Definisi Khawarij

www.ilmusunnah.com

khawarij-teroris

Khawaarij adalah bentuk jama’ dari kata khaariji. Maknanya dalam bahasa ‘Arab adalah orang yang keluar; dari kata khuruuj yang  bermaksud keluar.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan atsar dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, bahawa:

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، يَرَاهُمْ شِرَارَ خَلْقِ اللَّهِ، وَقَالَ: إِنَّهُمُ انْطَلَقُوا إِلَى آيَاتٍ نَزَلَتْ فِي الكُفَّارِ، فَجَعَلُوهَا عَلَى المُؤْمِنِينَ

“Bahawasanya Ibnu ‘Umar mengatakan, mereka (kaum khawarij) adalah makhluk Allah yang buruk, dan beliau juga berkata:

“Mereka mengunakan ayat-ayat yang diturunkan berkaitan orang-orang kafir lalu ditujukan untuk orang-orang yang beriman.” (lihat: Fath Al-Bari oleh Ibnu Hajar, 12/286)

Al-Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari rahimahullah (Wafat: 324H) berkata:

والسبب الذي سُمّوا له خوارج؛ خروجهم على علي بن أبي طالب، والذي له سموا محكمة إنكارهم الحكمين وقولهم: لا حكم إلا لله، والذي سموا له حرورية نزولهم بحروراء في أول أمرهم

“Sebab mereka dinamakan khawarij adalah kerana mereka khuruj (tidak mengiktiraf dan keluar menentang) terhadap ‘Ali, dan mereka juga dinamakan muhakkimah kerana mengingkari tahkim, mereka mengatakan: “Tiada hukum kecuali hukum Allah.” Dan disebut juga Haruriyyah di mana mereka berkumpul di Harura’ ketika awal kemunculan mereka.” (Maqaalat Al-Islamiyyin, 1/207)

Yakni mereka tidak mengiktiraf keberadaan pemerintah Islam yang menaungi mereka atas alasan dosa atau maksiat yang dilakukan oleh pemerintah tersebut, yang dengan sebab itu mereka pun menghalalkan tindakan penentangan dan menjatuhkan pemerintah, bahkan menghalalkan darah mereka (kerana mereka berpendapat pelaku dosa besar adalah kafir dan halal diperangi atau ditumpahkan darahnya).

Al-Imam Al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H) menegaskan:

ومن خرج على إمام من أئمة المسلمين فهو خارجي، وقد شق عصا المسلمين، وخالف الآثار، وميتته ميتة جاهلية

ولا يحل قتال السلطان والخروج عليه وإن جار، وذلك لقول رسول الله صلى الله عليه وسلم لأبي ذر الغفاري رضي الله عنه: (اصبر وإن كان عبداً حبشياً)، وقوله للأنصار: (اصبروا حتى تلقوني على الحوض)، وليس في السنة قتال السلطان فإن فيه فساد الدين الدنيا]

“Siapa yang keluar (menentang untuk menjatuhkan) seorang imam dari pemerintah kaum muslimin, maka dia adalah khaariji (penganut fahaman khawarij), dan bermakna dia telah memecah-belah kesatuan kaum muslimin, menyelisihi atsar (sunnah), dan matinya seperti mati dalam keadaan jahiliyyah.

Tidak halal memerangi penguasa dan khuruuj (tidak mengiktiraf dan keluar menentang) terhadapnya walaupun mereka zalim, dan demikianlah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada Abu Dzarr Al-Ghifari radhiyallahu ‘anhu:

“Sabarlah, walaupun yang memerintah kalian adalah hamba Habasyi.” (Shahih Muslim, no. 1837)

Dan juga sabda beliau kepada kaum Anshar:

“Sabarlah sampai kalian bertemu denganku di Al-Haudh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3147)

Memerangi penguasa bukanlah termasuk sunnah, kerana ia menimbulkan kerosakan terhadap agama dan dunia.” (Syarh As-Sunnah, no. 29-30)

Al-Imam Al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menjelaskan tentang khawarij:

لم يختلف العلماء قديماً وحديثاً أن الخوارج قوم سوء، عصاة لله عز وجل ولرسوله صلى الله عليه وسلم، وإن صلوا وصاموا، واجتهدوا في العبادة ، فليس ذلك بنافع لهم، وإن أظهروا الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، وليس ذلك بنافع لهم، لأنهم قوم يتأولون القرآن على ما يهوون، ويموهون على المسلمين. وقد حذرنا الله عز وجل منهم، وحذرنا النبي صلى الله عليه وسلم ،وحذرناهم الخلفاء الراشدون بعده، وحذرناهم الصحابة رضي الله عنهم ومن تبعهم بإحسان رحمة الله تعالى عليهم.

والخوارج هم الشراة الأنجاس الأرجاس، ومن كان على مذهبهم من سانر الخوارج، يتوارثون هذا المذهب قديماً وحديثاً، ويخرجون على الأئمة والأمراء ويستحلون قتل المسلمين

“Para ulama tidak berselisih pada menyatakan bahawa khawarij adalah suatu kaum yang jahat dan derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun mereka solat, berpuasa, dan bersungguh-sungguh dalam ibadah. Tetapi kebaikan yang mereka usahakan itu tidaklah memberi sebarang manfaat sedikitpun untuk mereka (kerana dasar aqidah mereka yang telah menyimpang – pent.).

Mereka juga menonjolkan amalan amar ma’ruf nahi mungkar, tetapi ia tidak bermanfaat bagi mereka. Ini adalah kerana mereka menafsirkan Al-Qur’an mengikut hawa nafsu mereka, dan mereka menipu kaum muslimin. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah memberi peringatan kepada kita (dari bahaya dan kesesatan) mereka. Begitu juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para khulafa Ar-Rasyidin, para sahabat radhiyallahu ‘anhum, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik juga turut mengingatkan, semoga rahmat Allah atas mereka.

Khawarij ini dan yang sealiran dengannya adalah orang-orang yang jahat, najis, dan kotor (yakni ideologi dan pemikirannya – pent.). Mereka saling mewarisi fahaman sesat ini sejak dahulu sehinggalah sekarang. Mereka khuruj (tidak mengiktiraf dan keluar menentang) terhadap para pemerintah kaum muslimin, sehingga ada dari mereka yang menghalalkan perbuatan membunuh (atau memerangi) umat Islam.” (Asy-Syari’ah oleh Al-Ajurri, 1/22)

Al-Imam Ibn Hazm Al-Andalusi rahimahullah (Wafat: 456H) berkata:

ومن وافق الخوارج من إنكار التحكيم وتكفير أصحاب الكبائر والقول بالخروج على أئمة الجور وأن أصحاب الكبائر مخلدون في النار وأن الإمامة جائزة في غير قريش فهو خارجي

“Sesiapa yang bersetuju dengan Al-Khawaarij dalam mengingkari tahkim, dalam mengkafirkan pelaku dosa besar, berpendapat bolehnya khuruuj (keluar dari ketaatan untuk menjatuhkan) pemerintah yang zalim, dan meyakini bahawa para pelaku dosa besar kekal di Neraka, serta meyakini bahawa imamah (hak pemerintahan atau kekhilafahan) untuk selain Quraisy, maka dia adalah khaariji.” (Al-Fashl fi Al-Milal wal Ahwa’ wan-Nihal, 2/90)

Al-Imam Asy-Syahrastani rahimahullah (Wafat: 548H) menjelaskan:

الخوارج والمرجئة والوعيدية كل من خرج عن الإمام الحق الذي اتفقت الجماعة عليه يسمى خارجيا سواء كان الخروج في أيام الصحابة على الأئمة الراشدين أو كان بعدهم على التابعين بإحسان والأئمة في كل زمان

Al-Khaawarij, Al-Murji’ah, dan Al-Wa’iidiyyah digunakan untuk menyebut setiap kelompok yang keluar dari ketaatan (untuk menjatuhkan) pemerintah yang sah dan diperakui (disepakati) oleh masyarakat umat Islam. Mereka itu dinamakan sebagai khaariji sama ada yang khuruuj (keluar dari ketaatan dan memerangi) pada zaman para sahabat atas khulafa’ Ar-Rasyidin, atau yang keluar dari ketaatan terhadap pemerintah setelah mereka di zaman taabi’in (pengikut sahabat), atau terhadap para pemerintah di setiap zaman.” (Al-Milal wa An-Nihal, 1/113 – Daar Al-Ma’rifah)

Al-Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 579H) berkata:

أول الخوارج وأقبحهم حالة ذو الخويصرة

فهذا أول خارجي خرج في الإسلام وآفته أنه رضي برأي نفسه ولو وقف لعلم أنه لا رأي فوق رأي رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وأتباع هذا الرجل هم الذين قاتلوا علي بن أبي طالب

“Tokoh terawal pembawa ideologi khawarij dan yang terburuk dari mereka adalah Dzul-Khuwaishirah…

… Inilah pembawa ideologi khawarij yang pertama kali muncul dalam Islam. Penyakit yang dibawanya adalah beliau redha dengan pendapatnya sendiri (yakni mengunggulkan pendapatnya berbanding Rasulullah – pent.). Seandainya beliau diam, pasti beliau akan memahami bahawa tidak ada pendapat yang lebih benar melebihi pendapat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan orang-orang yang menjadi pengikut orang ini adalah mereka yang keluar memerangi ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu.” (Talbis Iblis oleh Ibn Al-Jauzi, m/s. 81-82)

Dari suatu hadis oleh Muhammad bin Ibrahim rahimahullah, beliau berkata:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ، وَعَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ: أَنَّهُمَا أَتَيَا أَبَا سَعِيدٍ الخُدْرِيَّ، فَسَأَلاَهُ عَنْ الحَرُورِيَّةِ: أَسَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: لاَ أَدْرِي مَا الحَرُورِيَّةُ؟ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «يَخْرُجُ فِي هَذِهِ الأُمَّةِ – وَلَمْ يَقُلْ مِنْهَا – قَوْمٌ تَحْقِرُونَ صَلاَتَكُمْ مَعَ صَلاَتِهِمْ، يَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ حُلُوقَهُمْ، – أَوْ حَنَاجِرَهُمْ – يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَيَنْظُرُ الرَّامِي إِلَى سَهْمِهِ، إِلَى نَصْلِهِ، إِلَى رِصَافِهِ، فَيَتَمَارَى فِي الفُوقَةِ، هَلْ عَلِقَ بِهَا مِنَ الدَّمِ شَيْءٌ

“Bahawasanya Abu Salamah dan ‘Atha’ bin Yasar telah pergi menemui Abu Sa’iid Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu dan menanyakan tentang Al-Haruriyyah kepadanya:

“Adakah engkau pernah mendengar tentangnya dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”

Jawab Abu Sa’iid, “Aku tidak tahu apa itu Al-Haruriyyah. Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Akan keluar dari umat ini – beliau tidak menyebutkan darinya – suatu kaum yang kalian merasa solat kalian lebih sedikit berbanding solat mereka, mereka membaca Al-Qur’an akan tetapi tidak melepasi halqum mereka – atau tenggorokan mereka –, mereka keluar dari agama seperti anak panah yang menembus keluar dari tubuh sasarannya (haiwan buruannya). Biasanya seorang pemanah akan melihat anak panahnya, kepala panahnya, batang anak panahnya, kemudian belahan pada hujung anak panahnya (tempat meletakkan tali), adakah terdapat kesan darah yang melekat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6931. Muslim, no. 1064)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) ketika menyentuh tentang hadis ini, beliau berkata:

هم الخوارج سموا حرورية لأنهم نزلوا حروراء وتعاقدوا عندها على قتال أهل العدل وحروراء بفتح الحاء وبالمد قرية بالعراق قريبة من الكوفة وسموا خوارج لخروجهم على الجماعة وقيل لخروجهم عن طريق الجماعة وقيل لقوله صلى الله عليه و سلم يخرج من ضئضئ هذا قوله ( سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول يخرج في هذه الأمة ولم يقل منها

“(Al-Haruriyyah), mereka adalah Al-Khawarij. Dinamakan Haruriyyah kerana mereka tinggal di Harura’ dan saling membuat ikatan janji di sana untuk memerangi para pembela keadilan. Harura’ dengan mem-fathah-kan haa’ adalah nama suatu tempat di ‘Iraq yang berdekatan dengan Kufah.

Dan dinamakan sebagai Khawarij kerana mereka khuruj (keluar memerangi) Al-Jama’ah (para sahabat dan kaum muslimin ketika itu). Dan dikatakan juga kerana mereka khuruj (keluar) dari jalan Al-Jama’ah (yakni manhaj agama para sahabat – pent.). Dikatakan juga sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Akan khurj (keluar) dari keturunan orang ini…” (Syarh Shahih Muslim, 7/164)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

والخوارج الذين أنكروا على علي التحكيم وتبرءوا منه ومن عثمان وذريته وقاتلوهم فإن أطلقوا تكفيرهم فهم الغلاة

Al-Khawarij adalah mereka yang mengingkari tahkim kepada ‘Ali, berlepas diri dari ‘Utsman dan keturunannya, serta memusuhi mereka. Jika mereka bertindak memuthlaqkan pengkafiran mereka (terhadap ‘Ali, ‘Utsman, dan ahli keturunannya), maka mereka adalah dari kalangan ghulaat (khawarij yang paling ekstrim).” (Muqaddimah Fath Al-Bari, m/s. 459)

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menyebutkan:

أما الخوارج فهم جمع خارجة أي طائفة وهم قوم مبتدعون سموا بذلك لخروجهم عن الدين وخروجهم على خيار المسلمين وأصل بدعتهم فيما حكاه الرافعي في الشرح الكبير أنهم خرجوا على علي رضي الله عنه حيث اعتقدوا أنه يعرف قتلة عثمان رضي الله عنه ويقدر عليهم ولا يقتص منهم لرضاه بقتله أو مواطأته إياهم

Al-Khawaarij, mereka adalah jama’ kepada khaarijah, yakni suatu kelompok, dan mereka adalah kaum mubtadi’uun (ahli bid’ah). Dinamakan demikian kerana mereka keluar dari agama dan keluar dari kelompok sebaik-baik kaum muslimin (para sahabat). Ushul (dasar) kebid’ahan mereka sebagaimana apa yang diriwayatkan oleh Ar-Rafi’i dalam kitab Asy-Syarh Al-Kabir, bahawasanya mereka keluar dari ketaatan terhadap ‘Ali radhiyallahu ‘anhu dengan beranggapan ‘Ali mengetahui orang-orang yang membunuh ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu dan mampu menangkap mereka (para pembunuh) tetapi ‘Ali tidak melaksanakan qishash atas mereka kerana redha dengan pembunuhan tersebut atau sengaja melengah-lengahkan hukuman tersebut.” (Fath Al-Bari, 12/283)

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menyebutkan:

وكان يقال لهم القراء لشدة اجتهادهم في التلاوة والعبادة إلا أنهم كانوا يتأولون القرآن على غير المراد منه ويستبدون برأيهم ويتنطعون في الزهد والخشوع وغير ذلك

“Bahawasanya mereka disebut juga sebagai Al-Qurraa’ (ahli Al-Qur’an) kerana kuatnya kesungguhan mereka dalam membaca Al-Qur’an dan beribadah, tetapi mereka menta’wilkan (menafsirkan dan memahami) Al-Qur’an tidak sebagaimana maksudnya, dan mereka berkeras pada ra’yi (pendapat dan pemikiran) mereka sendiri, serta menganggap diri mereka lebih zuhud dan khusyu’ dari yang lainnya.” (Fath Al-Bari, 12/283)

Asy-Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizhahullah berkata ketika mensyarahkan kitab Fadhul Islam:

والخوارج: هم الذين يخرجون على ولاة أمر المسلمين، وخلعون السمع والطاعة، ويخرجون عليهم بالسبف ويكفرونهم، ويستحلون دماءهم.

وقد أمر النبي صلى الله عليه وسلم بقتلهم لكف شرهم، والقضاء على بدعتهم، لأنه من أصول أهل السنة والجماعة السمع والطاعة لولاة أمور المسلمين، لما يترتب على ذلك من المصالح العظيمة من حقن الدماء، واجتماع الكلمة وإقامة الحدود فإذا انتقض الأمر ضاعت هذه المصالح، وسفكت الدماء وانتهكت الأعرض والأموال، وعطلت الحدود… إلى غير ذلك.

فمن خرج عن هذا فقد ابتدع في دين الله ما ليس منه، وإن كانوا يظنون أنهم ينكرن المنكر، ويجاهدون في سبيل الله، بل إن المنكر الذي ارتكبوه نجروهم أشد من المنكر الذي يزعمون أن ولي الأمر فعله، أو أنه فعله بالفعل، فالخروج عليه أشد مفسدة.

وخطر الخوارج ليس على ولاة الأمر، بل كذلك على الأمة.

Al-Khawarij, mereka adalah golongan yang keluar menentang pemerintah kaum muslimin, enggan taat dan mendengar (yakni tidak mengiktiraf pemerintah), mereka memberontak dengan pedang (senjata), mereka mengkafirkan pemerintah kaum muslimin, dan mereka menghalalkan darah mereka.

Nabi memerintahkan supaya membunuh mereka dalam rangka membendung keburukan mereka dan menghapuskan bid’ah mereka, kerana di antara prinsip ahlus sunnah wal jama’ah adalah mendengar dan taat (yakni mengiktiraf) pemerintah kaum muslimin, kerana ketertiban ini mendorong kepada mashlahah yang besar, menghalang dari pertumpahan darah, menjaga perpaduan, dan tertegaknya hudud (perundangan). Tetapi apabila perkara tersebut rosak, maka ketertiban ini semua pasti akan musnah, berlaku kekacauan, pertumpahan darah, kehormatan ternoda dan harta-harta dirampas, dan penegakkan perundangan pun tidak dapat dilaksanakan.

Maka siapa yang melakukan yang demikian (yakni keluar dari ketaatan kepada pemerintah) benar-benar dia telah berbuat bid’ah di dalam agama Allah yang bukan termasuk darinya, walaupun mereka beranggapan sedang melakukan nahi munkar (membasmi kemungkaran) dan berjihad di jalan Allah. Sebaliknya apa yang mereka lakukan adalah sebahagian dari kemungkaran dan bahkan lebih besar kemungkarannya berbanding apa yang mereka dakwakan pemerintah telah lakukan (dari keburukan-keburukan tertentu) atau jika memang mereka (pemerintah) telah benar-benar melakukannya.

Bahawa keluar dari ketaatan kepada pemerintah adalah mafsadah (kerosakan) yang besar. Ancaman bahaya khawarij tidaklah hanya sebatas atas para pemerintah, tetapi juga kepada seluruh masyarakat.” (Syarh Fadh Al-Islaam, m/s. 150)

Asy-Syaikh Dr. Nashir bin ‘Abdul Karim Al-‘Aql menyebutkan:

الخوارج: هم الذين يكفرون بالمعاصي، ويخرجون على أئمة المسلمين وجمعاعتهم.

ويشمل ذلك: الخوارج الأولين (المحكمة الحرورية)، ومن تفرع عنهم من الأزارقة والصفرية والنجدات، (وهذ الثلاث قد القرضت)، والأباضية (وهم باقون إلى اليوم).

كما يشمل اسم الخوارج كل من أخذ بأصولهم وسلك سبيلهم، كجماعات التكفير والهجرة في هذا العصر ونحوهم. وعلى هذ فإن الخوارج قد يخرجون فى كل زمان، وسيظهرون في اخر الزمان، وكما أخبر النبي صلى الله عليه و سلم عن الخوارج الأولين، فقد أخبر صلى الله عليه و سلم كذلك المتأخرين، وأنهم يخرجون في أخر الزمان، قال صلى الله عليه و سلم:

سَيَخْرُجُ قَوْمٌ فِي آخِرِ الزَّمَانِ، أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ البَرِيَّةِ، لاَ يُجَاوِزُ إِيمَانُهُمْ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ، كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَأَيْنَمَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا لِمَنْ قَتَلَهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ

Al-Khawarij; mereka adalah orang-orang yang mengkafirkan kaum muslimin hanya dengan sebab maksiat, dan mereka khuruj (keluar dari ketaatan) terhadap pemerintah kaum muslimin dan jama’ah (masyarakat) mereka.

Termasuk yang demikian adalah: Al-Khawarij yang terawal (Al-Muhakkimah Al-Haruriyyah), dan dari kelompok-kelompok yang terbentuk darinya seperti kelompok Al-Azariqah, Ash-Shofariyyah, An-Najadaat, (ketiga-tiga kelompok ini telah pun lenyap), dan kelompok Al-Abadhiyyah (dan mereka ini masih tersisa sehingga hari ini).

Penamaan Khawarij juga mencakup setiap mereka yang mengambil (menganut) prinsip-prinsip ajarannya dan menempuh jalan mereka, seperti jama’ah At-Takfir wa Al-Hijrah di era ini, dan yang seumpama mereka.

Berdasarkan ini semua, bahawasanya khawarij boleh muncul pada setiap zaman dan akan terus muncul sampai akhir zaman sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang khawarij terawal. Bahawa demikian juga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengkhabarkan tentang khawarij muta’akhirin (yakni generasi khawarij sesudahnya), bahawa mereka akan terus keluar di setiap zaman di mana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (sebagaimana dalam Shahih Muslim, no. 6930):

“Akan muncul di akhir zaman suatu kaum, muda-muda usianya, cetek akal kefahamannya, mereka mengungkapkan sebaik-baik ucapan manusia, (tetapi) iman mereka tidak melepasi tenggorokan, mereka keluar dari agama seperti anak panah yang menembus keluar dari sasarannya (haiwan buruannya). Maka, di mana saja kalian menemui mereka, perangilah mereka (bersama pemerintah – pent.), kerana bagi siapa yang memerangi mereka terdapat pahala di hari Kiamat.” (Al-Khawaarij Awwal Al-Firqah fi Taarikh Al-Islaam, m/s. 21 – Daar Isybiliya)

Disebutkan juga dalam hadis yang lain, dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلاَمِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ، يَقْتُلُونَ أَهْلَ الإِسْلاَمِ، وَيَدَعُونَ أَهْلَ الأَوْثَانِ، لَئِنْ أَدْرَكْتُهُمْ لَأَقْتُلَنَّهُمْ قَتْلَ عَادٍ

“Mereka terlepas dari batas-batas Islam sebagaimana anak panah lepas menembusi tubuh buruannya (atau sasarannya). Mereka membunuh (memerangi) ahl al-Islam (kaum muslimin) dan membiarkan ahl al-Autsan (penyembah berhala, orang-orang kafir). Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (bunuh) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum ‘Aad.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3344, 7432. Muslim, no. 1064)

Wallaahu a’lam.

Baca selengkapnya di artikel, https://ilmusunnah.com/?p=7898

isis_khilafah_islamiyyah

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest