Hadis-hadis Berkaitan Praktik Bekam Nabi

Hadis-hadis Berkaitan Praktik Bekam Nabi

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Artikel ini sebatas bertujuan memaparkan sebahagian dari dalil-dalil atau hadis-hadis berkaitan hijamah (perbekaman)[1] diikuti catatan secara ringkas jika berkaitan.ubat kebodohan adalah bertanya

Pertama, Anjuran Berubat Dengan Al-Hijamah (Berbekam)

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنْ كَانَ فِي شَيْءٍ مِنْ أَدْوِيَتِكُمْ خَيْرٌ، فَفِي شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ شَرْطَةِ مِحْجَمٍ، أَوْ لَذْعَةٍ مِنْ نَارٍ، وَمَا أُحِبُّ أَنْ أَكْتَوِيَ

“Seandainya ada sesuatu yang lebih baik bagi kalian sebagai perubatan, maka ianya terdapat pada meminum madu, atau hirisan pisau bekam, atau sentuhan dengan besi panas. Tetapi aku tidak menyukai perubatan dengan besi panas.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5702)

Dari hadis Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ: فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ، أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ، وَأَنَا أَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الكَيِّ

Asy-Syifa’ (Kesembuhan) itu ada pada tiga perkara: Pada hirisan atau sedutan alat bekam, atau pada meminum madu, atau pada kay (perubatan dengan besi panas). Namun aku melarang umat-ku dari berubat dengan al-kay.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5680)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata tentang hadis ini di Syarh Shahih Muslim:

فهذا من بديع الطب عند أهله لأن الأمراض الامتلائية دموية أو صفراوية أو سوداوية أو بلغمية فان كانت دموية فشفاؤها إخراج الدم وان كانت من الثلاثة الباقية فشفاؤها بالاسهال بالمسهل اللائق لكل خلط منها فكأنه نبه صلى الله عليه و سلم بالعسل على المسهلات وبالحجامة على إخراج الدم بها وبالفصد ووضع العلق وغيرها مما فى معناها وذكر الكى لأنه يستعمل عند عدم نفع الأدوية المشروبة ونحوها فآخر الطب الكى

“Ini termasuk sebahagian dari keajaiban perubatan menurut para pakarnya, di mana unsur-unsur penyakit dalaman memiliki keterkaitan dengan masalah darah, kegagalan fungsi organ dalaman (seperti hati, hempedu dan yang lainnya), gangguan pada pencernaan, atau gangguan pada bendalir tubuh. Jika penyakit itu ada hubungannya dengan darah, maka penyembuhannya dengan cara mengeluarkan sebahagian darah. Manakala jika penyakit tersebut berkaitan dengan 3 sebab yang lain yang disebutkan, maka penyembuhannya dengan cara membersihkan medan pencernaan (perut, usus, atau seumpama) dengan elemen (atau ramuan) pembersih yang bersesuaian bagi penyakit tersebut. Maka seakan-akan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengisyaratkan madu sebagai ramuan untuk rawatan pada gangguan pencernaan, manakala al-hijamah (bekam), al-fashdu, menempelkan lintah pada tubuh (bekam lintah) dan methode yang semakna dengannya sebagai sarana untuk mengeluarkan darah. Dan Nabi menyebutkan al-kay (rawatan menggunakan besi panas) kerana kaedah ini boleh digunakan ketika kaedah rawatan yang lainnya tidak mendatangkan manfaat, maka al-kay boleh digunakan sebagai sarana perubatan yang terakhir.” (Syarh Shahih Muslim, 14/192-193)

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أَمْثَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الحِجَامَةُ، وَالقُسْطُ البَحْرِيُّ

“Sesungguhnya yang terbaik dari apa-apa yang kalian gunakan untuk perubatan dengannya adalah al-hijamah (bekam) dan Al-Qusth Al-Bahri (sejenis ramuan dari pokok kayu atau herba – pent.).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5696)

Dalam riwayat yang lain, dari Humaid, dari Anas, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ، وَالْقُسْطُ الْبَحْرِيُّ، وَلَا تُعَذِّبُوا صِبْيَانَكُمْ بِالْغَمْزِ

“Sebaik-baik (kaedah) perubatan yang kalian gunakan adalah al-hijamah dan al-qusth al-bahri, dan janganlah kalian menyakiti anak-anak kecil kalian dengan al-ghamz (sejenis praktik memasukkan jari-jemari ke tekak anak-anak untuk tujuan perubatan atau memberi ubat – pent.).” (Musnad Ahmad, no. 12045. Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 7538)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab dalam Shahih-nya dengan bab:

بَابُ الحِجَامَةِ مِنَ الدَّاءِ

“Bab al-hijamah (berbekam) dari penyakit (yakni bekam sebagai kaedah merawat penyakit).”

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

وقد اشتمل هذا الحديث على مشروعية الحجامة والترغيب في المداواة بها ولا سيما لمن أحتاج إليها

“Pada hadis ini terkandung maksud bahawa al-hijamah adalah masyru’ (disyari’atkan) dan anjuran pada berubat dengannya, khasnya bagi yang memerlukannya (atau berhajat padanya).” (Fath Al-Bari, 10/151)

Menurut Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

الأحاديث إباحة نفس الحجامة وأنها من أفضل الأدوية

“Hadis-hadis tersebut menunjukkan dibolehkan (mubah) mendapatkan rawatan perbekaman dan ianya termasuk sebahagian dari kaedah perubatan yang afdhal (utama).” (Syarh Shahih Muslim, 10/242)

Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (Wafat: 544H) berkata:

وفى جملة هذه الأحاديث ما حواه من علوم الدين والدنيا وصحة علم الطب وجواز التطبب فى الجملة واستحبابه بالأمور المذكورة من الحجامة وشرب الأدوية والسعوط واللدود وقطع العروق والرقى

“Pada hadis-hadis ini terkandung sejumlah ilmu-ilmu tentang agama dan keduniaan, tentang sahihnya ilmu perubatan dan dibolehkan berubat secara umum, anjuran berubat dengan beberapa kaedah rawatan yang telah disebutkan (sebagaimana dalam hadis), seperti berubat dengan al-hijamah, meminum ubat, as-sa’uuth (sejenis ubat yang dimasukkan melalui hidung – dari ramuan Al-Qusth), al-laduud, memutuskan sebahagian salur/urat darah (menggunakan besi panas), dan ruqyah.” (Syarh Shahih Muslim, 14/197)

Kedua, Anjuran Berbekam Ketika Peristiwa Isra’

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَمَا مَرَرْتُ بِمَلَإٍ مِنَ الْمَلَائِكَةِ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي، إِلَّا قَالُوا: عَلَيْكَ بِالْحِجَامَةِ يَا مُحَمَّدُ

“Dan tidaklah aku melewati seorang pun malaikat dari kalangan para malaikat ketika aku diisra’kan, melainkan mereka berkata:

“Hendaklah engkau berbekam wahai Muhammad.” (Musnad Ahmad, no. 3316)

Di hadis yang lain dari Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:titik bekam nabi

حَدَّثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ لَيْلَةِ أُسْرِيَ بِهِ أَنَّهُ لَمْ يَمُرَّ عَلَى مَلَإٍ مِنَ المَلَائِكَةِ إِلَّا أَمَرُوهُ أَنْ مُرْ أُمَّتَكَ بِالحِجَامَةِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menceritakan tentang malam beliau diisra’kan, bahawasanya tidaklah beliau melewati seorang dari kalangan para malaikat melainkan dia memerintahkan hendaklah engkau perintahkan ummatmu agar berbekam.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2052)

Dari hadis Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مَرَرْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي بِمَلَإٍ، إِلَّا قَالُوا: يَا مُحَمَّدُ، مُرْ أُمَّتَكَ بِالْحِجَامَةِ

“Tidaklah aku melewati seorang malaikat pada malam aku diisra’kan, melainkan mereka berkata:

“Wahai Muhammad, perintahkanlah umatmu dengan al-hijamah (agar berbekam).” (Sunan Ibn Majah, no. 3479)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أخبرني جبريل أن الحجم أنفع ما تداوى به الناس

“Jibril mengkhabarkan kepadaku bahawa berbekam adalah kaedah rawatan yang bermanfaat bagi manusia.” (lihat: Shahih Al-Jaami’ Ash-Shaghir, no. 218)

Ketiga, Para Sahabat Saling Menganjurkan Agar Berbekam

Dalam Shahih Al-Bukhari, diriwayatkan bahawa Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu (sahabat Nabi) memerintahkan seorang yang sedang sakit agar berbekam. Jaabir datang menziarahi Muqanna’ yang sedang sakit, lalu beliau berkata:

لاَ أَبْرَحُ حَتَّى تَحْتَجِمَ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ فِيهِ شِفَاءً

“Aku tidak akan meninggalkan engkau sampailah engkau berbekam, kerana aku pernah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya padanya terdapat syifa’ (penawar atau sarana kesembuhan).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5697. Dari hadis ‘Ashim bin ‘Umar)

Dari ‘Ashim bin ‘Umar, beliau berkata:

جَاءَنَا جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللهِ فِي أَهْلِنَا، وَرَجُلٌ يَشْتَكِي خُرَاجًا بِهِ أَوْ جِرَاحًا، فَقَالَ: مَا تَشْتَكِي؟ قَالَ: خُرَاجٌ بِي قَدْ شَقَّ عَلَيَّ، فَقَالَ: يَا غُلَامُ ائْتِنِي بِحَجَّامٍ، فَقَالَ لَهُ: مَا تَصْنَعُ بِالْحَجَّامِ؟ يَا أَبَا عَبْدِ اللهِ قَالَ: أُرِيدُ أَنْ أُعَلِّقَ فِيهِ مِحْجَمًا، قَالَ: وَاللهِ إِنَّ الذُّبَابَ لَيُصِيبُنِي، أَوْ يُصِيبُنِي الثَّوْبُ، فَيُؤْذِينِي وَيَشُقُّ عَلَيَّ، فَلَمَّا رَأَى تَبَرُّمَهُ مِنْ ذَلِكَ قَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «إِنْ كَانَ فِي شَيْءٍ مِنْ أَدْوِيَتِكُمْ خَيْرٌ، فَفِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ، أَوْ شَرْبَةٍ مِنْ عَسَلٍ، أَوْ لَذْعَةٍ بِنَارٍ» قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «وَمَا أُحِبُّ أَنْ أَكْتَوِيَ» قَالَ فَجَاءَ بِحَجَّامٍ فَشَرَطَهُ، فَذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ

“Jaabir bin ‘Abdillah pernah datang kepada keluarga kami, dan pada ketika itu ada lelaki yang sedang menderita sakit bengkak atau cedera. Maka Jaabir pun bertanya, “Apa sakitmu?”

Jawab lelaki tersebut, “Bengkak pada diriku telah menyakitkanku.”

Maka Jaabir berkata, “Wahai anak muda, bawalah kepadaku orang yang boleh membekam.” Maka dia berkata kepadanya, “Apa yang akan engkau lakukan dengan tukang bekam wahai Abu ‘Abdillah?”

Jawab Jaabir, “Aku ingin menempelkan pada tempat-tempat sakit itu dengan alat-alat (atau gelas-gelas) bekam.” Lelaki itu berkata, “Demi Allah, jika ada seekor lalat mengenaiku atau ada kain pakaian mengenaiku, ia telah cukup membuatku kesakitan dan membahayakanku.”

Ketika Jaabir melihat keengganannya (terhadap berbekam), maka Jaabir pun berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:alat_Bekam_Sammora_19_Cup

“Sesungguhnya jika ada sesuatu perubatan yang baik bagi kalian, maka ianya terdapat pada hirisan (atau sayatan ringan) pisau bekam (atau alat bekam), atau pada meminum madu, atau pada besi yang dipanaskan dengan api.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyambung, “Tetapi aku tidak menyukai berubat dengan besi yang dipanaskan.”

Perawi berkata, “Maka datanglah tukang bekam dan membekamnya, maka hilanglah darinya apa yang dia deritai.” (Shahih Muslim, no. 2205)

 

Keempat, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam Turut Berbekam

Dari hadis Samurah bin Jundub radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَدَعَا الْحَجَّامَ ، فَأَتَاهُ بِقُرُونٍ ، فَأَلْزَمَهُ إِيَّاهَا، قَالَ عَفَّانُ: مَرَّةً بِقَرْنٍ، ثُمَّ شَرَطَهُ بِشَفْرَةٍ ، فَدَخَلَ أَعْرَابِيٌّ مِنْ بَنِي فَزَارَةَ، أَحَدِ بَنِي خُزَيْمَةَ، فَلَمَّا رَآهُ يَحْتَجِمُ ، وَلَا عَهْدَ لَهُ بِالْحِجَامَةِ ، وَلَا يَعْرِفُهَا، قَالَ: مَا هَذَا يَا رَسُولَ اللهِ ؟ عَلَامَ تَدَعُ هَذَا يَقْطَعُ جِلْدَكَ ؟ قَالَ: ” هَذَا الْحَجْمُ “، قَالَ: وَمَا الْحَجْمُ ؟ قَالَ: ” هُوَ مِنْ خَيْرِ مَا تَدَاوَى بِهِ النَّاسُ

“Aku pernah datang menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu pada ketika itu beliau mengundang tukang bekam. Maka datanglah tukang bekam tersebut bersama beberapa tanduk (sebagai alat untuk membekam). Lalu tukang bekam tersebut pun menempelkan tanduk tersebut pada (tubuh) Rasulullah.

Berkata ‘Affan (perawi hadis), “Mula-mula dengan tanduk, kemudian menghirisnya (dengan hirisan kecil dan ringan) menggunakan pisau.” Lalu datanglah seorang ‘Arab Badwi dari kalangan Bani Fazarah, salah satu keturunan Khuzaimah, maka ketika beliau melihat Rasulullah sedang dibekam, dan beliau belum pernah berbekam dan beliau tidak pula mengetahuinya, maka beliau pun bertanya:

“Wahai Rasulullah, apa ini? Kenapa engkau membiarkan kulit engkau dihiris-hiris?”

Maka jawab Rasulullah, “Inilah bekam.”

Tanya ‘Arab Badwi itu lagi, “Bekam itu apa?”

Jawab Rasulullah, “Ia adalah sebahagian dari sebaik-baik terapi perubatan bagi manusia.” (Musnad Ahmad, no. 20096, 20172, 20212. As-Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 755. Dinilai sahih isnadnya oleh Syu’aib Al-Arna’uth)

Dari ‘Abdullah bin Buhainah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ بِلَحْيِ جَمَلٍ مِنْ طَرِيقِ مَكَّةَ، وَهُوَ مُحْرِمٌ، فِي وَسَطِ رَأْسِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbekam ketika berada di Lahyi Jamal yang termasuk sebahagian dari jalan di Makkah, ketika itu beliau sedang ihram dan beliau berbekam di bahagian tengah kepalanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5698)

Dari hadis ‘Ikrimah, bahawa Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ فِي رَأْسِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbekam di kepalanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5699)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab:

بَابُ الحِجَامَةِ عَلَى الرَّأْسِ

“Bab berbekam pada kepala.”

Dari hadis Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ فِي رَأْسِهِ، مِنْ شَقِيقَةٍ كَانَتْ بِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbekam di kepalanya dalam keadaan beliau sedang ihram disebabkan sakit pada bahagian (sebelah) kepalanya (migrain).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5701)

Al-Bukhari juga ada membuat bab:

بَابُ الحِجَامَةِ مِنَ الشَّقِيقَةِ وَالصُّدَاعِ

“Bab berbekam disebabkan sakit sebelah kepala dan sakit kepala (yakni migrain).”

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ ثَلَاثًا فِي الْأَخْدَعَيْنِ، وَالْكَاهِلِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam pada tiga tempat (pada tubuhnya), yakni pada Al-Akhda’iin dan Al-Kaahil.” (Sunan Abi Dawud, no. 3860)

Al-Akhda’iin adalah kedua urat leher (kanan dan kiri leher), manakala Al-Kaahil adalah bahagian belakang badannya di antara dua bahu (di bahagian belakang badan bawah sedikit dari leher).

Di hadis yang lain dari Anas, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ عَلَى ظَهْرِ الْقَدَمِ مِنْ وَجَعٍ كَانَ بِهِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam pada bawah/punggung telapak kaki disebabkan oleh sakit yang beliau alami, dan beliau pada ketika itu dalam keadaan berihram.” (Musnad Ahmad, no. 12682. Sunan Abi Dauwd, no. 1837. Sunan An-Nasaa’i, no. 2849. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Ibn ‘Abbaas, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ” احْتَجَمَ ثَلاثًا فِي الْأَخْدَعَيْنِ، وَبَيْنَ الْكَتِفَيْنِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam pada tiga tempat (pada tubuhnya), yakni di Al-Akhda’iin dan di antara dua bahunya di bahagian belakang badan.” (Musnad Ahmad, no. 2904)

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ عَلَى وِرْكِهِ، مِنْ وَثْءٍ كَانَ بِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam pada pangkal pehanya disebabkan cedera/bengkak yang dihadapinya.” (Sunan Abi Dawud, no. 3863. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis Abu Hurairah, beliau berkata:

أَنَّ أَبَا هِنْدٍ، حَجَمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْيَافُوخِ

“Bahawa Abu Hind pernah membekam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada titik yaafuukh (titik temu antara tulang tengkorak bahagian depan dan tulang tengkorak bahagian belakang, yakni pada bahagian tengah kepala).” (Sunan Abi Dawud, no. 2012. Kata Al-Albani, isnadnya hasan dan disahihkan oleh Ibn Hibban, Al-Hakim, dan Adz-Dzahabi)

Pada hadis-hadis ini terkandung penjelasan tentang titik-titik bekam yang pernah dipraktikkan oleh Nabi, tujuannya, dan faedah-faedahnya.

Kelima, Pendapatan Hasil Membekam

Dari hadis Muhayyishah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّهُ اسْتَأْذَنَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي إِجَارَةِ الْحَجَّامِ فَنَهَاهُ عَنْهَا فَلَمْ يَزَلْ يَسْأَلُهُ وَيَسْتَأْذِنُهُ، حَتَّى أَمَرَهُ أَنْ أَعْلِفْهُ نَاضِحَكَ وَرَقِيقَكَ

“Bahawasannya beliau pernah meminta izin kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam untuk menyewa tukang bekam. Namun Rasulullah melarang darinya. Beliau terus memohon dan meminta izin kepada Rasulullah, sampailah Rasulullah memerintahkan:

“Hendaklah upahnya diberikan untuk makan untamu dan hamba-mu.” (Musnad Ahmad, no. 23690. Sunan Abi Dawud, no. 3422. At-Tirmidzi, no. 1277)

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

حَدِيثُ مُحَيِّصَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ العِلْمِ وقَالَ أَحْمَدُ: إِنْ سَأَلَنِي حَجَّامٌ نَهَيْتُهُ، وَآخُذُ بِهَذَا الحَدِيثِ

“Hadis Muhayyishah adalah hadis hasan dan sebahagian ahli ilmu beramal dengannya. Imam Ahmad berkata, “Jika tukang bekam bertanya kepadaku (untuk meminta upah), maka aku melarangnya kerana berpegang dengan hadis ini.”.” (Sunan At-Tirmidzi, 3/567)Penyakit_dan_Terapi_Bekamnya2

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ، وَكَسْبِ الْحَجَّامِ ، وَكَسْبِ الْمُومِسَةِ ، وَعَنْ كَسْبِ عَسْبِ الْفَحْلِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang dari harga (hasil jualan) anjing, upah (pendapatan hasil) membekam, pendapatan hasil zina, dan dari upah (hasil jualan) sperma binatang pejantan.” (Musnad Ahmad, no. 8389. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Dari hadis Rafi’ bin Khodiij, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

شَرُّ الْكَسْبِ مَهْرُ الْبَغِيِّ، وَثَمَنُ الْكَلْبِ، وَكَسْبُ الْحَجَّامِ

“Seburuk-buruk pendapatan adalah pendapatan wanita yang melacur, harga anjing, dan upah hasil membekam.” (Shahih Muslim, no. 1568)

Dalam lafaz yang lain:

ثَمَنُ الْكَلْبِ خَبِيثٌ، وَمَهْرُ الْبَغِيِّ خَبِيثٌ، وَكَسْبُ الْحَجَّامِ خَبِيثٌ

“Harga anjing adalah keji, pedapatan melacur adalah keji, dan upah hasil membekam adalah keji.” (Shahih Muslim, no. 1568)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

وأما كسب الحجام وكونه خبيثا ومن شر الكسب ففيه دليل لمن يقول بتحريمه وقد اختلف العلماء في كسب الحجام فقال الأكثرون من السلف والخلف لا يحرم كسب الحجام ولا يحرم أكله لا على الحر ولا على العبد وهو المشهور من مذهب أحمد وقال في رواية عنه قال بها فقهاء المحدثين يحرم على الحر دون العبد واعتمدوا هذه الأحاديث وشبهها واحتج الجمهور بحديث بن عباس رضى الله عنهما أن النبى صلى الله عليه و سلم احتجم وأعطى الحجام أجره قالوا ولو كان حراما لم يعطه رواه البخارى ومسلم وحملوا هذه الأحاديث التى في النهى على التنزيه والارتفاع عن دنئ الاكساب والحث على مكارم الاخلاق ومعالى الأمور ولو كان حراما لم يفرق فيه بين الحر والعبد فإنه لا يجوز للرجل أن يطعم عبده مالا يحل

“Adapun pendapatan dengan membekam, ia merupakan suatu yang buruk dan pendapatan yang buruk, pada hadis-hadis ini adalah dalil bagi mereka yang berpendapat pendapatan (atau upah) membekam adalah haram. Bahawasanya para ulama ikhtilaf (berbeza pendapat) pada hukum pendapatan membekam.

Kebanyakan ulama salaf dan kholaf berpendapat, pendapatan membekam tidaklah haram, dan tidak haram memakannya, tidak haram bagi yang merdeka dan tidak pula bagi yang hamba. Inilah pendapat yang masyhur dari mazhab Ahmad. Namun, pendapat dari Imam Ahmad sendiri dan para fuqaha’ al-muhadditsin juga berhujah dengannya, bahawa pendapatan hasil membekam adalah haram bagi orang yang merdeka, namun tidak haram bagi hamba. Mereka berhujah dengan hadis-hadis dalam bab ini dan semisalnya.

Manakala jumhur ulama berhujah dengan hadis Ibn ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma yang menyatakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam dan memberikan upah kepada orang yang membekam. Mereka mengatakan, kalau seandainya upah bekam adalah haram, tentu beliau tidak akan memberinya. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

Mereka memahami hadis-hadis yang menunjukkan larangan ini sebagai tanzih (larangan yang ringan, atau makruh tanzih) bertujuan menghindari pendapatan yang kurang elok dan anjuran untuk memilih akhlak yang mulia dan kedudukan yang tinggi.

Seandainya hukum upah hasil bekam adalah haram, tentu tidak dibezakan antara orang merdeka dengan hamba, kerana orang yang merdeka tidak boleh memberikan makan bagi hambanya dengan harta yang haram.” (Syarh Shahih Muslim, 10/233)

Kemudian hadis berikutnya berkaitan bab ini, dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau pernah ditanya tentang upah tukang bekam, maka beliau pun menjawab:

احْتَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَجَمَهُ أَبُو طَيْبَةَ، وَأَعْطَاهُ صَاعَيْنِ مِنْ طَعَامٍ، وَكَلَّمَ مَوَالِيَهُ فَخَفَّفُوا عَنْهُ، وَقَالَ: «إِنَّ أَمْثَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الحِجَامَةُ، وَالقُسْطُ البَحْرِيُّ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah dibekam, yang membekam beliau adalah Abu Thaybah, dan Rasulullah memberikan dua sha’ makanan kepadanya. Beliau berbicara kepada mawalinya (tuannya) maka mereka pun memberi keringanan kepadanya. Dan Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya yang terbaik dari apa-apa yang kalian gunakan untuk perubatan dengannya adalah al-hijamah (bekam) dan Al-Qusthul Bahriy (sejenis ramuan dari pokok kayu atau herba – pent.).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5696)

Dari Humaid, beliau bertanya kepada Anas tentang upah hijamah (bekam). Maka Anas berkata:

احْتَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَجَمَهُ أَبُو طَيْبَةَ فَأَمَرَ لَهُ بِصَاعَيْنِ مِنْ طَعَامٍ وَكَلَّمَ أَهْلَهُ فَوَضَعُوا عَنْهُ مِنْ خَرَاجِهِ وَقَالَ إِنَّ أَفْضَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةَ أَوْ إِنَّ مِنْ أَمْثَلِ دَوَائِكُمْ الْحِجَامَةَ

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam dan yang membekamnya adalah Abu Thaibah. Lalu Nabi memerintahkan untuknya dengan dua sha’ dari makanan. Beliau pun berbicara dengan tuannya, maka digugurkan untuknya dari kharajnya (upahnya). Dan Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya yang afdhal dari apa yang kalian gunakan sebagai perawatan adalah al-hijamah (bekam), atau dari sebaik-baik (kaedah) perubatan bagi kalian adalah al-hijamah (perbekaman).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1278. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:

وَفِي البَابِ عَنْ عَلِيٍّ، وَابْنِ عَبَّاسٍ، وَابْنِ عُمَرَ: حَدِيثُ أَنَسٍ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ وَقَدْ رَخَّصَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَغَيْرِهِمْ فِي كَسْبِ الحَجَّامِ، وَهُوَ قَوْلُ الشَّافِعِيِّ

“Pada bab ini terdapat juga riwayat dari ‘Ali, Ibn ‘Abbas, dan Ibn ‘Umar. Hadis Anas adalah hadis hasan sahih. Sebahagian ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan selain mereka memberikan keringanan pada upah hasil perbekaman, dan ianya juga merupakan pendapat Asy-Syafi’i.” (Sunan At-Tirmidzi3/568)

Dari hadis Anas bin Malik rahiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غُلاَمًا حَجَّامًا، فَحَجَمَهُ، وَأَمَرَ لَهُ بِصَاعٍ – أَوْ صَاعَيْنِ، أَوْ مُدٍّ أَوْ مُدَّيْنِ – وَكَلَّمَ فِيهِ، فَخُفِّفَ مِنْ ضَرِيبَتِهِ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah memanggil seorang hamba yang pandai membekam untuk membekam beliau, dan beliau telah memerintahkan supaya memberikan kepadanya satu sha’ atau dua sha’, satu mud atau dua mud. Lalu beliau berbincang tentangnya agar diringankan upahnya (atau caj perkhidmatannya).” (Shahih Al-Bukhari, no. 2281)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَعْطَى الَّذِي حَجَمَهُ وَلَوْ كَانَ حَرَامًا لَمْ يُعْطِهِ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbekam dan beliau memberi upah kepada orang yang membekam beliau. Kalau seandainya upah bekam itu haram, tentu beliau tidak akan memberikan kepadanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2103)

Dalam riwayat yang lain dari hadis Ibn ‘Abbaas, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ ثَلاثًا فِي الْأَخْدَعَيْنِ، وَبَيْنَ الْكَتِفَيْنِ، وَأَعْطَى الْحَجَّامَ أَجْرَهُ، وَلَوْ كَانَ حَرَامًا لَمْ يُعْطِهِ إِيَّاهُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam pada tiga tempat (pada tubuhnya), yakni di Al-Akhda’iin dan di antara dua bahunya di bahagian belakang badan. Dan beliau memberikan kepada orang yang membekam tersebut upahnya. Kalau seandainya upah bekam itu haram sudah tentu beliau tidak akan memberikannya.” (Musnad Ahmad, no. 2904)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَعْطَى الحَجَّامَ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbekam dan memberikan upah kepada orang yang membekam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2278)

Dalam lafaz yang lain dari Ibn ‘Abbas:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَعْطَى الحَجَّامَ أَجْرَهُ، وَلَوْ عَلِمَ كَرَاهِيَةً لَمْ يُعْطِهِ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbekam dan memberikan upahnya kepada orang yang membekam. Kalau seandainya beliau tahu ianya tidak disukai tentu beliau tidak akan memberikan kepadanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2279)

Dari hadis Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْتَجِمُ وَلَمْ يَكُنْ يَظْلِمُ أَحَدًا أَجْرَهُ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa berbekam dan beliau tidak pernah menzalimi seorang pun dalam upahnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2280)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) mengatakan:

وكأن بن عباس أشار بذلك إلى الرد على من قال أن كسب الحجام حرام واختلف العلماء بعد ذلك في هذه المسألة فذهب الجمهور إلى أنه حلال واحتجوا بهذا الحديث وقالوا هو كسب فيه دناءة وليس بمحرم فحملوا الزجر عنه على التنزيه

“Seakan-akan Ibn ‘Abbas mengisyaratkan suatu bantahan atas orang-orang yang mengatakan upah bekam adalah haram.

Dan memang para ulama telah berselisih pada permasalahan ini. Adapun mazhab jumhur, ianya halal berdasarkan hadis ini (di atas). Mereka mengatakan, “Ia adalah usaha yang mengandungi unsur kerendahan, tetapi tidaklah sampai haram.” Mereka memahami larangan yang terdapat pada hadis ini dalam konsteks tanzih (yakni makruh yang ringan dan menjauhinya adalah lebih utama – pent.).” (Fath Al-Bari, 4/459)

Tidak mengapa mengambil upah bekam jika diberi tanpa diminta.

Adapun menetapkan upah atau mencari pendapatan dengan membekam tidaklah sampai haram, namun pekerjaan yang lain adalah lebih utama dan sebahagian ulama membencinya berdasarkan sebahagian hadis-hadis yang dikemukakan. Wallaahu a’lam.

Keenam, Waktu Berbekam Yang Dianjurkan

Dari Naafi’, dari Ibn ‘Umar, beliau berkata:

عَنْ نَافِعٍ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: يَا نَافِعُ قَدْ تَبَيَّغَ بِيَ الدَّمُ فَالْتَمِسْ لِي حَجَّامًا وَاجْعَلْهُ رَفِيقًا، إِنِ اسْتَطَعْتَ، وَلَا تَجْعَلْهُ شَيْخًا كَبِيرًا، وَلَا صَبِيًّا صَغِيرًا، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: «الْحِجَامَةُ عَلَى الرِّيقِ، أَمْثَلُ وَفِيهِ شِفَاءٌ، وَبَرَكَةٌ، وَتَزِيدُ فِي الْعَقْلِ، وَفِي الْحِفْظِ، فَاحْتَجِمُوا عَلَى بَرَكَةِ اللَّهِ، يَوْمَ الْخَمِيسِ وَاجْتَنِبُوا الْحِجَامَةَ، يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ، وَالْجُمُعَةِ، وَالسَّبْتِ، وَيَوْمَ الْأَحَدِ، تَحَرِّيًا وَاحْتَجِمُوا يَوْمَ الِاثْنَيْنِ، وَالثُّلَاثَاءِ، فَإِنَّهُ الْيَوْمُ الَّذِي عَافَى اللَّهُ فِيهِ أَيُّوبَ مِنَ الْبَلَاءِ، وَضَرَبَهُ بِالْبَلَاءِ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ، فَإِنَّهُ لَا يَبْدُو جُذَامٌ، وَلَا بَرَصٌ إِلَّا يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ، أَوْ لَيْلَةَ الْأَرْبِعَاءِ»

“Wahai Naafi’ darahku telah bergelora, maka carikanlah untukku seorang tukang bekam, jika dapat maka carilah yang sebaya, jika tidak dapat maka janganlah yang sudah terlalu tua atau anak kecil, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Berbekam di waktu awal pagi sangatlah bagus, dan padanya syifa’ (penawar), mengandungi keberkahan, serta menambah kekuatan akal dan hafalan. Maka berbekamlah kalian dengan mengharap keberkahan dari Allah pada hari Khamis, tetapi hindarilah berbekam pada hari Rabu, hari Jum’at, hari Sabtu dan Ahad. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa, sesungguhnya hari Isnin dan Selasa adalah hari di mana Allah menyembuhkan Ayyub dari bala’ yang ditimpakan pada hari rabu. Tidaklah penyakit kusta (leprosy) muncul kecuali pada hari Rabu atau malam Rabu.” (Sunan Ibn Majah, no. 3487. Dinilai hasan oleh Al-Albani namun dhaif oleh yang lain)

Dari hadis yang Anas, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْتَجِمُ فِي الأَخْدَعَيْنِ وَالكَاهِلِ، وَكَانَ يَحْتَجِمُ لِسَبْعَ عَشْرَةَ وَتِسْعَ عَشْرَةَ وَإِحْدَى وَعِشْرِينَ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam pada Al-Akhda’iin dan Al-Kaahil. Bahawa beliau berbekam pada hari ke 17, 19, dan 21.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2051. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ احْتَجَمَ لِسَبْعَ عَشْرَةَ، وَتِسْعَ عَشْرَةَ، وَإِحْدَى وَعِشْرِينَ، كَانَ شِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

“Siapa yang berbekam pada hari ke 17, 19, dan 21 (menurut bulan hijriyyah – pent.) maka itu adalah kesembuhan dari segala macam penyakit.” (Sunan Abi Dawud, no. 3861. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Sebahagian ulama dan pakar perubatan menganjurkan agar berbekam pada tarikh-tarikh tersebut (yakni tarikh menurut bulan Hijriyyah) sebagaimana yang terdapat pada hadis-hadis Nabi. (lihat: Zaad Al-Ma’aad oleh Ibn Al-Qayyim, 4/54)

Namun tidaklah bermakna berbekam pada selain hari-hari tersebut dibenci dan tidak dibenarkan. Adapun hadis-hadis yang menunjukkan tidak disukai berbekam pada tarikh atau hari-hari tertentu, ianya adalah hadis-hadis yang tidak sahih. (lihat: Al-Maudhu’aat oleh Ibn Al-Jauzi, 3/211-215. Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab oleh An-Nawawi , 9/69. Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 10/149)[2]

Ketujuh, Berbekam Disebabkan Keracunan

Dari Ibn Syihab, beliau berkata:Bekam_Untuk_7_Penyakit_Kronis

كَانَ جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ يُحَدِّثُ أَنَّ يَهُودِيَّةً، مِنْ أَهْلِ خَيْبَرَ سَمَّتْ شَاةً مَصْلِيَّةً ثُمَّ أَهْدَتْهَا لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الذِّرَاعَ، فَأَكَلَ مِنْهَا، وَأَكَلَ رَهْطٌ مِنْ أَصْحَابِهِ مَعَهُ، ثُمَّ قَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «ارْفَعُوا أَيْدِيَكُمْ» وَأَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْيَهُودِيَّةِ فَدَعَاهَا، فَقَالَ لَهَا «أَسَمَمْتِ هَذِهِ الشَّاةَ» قَالَتِ الْيَهُودِيَّةُ: مَنْ أَخْبَرَكَ؟ قَالَ «أَخْبَرَتْنِي هَذِهِ فِي يَدِي» لِلذِّرَاعِ، قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ «فَمَا أَرَدْتِ إِلَى ذَلِكَ؟» قَالَتْ: قُلْتُ: إِنْ كَانَ نَبِيًّا فَلَنْ يَضُرَّهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ نَبِيًّا اسْتَرَحْنَا مِنْهُ، فَعَفَا عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُعَاقِبْهَا، وَتُوُفِّيَ بَعْضُ أَصْحَابِهِ الَّذِينَ أَكَلُوا مِنَ الشَّاةِ، وَاحْتَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى كَاهِلِهِ مِنْ أَجْلِ الَّذِي أَكَلَ مِنَ الشَّاةِ، حَجَمَهُ أَبُو هِنْدٍ بِالْقَرْنِ وَالشَّفْرَةِ، وَهُوَ مَوْلًى لِبَنِي بَيَاضَةَ مِنَ الْأَنْصَارِ

“Jaabir bin ‘Abdillah menceritakan bahawa seorang wanita Yahudi dari penduduk Khaibar pernah melumurkan racun pada daging kambing bakar, kemudian wanita Yahudi itu menghadiahkannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Rasulullah pun mengambil bahagian lengan kambing tersebut lalu makan sebahagiannya bersama-sama para sahabatnya. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Angkat tangan-tangan kalian (yakni jangan teruskan makan).”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu mengutus utusan supaya memanggilnya datang. Kemudian Rasulullah pun berkata kepada wanita Yahudi tersebut:

“Adakah engkau meracuni kambing ini?” Maka jawab wanita Yahudi itu, “Siapa yang mengkhabarkan kepada engkau?”

“Apa yang ada ditanganku ini yang mengkhabarkan kepadaku (yakni daging kambing tersebut).” Maka wanita Yahudi itu pun berkata, “Ya, benar.”

Tanya Nabi, “Apa yang engkau mahukan (dengan berbuat demikian)?” Jawab wanita Yahudi tersebut, “Aku beranggapan jika engkau adalah seorang Nabi, maka tentu engkau tidak akan dimudharatkannya, tetapi jika engkau bukan Nabi, maka kami dapat beristirehat darinya.”

Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun memaafkannya dan tidak menghukumnya. Sebahagian sahabat-sahabat Nabi yang memakan daging tersebut ada yang meninggal dunia. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berbekam pada bahagian belakang badannya di antara dua bahu (di bahagian belakang badan bawah sedikit dari leher) dengan sebab daging yang dimakannya. Dan beliau dibekam oleh Abu Hind dengan menggunakan tanduk dan pisau, dan Abu Hind adalah maula Bani Bayadhah dari kalangan Anshar.” (Sunan Abi Dawud, no. 4510. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 16008. Dinilai sahih lighairihi oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Beza antara bekam dan al-fashdu[3] (sebahagian praktik yang digunakan dalam derma darah masakini)

Bahagian ini kami muatkan pada artikel ini adalah sekadar dalam rangka menepis sebahagian dakwaan kononnya praktik yang diaplikasikan dalam derma darah masakini adalah lebih baik dan mencukupi bagi menggantikan kaedah perawatan yang diaplikasikan melalui perbekaman.

Di antara praktik yang digunakan dalam aplikasi derma darah adalah mirip Al-Fashd, yakni mengeluarkan darah (dengan kadar atau jumlah tertentu diperlukan) dari bahagian urat darah yang lebih besar dan lapisan kulit yang lebih dalam yang telah ditentukan. Walaupun hakikatnya konsep Al-fashd adalah lebih luas lagi. Wallaahu a’lam.

Berikut kami nukilkan antaranya penjelasan Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) dalam rangka menepis dakwaan tersebut:

( قوله باب الحجامة من الداء ) أي بسبب الداء قال الموفق البغدادي الحجامة تنقى سطح البدن أكثر من الفصد والفصد لأعماق البدن والحجامة للصبيان وفي البلاد الحارة أولى من الفصد وآمن غائلة وقد تغنى عن كثير من الأدوية ولهذا وردت الأحاديث بذكرها دون الفصد ولأن العرب غالبا ما كانت تعرف إلا الحجامة وقال صاحب الهدى التحقيق في أمر الفصد والحجامة أنهما يختلفان باختلاف الزمان والمكان والمزاج فالحجامة في الأزمان الحارة والأمكنة الحارة والأبدان الحارة التي دم أصحابها في غاية النضج أنفع والفصد بالعكس ولهذا كانت الحجامة أنفع للصبيان ولمن لا يقوى على الفصد

“(Bab Al-Hijamah Kerana Penyakit) yakni berbekam disebabkan penyakit. Berkata Al-Muwaffiq Al-Baghdadi, “Al-Hijamah (bekam) mampu membersihkan (melalui) bahagian permukaan tubuh, lebih efisyen berbanding al-fashd. Manakala al-fashd berupaya membersihkan (melalui) bahagian dalam tubuh. Al-Hijamah lebih sesuai untuk anak-anak kecil khasnya di wilayah-wilayah yang panas berbanding praktik al-fashd, serta lebih aman (selamat) dari kesan-kesan sampingan. Dan bekam (pada kebiasaan keadaan) memadai dan mencukupi berbanding kebanyakan ubat-ubatan lainnya. Atas alasan ini, warid dalam hadis-hadis menyebutkan tentang (keutamaan) bekam tanpa disebutkan tentang al-fashd. Di samping itu, masyarakat ‘Arab lebih mendahulukan hijamah (bekam) dan tidak mengenal melainkan al-hijamah.

Berkata penyusun (kitab) Al-Huda, “Perincian tentang al-fashd dan al-hijamah, kedua-duanya berbeza-beza (peranan dan fungsinya) mengikut kesesuaian masa, tempat, dan keadaan tubuh. Bahawa al-hijamah lebih sesuai pada waktu-waktu panas, orang-orang di tempat-tempat panas, serta sesuai untuk badan yang bersuhu panas yang mana darah berada pada kemuncak kematangan (yakni pada permukaan kulit), padanya bekam lebih bermanfaat untuk mereka (berbanding al-fashd). Sementara al-fashd sebaliknya. Atas alasan inilah, bahawa al-hijamah lebih bermanfaat (terutamanya) untuk anak-anak kecil dan bagi sesiapa yang tidak kuat untuk melakukan al-fashd.” (Fath Al-Bari, 10/151)

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menyebutkan:

قلت ولم يرد النبي صلى الله عليه و سلم الحصر في الثلاثة فإن الشفاء قد يكون في غيرها وإنما نبه بها على أصول العلاج وذلك أن الأمراض الامتلائية تكون دموية وصفراوية وبلغمية وسوداوية وشفاء الدموية بإخراج الدم وإنما خص الحجم بالذكر لكثرة استعمال العرب والفهم له بخلاف الفصد فإنه وإن كان في معنى الحجم لكنه لم يكن معهودا لها غالبا على أن في التعبير بقوله شرطة محجم ما قد يتناول الفصد وأيضا فالحجم في البلاد الحارة أنجح من الفصد والفصد في البلاد التي ليست بحارة أنجح من الحجم

“Aku katakan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak bermaksud membataskan kaedah perubatan itu pada tiga semata-mata, kerana penyembuhan boleh dilakukan dengan yang selainnya. Hanya Cuma, Nabi bertujuan menyebutkan dasar asas perubatan, sebab-sebab penyakit dalaman boleh disebabkan oleh masalah darah, gangguan organ, bendalir tubuh, dan gangguan emosi. Dan penyembuhan penyakit berkaitan dengannya adalah dengan mengeluarkan sebahagian darah, khasnya dengan berbekam (sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi), kerana ia banyak disebut (dan lebih dikenal) dalam kalangan masyarakat ‘Arab, berbeza dengan al-fashdu. Walaupun al-fashdu ini mirip bekam, tetapi ia tidak begitu dikenal (atau dipraktikkan). Namun, penggunaan kalimat “شَرْطَة مِحْجَم” (hirisan pisau bekam) telah mencakupi methode rawatan dengan al-fashdu. Di samping itu, bagi kawasan-kawasan panas, bekam lebih mujarab berbanding al-fashdu. Manakala al-fashdu jika di wilayah yang tidak panas, ia lebih berkesan berbanding bekam.” (Fath Al-Bari, 10/138)

Sebelumnya, Al-Imam Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) turut menyentuh hal ini. Beliau menjelaskan:

وأما منافعُ الحِجَامَة: فإنها تُنَقِّى سطح البدن أكثرَ من الفَصْد، والفصدُ لأعماق البدن أفضلُ، والحِجَامَةُ تستخْرِجُ الدَّمَ من نواحى الجلد.

“Adapun manfaat al-hijamah, ia membersihkan (melalui) permukaan tubuh (lapisan kulit paling luar) dengan lebih baik berbanding al-fashdu. Al-fashdu lebih baik bagi membersihkan bahagian tubuh (darah) di bahagian dalam, sementara Al-hijamah (bekam) membantu mengeluarkan darah dari permukaan kulit.”

قلتُ: والتحقيقُ فى أمرها وأمْرِ الفصد، أنهما يختلفان باختلاف الزمانِ، والمكانِ، والأسنانِ، والأمزجةِ، فالبلادُ الحارةُ، والأزمنةُ الحارةُ، والأمزجة الحارة التى دَمُ أصحابها فى غاية النُّضج الحجامةُ فيها أنفعُ من الفصد بكثير، فإنَّ الدَّمَ ينضج ويَرِقُّ ويخرج إلى سطح الجسد الداخل، فتُخرِجُ الحِجَامَةِ ما لا يُخرجه الفصد، ولذلك كانت أنفعَ للصبيان من الفصد، ولِمَنْ لا يَقْوَى على الفَصد.

“Aku katakan, perincian pada al-hijamah dan al-fashd, kedua-dua kaedah ini diaplikasikan dengan berbeza-beza bergantung pada waktu, tempat, keadaan, suhu atau cuaca (tubuh atau persekitaran), wilayah panas atau musim-musim yang panas. Adapun pada keadaan tubuh atau persekitaran yang panas, darah pada tubuh seseorang itu berada pada kemuncak kematangan (yakni naik ke permukaan), maka al-hijamah (bekam) dalam keadaan seperti ini adalah lebih bermanfaat berbanding al-fashd. Ini kerana (pada keadaan seperti itu), darah berada pada puncak kematangan, mengalir naik ke bahagian permukaan tubuh di bawah kulit, maka darah-darah yang tidak diperlukan yang tidak dapat dikeluarkan melalui kaedah al-fashdu dapat dikeluarkan dengan praktik bekam. Atas alasan ini juga, bekam adalah lebih bermanfaat bagi anak-anak kecil berbanding al-fashdu, demikian juga bagi mereka yang tidak kuat untuk melakukan al-fashd.

وقد نص الأطباء على أنَّ البلاد الحارةَ الحجامةُ فيها أنفعُ وأفضلُ من الفصد، وتُستحب فى وسط الشهر، وبعد وسطه.

Berdasarkan keterangan pakar perubatan, bahawa praktik al-hijamah (bekam) lebih bermanfaat dan lebih afdhal (utama) bagi penduduk di kawasan-kawasan yang panas berbanding praktik al-fashd. Dan disukai jika dilakukan pada pertengahan bulan atau setelah pertengahan bulan, sebelum akhir bulan (sebagaimana dinyatakan di dalam sebahagian hadis-hadis Nabi).” (Zaad Al-Ma’aad, 4/53-54)

Kemudian Ibn Al-Qayyim turut menjelaskan sebahagian contoh bentuk praktik bekam dan al-fashd mengikut kesesuaian, jenis masalah, kedudukan atau titik tubuh (dada, kaki, pinggul, leher, kepala, bahu, dll), dan faedah-faedahnya pada tubuh mengikut posisi dan bentuk kaedah yang dipilih. Silakan lihat di kitab Zaad Al-Ma’ad oleh Ibn Al-Qayyim.

Adapun secara garis besarnya, derma darah bukanlah kaedah atau aplikasi khusus yang bertujuan untuk merawat pesakit (walaupun disahkan memiliki manfaat kesihatan), berbeza dengan praktik bekam dan al-fashd itu sendiri yang memang merupakan praktik yang dilakukan dalam rangka perubatan, melalui titik-titik khusus pada tubuh, dan bertujuan mencari kesembuhan bagi orang yang melakukannya.

Wallaahu a’lam.


[1] Al-Hijamah (الحجامة), secara bahasa berasal dari kata “حَجَمَ” atau “الحِجْمُ” (perbuatan menghisap atau menyedut). “الحَاجِم” dan “الحَجَّام” adalah pelaku (yang menghisap), yakni tukang bekam. Maka al-hijamah (الحِجَامَة) adalah perbuatan atau praktik menghisap, atau menyedut sesuatu. Al-Mihjam (المحِجَمُ) atau Al-Mihjamah (المحِجَمَةُ), alat yang digunakan ketika proses perbekaman, atau boleh juga bermaksud bekas yang diguna untuk menyedut dan menampung darah yang dikeluarkan dari hasil perbekaman.

Adapun dari sudut istilah, al-hijamah (perbekaman) adalah suatu praktik mengeluarkan darah melalui urat-urat darah di lapisan permukaan kulit luar dengan melakukan sayatan kecil (atau ringan) padanya kemudian dengan dihisap (atau disedut keluar) menggunakan bekas kedap udara tertentu (al-mihjam) agar darah dapat keluar dengan tujuan mencari kesembuhan dengan izin Allah Ta’ala.

Al-mihjam (bekas untuk menyedut dan mengumpulkan darah hasil bekam) ada pelbagai jenis bersesuaian dengan zaman dan keadaan masyarakat tersebut. Ia boleh berupa gelas atau bekas tabung kaca, potongan buluh yang dibentuk seperti gelas atau bekas, tanduk haiwan, bebatuan, dan seumpamanya.

Terapi perbekaman telah dikenal sejak lama dahulu, dikatakan lebih ribuan tahun, dipraktikkan oleh pelbagai bangsa dan masyarakat. Dikatakan pada sebahagian dinding-dinding binaan piramid dan rumah-rumah ibadah Fir’aun (penguasa Mesir terdahulu) terdapat banyak lakaran atau ilustrasi yang menggambarkan praktik perbekaman.

Setiap kelompok masyarakat dan bangsa memiliki kaedah perbekaman yang berbeza-beza, terdapat kelompok yang berbekam dengan menggunakan bekas berupa tanduk haiwan sebagaimana yang dikenal dalam sebahagian masyarakat ‘Arab terdahulu, dan turut dikenal dengan istilah horn therapy oleh masyarakat barat. Selain itu, masyarakat Cina dikenal dengan menggunakan bekas terbuat dari potongan-potongan buluh. Manakala masyarakat Rom, Yunani dan Eropah dikatakan menggunakan bekas berupa gelas terbuat dari kaca.

Setelah itu peralatan untuk perbekaman terus berkembang selari dengan kemajuan teknologi dan kemudahan. Apapun, konsep asasnya masih tetap sama. (lihat: Al-Hijamah fi Sunnati An-Nabawiyyah Dirasatu Maudhu’iyyah oleh Dr. Muhammad Hasan Al-Mishri, m/s. 61-62. Penyakit dan Terapi Bekamnya oleh Dr. Ahmad Razak Sharaf, m/s. 9-11. Sembuh Dengan Satu Titik oleh Dr. Wadda’ A. Umar, m/s. 9-11)

[2] Lihat juga: https://islamqa.info/ar/128170

[3] Al-Fashd secara bahasa adalah menyuntik. Yakni menyuntik bahagian tubuh tertentu untuk mengeluarkan darah. Al-Fashd yang dimaksudkan di sini adalah sebahagian dari kaedah rawatan yang hampir sama dengan bekam, di mana aplikasinya bertujuan mengeluarkan darah dari tubuh pesakit. Namun ia mengeluarkan darah dari bahagian tubuh yang lebih dalam, atau dari bahagian urat darah yang lebih besar dan pada lapisan lebih dalam berbanding bekam yang berfungsi mengeluarkan darah pada bahagian lapisan kulit paling luar. Ia juga memiliki titik-titik yang hampir sama atau menyerupai titik-titik bekam, tidak terhad pada satu posisi tertentu sebagaimana diaplikasikan dalam kaedah derma darah.