Matahari Pernah Ditahan Agar Dilewatkan Waktu Terbenamnya Untuk Nabi Yusya’

www.ilmusunnah.com

matahari-terbenam

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

غَزَا نَبِيٌّ مِنَ الأَنْبِيَاءِ، فَقَالَ لِقَوْمِهِ: لاَ يَتْبَعْنِي رَجُلٌ مَلَكَ بُضْعَ امْرَأَةٍ، وَهُوَ يُرِيدُ أَنْ يَبْنِيَ بِهَا؟ وَلَمَّا يَبْنِ بِهَا، وَلاَ أَحَدٌ بَنَى بُيُوتًا وَلَمْ يَرْفَعْ سُقُوفَهَا، وَلاَ أَحَدٌ اشْتَرَى غَنَمًا أَوْ خَلِفَاتٍ وَهُوَ يَنْتَظِرُ وِلاَدَهَا، فَغَزَا فَدَنَا مِنَ القَرْيَةِ صَلاَةَ العَصْرِ أَوْ قَرِيبًا مِنْ ذَلِكَ، فَقَالَ لِلشَّمْسِ: إِنَّكِ مَأْمُورَةٌ وَأَنَا مَأْمُورٌ اللَّهُمَّ احْبِسْهَا عَلَيْنَا، فَحُبِسَتْ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ

“Ada seorang Nabi dari kalangan para Nabi yang (hendak) berperang, lalu beliau berkata kepada kaumnya:

“Jangan ada seseorang yang mengikuti aku dalam keadaan dia baru menikah dan sedang hendak bergaul dengan isterinya, dan dia belum sempat bergaul dengannya.

Dan jangan ada seorang pun yang sedang membina rumah tetapi belum sempat memasang atap-atapnya.

Dan jangan ada seorang pun yang membeli seekor kambing atau unta (yang sedang hamil), dan dia sedang menunggu kelahiran anaknya.”

Maka berperanglah Nabi tersebut, lalu dia menghampiri suatu kampung ketika waktu ‘Ashr atau mendekati sekitar waktu tersebut. Maka Nabi tersebut pun berkata kepada matahari:

“Sesungguhnya engkau adalah makhluk yang menurut perintah, dan aku juga seorang yang menurut perintah. (lalu beliau berdoa kepada Allah – pent.) Ya Allah, tahanlah (sebentar) matahari itu untuk kami (agar tidak terbenam).”

Maka matahari pun ditahan sampailah Allah memberikan kemenangan atasnya…” (Shahih Al-Bukhari, no. 3124. Muslim, no. 1747)

Di hadis yang lain juga dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ لَمْ تُحْبَسْ عَلَى بَشَرٍ إِلَّا لِيُوشَعَ لَيَالِيَ سَارَ إِلَى بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Sesungguhnya matahari tidak pernah ditahan bagi manusia kecuali untuk Yusya’ (bin Nun) pada ketika malam-malam dia berjalan menuju Bait Al-Maqdis.” (Musnad Ahmad, no. 8315. Lihat: Fath Al-Bari, 6/221. Syarh Shahih Muslim, 12/52)

Faedah dan pelajaran dari hadis:

1, Umat-umat terdahulu juga disyari’atkan untuk keluar berperang (jihad di jalan Allah).

2, Urusan jihad tidak diserahkan kepada orang sebarangan, bahkan tidak boleh berperang dalam keadaan berharap keduniaan dan sambil memikirkan keduniaan.

3, Seluruh benda mati mengenal dan tunduk kepada ketentuan Allah baginya. Ia sentiasa taat dan tidak bermaksiat (ingkar) kepada Allah. Di antaranya adalah matahari.

4, Pada hadis ini menjelaskan bahawa matahari pernah ditahan peredarannya.

5, Perjalanan waktu, pertukaran siang dan malam, serta hari demi hari adalah berdasarkan peredaran matahari, bukan berdasarkan pergerakan, putaran atau peredaran bumi. Atas sebab itulah, yang diminta pada hadis ini adalah dengan menahan (peredaran) matahari agar ditangguhkan waktu terbenamnya, bukannya dihentikan peredaran atau putaran bumi.[1]

Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 544H) berkata:

اختلف في حبس الشمس المذكور هنا فقيل ردت على أدراجها وقيل وقفت ولم ترد وقيل أبطئ بحركتها وكل ذلك من معجزات النبوة

“Para ulama berbeza pendapat dalam memahami berhentinya matahari dalam hadis ini. Ada yang mengatakan, ia dikembalikan ke awalnya. Ada yang mengatakan, ia diam tidak berganjak. Ada juga yang mengatakan, peredarannya menjadi perlahan.

Namun semua ini termasuk sebahagian dari mukjizat ke-Nabian.” (Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 12/52)

Seandainya bumi yang beredar atau dihentikan pergerakan (atau diperlahankan peredarannya) setelah sebelumnya beredar dengan laju, pasti akan terjadi goncangan yang dahsyat dan ketidakstabilan ke atas para penghuninya.

6, Hendaklah berdoa dengan memurnikan permintaan hanya kepada Allah.

7, Dijelaskan oleh para ulama bahawa Nabi yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah Nabi Yusya’ ‘alaihis Salam. (lihat: Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 12/52. Fath Al-Bari, 6/221)

Wallaahu a’lam.


[1] Di antara dalil-dalil yang menguatkan hal ini adalah sebagaimana berikut,

Allah Ta’ala juga berfirman:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ الشَّمْسَ ضِيَاءً وَالْقَمَرَ نُورًا وَقَدَّرَهُ مَنَازِلَ لِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَ

“Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya, dan Dia-lah yang menetapkan tempat-tempat orbitnya, agar kalian mengetahui bilangan tahun dan perhitungan waktu.” (Surah Yunus, 10: 5)

Allah mengisyaratkan dari ayat ini bahawa penentuan bilangan tahun dan perhitungan waktu adalah berdasarkan peredaran matahari dan bulan.

Kemudian di ayat-ayat yang lainnya,

Allah Ta’ala berfirman:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“Dan Dia-lah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya beredar pada garis edarnya.” (Surah Al-Anbiyaa’, 21: 33)

Pada ayat ini Allah menjelaskan bahawa pertukaran malam dan siang terjadi dengan peredaran matahari dan bulan pada garis peredarannya, atau orbitnya.

Allah Ta’ala berfirman:

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

“Dan matahari itu beredar (dengan sangat laju) pada garis peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yaasiin, 36: 38)

Allah Ta’ala juga berfirman:

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarnya.” (Surah Yaasiin, 36: 40)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وَكَذَلِكَ مَنْ رَأَى حَالَ الشَّمْسِ وَقْتَ طُلُوعِهَا وَاسْتِوَائِهَا وَغُرُوبِهَا فِي الْأَوْقَاتِ الثَّلَاثَةِ عَلَى بُعْدٍ وَاحِدٍ وَشَكْلٍ وَاحِدٍ مِمَّنْ يَكُونُ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ عَلِمَ أَنَّهَا تَجْرِي فِي فَلَكٍ مُسْتَدِيرٍ

“Dan demikianlah siapa yang melihat keadaan matahari pada waktu terbitnya, istiwa’nya, dan ketika terbenamnya, di tiga waktu ini, matahari berada pada kejauhan yang sama dan bentuk yang satu. Bagi siapa yang berada di balik bumi mengetahui bahawa matahari bergerak (dengan sangat laju) pada garis falak (orbit) berbentuk bulat (lingkaran mengelilingi bumi).” (Majmu’ Al-Fatawa, 6/589)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وَقَدْ ثَبَتَ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ وَإِجْمَاعِ عُلَمَاءِ الْأُمَّةِ أَنَّ الْأَفْلَاكَ مُسْتَدِيرَةٌ

“Telah tsabit berdasarkan Al-Qur’an, As-Sunnah dan ijma’ ulama ummah bahawa objek-objek langit mengorbit mengelilingi (bumi).” (Majmu’ Al-Fatawa, 25/193)

 

Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

والشمس تجري لمستقر لها وسيأتي شرحه مستوفى في تفسير سورة يس والغرض منه هنا بيان سير الشمس في كل يوم وليلة وظاهره مغاير لقول أهل الهيئة أن الشمس مرصعة في الفلك فإنه يقتضي أن الذي يسير هو الفلك وظاهر الحديث أنها هي التي تسير وتجري ومثله قوله تعالى في الآية الأخرى كل في فلك يسبحون أي يدورون

“(Firman Allah) Matahari beredar (dengan laju) pada garis peredarannya.” … .. Dan tujuan penyebutannya di sini adalah sebagai menjelaskan perjalanan matahari di setiap hari siang dan malam. Dan secara zahirnya berbeza dengan perkataan ahli astronomi bahawa matahari itu berada tetap pada suatu orbit sebagai pusat alam semesta yang mana yang bergerak adalah garis orbit (objek-objek selainnya). Adapun zahir hadis menjelaskan bahawa mataharilah yang bergerak dan beredar (dengan laju), dan yang semisal dengan hadis ini adalah firman Allah Ta’ala pada ayat yang lain:

“(Matahari dan bulan) masing-masing bergerak (dengan terapung) pada garis edarnya.” (Surah Al-Anbiyaa’, 21: 33).” Yakni, masing-masing bergerak mengelilingi (bumi).” (Fath Al-Bari, 6/299)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

“Allah menggulung malam ke dalam siang dan menggulung siang ke dalam malam.” (Surah Az-Zumar, 39: 5)

Al-Imam Ibnu Hazm rahimahullah (Wafat: 458H) berkata:

وَهَذَا أوضح بَيَان فِي تكوير بَعْضهَا على بعض مَأْخُوذ من كور الْعِمَامَة وَهُوَ إدارتها وَهَذَا نَص على تكوير الأَرْض ودوران الشَّمْس كَذَلِك

“Ayat ini adalah penjelasan yang paling jelas bahawa siang dan malam digulung atas sebahagian yang lain (yakni membungkus bumi – pent.). Diambil dari kata yang semakna, yakni menggulung serban, ia menggulung dengan cara dibungkus mengelilinginya. Maka ini adalah nash yang menunjukkan bulatnya bumi, dan berputar serta beredarnya matahari juga demikian (dengan mengelilingi bumi).” (Al-Fashl fil Milal wal Ahwa wan Nihal, 2/78)

Asy-Syaikh Ibn ‘Utsaimin rahimahullah berkata:

والتكوير جعل الشيء كالكور مثل كور العمامة ومن المعلوم أن الليل والنهار يتعاقبان على الأرض وهذا يقتضي أن تكون الأرض كروية

“Menggulung, maknanya menjadikan sesuatu seperti gulungan (gumpalan), contohnya seperti gulungan serban. Dan telah dimaklumi bahawa siang dan malam sentiasa berganti-ganti menutupi dan meliputi bumi, dan di sini bermakna bahawa bumi itu berbentuk bulat.” (Fatawa Nur ‘ala Ad-Darb, 24/2)

Asy-Syaikh Ibn ‘Utsaimin rahimahullah juga berkata:

ظاهر الأدلة الشرعية تثبت أن الشمس هي التي تدور على الأرض، وبدورتها يحصل تعاقب الليل والنهار على سطح الأرض وليس لنا أن نتجاوز ظاهر هذه الأدلة إلا بدليل أقوى من ذلك يسوغ لنا تأويلها عن ظاهرها

“Zahir (yang nampak jelas dari) dalil-dalil syari’at, menetapkan bahawa matahari yang bergerak mengelilingi bumi, dan dengan pegerakannya (mengorbit bumi) terjadilah saling silih bergantinya malam dan siang di atas permukaan bumi. Dan tidak sepatutnya bagi kita untuk melampaui zahir (yang nampak jelas dari) dalil-dalil ini kecuali dengan dalil yang lebih kuat yang membolehkan kita untuk menafsirkannya hingga keluar dari zahir-nya.” (Majmu’ Fatawa war-Rasaail, 1/73)

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest