Kebenaran Tidak Diukur Dengan Banyaknya Jumlah Ahli dan Pengikut

Kebenaran Tidak Diukur Dengan Banyaknya Jumlah Ahli dan Pengikut

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Pada hari ini, sebahagian orang punya anggapan bahawa kebenaran dapat dinilai dengan melihat pada banyaknya jumlah pengikut dan pendukungnya. Mereka mengamalkan atau mengimani sesuatu perkara hanya semata-mata ianya diamalkan atau diimani oleh ramai orang. Mereka beranggapan kebenaran itu bersesuaian dengan banyaknya jumlah orang yang berpegang padanya. Sehingga mereka pun menegaskan, seandainya sesuatu itu berupa kebenaran, pasti akan diikuti dan dianut oleh ramai orang. Sehingga golongan kebenaran menurut mereka, pastilah berada pada golongan yang memiliki jumlah ahli dan pengikut yang paling ramai dan majoriti. Lalu kemenangan dan kejayaan di sisi mereka juga dinilai dengan banyaknya pungutan suara, undi, dan ahli yang mengikuti mereka.

Mereka pun berbangga-bangga dengan banyaknya jumlah yang mereka punyai, banyaknya pengikut yang mengikuti mereka, dan banyaknya manusia yang berkumpul bersama-sama mereka.

Walhal tidaklah demikian kebenaran itu.

Kebenaran tidak dinilai dengan banyaknya bilangan manusia bersama mereka, apatah lagi jika jumlah yang banyak itu menyelisihi Al-Haq, dan Al-Haq (kebenaran) itu adalah dengan mengikuti petunjuk Al-Qur’an dan As-Sunnah walaupun yang mengikuti dan berpegang padanya berjumlah sedikit.

InsyaAllah, tulisan ini adalah berupa nukilan-nukilan dari dalil-dalil Al-Qur’an, hadis-hadis Nabi dan berupa pesan-pesan sebahagian ulama salaf yang menyanggah bentuk anggapan salah tersebut, sekaligus berupa bantahan atas pemikiran orang-orang yang dimaksudkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَتَمَّتْ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (115) وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

“Telah sempurna-lah kalimat Rabb-mu (Al-Qur’an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan-mu dari jalan Allah. Kebanyakan mereka tidak lain hanya mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (atas nama Allah).” (Surah Al-An’aam, 6: 115-116)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak beribadah (mengabdikan diri) melainkan hanya kepada-Nya. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Yusuf, 12: 40)

Allah Ta’ala berfirman:

المر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَالَّذِي أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ الْحَقُّ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ

Alif laam miim raa. Ini adalah ayat-ayat Al-Kitab (Al-Qur’an). Dan Kitab yang diturunkan kepadamu dari Rabb-mu itu adalah benar; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (kepadanya).” (Surah Ar-Ra’d, 13: 1)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“… Dan amat sedikit dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)

وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ

“… akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah Al-Baqarah, 2: 243)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ

“Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya.” (Surah Yusuf, 12: 103)

Ayat-ayat Al-Qur’an ini semuanya dengan jelas menunjukkan celaan dan realiti terhadap kebanyakan manusia kerana kebanyakan manusia itu tidak beriman, tidak bersyukur, menyesatkan, dan tidak mengetahui kebenaran sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah.

Lalu jika demikian realiti yang diungkapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, bagaimana mungkin banyaknya jumlah manusia dapat dijadikan sebagai neraca untuk menilai dan memastikan kebenaran?

Berikut pula kami nukilkan dalil-dalil dari hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عُرِضَتْ عَلَيَّ الأُمَمُ، فَجَعَلَ يَمُرُّ النَّبِيُّ مَعَهُ الرَّجُلُ، وَالنَّبِيُّ مَعَهُ الرَّجُلاَنِ، وَالنَّبِيُّ مَعَهُ الرَّهْطُ، وَالنَّبِيُّ لَيْسَ مَعَهُ أَحَدٌ

“Ditampakkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka aku pun melihat ada Nabi yang berlalu bersamanya seorang pengikut. Ada Nabi yang bersamanya dua orang pengikut. Ada Nabi yang bersamanya beberapa pengikut (yakni antara 3 hingga 10 orang). Dan ada Nabi yang tidak ada seorang pun bersamanya (yakni tidak ada pengikut).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5705, 5752, 6541. Muslim, no. 220)

Dalam lafaz yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عُرِضَتْ عَلَيَّ الأُمَمُ، فَأَخَذَ النَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ الأُمَّةُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ النَّفَرُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ العَشَرَةُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ مَعَهُ الخَمْسَةُ، وَالنَّبِيُّ يَمُرُّ وَحْدَهُ

“Ditampakkan kepadaku umat manusia seluruhnya. Maka aku pun melihat ada Nabi yang berlalu bersamanya suatu ummat. Ada Nabi yang berlalu bersamanya beberapa kelompok pengikut. Ada Nabi yang berlalu bersamanya sepuluh orang pengikut. Ada Nabi yang berlalu bersamanya lima orang pengikut. Dan ada Nabi yang berlalu bersamanya hanya seorang pengikut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6541)

Demikianlah keadaan pembawa kebenaran sebagaimana dikhabarkan oleh Nabi. Adakalanya ada pengikut, dan adakalanya tiada yang mengikuti seruannya, dan ada yang banyak pengikutnya, dan ada pula yang hanya sedikit pengikutnya, dan ada pula yang langsung tidak diikuti oleh manusia.

Seandainya kebenaran dinilai dengan neraca banyaknya jumlah pengikut, nescaya para Nabi tidak termasuk di dalamnya, tidak termasuk ahli kebenaran?! Subhanallaah!

Hadis berikutnya, dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّة، وَتَفْتَرِق أُمَّتِي عَلَى ثَلَاث وَسَبْعِينَ مِلَّة، كُلّهمْ فِي النَّار إِلَّا مِلَّة وَاحِدَة، قَالُوا: مَنْ هِيَ يَا رَسُول اللَّه ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

“Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka kecuali satu golongan.”

Para sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang selamat) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2641. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dalam riwayat yang lain:

وَسَبْعُونَ فِي النَّارِ، وَوَاحِدَةٌ فِي الْجَنَّةِ، وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

“… 72 di neraka, dan yang 1 di dalam jannah, dan mereka itu adalah Al-Jama’ah.” (Sunan Abi Dawud, no. 4597. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam riwayat yang lain:

تختلف هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة، اثنتان وسبعون في النار وواحدة في الجنة. قلنا: انعتهم لنا قال: السواد الأعظم

“Akan berpecah umatku ini menjadi 73 firqah, 72 golongan di neraka dan hanya 1 di jannah. Satu golongan itu adalah As-Sawaadul A’zham.” (Syarh Ushul I’tiqad oleh Al-Laalikaa’i, no. 131. Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 8051. Kata Al-Haitsami, “Para perawinya tsiqah”)

Lihatlah, pengikut kebenaran itu satu (1) nisbah tujuh puluh dua (72)?!

Al-Imam Ibnul Qayim rahimahullah (Wafat: 751H) mengatakan:

واعلم أن الإجماع والحجة والسواد الأعظم هو العالم صاحب الحق وإن كان وحده وإن خالفه أهل الأرض

“Ketahuilah bahawa ijma’, hujjah, dan As-Sawadul A’zham itu adalah ahli ilmu yang mengikuti kebenaran walaupun dia berseorangan, walaupun menyelisihi kebanyakan orang di muka bumi.” (I’lam Al-Muwaqq’in, 3/397)

Al-Imam Ishaaq Ibn Rahawayh rahimahullah (Wafat: 238H) berkata:

لَوْ سَأَلْتَ الْجُهَّالَ مَنِ السَّوَادُ الْأَعْظَمُ؟ قَالُوا: جَمَاعَةُ النَّاسِ وَلَا يَعْلَمُونَ أَنَّ الْجَمَاعَةَ عَالِمٌ مُتَمَسِّكٌ بِأَثَرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَطَرِيقِهِ، فَمَنْ كَانَ مَعَهُ وَتَبِعَهُ فَهُوَ الْجَمَاعَةُ، وَمَنْ خَالَفَهُ فِيهِ تَرَكَ الْجَمَاعَةُ

“Kalau engkau bertanya kepada orang-orang bodoh tentang siapa As-Sawaadul A’zham, nescaya mereka akan menjawab, “majoriti atau sekelompok besar manusia.” Mereka tidak tahu bahawa Al-Jama’ah itu adalah orang berilmu yang berpegang teguh dengan atsar (jejak) dan jalan hidup Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka siapa yang bersama orang yang berilmu (tentang sunnah Nabi) tersebut, dan dia mengikutinya, maka dia termasuk Al-Jama’ah. Manakala siapa yang menyelisihinya, maka dia telah meninggalkan Al-Jama’ah.” (Hilyatul Auliyaa’ oleh Abu Nu’aim, 9/238)

Al-Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H) berkata:

المراد بالسواد الأعظم هم من كان من أهل السنة والجماعة ولو واحدا

“Maksud As-Sawaadul A’zham, mereka itu adalah orang-orang dari kalangan ahli sunnah wal jama’ah, walaupun dia bersendirian.” (Ash-Showa’iq Al-Mursalah, 3/85)

Dalam hadis yang lain dari Al-‘Irbaadh bin Saariyah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

“Sesungguhnya siapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Al-Khulafa’ Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (yang mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Sunan Abi Dawud, no. 4607. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

“Islam itu bermula dengan keadaan asing lagi aneh (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap aneh (yakni asing kerana berpegang dengan kebenaran).” (Shahih Muslim, no. 145)

Dalam riwayat yang lain:

فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ

“Maka beruntunglah mereka yang dianggap asing, iaitu orang-orang yang melakukan ish-lah (pembaikan) di ketika manusia berkeadaan rosak.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2630. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dalam riwayat yang lain:

إِنَّ الْإِسْلَامَ بَدَأَ غَرِيبًا، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ “، قِيلَ: وَمَنِ الْغُرَبَاءُ ؟ قَالَ: ” النُّزَّاعُ مِنَ الْقَبَائِلِ

“Sesungguhnya Islam itu bermula asing (ganjil) dan akan kembali asing sebagaimana asal datangnya. Maka beruntunglah mereka yang dianggap asing (yakni aneh kerana mengamalkan Islam yang tulen – pent.).” (Para sahabat) bertanya:

“Siapakah Al-Ghuroba’ (golongan yang asing) itu?” Rasulullah bersabda, “Orang-orang yang menjauhi sikap berpuak-puak.” (Musnad Ahmad, no. 3784. Kata Syu’aib Al-Arnauth, “Isnadnya sahih di atas syarat Muslim”)

Kata Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu:

إنما الجماعة ما وافق طاعة الله وإن كنت وحدك

“Sesungguhnya Al-Jama’ah itu adalah dengan mentaati Allah walaupun engkau berseorangan.” (Syarh Ushul I’tiqad oleh Al-Laalikaa’i, no. 160. Tahdziib Al-Kamaal oleh Al-Mizzi, 22/265)

Dalam riwayat yang lain:

ان جمهور الناس فارقوا الجماعة وأن الجماعة ما وافق الحق وأن كنت وحدك

“Sesungguhnya kebanyakan manusia berpecah dari Al-Jama’ah dan Al-Jama’ah itu adalah apa-apa yang bersesuaian dengan kebenaran walaupun engkau berseorangan.” (Al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits, m/s. 22. Tahdziib Al-Kamaal oleh Al-Mizzi, 22/264)

Nu’aim bin Hammad rahimahullah (Wafat: 227H) berkata tentang atsar Ibn Mas’oud ini:

يعني إذا فسدت الجماعة فعليك بما كانت عليه الجماعة قبل أن تفسد وإن كنت وحدك فإنك أنت الجماعة حينئذ

“Yakni apabila orang-orang telah berada di atas kefasadan (kerosakan; dengan bid’ah dan perpecahan), maka hendaklah engkau tetap dengan Al-Jama’ah (golongan manusia) sebelum keadaan menjadi rosak (yakni tetap mengikuti petunjuk salaf) walaupun engkau berseorangan, kerana pada ketika itu engkaulah Al-Jama’ah (jika engkau berada di atas kebenaran).” (Tahdzib Al-Kamal, 22/265)

Al-Imam Abu Syaammah rahimahullah (Wafat: 665H) berkata:

وحيث جاء الأمر بلزوم الجماعة فالمراد به لزوم الحق واتباعة وان كان المتمسك بالحق قليلا والمخالف كثيرا لأن الحق الذي كانت عليه الجماعة الأولى من النبي صلى الله عليه و سلم وأصحابه رضى الله عنهم ولا نظر الى كثرة أهل الباطل بعدهم

“Merujuk perintah-perintah yang datang (dari hadis-hadis) agar melazimi Al-Jama’ah, maka yang dimaksudkan dengannya adalah perintah agar melazimi al-haq (kebenaran) dan mengikutinya walaupun orang-orang yang berpegang pada al-haq (kebenaran) tersebut hanya sedikit jumlahnya, sedang orang yang menyelisihi pula berjumlah besar. Ini kerana al-haq (kebenaran) itu adalah dengan merujuk jama’ah orang-orang yang berada di atas jalan generasi awal iaitu jalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya radhiyallahu ‘anhum, tidak perlu diambil kira dengan banyaknya jumlah pengikut kebathilan setelah mereka.” (Al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits oleh Abu Syaammah, m/s. 22)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676 H) berkata dalam salah satu fasal di kitabnya, Al-Adzkar:

ولا يغتر الإنسانُ بكثرةِ الفاعلين لهذا الذي نُهينا عنه ممَّن لا يراعي هذه الآدابَ

“Janganlah seorang pun terpedaya dengan ramainya orang yang melakukan hal-hal terlarang, iaitu orang-orang yang tidak menjaga adab-adab ini.” (Al-Adzkar oleh An-Nawawi, m/s. 196)

Lalu Al-Imam An-Nawawi menyebutkan perkataan Al-Imam Fudhail bin ‘Iyaadh rahimahullah (Wafat: 187H), iaitu:

لا تستوحِشْ طُرُقَ الهدى لقلة أهلها، ولا تغترَّ بكثرةِ الهالكين

“Janganlah engkau memandang serong terhadap jalan-jalan kebenaran disebabkan sedikitnya orang yang berada di atasnya. Dan janganlah engkau terpedaya dengan banyaknya jumlah orang-orang yang binasa.” (Al-Adzkar oleh An-Nawawi, m/s. 196. Al-Adabusy Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 1/163)

Al-Imam Al-Auzaa’i rahimahullah (Wafat: 157H) berkata:

عليك بآثار من سَلَفَ وإن رَفضَكَ الناسُ، وإياك وآراء الرجال وإن زخرفوه لك بالقولِ

“Hendaklah kalian tetap berpegang kepada atsar (jalan dan pegangan hidup) para salaf walaupun manusia tidak menyetujui engkau, dan hati-hatilah dengan pemikiran-pemikiran manusia walaupun mereka menghiasasinya dengan perkataan-perkataan yang indah.” (Asy-Syarii’ah oleh Al-Ajurri, no. 124. Dzamm At-Ta’wil oleh Ibn Qudamah, no. 69. Al-‘Uluw oleh Adz-Dzahabi, no. 368)

Al-Imam Abu Syaammah rahimahullah (Wafat: 665H) menyebutkan perkataan Al-Hasan Al-Bashri:

السنة – والذي لا إله إلا هو- بين الغالي والجافي، فاصبروا عليها رحمكم الله، فإن أهل السنة كانوا أقل الناس فيما مضى وهم أقل الناس فيما بقي؛ الذين لم يذهبوا مع أهل الإتراف في إترافهم ولا مع أهل البدع في بدعهم، وصبروا على سنتهم حتى لقوا ربهم، فكذلك فكونوا

“As-Sunnah, (demi yang tiada yang berhak diibadahi melainkan Allah), adalah antara sikap ghuluw (berlebih-lebihan) dengan sikap meremehkan. Maka bersabarlah kalian dalam melaziminya, semoga Allah merahmati kalian. Bahawasanya Ahlus Sunnah itu adalah golongan manusia yang sedikit sama ada di masa lalu mahupun masa-masa setelahnya, iaitu mereka yang tidak hanyut bersama-sama orang-orang yang hidup mewah dengan kemewahan mereka, dan tidak pula bersama ahli bid’ah pada bid’ah-bid’ah mereka.  Bersabarlah di atas sunnah sampailah kalian bertemu Rabb kalian, demikianlah kalian harus berada.” (Al-Ba’its ‘ala Inkaril Bida’ wal Hawadits oleh Abu Syaammah, m/s. 16. Ash-Showa’iq Al-Mursalah oleh Ibnul Qayyim, 3/88)

Semoga bermanfaat.

Baca artikel berikutnya dengan judul, Menyingkap Makna Al-Jama’ah dan Bantahan Atas Banyaknya Firqah (Puak dan Parti-parti).

Wallaahu a’lam.