Wanita Yang Dianjurkan Untuk Dinikahi

Wanita Yang Dianjurkan Untuk Dinikahi

Abu Suhayl
www.ilmusunnah.com

mencari-yang-terbaikIsteri yang membahagiakan suami merupakan idaman dan dambaan setiap lelaki. Dari itu, mencari isteri yang baik bukanlah suatu hal yang harus dipandang enteng. Bahkan ia termasuk hal yang sangat penting untuk diperhatikan seandainya seorang lelaki itu benar-benar berhajat untuk membina sebuah keluarga yang ideal. Kerana isteri adalah teman, dia adalah orang kepercayaan, dan dialah bakal ibu kepada anak-anaknya.

Seandainya dia memilih isteri yang benar sebagaimana dianjurkan oleh agama, nescaya perjalanan hidupnya akan menjadi lebih mudah.

Tetapi seandainya tersalah dalam memilih isteri, mungkin kehidupannya tidak akan menyenangkan, bahkan akan membuatnya menjadi sengsara dan membuahkan penyesalan.

Di dalam sebahagian dalil-dalil terdapat penjelasan tentang karektor wanita yang dianjurkan untuk dinikahi sebagai isteri. Di antaranya adalah wanita yang telah bersedia untuk menikah, baik agamanya, menjaga kehormatannya, memiliki sifat penyayang, memiliki kesungguhan untuk menjadikan suaminya mencintai dirinya, disenangi oleh suami, dan mampu menjaga hak-hak suaminya.

Apabila wanita tersebut telah memiliki sifat-sifat seperti itu, maka nescaya dia akan disenangi oleh suaminya, menjadikan rumah-tangganya tenang dan damai, serta menjadi sebab turunnya kecintaan, kebahagiaan dan kasih-sayang.

Wanita yang penyayang akan sentiasa memperbaiki dan menghiasi dirinya dengan sesuatu yang disenangi oleh suaminya dalam rangka menggapai keredhaan Allah. Dia akan sentiasa berusaha dalam rangka memperbaiki kehidupan keluarganya, suaminya, dan anak-anaknya.

Sebagaimana lelaki dianjurkan untuk mencari wanita yang penyayang, maka demikian pula lelaki dituntut untuk bersifat penyayang. Kerana kecintaan tidak akan terjalin dengan baik jika hanya berlangsung pada sebelah pihak, sebaliknya perlu didukung oleh setiap pihak suami dan isteri agar manfaat, faedah dan kelangsungan pernikahan menjadi sempurna.

Dan tidaklah mungkin seorang wanita sentiasa bersemangat untuk menyandang sifat-sifat tersebut melainkan dia seorang wanita yang baik jasmaninya, keturunannya, baik lingkungan pergaulannya, tumbuh dari keluarga yang baik-baik, berilmu, dan mendapat dukungan yang baik dari si suami.

Maka pada tulisan ini, kami akan berusaha untuk memaparkan beberapa karektor yang berkaitan dengannya semoga ianya bermanfaat dan menjadi pedoman buat para pemuda khasnya, dan kaum hawa umumnya. Semua karektor yang disebutkan sebagaimana dalam dalil-dalil dipaparkan ini sangat memberi kesan dan pengaruh terhadap kehidupan berumah-tangga, terhadap anak-anak, pendidikannya, sikap tatkala dilanda ujian dan musibah, dan dalam menentukan hala tuju sesebuah pernikahan itu sendiri.

Pernikahan Adalah Ibadah dan Sunnah Para Nabi

Pernikahan merupakan ajaran yang sangat dianjurkan dalam Islam dan memiliki banyak sekali keutamaan. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menyebutkan bahawa pernikahan adalah sunnah para Nabi.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum kamu, dan Kami telah berikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 38)

Di ayat yang lain Allah berifirman:

وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا

“Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya.” (Surah Al-A’raaf, 7: 189)

Demikian pula dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau telah menikah dan beliau juga telah menganjurkan kepada umatnya agar menikah. Dalam banyak hadis-hadis menjelaskan keutamaan nikah yang sangat banyak. Di antaranya nikah adalah sedekah, nikah adalah ibadah, nikah membuahkan kebahagiaan, nikah menjadi sebab berkembangnya generasi manusia, nikah adalah wasilah syar’i dalam mengawal naluri syahwat, nikah membantu untuk menundukkan pandangan, nikah menjaga kehormatan, nikah menjadi sebab turunnya rezeki dan keberkahan, nikah menjadi wasilah dalam menyebarkan agama, dan nikah dapat membuahkan ketenangan.

Namun semua ini tidak akan dapat dicapai kecuali jika nikah dilaksanakan secara syar’i dan disikapi dengan jalan agama yang benar. Di antaranya adalah dengan mempersiapkan diri untuk hal tersebut dan memilih calon isteri sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Wanita Yang Menyenangkan dan Membahagiakan Bila Dipandang

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:harta yang baik untuk disimpan

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kalian rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum, 30: 21)

Pada ayat ini terkandung makna bahawa dijadikan pernikahan itu untuk kebahagiaan, ketenangan, dan kasih-sayang secara syar’i. Maka, padanya terkandung anjuran agar memilih pasangan yang dapat merealisasikan hal tersebut.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ ؟ قَالَ: الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِيمَا يَكْرَهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

“Ditanyakan kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, siapa yang disebutkan sebagai wanita yang baik?”

Maka Rasulullah pun bersabda:

“Yakni yang menyenangkan suami apabila dipandang, mentaati suami apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suami dengan sesuatu yang tidak disukainya pada dirinya serta hartanya.” (Musnad Ahmad, no. 7421, 9586, 9658. Sunan An-Nasaa’i, no. 3231)

Disebutkan dalam Sunan At-Tirmidzi, bahawa Al-Mughirah bin Syu’bah melamar seorang wanita, maka Nabi pun bersabda kepadanya:

انْظُرْ إِلَيْهَا، فَإِنَّهُ أَحْرَى أَنْ يُؤْدَمَ بَيْنَكُمَا

“Lihatlah kepadanya (wanita yang dilamar), kerana itu akan membuatkan rasa saling menyukai di antara kalian berdua.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1087)

Dari sisi ini terkandung faedah untuk memilih wanita yang menyenangkan apabila dipandang; sama ada disenangi kerana kecantikannya, baiknya akhlak, kerana baik keislamannya, atau seumpamanya.

Kecantikan termasuk dalam makna ini, kerana kecantikan adalah suatu yang menyenangkan dan disukai setiap orang. Kecantikan juga adalah antara faktor yang mampu mendorong untuk menundukkan pandangan kepada selainnya, sekaligus membantu dalam menjaga kehormatan dan mendatangkan kebahagiaan yang termasuk dalam maksud pernikahan itu sendiri.

Kata Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):

وَيَخْتَارُ الْجَمِيلَةَ؛ لِأَنَّهَا أَسْكَنُ لِنَفْسِهِ، وَأَغَضُّ لِبَصَرِهِ، وَأَكْمَلُ لِمَوَدَّتِهِ، وَلِذَلِكَ شُرِعَ النَّظَرُ قَبْلَ النِّكَاحِ

“Hendaklah dia memilih wanita yang cantik agar hatinya lebih tenteram dan lebih mampu untuk menundukkan pandangannya serta menjadikan kecintaan kepadanya lebih sempurna.

Atas sebab itulah disyari’atkan nazhar (melihat calon isteri) sebelum menikahinya.” (Al-Mughni, 15/94)

Namun, kecantikan bukanlah suatu yang objektif, sebaliknya ia bersifat subjektif atau relatif. Setiap orang memiliki pandangan tersendiri dan saling berbeza-beza tentang makna kecantikan atau terhadap suatu yang membuatnya senang dan bahagia.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَا

“Maka, nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi.” (Surah An-Nisaa’, 4: 3)

Wanita Yang Solehah (Beragama)

Seorang lelaki yang hendak menikah, seharusnya dia mencari wanita yang solehah, demikian pula wanita dia juga perlu memilih lelaki yang soleh. Ini kerana faktor baik atau tidaknya agama sangat memberi pengaruh dalam mengharungi kehidupan seharian; sama ada dalam menjaga hak (yakni hak Allah dan suami), pengurusan keluarga, kebijaksanaan dalam mengawal keadaan, pendidikan anak-anak, dan sikap tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:syurga isteri

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

“… Maka perempuan-perempuan yang solehah adalah mereka yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan menjaga diri (kehormatan) ketika suaminya tidak ada, dengan apa yang Allah telah menjaganya…” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Al-Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H) menjelaskan:

فالصالحات”، المستقيمات الدين، العاملات بالخير

“Wanita-wanita yang solehah adalah yang istiqamah di atas agama, dikenal dengan kebaikan.” (Tafsir Ath-Thabari, 8/293)

Beliau juga mengatakan:

وقوله:”قانتات”، يعني: مطيعات لله ولأزواجهن

“Firman Allah (قانتات); yakni yang taat kepada Allah dan kepada suaminya.” (Tafsir Ath-Thabari, 8/294)

Kata Ibnu ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma dan selainnya sebagaimana dalam Tafsir Ibn Katsir:

{ قانِتَاتٌ } قال ابن عباس وغير واحد: يعني مطيعات لأزواجهن

“Yakni yang taat kepada suaminya.” (Tafsir Ibn Katsir, 2/293. Tafsir Ath-Thabari, 8/294-295)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

“Dunia adalah harta perhiasan, dan sebaik-baik harta perhiasan dunia adalah isteri yang solehah.” (Shahih Muslim, no. 1467)

Dalam Sunan Ibn Majah:

إِنَّمَا الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَلَيْسَ مِنْ مَتَاعِ الدُّنْيَا شَيْءٌ أَفْضَلَ مِنَ الْمَرْأَةِ الصَّالِحَةِ

“Sesungguhnya dunia adalah harta perhiasan, dan tidak ada dari suatu perhiasan yang lebih utama berbanding isteri yang solehah.” (Sunan Ibn Majah, no. 1855)

Dari hadis Sa’d bin Abi Waqqash, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ ثَلاثَةٌ، وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ ثَلاثَةٌ، مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ: الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الصَّالِحُ، وَمِنْ شِقْوَةِ ابْنِ آدَمَ: الْمَرْأَةُ السُّوءُ، وَالْمَسْكَنُ السُّوءُ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

“Dari kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, dan dari sebab ketidak-bahagiaan anak Adam itu juga ada tiga. Dari tiga kebahagian itu adalah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik, dan kenderaan yang baik. Manakala dari tiga sebab ketidak-bahagiaan anak Adam itu adalah isteri yang buruk, tempat tinggal yang tidak elok, dan kenderaan yang tidak elok.” (Musnad Ahmad no. 1445)

Manakala dalam riwayat Ibn Hibban:

أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ: الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ: الْجَارُ السُّوءُ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

“Empat perkara dari kebahagiaan; (adalah) isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran-tetangga yang soleh, dan kenderaan yang selesa. Manakala empat faktor ke-tidak bahagiaan; (adalah) jiran tetangga yang buruk, isteri yang buruk, tempat tinggal yang sempit, dan kenderaan yang tidak elok.” (Shahih Ibn Hibban, no. 4032)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تُنْكَحُ المَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ: لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ، تَرِبَتْ يَدَاكَ

“Seorang perempuan itu dinikahi kerana empat perkara; (yakni) kerana hartanya, keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau mengutamakan (memastikan) agamanya (yakni yang baik keislamannya) nescaya engkau beruntung.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5090. Muslim, no. 1466)

Hadis ini menjelaskan sisi kebiasaan dalam memilih isteri, dan pentingnya untuk memastikan empat kriteria tersebut. Disebutkan (dari sebahagian ulama) tentang sisi hartanya, kerana agar dia tidak memberatkan suaminya dalam hal harta dan sentiasa bersederhana dalam keperluannya. Disebut sisi keturunannya antaranya agar dipastikan dari keturunan yang sihat, subur (dapat melahirkan zuriat), dan dari lingkungan yang baik. Disebut sisi kecantikan, agar dipastikan dia adalah isteri yang enak dipandang dan menenangkan suami ketika memandang kepadanya.

Adapun yang terakhir dari itu semua, di samping sisi hartanya, baik keturunannya, dan kecantikannya, kebaikan agamanya adalah yang paling penting untuk dipastikan dan menjadi keutamaan.

Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) berkata:

إذَا خَطَبَ رَجُلٌ امْرَأَةً سَأَلَ عَنْ جَمَالِهَا أَوَّلًا، فَإِنْ حُمِدَ، سَأَلَ عَنْ دِينِهَا. فَإِنْ حُمِدَ: تَزَوَّجَ، وَإِنْ لَمْ يُحْمَدْ : يَكُونُ رَدُّهُ لِأَجْلِ الدِّينِ. وَلَا يَسْأَلُ أَوَّلًا عَنْ الدِّينِ، فَإِنْ حُمِدَ سَأَلَ عَنْ الْجَمَالِ. فَإِنْ لَمْ يُحْمَدْ رَدَّهَا، فَيَكُونُ رَدُّهُ لِلْجَمَالِ لَا لِلدِّينِ.

“Jika seorang lelaki hendak melamar seorang perempuan, hendaknya dia terlebih dahulu bertanya tentang kecantikannya. Jika dia cantik, barulah kemudian dia bertanya tentang agamanya. Jika baik (agamanya) maka hendaklah dia menikahinya, jika buruk (yakni tidak menikahinya dengan sebab itu), bererti dia menolak perempuan tersebut kerana alasan agama.

Dan janganlah seseorang menanyakan agamanya terlebih dahulu. Jika baik agamanya, diapun bertanya tentang kecantikannya, jika tidak cantik, dia pun menolaknya (kerana alasan kecantikan). Maka dia telah menolak dari menikahinya kerana alasan kecantikan, bukan kerana permasalahan agama.” (Al-Inshaaf, 12/206. Syarh Muntaha Al-Iradat, 2/621)

Dari hadis Abu Umamah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللَّهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

“Tidaklah seorang mukmin mendapat sesuatu kebaikan setelah ketaqwaan kepada Allah melebihi isteri yang solehah. Jika dia memerintahnya, maka dia pun taat, jika dia memandang kepadanya akan rasa senang, jika dia bersumpah (berjanji) untuk melakukan sesuatu maka dia melaksanakannya, dan jika si suami tidak di rumah dia tetap menjaga dirinya (menjaga kehormatannya dan menghindar dari hal-hal yang tidak disukai suami), dan dia menjaga harta suaminya.” (Sunan Ibn Majah, no. 1857. Dinilai dha’if oleh Al-Albani)

Sehingga sebahagian ulama mengungkapkan:

وقيد بالصالحة إيذانا بأنها شر المتاع لو لم تكن صالحة

“Disebutkan wanita yang solehah dalam hadis-hadis adalah sebagai bentuk yang mengkhabarkan bahawa wanita adalah seburuk-buruk harta yang ada di dunia ini jika dia tidak solehah (walau secantik apapun ia – pent.).” (Faidh Al-Qadir, 3/733)

Dari hadis Tsauban, beliau bertanya kepada Rasulullah:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيَّ الْمَالِ نَتَّخِذُ؟ فَقَالَ: لِيَتَّخِذْ أَحَدُكُمْ قَلْبًا شَاكِرًا، وَلِسَانًا ذَاكِرًا، وَزَوْجَةً مُؤْمِنَةً، تُعِينُ أَحَدَكُمْ عَلَى أَمْرِ الْآخِرَةِ

“Wahai Rasulullah, apakah harta yang harus kami miliki?”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Hendaklah setiap kalian memiliki hati yang bersyukur, lisan yang selalu berdzikir, dan isteri yang beriman yang dapat membantu setiap kalian untuk urusan akhirat kalian.” (Musnad Ahmad, no. 22437. Sunan Ibn Majah, no. 1856)

Al-Imam Al-Qadhi Abu Bakr Ibn Al-‘Arabi rahimahullah (Wafat: 543H) menyebutkan:

وَإِذَا لَمْ يَبْعَثْ اللَّهُ سُبْحَانَهُ لِلرَّجُلِ زَوْجَةً صَالِحَةً وَعَبْدًا مُسْتَقِيمًا فَإِنَّهُ لَا يَسْتَقِيمُ أَمْرُهُ مَعَهُمَا إلَّا بِذَهَابِ جُزْءٍ مِنْ دِينِهِ، وَذَلِكَ مُشَاهَدٌ مَعْلُومٌ بِالتَّجْرِبَةِ

“Jika Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan kepada seorang lelaki isteri yang solehah dan hamba yang istiqomah (di atas agama yang haq), maka dia tidak akan menjalani urusan kehidupannya dengan baik bersamanya kecuali dengan mengorbankan (membiarkan pergi) sebahagian dari agamanya, dan demikianlah yang telah disaksikan lagi dimaklumi berdasarkan pengalaman.” (Ahkam Al-Qur’an oleh Ibn Al-‘Arabi, 1/536)

Yang Taat Kepada Suami

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

“… Maka perempuan-perempuan yang solehah adalah mereka yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan menjaga diri (kehormatannya) ketika suaminya tidak ada, dengan apa yang Allah telah menjaganya…” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di rahimahullah (Wafat: 1376H) berkata:

ووظيفتها: القيام بطاعة ربها وطاعة زوجها فلهذا قال: { فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ } أي: مطيعات لله تعالى { حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ } أي: مطيعات لأزواجهن حتى في الغيب تحفظ بعلها بنفسها وماله، وذلك بحفظ الله لهن وتوفيقه لهن، لا من أنفسهن، فإن النفس أمارة بالسوء، ولكن من توكل على الله كفاه ما أهمه من أمر دينه ودنياه.

Adapun tugas wanita adalah melaksanakan ketaatan kepada Rabb-nya dan ketaatan kepada suaminya. Maka atas itulah Allah berfirman:

“… Maka perempuan-perempuan yang solehah adalah mereka yang taat…”

Yakni yang taat kepada Allah Ta’ala.

(dan) “…menjaga diri (kehormatan) ketika suaminya tidak ada…”

Yakni taat kepada suaminya walaupun ketika suaminya tidak ada bersamanya dengan cara menjaga dirinya hanya untuk suaminya dan juga menjaga hartanya. Hal tersebut dilaksanakan dengan bentuk penjagaan Allah baginya dan taufiq untuknya (yakni dengan cara dia tetap berpegang kepada agama Allah), dan bukannya dari cara diri mereka sendiri, kerana sesungguhnya nafsu itu selalu memerintahkan kepada keburukan. Akan tetapi sesiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya cukuplah baginya perkara yang dibimbanginya dari urusan dunianya mahupun agamanya.” (Tafsir As-Sid’i, 1/177)terima-kekurangan-isteri

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ ؟ قَالَ: ” الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِيمَا يَكْرَهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

“Ditanyakan kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, siapa yang disebutkan sebagai wanita yang baik?”

Maka Rasulullah pun bersabda:

“Yakni yang menyenangkan suami apabila dipandang, mentaati suami apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suami dengan sesuatu yang tidak disukainya pada dirinya serta hartanya.” (Musnad Ahmad, no. 7421, 9586, 9658. Sunan An-Nasaa’i, no. 3231)

‘Abdullah bin ‘Amru radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِالثَّلَاثِ الْفَوَاقِرِ؟» قَالَ: وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «إِمَامٌ جَائِرٌ، إِنْ أَحْسَنْتَ لَمْ يَشْكُرْ، وَإِنْ أَسَأْتَ لَمْ يَغْفِرْ، وَجَارُ سُوءٍ إِنْ رَأَى حَسَنَةً غَطَّاهَا، وَإِنْ رَأَى سَيِّئَةً أَفْشَاهَا، وَامْرَأَةُ السُّوءِ إِنْ شَهِدْتَهَا غَاضَبَتْكَ، وَإِنْ غِبْتَ عَنْهَا خَانَتْكَ

“Mahukah kalian aku khabarkan tentang tiga jenis manusia yang celaka:

(Orang-orang berkata), “Siapakah mereka?”

Jawab ‘Abdullah bin ‘Amru:

“(Yakni) pemerintah yang zalim, bila engkau berbuat baik kepadanya dia tidak berterima kasih, jika engkau berbuat salah dia enggan memaafkan.

Jiran-tetangga yang buruk, jika dia melihat kebaikan padamu dia tutup-tutupi, tetapi jika dia melihat keburukan padamu dia menyebarkannya.

Isteri yang buruk tabiatnya, jika engkau berada di sisinya dia membuatmu gusar (tidak senang), tetapi bila engkau tidak berada di sisinya dia berkhianat pula.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 17145)

Yang Mejaga Kehormatan Dirinya dan Hak Suaminya

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

حِلٌّ لَهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

“Dan dihalalkan menikahi wanita yang menjaga kehormatan dari wanita-wanita yang beriman dan wanita yang menjaga kehormatan dari wanita-wanita Ahli Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mahar mereka dengan maksud menikahinya, bukan dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya sebagai kekasih simpanan.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 5)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ

“… Maka perempuan-perempuan yang solehah adalah mereka yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan menjaga diri (kehormatannya) ketika suaminya tidak ada, dengan apa yang Allah telah menjaganya…” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ خَيْرِ النِّسَاءِ قَالَ: «الَّتِي تُطِيعُ إِذَا أَمَرَ، وَتَسُرُّ إِذَا نَظَرَ، وَتَحْفَظُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah ditanya tentang sifat wanita yang baik. Maka beliau pun bersabda:

“Yakni yang taat bila diperintah, menyenangkan bila dipandang, dan menjaga dirinya (kehormatannya) dan harta suaminya.” (Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 8912)untuk yang sudah punya isteri

Dari hadis ‘Abdurrahman bin ‘Auf radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

“Apabila seorang wanita telah mendirikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (atau kemaluannya), serta mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah engkau ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang engkau mahu.”.” (Musnad Ahmad, no. 1661. Ath-Thabrani, Al-Mu’jam Al-Ausath, no. 4598, 8805. Shahih Ibnu Hibban, no. 4163. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَلاَ تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ، وَمَا أَنْفَقَتْ مِنْ نَفَقَةٍ عَنْ غَيْرِ أَمْرِهِ فَإِنَّهُ يُؤَدَّى إِلَيْهِ شَطْرُهُ

“Tidak halal bagi seorang isteri untuk berpuasa (yakni puasa sunnah) ketika suaminya hadir melainkan dengan izinnya, tidak boleh seorang isteri mengizinkan orang lain masuk ke rumahnya melainkan dengan izin suaminya, dan jika dia menafkahkan sesuatu tanpa ada perintah dari suaminya, maka suaminya akan mendapat sebahagian (atau setengah) pahalanya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5195. Muslim, no. 1026)

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلَّا فِي شَعْبَانَ»، الشُّغْلُ مِنَ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bahawa dahulu aku memiliki hutang puasa Ramadhan, sementara aku tidak mampu mengqadha’nya melainkan setelah masuk bulan Sya’ban, kerana aku sibuk melayani (memenuhi keperluan) Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1950)

Demikianlah ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha sebagai teladan isteri yang solehah, beliau sentiasa memberikan layanan dan khidmat sebaik mungkin untuk suaminya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Atas alasan kehormatan tersebut, maka syari’at ini telah mengharamkan lelaki dari menikahi wanita-wanita yang tidak menjaga kehormatan dan kesucian dirinya, khasnya dari kalangan penzina atau pelacur. Dan demikian pula sebaliknya, wanita beriman lagi menjaga kehormatannya tidak dibolehkan menerima lamaran lelaki yang penzina.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الزَّانِي لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

“Lelaki penzina tidak dinikahi melainkan oleh perempuan penzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dinikahi melainkan oleh lelaki yang penzina atau lelaki musyrik, dan yang demikian itu (lelaki atau perempuan penzina) diharamkan atas orang-orang yang mukmin.” (Surah An-Nuur, 24: 3)

Kecuali bagi mereka yang telah benar-benar bertaubat dari zinanya dan dia telah meninggalkannya.

Wanita Yang Subur Yang Dapat Melahirkan Zuriat

Ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan sifat-sifat ‘Ibadurrohman, Dia berfirman:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Dan orang-orang yang berkata, “Wahai Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati (kami), dan jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Al-Furqan, 25: 74)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman tentang Nabi Zakariyya ‘alaihis Salam:

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا (2) إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا (3) قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا (4) وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا (5) يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ آلِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

“(Yang dibacakan ini adalah) penjelasan tentang rahmat Rabb-mu kepada hamba-Nya, Zakariyya. “Iaitu ketika dia berdoa kepada Rabb-nya dengan suara yang lembut:

“Sungguh tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, namun aku belum pernah putus-asa dan kecewa dalam berdoa kepada-Mu, wahai Rabb-ku. Dan sungguhnya aku bimbang terhadap mawaliku (waris keturunanku) sepeninggalku, sedang isteriku pula seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi-Mu seorang cahaya mata, yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya’qub. Jadikanlah pula dia, wahai Rabb-ku, seorang yang diredhai.” Surah Maryam, 19: 2-6)

Dari hadis Ma’qil bin Yasaar, beliau berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: «لَا» ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ

“Telah datang seorang pemuda kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu lelaki itu berkata:

“Aku telah menemukan seorang wanita yang cantik dan memiliki kedudukan yang tinggi, tetapi dia mandul (tidak boleh hamil). Adakah aku boleh menikahinya?”

Nabi bersabda, “Jangan.” Lalu pemuda tersebut datang menemui Nabi untuk kali kedua, tetapi Nabi tetap melarangnya. Kemudian dia datang lagi untuk kali ketiganya.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

“Nikahilah wanita-wanita yang penyayang lagi subur (sihat dan mampu melahirkan zuriat dengan baik), kerana aku akan membanggakan jumlah kalian di hadapan umat-umat yang lain (pada hari Kiamat).” (Sunan Abi Dawud, no. 2050. An-Nasaa’i, no. 3227)

Dari hadis Ibn ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِنِسَائِكُمْ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ؟ الْوَدُودُ، الْوَلُودُ، الْعَؤُودُ عَلَى زَوْجِهَا، الَّتِي إِذَا آذَتْ أَوْ أُوذِيَتْ، جَاءَتْ حَتَّى تَأْخُذَ بَيْدَ زَوْجِهَا، ثُمَّ تَقُولُ وَاللهِ لَا أَذُوقُ غُمْضًا حَتَّى تَرْضَى

“Mahukah aku khabarkan kepada kalian dengan isteri-isteri kalian dari kalangan ahli jannah? Iaitu isteri yang penuh kasih-sayang, subur lagi bermanfaat ke atas suaminya. Di mana jika suaminya terluka atau marah, dia datang mendapatkan tangan suaminya kemudian berkata, “Wallaahi, aku tidak mampu tidur sehingga engkau redha.”.” (Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 9094)

Manakala dalam riwayat lain sebagaimana dikemukakan oleh Syaikh Al-Albani rahimahullah di Ash-Shahihah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ونِسَاؤكُمْ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ: اَلْوَدُوْدُ الْوَلُوْدُ الْعَؤُوْدُ عَلَى زَوْجِهَا، الَّتِى إِذَا غَضِبَ جَاءَتْ حَتَّى تَضَعَ يَدَهَا فِي يَدِ زَوْجِهَا، وَتَقُوْلُ: لاَ أَذُوقُ غَضْمًا حَتَّى تَرْضَى

“Dan isteri-isteri kalian dari kalangan ahli jannah: adalah isteri yang penuh kasih-sayang, subur lagi bermanfaat ke atas suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia datang (kepada suaminya) hingga dia meletakkan tangannya pada tangan suaminya sambil berkata, “Aku tidak dapat tidur (tidak tenang) sampailah engkau redha.”.” (Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 287)

Dari dalil-dalil ini terkandung penjelasan agar memilih wanita-wanita yang subur, yakni yang sihat dan mampu melahirkan zuriat lagi penyayang terhadap anak-anak dan keluarganya. Sebagaimana dalam hadis yang telah disebutkan, wanita ketika hendak dinikahi maka dilihat juga sisi asal keturunannya dalam rangka memastikan perkara ini, yakni memiliki kesihatan dan kemampuan untuk melahirkan.

Dan ini termasuk salah satu dari tujuan pernikahan itu sendiri, yakni untuk mendapatkan zuriat (keturunan) dengan jalan yang syar’i selain termasuk salah satu bentuk dari kebahagian.

Sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi sholeh adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabb-mu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” (Surah Al-Kahfi, 18: 46)

Wanita Yang Penyayang

Di samping itu, dianjurkan memilih wanita yang penyayang, di mana ini semua termasuk hal-hal yang membuatkan hati tenteram, mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan, menyejukkan mata yang memandang, dan memberi pengaruh yang baik dalam pengurusan dan pendidikan anak-anak.

Sebagaimana hadis dari Ma’qil bin Yasaar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

“Nikahilah wanita-wanita yang penyayang lagi subur (sihat dan mampu melahirkan zuriat dengan baik), kerana aku akan membanggakan jumlah kalian di hadapan umat-umat yang lain (pada hari Kiamat).” (Sunan Abi Dawud, no. 2050. An-Nasaa’i, no. 3227)

Juga dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الإِبِلَ صَالِحُ نِسَاءِ قُرَيْشٍ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ، وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ

“Sebaik-baik wanita penunggang unta adalah wanita Qurasiy yang soleh, mereka adalah wanita yang penyayang terhadap anak kecil, dan yang paling menjaga hak serta harta suaminya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5082)

Wanita Yang Tahu Mensyukuri Suami

Bersyukur adalah sebahagian dari karektor hamba-hamba Allah yang mulia. Namun orang-orang yang bersyukur sangatlah sedikit, sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

“ … Sedikit dari hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, 34: 13)

Dan bagi mereka yang bersyukur, akan menjadi sebab turunnya rezeki dari Allah.

Allah berfirman:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Rabb-mu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya adzab-Ku sangatlah berat.”.” (Surah Ibrahim, 13: 7)

Setiap hamba diperintahkan agar bersyukur, termasuklah isteri di mana isteri diperintahkan untuk bersyukur kepada suaminya yang telah memberikannya nafkah zahir dan batin kepadanya. Kerana dengan syukurnya isteri kepada suaminya dan tidak banyak meminta itu dan ini (yakni mudah untuk merasa cukup dengan yang sederhana), maka dari sini akan menjadi sebab kebahagiaan dalam pernikahan, malah akan menjadi sebab turunnya rezeki dari Allah.

Manakala isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya dan banyak meminta yang bukan-bukan merupakan tanda tidak baiknya seorang isteri dan tanda tidak merasa cukup dengan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya; sehingga ini mampu menjadi sebab hilangnya kebahagiaan, keberkahan dan terangkatnya rezeki dari Allah.

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَنْظُرُ اللهُ إِلَى امْرَأَةٍ لَا تَشْكَرُ لِزَوْجِهَا وَهِيَ لَا تَسْتَغْنِي عَنْهُ

“Allah tidak melihat kepada isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya, sedang dia pula selalu tidak merasa cukup (meminta itu dan ini).” (Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 9086, 9087. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 2771, 7336)

Dari hadis Ibn ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُرِيْتُ النَّارَ، فَإِذَا أَكْثَرُ أَهْلِهَا النِّسَاءُ، يَكْفُرْنَ. قِيْلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ يَكْفُرْنَ الْعَشِيْرَ، وَيَكْفُرْنَ اْلإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئاً، قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ.

“Diperlihatkan Neraka kepadaku dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, mereka kufur.”

Para Shahabat bertanya:

“Adakah disebabkan kufurnya mereka kepada Allah?” Rasulullah menjawab:

“(Tidak), mereka kufur kepada suaminya dan mereka kufur kepada kebaikan. Seandainya seorang suami dari kalian berbuat kebaikan kepada isterinya selama setahun, tetapi kemudian isterinya melihat sesuatu (yang buruk) pada dirimu (suami), maka langsung dia mengatakan, “Aku tidak pernah melihat kebaikan pada dirimu sedikit pun.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 29)

Mendahulukan Yang Gadis

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

هَلَكَ أَبِي وَتَرَكَ سَبْعَ بَنَاتٍ أَوْ تِسْعَ بَنَاتٍ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً ثَيِّبًا، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَزَوَّجْتَ يَا جَابِرُ» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَقَالَ: «بِكْرًا أَمْ ثَيِّبًا؟» قُلْتُ: بَلْ ثَيِّبًا، قَالَ: «فَهَلَّا جَارِيَةً تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ، وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ» قَالَ: فَقُلْتُ لَهُ: إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ هَلَكَ، وَتَرَكَ بَنَاتٍ، وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَجِيئَهُنَّ بِمِثْلِهِنَّ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً تَقُومُ عَلَيْهِنَّ وَتُصْلِحُهُنَّ، فَقَالَ: «بَارَكَ اللَّهُ لَكَ» أَوْ قَالَ: «خَيْرًا»

“Ayahku baru sahaja meninggal dunia dan meninggalkan tujuh anak perempuan atau sembilan orang anak perempuan, maka aku pun menikahi seorang janda.

Lalu bertanyalah Rasulullah kepadaku, “Adakah engkau sudah bernikah wahai Jabir?”

Aku jawab, “ya.”

Rasulullah bertanya, “Dengan gadis atau janda?”jika bersyukur syukur

Aku jawab, “Dengan janda.”

Rasulullah pun berkata, “Kenapa tidak dengan seorang gadis sahaja yang dengannya engkau boleh bercanda dengannya dan dia pula dapat bercanda denganmu, dan dia boleh membuatmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatnya tertawa gembira?”

Maka aku katakan, “Sesungguhnya ‘Abdullah (ayahku) telah meninggal dunia dan meninggalkan beberapa orang anak perempuan (gadis). Jadi, aku tidak berapa suka jika mendatangkan kepada mereka wanita yang seperti mereka juga. Aku pun mengambil keputusan menikahi wanita yang mampu mengurus dan menjaga (memperbaiki) mereka.”

Rasulullah pun mengatakan, “Baarakallaahu laka (Semoga Allah memberkahi engkau).” Atau mengatakan, “Semoga beroleh kebaikan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5367. Muslim, no. 715)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وفيه فضيلة تزوج الأبكار وثوابهن أفضل

“Hadis ini menjelaskan tentang keutamaan menikahi gadis remaja, dan pahala padanya lebih utama.” (Syarh Shahih Muslim, 10/294)

Kemudian di hadis yang lain di Sunan Ibnu Majah dari hadis ‘Utbah bin ‘Uwaym bin Saa’idah Al-Anshari, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالْأَبْكَارِ، فَإِنَّهُنَّ أَعْذَبُ أَفْوَاهًا، وَأَنْتَقُ أَرْحَامًا، وَأَرْضَى بِالْيَسِيرِ

“Nikahlah dengan gadis, kerana mereka itu lebih manis bibirnya (baik percakapannya), lebih subur rahimnya, dan lebih redha dengan yang sedikit.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1851)

Kata Asy-Syaikh ‘Amru ‘Abdul Mun’in Salim:

“Cinta seorang gadis kepada suami yang pertama pasti lebih dalam dan lebih melekat di hati, sehingga ini akan membuahkan rasa cinta kepadanya, dan lebih mudah untuk mentaati suaminya. Selain itu, gadis memiliki kebarangkalian yang lebih besar untuk melahirkan zuriat sebagaimana disebutkan dalam hadis:

Dari Ma’qil bin Yasaar, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

“Nikahilah wanita-wanita yang penyayang lagi subur (sihat dan mampu melahirkan zuriat dengan baik), kerana aku akan membanggakan jumlah kalian di hadapan umat-umat yang lain pada hari Kiamat.” (Sunan Abi Dawud, no. 2050. An-Nasaa’i, no. 3227)

Maka dari sini, dapat dibezakan di antara wanita yang janda dengan yang gadis kerana mungkin sahaja wanita yang janda ini sudah memiliki anak yang perlu dijagai dan memerlukan lebih perhatian kepada anaknya. Atau mungkin ingatannya terhadap suami silamnya masih mendalam. Selain itu, mungkin juga dia sudah beberapa kali hamil dan akan memiliki kebarangkalian keletihan untuk hamil lagi dan memiliki hasrat untuk tidak mahu memiliki anak lagi. Mungkin juga dia mampu mengganggu hubungan seksual suami dan isteri kerana kebiasaannya wanita yang berstatus janda sudah agak bosan dengan hubungan seksual. Berbeza dengan gadis yang masih belum pernah berkahwin, dia lebih mudah terangsang dan redha dengan layanan walaupun yang sedikit.” (lihat: Adab Al-Khithbah wa Az-Zifaf oleh ‘Amru ‘Abdul Mun’in Salim, m/s. 33 – Daar Adh-Dhiya’, Cet. 3 – 1422H)

Namun dari sini bukanlah menunjukkan dibenci jika bernikah dengan seorang janda, namun jika punya sisi pandangan yang lain yang dapat diterima, maka ia tetap disukai. Ini terdapat contohnya sebagaimana alasan yang dikemukakan dari hadis Jabir di atas. Serta Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri turut menikahi janda.

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkaitan hadis Jabir tersebut:

فيه فضيلة لجابر وإيثاره مصلحة أخوانه على حظ نفسه وفيه الدعاء لمن فعل خيرا وطاعة سواء تعلقت بالداعى أم لا وفيه جواز خدمة المرأة زوجها وأولاده وعياله برضاها وأما من غير رضاها فلا

“Pada hadis tersebut menunjukkan keutamaan Jabir yang menunjukkan tindakan beliau mendahulukan mashlahah (kepentingan) saudara-saudara perempuannya berbanding dirinya sendiri. Dan pada hadis tersebut juga menunjukkan disunnahkan doa untuk orang yang berbuat kebaikan dan ketaatan, sama ada tindakan tersebut berhubung dengan orang yang berdoa ataupun tidak. Dan padanya juga menunjukkan dibolehkan bagi seorang perempuan melayani suami serta anak-anak dan keluarganya dengan kerelaannya, dan jika dia tidak rela (atau tidak redha), maka tidak boleh.” (Syarh Shahih Muslim, 10/53)

Bersedia Mengurus Keluarga dan Kerja-kerja di Rumah

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ

“Seorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Shahih Al-Bukhari, Bab: Wanita Adalah Pemimpin Di Rumah Suaminya, no. 5200)

Dalam lafaz yang lain di riwayat Al-Imam Muslim, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

“Seorang isteri itu adalah pemimpin (yang memegang amanah) atas rumah dan anak-anak suaminya, dan kelak dia akan dipertanggungjawabkan (oleh Allah).” (Shahih Muslim, no. 1829)

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata:

وَيَخْتَارُ ذَاتَ الْعَقْلِ ، وَيَجْتَنِبُ الْحَمْقَاءَ ؛ لِأَنَّ النِّكَاحَ يُرَادُ لِلْعِشْرَةِ ، وَلَا تَصْلُحُ الْعِشْرَةُ مَعَ الْحَمْقَاءِ وَلَا يَطِيبُ الْعَيْشُ مَعَهَا ، وَرُبَّمَا تَعَدَّى ذَلِكَ إلَى وَلَدِهَا . وَقَدْ قِيلَ : اجْتَنِبُوا الْحَمْقَاءَ ، فَإِنَّ وَلَدَهَا ضَيَاعٌ ، وَصُحْبَتَهَا بَلَاءٌ .

“Hendaklah memilih wanita yang berakal (bijak dalam mengurus keadaan), dan menghindari wanita yang bodoh; kerana tujuan pernikahan adalah untuk melahirkan perhubungan dan pergaulan yang baik, tidak ada kebaikan bergaul dengan wanita yang bodoh, dan tidak ada keasyikan dan keindahan dalam kehidupan bersamanya, dan dibimbangi kebodohannya akan terbawa-bawa kepada anak-anaknya.

Bahawa dikatakan (oleh sebahagian ulama), “Hindarilah wanita yang bodoh, kerana anaknya tidak bermanfaat, dan bergaul dengannya merupakan bala’ (bencana).” (Al-Mughni, 15/95)

Penutup

Walaupun demikian halnya, tidaklah bermakna seorang lelaki hanya mencari kesempurnaan di pihak isteri atau wanita yang hendak dinikahinya sedang dia melupakan dirinya sendiri. Tetapi yang benar adalah dia juga harus memiliki sikap tolak ansur dan mempersiapkan dirinya dengan sebaik-baiknya untuk hal tersebut.

Di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:kaya hati

وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

“… dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).” (Surah An-Nuur, 24: 26)

Sukar untuk mencapai kemaslahatan, kebahagiaan, suasana penuh kecintaan dan kasih-sayang yang diharapkan seandainya kebaikan hanya diusahakan atau diinginkan hanya dari satu pihak, sebaliknya ia harus datang dari usaha kedua-dua belah pihak dalam rangka mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Lebih-lebih lagi seorang lelaki adalah pemimpin, pembimbing, dan pelindung bagi wanita dan ahli keluarganya, maka dia harus bersedia dengan daya kepimpinannya untuk memikul tanggungjawabnya sebagaimana yang diperintahkan oleh agama.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (Surah At-Tahrim, 66: 6)

Allah Ta’ala berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita disebabkan Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisaa’, 4: 34)

Asy-Syaikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Si’di berkata:

يخبر تعالى أن الرِّجَال { قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ } أي: قوامون عليهن بإلزامهن بحقوق الله تعالى، من المحافظة على فرائضه وكفهن عن المفاسد، والرجال عليهم أن يلزموهن بذلك، وقوامون عليهن أيضا بالإنفاق عليهن، والكسوة والمسكن، ثم ذكر السبب الموجب لقيام الرجال على النساء فقال: { بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ } أي: بسبب فضل الرجال على النساء وإفضالهم عليهن

“Allah Ta’ala mengkhabarkan bahawa lelaki adalah pemimpin (dan pembimbing) bagi kaum wanita, yakni sebagai pemantau dengan cara memastikan mereka tetap menunaikan hak-hak Allah Ta’ala, memelihara kewajiban-kewajiban, dan mencegah mereka dari berbuat keburukan (atau kerosakan). Kaum lelaki wajib menekankan hal tersebut atas kaum wanita (yakni orang yang dipimpinnya), dan wajib atas lelaki menunaikan nafkah atas mereka berupa keperluan pakaian dan tempat tinggal. Kemudian Allah menyebutkan sebab yang mewajibkan peranan kepimpinan lelaki atas wanita (isteri) dalam firman-Nya:

“… disebabkan Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.”

Yakni disebabkan keutamaan lelaki atas wanita dan kelebihan yang telah diberikan (oleh Allah) atas lelaki berbanding wanita.” (Tafsir As-Si’di, 1/177)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Dan bergaullah dengan mereka dengan ma’ruf.” (Surah An-Nisaa’, 4: 19)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

أي: طيِّبُوا أقوالكم لهن، وحَسّنُوا أفعالكم وهيئاتكم بحسب قدرتكم، كما تحب ذلك منها، فافعل أنت بها مثله

“Berbuat baiklah pada perkataan kalian bagi isteri kalian, perindahkanlah amalan (tingkah-laku) dan perwatakkan kalian kepada isteri kalian. Sebagaimana kalian suka jika isteri kalian bertingkah-laku demikian.” (Tafsir Ibn Katsir, 2/242)

Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى

“Sebaik-baik kalian adalah yang berbuat baik kepada isterinya (atau keluarganya). Sedangkan aku adalah orang yang paling berbuat baik pada isteriku (atau keluargaku).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3895. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا، فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

“Berbuat baiklah kepada kaum wanita, kerana sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika engkau berusaha meluruskannya mungkin engkau akan mematahkannya, namun jika engkau biarkan ia akan terus bengkok. Maka aku wasiatkan padamu agar kalian sikapi dan tanganilah para wanita dengan baik.” (Shahih Al-Bukhari, no 5186)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَفْرَكُ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً، إِنْ كَرِهَ مِنْهَا خُلُقًا، رَضِيَ مِنْهَا آخَرَ

 “Janganlah sampai seorang lelaki yang beriman membenci wanita (isteri) yang beriman, jika dia tidak suka kepada sebahagian tingkah-lakunya, pasti dia akan suka terhadap akhlaknya yang lain.” (Musnad Ahmad, no. 8363. Shahih Muslim, no. 1469)

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَاتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ، فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

“Bertaqwalah kepada Allah dalam urusan kaum wanita, kerana sesungguhnya kalian telah mengambil (menikahi) mereka dengan amanah dari Allah dan meminta kehalalan dalam mencampuri mereka dengan kalimat Allah. Akan tetapi kalian memiliki hak atas mereka, bahawa mereka (isteri) tidak boleh mengizinkan seseorang yang kalian tidak sukai menginjak lantai rumah kalian. Jika mereka melakukan demikian, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Juga wajib atas kalian (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka (isteri) dengan cara yang ma’ruf (yang bersesuaian syara’ dan kemampuan).” (Shahih Muslim, no. 1218)

Di hadis yang lain dari Hakim bin Mu’aawiyah Al-Qusyairi, dari ayahnya (Mu’aawiyah bin Haidah Al-Qusyairi), beliau berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا حَقُّ زَوْجَةِ أَحَدِنَا عَلَيْهِ؟، قَالَ: «أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ، أَوِ اكْتَسَبْتَ، وَلَا تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلَا تُقَبِّحْ، وَلَا تَهْجُرْ إِلَّا فِي الْبَيْتِ

“Wahai Rasulullah, apa hak bagi seorang isteri kepada kami?”

Maka jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Hendaklah engkau memberikan makan kepadanya jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, dan engkau tidak boleh memukul wajahnya, tidak boleh menghinanya, dan tidak boleh juga memulaukannya (jika dia berbuat salah) kecuali di dalam rumah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2142)

Semoga bermanfaat dan dapat diambil faedah sama ada dari kalangan pembaca lelaki atau wanita, dari kalangan bapa ataupun ibu, isteri mahupun suami, atau yang bakal bergelar suami mahupun isteri.

Wallaahu a’lam.