‘Usyur Tidak Diambil Dari Kaum Muslimin

‘Usyur Tidak Diambil Dari Kaum Muslimin

Dr. Jaribah bin Ahmad Al-Haaritsi
Petikan Al-Fiqh Al-Iqtishaad li Aamiiril Mu’miniin ‘Umar Ibn Al-Khaththab
www.ilmusunnah.com

Sebagaimana juga terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan dilarangnya mengambil ‘usyur dari seorang muslim dan kafir dzimmi, di antaranya adalah perkataan ziyad bin Hudair kepada ‘Umar radhiyallahu ‘anhu...

Penulis berkata:

“Terdapat sejumlah hadis yang menunjukkan tidak dibenarkannya mengambil ‘usyur[1] dari pedagang muslim, di mana hadis yang paling sahih adalah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan yang selainnya dalam kisah seorang wanita yang berzina, kemudian beliau bertaubat dan dilaksanakan atasnya hukuman had, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ تَابَهَا صَاحِبُ مَكْسٍ لَغُفِرَ لَهُ

“Sesungguhnya dia telah bertaubat yang jika pemungut cukai bertaubat sepertinya nescaya dia akan diampuni oleh Allah.” (Musnad Ahmad, no. 16843. Shahih Muslim, no. 1695)

Dalam hadis yang lain disebutkan:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ صَاحِبُ مَكْسٍ

“Tidak masuk Syurga si pemungut cukai.”

Di mana ulama menjelaskan bahawa “shahibu maks” ini adalah orang yang memungut ‘usyur dari harta kaum muslimin di mana dia mengambilnya secara paksa dari para pedagang muslim ketika dia melintasi daerahnya dengan mengatasnamakan sebagai ‘usyur, dan bukan petugas yang mengumpulkan zakat. Adapun ‘usyur yang diambil dengan kesepakatan dari dagangan orang-orang yang memiliki perjanjian dagang dengan negara Islam, maka ini bukanlah bentuk pemaksaan, dan petugasnya tidak berhak mendapat ancaman tersebut melainkan jika dia melampaui batas dan berlaku zalim, maka dibimbangi dia terkena dosa dan hukuman.

Sebagaimana juga terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan dilarangnya mengambil ‘usyur dari seorang muslim dan kafir dzimmi, di antaranya adalah perkataan Ziyad bin Hudair (petugas zakat dan ‘usyur di zaman Nabi dan ‘Umar – pent.)  kepada ‘Umar radhiyallahu ‘anhu:

مَا كُنَّا نَعْشُرُ مُسْلِمًا وَلَا مُعَاهَدًا. قَالَ: قُلْتُ: فَمَنْ كُنْتُمْ تَعْشُرُونَ؟ قَالَ: تُجَّارَ أَهْلِ الْحَرْبِ كَمَا يَعْشُرُونَنَا إِذَا أَتَيْنَاهُمْ

“Kami dahulu (ketika di zaman Rasulullah – pent.) tidak mengambil ‘usyur dari seorang muslim mahupun mu’ahad (kafir yang berada dalam perjanjian damai dengan kaum muslimin – pent.).”

‘Umar berkata:

“Jadi, siapa yang kalian ambil ‘usyur darinya?” Jawab Ziyad:

“Para pedagang ahl al-harb sebagaimana mereka mengambil ‘usyur daripada kami jika kami datang ke negara mereka.” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 10124, 19399. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no.18772)[2]

Dalam riwayat lain Ziyad berkata:

وَنَهَانِي أَنْ أَعْشُرَ مُسْلِمًا أَوْ ذَا ذِمَّةٍ يُؤَدِّي الْخَرَاجَ

“Dan beliau (yakni ‘Umar) pun melarang aku dari mengambil ‘usyur dari seorang muslim atau dzimmi yang menyerahkan kharaaj.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 10578. As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 18805)

Juga disebutkan dalam surat ‘Umar radhiyallahu ‘anhu kepada Sa’ad (bin Abi Waqqash – pent.) ketika ketika penaklukan ‘Iraq:

“… dan tidak ada ‘usyur atas umat Islam, tidak pula ahl dzimmah, apabila umat Islam telah menyerahkan zakat hartanya, dan kafir dzimmi telah menyerahkan jizyahnya yang ditetapkan dalam perdamaiannya. Sesungguhnya ‘usyur adalah terhadap ahl al-harb, jika mereka meminta izin berdagang di negara kita. Maka ke atas merekalah ‘usyur tersebut.”

Dan ketika ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma ditanya:

أعلمت عمر أخذ من المسلمين العشر؟ قال: لم أعلمه، لم أعلمه

“Adakah engkau tahu ‘Umar pernah mengambil ‘usyur (cukai perdagangan) daripada kaum muslimin?” Jawab ibnu ‘umar, “Tidak aku ketahui hal tersebut dari beliau, tidak aku ketahui hal tersebut dari beliau.” (Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 7248. Al-Amwal oleh Abu ‘Ubaid Al-Qasim, no. 1126)

Berdasarkan ini, maka sesungguhnya tidak ada ‘usyur ke atas peniaga kaum muslimin, tetapi daripada mereka diambil zakatnya (yakni zakat perniagaan – pent.) apabila dia melintasi wilayah (di bawah pemerintahan kaum muslimin) dengan barang-barang dagangannya. Kerana di antara tugas negara Islam adalah mengumpulkan zakat, membahagikannya kepada golongan yang telah ditentukan oleh Allah dan menyerahkan hal tersebut kepada petugas ‘usyur.” (lihat: Dr. Jaribah, Al-Fiqh Al-Iqtishaad li Aamiiril Mu’miniin ‘Umar Ibn Al-Khaththab, m/s. 506 – Daar Al-Andalus Al-Khadhraa’, Jeddah, 1424H (2003M))

Penulis juga menjelaskan:

Fiqih Pemerintahan Khalifah Umar Al-Khaththab.
Edisi terjemahan kitab Al-Fiqh Al-Iqtishaad li Aamiiril Mu’miniin ‘Umar Ibn Al-Khaththab karya Dr. Jaribah bin Ahmad Al-Haritsi.

“Adapun rakyat negara Islam sama ada muslim mahupun ahl dzimmah, maka beberapa atsar (riwayat) telah menjelaskan menguatkan pendapat bahawa ‘usyur tidak diambil dari barang dagangan mereka. Sementara sebahagian riwayat tentang penyebutan pengambil ‘usyur ke atas barang dagangan seorang muslim dan ahl dzimmah, maka ia difahami bahawa apa yang diambil dari peniaga (atau pedagang) muslim itu adalah zakat yang difardhukan (berupa zakat perniagaan – pent.), sementara yang diambil dari kafir dzimmi adalah ketika dipersyaratkan sebagaimana dalam akad perdamaian (yakni berupa jizyah – pent.).” (lihat: m/s. 508)

Penulis mengatakan lagi:

“Pendapat yang mengatakan tidak diambilnya ‘usyur dari dagangan rakyat negara Islam adalah sesuai dengan dagangan yang mereka edarkan di dalam kawasan Islamitu sendiri, dan ulama kaum muslimin memperkuat akan tidak bolehnya pengambilan ‘usyur dari dagangan tersebut.

Al-Imam Al-Mawardi berkata:

“Adapun penetapan ‘usyur ke atas harta yang dipindahkan di dalam negeri Islam sendiri dari satu daerah ke daerah yang lainnya (yakni dalam satu negara yang sama) adalah haram dan tidak dibenarkan oleh syara’, tidak berlaku ijtihad padanya, tidak termasuk politik yang adil, dan amat sedikit sekali terjadi melainkan di tempat yang yang zalim.”

Walaupun pedagang ahl al-harb yang masuk ke daerah kaum muslimin, maka diambil darinya 10% hanya sekali sajaha ketika masuknya. Al-Mawardi berkata:

“Jika diambil dari ahl al-harb 10% hartanya ketika masuknya, kemudian dia memindahkan dari satu daerah ke daerah yang lain maka tidak dikenakan ‘usyur. Demikian pula jika dia sekadar berdagang dari satu daerah ke satu daerah yang lain dalam satu negara Islam yang sama, kerana semuanya adalah di bawah sebuah negara yang sama.”

Akan tetapi apabila seorang rakyat negara Islam mendatangkan dagangan dari luar daerah kaum musimin (dan membawanya ke dalam negara Islam), adakah padanya dibolehkan penetapan cukai?

Adapun hukum asalnya adalah tidak diambil daripadanya ‘usyur, iaitu dari dagangan rakyat negara Islam, apapun barangannya, iaitu sebagaimana penjelasan yang telah dikemukakan.

Tetapi atas faktor kemaslahatan kaum muslimin adakalanya menuntut pengambilan ‘usyur (berupa cukai) dari barang dagangan yang diimport oleh rakyat negara Islam dari daerah kaum kafir, sama ada pengimportnya adalah umat Islam mahupun ahl dzimmah.

Di antara rinciannya yang perlu dicermati dalam penetapan cukai (duti) barang import adalah bagi melindungi penghasilan dalam negara dari persaingan barang yang sama yang dihasilkan oleh negara kaum kafir, dan demi memelihara ekonomi umat Islam dari permainan politik yang melibatkan persaingan, lambakkan barangan di pasaran, dan demi mengawal kenaikan harga barang-barang.

Atas sebab itu, maka ditetapkan padanya cukai bagi barang-barang import yang menyebabkan terjadinya persaingan tersebut.

Berdasarkan keterangan ini, negara Islam adakalanya dibenarkan untuk menetapkan cukai ke atas barangan yang diimport oleh rakyatnya dari negara kaum kafir walaupun pengimportnya adalah umat Islam, jika kemaslahatan bagi kalangan umum dari kaum muslimin menuntut perkara tersebut, dan dikuatkan lagi bertujuan untuk mengekalkan paras ekonomi yang stabil.

Ini kerana perlindungan ekonomi kaum muslimin dan usaha pengembangannya termasuk dalam kemaslahatan syara’ yang perlu dinilai sebaiknya, dan penetapan cukai pada situasi seperti itu tidaklah termasuk ke dalam bentuk cukai yang diharamkan oleh syara’ kerana asalnya yang dimaksudkan adalah cukai terhadap penghasilan (produk) kaum kafir (bukan penghasilan kaum muslimin – pent.).” (lihat m/s. 508-509)


[1] Yakni cukai perniagaan atau perdagangan.

[2] Menunjukkan penetapan ‘usyur oleh ‘Umar radhiyallahu ‘anhu adalah dengan mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan bukan semta-mata atas ijtihad beliau.