sarana (akal) tersebut engkau dapat membezakan antara makhluq hidup dan benda mati. Kelak kita akan diminta bertanggung-jawab (terhadap sarana-sarana dan kemudahan tersebut) di hadapan Allah. Kita akan menuai balasna dari sarana-sarana tersebut, adakah ianya berupa kemuliaan atau sebaliknya berupa kehinaan.

وَالتَّصْدِيقُ بِالْأَحَادِيثِ فِيهِ

“membenarkan hadis-hadis tentangnya…”

Yakni tentang taqdir. Di antara hadis-hadis tersebut adalah sebagaimana yang telah kami sebutkan, seperti hadis Jibrail ‘alaihi Sallam:

“Engkau beriman kepada taqdir yang baik dan yang buruk.”

Maka engkau imanilah taqdir, sama ada taqdir yang baik ataupun yang buruk. Dan ini adalah taqdir Taqdir al-‘Am (global) yang tempat kembalinya adalah kepada ‘ilmu Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mencakup segala sesuatu serta mendahului. Demikian pula kembali kepada apa yang ditulis-Nya dalam Lauhul Mahfudz.

Sedangkan hadis Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu (berbicara) tentang Taqdir al-‘Umri, yakni umur seseorang. Di dalamnya disebutkan:

“Sesungguhnya salah seorang di antara kalian telah dikumpulkan penciptaan dirinya di dalam perut ibunya; 40 hari berupa cairan (sperma). Kemudian menjadi segumpal darah semisal itu. Kemudian menjadi segumpal daging semisal itu pula.”

Maksud dari “semisal itu,” yakni masing-masingnya selama 40 hari.

“Setelah itu diutuskan kepadanya malaikat, lalu diperintahkan menulis empat perkara:

Rezekinya, ajalnya, amalannya serta adakah dia menjadi orang yang bahagia atau binasa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6594. Muslim, no. 2643)

Inilah yang diistilahkan dengan Taqdir al-‘Umri.

Di sana ada pula Taqdir as-Sanawi (tahunan), iaitu pada Lailatul Qadar. Sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (3) فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan Sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah Ad-Dukhan, 44: 3, 4)

Pada malam itu, Allah Subhanahu wa Ta’ala tuliskan taqdir yang berlaku bagi para hamba, berupa amalan baik mahupun buruk, musibah-musibah dan semisalnya. Ini dinamakan dengan Taqdir as-Sanawi yang Allah taqdirkan di malam tersebut.

Ada pula Taqdir Yaumi (harian), yakni apa saja yang akan dilakukan para hamba hari demi harinya, maka para malaikat menuliskannya atas mereka.

Selanjutnya, penulis (Imam Ahmad rahimahullah) berkata:

وَالْإِيمَانُ بِهَا

“dan beriman dengannya…”

Yakni beriman dengan nash-nash (dalil) tentangnya.

لَا يُقَالُ لِمَ وَلَا كَيْفَ

“Tidak (boleh ) dikatakan; untuk apa? Mengapa?”

Seperti contohnya ucapan, “Mengapa Allah berkata demikian?”, “Kenapa Allah taqdirkan begini?”,  “Mengapa Allah memerintahkan ini?”, “Mengapa Allah melarang itu?”

Maka penulis katakan:

“Tidak boleh dikatakan, “Mengapa?”, Dan tidak pula, “Bagaimana?”.

Yang benar hanyalah mengimaninya, pasrah dan berserah-diri. Kerana pertanyaan-pertanyaan semisal ini, adakalanya (hanya) muncul sebagai bentuk penentangan atas taqdir Allah Subhanahu wa Ta’ala, syari’at-Nya, perintah serta larangan-Nya. Maka tiada lain atas dirimu kecuali tunduk berserah-diri, khasnya dalam permasalahan taqdir. Kerana masalah taqdir adalah sebagaimana dikatakan:

“Rahsia Ilahi.”

Sebab itu, apa yang engkau ketahui darinya, pujilah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan apa-apa yang tidak engkau ketahui, maka kewajibanmu hanyalah tunduk-menerima. Jangan engkau katakan, “Mengapa?”, dan tidak juga, “Bagaimana?”, namun yang ada hanyalah membenarkan dan mengimaninya. Inilah yang wajib atas seorang muslim. Ini merupakan kesan dari persaksian “La ilaaha illallah wa anna Muhammadar Rasulullah.” Engkau tunduk berserah diri kepada Allah terhadap apa-apa yang Dia perintahkan dan terhadap apa-apa yang Dia larang, demikian juga terhadap apa-apa yang disyari’atkan dan ditaqdirkan oleh-Nya atasmu berupa taqdir yang baik ataupun yang buruk.

Berkata Al-Imam Ahmad bin Hanbal:

وَمَنْ لَمْ يَعْرِفْ تَفْسِيرَ الْحَدِيثِ وَيَبْلُغْهُ عَقْلُهُ فَقَدْ كُفِيَ ذَلِكَ وَأُحْكِمَ لَهُ، فَعَلَيْهِ الْإِيمَانُ بِهِ وَالتَّسْلِيمُ لَهُ، مِثْلُ حَدِيثِ الصَّادِقِ وَالْمَصْدُوقِ، وَمَا كَانَ مِثْلَهُ فِي الْقَدَرِ، وَمِثْلُ أَحَادِيثِ الرُّؤْيَةِ كُلِّهَا، وَإِنْ نَبَتْ عَنِ الْأَسْمَاعِ وَاسْتَوْحَشَ مِنْهَا الْمُسْتَمِعُ فَإِنَّمَا عَلَيْهِ الْإِيمَانُ بِهَا، وَأَنْ لَا يَرُدَّ مِنْهَا جُزْءًا وَاحِدًا وَغَيْرَهَا مِنَ الْأَحَادِيثِ الْمَأْثُورَاتِ عَنِ الثِّقَاتِ

“Sesiapa yang tidak mengetahui tafsir sesuatu hadis, dan akalnya juga tidak mampu menjangkaunya, maka cukuplah dengan apa yang ada. Dan wajib untuk dia beriman serta tunduk menerimanya. Misalnya hadis Ash-Shoadiqul Mashduq, juga hadis yang semisal dengannya tentang taqdir. Demikian juga hadis-hadis tentang ar-ru’yah (melihat Allah) keseluruhannya, sekalipun terdengar mustahil di telinga dan tidak logik di sisi yang mendengarnya. Wajib atasnya untuk beriman dan jangan sampai ia menolaknya walau satu huruf pun. Demikian juga hadis-hadis yang dinukilkan oleh para perawi yang tsiqah (terpercaya).”

Syarh dan penjelasan oleh Asy-Syaikh Rabi’:

“Sesiapa yang tidak mengetahui tafsir sesuatu hadis, dan akalnya juga tidak mampu menjangkaunya, maka cukuplah dengan apa yang ada.”

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا لَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 286)

Sebahagian dalil, boleh jadi tidak mapu engkau fahami. Namun apa hikmah dan tujuan dari hal tersebut? Apa rahsia di sebaliknya? Maka, yang wajib atasmu adalah tetap mengimani dan membenarkannya. Inilah kesan (atau pengaruh) dari iman dan pembenaran itu sendiri. Yakni engkau beriman dengan yang ghaib, engkau juga mengimani bahawa Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah benar, demikian pula terhadap Al-Qur’an. Semua yang dibawa beliau adalah benar dan beliau tidak berbicara dengan hawa nafsunya. Apa-apa yang dapat engkau ketahui, al-hamdulillah, manakala yang tidak engkau ketahui, maka serahkanlah kepada yang mengetahuinya, dan itu telah mencukupimu.

Sekian nukilan – Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest