Orang Sakit Boleh Jamakkan Solat
Bahawasanya Allah tidak membebani seseorang kecuali bersesuaian dengan kemampuannya. Tidak ada satu pun dari syari’at yang diturunkan bertujuan untuk membebani kaum muslimin di luar kemampuan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْساً إِلاَّ وُسْعَهَا
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah Al-Baqarah, 2: 286)
Di ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“Dan tidaklah Allah menjadikan bagi kalian di dalam agama ini kepayahan…” (Surah Al-Hajj, 22: 78)
Dan Allah memerintahkan kaum muslimin agar melaksanakan ketaatan dan ketaqwaan kepada-Nya dengan sedaya-upaya bersesuaian dengan kemampuan. Maka Allah Ta’ala telah berfirman:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Maka bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sedaya-upaya kalian (yakni bersesuaian dengan kemampuan kalian).” (Surah At-Taghaabun, 64: 16)
Di antara syari’at dan kewajiban yang paling besar yang telah dibebankan dan diwajibkan ke atas seluruh kaum muslimin adalah solat pada waktunya, dan ia tidak boleh diabaikan atau ditinggalkan.
Namun, ada masa dan ketikanya, disebabkan halangan atau udzur tertentu, solat menjadi berat untuk dilaksanakan sebagaimana biasa. Ini antaranya disebabkan oleh sakit yang memberatkan. Dan keadaan seseorang yang sihat dengan yang sakit, sudah tentu sangat berbeza.
Maka dalam keadaan seperti ini, terdapat rukhshah atau keringanan bagi kaum muslimin. Sehingga denganya, setiap kaum muslimin tetap dapat melaksanakan kewajiban solat walau dalam apa pun jua keadaan yang sedang dia hadapi. Dan hal ini banyak dicontohkan di dalam hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sahih.
Sebagai contoh, jika dia tidak mampu untuk solat dalam keadaan berdiri, maka dia boleh untuk solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu solat dalam keadaan berdiri dan duduk, maka dia boleh solat dalam keadaan berbaring.
Ini sebagaimana dari hadis ‘Imran bin Hushain, beliau berkata:
كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصَّلاَةِ، فَقَالَ: «صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
“Bahawa aku pernah tertimpa buwasir, maka aku pun bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang solat (dalam keadaan menderita sakit tersebut). Maka Nabi pun bersabda:
“Solatlah dengan berdiri, jika tidak mampu berdiri, maka solatlah dalam keadaan duduk, namun jika tidak mampu juga maka solatlah dalam keadaan berbaring.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1117)
Demikian pula ketika seseorang tidak mendapatkan air untuk berwudhu’, atau ketika tubuhnya tidak boleh terkena dengan air disebabkan sakit, maka dia diberi rukhshah dengan tayammum.
Dan bahawa Allah menyukai sekiranya rukhshah yang Dia berikan ini diambil dan diterima oleh para hamba-Nya.
Sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Umar bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى رُخَصُهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ تُؤْتَى مَعْصِيَتُهُ
“Allah menyukai sekiranya rukhshah yang Dia berikan disambut (diterima), sebagaimana Dia membenci Dia dimaksiati.” (Musnad Ahmad, no. 5866, 5873)
Dalam riwayat yang lain:
إنَّ اللَّهَ يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى رُخَصُهُ، كَمَا يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى عَزَائِمُهُ
“Allah menyukai sekiranya rukhshah yang Dia berikan disambut (diterima), sebagaimana Dia menyukai dilaksanakan perintah-perintah-Nya.” (Shahih Ibn Hibban, no. 3568)
Demikian pula ketika seorang muslim mengalami kepayahan atau terhalang untuk tetap melaksanakan solat pada waktunya disebabkan udzur atau sakit, maka dia dibolehkan untuk menjamakkan solatnya. Sama ada meng-awalkan solat pada waktu pertama, atau melewatkannya ke waktu solat yang kedua.
Ini dibolehkan bagi solat zuhur dijamakkan (digabungkan) dengan ‘Ashar (yakni 4 rakaat + 4 rakaat), manakala maghrib dijamakkan (digabungkan) dengan ‘Isya’ (yakni 3 rakaat + 4 rakaat). Zuhur boleh dilewatkan lalu ditunaikan dan digabungkan bersama-sama solat ‘Ashar di waktu ‘Ashar, atau ‘Ashar diawalkan dan ditunaikan bersama solat Zuhur di dalam waktu Zuhur. Demikian pula dengan solat Maghrib dan ‘Isya’.
Di antara yang menjadi dalilnya adalah hadis di Shahih Muslim, di mana Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا مَطَرٍ فِي حَدِيثِ وَكِيعٍ: قَالَ: قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ: لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ قَالَ: كَيْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ، وَفِي حَدِيثِ أَبِي مُعَاوِيَةَ: قِيلَ لِابْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ إِلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menjamakkan solat antara zuhur dengan ‘ashar, dan maghrib dengan isya’ di Madinah bukan disebabkan takut, dan tidak juga kerana hujan.”
Dalam hadis Wakii’, beliau berkata, aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Kenapa beliau melakukan begitu?” Ibnu ‘Abbas jawab, “Yang demikian kerana beliau tidak mahu memberatkan umatnya.”
Dan pada hadis Abi Mu’awiyah, ditanyakan kepada Ibnu ‘Abbas, “Apa yang dikehendaki (oleh Nabi) dengan berbuat begitu (menjamakkan solat)? Jawab Ibnu ‘Abbas:
“Beliau mahu agar tidak memberatkan umatnya.” (Shahih Muslim, no. 705)
Hadis ini menunjukkan menjamakkan solat disyari’atkan dalam keadaan takut (perang atau huru-hara), hujan, dan dalam keadaan selain dari keduanya, iaitu ketika dalam suasana yang menyebabkan perlaksanaan solat menjadi berat (yakni ketika adanya udzur dan halangan tertentu yang menyukarkan). Ini dapat difahami dari hadis tersebut yang mana Rasulullah menjamakkan solat tersebut kerana mahu menghilangkan kesulitan dari umatnya.
Kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):
وَقَدْ أَجْمَعْنَا عَلَى أَنَّ الْجَمْعَ لَا يَجُوزُ لِغَيْرِ عُذْرٍ، ثَبَتَ أَنَّهُ كَانَ لِمَرَضٍ، وَقَدْ رُوِيَ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ قَالَ فِي حَدِيثِ ابْنِ عَبَّاسٍ: هَذَا عِنْدِي رُخْصَةٌ لِلْمَرِيضِ وَالْمُرْضِعِ.
“Bahawasanya kami sepakat bahawa menjamakkan solat tanpa sebarang udzur adalah tidak dibolehkan. Telah tsabit bolehnya jama’ bagi orang yang sakit. Bahawa diriwayatkan dari Abu ‘Abdillah (Imam Ahmad bin Hanbal), bahawasanya beliau berbicara terkait hadis Ibn ‘Abbas (tersebut di atas), “Ini menurut-ku merupakan rukhshah (keringanan) bagi orang yang sakit dan perempuan yang menyusukan.” (Al-Mughni, 2/204)
Beliau juga menyebutkan:
قَالَ الْأَثْرَمُ، قِيلَ لِأَبِي عَبْدِ اللَّهِ: الْمَرِيضُ يَجْمَعُ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ؟ فَقَالَ: إنِّي لِأَرْجُوَ لَهُ ذَلِكَ إذَا ضَعُفَ، وَكَانَ لَا يَقْدِرُ إلَّا عَلَى ذَلِكَ. وَكَذَلِكَ يَجُوزُ الْجَمْعُ لِلْمُسْتَحَاضَةِ، وَلِمَنْ بِهِ سَلَسُ الْبَوْلِ، وَمَنْ فِي مَعْنَاهُمَا؛ لِمَا رَوَيْنَا مِنْ الْحَدِيثِ، وَاَللَّهُ أَعْلَمُ
“Telah berkata Al-Atsram, ditanya kepada Abu ‘Abdillah (Imam Ahmad), “Adakah orang yang sakit boleh menjamakkan dua solat?”
Maka jawab beliau, “Sesungguhnya demikianlah yang aku harapkan jika dia lemah, atau jika dia tidak mampu melainkan dengan cara tersebut. Dan demikian pula dibolehkan menjamakkan solat bagi perempuan yang istihadhah, dan bagi yang mengalami sakit salasul baul (kencing tidak lawas, atau tidak putus), dan juga bagi siapa yang mengalami sakit/udzur yang semisal, berdasarkan apa yang kami fahami dari hadis, wallaahu a’lam.” (Al-Mughni, 2/205)
Menurut Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وذهب جماعة من الأئمة إلى جواز الجمع في الحضر للحاجة لمن لا يتخذه عادة وهو قول بن سيرين وأشهب من أصحاب مالك وحكاه الخطابي عن القفال والشاشي الكبير من أصحاب الشافعي عن أبي إسحاق المروزي عن جماعة من أصحاب الحديث واختاره بن المنذر ويؤيده ظاهر قول بن عباس أراد أن لا يحرج أمته فلم يعلله بمرض ولا غيره والله أعلم
“Sejumlah dari para ulama berpendapat bolehnya untuk menjamakkan solat dalam keadaan mukim disebabkan hajat (keperluan tertentu yang mendesak), yakni selagi mana tidak dijadikan sebagai adat kebiasaan. Dan ini merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari kalangan pengikut imam Malik. Dan dihikayatkan oleh Al-Khaththabi dari Al-Qaffaal dan Asy-Syaasyi Al-Kabiir dari kalangan tokoh mazhab Asy-Syafi’i, dan juga dari Abu Ishaq Al-Marwazi, dari sejumlah tokoh-tokoh ahli hadis, dan pendapat ini juga telah dipilih oleh Ibn Al-Mundzir.
Pendapat ini didukung berdasarkan zahir perkataan Ibnu ‘Abbas, “Beliau (Nabi) tidak ingin memberatkan umatnya…” yang tidak mengaitkan sebab keringanan (membolehkan jamak) tersebut sama ada kerana sakit atau udzur yang lainnya. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 5/219)
Seandainya menjamakkan solat dibolehkan dengan sebab hujan atau kerana ingin mempercepatkan perjalanan di dalam safar, tentu menjamakkan solat disebabkan udzur sakit juga dibolehkan, di mana orang yang sakit lebih memerlukan rukhshah ini, dan kepayahan yang terdapat pada sebahagian atau kebanyakan orang yang sakit itu lebih berat berbanding hujan.
Sebagaimana kata Al-Imam An-Nawawi di halaman sebelumnya terkait perbuatan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma yang pernah berkhuthbah di hadapan umum sebaik setelah ‘Ashar sampailah berlalu waktu maghrib, lalu masuk ke waktu ‘isya’ (lihat: Shahih Muslim, no. 705), beliau menjelaskan:
ومنهم من قال هو محمول على الجمع بعذر المرض أو نحوه مما هو في معناه من الأعذار وهذا قول أحمد بن حنبل والقاضي حسين من أصحابنا واختاره الخطابي والمتولي والروياني من أصحابنا وهو المختار في تأويله لظاهر الحديث ولفعل بن عباس وموافقة أبي هريرة ولأن المشقة فيه أشد من المطر
“Dan di antara mereka (dari para ulama) mengatakan, ianya dibawa kepada makna jamak disebabkan udzur sakit atau kerana udzur yang lainnya. Dan ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Qadhi Husain dari kalangan sahabat kami (tokoh dalam mazhab Asy-Syafi’i), dan merupakan pendapat yang dipilih oleh Al-Khaththabi, Al-Mutawalli, dan juga Ar-Ruyani dari kalangan sahabat-sahabat kami (dalam kalangan tokoh-tokoh mazhab Asy-Syafi’i). Dan inilah pendapat yang terpilih berdasarkan zahir hadis dan perbuatan Ibnu ‘Abbas, serta disepakati pula oleh Abu Hurairah. Dan kerana masyaqqah (kepayahan) pada orang yang sakit ini lebih berat berbanding kepayahan dengan sebab hujan.” (Syarh Shahih Muslim, 5/219-219)
Demikian menurut Al-Imam Ibnu Qudamah:
وَحَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ حَمَلْنَاهُ عَلَى حَالَةِ الْمَرَضِ، وَيَجُوزُ أَنْ يَتَنَاوَلَ مَنْ عَلَيْهِ مَشَقَّةٌ، كَالْمُرْضِعِ، وَالشَّيْخِ الضَّعِيفِ، وَأَشْبَاهِهِمَا مِمَّنْ عَلَيْهِ مَشَقَّةٌ فِي تَرْكِ الْجَمْعِ
“Dan hadis Ibnu ‘Abbas difahami maknanya merujuk kepada orang yang sedang sakit, boleh juga bagi mereka yang mengalami atau punya masyaqqah (kepayahan), semisal perempuan yang menyusukan, orang tua yang lemah, dan sebab-sebab yang semisal itu yakni bagi siapa yang mengalami kepayahan jika dia meninggalkan jamak.” (Al-Mughni, 2/205)
Kata Syaikh Al-Islam IbnuTaimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):
وَيَجُوزُ عِنْدَهُ وَعِنْدَ مَالِكٍ وَطَائِفَةٍ مِنْ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ الْجَمْعُ لِلْمَرَضِ
“Dan adalah dibolehkan menjamakkan solat dengan sebab sakit menurut Imam Ahmad, Malik, dan sekelompok dari kalangan tokoh-tokoh pengikut mazhab Asy-Syafi’i.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/28)
Beliau turut menyatakan:
وَالْقَصْرُ سَبَبُهُ السَّفَرُ خَاصَّةً لَا يَجُوزُ فِي غَيْرِ السَّفَرِ وَأَمَّا الْجَمْعُ فَسَبَبُهُ الْحَاجَةُ وَالْعُذْرُ فَإِذَا احْتَاجَ إلَيْهِ جَمَعَ فِي السَّفَرِ الْقَصِيرِ وَالطَّوِيلِ وَكَذَلِكَ الْجَمْعُ لِلْمَطَرِ وَنَحْوِهِ وَلِلْمَرَضِ وَنَحْوِهِ وَلِغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ الْأَسْبَابِ فَإِنَّ الْمَقْصُودَ بِهِ رَفْعُ الْحَرَجِ عَنْ الْأُمَّةِ
“Sebab dibolehkan untuk mengqashar solat itu adalah khusus kerana safar. Tidak boleh mengqasharkan solat untuk selain dari safar.
Adapun menjamakkan solat, sebabnya adalah kerana wujudnya hajat (keperluan yang mendesak) dan ‘udzur (yang memberatkan). Jika seseorang perlu kepada jamak di saat safar, maka dia boleh untuk menjamakkan solat sama ada pada safar yang pendek mahupun yang panjang.
Dan demikianlah juga menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat dan seumpamanya, atau dengan sebab sakit dan yang seumpamanya dari selain yang demikian dari sebab-sebab (yang memberatkan). Kerana maksud dari tujuan dibolehkan jamak itu adalah bagi mengangkat kesukaran dari ummah (kaum muslimin).” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/292)
Kata Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah (Wafat: 1376H):
والصحيح جواز الجمع إذا وجد العذر
“Adapun yang sahih (benar), dibolehkan untuk menjamakkan solat bila wujud keudzuran (yang memberatkan)…” (Mukhtaaraat Al-Jaliyyah, m/s. 68)
Ibnu Taimiyyah menukilan perkataan Al-Qadhi Abu Ya’la rahimahullah (Wafat: 458H):
قَالَ الْقَاضِي أَبُو يَعْلَى كُلُّ عُذْرٍ يُبِيحُ تَرْكَ الْجُمْعَةِ وَالْجَمَاعَةِ يُبِيحُ الْجَمْعَ وَلِهَذَا يُجْمَعُ لِلْمَطَرِ وَالْوَحْلِ وَلِلرِّيحِ الشَّدِيدَةِ الْبَارِدَةِ ؛ فِي ظَاهِرِ مَذْهَبِ الْإِمَامِ أَحْمَد وَيَجْمَعُ الْمَرِيضُ وَالْمُسْتَحَاضَةُ وَالْمُرْضِعُ
“Al-Qadhi Abu Ya’la berkata, setiap udzur yang menjadi sebab dibolehkan meninggalkan solat Juma’at dan solat jama’ah, adalah udzur yang juga membolehkan untuk menjamakkan solat. Atas sebab ini maka dibolehkan menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat, tanah yang berair/berlumpur, dan juga disebabkan oleh angin kencang yang sangat sejuk, (yakni) berdasarkan zahir mazhab Imam Ahmad. Dan dibolehkan menjamak bagi orang yang sakit, perempuan istihadhah, dan perempuan yang menyusukan.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/14)
Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) turut menyebutkan:
وَرَخَّصَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ مِنَ التَّابِعِينَ فِي الجَمْعِ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ لِلْمَرِيضِ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ
“Sebahagian ahli ilmu dari kalangan tabi’in memberikan rukhshah (keringanan) pada menjama’kan dua solat bagi orang yang sakit. Di antara yang berpendapat demikian adalah Al-Imam Ahmad dan Ishaq Ibn Rahawayh.” (Sunan At-Tirmidzi, 1/356)
Kata Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah (Wafat: 1420H):
أما الجمع فأمره أوسع؛ فإنه يجوز للمريض، ويجوز أيضًا للمسلمين في مساجدهم عند وجود المطر، أو الدحض، بين المغرب والعشاء، وبين الظهر والعصر، ولا يجوز لهم القصر؛ لأن القصر مختص بالسفر فقط
“Adapun menjamakkan dua solat itu perkaranya luas, kerananya maka dibolehkan bagi orang yang sakit untuk menjamakkan solat.
Dan dibolehkan juga bagi kaum muslimin menjamakkan solat di masjid-masjid mereka ketika terjadinya hujan lebat, atau ketika terdapat gangguan di jalanan (untuk pergi balik masjid), yakni jamak di antara maghrib dengan isya’, atau di antara zuhur dengan ‘ashar.
Namun tidak boleh mereka mengqashar solat (dalam waktu yang sama), kerana qashar solat itu dikhususkan bagi mereka yang safar sahaja.” (Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah oleh Muhammad bin Sa’id Asy-Syuway’ir, 12/289-290)
Kata beliau juga:
إذا وجد العذر جاز أن يجمع بين الصلاتين: الظهر والعصر، والمغرب والعشاء، لعذر المرض، والسفر، والمطر الشديد في أصح قولي العلماء
“Apabila wujud udzur (yang memberatkan), maka dibolehkan untuk menjamak antara dua solat. Yakni sama ada zuhur dengan ‘ashar, atau maghrib dengan ‘isya’, bagi orang yang udzur kerana sakit, kerana safar, atau kerana hujan yang sangat lebat berdasarkan pendapat para ulama yang lebih tepat.” (Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah oleh Muhammad bin Sa’id Asy-Syuway’ir, 12/292)
Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) mengatakan:
والصحيح أن الجمع سنّة إذا وجد سببه لوجهين: الوجه الأول: أنه من رخص الله عزّ وجل والله سبحانه يحب أن تؤتى رخصه. الوجه الثاني: أن فيه اقتداء برسول الله صلّى الله عليه وسلّم فإنه كان يجمع عند وجود السبب المبيح للجمع.
“Adapun yang sahih, menjamakkan dua solat itu adalah sunnah ketika wujud sebabnya dengan berdasarkan dua sisi;
(Sisi pertama), Menjamakkan solat itu adalah rukhshah dari Allah ‘Azza wa Jalla, dan Allah Yang Maha Suci menyukai jika engkau menyambut rukhshah-Nya.
(Sisi kedua), Pada perlaksanaan jamak itu merupakan bentuk dari mengikuti dan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihiwa Sallam, kerana beliau pasti akan menjamakkan solat ketika mana wujud sebab yang membolehkan untuk menjamak.” (Asy-Syarhul Mumti’ ala Zaadil Mustaqni’, 4/386)
Kata Ibnu Taimiyyah:
فَالْأَحَادِيثُ كُلُّهَا تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ جَمَعَ فِي الْوَقْتِ الْوَاحِدِ لِرَفْعِ الْحَرَجِ عَنْ أُمَّتِهِ فَيُبَاحُ الْجَمْعُ إذَا كَانَ فِي تَرْكِهِ حَرَجٌ قَدْ رَفَعَهُ اللَّهُ عَنْ الْأُمَّةِ وَذَلِكَ يَدُلُّ عَلَى الْجَمْعِ لِلْمَرَضِ الَّذِي يُحْرِجُ صَاحِبَهُ بِتَفْرِيقِ الصَّلَاةِ بِطَرِيقِ الْأَوْلَى وَالْأَحْرَى وَيَجْمَعُ مَنْ لَا يُمْكِنُهُ إكْمَالُ الطَّهَارَةِ فِي الْوَقْتَيْنِ إلَّا بِحَرَجٍ كَالْمُسْتَحَاضَةِ وَأَمْثَالِ ذَلِكَ مِنْ الصُّوَرِ
“Adalah hadis-hadis seluruhnya menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat pada salah satu waktu dengan tujuan mengangkat kepayahan dari umatnya.
Maka atas sebab itu, dibolehkan untuk menjamakkan solat apabila berada dalam suatu keadaan yang jika tidak menjamakkan solat maka seseorang itu akan berada dalam keadaan yang payah, sedangkan kepayahan adalah suatu yang telah Allah angkat dari umat ini.
Dan demikianlah menunjukkan dibolehkan menjamakkan solat bagi orang yang sakit yang menjadikan pesakit merasa payah (sukar) jika tetap melaksanakan solat pada waktunya masing-masing, maka menjamakkan solat adalah lebih utama.
Demikian pula dibolehkan menjamakkan solat bagi seseorang yang tidak memungkinkannya untuk melaksanakan thaharah secara sempurna di setiap waktu solat melainkan dengan bersusah-payah semisal perempuan yang istihadhah dan yang semisalnya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/84)
Kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):
وَالْمَرَضُ الْمُبِيحُ لِلْجَمْعِ هُوَ مَا يَلْحَقهُ بِهِ بِتَأْدِيَةِ كُلِّ صَلَاةٍ فِي وَقْتِهَا مَشَقَّةٌ وَضَعْفٌ
وَالْمَرِيضُ مُخَيَّرٌ فِي التَّقْدِيمِ وَالتَّأْخِيرِ كَالْمُسَافِرِ. فَإِنْ اسْتَوَى عِنْدَهُ الْأَمْرَانِ فَالتَّأْخِيرُ أَوْلَى
“Orang sakit yang dibolehkan untuk menjamakkan solat adalah orang yang jika mengerjakan setiap solat pada waktunya akan menyebabkannya mengalami kepayahan dan kelemahan…
… Orang yang sakit punya pilihan sama ada untuk menjamakkannya pada waktu yang pertama (taqdim), atau pun waktu yang kedua (ta’khir) sebagaimana orang yang musafir (yakni berdasarkan mana yang sesuai baginya). Jika dua keadaan tersebut sama, maka ta’khir adalah lebih utama.” (Al-Mughni, 2/205)
Wallaahu a’lam.