Sah Korban Dengan Seekor Kambing Untuk Satu Keluarga

www.ilmusunnah.com

Hukum menyembelih haiwan korban setiap tahun adalah Sunnah mu’akkadah, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut dan ditekankan perlaksanaannya dalam rangka taqarrub dan syukur kepada Allah, sekurang-kurangnya dengan seekor kambing bagi seorang lelaki (ketua keluarga), yakni minima seekor kambing bagi satu keluarga yang punya kemampuan.

Dan inilah yang dilakukan oleh Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada setiap tahunnya di ‘Iedul ‘Adh-ha. Demikian pula sahabat-sahabat beliau radhiyallahu ‘anhum.

‘Athaa’ bin Yasaar berkata:

سَأَلْتُ أَبَا أَيُّوبَ الأَنْصَارِيَّ: كَيْفَ كَانَتِ الضَّحَايَا عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ: كَانَ الرَّجُلُ يُضَحِّي بِالشَّاةِ عَنْهُ وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، فَيَأْكُلُونَ وَيُطْعِمُونَ حَتَّى تَبَاهَى النَّاسُ، فَصَارَتْ كَمَا تَرَى

“Aku bertanya kepada Abu Ayyub Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, “Bagaimana penyembelihan haiwan korban pada zaman Rasululullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”

Maka beliau menjawab, “Seorang sahabat biasanya menyembelih seekor kambing untuk dirinya berserta ahli keluarganya, lalu mereka makan dan memberi makan (kepada orang miskin), sampailah akhirnya orang-orang pun mula membangga-banggakan diri (dengan sembelihan korban mereka), sehingga terjadilah apa yang engkau lihat saat ini.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1505. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari ‘Urwah bin Az-Zubair, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِكَبْشٍ أَقْرَنَ يَطَأُ فِي سَوَادٍ، وَيَبْرُكُ فِي سَوَادٍ، وَيَنْظُرُ فِي سَوَادٍ، فَأُتِيَ بِهِ لِيُضَحِّيَ بِهِ، فَقَالَ لَهَا: «يَا عَائِشَةُ، هَلُمِّي الْمُدْيَةَ»، ثُمَّ قَالَ: «اشْحَذِيهَا بِحَجَرٍ»، فَفَعَلَتْ: ثُمَّ أَخَذَهَا، وَأَخَذَ الْكَبْشَ فَأَضْجَعَهُ، ثُمَّ ذَبَحَهُ، ثُمَّ قَالَ: بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ، ثُمَّ ضَحَّى بِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan (agar dibawakan kepada beliau) seekor kibasy yang bertanduk, hitam kaki-kakinya, perutnya hitam dan sekitar matanya hitam. Maka kibasy itu pun dibawakan kepada beliau untuk disembelih sebagai korban; maka beliau berkata kepada ‘Aisyah:

“Wahai Aisyah, ambilkan pisau.” Lalu beliau pun berkata, “Tajamkanlah (asah-lah) pisau itu dengan batu.” Aisyah pun melaksanakan perintah tersebut. Lalu Nabi pun mengambil pisau tersebut, mengambil kibasy tersebut, dan membaringkannya, lalu bersedia menyembelihnya. Beliau membaca, “Bismillah (dengan nama Allah), ya Allah terimalah dari Muhammad, keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad!” Lalu beliau pun langsung menyembelihnya.” (Shahih Muslim, no. 1967. Sunan Abi Dawud, no. 2792)

Dari hadis ini, para ulama menjelaskan bahawa seekor kambing sah dan cukup sebagai haiwan korban (udh-hiyyah) bagi satu keluarga walaupun keluarganya ramai. Demikian juga mereka menetapkan bahawa satu bahagian dari unta atau lembu cukup dan sah untuk satu keluarga.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

واستدل بهذا من جوز تضحية الرجل عنه وعن أهل بيته واشتراكهم معه فى الثواب وهو مذهبنا ومذهب الجمهور

“Para ulama berdalil dengan hadis ini akan bolehnya (yakni sah) korban seorang lelaki untuk ahli keluarganya dan keikut-sertaan ahli keluarganya bersamanya untuk pahala satu haiwan korban (seekor kambing), dan ini adalah mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i) dan juga mazhab jumhur ulama.” (Syarh Shahih Muslim, 13/122)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَيَجُوزُ أَنْ يُضَحِّيَ بِالشَّاةِ عَنْ أَهْلِ الْبَيْتِ – صَاحِبُ الْمَنْزِلِ – وَنِسَائِهِ وَأَوْلَادِهِ وَمِنْ مَعَهُمْ. كَمَا كَانَ الصَّحَابَةُ يَفْعَلُونَ

“Adalah dibolehkan menyembelih korban dengan hanya seekor kambing untuk ahli keluarganya, isteri-isterinya, anak-anaknya dan orang-orang yang tinggal bersama mereka (di bawah tanggungannya), sebagaimana yang telah dilakukan oleh para sahabat.” (Majmu’ Al-Fatawa, 23/164)

Kata Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1250H):

فيه دليل على أن الشاة تجزئ عن أهل البيت لأن الصحابة كانوا يفعلون ذلك في عهده صلى الله عليه وآله وسلم

“Ini adalah dalil tentang bolehnya korban seekor kambing untuk satu keluarga kerana inilah yang dilakukan oleh sahabat Nabi dalam rangka mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Nail Al-Authaar, 5/182)

Kemudian beliau mengemukakan perselisihan sebahagian ahli ilmu tentang hal ini di mana ada sebahagian mereka yang tidak membolehkan, lalu beliau pun menyimpulkan:

والحق أنها تجزئ عن أهل البيت وإن كانوا مائة نفس أو أكثر كما قضت بذلك السنة

“Dan yang benar adalah bolehnya bagi satu keluarga (untuk berkorban dengan seekor kambing) walaupun jumlah mereka seratus orang atau lebih ramai dari itu sebagaimana yang telah ditentukan dengan as-sunnah.” (Nail Al-Authaar, 5/182)

Al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (Wafat: 179H) berkata:

وَأَحْسَنُ مَا سَمِعْتُ فِي الْبَدَنَةِ، وَالْبَقَرَةِ، وَالشَّاةِ. أَنَّ الرَّجُلَ يَنْحَرُ عَنْهُ، وَعَنْ أَهْلِ بَيْتِهِ، الْبَدَنَةَ. وَيَذْبَحُ الْبَقَرَةَ، وَالشَّاةَ الْوَاحِدَةَ. هُوَ يَمْلِكُهَا، وَيَذْبَحُهَا عَنْهُمْ، وَيَشْرَكُهُمْ فِيهَا.

“Penjelasan yang paling baik yang aku dengar tentang badanah (korban dengan unta), lembu, dan kambing, adalah seorang lelaki dia boleh menyembelih seekor unta, lembu, atau kambing untuk dirinya dan untuk keluarganya sekaligus. Dialah pemiliknya, dan dia menyembelihnya bagi mereka dalam masa sama. Dia berserikat dengan mereka pada satu haiwan tersebut (sebagai korban).” (Muwaththaa’ Malik, no. 1771 – Tahqiq Al-A’dzami)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

يجوز أن يشترك سبعة في بدنة أو بقرة للتضحية، سواء كانوا كلهم أهل بيت واحد أو متفرقين، أو بعضهم يريد اللحم، فيجزئ عن المتقرب، وسواء أكان أضحية منذورة أم تطوعا، هذا مذهبنا وبه قال أحمد وجماهير العلماء

“Dibolehkan berserikat (bergabung) tujuh orang untuk seekor unta atau seekor lembu dalam berkorban. Sama saja adakah mereka semuanya itu dari satu keluarga atau berlainan keluarga, atau sebahagian dari mereka hanya kerana menginginkan dagingnya. Dan ini telah mencukupi bagi setiap anggota keluarga bagi setiap orang yang berkorban (iaitu: satu bahagian mencukupi untuk satu keluarga – pent.), sama ada untuk sembelihan korban nadzar atau sembelihan korban tathawwu’ (sunnah). Ini adalah mazhab kami (Asy-Syafi’i). Dan dengannya Imam Ahmad dan jumhur ulama berpendapat.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 8/372)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

فَلَمَّا كُنَّا بِمِنًى، أُتِيتُ بِلَحْمِ بَقَرٍ، فَقُلْتُ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: ضَحَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَزْوَاجِهِ بِالْبَقَرِ

“Ketika kami sedang di Mina (yakni ketika sedang berhaji), kami didatangkan dengan daging lembu (oleh para sahabat). Aku pun bertanya, “Apa ini?” Mereka (para sahabat) pun menjawab, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melaksanakan dhohaya (penyembelihan korban) untuknya dan isteri-isterinya dengan lembu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5548)

Sebahagian ulama telah berdalilkan dengan hadis ini antaranya sebagai dalil yang menunjukkan para jama’ah haji juga turut disunnahkan (dianjurkan) untuk melaksanakan ibadah korban (udh-hiyyah) dan sebagai dalil yang menunjukkan sebahagian lembu sah untuk seorang lelaki bersama keluarganya.

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah dalam kitabnya, Fathul Bari:

واستدل به الجمهور على أن ضحية الرجل تجزي عنه وعن أهل بيته وخالف في ذلك الحنفية وأدعى الطحاوي أنه مخصوص أو منسوخ ولم يأت لذلك بدليل قال القرطبي لم ينقل أن النبي صلى الله عليه و سلم أمر كل واحدة من نسائه بأضحية مع تكرار سنى الضحايا ومع تعددهن والعادة تقضي بنقل ذلك لو وقع كما نقل غير ذلك من الجزئيات ويؤيده ما أخرجه مالك وبن ماجة والترمذي وصححه من طريق عطاء بن يسار سألت أبا أيوب كيف كانت الضحايا على عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم قال كان الرجل يضحي بالشاة عنه وعن أهل بيته فيأكلون ويطعمون حتى تناهى الناس كما ترى

Jumhur ulama berdalil dengan hadis ini (Shahih Al-Bukhari, no. 5548) bahawa haiwan korban seorang lelaki cukup bagi dirinya dan keluarganya sekaligus. Namun pendapat ini diselisihi oleh Al-Hanafiyah (pengikut mazhab Abu Hanifah), dan Ath-Thahawi pula mengatakan hukum tersebut bersifat khusus (hanya bagi Nabi), atau telah mansukh. Namun beliau tidak menyebutkan dalil bagi menguatkan pendapatnya tersebut.

Al-Qurthubi berkata: “Tidak ada dinukil bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan setiap isterinya untuk menyembelih korban masing-masing, sedangkan perlaksanaan korban sentiasa berulang saban tahun dan isteri Nabi juga ramai. Biasanya perkara seperti ini pasti telah dinukil (atau diriwayatkan) jika memang benar-benar terjadi sebagaimana dinukilnya banyak perkara-perkara juz’iyyat lainnya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Malik, Ibnu Majah, dan At-Tirmidzi dan disahihkan oleh At-Tirmidzi dari jalur ‘Athaa’ bin Yasaar, bahawa beliau bertanya kepada Abu Ayyub, … (seterusnya sebagaimana hadis di atas).” (Fathul Bari, 10/6)

Dari Tabi’in; Imam Asy-Sya’bi, dari sahabat Nabi Abu Sariihah, beliau berkata:

حَمَلَنِي أَهْلِي عَلَى الْجَفَاءِ بَعْدَ مَا عَلِمْتُ مِنَ السُّنَّةِ، كَانَ أَهْلُ الْبَيْتِ يُضَحُّونَ، بِالشَّاةِ وَالشَّاتَيْنِ، وَالْآنَ يُبَخِّلُنَا جِيرَانُنَا

“Aku membuatkan keluargaku tidak senang setelah apa yang aku ketahui dari sunnah bahawa satu keluarga boleh berkorban dengan seekor atau dua ekor kambing. Dan sekarang jiran tetangga kami menganggap kami kedekut (kerana hanya berkorban dengan seekor atau dua ekor kambing sahaja – pent.).” (Sunan Ibnu Majah, no. 3128)

Adapun perkataan Nabi, “… dari umat Muhammad.” Ini adalah khusus untuk Nabi. Manakala sembelihan korban untuk dirinya dan keluarganya (walaupun keluarganya ramai) dengan seekor kambing, atau kibasy, atau satu bahagian dari lembu atau unta untuk satu keluarga, maka inilah yang diamalkan oleh para sahabat sebagaimana hadis ‘Athaa’ bin Yasaar. Ini antaranya dijelaskan dalam Tuhfatul Ahwadzi oleh Al-Mubarakfuri, ‘Aunul Ma’bud oleh Syamshul Haq, dan Fathul Bari oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani.

Wallaahu a’lam.

Baca artikel lengkap di, https://ilmusunnah.com/beginilah-ibadah-korban-di-atas-petunjuk-al-quran-dan-as-sunnah/

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest