Memahami Hadis Setiap Penyakit Ada Ubatnya

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:al-quran adalah ubat dan petunjuk

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ، فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila penyakit itu kena dengan ubatnya, penyakit pun akan hilang dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” (Shahih Muslim, no. 2204)[1]

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

الدواء بفتح الدال ممدود وحكى جماعات منهم الجوهرى فيه لغة بكسر الدال قال القاضي هي لغة الكلابيين وهو شاذ وفى هذا الحديث اشارة إلى استحباب الدواء وهو مذهب أصحابنا وجمهور السلف وعامة الخلف

“(الدواء) dengan mem-fathah-kan dal dan mad, ad-dawaa’. Sejumlah ahli ilmu termasuk Al-Jauhari menyebutkan bacaan lain dengan meng-kasrah-kan dal, ad-diwaa’. Menurut Al-Qadhi, itu adalah lughah (cara sebutan/bacaan) suku Kilab, dan ia merupakan sebutan yang syadz. Dan pada hadis ini terkandung isyarat pada disukai berubat (bagi yang sakit), dan ia merupakan mazhab sahabat-sahabat kami (dari kalangan tokoh-tokoh ulama bermazhab Asy-Syafi’i), mazhab jumhur para salaf dan mazhab golongan kholaf secara umum.” (Syarh Shahih Muslim, 14/191)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

وفيها التقييد بالحلال فلا يجوز التداوي بالحرام وفي حديث جابر منها الإشارة إلى أن الشفاء متوقف على الإصابة بإذن الله وذلك أن الدواء قد يحصل معه مجاوزة الحد في الكيفية أو الكمية فلا ينجع بل ربما أحدث داء آخر

“Dan padanya terkandung taqyiid (penyandaran atau keterikatan) dalam berubat mestilah dengan rawatan atau ubat yang halal, maka tidak dibolehkan berubat dengan sarana atau sesuatu yang haram.

Dalam hadis Jaabir terkandung isyarat bahawa kesembuhan bergantung pada ketentuan ubat yang digunakan dengan izin Allah, kerana boleh jadi ubat yang digunakan melampaui cara dan kuantiti yang diperlukan (yang bermanfaat untuk tubuh), maka (apabila tidak tepat) sakit pun tidak sembuh, bahkan boleh jadi mampu mengundang penyakit yang lain.” (Fath Al-Bari, 10/135)

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

قَوْلُهُ: «لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ»، عَلَى عُمُومِهِ حَتَّى يَتَنَاوَلَ الْأَدْوَاءَ الْقَاتِلَةَ، وَالْأَدْوَاءَ الَّتِي لَا يُمْكِنُ لِطَبِيبٍ أَنْ يُبْرِئَهَا، وَيَكُونُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ جَعَلَ لَهَا أَدْوِيَةً تُبْرِئُهَا، وَلَكِنْ طَوَى عِلْمَهَا عَنِ الْبَشَرِ، وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُمْ إِلَيْهِ سَبِيلًا؛ لِأَنَّهُ لَا عِلْمَ لِلْخَلْقِ إِلَّا مَا عَلَّمَهُمُ اللَّهُ،

“Sabda Nabi, “Bagi setiap penyakit ada ubatnya, berdasarkan keumumannya mencakupi penyakit-penyakit yang dimaklumi membawa maut, dan penyakit-penyakit lainnya yang mana tidak mungkin disembuhkan oleh para dokter (untuk setakat ini) kerana belum diketahui ubatnya. Sedangkan Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan baginya ubatnya, akan tetapi manusia belum menemui maklumat berkaitan yang dimaksudkan bagi penyakit tersebut, atau Allah belum memberikan petunjuk kepada manusia untuk memahami ubat bagi penyakit berkaitan. Kerana tidak ada ilmu bagi makhluk itu melainkan apa-apa yang diajarkan ke atas mereka oleh Allah.”

وَلِهَذَا عَلَّقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الشِّفَاءَ عَلَى مُصَادَفَةِ الدَّوَاءِ لِلدَّاءِ، فَإِنَّهُ لَا شَيْءَ مِنَ الْمَخْلُوقَاتِ إِلَّا لَهُ ضِدٌّ، وَكُلُّ دَاءٍ لَهُ ضِدٌّ مِنَ الدَّوَاءِ يُعَالَجُ بِضِدِّهِ، فَعَلَّقَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبُرْءَ بِمُوَافَقَةِ الدَّاءِ لِلدَّوَاءِ،

“Atas sebab ini, penawar bagi suatu penyakit yang menimpa itu dikaitkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan kesesuaian antara ubat dan penyakitnya, kerana tidak ada sesuatu dari makhluk-makhluk itu melainkan ada pasangannya (atau lawannya). Dan bagi setiap penyakit itu pasti ada lawannya dari penawar yang dapat menyembuhkannya. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengaitkan penyembuhan itu harus bersesuaian antara penyakit dengan ubatnya.”

وَهَذَا قَدْرٌ زَائِدٌ عَلَى مُجَرَّدِ وَجُودِهِ، فَإِنَّ الدَّوَاءَ مَتَى جَاوَزَ دَرَجَةَ الدَّاءِ فِي الْكَيْفِيَّةِ، أَوْ زَادَ فِي الْكَمِّيَّةِ عَلَى مَا يَنْبَغِي نَقَلَهُ إِلَى دَاءٍ آخَرَ، وَمَتَى قَصَرَ عَنْهَا لَمْ يَفِ بِمُقَاوَمَتِهِ، وَكَانَ الْعِلَاجُ قَاصِرًا، وَمَتَى لَمْ يَقَعِ الْمُدَاوِي عَلَى الدَّوَاءِ، أَوْ لَمْ يَقَعِ الدَّوَاءُ عَلَى الدَّاءِ، لَمْ يَحْصُلِ الشِّفَاءُ، وَمَتَى لَمْ يَكُنِ الزَّمَانُ صَالِحًا لِذَلِكَ الدَّوَاءِ لَمْ يَنْفَعْ، وَمَتَى كَانَ الْبَدَنُ غَيْرَ قَابِلٍ لَهُ أَوِ الْقُوَّةُ عَاجِزَةً عَنْ حَمْلِهِ، أَوْ ثَمَّ مَانِعٌ يَمْنَعُ مِنْ تَأْثِيرِهِ، لَمْ يَحْصُلِ الْبُرْءُ لِعَدَمِ الْمُصَادَفَةِ، وَمَتَى تَمَّتِ الْمُصَادَفَةُ حَصَلَ الْبُرْءُ بِإِذْنِ اللَّهِ وَلَا بُدَّ، وَهَذَا أَحْسَنُ الْمَحْمِلَيْنِ فِي الْحَدِيثِ.

“Demikianlah sejumlah ketentuan penjelasannya, ia tidak bergantung semata-mata pada adanya ubat, jika ubat diberikan dengan cara atau kuantiti yang salah, maka ia tidak mampu menjadi sarana penyembuhan, bahkan boleh menyebabkan penyakit yang lain jika melampaui kuantiti yang sepatutnya.

Waktu yang tidak tepat juga boleh menjadi sebab ubat tidak berkesan. Atau jika tubuh tidak mampu menerima ubat tersebut, atau kekuatan tubuh yang melemah untuk menampung, atau ada faktor-faktor sampingan lainnya, maka ianya boleh juga menjadi sebab hilangnya fungsi dan kesan kemujaraban sesuatu ubat dan kesembuhan pun tidak dapat dicapai disebabkan faktor-faktor ketidak-selarian tersebut. Jika memang telah benar-benar ada keselarian  antara ubat dan penyakit, pasti penyakit akan sembuh dengan izin Allah, tidak boleh tidak. Dan demikianlah penjelasan yang lebih baik bagi hadis tersebut.” (Zaad Al-Ma’ad, 4/13)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

قال القاضي فى هذه الأحاديث جمل من علوم الدين والدنيا وصحة علم الطب وجواز التطيب فى الجملة واستحبابه بالامور المذكورة فى هذه الأحاديث التى ذكرها مسلم وفيها رد على من أنكر التداوى من غلاة الصوفية وقال كل شيء بقضاء وقدر فلاحاجة إلى التداوى وحجة العلماء هذه الأحاديث ويعتقدون أن الله تعالى هو الفاعل وأن التداوى هو أيضا من قدر الله وهذا كالأمر بالدعاء وكالأمر بقتال الكفار وبالتحصن ومجانية الالقاء باليد إلى التهلكة مع أن الأجل لايتغير والمقادير لاتتأخر ولا تتقدم عن أوقاتها ولابد من وقوع المقدرات والله أعلم

“Al-Qadhi berkata, pada hadis-hadis tersebut terkandung sejumlah ilmu-ilmu agama dan keduniaan, keabsahan ilmu perubatan, bolehnya berubat secara umum, dan bolehnya berubat dengan kaedah-kaedah sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis yang diriwayatkan Muslim. Dan padanya terdapat bantahan atas orang-orang yang mengingkari anjuran berubat dari kalangan sufi yang ekstrim, dan mereka berkata:

“Segala sesuatu adalah dengan qadha dan qadar Allah, maka tidak ada keperluan kepada berubat.”

Adapun hujah para ulama (pada mengingkari mereka) adalah hadis-hadis tersebut, para ulama mengimani bahawa Allah Ta’ala maha melakukan, dan berubat juga termasuk dalam ketentuan Allah. Dan ini samalah seperti perintah berdoa, memerangi orang-orang kafir, membentengi diri, dan tidak membiarkan diri terjerumus ke dalam perkara yang memudharatkan diri, walaupun ajal tetap tidak berubah dan taqdir tidak maju atau mundur dari batas ketentuan waktu yang telah ditentukan oleh Allah, dan segala yang telah ditaqdirkan pasti akan terjadi. Wallaahu a’lam.

قال الامام أبو عبد الله المازرى ذكر مسلم هذه الأحاديث الكثيرة فى الطب والعلاج وقد اعترض فى بعضها من فى قلبه مرض فقال الأطباء مجمعون على أن العسل مسهل فكيف يوصف لمن به الاسهال ومجمعون أيضا أن استعمال المحموم الماء البارد مخاطرة قريب من الهلاك لأنه يجمع المسام ويحقن البخار ويعكس الحرارة إلى داخل الجسم فيكون سببا للتلف وينكرو أيضا مداواة ذات الجنب بالقسط مع مافيه من الحرارة الشديدة ويرون ذلك خطرا

“Al-Imam Abu ‘Abdillah Al-Mazari berkata, “Imam Muslim banyak menyebutkan hadis-hadis berkenaan dengan perubatan dan perawatan, tetapi hadis-hadis ini ditentang oleh sebahagian orang yang pada hatinya terdapat penyakit, lalu mereka berkata (antaranya):

Healing herbs and amortar. Alternative medicine concept

“Para dokter mengatakan bahawa madu adalah penyebab kepada diarrhea (sakit perut dan cirit-birit), jadi bagaimana madu mampu mengubati orang yang terkena diarrhea? Para dokter juga sepakat bahawa penggunaan air sejuk ke atas orang yang demam adalah sangat membahayakan lagi berisiko serta mendekatkan kepada kecelakaan, kerana air sejuk akan menjadi sebab yang menyempitkan liang-liang kulit sekaligus menahan suhu panas dari dalam tubuh untuk keluar, serta mengembalikannya ke dalam tubuh semula, dan ini akan menjadi sebab bahaya pada tubuh[2].”

Mereka juga mengingkari rawatan bagi sakit dada (pleurisy) dengan Al-Qusth (sejenis ramuan dari herba atau gaharu; sebagaimana disebutkan dalam hadis), disebabkan ianya mengandungi suhu panas yang tinggi dan ianya boleh mengundang bahaya menurut anggapan mereka[3].”

قال المازرى وهذا الذى قال هذا المعترض جهالة بينة وهو فيها كما قال الله تعالى بل كذبوا بما لم يحيطوا بعلمه ونحن نشرح الأحاديث المذكورة فى هذا الموضع فنقول قوله صلى الله عليه وسلم ( لكل داء دواء فاذا أصيب دواء الداء برئ باذن الله )

“Al-Maziri berkata, “Apa yang dikatakan oleh orang-orang yang menentang ini menunjukkan kebodohan yang jelas nyata, dan mereka sebagaimana yang telah Allah Ta’ala katakan:

“Bahkan (yang sebenarnya) mereka mendustakan apa yang mereka belum mengetahuinya dengan sempurna…” (Surah Yunus, 10: 39)

Dan kami akan huraian hadis-hadis yang disebutkan tersebut pada bab ini.

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, apabila ubat tersebut sesuai dengan penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah…”

فهذا فيه بيان واضح لأنه قد علم أن الأطباء يقولون المرض هو خروج الجسم عن المجرى الطبيعى والمداواة رده إليه وحفظ الصحة بقاؤه عليه فحفظها يكون باصلاح الأغذية وغيرها ورده يكون بالموافق من الأدوية المضادة للمرض وبقراط يقول الأشياء تداوى بأضدادها ولكن قد يدق ويغمض حقيقة المرض وحقيقة طبع الدواء فيقل الثقة بالمضادة ومن ها هنا يقع الخطأ من الطبيب فقط فقد يظن العلة عن مادة حارة فيكون عن غير مادة أو عن مادة باردة أو عن مادة حارة دون الحرارة التى ظنها فلايحصل الشفاء فكأنه صلى الله عليه و سلم نبه بآخر كلامه على ماقد يعارض به أوله فيقال قلت لكل داء دواء ونحن نجد كثيرين من المرضى يداوون فلا يبرءون فقال انما ذلك لفقد العلم بحقيقة المداواة لالفقد الدواء وهذا واضح والله أعلم

“Maka di sini adalah penjelasan yang jelas, kerana telah diketahui bahawa para dokter mengatakan, “Sakit adalah keluarnya tubuh dari keadaan tabi’inya, manakala berubat adalah mengembalikan tubuh kepada keadaan normalnya semula. Manakala menjaga kesihatan pula adalah menjaga tubuh agar tetap berada pada keadaan yang normal.

Maka, penjagaan kesihatan tubuh adalah dengan memperbaiki cara/kadar pengambilan makanan (yang bergizi) dan selainnya, manakala mengembalikan keadaan tubuh kepada normal adalah dengan mengambil kaedah perubatan yang sesuai yang mampu melawan penyakit.”

Buqrath (Hipocrates) mengatakan, “Sesuatu penyakit dapat diubati dengan lawannya.”

Tetapi pada banyak keadaan, penyakit dan hakikat ubatnya yang benar-benar sesuai tidak diketahui kebanyakan orang sehingga kepercayaan terhadap melawan penyakit jadi berkurangan (yakni berputus-asa dalam mencari kesembuhan).

Di sinilah kekeliruan para dokter terjadi. Adakalanya mereka berganggapan sesuatu penyakit itu berasal dari unsur panas, tetapi rupa-rupanya dari unsur sejuk, atau tidak termasuk dari salah satunya. Atau memang benar ia dari unsur panas, tetapi namun tidak sepanas yang dijangkakan, jadi ia pun belum menghasilkan kesembuhan.

Seolah-olah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengisyaratkan dengan akhir sabdanya, “… dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.” Bahawa tidak ada yang bertentangan dengan sabdanya yang pertama, “Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya…”

Dan kami dapati, banyak dari kalangan pesakit yang berubat namun belum juga sembuh, maka dikatakan (dijawab), itu adalah kerana ilmu tentang hakikat rawatannya (atau ubatnya) belum benar-benar difahami, bukan kerana ubatnya tidak ada (tetapi kerana belum diketahui atau difahami secara benar), dan ini adalah jelas. Wallaahu a’lam.”

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menegaskan lagi:

وأما ما اعترض به الملحد المذكور فنقول فى إبطاله ان علم الطب من أكثر العلوم احيتاجا إلى التفصيل حتى ان المريض يكون الشىء دواءه فى ساعة ثم يصير داء له فى الساعة التى تليها بعارض يعرض من غضب يحمى مزاجه فيغير علاجه أو هواء يتغير أو غير ذلك مما لاتحصى كثرته فاذا وجد الشفاء بشئ فى حالة بالشخص لم يلزم منه الشفاءبه فى سائر الأحوال وجميع الأشخاص والأطباء مجمعون على أن المرض الواحد يختلف علاجه باختلاف السن والزمان والعادة والغذاء المتقدمة والتدبير المألوف وقوة الطباع

“Adapun apa yang diselisihi oleh golongan mulhid sebagaimana yang kami sebutkan (terhadap sebahagian praktik perubatan nabawi), maka kami katakan, bahawa ilmu-ilmu berkaitan perubatan termasuk ilmu-ilmu yang memerlukan ketelitian dan mendalam rinciannya, sehingga adakalanya seorang pesakit memerlukan suatu ubat tertentu bagi suatu masa, namun di masa berikutnya ubat tersebut tidak lagi sesuai disebabkan keadaan tertentu, malah menjadi sebab penyakit baginya. Misalnya disebabkan gangguan atau perubahan pada emosinya yang menyebabkan perubahan suhu pada tubuhnya yang dengan sebab itu ubatnya (atau cara rawatannya) pun harus diubah, atau disebabkan faktor-faktor yang lain seperti persekitaran dan cuaca atau yang lainnya.

Apabila seseorang didapati sembuh dengan pengambilan ubat (atau rawatan) tertentu pada suatu masa, maka ubat tersebut tidak semestinya berkesan mendatangkan kesembuhan pada setiap keadaan dan bagi semua orang.

Para dokter telah sepakat bahawa orang yang sakit berbeza-beza kaedah rawatannya (atau perubatannya) bersesuaian dengan peringkat usianya ketika itu, waktu, kebiasaan hidup yang dijalaninya, pemakanannya sebelum dan ketika sakit, persekitarannya, serta keadaan kekuatan tubuh badannya.” (Syarh Shahih Muslim, 14/192-193)

Hikmah dan Motivasi di Balik Hadis

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:herba-kapsul

وَفِي قَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( «لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ» ) تَقْوِيَةٌ لِنَفْسِ الْمَرِيضِ وَالطَّبِيبِ، وَحَثٌّ عَلَى طَلَبِ ذَلِكَ الدَّوَاءِ وَالتَّفْتِيشِ عَلَيْهِ، فَإِنَّ الْمَرِيضَ إِذَا اسْتَشْعَرَتْ نَفْسُهُ أَنَّ لِدَائِهِ دَوَاءً يُزِيلُهُ، تَعَلَّقَ قَلْبُهُ بِرُوحِ الرِّجَاءِ، وَبَرَدَتْ عِنْدَهُ حَرَارَةُ الْيَأْسِ، وَانْفَتَحَ لَهُ بَابُ الرَّجَاءِ، وَمَتَى قَوِيَتْ نَفْسُهُ انْبَعَثَتْ حَرَارَتُهُ الْغَرِيزِيَّةُ، وَكَانَ ذَلِكَ سَبَبًا لِقُوَّةِ الْأَرْوَاحِ الْحَيَوَانِيَّةِ وَالنَّفْسَانِيَّةِ وَالطَّبِيعِيَّةِ، وَمَتَى قَوِيَتْ هَذِهِ الْأَرْوَاحُ قَوِيَتِ الْقُوَى الَّتِي هِيَ حَامِلَةٌ لَهَا، فَقَهَرَتِ الْمَرَضَ وَدَفَعَتْهُ. وَكَذَلِكَ الطَّبِيبُ إِذَا عَلِمَ أَنَّ لِهَذَا الدَّاءِ دَوَاءً أَمْكَنَهُ طَلَبُهُ وَالتَّفْتِيشُ عَلَيْهِ. وَأَمْرَاضُ الْأَبْدَانِ عَلَى وِزَانِ أَمْرَاضِ الْقُلُوبِ، وَمَا جَعَلَ اللَّهُ لِلْقَلْبِ مَرَضًا إِلَّا جَعَلَ لَهُ شِفَاءً بِضَدِّهِ، فَإِنْ عَلِمَهُ صَاحِبُ الدَّاءِ وَاسْتَعْمَلَهُ وَصَادَفَ دَاءَ قَلْبِهِ أَبْرَأَهُ بِإِذْنِ اللَّهِ تَعَالَى.

“Pada sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bagi setiap penyakit ada ubatnya…” memberikan kekuatan pada jiwa para pesakit dan dokter yang merawat, yang mana ia merupakan dorongan agar berubat dan mengkajinya. Kerana apabila seseorang pesakit itu pada dirinya memiliki keyakinan bahawa ada ubat yang dapat membantunya menghilangkan sakitnya, pasti kebergantungan hatinya sentiasa diliputi pengharapan, rasa keputus-asaan akan dapat diredakan, dan terbukalah pintu harapan baginya. Dan bila mana jiwanya menguat, maka naluri-naluri (perasaan) yang positif pun akan meningkat. Dan ini akan dapat menjadi sebab yang memperkuatkan ruh kemanusiaan, kejiwaan, dan tabi’inya. Dan ketika rangsangan-rangsangan seperti ini meningkat, maka semangat pun akan meningkat sehingga ia pun mampu melawan penyakit dan bahkan menolak penyakit.

Dan demikian jugalah dengan para dokter, apabila mereka memahami bahawa setiap penyakit pasti ada ubatnya, maka sudah pasti mereka akan terus berusaha mencari dan mengkaji.

Penyakit hati juga tidak berbeza dengan penyakit fizikal. Setiap penyakit hati yang Allah ciptakan, pasti Allah ciptakan juga penawar bagi penyakit tersebut yang merupakan lawannya. Jika seseorang telah mengetahui penawarnya, lalu dia menggunakannya sehingga penawar tersebut bertemu dengan lawannya (yakni penyakit tersebut), penyakit tersebut pun akan sembuh dengan izin Allah Ta’ala.” (Zaad Al-Ma’ad, 4/16)

Agar Ubat Memberikan Manfaat Optimum

Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

وَلَكِنْ هَاهُنَا أَمْرٌ لَا بُدَّ مِنْ بَيَانِهِ، وَهُوَ أَنَّ مِنْ شَرْطِ انْتِفَاعِ الْعَلِيلِ بِالدَّوَاءِ قَبُولَهُ وَاعْتِقَادَ النَّفْعِ بِهِ، فَتَقْبَلُهُ الطَّبِيعَةُ فَتَسْتَعِينُ بِهِ عَلَى دَفْعِ الْعِلَّةِ، حَتَّى إِنَّ كَثِيرًا مِنَ الْمُعَالَجَاتِ يَنْفَعُ بِالِاعْتِقَادِ، وَحُسْنِ الْقَبُولِ وَكَمَالِ التَّلَقِّي، وَقَدْ شَاهَدَ النَّاسُ مِنْ ذَلِكَ عَجَائِبَ، وَهَذَا لِأَنَّ الطَّبِيعَةَ يَشْتَدُّ قَبُولُهَا لَهُ، وَتَفْرَحُ النَّفْسُ بِهِ، فَتَنْتَعِشُ الْقُوَّةُ وَيَقْوَى سُلْطَانُ الطَّبِيعَةِ، وَيَنْبَعِثُ الْحَارٌّ الْغَرِيزِيٌّ، فَيُسَاعِدُ عَلَى دَفْعِ الْمُؤْذِي، وَبِالْعَكْسِ يَكُونُ كَثِيرٌ مِنَ الْأَدْوِيَةِ نَافِعًا لِتِلْكَ الْعِلَّةِ، فَيَقْطَعُ عَمَلَهُ سُوءُ اعْتِقَادِ الْعَلِيلِ فِيهِ، وَعَدَمُ أَخْذِ الطَّبِيعَةِ لَهُ بِالْقَبُولِ، فَلَا يُجْدِي عَلَيْهَا شَيْئًا. الْأَدْوِيَةِ وَالْأَشْفِيَةِ، وَأَنْفَعِهَا لِلْقُلُوبِ وَالْأَبْدَانِ، وَالْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ وَالدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَهُوَ الْقُرْآنُ الَّذِي هُوَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، كَيْفَ لَا يَنْفَعُ الْقُلُوبَ الَّتِي لَا تَعْتَقِدُ فِيهِ الشِّفَاءَ وَالنَّفْعَ، بَلْ لَا يَزِيدُهَا إِلَّا مَرَضًا إِلَى مَرَضِهَا، وَلَيْسَ لِشِفَاءِ الْقُلُوبِ دَوَاءٌ قَطُّ أَنْفَعُ مِنَ الْقُرْآنِ، فَإِنَّهُ شِفَاؤُهَا التَّامُّ الْكَامِلُ الَّذِي لَا يُغَادِرُ فِيهَا سَقَمًا إِلَّا أَبْرَأَهُ، وَيَحْفَظُ عَلَيْهَا صِحَّتَهَا الْمُطْلَقَةَ، وَيَحْمِيهَا الْحَمِيَّةَ التَّامَّةَ مِنْ كُلِّ مُؤْذٍ وَمُضِرٍّ، وَمَعَ هَذَا فَإِعْرَاضُ أَكْثَرِ الْقُلُوبِ عَنْهُ، وَعَدَمُ اعْتِقَادِهَا الْجَازِمِ الَّذِي لَا رَيْبَ فِيهِ أَنَّهُ كَذَلِكَ، وَعَدَمُ اسْتِعْمَالِهِ وَالْعُدُولُ عَنْهُ إِلَى الْأَدْوِيَةِ الَّتِي رَكَّبَهَا بَنُو جِنْسِهَا حَالَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ الشِّفَاءِ بِهِ، وَغَلَبَتِ الْعَوَائِدُ وَاشْتَدَّ الْإِعْرَاضُ وَتَمَكَّنَتِ الْعِلَلُ وَالْأَدْوَاءُ الْمُزْمِنَةُ مِنَ الْقُلُوبِ، وَتَرَبَّى الْمَرْضَى وَالْأَطِبَّاءُ عَلَى عِلَاجِ بَنِي جِنْسِهِمْ وَمَا وَضَعَهُ لَهُمْ شُيُوخُهُمْ، وَمَنْ يُعَظِّمُونَهُ وَيُحْسِنُونَ بِهِ ظُنُونَهُمْ، فَعَظُمَ الْمُصَابُ، وَاسْتَحْكَمَ الدَّاءُ، وَتَرَكَّبَتْ أَمْرَاضٌ وَعِلَلٌ أَعْيَا عَلَيْهِمْ عِلَاجُهَا، وَكُلَّمَا عَالَجُوهَا بِتِلْكَ الْعِلَاجَاتِ الْحَادِثَةِ تَفَاقَمَ أَمْرُهَا، وَقَوِيَتْ، وَلِسَانُ الْحَالِ يُنَادِي عَلَيْهِمْ:

وَمِنَ الْعَجَائِبِ وَالْعَجَائِبُ جَمَّةٌ … قُرْبُ الشِّفَاءِ وَمَا إِلَيْهِ وُصُولُ

كَالْعِيسِ فِي الْبَيْدَاءِ يَقْتُلُهَا الظَّمَا … وَالْمَاءُ فَوْقَ ظُهُورِهَا مَحْمُولُ

“Akan tetapi, ada perkara yang perlu dijelaskan di sini, yakni bahawa syarat seorang pesakit mampu meraih manfaat dari ubat yang diambilnya adalah perlu kepada keyakinan bahawa ubat tersebut bermanfaat baginya, supaya tubuhnya secara natural berupaya menerima kehadiran ubat tersebut seraya berfungsi mengubatinya.

Bahkan terdapat banyak kaedah terapi yang mendatangkan kemujaraban disebabkan adanya unsur keyakinan, baiknya penerimaan, dan kesempurnaan tindak balas.

Dalam perkara ini, manusia telah melihat pelbagai keajaiban, kerana secara tabi’inya, apabila seseorang yang sakit dapat menerima ubat tersebut (dengan yakin dan penerimaan yang baik), maka jiwanya pun akan menjadi tenteram, semangatnya menjadi kuat, seraya menjadikan tenaga dalamannya juga semakin kuat. Suhu panas tubuh (spritual positif) juga akan terangsang seraya membantu mengusir unsur-unsur berbahaya dalam tubuh.

Dalam masa sama, banyak jenis ubat yang dikenal berkhasiat mengubati penyakit, namun tidak dapat membuahkan manfaat hanya disebabkan buruknya i’tiqad (keyakinan). Keadaan ini menjadikan tubuh pun tidak mampu menerimanya secara baik sehingga ubat tersebut pun tidak memberikan sebarang kesan sama sekali.

Cuba gambarkan keadaan ini pada pelbagai jenis ubat-ubatan dan rawatan penyembuhan, cari yang paling bermanfaat untuk mengubati hati dan fizikal, untuk kehidupan dunia dan akhirat, yakni Al-Qur’an yang merupakan penyembuh dari segala penyakit.

Namun, ternyata Al-Qur’an juga boleh menjadi tidak bermanfaat bagi hati yang tidak meyakini adanya kesembuhan dan kemanfaatan padanya. Bahkan boleh menjadi sebab yang menambah-burukkan sakit seseorang. Sedangkan tidak ada ubat yang lebih bermanfaat bagi penyakit hati melebihi Al-Qur’an! Kerana Al-Qur’an adalah terapi yang sempurna yang tidak memberikan kesan-kesan penyakit sampingan setelah proses penyembuhan, bahkan berperanan menjaga kesihatannya secara optimum, dan memberikan pencegahan yang maksima pula dari segala macam bahaya dan penyakit.

Walaupun demikian keadaannya, berpalingnya hati-hati manusia dari Al-Qur’an, keyakinan yang tidak sempurna terhadapnya (yang hal ini bukanlah suatu yang diragukan lagi realitinya), tidak menjadikan Al-Qur’an sebagai penawar, dan kerana sudah terbiasa dengan ubat-ubatan yang diolah oleh para manusia adalah di antara penyebab yang menjadi sebab terhalangnya kesembuhan yang diharap-harapkan dapat tercapai dengan Al-Qur’an.

Kebiasaan dan kecenderungan menggunakan ubat-ubatan dari hasil-hasil olahan (kajian/buatan) manusia menjadikan manusia semakin enggan (dan jauh) dari menjadikan Al-Qur’an sebagai penawar. Keadaan ini pun menjadikan penyakit-penyakit yang berbahaya semakin berleluasa dalam menguasai hati-hati manusia.

Para pesakit dan pakar-pakar perubatan lebih terbiasa (lagi cenderung) melakukan pengubatan dengan ramuan (atau resepi) yang diolah oleh diri-diri mereka sendiri atau dengan menggunakan formula-formula para pendahulu mereka, dari kalangan tokoh-tokoh perubatan yang mereka hormati dan agung-agungkan lagi mereka percayai (berbanding terapi Wahyu; Al-Qur’an dan perkhabaran Nabi-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam – pent.). Bahkan  musibah dari hari ke hari semakin memuncak, penyakit semakin menyebar dan tidak dapat diatasi, pelbagai penyakit dan wabak semakin mengganas, jumlahnya terus bertambah sehingga menjadi sukar disembuhkan. Setiap kali mereka mengubati dari jenis-jenis penyakit tersebut dengan kaedah-kaedah terkini, kes-kes penyakit bahkan semakit merumitkan dan bertambah kuat.

Perkataan yang tepat mengungkapkan keadaan mereka:

Di antara bentuk-bentuk keajaiban,

Sementara keajaiban itu banyak adanya,

Ubat yang terlihat dekat,

Tetapi bahkan sukar mencapainya,

Ibarat unta di padang Sahara,

Ia mati kerana kehausan,

Sedangkan unta itu membawa air di atas belakangnya…” (Zaad Al-Ma’aad, 4/92-93)

Asy-Syaikh Ibn Baz rahimahullah pernah berpesan:

وكثير من الناس لا تنفعه الأسباب ولا الرقية بالقرآن ولا غيره؛ لعدم توافر الشروط، وعدم انتفاء الموانع، ولو كان كل مريض يشفى بالرقية أو بالدواء لم يمت أحد، ولكن الله سبحانه هو الذي بيده الشفاء، فإذا أراد ذلك يسر أسبابه، وإذا لم يشأ ذلك لم تنفعه الأسباب

“Banyak dari kalangan manusia tidak dapat mengambil manfaat dari suatu sebab (perawatan), tidak dengan ruqyah, tidak dengan Al-Qur’an, dan tidak pula dengan yang lainnya, disebabkan tidak terpenuhi syarat-syaratnya, dan adanya faktor-faktor yang menghalang. Kalau setiap pesakit dapat sembuh dengan ruqyah atau dengan ubat-ubatan, tentu tidak akan ada yang mati seorang pun. Akan tetapi kesembuhan itu di Tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala, apabila Dia menghendaki maka akan mudahlah penyebabnya, dan jika Dia tidak menghendaki, maka tidak akan bermanfaat sebab-sebab (perubatan) tersebut.” (Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 8/61)

Wallaahu a’lam.


[1] Terdapat hadis-hadis yang lain yang seumpamanya, antaranya:

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً

“Tidaklah Allah turunkan suatu penyakit, melainkan Dia turunkan penawarnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5678)

Dari ‘Abdullah bin Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً، عَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ، وَجَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ

“Sesungguhnya tidaklah Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan penyakit melainkan Dia juga menurunkan penawarnya. Tahulah sesiapa yang mengetahuinya, dan tidak mengetahui sesiapa yang tidak mengetahuinya.” (Musnad Ahmad, no. 4236)

Hadis dari Abi Dardaa’ radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah-lah yang menurunkan penyakit dan ubatnya. Allah menjadikan ubat bagi setiap penyakit, maka berubatlah tetapi jangan berubat dengan yang haram.” (Sunan Abi Dawud, no. 3874)

Dari Ummu Dardaa’, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ خَلَقَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ فَتَدَاوَوْا، وَلا تَتَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

“Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan ubatnya, maka berubatlah, dan janganlah berubat dengan yang haram.” (Al-Mu’jam Al-Kabiir oleh Ath-Thabrani, no. 20153. Kata Al-Haitsami, para perawinya tsiqah, dan Al-Albani menilainya hasan)

Dan masih ada hadis-hadis yang lainnya.

[2] Sedangkan hadis-hadis Nabi telah menjelaskan sebagaimana berikut,

Dari hadis Ibn ‘Umar, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الْحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ، فَابْرُدُوهَا بِالْمَاءِ

“Demam adalah sebahagian dari panas api Neraka Jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air.” (Shahih Muslim, no. 2209)

Di lafaz yang lain, dari Ibn ‘Umar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ شِدَّةَ الْحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ، فَابْرُدُوهَا بِالْمَاءِ

“Sesungguhnya demam kuat (atau panas) adalah sebahagian dari panas api Neraka Jahannam, maka dinginkanlah ia dengan air.” (Shahih Muslim, no. 2209)

Dalam lafaz yang lain disebutkan, “Redakanlah dengan air.” (Dari hadis ‘Aisyah dan Ibn ‘Umar)

Di hadis yang lain, dari Hisyam, dari Fathimah, dan dari Asma’:

أَنَّهَا كَانَتْ تُؤْتَى بِالْمَرْأَةِ الْمَوْعُوكَةِ، فَتَدْعُو بِالْمَاءِ فَتَصُبُّهُ فِي جَيْبِهَا، وَتَقُولُ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «ابْرُدُوهَا بِالْمَاءِ» وَقَالَ: «إِنَّهَا مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ»

“Bahawasanya pernah dibawakah seorang perempuan yang sedang demam kepada Asma’, maka Asma’ pun meminta dibawakan air kepadanya, lalu Asma’ menuangkannya ke dalam poket-poket baju wanita tersebut, kemudian beliau berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Dinginkanlah demam dengan air, kerana ia sebahagian dari panas Jahannam.” (Shahih Muslim, no. 2211)

Penjelasan hadis-hadis ini boleh dilihat antaranya pada kitab Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, Zaad Al Ma’aad oleh Ibn Al-Qayyim, dan Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar rahimahumullaah.

[3] Dari hadis Umm Qays binti Mihshan, beliau berkata:

دَخَلْتُ بِابْنٍ لِي عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لَمْ يَأْكُلِ الطَّعَامَ، فَبَالَ عَلَيْهِ، فَدَعَا بِمَاءٍ فَرَشَّهُ قَالَتْ: وَدَخَلْتُ عَلَيْهِ بِابْنٍ لِي، قَدْ أَعْلَقْتُ عَلَيْهِ مِنَ الْعُذْرَةِ، فَقَالَ: ” عَلَامَ تَدْغَرْنَ أَوْلَادَكُنَّ بِهَذَا الْعِلَاقِ؟ عَلَيْكُنَّ بِهَذَا الْعُودِ الْهِنْدِيِّ، فَإِنَّ فِيهِ سَبْعَةَ أَشْفِيَةٍ، مِنْهَا ذَاتُ الْجَنْبِ، يُسْعَطُ مِنَ الْعُذْرَةِ وَيُلَدُّ مِنْ ذَاتِ الْجَنْبِ

“Aku pernah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama anakku yang masih kecil dan belum masuk umur untuk makan, lalu anakku ini kencing pada Rasulullah. Lalu Rasulullah pun meminta dibawakan air seraya memercikkannya pada tempat yang terkena air kencing tersebut.

Dan aku juga pernah datang kepada beliau bersama anakku di mana aku telah menekan (atau mencubit) lehernya dengan jari disebabkan sakit pada tekaknya. Lalu Rasulullah bersabda:

“Atas sebab apa kalian menekan (mencubit) leher anak-anak kalian dengan cara tersebut? Hendaklah kalian gunakan Al-‘Aud Al-Hindi (dikatakan sebagai ramuan dari kayu gaharu India – pent.), kerana padanya terkandung tujuh jenis penyembuhan, di antaranya untuk radang dada (pleurisy). Ia dititiskan ke dalam hidung untuk sakit tekak dan diletakkan di salah satu bahagian mulut untuk radang dada.” (Shahih Muslim, no. 2214)

Al-‘Aud Al-Hindi disebut juga sebagai “القُسْطُ”.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Pingback: Memahami Hadis Habbatus Sauda Penawar Bagi Segala Penyakit

Comments are closed.