Tidak Disukai Menadah Tangan Ketika Berdoa Dalam Khuthbah Juma’at
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Dalam artikel yang lalu, penulis telah mengemukakan secara ringkas tentang sunnah dan adab-adab mengangkat atau menadah tangan dalam berdoa. Untuk tulisan kali ini, penulis kemukakan pula sedikit tambahan atau perincian dari artikel lalu tentang disunnahkan agar tidak menadah tangan ketika berdoa dalam khuthbah Juma’at, tetapi sebaliknya disunnahkan bagi khathib (juru khuthbah) agar mengangkat tangan sambil berisyarat dengan jari telunjuknya (ke langit) ketika berdoa.
Perbuatan menadah tangan ketika berdoa dalam khuthbah Juma’at adalah termasuk perkara yang tidak disukai (tidak sunnah). Secara umumnya, amalan menadah tangan ketika berdoa adalah disunnahkan, namun secara khusus ketika dalam khuthbah Juma’at, ia dikecualikan. Berikut penulis kemukakan secara ringkas nukilan-nukilan penjelasan berdasarkan hadis-hadis dan fatwa-fatwa para ulama dalam perkara ini.
Dalam Shahih Muslim, ‘Umarah B. Ru’aybah berkata:
رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ، فَقَالَ: قَبَّحَ اللهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ، لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا، وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ
“Aku melihat Bisyr B. Marwan mengangkat kedua tangannya (ketika berdoa di ketika khuthbah) di atas mimbar. ‘Umarah lalu berkata kepadanya:
“Semoga Allah memburukkan kedua tanganmu ini, kerana aku telah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika menjadi khathib tidak menambah lebih dari yang seperti ini.” dan ‘beliau (‘Umarah) sambil mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.”.” (Shahih Muslim, no. 847)
Anas B. Malik Radhiyallahu ‘anhu berkata:
كان النبي صلى الله عليه وسلم لا يرفع يديه في شيء من دعائه إلا في الاستسقاء، وإنه يرفع حتى يرى بياض إبطيه
“Biasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa (dalam khutbah Juma’at), kecuali ketika al-istisqaa’ (ketika berdoa memohon diturunkan hujan). Beliau mengangkat kedua tangannya sehingga terlihat ketiaknya yang putih.” (Shahih al-Bukhari, no.1031. Muslim, no.895)
Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
هذا فيه أن السنة أن لا يرفع اليد في الخطبة وهو قول مالك وأصحابنا وغيرهم وحكى القاضي عن بعض السلف وبعض المالكية اباحته لأن النبي صلى الله عليه و سلم رفع يديه في خطبة الجمعة حين استسقى وأجاب الأولون بأن هذا الرفع كان لعارض
“Dalam hadis ini menunjukkan sunnah ketika berdoa dalam khuthbah adalah dengan tidak mengangkat (menadah) tangan. Dan ini adalah qaul (pendapat) Imam Malik, para sahabat kami (dari kalangan ulama mazhab asy-Syafi’i), dan selain mereka. Dan al-Qadhi meriwayatkan dari sebahagian salaf dan sebahagian Malikiyyah (pengikut imam Malik), bahawa hal tersebut (mengangkat tangan ketika berdoa dalam khutbah) adalah dibolehkan kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya pada ketika khutbah Juma’at ketika beliau memohon diturunkan hujan. Dan dijawab oleh kelompok yang pertama bahawa perbuatan Nabi mengangkat tangan tersebut adalah kerana memiliki sebab (yang khusus, iaitu memohon hujan).” (Syarah Shahih Muslim, 6/162)
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
لكن قيد مالك الجواز بدعاء الاستستقاء كما في هذا الحديث
“Imam Malik mengaitkan bolehnya mengangkat kedua tangan (ketika berdoa dalam khuthbah) tersebut hanyalah ketika berdoa untuk memohon diturunkan hujan (al-istisqaa’) sebagaimana di dalam hadis pada bab ini.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/413)
Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H):
وَيُكْرَهُ لِلْإِمَامِ رَفْعُ يَدَيْهِ حَالَ الدُّعَاءِ فِي الْخُطْبَةِ وَهُوَ أَصَحُّ الْوَجْهَيْنِ لِأَصْحَابِنَا؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إنَّمَا كَانَ يُشِيرُ بِأُصْبُعِهِ إذَا دَعَا. وَأَمَّا فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَرَفَعَ يَدَيْهِ لَمَّا اسْتَسْقَى عَلَى الْمِنْبَرِ
“Dibenci bagi imam mengangkat (menadah) tangannya ketika berdoa di dalam khuthbah, dan padanya sahih terdapat dua wajah (bentuk) di sisi mazhab kami, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila berdoa (ketika khuthbah), beliau berisyarat dengan jari telunjuknya. Dan adapun ketika al-istisqaa’ (memohon hujan), maka beliau mengangkat kedua tangannya apabila berdoa memohon hujan di atas mimbar (ketika dalam khuthbah).” (Ibnu Taimiyah, al-Fatawa al-Kubra, 5/356)
Imam al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:
رَفْعُ الْيَدَيْنِ فِي الْخُطْبَةِ غَيْرُ مَشْرُوعٍ، وَفِي الاسْتِسْقَاءِ سُنَّةٌ، فَإِنِ اسْتَسْقَى فِي خُطْبَةِ الْجُمُعَةِ يَرْفَعُ يَدَيْهِ اقْتِدَاءً بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Mengangkat kedua belah tangan di dalam khuthbah tidaklah disyari’atkan, manakala ketika al-istisqaa’ (memohon hujan) ia adalah sunnah. Kerana istisqaa’ di dalam khuthbah Juma’at dengan mengangkat tangan adalah kerana mengikuti contoh daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Al-Baghawi, Syarhus Sunnah, 4/257. Bab: Dibencinya mengangkat dua tangan di dalam khuthbah)
Bahkan sebahagian ulama menetapkan amalan tersebut termasuk sebahagian dari bid’ah (hal yang diada-adakan dalam agama).
Kata Imam asy-Suyuthi rahimahullah (Wafat: 911H):
ورفع يديه عند الدعاء، فبدعة قديمة
“Dan mengangkat tangan ketika berdoa (di dalam khuthbah), maka ia adalah bid’ah yang telah lama ada.” (Asy-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘Anil Mungkar, m/s. 246. Bab: Bid’ah-bid’ah Yang Dilakukan Para Khathib – Daar Ibnul Qayyim)
Demikian juga yang dikemukakan oleh Imam Abu Syamah rahimahullah (Wafat: 665H) dalam kitab beliau, Al-Baa’its ‘ala Inkaril Bida’ wal-Hawadits, m/s. 84)
Imam As-Safaariiniy al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 1188H) berkata:
قال علماؤنا وغيرهم: يكزه للإِمام رفع يديه حال الدّعاء في الخطبة. قال المجد: هو بدعة. وفاقاً للمالكية، والشافعية، وغيرهم، ولا بأس أن يشير بأصبعه فيها
“Ulama kami (ulama dari kalangan mazhab Ahmad B. Hanbal) dan yang selainnya berkata: “Makruh bagi seorang imam mengangkat kedua tangannya ketika berdoa dalam khuthbah.
Telah berkata al-Majd, “Perkara tersebut adalah bid’ah, selari dengan pendapat ulama Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan yang lainnya. Dan tidak mengapa untuk berisyarat dengan jarinya ketika berkhuthbah.” (Syarah Tsulatsiyaat Musnad al-Imam Ahmad, 2/679 – Al-Maktab al-Islaami)
Diriwayatkan daripada Muhammad B. Sirin rahimahullah (Wafat: 110H):
أَوَّلُ مَنْ رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الْجُمُعَةِ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَعْمَرٍ
“Yang terawal memulakan mengangkat tangan di dalam al-Jumu’ah (ketika berdoa di dalam khuthbah Juma’at) adalah ‘Ubaidullah B. ‘Abdillah B. Ma’mar.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 5493, 35776)
Abu Zur’ah ad-Dimasyqi dalam kitab beliau, At-Taariikh (1/603-604, no. 1712) meriwayatkan – Habib B. ‘Ubaid berkata:
إن عبد الملك سأل غضيف بن الحارث الثمالي أن يرفع يديه على المنبر، فقال: أما أنا فلا أُجيبك إليها
“Sesungguhnya ‘Abdul-Malik (khalifah) bertanya (meminta) Ghudhaif B. Al-Haarits ats-Tsamaali (yang ditugaskan menjadi khathib) untuk mengangkat kedua tangannya di atas mimbar (ketika berdoa dalam khuthbah). Maka beliau (Ghudhaif) berkata: “Aku tidak mematuhi perintahmu untuk mengangkat tangan.” (Lihat juga Tarikh Madiinah Dimasyq)
Wallahu a’lam.