Tips dan Terapi Agar Mampu Meninggalkan Muzik dan Nyanyi-nyanyian
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Ini adalah siri terakhir dari beberapa siri terdahulu bagi perbahasan nyanyian dan muzik untuk ilmusunnah.com.
Artikel terdahulu boleh dicapai dari pautan berikut: Bahagian 1, Bahagian 2, Bahagian 3, Bahagian 4, Bahagian 5, Bahagian 6, Bahagian 7.
1, Memperbanyakkan istighfar, taubat, dan inabah kepada Allah dengan ikhlas, penuh penyesalan, insaf, dan berusaha sedaya-upaya meninggalkan nyanyi-nyanyian dan muzik kerana mengatahui ia adalah merupakan maksiat dan kemungkaran.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
“Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 135)
Hadis dari Musnad Ahmad, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ
“Sesungguhnya tidaklah engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan gantikan untukmu dengan apa yang lebih baik bagimu darinya.” (Musnad Ahmad, no. 23074)
2, Menjauhkan diri dari mendengar dan bermain muzik. Serta berusaha menjauhi perkara-perkara dan tempat-tempat yang boleh mendorong dan menjadi sarana kepadanya seperti berita-berita para artis, radio dan televisyen secara umum, karnival-karnival hiburan, pusat-pusat hiburan, dan pusat-pusat membeli-belah (yang kini kebanyakannya sering dipenuhi muzik). Melainkan sekiranya ada keperluan yang tidak dapat dielakkan seperti perlu membeli barang-barang keperluan harian di pusat membeli-belah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan sifat-sifat ‘ibadur-rahman (para hamba Allah yang Maha Pengasih, iaitu orang-orang yang dikasihi Allah), di antara sifatnya adalah:
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
“…(iaitu) orang-orang yang tidak menyaksikan (menghadiri) az-zuur. Dan apabila mereka melewati pada sesuatu yang lagha, mereka hanya melintas dengan menjaga kehormatan dirinya.” (Surah al-Furqaan, 25: 72)
Muhammad Al-Hanafiyah berkata tentang maksud kata “الزُّورَ”:
اللهو والغناء
“Iaitu hiburan dan nyanyi-nyanyian.”
‘Amru B. Qais rahimahullah (ulama Tabi’in) berkata tentang maksud ayat “الزُّورَ”:
هي مجالس السوء والخنا
“Ia adalah majlis-majlis keburukan dan penuh kata-kata tercela.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/130)
3, Memperbanyakkan atau menyibukkan diri dengan mengingati Allah (berzikir) dan mentadabbur Al-Qur’an kerana sudah tentu banyak sekali yang masih belum kita fahami dan kuasai dari ilmu-ilmu Al-Qur’an. Maka, manfaatkanlah masa untuknya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الأمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang kepada mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah Al-Hadid, 57: 16)
Kalau kita insafi dan renungi diri kita ini (khasnya diri penulis), terlalu banyak ilmu-ilmu dan kewajiban-kewajiban yang belum tertunai. Tetapi sebahagian kita masih sempat melakukan hal-hal yang tidak bermanfaat seperti mendengar muzik dan menghabiskan masa mahupun harta untuk muzik.
Kitab-kitab ilmu pun berapa banyak yang pernah kita buka? Tetapi kita ada masa pula untuk buka kitab-kitab hiburan dan biografi para artis dan pemain bola.
Sedangkan biografi nabi kita, sahabat nabi kita, biografi para ulama kita, sikitnya yang kita buka dan tahu.
4, Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan memenuhi segala tuntutan agama yang diwajibkan dan menambah dengan amal-amal soleh yang lainnya atas dasar ilmu dan ittiba’ (mengikuti As-Sunnah). Sikap komited kita terhadap amal-amal kebaikan mampu menjadi benteng yang kuat dalam usaha menjauhi perkara-perkara yang maksiat. Lama-kelamaan dengan sendirinya ia mampu melahirkan sebuah perasaan benci dan tidak suka terhadap perkara-perkara yang telah sedia dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala yang hanya akan membuat diri kita jauh dari-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah Kepada Allah dan carilah al-wasilah (jalan dan sarana yang mendekatkan diri kepada-Nya), dan berjihadlah pada jalan-Nya, supaya kalian beruntung.” (Surah Al-Maa’idah, 5: 35)
Al-Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari menjabarkan makna “dan carilah al-wasilah (jalan dan sarana yang mendekatkan diri kepada-Nya)…” dalam Tafsirnya:
“Dan carilah qurbah (apa yang mendekatkan diri) kepada-Nya dengan mengamalkan apa yang menjadikan-Nya redha.”
Al-Hafiz Ibnu Katsir menukilkan dari Ibnu ‘Abbaas tentang makna al-wasilah pada ayat tersebut sebagai berikut:
Al-wasilah adalah Qurbah (yakni apa-apa yang mendekatkan diri kepada Allah). Demikian Kata Mujahid, Abu Wail, Al-Hasan, ‘Abdullah bin Katsir, As-Suddi, Ibnu Zaid, dan yang lainnya. Ibnu Katsir juga menukilkan tafsir daripada Qatadah tentang ayat tersebut, kata beliau:
“Hendaklah kamu mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaati-Nya dan beramal dengan apa-apa yang menjadi keredhaan-Nya.”
5, Memperbanyakkan doa dengan memohon kekuatan, petunjuk, dan hidayah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar kita tidak dikembalikan kepada maksiat berupa muzik dan nyanyi-nyanyian.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ (7) رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
“Dan tidaklah dapat mengambil peringatan melainkan ulul albab. (Mereka berdoa):
“Ya Rabb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami cenderung kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Al-Wahhaab.” (Surah Ali ‘Imraan, 3: 7-8)
Dari hadis Anas bin Malik, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَمَنْ أَحَبَّ عَبْدًا لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ، بَعْدَ إِذْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ، مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ
“Sesiapa yang tiga perkara ada padanya nescaya dia akan merasai manisnya iman:
>> Siapa yang Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari sesuatu yang lainnya,
>> Siapa yang mengasihi seseorang yang tidaklah dia mengasinya melainkan kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan
>> Siapa yang benci kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya darinya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api.” (Shahih Al-Bukhari, no. 21)
6, Menuntut ilmu yang syar’i, khasnya tauhid. Kerana dengan ilmu yang syar’ilah kita akan memahami hakikat dan tujuan kehidupan seraya berupaya membezakan mana yang baik dan mana yang buruk buat diri kita. Dengan ilmu, hati-hati kita menjadi lebih damai dan tenteram. Ilmu yang bermanfaat akan memperbaiki kedudukan kita di sisi Allah dan akan mendorong kita untuk melakukan kebaikan seraya meninggalkan pelbagai perkara yang buruk lagi tidak bermanfaat berupa apa-apa yang dibenci oleh Allah. Sekaligus memandu kita menapaki jalan yang diredhai, menuju Syurga yang kekal penuh kebahagiaan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadilah, 58, 11)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepadamu Furqan (kemampuan membezakan antara yang haq dan bathil), dan kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu, dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah adalah Pemilik kurnia yang besar.” (Surah Al-Anfal, 8: 29)
Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu (dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah), maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah sebuah rumah Allah dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenangan (sakinah) turun kepada mereka, rahmat Allah meliputi mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan para malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Shahih Muslim, no. 2699. Sunan Abu Daud, no. 1455)
Mu’adz bin Jabal radhiyallahu ‘anhu berkata:
تعلموا العلم، فإن تعلمه لله خشية، وطلبه عبادة، ومدارسته تسبيح، والبحث عنه جهاده، وتعليمه لمن لا يعلمه صدقه، وبذله لأهله قربة، وهو الأنيس فى الوحدة، والصاحب فى الخلوة
“Pelajarilah ilmu, kerana dengan mempelajarinya kerana Allah merupakan tanda takut terhadap-Nya, mencarinya adalah ibadah, menuntutnya adalah tasbih, membahaskannya adalah jihad, mengajarkannya kepada yang belum mengetahui adalah sedekah, usaha memberikannya kepada yang berhak adalah ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah, ilmu adalah teman di saat sendirian dan rakan dalam kesepian.” (Ibnu Qudamah, Mukhtashar Minhajul Qashidin, m/s. 15 – Maktabah Daar al-Bayaan)
Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ، وَطَالِبُ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ كُلُّ شَيْءٍ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي الْبَحْرِ
“Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim, dan para penuntut ilmu (yang syar’i) itu didoakan keampunan oleh segala sesuatu sampai ikan-ikan di lautan pun turut mendoakan keampunan untuknya.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilmi wa Fadhlihi, no. 13)
Lihat artikel dengan judul “Menuntut Ilmu Jalan Menuju Syurga.”
7, Memilih rakan-rakan atau sahabat-sahabat yang soleh dan baik akhlaknya sebagai teman pergaulan.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
“Dan bersabarlah engkau bersama orang-orang yang menyeru Rabb-Nya di pagi dan malam hari dengan mengharap Wajah-Nya. Dan janganlah kedua mata engkau berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta yang mengikuti hawa nafsunya, dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah Al-Kahfi, 18: 28)
Dengan adanya teman yang baik dan soleh, insyaAllah kecenderungan terhadap perkara-perkara yang buruk dapat ditentang dengan lebih kuat. Ini kerana dengan adanya suasana yang baik dan soleh, keburukan serta maksiat akan lebih mudah dihindari dan hati pula akan menjadi lebih aman, terjaga, malu, dan tenteram. Malah akan lebih terdidik, termotivasi, bersemangat, dan mendapat kekuatan untuk melaksanakan kebaikan.
Dari hadis Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
“Seseorang itu di atas diin (agama dan jalan hidup) teman karibnya, maka hendaklah salah seorang dari kalian melihat siapa yang menjadi teman karibnya.” (Musnad Ahmad, no. 8417. Sunan Abi Dawud, no. 4833. At-Tirmidzi, no. 2378)
Dari hadis Abu Musa, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ، وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ الْمِسْكِ، وَنَافِخِ الْكِيرِ، فَحَامِلُ الْمِسْكِ: إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً، وَنَافِخُ الْكِيرِ: إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً
“Perumpamaan teman duduk yang soleh dengan teman duduk yang buruk adalah seperti pembawa minyak wangi dengan peniup bara api. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin dia akan memberimu aroma wanginya atau engkau membeli darinya atau engkau akan mendapatkan daripadanya aroma yang baik-baik (wangi). Adapun peniup bara api, mungkin dia akan membakar baju engkau atau engkau akan mendapatkan bau yang tidak enak.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5534. Muslim, no. 2628)
8, Berusaha menerapkan awatif atau kecenderungan kepada perkara-perkara yang bermanfaat. Terutamanya perkara ilmu syar’i seperti hadir ke majlis-majlis ilmu dan menanamkan minat mengumpul buku serta suka membaca tulisan para ulama. Atau mungkin boleh juga membaca maklumat-maklumat lainnya dari perkara-perkara yang berfaedah dan tiada larangan seperti berkaitan alam, tumbuh-tumbuhan (botani), ternakan, pertanian, sains, teknologi, dan seumpamanya yang tidak menyibukkan diri dari agama.
9, Menekuni biografi para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah, dan lebih utama lagi adalah terhadap perjalanan hidup Nabi kita yang mulia bersama-sama para sahabatnya. Agar dapat menghapus kecenderungan terhadap biografi orang-orang fasiq dari kalangan artis dan para penyanyi. Yang mana dari hal ini dapat kita jadikan mereka sebagai qudwah dan sumber keperibadian sekaligus memupuk rasa cinta terhadap mereka dan kebaikan-kebaikan yang mereka tunjukkan.
Seorang tabi’in besar, Muhammad bin Sirin rahimahullah (Wafat: 110H) berkata:
إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ
“Sesungguhnya ilmu itu adalah diin (petunjuk kehidupan), oleh itu telitilah dengan baik daripada siapa kamu mengambil ilmu agama.” (lihat: Muqaddimah Shahih Muslim, 1/14)
Dan ketahui-lah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ يَوْمَ القِيَامَةِ
“Di hari kiamat kelak, seseorang itu bersama siapa yang dia cintai.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3535. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
10, Mendengar bacaan Al-Qur’an oleh para qari yang baik. Di samping memperbaiki bacaan, menyemak tafsirannya, dan menambahkan hafalan terhadap ayat-ayat suci Al-Qur’an. Secara tidak langsung akan mengikis kecenderungan dan kesibukkan terhadap nyanyi-nyanyian dan muzik.
Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
“Dikatakan kepada ahli Al-Qur’an: bacalah dan bersemangatlah, dan tartilkanlah sebagaimana engkau mentartilkannya di dunia, kerana sesungguhnya kedudukan engkau berada pada akhir ayat yang engkau baca.” (Sunan Abi Daud, no. 1464. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Disebutkan dari perkataan sebahagian ahli ilmu:
فقد قال بعض العارفين لمريد: أتحفظ القران؟ قال: لا، قال: وا غوثاه يا لمريد لا يحفظ القران فيم يتغنى؟ فيم يترنم؟ فيم يناجي ربه تعالى؟
“Sebahagian orang yang berilmu berkata kepada muridnya, “Adakah engkau menghafal Al-Qur’an?”
Murid menjawab, “Tidak.” Syaikh berkata, “Betapa malangnya wahai orang yang mencari ilmu, tetapi tidak menghafal Al-Qur’an. Jadi, kepada apakah dia akan dapat melagukan suaranya? Kepada apa dia dapat melantunkan suaranya? Dan dengan apakah dia akan dapat bermunajat kepada Rabbnya yang maha Tinggi?” (Asy-Syari’ah Al-Islamiyyah, m/s. 318. Dinukil dari: Izhab Al-Hazan wa Syifa’ Ash-Shadr As-Saaqiim Al-Manhaj Nabawi fii Ta’liim Al-Qur’an oleh Dr. ‘Abdussalam Muqbil Al-Majidi, m/s. 290)
Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) berkata dalam Shahihnya sebagai judul bab:
مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالقُرْآنِوَقَوْلُهُ تَعَالَى: {أَوَلَمْ يَكْفِهِمْ أَنَّا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الكِتَابَ يُتْلَى عَلَيْهِمْ} [العنكبوت: 51]
“Sesiapa yang tidak melagukan suaranya dengan Al-Qur’an dan Allah Ta’ala berfirman:
“Adakah tidak cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepada engkau Al-Kitab (Al-Qur’an) yang dibacakan kepada mereka?” (Surah Al-‘Ankabuut, 29: 51).” (Shahih Al-Bukhari, 6/191)
11, Mendengar rakaman kuliah-kuliah (pengajian) ilmu yang syar’i lagi bermanfaat. Rakaman-rakaman pengajian ilmu dalam bentuk rakaman mp3, VCD, CD (Audio), DVD, dan lain-lain kini boleh diperolehi dengan mudah seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat. Selain rakaman bacaan Al-Qur’an, rakaman-rakaman kuliah ini juga mampu menjadi alternatif menggantikan hal-hal lagha seperti drama, filem, nyanyi-nyanyian dan muzik. Serta mampu menemani ketika dalam perjalanan (dalam kenderaan seperti kereta dan bas), ketika di bilik tidur, dan sebagainya. Selain itu, amalan ini juga mampu melahirkan minat untuk menghadiri majlis-majlis ilmu secara langsung dan memupuk semangat untuk membuat semakkan terhadap kitab-kitab para ulama.
12, Sibukkanlah diri kita dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Nescaya kita akan kehilangan waktu untuk melaksanakan perkara yang tidak bermanfaat.
Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ
“Sebahagian dari baiknya keislaman seseorang adalah dia meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat buat dirinya.” (Musnad Ahmad, no. 1737. Sunan at-Tirmidzi, no. 2317, 2718. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan hasan oleh An-Nawawi, Ibnu Hajar, dan Syu’aib Al-Arnauth)
Hadis dari Musnad Ahmad, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ
“Sesungguhnya tidaklah engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah, melainkan Allah akan gantikan untukmu dengan apa yang lebih baik bagimu darinya.” (Musnad Ahmad, no. 23074)
Lihat artikel dengan judul “Yang Tidak Bermanfaat, Tinggalkanlah…”
13, Bertaqwalah kepada Allah, agar mendapat pertolongan, perlindungan dan keselamatan. Nescaya banyak perkara akan terungkai dan dipermudah.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَنَجَّيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ
“Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Fush-shilat, 41: 18)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا
“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan untuknya jalan keluar.” (Surah Ath-Thalaq, 65, 2)
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan mempermudah urusannya.” (Surah Ath-Thalaq, 65: 4)
Lihat artikel dengan judul “Mulia Dengan Taqwa.”
14, Mengetahui bahawa ketenangan tidak akan diperolehi dengan muzik dan nyanyi-nyanyian yang merupakan maksiat dan kemungkaran. Sebaliknya ketenangan diperolehi dengan banyak mengingat Allah, iaitu dengan dzikir, taubat, amal-amal soleh, dan kembali kepada-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki. Dan itulah sifat orang-orang yang beriman.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenang tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang tenteram.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 28)
Selesai artikel.
Wallahu a’lam…