Mewarisi Harta Warisan Rasulullah

Mewarisi Harta Warisan Rasulullah

Disediakan oleh Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dalam sebuah hadis dalam Al-Mu’jam Al-Awsath:

عن أبي هريرة: أنه مر بسوق المدينة فوقف عليها فقال يا أهل السوق ما أعجزكم قالوا وما ذاك يا أبا هريرة قال ذاك ميراث رسول الله يقسم وأنتم ها هنا لا تذهبون فتأخذون نصيبكم منه قالوا وأين هو قال في المسجد فخرجوا سراعا إلى المسجد ووقف أبو هريرة لهم حتى رجعوا فقال لهم ما لكم قالوا يا أبا هريرة فقد أتينا المسجد فدخلنا فلم نر فيه شيئا يقسم فقال لهم أبو هريرة أما رأيتم في المسجد أحدا قالوا بلى رأينا قوما يصلون وقوما يقرأون القرآن وقوما يتذاكرون الحلال والحرام فقال لهم أبو هريرة ويحكم فذاك ميراث محمد

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya beliau melalui pasar Madinah dan berhenti padanya lalu berkata, “Wahai orang-orang pasar, apakah yang melemahkan kalian?” Mereka pun bertanya, “Apa sebabnya wahai Abu Hurairah?” Beliau menjawab, “Kerana warisan Rasulullah sedang diagih-agihkan (yakni dibahagi), tetapi kalian pula sibuk berada di sini? Mengapa kalian tidak pergi dan mengambil bahagian kalian darinya?” Mereka pun bertanya, “Di manakah beliau?” Abu Hurairah jawab, “Di masjid.” Maka mereka pun berpusu-pusu keluar menuju masjid.

Abu Hurairah hanya berdiri sambil menunggu mereka kembali. Lalu beliau berkata kepada mereka, “Kenapa dengan kalian?” Mereka jawab, “Wahai Abu Hurairah, kami telah datang ke masjid lalu kami masuk. Kami tidak melihat sesuatu pun yang sedang dibahagikan.” Maka Abu Hurairah berkata pada mereka, “Kalian tidak melihat seorang pun di masjid?” Mereka menjawab, “Ya, kami hanya melihat sekelompok orang sedang solat, dan sekelompok lagi sedang membaca Al-Qur’an, dan sekelompok yang lain sedang membahas tentang perkara yang halal dan haram.” Maka Abu Hurairah berkata, “Nah! Itulah warisan Muhammad.” (Al-Mu’jam Al-Awsath oleh Ath-Thabrani, no. 1429)

Sebagaimana dalam hadis bahawa para Nabi itu tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun, mereka mewariskan ilmu. Dan harta warisan nabi kita adalah Sunnahnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya para ulama itu adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahu pun dirham. Namun mereka mewariskan ilmu. Maka, sesiapa yang mengambil ilmu tersebut, benar-benar dia telah mendapat bahagian yang sangat besar.” (Sunan Abi Dawud, no. 3641. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Berkata Ibnu Hibban rahimahullah (Wafat: 354H):

في هذا الحديث بيان واضح أن العلماء الذين لهم الفضل الذي ذكرنا هم الذين يعلمون علم النبي صلى الله عليه وسلم دون غيره من سائر العلوم ألا تراه يقول: “العلماء ورثة الأنبياء” والأنبياء لم يورثوا إلا العلم وعلم نبينا صلى الله عليه وسلم سنته فمن تعرى عن معرفتها لم يكن من ورثة الأنبياء

“Dalam hadis ini terdapat penjelasan yang sangat jelas bahawa ulama yang memiliki keutamaan yang kami ulas adalah mereka yang mengajarkan ilmu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sahaja, bukan yang mengajarkan ilmu-ilmu lain. Bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Ulama adalah pewaris para nabi…”

dan para nabi tidak mewariskan apa pun melainkan ilmu, dan ilmu Nabi kita Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sunnahnya. Sesiapa pun yang tidak mengetahui sunnah, maka bukanlah pewaris para nabi.” (Shahih Ibnu Hibban, 1/291 – tahqiq Syua’ib al-Arna’uth)

Wallahu a’lam.