Bolehkah Menjamakkan Solat Kerana Alasan Sibuk, Ketika Mukim?
Terdapat hadis-hadis yang menyebutkan dan menjelaskan terkait perkara ini, yakni tentang bolehnya menjamakkan solat dalam keadaan mukim disebabkan alasan yang tertentu.
Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا مَطَرٍ فِي حَدِيثِ وَكِيعٍ: قَالَ: قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ: لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ قَالَ: كَيْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ، وَفِي حَدِيثِ أَبِي مُعَاوِيَةَ: قِيلَ لِابْنِ عَبَّاسٍ: مَا أَرَادَ إِلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menjamakkan solat antara Zuhur dengan ‘Ashar, dan Maghrib dengan Isya’ di Madinah (dalam keadaan mukim) bukan disebabkan takut, dan tidak juga kerana hujan.”
Dalam hadis Wakii’, beliau berkata, aku bertanya kepada Ibnu ‘Abbas, “Kenapa beliau melakukan begitu?” Ibnu ‘Abbas jawab, “Yang demikian kerana beliau tidak mahu memberatkan umatnya.”
Dan pada hadis Abi Mu’awiyah, ditanyakan kepada Ibnu ‘Abbas, “Apa yang dikehendaki (oleh Nabi) dengan berbuat begitu (menjamakkan solat)? Jawab Ibnu ‘Abbas:
“Beliau mahu agar tidak memberatkan umatnya.” (Shahih Muslim, no. 705)
Dari hadis ini menjelaskan bolehnya menjamakkan solat dalam keadaan mukim kerana adanya alasan atau sebab yang memberatkan.
Dalam riwayat yang lain dari Sa’id bin Jubair, Ibnu ‘Abbas berkata:
صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا، وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menjamakkan solat Zuhur dengan ‘Ashar, dan Maghrib dengan Isyak, bukan kerana takut (peperangan), dan bukan pula kerana safar.” (Shahih Muslim, no. 705)
Hadis ini merupakan antara dalil yang menjelaskan bolehnya menjamakkan solat ketika mukim dengan alasan tertentu (yang akan kami kemukakan).
Dari hadis ‘Amru, dari Jaabir bin Zaid, bahawa Ibnu ‘Abbas berkata:
صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَمَانِيًا جَمِيعًا، وَسَبْعًا جَمِيعًا»، قُلْتُ: يَا أَبَا الشَّعْثَاءِ أَظُنُّهُ أَخَّرَ الظُّهْرَ، وَعَجَّلَ الْعَصْرَ، وَأَخَّرَ الْمَغْرِبَ، وَعَجَّلَ الْعِشَاءَ، قَالَ: وَأَنَا أَظُنُّ ذَاكَ
“Aku pernah solat jamak bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebanyak lapan raka’at dalam satu waktu, dan tujuh raka’at dalam satu waktu.”
‘Amru bertanya, “Wahai Abu Sya’tsa’ (Jaabir bin Zaid), adakah engkau berpandangan beliau melewatkan Zuhur dan menyegerakan ‘Ashar, serta melewatkan Maghrib dan menyegerakan Isyak?”
Jawab Jaabir, “Dan aku berpandangan demikian.” (Shahih Muslim, no. 705)
Hadis ini menjelaskan bahawa menjamakkan solat dalam keadaan mukim dilaksanakan dengan 4 rakaat + 4 rakaat bagi Zuhur + Ashar, dan 3 rakaat + 4 rakaat bagi Maghrib + Isyak.
Dalam lafaz yang lain, dari Jaabir bin Zaid, bahawa Ibnu ‘Abbas berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِالْمَدِينَةِ سَبْعًا، وَثَمَانِيًا، الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ، وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah solat di Madinah (dalam keadaan mukim) sebanyak lapan raka’at untuk Zuhur dan ‘Ashar, dan tujuh raka’at untuk Maghrib dengan Isyak.” (Shahih Muslim, no. 705)
Demikian pula dengan hadis ini, ianya turut menjelaskan bahawa bolehnya menjamakkan solat dalam keadaan mukim. Dan solat dilaksanakan dengan 4 rakaat + 4 rakaat bagi Zuhur + Ashar, dan 3 rakaat + 4 rakaat bagi Maghrib dan Isyak.
Dari hadis ‘Abdullah bin Syaqiiq, beliau berkata:
خَطَبَنَا ابْنُ عَبَّاسٍ يَوْمًا بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى غَرَبَتِ الشَّمْسُ، وَبَدَتِ النُّجُومُ، وَجَعَلَ النَّاسُ يَقُولُونَ: الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ، قَالَ: فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي تَمِيمٍ، لَا يَفْتُرُ، وَلَا يَنْثَنِي: الصَّلَاةَ الصَّلَاةَ، فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: أَتُعَلِّمُنِي بِالسُّنَّةِ؟ لَا أُمَّ لَكَ ثُمَّ قَالَ: «رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ، وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ». قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنُ شَقِيقٍ: فَحَاكَ فِي صَدْرِي مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ، فَأَتَيْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ، فَسَأَلْتُهُ فَصَدَّقَ مَقَالَتَهُ
“Ibnu ‘Abbas pernah berkhuthbah kepada kami pada suatu hari sebaik selepas solat ‘Ashar, sampailah matahari pun terbenam, lalu bermunculanlah pula bintang-bintang (masuk waktu malam/Isyak).
Lalu orang ramai pun mula berkata, “Solat, solat…”
Kemudian datanglah kepada Ibnu ‘Abbas seorang lelaki dari kalangan bani Tamim, dengan sungguh-sungguh dan tidak putus-asa, (lelaki tersebut mengatakan), “Solat, solat…”
Maka Ibnu ‘Abbas pun berkata, “Adakah engkau ingin mengajarkan kepadaku tentang sunnah? Sekali-kali tidak..”
Lalu Ibnu ‘Abbas pun berkata:
“Aku pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat Zuhur dengan ‘Ashar, dan solat Maghrib dengan Isyak.”
‘Abdullah bin Syaqiiq pun berkata, “Lalu aku mendapati suatu keraguan pada dada-ku tentang perkara tersebut (yakni tentang tindakan Ibnu ‘Abbas tersebut), maka aku pun menemui Abu Hurairah dan menanyakan tentang hal tersebut, maka Abu Hurairah pun membenarkan tindakan (atau apa yang dikatakan) Ibnu ‘Abbas tersebut.” (Shahih Muslim, no. 705)
Kewajiban Menunaikan Solat Pada Waktunya
Sebelum kita melihat perkataan para ulama dalam memahami hadis-hadis di atas, hendaklah kita fahami terlebih dahulu bahawa hukum asal bagi solat fardhu itu adalah wajib ditunaikan pada waktunya masing-masing.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
“Peliharalah setiap solat-solat dan solat wustha, dan berdiri serta tegakkanlah kerana Allah dengan tunduk lagi khusyu’.” (Surah Al-Baqarah, 2: 238)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
“Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang telah ditentukan waktunya bagi orang-orang yang beriman.” (Surah An-Nisaa’, 4: 103)
Dari ayat ini menjelaskan bahawa solat itu adalah kewajiban yang telah ditetapkan bagi orang-orang yang beriman pada waktunya. Suatu yang telah diwajibkan dengan ketentuan waktunya ini tidak boleh ditukar-tukar atau ditunda keluar dari waktunya melainkan dengan wujudnya keudzuran yang syar’i yang dibenarkan oleh syara’.
Di ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ (4) الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” (Surah Al-Maa’uun, 107: 4-5)
Termasuk dalam makna melalaikan solat, adalah sengaja melewat-lewatkan solat sehingga melaksanakannya di luar dari waktunya. (lihat: Tafsir Ath-Thabari, 24/630. Sunan Abi Dawud, no. 441)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا
“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang buruk) yang menyia-nyiakan solat dan mengikuti hawa nafsu, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Surah Maryam, 19: 59)
Kata sejumlah ulama salaf:
إضَاعَتُهَا تَأْخِيرُهَا عَنْ وَقْتِهَا ، وَلَوْ تَرَكُوهَا لَكَانُوا كُفَّارًا
“Maksud menyia-nyiakan solat adalah melewat-lewatkannya sehingga keluar dari waktunya, dan kalau seandainya mereka meninggalkannya nescaya mereka menjadi kafir.” (Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibnu Taimiyyah, 22/32)
Maka, hadis-hadis yang dipaparkan di atas dapat difahami bahawa menjamakkan solat itu dibolehkan ketika wujudnya keudzuran atau halangan yang memberatkan sehingga menghalang untuk melaksanakan solat pada waktunya sebagaimana biasa.
Di antara bentuk-bentuk udzur dan halangan yang menjadi sebab dibolehkan untuk menjamakkan solat adalah seperti kerana sakit yang berat, ketika berlaku bencana alam semisal hujan yang sangat lebat, ketika berlaku suatu hal yang membimbangkan yang perlu untuk berjaga-jaga (semisal perang), dan ketika merasa berat dan ingin segera menyelesaikan urusan di dalam safar, serta hal-hal lain yang semisal dari udzur atau halangan-halangan yang memberatkan.
Dan hal ini dikuatkan lagi berdasarkan keterangan dan penjelasan para ulama sebagaimana akan kami kemukakan.
Maksud Jamak
Adapun yang dimaksudkan dengan jamak itu adalah menghimpun, dan makna yang dimaksudkan dengan menjamakkan solat sebagaimana yang tertera di dalam hadis-hadis adalah menghimpunkan dua solat fardhu ke dalam salah satu waktunya sama ada waktu solat yang pertama (taqdim) atau waktu solat yang kedua (ta’khir) dengan alasan atau kerana udzur tertentu yang memberatkan.
Solat yang boleh dijamakkan (dihimpunkan) ke dalam salah satu waktu yang sama adalah solat Zuhur dengan ‘Ashar sama ada dihimpunkan dan ditunaikan di dalam waktu Zuhur (taqdim) atau ke dalam waktu ‘Ashar (ta’khir). Dan demikian pula solat Maghrib dengan Isyak, boleh dijamakkan (dihimpunkan) dan ditunaikan pada salah satu waktu sama ada di waktu Maghrib (taqdim) atau ke waktu Isyak (ta’khir).
Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):
وَكَذَلِكَ يَجُوزُ الْجَمْعُ بَيْنَ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ ، وَبَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ عِنْدَ كَثِيرٍ مِنْ الْعُلَمَاءِ لِلسَّفَرِ وَالْمَرَضِ ، وَنَحْوِ ذَلِكَ مِنْ الْأَعْذَارِ وَأَمَّا تَأْخِيرُ صَلَاةِ النَّهَارِ إلَى اللَّيْلِ ، وَتَأْخِيرُ صَلَاةِ اللَّيْلِ إلَى النَّهَارِ . فَلَا يَجُوزُ لِمَرَضِ وَلَا لِسَفَرِ ، وَلَا لِشَغْلِ مِنْ الْأَشْغَالِ ، وَلَا لِصَنَاعَةٍ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ . بَلْ قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ – رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ – : الْجَمْعُ بَيْنَ صَلَاتَيْنِ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ مِنْ الْكَبَائِرِ . لَكِنَّ الْمُسَافِرَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ لَيْسَ عَلَيْهِ أَنْ يُصَلِّيَ أَرْبَعًا
“Dan demikian pula dibolehkan menjamakkan dua solat sama ada di antara Maghrib dengan Isyak, atau di antara Zuhur dengan ‘Ashar menurut kebanyakan dari para ulama disebabkan safar, sakit, atau sebab-sebab udzur yang lain yang seumpamanya.
Adapun melewatkan solat (yakni menunaikan solat di luar dari waktunya) bagi solat siang (Zuhur atau ‘Ashar) ditunaikan di malam hari, atau solat malam (Maghrib atau Isyak) ditunaikan di siang hari, maka itu tidak dibolehkan walaupun dengan alasan sakit, walaupun kerana safar, atau pun kerana ditimpa kesibukan, dan tidak pula kerana alasan kerja berat berdasarkan kesepakatan para ulama.
Bahkan ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu telah berkata:
“Menjamakkan dua solat bukan kerana adanya udzur itu termasuk sebahagian dari dosa-dosa besar.”
Akan tetapi, para musafir hendaklah mereka solat dua raka’at (qashar), bukan dengan empat raka’at.” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/30-31)
Menjamakkan Solat ketika Tertimpa Suatu hal Yang Menyibukkan
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) ketika menyentuh tentang hadis Ibnu ‘Abbas di atas, beliau berkata:
وَحَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ حَمَلْنَاهُ عَلَى حَالَةِ الْمَرَضِ، وَيَجُوزُ أَنْ يَتَنَاوَلَ مَنْ عَلَيْهِ مَشَقَّةٌ، كَالْمُرْضِعِ، وَالشَّيْخِ الضَّعِيفِ، وَأَشْبَاهِهِمَا مِمَّنْ عَلَيْهِ مَشَقَّةٌ فِي تَرْكِ الْجَمْعِ
“Dan hadis Ibnu ‘Abbas tersebut difahami maknanya merujuk kepada orang yang sedang sakit, boleh juga bagi mereka yang mengalami atau punya masyaqqah (kepayahan), semisal perempuan yang menyusukan, orang tua yang lemah, dan sebab-sebab yang semisal itu yakni bagi siapa yang mengalami kepayahan jika dia tidak menjamakkan solatnya.” (Al-Mughni, 2/205)
Kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) lagi:
وَقَدْ أَجْمَعْنَا عَلَى أَنَّ الْجَمْعَ لَا يَجُوزُ لِغَيْرِ عُذْرٍ، ثَبَتَ أَنَّهُ كَانَ لِمَرَضٍ، وَقَدْ رُوِيَ عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ أَنَّهُ قَالَ فِي حَدِيثِ ابْنِ عَبَّاسٍ: هَذَا عِنْدِي رُخْصَةٌ لِلْمَرِيضِ وَالْمُرْضِعِ.
“Bahawasanya kami sepakat bahawa menjamakkan solat tanpa sebarang udzur adalah tidak dibolehkan. Telah tsabit bolehnya jama’ bagi orang yang sakit. Bahawa diriwayatkan dari Abu ‘Abdillah (Imam Ahmad bin Hanbal), bahawasanya beliau berbicara terkait hadis Ibn ‘Abbas (tersebut di atas), “Ini menurut-ku merupakan rukhshah (keringanan) bagi orang yang sakit dan perempuan yang menyusukan.” (Al-Mughni, 2/204)
Bolehnya menjamakkan solat ketika wujudnya kesukaran atau ketika tertimpa dengan hal-hal yang menyibukkan dijelaskan pula dalam hadis yang lain.
Dari Jabir bin Zaid, dari Ibnu ‘Abbas, bahawa Jabir bin Zaid berkata:
أَنَّهُ صَلَّى بِالْبَصْرَةِ الْأُولَى، وَالْعَصْرَ لَيْسَ بَيْنَهُمَا شَيْءٌ، وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاء لَيْسَ بَيْنَهُمَا شَيْءٌ فَعَلَ ذَلِكَ مِنْ شُغْلٍ». وَزَعَمَ ابْنُ عَبَّاسٍ «أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْأُولَى، وَالْعَصْرَ ثَمَانِ سَجَدَاتٍ لَيْسَ بَيْنَهُمَا شَيْءٌ
“Bahawa Ibnu ‘Abbas pernah solat ketika di Bashrah (dalam keadaan muqim, bukan safar) dengan menjamakkan Zuhur dengan ‘Ashar tanpa diiringi dengan sebarang solat sunnah (rawatib) di antara keduanya, demikian pula Maghrib dengan Isyak juga dijamakkan tanpa diiringi solat sunnah di antara keduanya. Beliau lakukan demikian adalah disebabkan oleh suatu yang sangat menyibukkan.
Bahawasanya menurut beliau (Ibnu ‘Abbas), beliau pernah solat di Madinah (dalam keadaan mukim) bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan menjamakkan Zuhur dan ‘Ashar tanpa diiringi atau diselangi dengan sebarang sujud (solat sunnah) sedikit pun.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 590. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Al-Imam An-Nasaa’i rahimahullah (Wafat: 303H) membuat bab dengan hadis ini, “Menjamakkan solat ketika muqim.”
Pada hadis ini menjelaskan menjamakkan dua solat ke dalam salah satu waktu itu dibolehkan ketika sedang dalam keadaan yang sukar, sulit, atau tertimpa kesibukan. Dan pada hadis ini juga menjelaskan bahawa tiada solat sunnah rawatib menyelangi antara dua solat yang dijamakkan tersebut.
Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah (Wafat: 1421H) mengatakan:
والصحيح أن الجمع سنّة إذا وجد سببه لوجهين: الوجه الأول: أنه من رخص الله عزّ وجل والله سبحانه يحب أن تؤتى رخصه. الوجه الثاني: أن فيه اقتداء برسول الله صلّى الله عليه وسلّم فإنه كان يجمع عند وجود السبب المبيح للجمع.
“Adapun yang sahih, menjamakkan dua solat itu adalah sunnah ketika wujud sebabnya berdasarkan dua sisi;
(Sisi pertama), Menjamakkan solat itu adalah rukhshah dari Allah ‘Azza wa Jalla, dan Allah Yang Maha Suci menyukai jika engkau menyambut rukhshah-Nya.
(Sisi kedua), Pada perlaksanaan jamak itu merupakan bentuk dari mengikuti dan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihiwa Sallam, kerana beliau akan menjamakkan solat ketika mana wujud sebab yang membolehkan untuk menjamak.” (Asy-Syarhul Mumti’ ala Zaadil Mustaqni’, 4/386)
Kata Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah (Wafat: 1420H):
أما الجمع فأمره أوسع؛ فإنه يجوز للمريض، ويجوز أيضًا للمسلمين في مساجدهم عند وجود المطر، أو الدحض، بين المغرب والعشاء، وبين الظهر والعصر، ولا يجوز لهم القصر؛ لأن القصر مختص بالسفر فقط
“Adapun menjamakkan dua solat itu perkaranya luas, kerananya maka dibolehkan bagi orang yang sakit untuk menjamakkan solat.
Dan dibolehkan juga bagi kaum muslimin menjamakkan solat di masjid-masjid mereka ketika terjadinya hujan lebat, atau ketika terdapat gangguan di jalanan (untuk pergi balik masjid), yakni jamak di antara Maghrib dengan Isya’, atau di antara Zuhur dengan ‘Ashar.
Namun tidak boleh mereka mengqashar solat (dalam waktu yang sama), kerana qashar solat itu dikhususkan bagi mereka yang safar sahaja.” (Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah oleh Muhammad bin Sa’id Asy-Syuway’ir, 12/289-290)
Kata beliau juga:
إذا وجد العذر جاز أن يجمع بين الصلاتين: الظهر والعصر، والمغرب والعشاء، لعذر المرض، والسفر، والمطر الشديد في أصح قولي العلماء
“Apabila wujud udzur (yang memberatkan), maka dibolehkan untuk menjamak antara dua solat. Yakni sama ada Zuhur dengan ‘Ashar, atau Maghrib dengan ‘Isya’, bagi orang yang udzur kerana sakit, kerana safar, atau kerana hujan yang sangat lebat berdasarkan pendapat para ulama yang lebih tepat.” (Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah oleh Muhammad bin Sa’id Asy-Syuway’ir, 12/292)
Kata Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376H):
والصحيح جواز الجمع إذا وجد العذر
“Adapun yang sahih (benar), dibolehkan untuk menjamakkan solat bila wujud keudzuran (yang memberatkan)…” (Mukhtaaraat Al-Jaliyyah, m/s. 68)
Kata Syaikh Al-Islam IbnuTaimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):
وَأَمَّا الْجَمْعُ فَسَبَبُهُ الْحَاجَةُ وَالْعُذْرُ فَإِذَا احْتَاجَ إلَيْهِ جَمَعَ فِي السَّفَرِ الْقَصِيرِ وَالطَّوِيلِ وَكَذَلِكَ الْجَمْعُ لِلْمَطَرِ وَنَحْوِهِ وَلِلْمَرَضِ وَنَحْوِهِ وَلِغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ الْأَسْبَابِ فَإِنَّ الْمَقْصُودَ بِهِ رَفْعُ الْحَرَجِ عَنْ الْأُمَّةِ
“Adapun menjamakkan solat, sebabnya adalah kerana wujudnya hajat (keperluan yang mendesak) dan ‘udzur (yang memberatkan). Jika seseorang perlu kepada jamak di saat safar, maka dia boleh untuk menjamakkan solat sama ada pada safar yang pendek mahupun yang panjang.
Dan demikianlah juga menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat dan seumpamanya, atau dengan sebab sakit dan yang seumpamanya dari selain yang demikian dari sebab-sebab (yang memberatkan). Kerana maksud dari tujuan dibolehkan jamak itu adalah bagi mengangkat kesukaran dari ummah (kaum muslimin).” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/292)
Tidak Boleh Menjamakkan Solat Tanpa Keudzuran
Menjamak solat tanpa sebarang ‘udzur yang syar’i adalah termasuk salah satu dari dosa-dosa besar. Dan ini antaranya dijelaskan oleh Sahabat Nabi, ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu.
Dari riwayat Abu Qatadah Al-‘Adawi rahimahullah, beliau berkata:
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَتَبَ إِلَى عَامِلٍ لَهُ: ” ثَلَاثٌ مِنَ الْكَبَائِرِ: الْجَمْعُ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ إِلَّا فِي عُذْرٍ، وَالْفِرَارُ مِنَ الزَّحْفِ، وَالنَّهْيُ
“Bahawasannya ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah menulis surat kepada para petugasnya (atau kaki tangannya):
“Tiga perkara dari dosa-dosa besar (adalah): menjamak dua solat bukan kerana ‘udzur, melarikan diri dari medan perang, dan khianat (dalam urusan harta rampasan perang).” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 5560)
Al-Imam Ibnu Abi Syaibah rahimahullah (Wafat: 235H) meriwayatkan tulisan (pendapat) dari ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz rahimahullah, bahawa beliau berkata:
أنْ لاَ تَجْمَعُوا بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ
“Adalah tidak boleh menjamakkan di antara dua solat kecuali dengan sebab adanya udzur.” (Mushannaf oleh Ibn Abi Syaibah, no. 8248)
Diriwayatkan dalam sebuah hadis dari ‘Ikrimah, dari Ibnu ‘Abbas, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda:
مَنْ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ فَقَدْ أَتَى بَابًا مِنْ أَبْوَابِ الكَبَائِرِ
“Siapa yang menjamakkan dua solat bukan kerana udzur, maka benar-benar dia telah mendatangi suatu pintu dari pintu-pintu dosa besar.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 188. Dinilai dhaif oleh At-Tirmidzi)
Kata Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) terkait hadis ini:
وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَهْلِ العِلْمِ: أَنْ لَا يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ إِلَّا فِي السَّفَرِ أَوْ بِعَرَفَةَ، وَرَخَّصَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ مِنَ التَّابِعِينَ فِي الجَمْعِ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ لِلْمَرِيضِ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ ” وقَالَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ: يَجْمَعُ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ فِي المَطَرِ، وَبِهِ يَقُولُ الشَّافِعِيُّ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ، وَلَمْ يَرَ الشَّافِعِيُّ لِلْمَرِيضِ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ
“Hadis ini (secara makna dan kandungannya) diamalkan di sisi ahli ilmu, bahawa tidak boleh menjamakkan dua solat kecuali kerana safar atau ketika sedang berada di ‘Arafah, dan sebahagian ahli ilmu dari kalangan tabi’in memberi rukhshah (adanya keringanan) untuk menjamakkan dua solat bagi orang yang sakit, dan pendapat tersebut dipegang oleh Imam Ahmad dan Ishaaq. Berkata sebahagian ahli ilmu, dibolehkan menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat, dan pendapat ini dipegang (antaranya) oleh Imam Asy-Syafi’i, Ahmad, Ishaaq, namun Imam Asy-Syafi’i tidak berpandangan boleh jamak untuk orang sakit.” (Sunan At-Tirmidzi, 1/356)
Kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) juga:
وَقَدْ أَجْمَعْنَا عَلَى أَنَّ الْجَمْعَ لَا يَجُوزُ لِغَيْرِ عُذْرٍ.
“Bahawasanya kami sepakat bahawa menjamakkan solat tanpa sebarang udzur adalah tidak dibolehkan.” (Al-Mughni, 2/204)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan pendapat sebahagian ulama terkait hadis Ibnu ‘Abbas di atas:
وقد ذهب جماعة من الأئمة إلى الأخذ بظاهر هذا الحديث فجوزوا الجمع في الحضر للحاجة مطلقا لكن بشرط أن لا يتخذ ذلك عادة وممن قال به بن سيرين وربيعة وأشهب وبن المنذر والقفال الكبير وحكاه الخطابي عن جماعة من أصحاب الحديث واستدل لهم بما وقع عند مسلم في هذا الحديث من طريق سعيد بن جبير قال فقلت لابن عباس لم فعل ذلك قال أراد أن لا يحرج أحدا من أمته وللنسائي من طريق عمرو بن هرم عن أبي الشعثاء أن بن عباس صلى بالبصرة الأولى والعصر ليس بينهما شيء والمغرب والعشاء ليس بينهما شيء فعل ذلك من شغل وفيه رفعه إلى النبي صلى الله عليه و سلم وفي رواية لمسلم من طريق عبد الله بن شقيق أن شغل بن عباس المذكور كان بالخطبة وأنه خطب بعد صلاة العصر إلى أن بدت النجوم ثم جمع بين المغرب والعشاء وفيه تصديق أبي هريرة لابن عباس في رفعه وما ذكره بن عباس من التعليل بنفى الحرج
“Sejumlah ulama telah berpendapat berdasarkan zahir hadis ini bahawa boleh menjamakkan solat pada waktu hadhir (mukim) disebabkan keperluan tertentu secara muthlaq namun dengan syarat tidak menjadikannya sebagai adat kebiasaan. Di antara mereka yang berpendapat dengan pendapat tersebut adalah Ibnu Sirin, Rabi’ah, Asyhab, Ibn Al-Mundzir, dan Al-Qaffaal Al-Kabiir, manakala Al-Khaththabi menghikayatkan dari sejumlah ulama dari kalangan ahli hadis.
Mereka telah berdalil dengan hadis riwayat Muslim ini dari jalur Sa’id bin Jubair, beliau berkata, “Aku berkata kepada Ibnu ‘Abbas, “Kenapa Nabi melakukan demikian?” Jawab Ibnu ‘Abbas, “Kerana beliau menghendaki agar tidak memberatkan seorang pun dari kalangan umatnya.”
Manakala dari riwayat An-Nasaa’i dari jalur ‘Amru bin Harm, dari Abi Asy-Sya’-tsa’, bahawa Ibnu ‘Abbas pernah solat di Bashrah dengan menjamakkan Zuhur dan ‘Ashar tanpa diselangi antara keduanya sebarang solat sunnah, demikian pula Maghrib dengan Isyak. Beliau melaksanakan solat dengan cara (jamak) tersebut disebabkan kesibukan. Dan hadis ini marfu’ (sampai dan bersambung sanadnya) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Manakala dari riwayat Muslim dari jalur ‘Abdullah bin Syaqiiq, bahawa kesibukan Ibnu ‘Abbas tersebut adalah berkhuthbah (menyampaikan perkara-perkara ilmu yang penting), di mana beliau telah berkhuthbah ketika selepas solat ‘Ashar sampailah ke waktu bermunculan bintang-bintang (yakni telah masuk waktu malam/Isyak), lalu kemudian beliau pun menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak. Dan tindakan serta perkataan Ibnu ‘Abbas ini telah dipersetujui oleh Abu Hurairah.
Maka apa yang disebutkan oleh Ibnu ‘Abbas ini merupakan ta’lil (penjelasan) yang menunjukkan maksud untuk menghilangkan kepayahan.” (Fath Al-Bari, 2/24)
Menurut Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
وذهب جماعة من الأئمة إلى جواز الجمع في الحضر للحاجة لمن لا يتخذه عادة وهو قول بن سيرين وأشهب من أصحاب مالك وحكاه الخطابي عن القفال والشاشي الكبير من أصحاب الشافعي عن أبي إسحاق المروزي عن جماعة من أصحاب الحديث واختاره بن المنذر ويؤيده ظاهر قول بن عباس أراد أن لا يحرج أمته فلم يعلله بمرض ولا غيره والله أعلم
“Sejumlah dari para ulama berpendapat bolehnya untuk menjamakkan solat dalam keadaan hadhir (mukim; bukan safar) disebabkan hajat (keperluan tertentu yang mendesak), yakni selagi mana tidak dijadikan sebagai adat kebiasaan. Dan ini merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari kalangan pengikut imam Malik. Dan dihikayatkan oleh Al-Khaththabi dari Al-Qaffaal dan Asy-Syaasyi Al-Kabiir dari kalangan tokoh mazhab Asy-Syafi’i, dan juga dari Abu Ishaq Al-Marwazi, dari sejumlah tokoh-tokoh ahli hadis, dan pendapat ini juga telah dipilih oleh Ibn Al-Mundzir.
Mereka memilih pendapat ini berdasarkan zahir perkataan Ibnu ‘Abbas (yang mengatakan), “Beliau (Nabi) tidak ingin memberatkan umatnya…” yang tidak mengaitkan sebab keringanan (membolehkan jamak) tersebut sama ada kerana sakit atau udzur yang lainnya. Wallaahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 5/219)
Wallaahu a’lam.