Membuka Pintu Rezeki Dengan Silaturrahim

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

hubungan-rahim

Di antara amal-amal kebaikan yang akan mendatangkan barakah dan manfaat yang banyak dalam kehidupan ini adalah menyambung dan menghubungkan silaturrahim. Menghubungkan silaturrahim ini termasuk salah satu bentuk ibadah yang diberi nilai pahala yang tidak kurang besarnya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Silaturrahim adalah amalan yang merujuk hubungan atau jalinan kekeluargaan yang terkait dengan hubungan nashab atas dasar iman dan Islam.

Kata shilaturrahim berasal dari kata shilah (صِلَة) dan rahim (الرَّحِم).

Ar-Raghib Al-Asfahani rahimahullah (Wafat: 502H) mengatakan:

وَصَلَ – الْاِتِّصَالُ اتحاد الأشياء بعضها ببعض

“(iaitu) menyatukan beberapa perkara, sebahagian dengan sebahagian yang lain.” (Al-Mufradatu fi Gharib Al-‘Qur’an, 1/525)

Beliau juga menyebutkan:

رحم: الرحم رحم المرأة، وامرأة رحوم تشتكى رحمها. ومنه استعير الرحم للقرابة لكونهم خارجين من رحم واحدة، يقال رحم ورحم. قال تعالى: { وأقرب رحما }، والرحمة رقة تقتضي الإحسان إلى المرحوم

Rahim: Ar-Rahm adalah rahim si ibu, dan si ibu mengandungkan dengan kasih-sayang. Dan darinya Ar-Rahim dipakai untuk (menunjukkan) hubungan kekerabatan kerana mereka dikeluarkan dari rahim yang satu. Dan dikatakan, “رحم ورحم”. Firman Allah, “… yang lebih dekat kasih-sayangnya.” Dan Ar-Rahmah adalah lemah-lembut yang menunjukkan sikap ihsan terhadap orang-orang yang dikasihi (atau disayangi).” (Al-Mufradatu fi Gharib Al-‘Qur’an, 1/191)

Dalam Lisan Al-‘Arab oleh Ibn Al-Manzhur, disebutkan:

والرَّحِمُ: أَسبابُ الْقَرَابَةِ، وأَصلُها الرَّحِمُ الَّتِي هِيَ مَنْبِتُ الْوَلَدِ، وَهِيَ الرِّحْمُ. الْجَوْهَرِيُّ: الرَّحِمُ الْقَرَابَةُ

Ar-Rahim: (Adalah) punca kekerabatan. Dan ArRahim berasal dari kata Ar-Rihm yang mana merujuk tempat terbentuk dan berkembangnya anak. Al-Jauhari berkata: Ar-Rahim adalah hubungan kekerabatan (atau kekeluargaan).” (Lisan Al-‘Arab, 12/232)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وتصل الرحم: أى تحسن إلى أقاربك ذوى رحمك بما تيسر على حسب حالك وحالهم من انفاق أو سلام أو زيادة أو طاعتهم أو غير ذلك وفى الرواية الاخرى وتصل ذا رحمك

“Dan engkau menghubungkan (atau menyambungkan) ar-rahim (الرحم): maksudnya engkau berbuat baik kepada karib kerabat yang memiliki hubungan rahim (kekerabatan) dengan engkau semampu engkau, bersesuaian dengan keadaan engkau dan keadaan mereka; seperti dengan mengeluarkan infaq, atau memberi salam, atau menziarahi, atau mentaati mereka, atau dengan cara yang selain itu. Dan pada riwayat yang lain dikeluarkan (dengan lafaz), dan engkau menghubungkan orang yang memiliki hubungan rahim dengan engkau.” (Syarah Shahih Muslim, 1/173)

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menyebutkan:

بفتح الراء وكسر الحاء المهملة يطلق على الاقارب وهم من بينه وبين الآخر نسب سواء كان يرثه أم لا سواء كان ذا محرم أم لا وقيل هم المحارم فقط والأول هو المرجح لأن الثاني يستلزم خروج أولاد الأعمام وأولاد الأخوال من ذوي الأرحام وليس كذلك

“(الرحم) dengan memfat-hahkan raa’ dan meng-kasrahkan haa’, digunakan untuk maksud umum ke atas para kerabat dekat yang memiliki hubungan nashab (kekeluargaan) sama ada tergolong sebagai ahli waris mahupun tidak, mahram mahupun bukan mahram. Manakala sebahagian (ulama) yang lain berpendapat, kata “Ar-Rahim” tersebut diguna untuk menunjukkan maksud yang sesama mahram sahaja. Dan pendapat yang pertama adalah lebih rajih (tepat) kerana pendapat yang kedua akan memberi kesan anak-anak pakcik dari pihak ayah dan ibu tidak termasuk ahli keluarga yang memiliki hubungan rahim, sedangkan halnya tidaklah demikian.” (Fath Al-Bari, 10/414)

Manakala kata Al-Imam Ibn Al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):

وَهِيَ كِنَايَةٌ عَنِ الإحْسان إِلَى الأقْرَبينَ، مِنْ ذَوِي النَّسَب والأصْهار، والتَّعَطُّفِ عَلَيْهِمْ، والرِّفْقِ بِهِمْ، والرِّعايةِ لأحْوالِهم. وَكَذَلِكَ إنْ بَعُدُوا أَوْ أسَاءوا. وَقَطْعُ الرِّحِم ضِد ذَلِكَ كُلِّه

“(Silaturrahim), ia adalah kinayah (ungkapan) untuk sikap ihsan terhadap kaum kerabat (kekeluargaan) yang memiliki hubungan nashab dan perkahwinan, iaitu dengan berlemah-lembut terhadap mereka, menyayangi mereka, dan mengambil berat urusan keadaan mereka, walaupun mereka berjauhan dan berbuat keburukan. Manakala memutuskan ar-rahim adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan semua itu.” (An-Nihaayah fii Gharibil Hadiits wal Atsar, 5/191-192)

Adapun hubungan yang dinisbatkan kepada umat Islam lainnya secara umum selain ahli keluarga, maka ia disebut sebagai ukhuwah Islamiyyah, iaitu persaudaraan sesama Islam.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan ingatlah nikmat-nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulu saling bermusuhan lalu Allah pun mempersatukan hati-hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat-Nya saling bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)

Dalam ayat yang lain:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya kaum yang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 10)

Dari sini menunjukkan bahawa hubungan silaturrahim itu adalah suatu bentuk hubungan dekat yang rapat seperti hubungan di antara seorang ayah dengan anaknya, atau seseorang dengan ahli keluarganya yang lain di atas ikatan nashab dan kasih-sayang yang akrab serta penuh kemesraan. Ini sebagaimana firman Allah subhanahu wa Ta’ala:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

“Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan rahim.” (Surah An-Nisaa’, 4: 1)

Memelihara hubungan rahim (silaturrahim) dan berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa serta ahli keluarga lainnya adalah termasuk urusan dunia yang memiliki nilai ibadah yang agung. Bahkan ia termasuk apa yang diwajibkan dalam Islam, tidak sekadar semata-mata urusan dunia. Oleh itu, ia pun termasuklah ke dalam amal-amal yang mulia di sisi Allah Ta’ala lagi berpahala besar. Terdapat begitu banyak dalil yang menggesa kita semua agar menjalinkan dan memelihara hubungan rahim ini. Bahkan dalil-dalil yang mengancam bagi sesiapa yang memutuskan hubungan rahim ini juga pun tidak kurang tegasnya.

Silaturrahim Membuka Pintu Rezeki

Silaturrahim merupakan di antara amalan yang mampu membukakan pintu-pintu rezeki di sisi Allah Ta’ala. Oleh itu, seseorang yang berhajat agar dimudahkan rezeki baginya hendaklah tidak meremehkan urusan hubungan kekeluargaan rahim ini. Bahkan dia harus sentiasa menghiasi hidupnya dengan banyak bersilaturrahim, sama ada terhadap kaum keluarganya sendiri mahupun menjalinkan hubungan sesama umat Islam lainnya dalam rangka berbuat baik dan mencari redha Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Semoga dengan terpeliharanya hubungan ini, Allah pun akan membukakan baginya rezeki yang baik-baik lagi dipanjangkan umurnya. Dari hadis Anas bin Malik, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Siapa yang mahu dilapangkan rezekinya atau ditambah umurnya maka hendaklah dia menyambungkan hubungan rahim.” (Shahih Al-Bukhari, 2067. Muslim, no. 2557)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

فَإِنَّ صِلَةَ الرَّحِمِ مَحَبَّةٌ فِي الأَهْلِ، مَثْرَاةٌ فِي المَالِ، مَنْسَأَةٌ فِي الأَثَرِ

“Bahawa sesungguhnya silaturrahim itu adalah mahabbah (saling mencintai) di dalam keluarga, ia menambahkan harta, ia memanjangkan usia.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1979)

Kata ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma:

مَنِ اتَّقَى رَبَّهُ، وَوَصَلَ رَحِمَهُ، نُسّىءَ فِي أَجَلِه وَثَرَى مَالَهُ، وَأَحَبَّهُ أَهْلُهُ

“Siapa yang bertaqwa kepada Rabb-nya dan menyambung silaturrahim, nescaya umurnya akan dipanjangkan dan hartanya akan ditambah-banyakkan serta keluarganya akan mencintainya.” (Al-Adabul Mufrad, no. 58)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepadanya:

إِنَّهُ مَنْ أُعْطِيَ حَظَّهُ مِنَ الرِّفْقِ، فَقَدْ أُعْطِيَ حَظَّهُ مِنْ خَيْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَصِلَةُ الرَّحِمِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَحُسْنُ الْجِوَارِ يَعْمُرَانِ الدِّيَارَ، وَيَزِيدَانِ فِي الْأَعْمَارِ

“Sesungguhnya siapa yang diberikan kebahagiaan berupa kelemah-lembutan, benar-benar dia telah diberikan bahagian kebaikan dari dunia dan akhirat; dan adalah silaturrahim, baiknya akhlak, dan baiknya jiran-tetangga akan memakmurkan negeri-negeri dan menambah umur.” (Musnad Ahmad, no. 25259)

Di antara maksud ditambahkan umurnya adalah merujuk kepada kehidupannya yang dipenuhi dengan barakah, ketaatan kepada Allah, taufiq untuk beramal soleh, dan waktu usianya sentiasa terhindar dari maksiat dan amal yang sia-sia lagi tidak bermanfaat sama ada untuk dunianya mahupun agamanya. Termasuk di dalam maksudnya juga adalah namanya yang sentiasa disebut-sebut dan menjadi ingatan dengan sebab kebaikannya di sepanjang zaman. Atau memang benar-benar umurnya ditambah oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala secara hakiki.

Manakala maksud dimudahkan padanya rezeki adalah penuhnya kebaikan terhadap apa-apa yang dimilikinya, dikurniakan rasa redha, qona’ah, dan banyak manfaatnya selain benar-benar ditambahkan rezeki secara nyata untuknya. (lihat: Fathul Bari oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, 10/415-416)

Dan keutamaan-keutamaan ini semua terdapat pada amalan menyambungkan hubungan rahim yang terputus. Maka, sambungkanlah silaturrahim di antara kita terutamanya sesama kaum kerabat dan ahli keluarga yang dekat. Lebih-lebih lagi yang telah terputus atau diputuskan oleh sesuatu sebab.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيْسَ الوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قُطِعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

“Sesungguhnya bukanlah orang yang menyambung silaturrahim itu orang yang membalas kebaikan, tetapi orang yang menyambung silaturrahim itu adalah orang yang menyambung hubungan dengan orang yang telah memutuskannya.” (Musnad Ahmad, no. 6785. Shahih Al-Bukhari, no. 5991)

Ancaman Memutuskan Silaturrahim

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ تَوَلَّيْتُمْ أَنْ تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ (22) أُولَئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَى أَبْصَارَهُمْ

“Maka adakah seandainya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan rahim (kekeluargaan)? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka oleh Allah.” (Surah Muhammad, 47: 22-23)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ» قَالَ ابْنُ أَبِي عُمَرَ: قَالَ سُفْيَانُ: يَعْنِي قَاطِعَ رَحِمٍ

“Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan (iaitu memutuskan hubungan rahim).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1909)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَحْرَى أَنْ يُعَجِّلَ اللهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوْبَةَ فِى الدُّنْيَا مَعَ مَا يُدَّخَرُ لَهُ فِى اْلآخِرَةِ مِنَ الْبَغْيِ وَقَطِيْعَةِ الرَّحِمِ

“Tidak ada dosa yang Allah lebih menyegerakan siksaan kepada pelakunya di dunia, serta yang disimpan untuknya di akhirat selain perbuatan zalim dan memutuskan silaturrahim.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2511)

Dibalas Syurga

Kata Abu Ayyub Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu:

“Seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku suatu amal yang dapat memasukkan aku ke dalam Syurga dan menjauhkan aku dari Neraka.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

“Engkau beribadah kepada Allah dengan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, menegakkan solat, menunaikan zakat, dan menghubungkan silaturrahim.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1396)

Tanda Iman

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6138)

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

الصَّدَقَةُ عَلَى المِسْكِينِ صَدَقَةٌ، وَهِيَ عَلَى ذِي الرَّحِمِ ثِنْتَانِ: صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

“Sedekah ke atas golongan miskin itu adalah sedekah (1 pahala), dan sekiranya dia bersedekah ke atas ahli keluarga maka itu adalah dua pahala, iaitu sedekah dan menyambung hubungan rahim.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 658. Shahih Ibnu Hibban, no. 3344)

Allah Memenangkan Mereka Yang Bersilaturrahim

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Seorang lelaki datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki kaum kerabat yang aku sentiasa berusaha menyambung hubungan dengan mereka tetapi mereka memutuskan, aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepadaku, dan mereka bersikap bodoh kepadaku sedangkan aku selalu bersikap sopan-santun kepada mereka.” Rasulullah pun bersabda:

لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ، فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمُ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنَ اللهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Jika engkau benar-benar sebagaimana yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau menaburkan bara yang panas di wajah mereka. Dan kemenangan dari Allah itu sentiasa bersama-sama engkau terhadap mereka, selagi mana engkau tetap seperti itu.” (Shahih Muslim, no. 2558)

Allah Menyambung Hubungan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَنَا اللهُ، وَأَنَا الرَّحْمَنُ، خَلَقْتُ الرَّحِمَ وَشَقَقْتُ لَهَا مِنَ اسْمِي فَمَنْ وَصَلَهَا وَصَلْتُهُ، وَمَنْ قَطَعَهَا بَتَتُّهُ

“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: Akulah Allah, dan Aku-lah Ar-Rahman. Aku menciptakan rahim dan aku menamakannya dari nama-Ku. Sesiapa yang menyambungnya, maka Aku pun menyambung (hubungan dengan)nya. Dan Sesiapa yang memutuskannya, maka Aku pun memutuskannya.” (Musnad Ahmad, no. 1686)

Oleh itu, peliharalah silaturrahim antara kaum kerabat dan sesama ahli keluarga. Dan sambungkanlah jika ada yang terputus. Kenangkanlah besarnya tuntutan menyambug silaturrahim ini di sisi Islam dan agungnya amalan ini di sisi Allah Ta’ala.

Wallahu a’lam

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest