Halal dan Haram Makanan Dalam Islam

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Pengertian Makanan

Al-ath’imah (الأَطْعِمَة) adalah bentuk jama’ dari kata tha’aam (طَعَامٌ), maknanya adalah sesuatu yang dimakan dan dicerna, sama ada ia berupa makanan asas atau yang selainnya.

Secara dasarnya semua makanan adalah halal, melainkan yang telah dijelaskan melalui dalil-dalil wahyu bahawa makanan tersebut haram. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi makanan yang halal lagi baik…” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

Dalam ayat lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

“Katakanlah, “Tidaklah aku temui dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan sekiranya makanan itu adalah bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu rijsun (kotor), atau binatang yang disembelih untuk selain Allah…”.” (Surah al-An’aam, 6: 145)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

“Mengapa kamu tidak mahu memakan (binatang-binatang yang halal) yang disebut Nama Allah ketika menyembelihnya, padahal sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu apa yang diharamkan-Nya ke atasmu, melainkan apa yang kamu terpaksa memakannya…”(Surah al-An’aam, 6: 119)

Dengan ini, dapat difahami bahawa:

1, Makanan yang telah dijelaskan di dalam dalil akan kehalalannya, maka ia adalah halal.

2, Makanan yang sama sekali tidak disentuh secara langsung oleh dalil, maka ia juga adalah halal.

3, Makanan yang telah dijelaskan oleh dalil bahawa ianya haram, maka ia adalah haram.

Secara umumnya, semua makanan adalah halal, melainkan ada dalil yang mengharamkannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

“Katakanlah, “Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan oleh Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sehahagiannya) halal.” Katakanlah, “Adakah Allah telah memberikan izin kepadamu (dalam persoalan mengaharamkan dan menghalalkan) atau kamu hanya mengada-adakan sesuatu terhadap Allah?” (Surah Yunus, 10: 59)

Ketentuan awal di dalam pemisahan oleh syara’ di antara yang haram dan mubah (harus) dalam segala perkara, sama ada makanan, minuman, atau yang selainnya adalah berdasarkan pemisahan di antara yang baik dan buruk.

Ini bermakna, segala perkara yang dihalalkan Allah, maka ia adalah baik.  Dan segala sesuatu yang diharamkan Allah, maka ia adalah suatu yang buruk. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

“… dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk…” (Surah Al-A’raaf, 7: 157)

Di ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ

“Supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dari yang baik, dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain…” (Surah Al-Anfal, 8: 37)

Dengan ini, setiap mereka yang benar-benar memahami segala sesuatu yang diharamkan oleh Allah, nescaya dia akan mengetahui bahawa setiap yang diharamkan oleh Allah pasti memiliki kesan negatif terhadap badan atau akal, atau merupakan najis dan sesuatu yang dianggap buruk, atau memiliki hikmah yang lain yang sesuai dengan apa yang telah ditentukan oleh Al-Khaliq (sang pencipta).

Makanan Yang Diharamkan Dalam Islam

Berikut adalah kriteria atau bentuk-bentuk makanan yang diharamkan oleh dalil-dalil wahyu:

1, Bangkai.

Iaitu dari semua haiwan yang mati tanpa disembelih atau dibunuh dengan betul.

Contohnya:

1, Al-munkhaniqah (الْمُنْخَنِقَةُ): Haiwan yang mati tercekik.

2, Al-mauqudzah (الْمَوْقُوذَةُ): Haiwan yang mati kerana dipukul (contohnya: dengan kayu, batang besi, atau seumpamanya)

3, Al-mutaraddiyah (الْمُتَرَدِّيَةُ): Haiwan yang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi (mati terhempas).

4, An-nathihah (النَّطِيحَةُ): Haiwan yang mati serta ditanduk oleh yang lainnya (mati kerana bergaduh sesama sendiri atau disebabkan haiwan yang lain).

5, Haiwan yang diterkam, iaitu haiwan yang mati kerana diserang atau dicederakan oleh binatang buas. Tetapi sekiranya haiwan yang terluka atau cedera itu ditemui sebelum mati lalu sempat disembelih, maka haiwan tesebut adalah halal.

Ciri-ciri di atas telah disebutkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

“Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh (terhempas), yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, melainkan yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Termasuk di dalam kategori bangkai yang haram dimakan adalah semua bahagian haiwan yang dipotong darinya, padahal haiwan tersebut masih hidup.

Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهِيَ مَيْتَةٌ

“Sesuatu yang dipotong dari binatang yang masih hidup adalah bangkai.” (Sunan Abi Daud, no. 2858)

Walau pun begitu, di sana terdapat dua bangkai yang dikecualikan dari hukum di atas, iaitu bangkai ikan (hidupan air) dan belalang. Bangkai keduanya adaalah halal dimakan. Ini adalah berdasarkan hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ، وَدَمَانِ. فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ: فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ: فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

“Dihalalkan bagi kita dua bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut adalah bangkai ikan dan belalang, manakala dua darah tersebut adalah hati dan limpa.” (Musnad  Ahmad, no. 5723. Dinilai sahih oleh al-Albani dan hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

Juga sebagaimana sabda beliau yang lain:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

“Laut itu suci airnya dan halal bangkainya.” (Hadis Riwayat Malik, Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, dan Ibnu Majah. Hadis hasan sahih sebagaimana kata At-Tirmidzi)

Juga sebagaimana firman Allah Ta’ala:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

“Dihalalkan bagi kamu shaidul bahr (haiwan buruan laut) dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagi kamu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan…” (Surah Al-Ma’idah, 5: 96)

Iaitu setiap haiwan laut yang ditangkap sama ada dalam keadaan hidup mahupun yang ditemui dalam keadaan mati. Ini termasuklah halalnya memakan haiwan air yang adakalanya mampu hidup di darat seperti penyu, kura-kura, ketam, buaya, burung air, dan seumpamanya kecuali katak kerana ada dalil khusus yang melarangnya.

2, Darah Yang Mengalir.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ

“Diharamkan bagi kamu (memakan) bangkai, darah…” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Dalam ayat lain:

أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا

“Atau darah yang mengalir…” (Surah al-An’aam, 6: 145)

Akan tetapi, adalah dimaafkan darah yang sedikit yang biasa ada pada badan haiwan sembelihan yang tidak dapat dihilangkan darinya.

Adapun darinya ada dua jenis darah yang dikecualikan yang halal dimakan, iaitu hati dan limpa kerana ia tidak termasuk darah yang mengalir dan dijelaskan melalui hadis berikut:

Hadis dari Ibnu ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ، وَدَمَانِ. فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ: فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ: فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

“Dihalalkan bagi kita dua bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut adalah bangkai ikan dan belalang, manakala dua darah tersebut adalah hati dan limpa.” (Musnad  Ahmad, no. 5723. Dinilai sahih oleh al-Albani dan hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)

3, Babi.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi…” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Para ulama telah bersepakat bahawa setiap bahagian dari babi adalah haram. Dan tujuan disebutkan (di dalam al-Qur’an) kata daging bahawa babi adalah haiwan yang biasa disembelih dengan tujuan diambil dagingnya. (Ahkaamul Qur’aan, karya Ibnul ‘Arabi)

Demikian pula tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama bahawa lemak dan kulitnya juga adalah haram dimakan.

4, Haiwan yang disembelih atas nama selain Nama Allah.

Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

“.. (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Nama Allah.” (Surah al-Ma’idah, 5: 3)

Oleh kerana itu, haram hukumnya memakan haiwan yang disembelih oleh seorang musyrik, Majusi, dan orang yang murtad. Adapun sembelihan orang Nasrani dan Yahudi (ahli Kitab), maka halal dimakan selama mana tidak diketahui bahawa mereka menyebut selain Nama Allah.

Ini telah dijelaskan sebagaimana di dalam firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ

“Dan makanan orang-orang yang diberi al-Kitab itu halal bagi-mu…” (Surah al-Ma’idah, 5: 5)

Makanan ahli kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sembelihan ahli kitab. Ini adalah suatu yang telah disepakati oleh para ulama bahawa sembelihan mereka halal bagi umat Islam. (Tafsir Ibnu Katsir, 3/40)

Untuk perbahasan lanjut berkaitan bab ini, boleh lihat di artikel, https://ilmusunnah.com/?p=3

5, Daging Keldai.

Sebagaimana dijelaskan dalam hadis Anas radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَهُ جَاءٍ، فَقَالَ: أُكِلَتِ الحُمُرُ، ثُمَّ جَاءَهُ جَاءٍ، فَقَالَ: أُكِلَتِ الحُمُرُ، ثُمَّ جَاءَهُ جَاءٍ، فَقَالَ: أُفْنِيَتْ الحُمُرُ، فَأَمَرَ مُنَادِيًا فَنَادَى فِي النَّاسِ: إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الحُمُرِ الأَهْلِيَّةِ، فَإِنَّهَا رِجْسٌ فَأُكْفِئَتْ القُدُورُ، وَإِنَّهَا لَتَفُورُ بِاللَّحْمِ

“Seseorang menemui Rasulullah lalu mengatakan, “Keldai telah dimakan.”

Kemudian seorang lagi menemui beliau lalu mengatakan, “Keldai telah dimakan.” Kemudian ada seorang lagi datang lalu mengatakan, “Keldai telah habis.” Setelah itu, beliau pun memerintahkan seseorang untuk membuat pengumuman kepada orang ramai:

“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kamu memakan daging keldai peliharaan kerana keldai peliharaan adalah najis.” Maka periuk-periuk ditumpahkan (untuk dibersihkan), dan sesungguhnya periuk-periuk tersebut biasa digunakan untuk memasak daging-daging.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5528. Muslim, no. 1940)

Maka, dengan ini juga, ia turut menjelaskan bahawa:

Keldai liar adalah halal dimakan berdasarkan ijma’ para ulama. Keldai liar yang dimaksudkan dalam konsteks bahasa dan masyarakat kita adalah kuda belang (Zebra).

Dalam Shahih Al-Bukhari disebutkan dalam sebuah hadis dari Abi Qotadah radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّهُ خَرَجَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَتَخَلَّفَ أَبُو قَتَادَةَ مَعَ بَعْضِ أَصْحَابِهِ، وَهُمْ مُحْرِمُونَ وَهُوَ غَيْرُ مُحْرِمٍ، فَرَأَوْا حِمَارًا وَحْشِيًّا قَبْلَ أَنْ يَرَاهُ، فَلَمَّا رَأَوْهُ تَرَكُوهُ حَتَّى رَآهُ أَبُو قَتَادَةَ، فَرَكِبَ فَرَسًا لَهُ يُقَالُ لَهُ الجَرَادَةُ، فَسَأَلَهُمْ أَنْ يُنَاوِلُوهُ سَوْطَهُ فَأَبَوْا، فَتَنَاوَلَهُ، فَحَمَلَ فَعَقَرَهُ، ثُمَّ أَكَلَ، فَأَكَلُوا فَنَدِمُوا، فَلَمَّا أَدْرَكُوهُ قَالَ: «هَلْ مَعَكُمْ مِنْهُ شَيْءٌ؟»، قَالَ: مَعَنَا رِجْلُهُ، فَأَخَذَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَكَلَهَا

“Bahawa beliau (Abi Qotadah) keluar bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu Abi Qotadah di belakang bersama-sama sebahagian para sahabat yang sedang ihram dan beliau tidak ihram. Lalu para sahabat melihat seekor keldai liar (kuda belang), sedangkan Abi Qotadah belum melihatnya. Mereka pun membiarkan Abi Qotadah melihatnya.

Kemudian Abi Qotadah menaiki kudanya yang dikenali dengan nama Al-Jaraadah. Lalu beliau meminta agar diambilkan tombak, tetapi para sahabat yang lain tidak mahu (kerana sedang dalam ihram – pent.). Akhirnya beliau pun mengambil sendiri lalu memburu dan menyembelih keldai tersebut, kemudian memakannya. Para sahabat yang lain pun turut memakannya. Lalu mereka merasa menyesal.

Ketika Nabi muncul, beliau pun menanyakannya, “Adakah masih ada bersama kalian sesuatu darinya (daging keldai)?” Jawab Abi Qotadah:

“Kami masih ada lebihan kakinya.” Maka Nabi pun mengambilnya lalu memakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2854)

Ada pun berkenaan daging kuda, maka ianya adalah halal.

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ خَيْبَرَ عَنْ لُحُومِ الحُمُرِ الأَهْلِيَّةِ، وَرَخَّصَ فِي الخَيْلِ

“Pada peristiwa Khaibar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang kami dari daging keldai peliharaan, tetapi memberi keringangan pada kuda.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4219)

6, Daging haiwan dan burung yang buas.

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ، وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang (dari memakan) setiap binatang buas yang memiliki taring dan burung yang memiliki kuku tajam mencengkam (yang digunakan untuk menyambar atau menerkam – pent.).” (Shahih Muslim, no. 1934)

Demikian juga dengan anjing dan kucing, dari hadis Abi Az-Zubair, beliau berkata:

سَأَلْتُ جَابِرًا، عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ؟ قَالَ: زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

“Aku bertanya kepada Jaabir tentang wang (hasil penjualan) anjing dan kucing. Maka beliau berkata, “Nabi melarangnya”.” (Shahih Muslim, no. 1569)

Yang dimaksudkan dengan haiwan buas bertaring adalah haiwan pemangsa (pemakan daging) yang memburu dan membunuh mangsanya secara kejam menggunakan taring serta terkaman dengan kukunya. Ini adalah seperti kucing, harimau, singa, dan seumpamanya, namun dikecualikan darinya dubuk (الضَّبُعَ: sejenis serigala atau heyna) kerana ada dalil khusus yang menunjukkan kehalalannya.

Ini sebagaimana dari hadis ‘Abdurrahman bin ‘Abdillah bin Abi ‘Ammaar, beliau mengkhabarkan:

سَأَلْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللهِ، فَقُلْتُ: الضَّبُعَ آكُلُهَا ؟ قَالَ: ” نَعَمْ “، قَالَ: قُلْتُ: أَصَيْدٌ هِيَ ؟ قَالَ: ” نَعَمْ “، قُلْتُ: أَسَمِعْتَ ذَاكَ مِنْ نَبِيِّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ قَالَ: ” نَعَمْ

“Aku bertanya kepada Jaabir bin ‘Abdillah, Adakah dubuk boleh dimakan?” Beliau jawab, “Ya, boleh.” Aku bertanya lagi, “Adakah ia termasuk haiwan buruan?” Beliau jawab, “Ya.” Aku tanyakan lagi, “Adakah engkau mendengar yang demikian dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Jawab Jaabir, “Ya, benar.” (Musnad Ahmad, no. 14425, 14449)

Dalam Sunan Abi Daud, Jaabir berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَنِ الضَّبُعِ، فَقَالَ: «هُوَ صَيْدٌ وَيُجْعَلُ فِيهِ كَبْشٌ إِذَا صَادَهُ الْمُحْرِمُ

“Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang dubuk, maka beliau jawab, “Ia adalah termasuk haiwan buruan, apabila mereka yang berihram memburunya, maka dia dikenakan dam (denda) dengan menyembelih seekor kibasy (kambing).” (Sunan Abi Daud, no. 3801)

7, Haiwan Jallaalah (haiwan yang memakan kotor-kotoran).

Al-Jallaalah (الْجَلَّالَةِ) adalah semua jenis haiwan yang asalnya halal dimakan namun ia memakan najis, tidak kira sama ada ianya unta, lembu, kambing, ayam atau yang serupa dengannya.

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang memakan daging jallaalah serta susunya.” (Sunan Abi Daud, no.3785. At-Tirmidzi, no. 1824)

Hadis seumpama turut diriwayatkan oleh sahabat-sahabat yang lain seperti Jaabir, Ibnu ‘Abbas, dan selainnya.

Namun, haiwan jallaalah yang pada dasarnya halal, ia masih boleh dimakan dengan beberapa kaedah penyaringan.

Jika haiwan jallaalah dikurung (dikuarantin-kan) selama tiga hari dan diberi makan dengan sesuatu yang baik-baik, maka haiwan tersebut halal untuk disembelih dan dimakan.

Ini adalah sebagaimana atsar dari Naafi’ dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

أَنَّهُ كَانَ يَحْبِسُ الدَّجَاجَةَ الْجَلَّالَةَ ثَلَاثًا

“Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Umar) mengurung ayam yang biasa memakan sesuatu yang najis selama tiga hari.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 24608)

Dan sebahagian ulama merincikan hal ini berdasarkan jenis haiwan dan kadar makanan kotor yang diambil dan tidak semestinya terhad kepada tiga hari. Boleh jadi lebih dari itu seperti 3 hari, 7 hari, atau lebih dengan anggapan telah selamat untuk dimakan.

8, Semua jenis haiwan yang diperintahkan syari’at untuk dibunuh.

Setiap jenis haiwan yang diperintahkan syari’at untuk dibunuh maka haram dimakan dengan berdasarkan kesepakatan ulama, di antara haiwan tersebut adalah seperti burung gagak, burung helang, tikus, cicak padang pasir, ular, kala jengking, dan anjing liar (anjing yang tidak liar juga haram dimakan berdasarkan dalil yang lain).

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

“Ada lima binatang berbahaya (perosak) yang dianjurkan untuk dibunuh di Tanah Al-Haram: (iaitu) tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing liar.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3314. Muslim, no. 1198)

Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِقَتْلِ الْوَزَغِ وَسَمَّاهُ فُوَيْسِقًا

“Nabi memerintahkan untuk membunuh cicak dan menamakannya fuwaisiqaa (haiwan yang jahat atau buruk – pent.).” (Shahih Muslim, no. 2238. Sunan Abi Daud, no. 5262)

Dalam sebuah hadis dalam dua kitab Shahih, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي غَارٍ بِمِنًى، إِذْ نَزَلَ عَلَيْهِ: وَالمُرْسَلاَتِ وَإِنَّهُ لَيَتْلُوهَا، وَإِنِّي لَأَتَلَقَّاهَا مِنْ فِيهِ، وَإِنَّ فَاهُ لَرَطْبٌ بِهَا إِذْ وَثَبَتْ عَلَيْنَا حَيَّةٌ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اقْتُلُوهَا، فَابْتَدَرْنَاهَا، فَذَهَبَتْ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وُقِيَتْ شَرَّكُمْ كَمَا وُقِيتُمْ شَرَّهَا

“Pernah ketika kami bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di sebuah gua dan telah turun kepada beliau Surah Al-Mursalaat dan aku mengambilnya secara langsung dari mulut beliau. Tiba-tiba ketika itu keluar seekor ular menghampiri kami, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata, “Bunuhlah ular itu.”

Kami pun segera mengejar ular tersebut, tetapi ia berjaya melepaskan diri. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Kalian telah dijaga dari keburukan sebagaimana kalian menjaga keburukan dari ular tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1830. Muslim, no. 2234)

Dalam Sunan Abi Daud dari Ibnu Mas’oud, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اقْتُلُوا الْحَيَّاتِ كُلَّهُنَّ فَمَنْ خَافَ ثَأْرَهُنَّ فَلَيْسَ مِنِّي

“Bunuhlah ular seluruhnya, sesiapa yang takut dengan dendamnya (serangan balas ular), maka dia bukan dari-ku.” (Sunan Abi Daud, no. 5249)

9, Semua jenis binatang yang dilarang syari’at untuk dibunuh.

Semua jenis binatang yang dilarang syari’at untuk dibunuh, maka tidak halal untuk dimakan, di antaranya adalah semua jenis binatang yang disebutkan di dalam hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma di mana beliau berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةُ، وَالنَّحْلَةُ، وَالْهُدْهُدُ، وَالصُّرَدُ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang kami membunuh empat jenis haiwan: (iaitu) semut, lebah, burung hud-hud, dan burung shurad.” (Musnad Ahmad, no. 3242. Sunan Abi Daud, no. 5267)

Kata Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H):

وفيه دليل على تحريم قتل ما ذكر ويؤخذ منه تحريم أكلها لأنه لو حل لما نهى عن القتل وتقدم لنا في هذا الاستدلال بحث وتحريم أكلها رأي الجماهير وفي كل واحدة خلاف إلا النملة فالظاهر أن تحريمها إجماع

“Pada hadis ini adalah dalil atas haramnya membunuh haiwan-haiwan tersebut, dan dari itu juga dapat dibuat kesimpulan tentang haram hukum memakannya kerana jika ianya hahal dimakan, sudah tentu tidak dilarang dari membunuhnya. Berdasarkan jumhur ulama, haram memakannya. Penentuan hukum pada setiap haiwan tersebut masih ada perbezaan di kalangan ulama kecuali semut, yang secara zahirnya diharamkan secara ijmaa’.” (Subulus Salam, 4/77)

Sebagai nota, adalah dibolehkan membunuh serangga ini seperti semut atau lebah ( atau tebuan) jika ia jelas memberi gangguan atau mengancam keselamatan. Tetapi hendaklah dengan cara yang baik dan bukan pula dengan cara dibakar kerana Nabi melarang membakarnya. Tetapi tetap tidak boleh dimakan.

Demikian juga dengan haiwan yang disebutkan dalam hadis dari ‘Abdurrahman bin ‘Utsman, beliau berkata:

ذَكَرَ طَبِيبٌ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَوَاءً، وَذَكَرَ الضُّفْدَعَ يُجْعَلُ فِيهِ، فَنَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ الضُّفْدَعِ

“Seorang thobiib (dokter) menyebutkan di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang ubat (bagi suatu penyakit), dan beliau menyebutkan katak boleh dijadikan ubat padanya. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang dari membunuh katak.” (Musnad Ahmad, no. 15757)

Dalam Sunan Abi Daud:

أَنَّ طَبِيبًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ضِفْدَعٍ، يَجْعَلُهَا فِي دَوَاءٍ فَنَهَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا

“Bahawa seorang dokter bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang katak, ia menyatakan katak boleh dijadikan sebagai ubat. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang membunuh katak (tidak boleh dijadikan ubat).” (Sunan Abi Daud, no. 5269. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Imam Asy-Syaukani rahimahullah:

فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ أَكْلِهَا بَعْدَ تَسْلِيمٍ، أَنَّ النَّهْيَ عَنْ الْقَتْلِ يَسْتَلْزِمُ تَحْرِيمَ الْأَكْلِ

“Hadis ini adalah dalil atas haramnya memakan katak setelah kita menerima kaedah, bahawa larangan membunuh membawa kepada sebab haram untuk memakan.” (Asy-Syaukani, Nail al-Authaar, 8/143)

Selain haiwan yang disebutkan secara khusus ini, dalam hadis yang lain turut disebutkan kelawar. (Subulus Salam, 4/79)

Para ulama telah membuat kaedah bahawa setiap apa yang haram dibunuh, maka ia juga haram dimakan, demikian untuk dijadikan sebagai ubat sebagaimana hadis tentang pertanyaan dokter tersebut tentang katak kepada Nabi.

10, Semua jenis haiwan khabitsaat.

Haiwan Khabisaat adalah haiwan yang berbahaya seperti memiliki bisa, racun, atau bahan kimia tertentu yang memudharatkan tubuh.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

“Wahai sekalian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi makanan yang halal lagi baik…” (Surah al-Baqarah, 2: 168)

Dalam ayat lain:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

“… dan Dia menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk…” (Surah al-A’raaf, 7: 157)

Kemudian dalam Sunan Abi Daud, Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang berubat dengan Al-khabiits (iaitu: sesuatu yang jijik, buruk, dan kotor).” (Musnad Ahmad, no. 8048. Sunan Abi Daud, no. 3870. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam Musnad Ahmad dan Sunan At-Tirmidzi ada tambahan penjelasan:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الدَّوَاءِ الْخَبِيثِ. يَعْنِي السُّمَّ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang berubat dengan Al-khabiits. Iaitu yang beracun.” (Musnad Ahmad, no. 9756, 10194. Sunan At-Tirmidiz, no. 2045)

11, Makanan atau Minuman Yang Memabukkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan anak panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut agar kamu mendapat keberuntungan.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 90)

Kemudian sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Umar bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

“Setiap yang memabukkan adalah khamr, dan setiap yang memabukkan adalah haram.” (Shahih Muslim, no. 2003)

Juga hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

“Setiap minuman yang memabukkan, maka ia adalah haram.” (Shahih Al-Bukhari, no. 242, 5585, dan 5586. Muslim, no. 2001)

Setiap apa yang memabukkan dalam jumlah banyaknya, dalam jumlah yang sedikit juga dikategorikan sebagai haram. Dalilnya sebagaimana dari Jaabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ، فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

“Apa-apa yang memabukkan pada banyaknya, maka pada sedikitnya juga dalah haram.” (Sunan Abi Daud, no. 3681. At-Tirmidzi, no. 1865)

Dari hadis Thaariq bin Suwaid Al-Ju’fi radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang Al-Khamr. Lalu Nabi melarang atau membenci membuatnya. Maka Thaariq menjelaskan:

إِنَّمَا أَصْنَعُهَا لِلدَّوَاءِ، فَقَالَ: إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ، وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

“Sesungguhnya apa yang aku buat hanya bertujuan pengubatan.” Lalau Jawab Nabi:

“Sesungguhnya ia bukanlah ubat, tetapi ia adalah penyakit.” (Shahih Muslim, no. 1984. Bab: Larangan berubat dengan al-Khamr)

Larangan Memperniagakan Dari Apa-apa yang Haram Dimakan

Hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا عِنْدَ الرُّكْنِ، قَالَ: فَرَفَعَ بَصَرَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَضَحِكَ، فَقَالَ: «لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ، ثَلَاثًا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْهِمُ الشُّحُومَ فَبَاعُوهَا وَأَكَلُوا أَثْمَانَهَا، وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang duduk bersandar di suatu tiang sambil merenung ke langit, beliau tersenyum lalu bersabda:

“Semoga Allah melaknat orang-orang Yahudi.” Sebanyak tiga kali. Beliau meneruskan, “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas mereka memakan lemak (bangkai) haiwan, tetapi mereka menjual dan memakan hasil jualannya. Sesungguhnya jika Allah mengharamkan bagi suatu kaum dari memakan sesuatu, maka Dia juga akan mengharamkan harganya.” (Musnad Ahmad, no. 2221. Sunan Abi Daud, no. 3488)

Dalam Shahih Al-Bukhari, dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhuma bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaannya:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ»، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: «لاَ، هُوَ حَرَامٌ»، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: «قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ

“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli khamr, bangkai, babi, dan patung-patung (berhala).” Maka ditanyakan kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau dengan lemak bangkai haiwan? Kerana sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, menyapu kulit, dan dijadikan minyak lampu oleh ramai orang.” Maka Jawab Rasulullah:

“Tidak boleh, ianya haram.” Kemudian beliau bersabda lagi pada ketika itu:

“Semoga Allah memerangi para Yahudi, sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya lalu mereka menjualnya kemudian memakan hasil darinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2236. Muslim, no. 1581)

Kata Imam Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah:

تضمن هذا الحديث أن مالا يحل أكله والانتفاع به لا يجوز بيعه ولا يحل أكل ثمنه كما في الشحوم المذكورة في الحديث

“Hadis ini mengandungi kaedah yang sangat penting, iaitu sesuatu yang tidak halal dimakan dan dimanfaatkan itu tidak-lah boleh diperniagakan dan tidak halal hasil dari jualannya sebagaimana disebutkan dalam hadis.” (Syarah Shahih Muslim, 11/8)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

جمهور العلماء العلة في منع بيع الميتة والخمر والخنزير النجاسة فيتعدى ذلك إلى كل نجاسة

“Jumhur (majoriti) ulama menjelaskan ‘illat (sebab) dari larangan menjual bangkai, al-khamr, dan khinzir adalah kerana sifatnya yang najis. Maka, larangan ini mencakupi seluruh najis.” (Fathul Bari, 4/425)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H), “Seluruh hal yang najis memiliki hukum yang sama dengan ketiga-tiga perkara tersebut (iaitu haram diperniagakan).” (Syarh Shahih Muslim, 11/7)

Berdasarkan syarah dan huraian Al-Hafiz Ibnu Hajar, dari hadis ini dapat difahami bahawa dibolehkan untuk memanfaatkannya sebagai selain makanan, dan yang diharamkan oleh hadis adalah memperjual-belikannya. Demikian juga sebagaimana dijelaskan oleh Imam An-Nawawi. (lihat: Fathul Bari, 4/424-426. Syarah Shahih Muslim, 11/7)

Melainkan apa-apa yang dikecualikan darinya oleh dalil seperti bolehnya jual beli baghal, keldai peliharaan, dan hamba. Sedangkan hukum memakannya adalah haram.

Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan dalam Syarah Shahih Muslim:

عند الشافعي وموافقيه كونها نجسة أو ليس فيها منفعة مباحة مقصودة فيلحق بها جميع النجاسات كالسرجين وذرق الحمام وغيره وكذلك يلحق بها ماليس فيه منفعة مقصودة كالسباع التي لا تصلح للاصطياد والحشرات والحبة الواحدة من الحنطة ونحو ذلك فلا يجوز بيع شئ من ذلك وأما الحديث المشهور في كتب السنن عن أبن عباس أن النبي صلى الله عليه و سلم قال إن الله إذا حرم على قوم أكل شيء حرم عليهم ثمنه فمحمول على ما المقصود منه الأكل بخلاف ما المقصود منه غير ذلك كالعبد والبغل والحمار الأهلي فإن أكلها حرام وبيعها جائز بالاجماع

“Di sisi Imam Asy-Syafi’i dan yang sependapat dengan beliau, (di antara) sebab haramnya jual-beli khamr adalah kerana kenajisannya atau kerana ketiadaan manfaat padanya. Berdasarkan pada dua sebab ini, maka setiap barang yang najis seperti kotoran haiwan, ia di-qiyaskan hukumnya dengan khamr yang haram diperjual-belikan, dan demikian juga dari selainnya yang sama sepertinya yang tidak bermanfaat, seperti haiwan buas yang tidak boleh digunakan untuk berburu, serangga, sebiji gandum, dan yang selainnya yang seumpama itu, maka ianya tidak boleh diperjual-belikan, kerana tidak ada manfaat yang dapat diambil darinya.

Adapun hadis yang masyhur dalam kitab-kitab As-Sunan yang diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya jika Allah mengharamkan bagi suatu kaum dari memakan sesuatu, maka Dia juga akan mengharamkan harganya.”

Maka yang dimaksudkan dengan hadis ini adalah menjual sesuatu yang dapat diproses, berbeza dengan sesuatu yang tidak dapat diproses seperti hamba, baghal, dan keldai peliharaan, yang mana memakannya adalah haram tetapi hukum memperjual-belikannya adalah boleh dengan ijmaa’ (kesepakatan ulama).” (Syarh Shahih Muslim, 11/3)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest