Mulia Dengan Taqwa

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Manusia akan dianggap bernilai dan mulia di sisi Allah dengan ketaqwaan, bukan dengan pangkat dan jawatan, garis keturunan dan nasab, dan bukan pula dengan kekuasaan mahupun harta.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling TAQWA di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 13)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak inginkan ketinggian (kedudukan dan kemegahan) dan yang tidak berbuat fasad (kerosakan) di muka bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah untuk Al-MUTTAQIN (orang-orang BERTAQWA).” (Surah Al-Qashash, 28: 83)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidaklah melihat kepada rupa paras dan harta-harta kalian. Akan tetapi, Allah melihat kepada hati-hati dan amalan-amalan kalian.” (Shahih Muslim, no. 2564)

Di hari-hari Tasyriiq yang agung, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berkhutbah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا أَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى

“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Rabb kalian adalah satu, dan ayah kalian semua adalah satu. Ketahuilah, tidak ada keutamaan orang ‘Arab di atas orang ‘Ajam, juga tidak ada (keutamaan) orang ‘Ajam di atas orang ‘Arab, serta tidak ada (keutamaan) orang berkulit merah di atas orang yang berkulit hitam, dan tidak ada (keutamaan) orang berkulit hitam di atas orang berkulit merah, kecuali dengan KETAQWAAN.” (Musnad Ahmad, no. 23489. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam hadis yang lain daripada Mu’adz B. Jabal radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

“Bertaqwalah kepada Allah di mana pun engkau berada, ikutilah (tanganilah) keburukan itu dengan kebaikan nescaya kebaikan tersebut akan memadamkan keburukan tersebut. Dan berakhlak-lah terhadap manusia dengan akhlak yang baik.” (Musnad Ahmad, no. 21354. Sunan At-Tirmidzi, no. 1987. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Makna Taqwa

Taqwa adalah sikap hati-hati, takut dan menjaga diri dari perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

وأصل التقوى: التوقي مما يكره لأن أصلها وقوى من الوقاية

“Asal kata taqwa: adalah dengan berhati-hati (menjaga diri) dari apa-apa yang dibenci kerana asal kata taqwa itu berasal dari kata “الوقاية” iaitu penjagaan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/164)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

“Prinsip dasar taqwa ialah seorang hamba meletakkan pelindung di antara dirinya dengan sesuatu yang ia takutkan dan risaukan. Jadi, taqwa seseorang kepada Rabb-nya ialah dia meletakkan sesuatu (sebagai pelindung atau pembatas) dari sesuatu yang dia takutkan akan membuatkan Rabb-nya marah dan menghukumnya. Pelindung tersebut adalah melaksanakan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan.

Jika taqwa digandingkan dengan nama Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka maksudnya ialah takutlah kepada kemurkaan dan kemarahan-Nya, kerana ia adalah pelindung yang agung. Hukuman Allah di dunia dan akhirat terjadi kerana kemurkaan dan kemarahan-Nya.”

Kata beliau lagi, “Termasuk dalam cakupan makna taqwa adalah melaksanakan kewajiban-kewajiban, meninggalkan perkara-perkara haram, dan meninggalkan hal-hal yang syubhat. Boleh jadi setelah itu, adalah dengan turut melaksanakan sunnah-sunnah dan meninggalkan hal-hal yang makruh, inilah tingkatan taqwa yang tertinggi.” (Jaami’ al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/398 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib Al-Arnatuh)

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya tentang taqwa, lalu beliau pun bertanya kembali (kepada si penanya):

هل أخذتَ طريقاً ذا شوكٍ؟ قالَ: نعم، قالَ: فكيف صنعتَ؟ قال: إذا رأيت الشوكَ عدلْتُ عنه، أو جاوزته، أو قصرت عنه، قال: ذاك التقوى

“Adakah engkau pernah melalui jalan yang berduri?” Penanya berkata, “Ya.” Abu Hurairah bertanya lagi, “Bagaimana engkau menghadapinya?” Penanya menjelaskan, “Jika aku melihat duri, aku pun menghindarinya atau melangkahinya, atau menjauhkan diri darinya.” Abu Hurairah berkata, “Itulah taqwa.” (Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/402. As-Suyuthi, Ad-Durr Al-Mantsur, 1/61)

Mu’adz bin Jabal berkata:

يُنادى يوم القيامة: أين المتقون؟ فيقومون في كَنَفٍ من الرحمان لا يحتجِبُ منهم ولا يستترُ، قالوا له: مَنِ المتَّقون؟ قال: قومٌ اتَّقوا الشِّركَ وعبادةَ الأوثان، وأخلصوا للهِ بالعبادة

“Diseru pada hari Kiamat: “Mana dia orang-orang yang bertaqwa?” Mereka pun berdiri di sisi Ar-Rahman, Allah tidak menutup diri dan tidak pula bersembunyi dari mereka. Mereka berkata kepada Allah, “Siapakan orang-orang yang bertaqwa?” Allah berfirman, “Iaitu kaum yang takut syirik dan dan takut menyembah berhala, sebaliknya mereka ikhlash hanya kepada Allah dalam ibadah mereka.”

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

المتَّقون الذين يَحْذَرون من الله عقوبتَه في ترك ما يعرفون من الهدى، ويَرجون رحمَته في التصديق بما جاء به

“Orang-orang yang bertaqwa ialah orang-orang yang takut hukuman Allah kerana meninggalkan petunjuk yang telah mereka ketahui dan mereka mengharap rahmat-Nya dengan membenarkan apa yang Dia bawa.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/163)

Beliau juga berkata:

المؤمنين الذين يتَّقون الشرك بي، ويعملون بطاعتي

Al-Muttaqiin (orang-orang yang bertaqwa) adalah orang-orang yang takut berbuat syirik dan sentiasa berbuat taat kepada Allah.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/163)

Ini antaranya disebut dalam ayat yang menyebutkan tentang seruan para Nabi kepada kaumnya:

يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلَا تَتَّقُونَ

“Wahai kaumku ibadahilah Allah (sahaja) yang tidak ada bagi kalian ilah (yang berhak diibadahi) selain-Nya. Mengakah kalian tidak bertaqwa?” (lihat: Surah Al-A’raaf, 7: 65, Al-Mu’minun, 23: 23, 32)

Sebaik perintah dan seruan agar beribadah hanya kepada Allah, padanya diikuti atau diiringi pula dengan seruan taqwa, “أَفَلَا تَتَّقُونَ” (Mengakah kalian tidak bertaqwa?). Iaitu dengan cara beribadah hanya kepada Allah. Iaitu sifat orang bertaqwa adalah beribadah hanya kepada Allah dengan sebenar-benar pengabdian.

‘Ali B. Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu ketika ditanya tentang makna taqwa, beliau pun mengatakan:

الخوف من الجليل والعمل بالتنزيل والرضا بالقليل والاستعداد ليوم الرحيل

“Perasaan takut kepada Allah Al-Jaliil, dan beramal dengan apa yang Allah turunkan, redha dengan yang sedikit, dan sentiasa bersiap sedia dengan Hari Kemudian.”

Dari kalangan Tabi’in, Thalq B. Habib rahimahullah. Bakr Al-Mazni berkata, ketika fitnah Ibn Al-‘Asy’ats melanda (iaitu peristiwa kekacauan dan pemberontakan melawan penguasa – pent.), Thalq B. Habib pun berkata, “Hadapilah ia dengan taqwa.” Orang-orang pun berkata, “Sifatkanlah (jelaskanlah) kepada kami apa itu taqwa?” Maka Thalq B. Habib pun berkata:

اعْمَلْ بِطَاعَةِ اللهِ عَلَى نُورٍ مِنَ اللهِ تَرْجُو ثَوَابَ اللهِ، وَالتَّقْوَى تَرْكُ الْمَعَاصِي عَلَى نُورٍ مِنَ اللهِ مَخَافَةَ عِقَابِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Taqwa adalah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya (petunjuk) Allah, mengharap ampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya (petunjuk) Allah, dan takut terhadap azab Allah.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 30356. Tafsir Ibnu Abi Hatim, no. 2404. Abu Nu’aim, Hilyatul Awliyaa’, 3/64. Adz-Dzahabi, Siyar A’lam An-Nubalaa’, 4/601)

‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz rahimahullah (Wafat: 101H) berkata:

ليس تقوى الله بصيام النهار ولا بقيام الليل والتخليط فيما بين ذلك ولكن تقوى الله ترك ما حرم الله وأداء ما افترض الله فمن رزق بعد ذلك خيرا فهو خير إلى خير

“Taqwa kepada Allah bukanlah dengan berpuasa di siang hari, atau berjaga di malam hari untuk beribadah, atau mengerjakan kedua-duanya. Namun, taqwa kepada Allah itu adalah dengan meninggalkan apa sahaja yang diharamkan Allah dan melaksanakan apa jua kewajiban dalam agama. Sesiapa yang dikurniakan kebaikan setelah itu, maka itu adalah kebaikan menuju kebaikan.” (Jami’ al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/400)

Imam Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) berkata:

المتقون اتَّقَوا ما حُرِّم عليهم، وأدَّوا ما افْتُرِض عليهم

Al-Muttaqiin (orang-orang yang bertaqwa): adalah yang menjauhi apa yang diharamkan Allah ke atas mereka dan melaksanakan apa yang diwajibkan Allah kepada mereka.” (Tafsir Ath-Thabari, no. 261. Tafsir Ibnu Katsir, 1/163)

Beliau juga berkata:

ما زالت التقوى بالمتقين حتَّى تركوا كثيراً من الحلال مخافة الحرام

“Tidaklah hilang sifat taqwa dari orang yang bertaqwa sampai-sampai dia mampu meninggalkan banyak sekali dari hal-hal yang halal kerana takut hal-hal yang halal tersebut membuka jalan kepada suatu yang haram.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/401)

Berkata Musa bin A’yan:

المتقون تنزَّهوا عن أشياء من الحلال مخافة أنْ يقعوا في الحرام، فسماهم الله متقين

“Orang-orang yang bertaqwa menjauhi banyak sekali hal-hal yang halal kerana takut hal tersebut menjerumuskannya ke dalam hal-hal yang haram. Oleh itu Allah pun menamakan mereka sebagai orang-orang yang bertaqwa.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/401)

Wasiat Taqwa

Kalau diperhatikan baik-baik, pasti kita akan temui begitu banyak sekali perintah dan saranan sama ada di dalam al-Qur’an mahupun hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, agar bertaqwa. Bahkan ia sering sekali di-wasiatkan oleh Rasulullah kepada para sahabatnya di banyak tempat dan keadaan. Demikian jugalah yang dilakukan oleh para salaf lainnya dari kalangan sahabat kepada yang lainnya. Kerana nasihat taqwa adalah sebuah pesanan yang mencakupi segala perkara kebaikan secara umum.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ

“Dan sesungguhnya kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberikan Al-Kitab dari kalangan sebelum kamu dan juga kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah…” (Surah An-Nisaa’, 4: 131)

‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu menulis surat (berwasiat) kepada anaknya, ‘Abdullah Ibn ‘Umar:

أما بعدُ، فإني أُوصيك بتقوى الله – عز وجل -، فإنَّه من اتقاه وقاه، ومَنْ أقرضه جزاه، ومَنْ شكره زاده، فاجعل التقوى نصبَ عينيك وجلاء قلبك

“Amma ba’d, aku berwasiat kepada engkau hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla. Kerana sesiapa yang bertaqwa kepada-Nya, Dia kan melindunginya. Sesiapa yang bersyukur kepada-Nya, Dia akan menambahkan nikmat kepadanya. Jadikanlah taqwa di kedua kelopak mata dan hatimu.” (Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/406)

‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu ketika melantik seorang lelaki sebagai panglima bagi satu barisan ketenteraan, beliau berkata kepadanya:

أُوصيك بتقوى الله الذي لابُدَّ لك من لقائه، ولا منتهى لك دونَه، وهو يَملِكُ الدنيا والآخرة

“Aku berwasiat kepada engkau hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah yang pasti engkau temui-Nya, dan tidak akan dapat menghindar dari-Nya. Dia pemilik dunia dan akhirat.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 34499)

‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz rahimahullah pernah menulis surat kepada seseorang, beliau berkata:

أُوصيك بتقوى الله – عز وجل – التي لا يقبلُ غَيرَها، ولا يَرْحَمُ إلاَّ أهلَها، ولا يُثيبُ إلا عليها، فإنَّ الواعظين بها كثير، والعاملين بها قليل، جعلنا الله وإيَّاك من المتقين

“Aku berwasiat kepada engkau, bertaqwalah kepada Allah ‘Azza wa Jalla, yang mana Dia tidaklah menerima selain taqwa, tidak mengasihi melainkan kepada ahlinya (orang-orang bertaqwa), dan tidak memberi ganjaran melainkan kepada orang-orang yang bertaqwa. Kerana sesungguhnya orang-orang yang menyuruh kepada taqwa itu ramai sekali tetapi yang mengamalkannya sedikit sekali. Semoga Allah menjadikan engkau dan aku termasuk dari kalangan al-Muttaqiin (orang-orang yang bertaqwa).” (Hilyatul Awliyaa’ oleh Abu Nu’aim, 5/267)

Seseorang berkata kepada Yunus bin ‘Ubaid, “Berilah wasiat kepadaku.” Maka beliau pun berkata:

أُوصيك بتقوى الله والإحسّان، فإنَّ الله مَعَ الذين اتَّقَوا والَّذينَ هُمْ مُحسِنُون

“Aku wasiatkan kepada engkau, bertaqwalah kepada Allah dan berbuat ihsanlah (berbuat baik), kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang muhsin (ikhlas dalam melakukan ketaatan).” (Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/406)

Dikatakan kepada salah seorang Tabi’in tatkala saat menjelang wafatnya, “Berilah wasiat kepada kami.” Beliau pun mewasiatkan:

أوصيكم بخاتمة سورةِ النحل : { إِنَّ اللهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ }

“Aku wasiatkan kepada kalian dengan penutup surah An-Nahl, “Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa, mereka adalah muhsinuun (orang-orang yang ikhlas dalam ketaatan kepada Allah).” (Surah An-Nahl, 16: 128)

Taqwa Adalah Jalan Keluar Permasalahan

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan untuknya jalan keluar. Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak dijangkakan.” (Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3)

Taqwa Dengan Ilmu

Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) berkata:

وأصلُ التقوى: أنْ يعلم العبدُ ما يُتَّقى ثم يتقي، قال عونُ بنُ عبد الله: تمامُ التقوى أنْ تبتغي علمَ ما لم يُعلم منها إلى ما عُلِمَ منها

“Ushul Taqwa adalah seseorang hamba itu berilmu terhadap apa-apa yang perlu dia takuti (khuwatirkan), kemudian dia pun mengkhuwatirkannya. ‘Aun bin Abdillah berkata, “Puncak kesempurnaan taqwa ialah engkau mencari ilmu pengetahuan terhadap apa-apa yang tidak diketahuinya kepada apa-apa yang diketahuinya.”

Tidak mungkin seseorang boleh menjadi orang bertaqwa sedangkan dia tidak mengetahui apa yang harus diawasinya? Jika engkau tidak bertaqwa dengan baik, maka engkau akan memakan riba (kerana tidak mengetahui ianya riba – pent.). Jika engkau tidak bertaqwa dengan baik lalu engkau bertemu dengan wanita, engkau pun tidak menahan pandangan darinya (kerana tidak mengetahui ianya terlarang – pent.).” (Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 1/402)

Menggapai Taqwa dan Ciri-ciri Al-Muttaqiin

1, Menuntut ilmu yang benar dan mengamalkannya.

2, Mentauhidkan Allah meninggalkan syirik, melaksanakan perintah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya.

3, Menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai petunjuk. (Rujuk: Surah al-Baqarah, 2: 2)

4, Beriman dengan perkara-perkara ghaib, menjaga solat, dan berinfaq. (Rujuk: Surah al-Baqarah, 2: 3)

5, Sentiasa berdoa, dan memohon keampunan Allah. (Rujuk: Surah Ali ‘Imran, 3: 133)

6, Sangat menginginkan Syurga dan takut dengan neraka. (Rujuk: Surah Ali ‘Imran, 3: 133)

7, Bergaul dengan orang-orang soleh dan berilmu.

8, Tidak menginginkan ketinggian, kedudukan, kekuasaan, dan tidak menyombongkan diri di muka bumi serta tidak berbuat kerosakan. (Rujuk: Surah Al-Qashash, 28: 83)

9, Mentaati pemerintah dalam hal-hal yang ma’ruf, dan menjauhi perselisihan dengan tetap berpegang kepada jalan hidup para sahabat. (Disebutkan dalam beberapa hadis)

10, Menepati janji. (Rujuk: Surah Ali ‘Imran, 3: 76)

11, Bersabar dalam pelbagai keadaan. (Rujuk: Surah Al-Baqarah, 2: 177)

Keutamaan Taqwa

1, Orang-orang yang bertaqwa dijanjikan (diwariskan) Syurga oleh Allah. (Rujuk: Surah Maryam, 19: 63)

2, Orang-orang bertaqwa dicintai Allah. (Rujuk: Surah Ali ‘Imran, 3: 76)

3, Allah sentiasa bersama orang-orang yang bertaqwa. (Rujuk: Surah An-Nahl, 16: 128)

4, Diberikan jalan keluar dari kesusahan, dibukakan rezeki dari arah yang tidak dijangkakan, serta dipermudahkan urusannya. (Rujuk: Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3, dan 4)

5, Dibukakan keberkahan dari langit dan bumi bagi orang yang bertaqwa. (Rujuk: Surah Al-A’raaf, 7: 96)

6, Taqwa adalah sebaik-baik bekal di dunia dan akhirat. (Rujuk: Surah Al-Baqarah, 2: 197)

7, Taqwa adalah tanda orang berakal. (Rujuk: Surah Al-Baqarah, 2: 197)

8, Kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Rujuk: Surah Al-A’raaf, 7: 128)

Dan banyak lagi lainnya…

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest