Ibnu Ishaq Sepintas Lalu

Prof. Dr. Mahdi Rizqullaah Ahmad
www.ilmusunnah.com

(Dari kalangan tokoh utama dalam sirah); Mereka adalah Ibnu Ishaaq, Al-Waaqidii, dan Ibn Sa’ad. Secara khusus, tentu Ibnu Ishaaq adalah yang paling menonjol lagi dikenal berbanding yang lainnya disebabkan himpunan sirah yang beliau susun telah tersebar luas dan dibaca oleh banyak kalangan manusia secara umum.

Kredibiliti ketiga-tiga mereka ini dalam soal periwayatan hadis juga telah kita maklumi bersama, ada pelbagai pandangan dan penilaian. Adapun dalam perbahasan Al-Maghazi (rakaman kisah-kisah peperangan Nabi) dan sirah (sejarah perjalanan Nabi), maka tidak ada yang mengingkari ketokohan mereka dalam bidang ini.

Sehingga kalaupun ada di antara mereka yang mendapat tajrih (kritikan dan celaan) dalam bidang hadis, namun hal tersebut tidaklah disepakati dalam kalangan ulama rijal. Sebagaimana yang akan anda lihat sedikit setelahnya.

Dan beberapa hal yang menjadi sebab akan kemasyhuran Sirah Ibnu Ishaaq di kalangan masyarakat adalah seperti berikut:

1, Beliau menyebutkan setiap peristiwa dengan berdasarkan kronologi zaman (waktu). Dan uslub (methode) inilah yang kemudian diikuti oleh syaikh (guru) beliau, iaitu Imam Az-Zuhri yang menyusun buku sirah mengikuti pembahagian tahun-tahun dan bab-bab. Dan methode urutan seperti ini termasuk suatu hal yang baru pada masa tersebut.

2, Beliau mengumpulkan semua riwayat yang beliau terima tentang sesuatu peristiwa, kemudian menata (serta menyusunnya) dalam suatu bab berdasarkan kronologi peristiwa tanpa menekankan penyebutan perawi bagi setiap khabar tersebut, dan methode inilah yang mendapat celaan (atau kritikan) dari kalangan ulama hadis.

Namun dengan cara seperti ini, justeru kitab sirah beliau ini telah menjadi suatu himpunan yang (dilihat secara umum) bersifat komprehensif dan sempurna, menjadi dekat kepada hati orang yang mendengar, mudah difahami, mudah dibaca, dan mudah dihafal, terutamanya bagi para penuntut ilmu dari kalangan pemula.

3, Dengan sebab keluasan ilmu (pengetahuan) Ibnu Ishaaq dan bagusnya kedudukan beliau di masanya. Juga dengan sebab kefasihan (bahasa) beliau dalam menyampaikan.

4, Kemunculan Tahdziib Ibnu Hisyam (atas Sirah Ibnu Ishaaq), ianya menambah lagi keindahan dan kemilau Sirah Ibnu Ishaaq sekaligus menjadi pintu laluan bagi para ulama terhadapnya, mereka pun mengkajinya, mensyarahnya, dan memberikan ta’liq (komentar) padanya, dalam masa sama menyambungkan riwayat-riwayat di dalamnya yang terputus… serta yang selainnya…

Ibnu Ishaaq Secara Ringkas

Beliau adalah Abu Bakar bin Ishaaq bin Yasaar Al-Mathlabi rahimahullah (Wafat: 151H). Beliau sangat setia (rapat) kepada Qais bin Makhramah bin Al-Muththalib bin ‘Abdul Manaf Al-Qurasyi, sehingga datuk beliau Yasaar ditawan oleh Khalid bin Al-Walid dari negerinya Ainut Tamr, berdekatan dengan Al-Anbar di ‘Iraq, pada tahun 12 hijrah. (Ibnu Sa’ad, Ath-Thabaqaat, 7/321. Tarikh Baghdad, 1/214. Siyar A’lam An-Nubalaa’, 7/33)

Beliau membesar di Madinah Al-Munawarrah dan tekun duduk bersama para ulama bertujuan menghafalkan (mempelajari) hadis. Beliau mengambil ilmu daripada Al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Abbaan bin ‘Utsman, Abu Salamah bin ‘Abdurrahman bin ‘Auf, Naafi’ maula (pelayan) ‘Abdullah bin ‘Umar dan juga daripada Ibnu Syihab Az-Zuhri.

Beliau sempat bertemu dengan Anas bin Malik dan Sa’id bin Al-Musayyib, dan beliau sering berpindah-randah ke banyak wilayah-wilayah Islam yang terletak di bahagian timur. Dengan sebab itulah beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis dari para ulama di wilayah tersebut.

Para ulama hadis berbeza pendapat tentang ‘adalah (kredibiliti) beliau (dalam periwayatan hadis). Antaranya Imam Malik bin Anas menyifatkan beliau sebagai salah seorang Dajjal dari dajjal-dajjal (pendusta dalam bidang hadis). Hisyam bin Urwah bin Az-Zubair menuduh beliau sebagai Al-Kadzdzab (seorang pendusta) disebabkan beliau meriwayatkan hadis dari isteri Hisyam bin Urwah (iaitu Fathimah binti Al-Mundzir bin Az-Zubair), dan Hisyam menyangkal dengan katanya, “(Bagaimana) beliau (Ibnu Ishaaq) pernah masuk menemui isteriku?”

Selain itu, beliau juga dituduh sebagai pengikut Qadariyah dan Syi’ah. Kemudian, Imam Muslim juga tidak meriwayatkan hadis daripadanya dalam kitab Shahih-nya kecuali apabila punya mutaba’ah (pendukung dari perawi yang lain) itupun hanya di bahagian-bahagian akhir. Demikian juga Imam Al-Bukhari, beliau tidak meriwayatkan daripadanya di kitab Shahih-nya melainkan pada kategori Al-Mu’allaqaat (hadis-hadis mu’allaq, iaitu yang gugur seorang atau lebih dari perawinya).

Namun demikian, Ibnu Ishaaq ini telah dinilai tsiqah (terpercaya) oleh sejumlah ulama, di antaranya seperti Syu’bah bin Al-Hajjaj, seorang tokoh (Imam) dalam ilmu Ar-Rijal (ilmu berkaitan biografi dan latar belakang tokoh-tokoh rawi hadis) di zamannya di mana beliau berkata tentang Ibnu Ishaaq:

محمد بن إسحاق أمير المؤمنين يعني في الحديث

“Muhammad bin Ishaaq adalah Amirul Mukminin iaitu dalam bidang hadis.”[1]

Dan beliau (Syu’bah) juga berkata:

لو كان لي سلطان، لامرت ابن إسحاق على المحدثين

“Jika aku memiliki kekuasaan, niscaya aku akan mengangkat Ibnu Ishaaq sebagai pemimpin para ahli hadis.”[2]

Dan para pengikut (dari kalangan murid-murid) Imam Az-Zuhri, mereka turut membuat rujukan kepada Ibnu Ishaaq jika ada keraguan dari hadis-hadis yang mereka hafal dari Az-Zuhri dikeranakan mereka mempercayai hafalan Ibnu Ishaaq.

Dan Imam Yahya bin Ma’in juga turut men-tsiqah-kan Ibnu Ishaaq, di mana beliau berkata tentangnya:

ابن إسحاق ثبت في الحديث

“Ibnu Ishaaq telah tsabt (teguh dan manpan) dalam (ilmu) hadis.”

Dan Ibn Ma’in pernah ditanya tentang Ibnu Ishaaq, maka beliau pun berkata:

“‘Aashim bin ‘Umar bin Qatadah berkata:

لا يزال في الناس علم ما عاش محمد بن إسحاق

“Tidaklah ilmu hilang di tengah-tengah manusia selagi masih ada Muhammad bin Ishaaq.”[3]

Selain itu, Ibnu Ishaaq juga turut dinilai tsiqah oleh Yahya bin Sa’id Al-Qaththan dan Ibnu Hanbal, dan para imam hadis tersebut turut menjadikan hadis-hadis dari riwayat Ibnu Ishaaq sebagai hujjah.

Dan turut meriwayatkan hadis-hadis dari Ibnu Ishaq adalah Ash-habus Sunan (para penulis atau penyusun kitab-kitab Sunan), Al-Masanid (penyusun kitab-kitab Musnad), Al-Mustadrakaat, dan selain mereka juga turut meriwayatkan hadis-hadis dari Ibnu Ishaaq.

Dan para imam lain yang turut meriwayatkan hadis-hadis dari Ibnu Ishaaq adalah seperti: Yahya bin Sa’id Al-Anshari (guru Imam Malik, Sufyan Ats-Tsauri, dan Sufyan bin ‘Uyaynah). Dan Sufyan bin Uyahinah pernah berkata tentang Ibnu Ishaaq:

ما أدركت أحدا يتهم ابن إسحاق في حديثه

“Tidaklah aku ketahui, ada seorangpun yang mencela Ibnu Ishaaq dalam hadis-hadisnya.”[4]

Dan dua Hamaad juga turut meriwayatkan daripada Ibnu Ishaaq, iaitu Hamaad bin Salamah bin Dinar dan Hamaad bin Zaid bin Dirham, dan juga Sufyan Ats-Tsauri, Syu’bah, dan Ibnu Juraij.

Imam Abu Zur’ah berkata:

قد أجمع الكبراء من أهل العلم الأخذ منه

“Para ulama besar dari kalangan ahli ilmu telah bersepakat untuk mengambil hadis dari Ibnu Ishaaq.”

Dan Imam Adz-Dzahabi berkata tentangnya:

أن ابن إسحاق حسن الحديث، صالح الحال صدوق، وما انفرد به ففيه نكارة، وقد احتج به أئمة

“Ibnu Ishaaq hasanul Hadits (baik hadisnya, boleh diterima), seorang yang soleh dan shoduq (jujur). Adapun apa yang beliau riwayatkan sendirian menjadi asing, dan para imam berhujjah dengan hadis-hadisnya…”.[5]

Imam Al-Bukhari juga menyebutkannya di kitab Tarikh-nya dan menilainya tsiqah serta tidak menyebutkannya di kitab (bab) Adh-Dhu’afaa (kitab perawi-perawi yang lemah).

Ibnu ‘Adi berkata:

فلم أجد ما تهيأ أن يقطع عليه بالضعف، وربما أخطاء واتهم في الشئ بعد الشئ كما يخطىء غيره

“Aku telah memeriksa hadis-hadisnya yang banyak, tetapi aku tidak menemukan pun dari hadis-hadisnya yang dha’if (lemah), dan mungkin beliau memang pernah salah dan dituduh dalam satu hal dan yang lainnya sebagaimana orang lain juga berbuat salah.”

Berkata para ulama yang men-tsiqah-kan beliau, bahawa jarh (celaan) dari jarh yang dikenakan terhadap Ibnu Ishaaq itu banyak yang tidak memenuhi syarat-syarat aljarh (celaan) yang maqbul (diterima). Maka dengan alasan inilah mereka menafikan beberapa bentuk jarh (celaan) yang ditujukan kepada Ibnu Ishaaq seraya mengakui kedudukan beliau (sebagai orang yang tsiqah (terpercaya) dalam periwayatan).

Ibnu Sayidinnas dan Al-Khathib Al-Baghdadi pernah mengumpulkan perkataan-perkataan yang berhubung dengan jarh dan ta’dil atas Ibnu Ishaaq, kemudian mereka pun membantahnya lalu cenderung menilainya tsiqah.

Adapun kredibiliti Ibnu Ishaaq dalam bidang Al-Maghazi (kisah peperangan) dan sirah (perjalanan hidup Nabi – pent.), maka para ulama sepakat (menerima) atasnya.[6]

Dan khulashah (ringkasan dan gambaran) yang dapat dilihat, para ulama hadis menilai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaaq itu ada pada kedudukan (status) hasan li dzatihi apabila beliau menyebutkan dengan sharih (jelas) para perawinya dan meriwayatkan dengan sanad yang muttashil (bersambung) serta rawi-rawinya tsiqah. Ini kerana beliau termasuk dari kalangan orang-orang yang melakukan tadlis.

Jejak Ibnu Hisyam Dalam Sirah Ibnu Ishaaq

Ibnu Hisyam mengumpulkan Sirah Ibnu Ishaq melalui riwayat dari Al-Bukaa’i, lalu kemudian beliau memperbaiki pada sebahagian perkara yang disampaikan oleh Ibnu Ishaaq dengan cara menyunting, meringkas, dan mengkritik, atau menyebutkan riwayat yang lain yang belum disebutkan oleh Ibnu Ishaaq.

Dan pengaruh serta jejak Ibnu Hisyam dalam Sirah Ibnu Ishaaq terlihat jelas pada manhaj (methode) beliau dalam menukil atau menyampaikan riwayat-riwayat Ibnu Ishaaq (di kitab beliau). (Iaitu apabila) Ibnu Hisyam mengatakan di mukaddimah kitab beliau:

“InsyaAllah aku akan memulakan kitab ini dengan menyebutkan (mengisahkan) tentang Ismaa’il bin Ibrahiim dan anak keturunannya yang darinya lahir Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan dari apa-apa yang terlihat dari perkhabaran-perkhabaran tentang mereka. Aku meninggalkan dari menyebutkan (menceritakan) kisah-kisah selain dari mereka yang bukan dari anak keturunan Ismaa’il. Ini aku lakukan dengan tujuan agar dapat meringkas dan lebih fokus kepada hadis-hadis (perkhabaran) berkaitan sirah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sahaja.

Dalam kitab-ku ini, aku akan meninggalkan sebahagian dari apa yang disebutkan oleh Ibnu Ishaaq yang tidak berkaitan dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sesuatu yang tidak berdasarkan Al-Qur’an, yang tidak menjadi sebab penulisan kitab ini, yang tidak menjadi tafsir (penjelas) padanya, dan tidak pula menjadi syahid (pendukung dan penguat) atasnya.

Ini adalah sebagaimana yang telah disebutkan yang bersifat Al-Ikhtishar (meringkas dan lebih fokus kepada tujuan perbahasan).

Antara yang aku hilangkan lagi adalah sya’ir-sya’ir yang menurut-ku tidak diketahui seorang pun dari kalangan ahli ilmu tentang sya’ir tersebut, hal-hal yang tidak sepatutnya dibahaskan, dan sebahagian perkara yang dianggap buruk oleh sebahagian orang  untuk disebutkan, serta apa-apa yang tidak diperakui oleh Al-Buka’i secara riwayah. InsyaAllah aku akan membentangkan semuanya (dengan lengkap) selain dari apa-apa yang aku kecualikan berdasarkan riwayat-riwayat yang sampai daripadanya dan yang diketahui.” (Ibnu Hisyam, As-Siirah An-Nabawiyah, 1/36)

Dan dengan sebab apa yang dilakukan oleh Ibnu Hisyam ini, banyak pihak hampir-hampir melupakan Ibnu Ishaaq sebagai penyusun asal sirah tersebut.

Dinukil dari Mukaddimah kitab As-Siirah An-Nabawiyyah fii Dhawwil Mashaadir Al-Ashliyyah, m/s. 35-38 oleh penulis.

Catatan (oleh penyalin):

[1] lihat: Ibnu Hibban, Ats-Tsiqaat, 7/383. Ibn ‘Adi, Al-Kamil fii Dhu’afa Ar-Rijaal, 6/107. Siyar A’lam An-Nubalaa’, 7/47 – Tahqiq Syu’aib Al-Arnauth. Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Tahdzib At-Tahdzib, 9/39.

[2] lihat: Ibn ‘Adi, Al-Kamil fii Dhu’afa Ar-Rijaal, 6/107. Tadzkirah Al-Huffaadz, 1/130. Siyar A’lam An-Nubalaa’, 7/54. Tetapi dinukilkan oleh Adz-Dzahabi dari perkataan Yaziid bin Haruun.

[3] lihat: Al-Khathib Al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 1/220. Al-Mizzi, Tahdzib Al-Kamal, 24/413. Siyar A’lam An-Nubalaa’, 7/36.

[4] lihat: Wafayaat Al-A’yaan wa Abnaa’i Abnaa’ Az-Zamaan, 4/276.

[5] lihat: Mizaan Al-I’tidaal, 3/475.

[6] antaranya Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) mengatakan:

من أراد أن يتبحر فى المغازى فهو عيال على محمد بن إسحاق

“Sesiapa yang hendak menyelamai lautan Al-Maghazi (kisah peperangan Rasulullah), maka dia akan terhutang budi terhadap Muhammad bin Ishaq.” (Al-Mizzi, Tahdzib Al-Kamal, 24/413. Siyar A’lam An-Nubalaa’, 7/36)

Ibnu Syihab Az-Zuhri ditanya tentang Maghaziyah, maka jawab beliau:

هذا أعلم الناس بها، يعنى ابن إسحاق

“Ini adalah manusia yang paling mengetahui tentangnya, iaitu Ibnu Ishaaq.” (Tarikh Baghdad, 1/219. Tahdzib Al-Kamal, 24/413. Tahdzib At-Tahdzib, 9/36)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest