Memahami Hadis Habbatus Sauda Penawar Bagi Segala Penyakit
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Al-Imam Al-Bukhari meriwayatkan dalam Kitab Shahih-nya dari Manshur, dari Khalid bin Sa’d, beliau berkata:
خَرَجْنَا وَمَعَنَا غَالِبُ بْنُ أَبْجَرَ فَمَرِضَ فِي الطَّرِيقِ، فَقَدِمْنَا المَدِينَةَ وَهُوَ مَرِيضٌ، فَعَادَهُ ابْنُ أَبِي عَتِيقٍ، فَقَالَ لَنَا: عَلَيْكُمْ بِهَذِهِ الحُبَيْبَةِ السَّوْدَاءِ، فَخُذُوا مِنْهَا خَمْسًا أَوْ سَبْعًا فَاسْحَقُوهَا، ثُمَّ اقْطُرُوهَا فِي أَنْفِهِ بِقَطَرَاتِ زَيْتٍ، فِي هَذَا الجَانِبِ وَفِي هَذَا الجَانِبِ، فَإِنَّ عَائِشَةَ، حَدَّثَتْنِي: أَنَّهَا سَمِعَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ» قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ
“Kami pernah keluar dan bersama-sama kami ketika itu adalah Ghalib bin Abjaar, lalu beliau ditimpa sakit ketika dalam perjalanan. Kami pun sampai di Madinah dan beliau masih sakit. Lalu datang Ibn Abi ‘Atiiq menziarahi beliau, lalu Ibn Abi ‘Atiiq pun berkata kepada kami:
“Hendaklah engkau menggunakan Al-Habbatus Sauda’ ini, ambillah darinya lima biji atau tujuh biji, kemudian giling (lumatkan) ia dan titiskan minyaknya pada hidungnya, pada sebelah sini dan sebelah sini. Bahawa ‘Aisyah pernah mengkhabarkan kepadaku:
“Bahawasanya beliau pernah mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya pada habbatus sauda’ ini terkandung syifaa’ (penawar) bagi segala penyakit, kecuali dari As-Saam.” Aku bertanya, “Apa dia As-Saam?” Beliau bersabda, “Kematian.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5687)
Di hadis yang lain dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
فِي الحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا السَّامَ» قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَالسَّامُ المَوْتُ، وَالحَبَّةُ السَّوْدَاءُ: الشُّونِيزُ
“Pada Al-Habbatus Sauda’ itu syifaa’ (penawar) bagi segala penyakit, kecuali As-Saam.”
Ibn Syihab berkata:
“As-Saam adalah Al-Maut (mati), dan Al-Habbatus Sauda’ adalah Asy-Syuuniiz (jintan hitam – black cumin).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5688)
Hadis ini turut diriwayatkan di banyak kitab-kitab hadis lainnya dan telah dimaklumi.
Penjelasan Para Ulama
Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 544H) berkata:
وذكر الأطباء فى منفعة الحبة السوداء التى هي الشونيز أشياء كثيرة وخواص عجيبة يصدقها قوله صلى الله عليه و سلم فيها
“Para dokter (atau ahli perubatan) telah menyebutkan banyak manfaat dan khasiat yang mengangumkan pada Habbatus Sauda’ atau jintan hitam, yang mana semuanya telah dibenarkan melalui sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Syarh Shahih Muslim, 14/196-197)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:
فيحمل أيضا على العلل الباردة على نحو ماسبق فى القسط وهو صلى الله عليه و سلم قد يصف بحسب ما شاهده من غالب أحوال أصحابه رضى الله عنهم
“Hadis ini dapat difahami juga, merujuk untuk penyakit-penyakit yang bersifat sejuk sebagaimana perbahasan terdahulu pada perbahasan berubat dengan Al-Qusth. Dan beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, adakalanya menyebutkan sedemikian dengan berdasarkan apa yang beliau saksikan dari kebiasaan keadaan para sahabat-sahabat beliau radhiyallahu ‘anhum.” (Syarh Shahih Muslim, 14/196)
Yakni merujuk pada kebiasaan penyakit yang berlegar dalam kalangan masyarakat ketika itu. Wallaahu a’lam.
Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah ketika menjelaskan hadis ini beliau berkata:
وقيل إن قوله كل داء تقديره يقبل العلاج بها فإنها تنفع من الأمراض الباردة وأما الحارة فلا نعم قد تدخل في بعض الأمراض الحارة اليابسة بالعرض فتوصل قوي الأدوية الرطبة الباردة إليها بسرعة تنفيذها ويستعمل الحار في بعض الأمراض الحارة لخاصية فيه لا يستنكر كالعنزروت فإنه حار ويستعمل في أدوية الرمد المركبة مع أن الرمد ورم حار باتفاق الأطباء وقد قال أهل العلم بالطب إن طبع الحبة السوداء حار يابس وهي مذهبة للنفخ نافعة من حمى الربع والبلغم مفتحة للسدد والريح مجففة لبلة المعدة وإذا دقت وعجنت بالعسل وشربت بالماء الحار أذابت الحصاة وأدرت البول والطمث وفيها جلاء وتقطيع وإذا دقت وربطت بخرقة من كتان وأديم شمها نفع من الزكام البارد وإذا نقع منها سبع حبات في لبن امرأة وسعط به صاحب اليرقان أفاده وإذا شرب منها وزن مثقال بماء أفاد من ضيق النفس والضماد بها ينفع من الصداع البارد وإذا طبخت بخل وتمضمض بها نفعت من وجع الأسنان الكائن عن برد
“Dikatakan, bahawa sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “… (penawar bagi) segala penyakit.” (maksudnya) adalah yang sesuai diubati dengannya, kerana habbatus sauda’ bermanfaat bagi penyakit-penyakit yang bersifat dingin (atau sejuk). Adapun penyakit yang bersifat panas, ianya tidak sesuai. Benar pada sebahagian keadaan ia boleh untuk sebahagian sakit-sakit dari wilayah panas dan kering dengan sebab tertentu, ia menghubungkan kekuatan ubat-ubat yang bersifat lembab lagi sejuk bagi penyakit berkaitan dengan lebih pantas (berkesan). Penggunaan ramuan (ubat-ubatan) yang bersifat panas pada sebahagian sakit-sakit panas adalah bersifat khusus yang padanya tidaklah diingkari. Ini adalah seperti penggunaan ‘Anzarut yang memiliki sifat panas untuk merawat sakit mata (opthalmia, konjungtivitis), sedangkan penyakit mata ini juga bersifat panas dengan kesepakatan ahli perubatan.
Bahawa ahli ilmu dalam bidang perubatan telah berkata Al-Habbatus Sauda’ bersifat panas lagi kering, dan ia mampu menghilangkan bengkak, bermanfaat untuk demam, batuk dan kahak, membuka liang-liang yang sumbat dan angin, dan mengeringkan bahagian-bahagian yang lembab pada perut.
Apabila dihaluskan (menjadi serbuk) dan dicampurkan dengan madu, kemudian diminum bersama air panas maka ia mampu membantu menghancurkan batu karang, serta melancarkan aliran air kencing dan pengeluaran darah haidh. Ia juga memiliki keupayaan untuk membersihkan darah haidh dan memutuskan pengeluarannya dengan sempurna.
Jika ia dihaluskan (menjadi serbuk), kemudian dibungkus dengan kain atau kulit, maka aromanya bermanfaat merawat selesema yang bersifat sejuk.
Jika tujuh biji habbatus sauda’ direndam dengan air susu seorang ibu (atau wanita) kemudian dimasukkan ke hidung pesakit kuning (jaundice), nescaya ia bermanfaat untuknya.
Apabila diminum seanggaran berat satu mitsqal dicampur dengan air, ia akan bermanfaat bagi merawat gangguan pernafasan.
Jika disapukan pada kepala, ia mampu membantu meredakan sakit kepala yang bersifat sejuk.
Jika ia dimasak bersama-sama cuka lalu digunakan untuk berkumur-kumur, nescaya ia bermanfaat meredakan sakit gigi yang disebabkan cuaca sejuk.” (Fath Al-Bari, 10/144-145)
Al-Imam Al-Khaththabi rahimahullah berkata:
قوله من كل داء هو من العام الذي يراد به الخاص لأنه ليس في طبع شيء من النبات ما يجمع جميع الأمور التي تقابل الطبائع في معالجة الأدواء بمقابلها وإنما المراد أنها شفاء من كل داء يحدث من الرطوبة
“Sabda Nabi, “… (penawar) bagi segala penyakit.”, ia bersifat umum, tetapi maksudnya adalah khas, kerana secara tabi’inya tidak ada satu pun tumbuhan yang terkumpul di dalamnya semua perkara yang bersesuaian tabi’at dalam urusan perubatan para pesakit. Cuma, maksudnya adalah penyembuh bagi segala penyakit yang timbul akibat sejuk.” (Fath Al-Bari, 10/145)
Demikian juga sebagaimana dikatakan oleh Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):
وَهِيَ كَثِيرَةُ الْمَنَافِعِ جِدًّا، وَقَوْلُهُ: ” شِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ ” مِثْلُ قَوْلِهِ تَعَالَى: {تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِأَمْرِ رَبِّهَا} [الأحقاف: 25] أَيْ: كُلَّ شَيْءٍ يَقْبَلُ التَّدْمِيرَ وَنَظَائِرَهُ، وَهِيَ نَافِعَةٌ مِنْ جَمِيعِ الْأَمْرَاضِ الْبَارِدَةِ، وَتَدْخُلُ فِي الْأَمْرَاضِ الْحَارَّةِ الْيَابِسَةِ بِالْعَرَضِ، فَتُوَصِّلُ قُوَى الْأَدْوِيَةِ الْبَارِدَةِ الرَّطْبَةِ إِلَيْهَا بِسُرْعَةِ تَنْفِيذِهَا إِذَا أُخِذَ يَسِيرُهَا.
“Al-Habbatus Sauda’ memiliki manfaat yang sangat banyak. Dan sabda Nabi:
“Syifa’ (penawar) bagi segala penyakit…”
adalah semisal firman Allah Ta’ala:
“menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabb-nya.” (Surah Al-Ahqaf, 46: 25)
Yakni segala sesuatu yang Dia kehendaki untuk hancur, dan banyak lagi ungkapan yang semisal bagi menggambarkan kefahaman tersebut.
Habbatus sauda’ sangat bermanfaat untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk. Dan ia juga dapat membantu untuk merawat penyakit-penyakit panas lagi kering yang disebabkan oleh faktor tertentu. Ia mampu menghubungkan kekuatan (pengaruh) ubat-ubatan yang bersifat sejuk lagi lembab kepada sasaran penyakit dengan lebih cepat ketika ia diambil pada kadarnya.”
Kata Ibn Al-Qayyim lagi:
وَلَا تَسْتَبْعِدْ مَنْفَعَةَ الْحَارِّ فِي أَمْرَاضٍ حَارَّةٍ بِالْخَاصِّيَّةِ، فَإِنَّكَ تَجِدُ ذَلِكَ فِي أَدْوِيَةٍ كَثِيرَةٍ، مِنْهَا: الْأَنْزَرُوتُ وَمَا يُرَكَّبُ مَعَهُ مِنْ أَدْوِيَةِ الرَّمَدِ، كَالسُّكَّرِ وَغَيْرِهِ مِنَ الْمُفْرَدَاتِ الْحَارَّةِ، وَالرَّمَدُ وَرَمٌ حَارٌّ بِاتِّفَاقِ الْأَطِبَّاءِ، وَكَذَلِكَ نَفْعُ الْكِبْرِيتِ الْحَارِّ جِدًّا مِنَ الْجَرَبِ.
“Tidak mustahil bagi ubat yang bersifat panas bermanfaat bagi penyakit yang juga bersifat panas secara khusus. Kerana di sana kita telah mendapati banyak dari jenis ubat-ubatan (yang telah menjadi bukti), antaranya seperti Al-Anzarut dengan campuran tertentu semisal sukkarun dan lainnya bersamanya bermanfaat untuk penyakit mata yang bersifat panas. Dan penyakit mata (conjunctiva) adalah penyakit yang bersifat panas dengan kesepakatan para perubatan. Demikian pula semisal al-kibriit (karbait, belerang, atau sulfur) yang bersifat sangat panas, bermanfaat untuk merawat panau atau gatal-gatal.” (Zaad Al-Ma’aad, 4/273)
Manakala sebahagian ulama yang lain, mereka berpendapat bahawa Habbatus Sauda bermanfaat untuk semua penyakit, bersesuaian dengan keumuman lafaz hadis tersebut dan dikuatkan lagi dengan istitsna’ (pengecualian) dari kematian.
Al-Imam Asy-Syaikh Abu Muhammad Ibn Abi Jamrah rahimahullah berkata:
تكلم الناس في هذا الحديث وخصوا عمومه وردوه إلى قول أهل الطب والتجربة ولاخفاء بغلط قائل ذلك لأنا إذا صدقنا أهل الطب ومدار علمهم غالبا إنما هو على التجربة التي بناؤها على ظن غالب فتصديق من لا ينطق عن الهوى أولى بالقبول من كلامهم
“Ada sebahagian orang yang memperkatakan tentang hadis ini, lalu mereka mengkhususkan keumumannya serta mengembalikannya kepada pendapat pakar-pakar perubatan dan kajian mereka semata-mata. Sudah tentu bentuk pemahaman seperti ini tidak benar, kerana jika kita membenarkan pendapat tokoh-tokoh perubatan (berdasarkan kajian, hypotesis, atau dzan), maka membenarkan pendapat yang tidak berbicara dengan hawa nafsu adalah lebih utama untuk diterima berbanding perkataan mereka.” (Fath Al-Bari, 10/145)
Al-Imam Ibnu Baththal rahimahullah (Wafat: 404H) berkata:
هذا الحديث يدل عمومه على الانتفاع بالحبة السوداء فى كل داء غير داء الموت كما قال عليه السلام، إلا أن أمر ابن أبى عتيق بتقطير الحبة السوداء بالزيت فى أنف المريض لا يدل أن هكذا سبيل التداوى بها فى كل مرض، فقد يكون من الأمراض ما يصلح للمريض شربها أيضًا ويكون منها ما يصلح خلطها ببعض الأدوية فيعم الانتفاع بها منفردة ومجموعة مع غيرها، والله أعلم.
“Hadis ini menunjukkan keumuman manfaat berubat dengan habbatus sauda bagi semua penyakit selain penyakit maut sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, adapun perintah Ibnu Abi ‘Atiq supaya mencampur (menyuling/memanaskan) habbatus sauda dengan minyak zaitun pada hidung orang sakit, ia bukanlah dalil yang menunjukkan hanya satu cara untuk berubat dengannya bagi setiap pesakit, tetapi dilakukan berdasarkan sakit apa-apa yang dapat menyembuhkan pesakit dengan cara meminumnya, dan dilakukan juga dengan cara mencampurkannya dengan ramuan ubat-ubatan yang lain, maka khasiat habbatus sauda ini dapat dimanfaatkan secara sendiri atau bersama-sama adunan/campuran ubatan yang lainnya. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibn Baththal, 9/397)
Badr Ad-Diin Al-‘Aini rahimahullah berkata:
وقال الكرماني يحتمل إرادة العموم منه بأن يكون شفاء للكل لكن بشرط تركيبه مع الغير ولا محذور فيه
“Berkata Al-Kirmani, “(Makna) yang dapat difahami adalah bersifat umum, bahawa ia mampu menyembuhkan setiap penyakit dengan syarat diadun bersama ramuan yang lain dan tidak mengandungi ramuan yang membahayakan.” (‘Umdatul Qaari, 31/301)
Al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan:
ولا يبعد منفعة الحار من أدواء حارة بخواص فيها فقد نجد ذلك فى أدوية كثيرة فيكون الشونيز منها لعموم الحديث ويكون استعماله أحيانا منفردا وأحيانا مركبا
“Tidak mustahil penyakit yang disebabkan oleh unsur panas dapat disembuhkan oleh ramuan ubat-ubatan panas disebabkan khasiat-khasiat yang terkandung padanya. Bahkan kami sering menemukan perkara tersebut pada banyak ubat-ubatan. Dan Asy-Syuniz (yakni Habbatus Sauda’) termasuk di antaranya berdasarkan keumuman hadis tersebut. Dan habbatus sauda’ juga dapat digunakan (sebagai ramuan) secara sendiri (tanpa camburan) dan boleh juga digunakan bersama-sama dengan campuran tertentu lainnya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/197)
Demikianlah.. Wallaahu a’lam.
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan:
فذكر جالينوس أنها تحل النفخ وتقل ديدان البطن اذا أكل أو وضع على البطن وتنفى الزكام اذا قلى وصر فى خرقة وشم فذكر جالينوس أنها تحل النفخ وتقل ديدان البطن اذا أكل أو وضع على البطن وتنفى الزكام اذا قلى وصر فى خرقة وشم وتزيل العلة التى تقشر منها الجلد ويقلع الثآليل المتعلقة
“Jalinus (Galenos) menyebutkan bahawa habbatus sauda’ mampu menyembuhkan kembung dan mengawal cacing perut apabila ia dimakan atau diletakkan di atas perut.
Habbatus sauda’ mampu meredakan selesema apabila digoreng (secara kering) kemudian diletakkan di cebisan kain kecil lalu dihirup aromanya (wapnya).
Ia juga mampu menghilangkan penyakit yang mengelupaskan kulit… (dan seterusnya..).” (lihat: Syarh Shahih Muslim, 14/197)
Selain itu, Al-Imam Ibn Al-Qayyim turut menyenaraikan banyak dari jenis-jenis penyakit yang dapat dirawat dengan Habbatus sauda’ ini di kitab beliau Zaad Al-Ma’aad. Demikian pula di kitab Fath Al-Bari oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahumallaah.
Di antaranya semisal selesema, demam, kusta, keguguran rambut, batu karang, meredakan ancaman cacing di dalam perut, mengatasi migrain, tumor (kanser), melawan racun (bisa) sengatan haiwan berbisa, mengawal tekanan darah, merawat luka, membantu merawat buwasir, membantu mengatasi sesak nafas (athma), dan beberapa yang lain.
Di samping itu, habbatus sauda juga disebutkan oleh mereka mampu merangsang kelancaran peredaran darah dalam tubuh, meningkatkan penghasilan air susu ibu, melancarkan pembuangan air kencing, melancarkan pengeluaran haidh dan memutuskannya dengan sempurna, serta yang lainnya.
Namun, pada setiap pengambilan tersebut haruslah mengambil kira jenis atau keadaan penyakit/pesakit (serius, sederhana, atau biasa dan ringan), keadaan tubuh, jumlah kuantiti/dos pengambilan, cara penggunaan, dan seumpamanya agar kesannya dapat dinikmati secara sempurna dan maksima.
Sebagaimana yang dapat kita fahami dari penjelasan tersebut, sebahagian ulama memahami bahawa keumuman hadis tersebut dibatasi dengan kelompok penyakit tertentu, yakni penyakit yang berunsur sejuk dan lembab, kerana habbatus sauda bersifat dengan unsur panas dan kering, maka ia bersesuaian bagi melawan atau meneutralkan segala penyakit yang berasal dari kelompok yang bersifat sejuk dan lembab. Namun, sebahagian ulama yang lainnya memahaminya bersesuaian dengan keumumannya (yakni sebagai penawar bagi segala penyakit), cuma cara pengambilan, penentuan dos (kuantiti), persekitaran, cara makan, keadaan tubuh, campuran, dan beberapa faktor lainnya turun mempengaruhi keberkesanannya dengan izin Allah.
Manakala pada sebahagian kajian kontemporari mengatakan ia baik bagi penjagaan kesihatan dan mampu meningkatkan daya tahan tubuh terhadap penyakit apabila diambil secara konsisten pada kadar yang betul.
Selain itu, dapatan dari sebahagian pemerhatian terkini mengatakan, aspek keaslian, tempat penuaian, kualiti penghasilan dan pemprosesan habbatus sauda itu sendiri turut mempengaruhi tahap keberkesanannya sebagai penawar. Berkaitan hal ini juga, tidak dinafikan terdapat sebahagian produk habbatus sauda yang dihasilkan di pasaran tidak begitu mementingkan aspek ini. Sebaliknya, sebahagian mereka lebih menjurus kepada aspek keuntungan dan kormesil semata-mata. Fenomena ini boleh menjadi sebab timbulnya salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap habbatus sauda dan hadis-hadis Nabi berkaitan dengannya.
Sebagai penutup, ilmu-ilmu berkaitan habbatus sauda ini harus terus diteliti, dikaji dan dipelajari dari masa ke masa seiring dengan bantuan kemudahan yang ada agar rahsia-rahsia berkaitan dengannya dapat dirungkai dan difahami dengan lebih mendalam. Ini tidak lain agar ianya dapat dimanfaatkan dengan lebih baik dan meluas seiring dengan anjuran dan pengiktirafan dari hadis-hadis Nabi tentangnya.
Asy-Syaikh Ibn Baz rahimahullah pernah berpesan:
وكثير من الناس لا تنفعه الأسباب ولا الرقية بالقرآن ولا غيره؛ لعدم توافر الشروط، وعدم انتفاء الموانع، ولو كان كل مريض يشفى بالرقية أو بالدواء لم يمت أحد، ولكن الله سبحانه هو الذي بيده الشفاء، فإذا أراد ذلك يسر أسبابه، وإذا لم يشأ ذلك لم تنفعه الأسباب
“Banyak dari kalangan manusia tidak dapat mengambil manfaat dari suatu sebab (perawatan), tidak dengan ruqyah, tidak dengan Al-Qur’an, dan tidak pula dengan yang lainnya, disebabkan tidak terpenuhi syarat-syaratnya, dan adanya faktor-faktor yang menghalang. Kalau setiap pesakit dapat sembuh dengan ruqyah atau dengan ubat-ubatan, tentu tidak akan ada yang mati seorang pun. Akan tetapi kesembuhan itu di Tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala, apabila Dia menghendaki maka akan mudahlah penyebabnya, dan jika Dia tidak menghendaki, maka tidak akan bermanfaat sebab-sebab (perubatan) tersebut.” (Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 8/61)
Baca juga artikel kami dengan judul, Memahami Hadis Setiap Penyakit Ada Ubatnya.
Wallaahu a’lam.