098 – Beberapa Perkara Penting Dalam Persoalan Asas Iman

Beberapa Perkara Penting Dalam Persoalan Asas Iman

http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com

Iman itu adalah pengakuan dengan hati, ucapan (lisan), dan perbuatan (amalan).

1 – Bahawa seseorang yang mengakui iman dengan hati dan lidahnya, lalu dia tidak berbuat taat (dengan meninggalkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya), maka dia telah berbuat maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya, serta berhak diancam dosa.

2 – Amal perbuatan dengan keseluruhan jenis-jenisnya yang meliputi amalan hati dan amalan anggota badan adalah termasuk hakikat iman. Ahlus Sunnah tidak mengeluarkan amalan sekecil apa pun dari hakikat iman ini, apatah lagi amalan-amalan besar dan agung.

3 – Seseorang yang menyatakan bahawa amal perbuatan tidak termasuk ke dalam kategori iman, dan dia menyatakan bahawa iman itu berpisah dan berbeza dari amal-amal, lalu menyatakan bahawa iman seorang manusia tidak akan berubah walau pun tidak berbuat taat dan dalam keadaan bermaksiat, maka ini adalah suatu bentuk pemaksuman diri.

4 – Iman itu boleh bertambah, dengan amalan kebaikan (ketaatan). Dan iman itu berkurang dengan disebabkan perbuatan maksiat/dosa.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka.” (Surah al-Anfal, 8: 2)

“Supaya orang-orang yang diberi al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya.” (Surah al-Muddatsir, 74: 31)

“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung”.” (Surah ‘Ali Imran, 3: 173)

5 – Iman memiliki tingkatan-tingkatan serta cabang-cabangnya. Sebahagian di antaranya jika ditinggalkan, maka menjadikan seseorang itu kufur, sebahagian yang lain jika ditinggalkan, adalah dosa (sama ada kecil atau besar), dan sebahagian yang lain jika ditinggalkan akan menyebabkan hilangnya kesempatan memperolehi pahala dan menyia-nyiakan ganjaran.

6 – Ahlus Sunnah tidak mengkafirkan Ahlul Qiblat (kaum Muslimin) secara mutlak, dengan sebab perbuatan maksiat dan dosa besar yang mereka lakukan, sebagimana yang dilakukan (diyakini) oleh kaum Khawarij, malah persaudaraan iman mereka tetap terpelihara, walau pun berbuat maksiat.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Dan jika dua golongan dari orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.” (Surah al-Hujuraat, 49: 9)

7 – Ahlus Sunnah meyakini (beri’tiqad) bahawa orang Islam yang melakukan dosa besar atau fasiq tidak dihukumi kekal di dalam Neraka. Dengan kehendak Allah, orang yang mati dalam keadaan berdosa besar atau fasiq selagi mana dia masih bertauhid (tidak kafir/syirik), dengan kehendak Allah dia boleh dihukum ke Neraka dan dia tidak kekal di dalamnya, dan dengan Rahmat Allah, dia akan dimasukkan ke Syurga, setelah diampunkan dosa-dosanya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisaa’, 4: 48)

2 Comments

  1. Salam ziarah. Blog yang bermaklumat dan menarik.

    View Profile: Rantong™

  2. Salam ziarah.

    Di mana-mana sahaja kita berada, Allah sentiasa berada di atas (ar-rohman ala arsyistawa) sedang memerhatikan kita.Yang zahir dan yang batin sentiasa terlihat dalam pandangan-Nya.('alimul ghaibi wasy syahadah).

Comments are closed.