Kesepakatan Ulama Bahawa Rejam Termasuk Dalam Hudud
Bantahan Atas Kenyataan Dr. Mohd. Asri

www.ilmusunnah.com

Sekitar isu Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (mantan Mufti Perlis) Menafikan Rejam Sebahagian dari Hukum Had (hudud).

Dr. Asri Berkata:

“..adapun hukum rejam, ia telah menimbulkan pertikaian dalam kalangan sarjana mutakhir. Tokoh besar fekah Mesir Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah r.h menolak sama sekali hukuman ini dan menyifatkan undang-undang warisan Yahudi. Sementara yang keras mempertahankannya dan mengkafirkan sesiapa yang menolaknya. Hakikatnya undang-undang terdapat dalam hadis, cumanya apakah ia hudud atau takzir. Jika ia hudud bererti tidak boleh diubah. Jika ia takzir bererti terserah kepada pemerintah untuk melaksana atau tidak. Takzir juga boleh mengikut keperluan semasa. Al-Syeikh Mustafa az-Zarqa dan Dr Yusuf al-Qaradawi menganggapnya sebagai takzir.(lihat: Fatawa Mustafa az-Zarqa m/s 392-395. Damsyik: Dar al-Qalam/1420H). Pendapat saya, inilah pandangan yang paling munasabah di zaman kini. Banyak dalil yang membuktikan hukuman asal zina hanyalah sebat.”

Sumber: facebook beliau.

Berkaitan dengan perkara ini, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) mengatakan:

وقال بن بطال أجمع الصحابة وأئمة الأمصار على أن المحصن إذا زنى عامدا عالما مختارا فعليه الرجم ودفع ذلك الخوارج وبعض المعتزلة واعتلوا بأن الرجم لم يذكر في القرآن وحكاه بن العربي عن طائفة من أهل المغرب لقيهم وهم من بقايا الخوارج واحتج الجمهور بأن النبي صلى الله عليه و سلم رجم وكذلك الأئمة بعده ولذلك أشار علي رضي الله عنه بقوله في أول أحاديث الباب ورجمتها بسنة رسول الله صلى الله عليه و سلم وثبت في صحيح مسلم عن عبادة أن النبي صلى الله عليه و سلم قال خذوا عني قد جعل الله لهن سبيلا الثيب بالثيب الرجم وسيأتي في باب رجم

“Ibnu Baththal berkata, para sahabat dan para imam kota-kota besar telah ijma’ (bersepakat) bahawa orang-orang yang muhshan (yang telah berkahwin dan merasai jima’ yang sah) apabila ia berzina dengan sengaja, dengan kesedaran, atas kehendaknya sendiri (tanpa paksaan ke atasnya) maka dia dikenakan hukum rejam. Kelompok Khawarij dan sebahagian dari kelompok Mu’tazilah menolak perkara tersebut, dan mereka beralasan bahawa rejam itu tidak disebutkan dalam Al-Qur’an. Disebutkan perkara tersebut oleh Ibnul ‘Arabi dari sekelompok ahli (penduduk) Maghribi, ia pergi menemui mereka dan mereka termasuk sisa-sisa orang khawarij.

Jumhur ulama berhujjah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah merejam, demikian juga para imam setelahnya. Oleh sebab itulah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu mengisyaratkan dengan perkataannya pada awal bab ini, “… dan aku merejamnya dengan (berpandukan) sunnah Rasul Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Dan telah tsabit (ditetapkan secara sahih) dalam kitab Shahih Muslim daripada ‘Ubadah – bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Ambillah daripadaku apa yang telah Allah jadikan sebagai jalan penyelesaian untuk mereka (dalam kes zina), wanita yang telah berkahwin dengan lelaki yang telah berkahwin dihukum rejam..” dan ini akan dipaparkan dalam bab rejam..” (Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Ibnu Hajar, 12/118)

Adapun hadis tersebut adalah sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

خُذُوا عَنِّي قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلا الْبِكْرُ بِالْبِكْرِ جَلْدُ مِائَةٍ وَنَفْيُ سَنَةٍ وَالثَّيِّبُ بِالثَّيِّبِ جَلْدُ مِائَةٍ وَالرَّجْمُ

“Ambillah daripadaku apa yang telah Allah jadikan sebagai jalan penyelesaian untuk mereka (dalam kes zina), yang gadis (dara) dengan yang bujang disebat seratus kali dan dipisahkan selama setahun. Manakala lelaki yang berkahwin dengan wanita yang berkahwin disebat seratus kali kemudian direjam.” (Shahih Muslim, no. 1690. Bab: Hukuman had bagi yang berzina)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas, bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab pernah berkata tatkala duduk di atas mimbar Rasulullah:

إِنَّ اللهَ قَدْ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ، وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ، فَكَانَ مِمَّا أُنْزِلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ، قَرَأْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا، فَرَجَمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ، فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ: مَا نَجِدُ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللهِ فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللهُ، وَإِنَّ الرَّجْمَ فِي كِتَابِ اللهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أَحْصَنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ، إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ، أَوْ كَانَ الْحَبَلُ، أَوِ الِاعْتِرَافُ

“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan kebenaran dan menurunkan ke atasnya Al-Kitab, dan termasuk dari apa yang diturunkan atas beliau adalah ayat (pensyari’atan hukum) rejam, kami pernah membacanya, melihatnya dan memikirkannya. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menetapkannya, dan kami pun turut menerapkannya setelah beliau. Lalu aku bimbang jika nanti telah berlalu tempoh yang panjang akan ada orang yang mengatakan:

“Kami tidak menemui hukum rejam dalam Kitab Allah.”

Maka mereka akan tersesat dengan meninggalkan salah satu kewajiban yang telah diturunkan oleh Allah. Sesungguhnya hukum rejam di dalam Kitab Allah adalah haq (benar adanya) untuk dikenakan ke atas penzina yang muhshan dari lelaki mahupun wanita, apabila telah ditegakkan bayyinah, atau diketahui dari kehamilan, ataupun melalui pengakuan.” (Shahih Muslim, no. 1691)

Mengakui hukum rejam termasuk dalam hukum had adalah merupakan sebahagian dari pegangan ahlus sunnah wal-jama’ah. Dan tidaklah yang mengingkari hal ini melainkan dari kalangan ahli bid’ah khasnya kaum khawarij dan mu’tazilah. Atas sebab itulah para ulama ahlus sunnah telah menegaskan hal ini dalam kitab-kitab aqidah mereka dalam rangka membezakan pegangan ahlus sunnah wal-jama’ah dari kelompok ahli bid’ah.

Antaranya Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H), beliau menegaskan:

“(Termasuk) Ushul as-Sunnah (Prinsip-prinsip Ahlus Sunnah) di sisi kami adalah (mengakui bahawa):

وَالرَّجْمُ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَا وَقَدْ أُحْصِنَ إِذَا اعْتَرَفَ أَوْ قَامَتْ عَلَيْهِ بَيِّنَةٌ ، وَقَدْ رَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَقَدْ رَجَمَتِ الْأَئِمَّةُ الرَّاشِدُونَ.

“Hukum rejam adalah haq (benar) terhadap sesiapa sahaja yang berzina sedangkan dia dalam ikatan pernikahan (muhshan), jika dia mengaku sendiri, atau ada bukti atasnya, sungguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melaksanakan hukum rejam, demikian pula para Kulafa’ur-Rasyidin.” (Syarh Ushul I’tiqad Ahlis Sunnah wal-Jama’ah oleh Al-Laalakaa’i, 1/176-185 – Daar Thoyyibah, Cet. 1 (1426H), Riyadh)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest