Anjuran Bertakbir Ketika Mendaki dan Bertasbih Ketika Menuruni Bukit Dalam Perjalanan

Anjuran Bertakbir Ketika Mendaki dan Bertasbih Ketika Menuruni Bukit Dalam Perjalanan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Dari hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:Semoga Safar kita menuju Syurga

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا، وَإِذَا نَزَلْنَا سَبَّحْنَا

“Apabila kami berjalan mendaki (menaik) maka kami bertakbir, dan jika kami melalui jalan menurun maka kami pun bertasbih.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2993)

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجُيُوشُهُ إِذَا عَلَوْا الثَّنَايَا كَبَّرُوا، وَإِذَا هَبَطُوا سَبَّحُوا

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan seluruh pasukan tenteranya apabila mendaki lereng bukit, mereka pun bertakbir. Manakala jika melalui jalan menurun, mereka pun bertasbih.” (Sunan Abi Dawud, no. 2599. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Pada hadis-hadis ini terkandung anjuran agar bertakbir ketika melalui jalan mendaki (atau menaik) dan bertasbih ketika melalui jalan menurun dalam perjalanan.

Dengan berdalilkan hadis-hadis ini, sebahagian ulama turut menganjurkan tatkala menaiki pesawat terbang agar bertakbir di kala pesawat tersebut sedang dalam posisi menaik ke udara dan bertasbih tatkala pesawat berada pada posisi menurun (yakni ketika sedang hendak mendarat).

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَفَلَ مِنْ غَزْوٍ أَوْ حَجٍّ أَوْ عُمْرَةٍ يُكَبِّرُ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ مِنَ الأَرْضِ ثَلاَثَ تَكْبِيرَاتٍ، ثُمَّ يَقُولُ: لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ. صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila beliau pulang dari peperangan (bersama pasukan tempurnya), atau ketika pulang dari haji atau ‘umrah, beliau akan bertakbir dengan tiga kali takbir di setiap kali melalui jalan yang mendaki atau menaik, kemudian beliau mengucapkan:

Tiada ilah (yang berhak diibadahi) kecuali Allah satu-satunya, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya-lah seluruh kerajaan, bagi-Nya-lah segala puji-pujian, dan adalah Dia maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kami kembali, kami bertaubat, dan kami mengabdi kepada Rabb kami yang kepada-Nya-lah kami memuji. Maha benar-lah janji-janji Allah, yang menolong hamba-hamba-Nya, dan yang menghancurkan sendiri kelompok-kelompok musuhnya.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6385. Muslim, no. 1344)

Dalam hadis ini terkandung contoh dan anjuran dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar bertakbir tiga kali tatkala melalui jalan mendaki dalam suatu perjalanan, dan anjuran agar berdoa dengan doa yang dipaparkan tatkala kembali dari safar (perjalanan) sama ada haji, ‘umrah, atau yang lainnya.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي، قَالَ: «عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ»، فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ، قَالَ: «اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ، وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

“Bahawa seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak melakukan safar (perjalanan), maka berikanlah wasiat (pesanan) untukku.”

Rasulullah pun bersabda:

“Hendaklah engkau sentiasa bertaqwa kepada Allah, dan bertakbirlah di setiap kali mendaki (atau melalui jalan yang menaik) dalam perjalanan.”

Ketika lelaki tersebut telah berpaling pergi, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Ya Allah, dekatkanlah untuknya jarak yang panjang, dan ringankanlah perjalanannya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3445. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

Pada hadis ini terkandung anjuran agar mendapatkan nasihat dan pesanan dari orang yang berilmu ketika berhasrat untuk melakukan safar (perjalanan jauh). Pada hadis ini juga terkandung contoh dan anjuran dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar mendoakan kemudahan untuk orang yang hendak safar.

Dari hadis Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَكُنَّا إِذَا أَشْرَفْنَا عَلَى وَادٍ، هَلَّلْنَا وَكَبَّرْنَا ارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُنَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا، إِنَّهُ مَعَكُمْ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ، تَبَارَكَ اسْمُهُ وَتَعَالَى جَدُّهُ

“Kami pernah bersama-sama Rasulullah dalam suatu safar (ekspedisi perjalanan), ketika kami mendaki (atau melalui jalan menaik), kami pun bertahlil dan bertakbir dengan suara yang keras. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Wahai manusia, rendahkanlah diri kalian, kerana kalian tidak menyeru kepada suatu yang pekak dan bukan pula kepada yang tiada, sesungguhnya Allah itu selalu bersama kalian dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat, Maha Berkah Nama-Nya dan Maha Tinggi Kemuliaan-Nya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2992. Muslim, no. 2704)

Hadis ini adalah dalil yang menunjukkan adab dalam berdzikir, yakni hendaklah berdzikir (bertakbir dan bertasbih ketika dalam perjalanan tersebut) dengan suara yang sederhana saja atau suara yang pertengahan, di mana tidak disukai berdzikir dengan suara yang lantang, keras, atau pun sampai menjerit-jerit.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

قال الطبري فِيهِ كَرَاهِيَة رَفْع الصَّوْت بِالدُّعَاءِ وَالذِّكْر، وَبِهِ قَالَ عَامَّة السَّلَف مِنْ الصَّحَابَة وَالتَّابِعِينَ اِنْتَهَى

“Ath-Thabari rahimahullah berkata, “Pada hadis ini menunjukkan dibencinya mengangkat suara tatkala berdoa dan dzikir.” Demikianlah umumnya yang dikatakan oleh para salaf dari kalangan sahabat dan tabi’in.” (Fathul Bari, 6/135)

Asy-Syaikh Faishal bin ‘Abdul ‘Aziz Al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

في هذا الحديث: النهي عن المبالغة في رفع الصوت بالذكر، لأنه سبحانه أقرب إلى الإنسان من حبل الوريد، وهو السميع البصير العليم الخبير. وأما الجهر بالذكر من غير مبالغة فهو مطلوب إذا أمن الرياء ولم يؤذ به نحو نائم أو مصلٍّ.

Pada hadis ini terkandung larangan dari berlebih-lebihan dalam mengangkat suara tatkala berdzikir, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala itu sangat dekat terhadap insan melebihi dekatnya salur-salur darah mereka, yakni di mana Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, lagi Maha Mengetahui dengan sangat mendalam (terhadap para hamba-Nya).

Adapun Al-Jahr (mengeraskan atau memperdengarkan) suara ketika berdzikir tanpa berlebih-lebihan, maka itu adalah dibolehkan jika memang aman dari rasa riya’ dan tidak mengganggu orang yang sedang tidur atau solat.” (Tathrizu Riyadhish Shalihin, m/s. 572)

Wallaahu a’lam.

syarah_riyadhus_shalihin_syaikh_utsaimin_2