Benarkah Tamadun Itu Milik Islam???

http://an-nawawi.blogspot.com


Tidak ku ingati entah untuk kali keberapa aku akan terus berpendirian sebegitu, hingga datang bukti yang diperakui dan jelas yang membuktikan kefahaman aku adalah melencong dari kebenaran.

Malam tadi aku menegaskan kembali kepada seorang sahabat lamaku ketika ketika di sekolah menengah dahulu, namun kini bertemu di kampus universiti. Terlepas dari mulutnya dia menyatakan bahawa aku adalah pengikut Ulil Absar, padahal aku tidak pernah sama sekali mengikut telunjuk kaum yang tinggal di perhutanan, malah aku juga tidak pernah berkumpul-kumpul di persada Jalan Telawi, di Bangsar. Aku bukan beraliran Jaringan Islam Liberal. Bukan juga kaum tradisional. Malah bagi sesiapa yang mengenali aku yang sebenarnya, mereka pasti mengerti bahawa aku pengikut Islam Ortodok yang Fundemantal.

Aku katakan padanya: Tindakan meletakkan sesuatu bangsa atau budaya kepada Islam adalah merupakan suatu bentuk kezaliman. Malah Islam tidak boleh disangkutkan padanya sebarang bentuk rupa. Justeru menamakan “Tamadun Islam” atau “Muzium Kesenian Islam”, atau “Senibina Islam” adalah suatu bentuk penisbahan nama yang sedikit gelabah dan tergesa-gesa. Yang benar ialah “Tamadun Arab”, atau “Tamaddun Parsi”, “Tamadun Sepanyol/Andalusia”, “Tamadun Turki”, atau “Senibina Mooris”. Lalu aku dimintanya beberapa hujjah oleh beliau.

Sesungguhnya wajarlah kita mengetahui, bahawa apabila disebut Islam, maka lawannya hanya ada satu iaitu Kafir atau musyrik. Tak ada yang ketiga selepas Islam dan Kafir. begitu juga tatkala para pejuang islam berhaluan kiri yang kerjanya membangkang, ketika menerangkan jenis-jenis negara dari sisi agama; negara islam, negara kafir dan kemudian mereka munculkan satu lagi jenis iaitu negara umat islam. Ini suatu hal yang pelik! Kerana andainya begitu, harus wujud jenis ke 4 – negara umat kafir atau bahkan negara kafir. dan begitu juga harus wujud manusia Muslim, manusia Musyrik dan manusia yang Umat Musyrik! Justeru yang benar hanya ada dua, iaitu Islam atau Kafir.
Lalu kalau dikatakan “ini senibina Islam” maka yang tidak mempunyai ciri-ciri sebegitu adalah “senibina Kafir”? Kalau disebut “ini Muzium Kesenian Islam” maka yang tidak ada di sana adalah dipanggil sebagai “muzium kesenian Kafir”? Dan terus kita akan diingatkan dengan gagasan baru oleh tiga (3) buah negara untuk membina kereka Muslim, yang sesetengah orang berseloroh “kereta mu’min”. maka yang selama ini kita pakai adalah kereta kafir? Bukankah ini satu hal yang lucu. Setelah adanya produk berbentuk ubat gigi mu’min, perubatan Islam, universiti Islam, dan seumpamanya… makanya apakah yang disebaliknya yang tidak dinamakan dengan Islam atau mu’min itu adalah tidak mu’min atau tidak muslim dia-nya? Makanya, seraya dia dipanggil perubatan kafir, ubat gigi kafir, dan universiti kafir…
Cuba kita tanyakan pada para ahli hukum, apa yang Islam tunjukkan dalam seni dan apa yang dilarang? Pasti para Cendiakawan Hukum akan berkata bahawa Islam menggariskan beberapa perkara dalam seni dan menetapkan sedikit larangan, yang semuanya adalah harus. Hinggakan terwujud satu prinsip umum yang dibina oleh Ibn Taimiyyah: “Asal Adat adalah harus hingga didatangkannya dalil yang melarang”.Lalu apakah boleh kita katakan “ini seni islam” padahal Islam tak menyatakannya langsung! Malah Islam berlepas diri dari penaman sebegini.
Aku tanyakn lagi, apakah seni itu sebenarnya terbit dari bangsa Arab? atau setelah nubuwah (kenabian), yang mana Muhammad s.a.w mengubahnya menjadi suatu seni yang baru? Tetapi yang nyata baginda meneruskan seni rupa yang wujud dan menghapuskan beberapa seni yang dilarang. Kemudian apakah Rasul yang memasukkan seni kubah dan menara dalam pembinaan masid? Pastinya tidak. Kemudiannya tatkala Islam merembah ke China, sehingga kaum muslim di sana membina masjid dengan senibina budaya mereka, iaitu atap-nya genting, kubahnya menajam dan menipis, di cat pula dengan warna merah, apakah masjid itu bersenikan buddha? Kemudian penda’wah datang ke tanah kita dan mengislamkan raja-raja kita, dan kita mula bangunkan masjid dengan awan larat dan segala rupa budaya tukang kita, maka apakah yang kita bangunkan itu adalah seni Hindu-Melayu? Begitu juga saat kerajan Delhi membina Kota Agra, Taj Mahal dan banyak monumen lain yang bersenikan bangsa India, apkah boleh kita katakn semuanya adalah seni Hindu?
Lalu apakah boleh kita katakan semua ini? Pastinya tidak.
Rupanya bukan setakat itu saja kesalahan kita berhenti. Ketika kita meletakkan seni budaya Arab-Parsi sebagai “seni yang di-syahadahkan, dikhatankan dan di-Islamkan” maka kita telah menzalimi seluruh rupa seni yang ada di muka bumi ini dengan memberikan “kekafiran” tanpa sengaja dan tanpa sedar.
Ketika Islam membuka Turki, dan memasuki Hagya Sofia dan menukarnya dari Gereja kepada sebuah Masjid, mereka tak menukarpun seninya walau seinci, melainkan membuang tanda salib dan ciri-ciri keagaman Nasrani. Dan mereka terus beribadah di dalamnya sehingga zaman kegemilangan kerajan mereka malap. Begitu juga saat aku menekan-nekan bebutang di papan kekunci ini, apakah papan kekunci ini bersenikan kekafiran?
Begitu juga sesetengah para ulama kita yang berserban dan berjubah, kadang yang bertasbih itu akan memandang sinis pada seorang yang berkemeja dan berseluar jean. Kononnya kita telah memakia pakain yang tak bersopan, pakain bangsa kapir. Padahal ketika nubuwah, Rasul tak melucutkan jubahnya, tidak juga melurutkan serbannya, kerana jubah dan serban itu dipakai oleh pak ciknya si Abu Jahl, dan kerana jubah dan serban itu pakaian bangsa Quraisy yang musyrik. Tetapi beliau tetap memakainya sehingga rohnya dijemput Tuhan. Apakah Nabi telah memakai pakain kufur? Pasti tidak!
Begitu juga saat seorang mat saleh yang memeluk Islam di kota New York atau di kota London, apakah dia harus membuang segala pakaiannya dan menggantikannya dengan pakaian Arab? Dia harus menggantikan topinya dengan semutar dan ketayap? Rasanya tidak, malah perbuatan memakai pakaian pelik di kalangan masyarakat setempat adalah terlarang andai membawa fintah.
Sesungguhnya Islam tidak pernah memberi satu bentuk pakaian sahaja, yang diberi petunjuk hanyalah prinsip-prinsip berpakain, sehingga dengan itu seluruh umat Islam mendapat keluasan dan kesenangan dalam berbusana. Yang pasti, kita tidak seharusnya mencerca pakaian orang lain, malah adalah terlarang menghinakan pakaian Baginda.
Kemudian kesalahan kita makin membesar sehinggakan kita menamakan tamadun Arab dan Parsi itu sebagai Tamadun Islam. Tetapi kita berlaku curang dengan menamakan Tamadun Hindu dengan “Indus (merujuk nama tempat)”, tamadun Budha-Cunfusius dengan “Tamadun China (merujuk nama tempat)”, tamadun Nasrani dengan “Barat (merujuk nama tempat)”. Kenapa semua Tamadun-tamadun besar itu tidak dinisbahkan kepada nama agamanya sahaja?
Apa alasan kita untuk berbuat begitu? Aku masih ingat ketika aku mempersoalkan penaman ini kepada pensyarah aku. Dia (guru aku) menegaskan bahawa hanya Islam yang melahirkan Tamadun. Ini satu hal yang tak benar. Kalau kita suka meneliti, bahawa segala tamadun silam lahir dari semangat religous (kepercayaan), yang mereka semua ingin memenuhi kehendak tuhan lalu mereka bangunkan biara, mereka merenung bulan, membuat segala alat dan teknik serta tercipta segala ilmu.
Kemudiannya, kalaulah itu merupakan tamadun Islam, maka harus bagi setiap negara yang menjadi negara Islam memiliki teknologi dan ilmu yang serupa. Kalau tidak pun, yang hampir sama. Kerana kita telah menetapkan bahawa tamadun ini di bina atas tunjang Islam. Tetapi kelihatannya; ilmu, teknologi, alat, serta kehebatan itu hanya ada dalam ruang lingkup sesuatu kerajaan dan bangsa geografi sahaja. Justeru bagaimana mahu kita jelaskan kepada dunia akan kalimat “Tamadun Islam” dan penafian kepada tamaddun agama lain?
Justeru kalimat yang sebenarnya adalah Tamadun itu harus dinasabkan kepada kerajan yang tertegak, atau kepada bangsa yang membina tamadun itu semata-mata, tanpa harus di’bin’kan kepada sebarang penamaan agama.
Sesunguhnya mungkinkah para cerdik pandai kita telah bersikap gelojoh saat menisbah-namakan Islam kepada Kesenian dan Ketamadunan. Sehingga penaman itu tidak memiliki hujjah yang kuat dan mereka terpaksa berputar-putar untuk mengukuhkan kehujjahan mereka.
Kita tidak harus berasa malu kalau kita melepaskan nama “Islam” pada seni atau budaya atau tamadun. Kerana Islam tetap milik kita. Malah bangsa kita ini banyak sangat berkhayal hal-hal silam yang tidak memberi kita sebarang kemajuan dalam berfikir dan kemajuan kebendaan.
Tidak perlulah terlalu banyak alasan dalam sikap serta prinsip beragama. Sehingga mungkin kaum sufi yang menuhankan Jalaluddin Rumi akan berkata: Tarian kami ini adalah tarian Islami (seni Islam).
Yang kita harapkan ialah kita beragama dengan Islam yang suci malah tidak terkontaminasi (tercemar). Kita singkirkan khurafat-khurafatan dan tahyul-tahyulan. Kerana yang dinamakan Islam itu bermula dari lubuk aqidahnya…

Sebagai mengakhiri coretan ini, renungilah maksud kalam Allah ini:

Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. (ar-Ra’d 13: 11)

– Artikel ini diubahsuai dari artikel asal milik Saudara Radzi Osman oleh Nawawi.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Anonymous
    May 9, 2008 at 5:36 pm

    nak ubah artikel asal orang lain ni dapat kebenaran tak?

Comments are closed.