Beginilah Sunnah Mengangkat Tangan Ketika Berdoa

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Mengangkat atau menadah tangan ketika berdoa adalah perkara yang disyari’atkan dalam Islam. Perbuatan ini merupakan salah satu adab dalam berdoa selain menjadi sebab yang mendukung terkabulnya doa.

Sunnah Mengangkat Tangan

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik-baik. Sesungguhnya apa yang Allah perintahkan kepada orang mukmin itu sama sebagaimana yang diperintahkan kepada para Rasul. Allah Ta’ala berfirman:

“Wahai para Rasul, makanlah makanan yang baik dan laksanakanlah amalan soleh.” (Surah al-Mu’min, 40: 51)

Allah Ta’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah makanan yang baik yang telah Kami berikan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, 2: 172)

Lalu Nabi menyebutkan cerita seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan panjang, sampai rambutnya kusut dan berdebu. Dia MENADAHKAN TANGANNYA ke langit dan berkata (berdoa): “Wahai Rabb-ku… Wahai Rabb-ku…” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi dari makanan yang haram. Bagaimana doanya akan dikabulkan?” (Shahih Muslim, no. 1015)

Dalam hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

“Sesungguhnya Allah itu sangat pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu jika seorang lelaki mengangkat kedua tangannya untuk berdoa kepada-Nya, lalu Dia mengembalikannya dalam keadaan kosong dan hampa.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3556. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Hadis ini adalah dalil yang menunjukkan disunnahkan agar berdoa dengan mengangkat tangan secara umum. Tanpa terikat dengan waktu, keadaan, dan tempat. Walau bagaimana pun, ada beberapa pengecualian tentang sunnah mengangkat tangan ketika berdoa ini yang insyaAllah akan dirincikan di bawah.

Sunnah Mengangkat Tangan Ketika Berdoa

Banyak hadis-hadis yang menunjukkan sunnah ini. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

[1] Ketika doa al-istisqaa’ (memohon hujan) dalam khutbah

Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

كان النبي صلى الله عليه وسلم لا يرفع يديه في شيء من دعائه إلا في الاستسقاء، وإنه يرفع حتى يرى بياض إبطيه

“Biasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa, kecuali ketika al-istisqaa’. Beliau mengangkat kedua tangannya hingga terlihat ketiaknya yang putih” (Shahih Al-Bukhari no.1031, Muslim no.895)

Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

أنه حال الخطبة لا يرفع يديه إلا إذا دعا للاستسقاء

“Bahawasanya dalam ketika khutbah, Nabi tidak pernah mengangkat kedua tangannya kecuali apabila (dalam waktu khuthtbah tersebut) beliau berdoa untuk memohon hujan.” (Syarhul Mumthi’, 5/218 – Daar Ibnul Jauzi, Cet. 1)

Ini menunjukkan bahawa ia dilakukan ketika al-istisqaa’ (memohon hujan) sama ada ketika khuthbah istisqaa’ secara khusus, ataupun dalam khutbah yang lainnya secara umum termasuk khuthbah Juma’at.

[2] Ketika Doa Qunut Nazilah

Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

فَلَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى الْغَدَاةَ رَفَعَ يَدَيْهِ فَدَعَا عَلَيْهِمْ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di setiap solat Subuh, beliau mengangkat kedua tangannya dan mendoakan keburukan bagi mereka.” (Musnad Ahmad, no. 12402. Dinilai sahih oleh an-Nawawi dan Syu’aib al-Arnauth)

[3] Ketika melontar jamrah

Sebagaimana hadis dalam Shahih al-Bukhari:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَمَى الجَمْرَةَ الَّتِي تَلِي مَسْجِدَ مِنًى يَرْمِيهَا بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ، يُكَبِّرُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ، ثُمَّ تَقَدَّمَ أَمَامَهَا، فَوَقَفَ مُسْتَقْبِلَ القِبْلَةِ، رَافِعًا يَدَيْهِ يَدْعُو، وَكَانَ يُطِيلُ الوُقُوفَ، ثُمَّ يَأْتِي الجَمْرَةَ الثَّانِيَةَ، فَيَرْمِيهَا بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ، يُكَبِّرُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ، ثُمَّ يَنْحَدِرُ ذَاتَ اليَسَارِ، مِمَّا يَلِي الوَادِيَ، فَيَقِفُ مُسْتَقْبِلَ القِبْلَةِ رَافِعًا يَدَيْهِ يَدْعُو، ثُمَّ يَأْتِي الجَمْرَةَ الَّتِي عِنْدَ العَقَبَةِ، فَيَرْمِيهَا بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ، يُكَبِّرُ عِنْدَ كُلِّ حَصَاةٍ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ وَلاَ يَقِفُ عِنْدَهَا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasanya ketika melontar jamrah yang berdekatan dengan masjid Mina, beliau melontarnya dengan tujuh batu kecil. Beliau bertakbir pada setiap lontaran (atau lemparan) lalu berdiri di depannya menghadap kiblat, berdoa sambil mengangkat kedua tanganya. Beliau berdiri di situ lama sekali. Kemudian mendatangi jamrah yang kedua, lalu melontarnya dengan tujuh batu kecil. Beliau bertakbir di setiap lontaran, lalu menepi ke sisi kiri al-Wadi (lembah). Beliau berdiri menghadap ke kiblat, lalu berdoa sambil mengangkat kedua tangannya. Kemudian beliau mendatangi Jamrah ‘Aqabah, beliau melontarnya dengan tujuh batu kecil. Beliau bertakbir di setiap lontaran lalu pergi dan tidak berhenti di situ.” (Shahih al-Bukhari, no. 1753. Bab: Doa ketika melontar dua jamrah)3 golongan doa mustajab

[4] Ketika wukuf di ‘Arafah

Usamah B. Zaid radhiyallahu ‘anhu berkata:

 كُنْتُ رِدْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَرَفَعَ يَدَيْهِ يَدْعُو

“Aku pernah dibonceng oleh Rasulullah Shallallahu’alaihi wa Sallam di Arafah. Di sana beliau mengangkat kedua tangannya lalu berdoa.” (Musnad Ahmad, no. 21821. Sunan an-Nasaa’i, no. 3011. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

[5] Ketika mendoakan ahli kubur di saat ziarah kubur

Sebagaimana hadis dalam Shahih Muslim (dari sebuah hadis yang panjang):

فَقَامَ، فَأَطَالَ الْقِيَامَ، ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ انْحَرَفَ فَانْحَرَفْتُ

“(Ketika di perkuburan Baqi’) Nabi berdiri cukup lama dan kemudian mengangkat kedua tangannya tiga kali. Dan kemudian beliau pun terus pulang…” (Shahih Muslim, no. 974)

InsyaAllah, masih banyak lagi hadis-hadis yang lain yang menunjukkan disyaria’tkannya perkara ini, iaitu mengangkat dan menadah tangan di ketika berdoa.

Doa Yang Tidak Disunnahkan Mengangkat/Menadah Tangan

Walaupun di sana terdapat dalil-dalil yang menjelaskan sunnahnya berdoa dengan menadah atau mengangkat tangan, namun perlu juga diketahui di sana juga terdapat dalil-dalil yang menunjukkan tidak disunnahkan mengangkat atau menadah tangan ketika berdoa pada tempat, waktu atau keadaan tertentu.

Syaikh Abdul ‘Aziz B. Baaz rahimahullah berkata:

وقد صح عنه صلى الله عليه وسلم في أحاديث كثيرة أنه رفع يديه في الدعاء في خطبة الاستسقاء، وعند الجمرة الأولى والثانية في أيام التشريق في حجة الوداع، وفي مواضع كثيرة، ولكن كل عبادة وجدت في عهده صلى الله عليه وسلم، ولم يرفع فيها يديه فإنه لا يشرع لنا أن نرفع أيدينا فيها؛ تأسياً به صلى الله عليه وسلم، كخطبة الجمعة، وخطبة العيد، والدعاء بين السجدتين، والدعاء في آخر الصلاة، والدعاء أدبار الصلوات الخمس؛ لأن ذلك لم يثبت عنه صلى الله عليه وسلم، والمشروع لنا التأسي به صلى الله عليه وسلم في الفعل والترك

“Bahawasanya telah sahih Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengangkat tangan ketika berdoa sebagaimana di hadis-hadis yang banyak. Sesungguhnya beliau mengangkat tangan ketika berdoa al-istisqaa’, ketika melontar jamrah yang pertama dan kedua, ketika di awal-awal hari tasyriq, ketika haji wada’, dan pada tempat-tempat yang lain. Namun setiap ibadah (doa) yang dilakukan di masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, jika ketika melakukannya beliau tidak mengangkat kedua tangannya, bererti hal tersebut tidak disyari’atkan kepada kita ketika melakukan ibadah tersebut. Ini dalam rangka meneladani Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Contohnya ketika doa dalam khuthbah Juma’at, khuthbah ‘Ied, doa ketika di antara dua sujud dalam solat, doa-doa dzikir setelah solat fardhu yang lima, kerana tidak ada dalil yang menunjukkan hal tersebut. Yang disyari’atkan kepada kita adalah meneladani Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam melakukan sesuatu atau meninggalkan suatu (dalam ibadah).” (Majmu’ Fatawa Ibnu Baaz, 26/144)

Di antara contoh-contoh doa yang padanya tidak disyari’atkan agar mengangkat atau menadah tangan adalah seperti doa istiftah, doa ketika sujud, doa ketika setelah tasyahhud sebelum salam dalam solat, doa ketika hendak makan, doa ketika hendak masuk tandas, doa ketika mahu mendatangi isteri, dan doa ketika sebaik selesai adzan. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mencontohkan kepada kita agar mengangkat tangan dalam doa-doa ini. Seandainya tetap ada yang mahu mengangkat atau menadah tangan dalam doa-doa ini, maka sebenarnya mereka telah menambah-nambah pensyari’atan sesuatu ibadah, yang mana Nabi tidak melakukan mahupun mensunnahkannya, tiba-tiba kita pula yang sibuk menganggapnya termasuk sunnah lalu membiasakannya.

Cara Mengangkat Tangan Dalam Berdoa

Tata cara mengangkat atau menadah tangan dalam berdoa dapat dibahagikan kepada tiga bentuk atau cara.

Dalam sebuah atsar daripada sahabat Nabi, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

الْمَسْأَلَةُ أَنْ تَرْفَعَ يَدَيْكَ حَذْوَ مَنْكِبَيْكَ، أَوْ نَحْوَهُمَا، وَالِاسْتِغْفَارُ أَنْ تُشِيرَ بِأُصْبُعٍ وَاحِدَةٍ، وَالِابْتِهَالُ أَنْ تَمُدَّ يَدَيْكَ جَمِيعًا

Al-Mas’alah (doa secara umum) adalah dengan mengangkat kedua tanganmu sebatas bahu atau sekitar keduanya. Al-Istighfaar adalah dengan satu jari yang menunjuk (ke atas). Al-Ibtihaal (doa ketika kecemasan dan mengadu di kala musibah) adalah dengan mengangkat sambil menadahkan kedua tangan-mu secara bersamaan.” (Sunan Abu Daud, no. 1489. Bab: Ad-Du’a. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dari hadis ini mengandungi tiga bentuk tata cara mengangkat tangan dalam berdoa. Kemudian, memang terdapat hadis-hadis yang menunjukkan ketiga-tiga tata cara berdoa dengan cara tersebut dilakukan oleh Nabi.

[Pertama] al-Mas’alah.

Merupakan jenis yang umum dan dilakukan ketika berdoa memohon sesuatu. Bentuk ini juga yang digunakan atau dipraktikkan ketika membaca doa qunut, al-Istisqaa’ dan di beberapa rangkaian ibadah haji. Iaitu dengan membuka kedua telapak tangan dan mengangkatnya sebatas bahu, sebagaimana digambarkan oleh Ibnu ‘Abbas.

Juga berdasarkan hadis yang lain:

إِذَا سَأَلْتُمُ اَللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ وَلاَ تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا

“Jika engkau memohon (berdoa) kepada Allah, mintalah dengan telapak tanganmu, jangan dengan punggung tanganmu.” (Sunan Abu Daud, no. 1486. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Namun para ulama berbeza pendapat mengenai perincian bentuk atau tata caranya:

Ulama dari kalangan mazhab Hanafi mengatakan bahawa kedua telapak tangan dibuka namun kedua tangan tidak saling menempel, melainkan ada celah di antara keduanya. (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/266)

Ulama dari kalangan mazhab asy-Syafi’i mengatakan telapak tangan mengarah ke langit dan punggung tangan ke arah bumi, boleh saling ditempelkan ataupun tidak. Ini dilakukan dalam doa untuk mengharapkan terkabulnya sesuatu. Manakala untuk mengharapkan hilangnya bala keburukan, punggung tangan yang menghadap ke langit, telapak tangan mengarah ke bumi (iaitu al-Ibtihal). (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/266)

Manakala bagi mazhab Hanbali, mereka berpendapat kedua tangan saling ditempelkan berdasarkan hadis:

كَانَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم إِذا دَعَا ضم كفيه وَجعل بطونهما مِمَّا يَلِي وَجهه

“Biasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika berdoa, beliau saling menempelkan kedua telapak tangannya dan melihat pada kedua telapak tangannya.” (Ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabiir, no. 5226. Dinilai dha’if sanadnya oleh al-‘Iraqi). (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/266)

Syaikh Bakr B. ‘Abdillah Abu Zaid rahimahullah mengatakan:

“Pada ketiga-tiga tata cara mengangkat tangan ketika berdoa tersebut terdapat hadis-hadisnya terkait perbuatan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam…

Tata cara (posisi) yang pertama, adalah posisi doa al-‘Aam (secara umum), dan doa permohonan agar terangkatnya permasalahan, dan ia disebut sebagai doa. Dan caranya adalah dengan mengangkat kedua telapak tangan setinggi bahu atau yang setara dengannya, sambil saling menempelkan keduanya, tapak tangan dihadapkan ke langit, manakala punggung tapak tangan menghadap bumi.” (Bakr Abu Zaid, Tashiih ad-Du’aa, m/s. 116-117. Daar al-‘Aashimah)Syirik_Menghapuskan_Amalan

[Kedua] Al-Istighfaar.

Disebut juga dengan ikhlash, iaitu dengan cara mengacungkan jari telunjuk tangan kanan. Tata cara ini khusus ketika waktu berdzikir dan doa sewaktu berkhuthbah di atas mimbar (hari Juma’at), ketika bertasyahhud di dalam solat, dan sewaktu membaca dzikir, pujian, dan tahlil di luar solat.

Ini antaranya sebagaimana hadis yang terdapat dalam Shahih Muslim, ‘Umarah B. Ru’aybah berkata:

رَأَى بِشْرَ بْنَ مَرْوَانَ عَلَى الْمِنْبَرِ رَافِعًا يَدَيْهِ، فَقَالَ: قَبَّحَ اللهُ هَاتَيْنِ الْيَدَيْنِ، لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا، وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ الْمُسَبِّحَةِ

“Aku melihat Bisyr B. Marwan mengangkat kedua tangannya (ketika menjadi khatib) di atas mimbar. ‘Umarah lalu berkata kepadanya:

“Semoga Allah memburukkan kedua tanganmu ini, kerana aku telah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika menjadi khatib tidak menambah lebih dari yang seperti ini.” dan ‘beliau (‘Umarah) sambil mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.”.” (Shahih Muslim, no. 847). (Lihat: Bakr Abu Zaid, Tashiih ad-Du’aa, m/s. 117. Daar al-‘Aashimah)

Selain itu terdapat hadis ketika Nabi bersaksi ketika dalam khuthbah sewaktu haji wada’ setelah beliau menyebutkan beberapa bentuk wasiat-wasiat dan pesanannya, sebagaimana daripada Jabir B. ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkhutbah dalam Haji Wada’:

“(… Setelah menyebutkan khuthbahnya yang panjang…)

وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ، كِتَابُ اللهِ، وَأَنْتُمْ تُسْأَلُونَ عَنِّي، فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ؟» قَالُوا: نَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ وَأَدَّيْتَ وَنَصَحْتَ، فَقَالَ: بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ، يَرْفَعُهَا إِلَى السَّمَاءِ وَيَنْكُتُهَا إِلَى النَّاسِ «اللهُمَّ، اشْهَدْ، اللهُمَّ، اشْهَدْ» ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ أَذَّنَ

“… Aku tinggalkan untuk kamu semua apa yang jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan tersesat, iaitulah Kitab Allah. Kamu semua akan ditanya tentang aku, lalu bagaimana akan kalian jawab nanti?” Mereka pun mengatakan, “Kami bersaksi bahawa engkau benar-benar telah menyampaikan dan menunaikan nashihat kepada kami.” Kemudian beliau bersabda sambil berisyarat (mengangkat) jari telunjuknya ke langit dan menghadap kepada orang ramai (lalu berkata): “Ya, Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, ya Allah saksikanlah.” Kemudian adzan pun dikumandangkan…” (Shahih Muslim, no. 1218)

[Ketiga] Al-Ibtihaal.

Ia adalah merendahkan diri dan sangat bersungguh-sungguh memohon kepada Allah, dan ia juga dinamakan sebagai du’a ar-rahb (doa ketika dalam keadaan genting dan cemas). Sifat atau tata caranya adalah dengan mengangkat kedua belah tangan setinggi-tingginya sehingga ruang ketiak terbuka. Juga disebutkan sampai terlihat kedua lengan bahagian atas, maksudnya keduanya diangkat pada kedudukan yang paling tinggi.

Sifat atau posisi seperti ini lebih khusus berbanding dua bentuk yang yang terdahulu. Posisi ini dilakukan khusus pada keadaan susah dan ketika merasa takut (tertekan), seperti contohnya ketika keadaan kemarau, dikepung musuh, dan keadaan-keadaan cemas lagi tertekan lainnya. Bentuk atau tata cara ini berpijak di atas dalil hadis daripada Anas.

Anas B. Malik Radhiyallahu ‘anhu berkata:

كان النبي صلى الله عليه وسلم لا يرفع يديه في شيء من دعائه إلا في الاستسقاء، وإنه يرفع حتى يرى بياض إبطيه

“Biasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengangkat kedua tangannya ketika berdoa (dalam khutbah Juma’at), kecuali ketika al-istisqaa’ (ketika berdoa memohon diturunkan hujan). Beliau mengangkat kedua tangannya sehingga terlihat ketiaknya yang putih.” (Shahih al-Bukhari, no.1031. Muslim, no.895)

Maksudnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak mengangkat kedua tangannya dengan sangat tinggi lagi sungguh-sungguh pada suatu doa (ketika khuthbah) melainkan ketika al-istisqaa’. Sampai-sampai disebutkan dalam sebuah hadis menyatakan seolah-olah punggung tangannya terbalik menghadap ke langit kerana terlalu tingginya diangkat dan terlalu sungguh-sungguh. (Lihat: Bakr Abu Zaid, Tashiih ad-Du’aa, m/s. 117-118. Daar al-‘Aashimah)

Sunnahkah Menyapu Muka Setelah Berdoa?

Diriwayatkan dari hadis ‘Umar bin Al-Khaththab, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

“Bahawa Nabi Shallallau ‘alaihi wa Sallam apabila mengangkat tangannya ketika berdoa, tidaklah beliau meletakkan (menurunkan) keduanya sampai beliau mengusapkannya pada wajahnya (mukanya).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3386)

Kata Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 278H):

هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ، لَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ حَمَّادِ بْنِ عِيسَى، وَقَدْ تَفَرَّدَ بِهِ وَهُوَ قَلِيلُ الحَدِيثِ، وَقَدْ حَدَّثَ عَنْهُ النَّاسُ، وَحَنْظَلَةُ بْنُ أَبِي سُفْيَانَ الجُمَحِيُّ هُوَ ثِقَةٌ، وَثَّقَهُ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ القَطَّانُ

“Hadis ini gharib, kami tidak mengetahui melainkan dari hadis Hammad bin ‘Isa, beliau tafarrud (menyendiri) dalam meriwayatkannya dan hadis beliau sedikit, dan orang-orang meriwayatkan daripadanya. Adapun Handzholah Ibn Abi Sufyaan Al-Jumahi, beliau tsiqah, ditsiqahkan oleh Yahya Ibn Sa’iid Al-Qaththaan.”

Hadis ini dinilai hasan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H). Namun sebahagian ulama yang lainnya yang antaranya adalah Abu Zur’ah Ar-Razi (sebagaimana dalam Al-‘Illal), Al-Bazzar (dalam Musnadnya), Al-Baihaqi (dalam As-Sunan Al-Kubra), Al-‘Izz ‘Abdissalam (dalam Fatawanya), An-Nawawi (dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab dan Al-Adzkar), Ibn Taimiyyah (dalam Al-Fatawa), Adz-Dzahabi (dalam Siyar A’lam An-Nubala’), Al-Albani (dalam Irwa’ul Ghalil) dan yang lainnya menilai hadis ini dha’if (lemah) kerana dha’ifnya Hammad bin ‘Isa.

Demikian hadis-hadis yang lainnya tentang permaslahan ini juga dinilai lemah oleh para ulama, tidak ada yang sahih menurut mereka.

Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (458H) menyebutkan:

فَأَمَّا مَسَحَ الْوَجْهَ بِالْيَدَيْنِ عِنْدَ الْفَرَاغِ مِنَ الدُّعَاءِ فَلَسْتُ أَحْفَظَهُ عَنْ أَحَدٍ مِنَ السَّلَفِ فِيْ دُعَاءِ الْقُنُوْتِ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيْثٌ فِيْهِ ضَعْفٌ، وَهُوَ مُسْتَعْمِلٌ عِنْدَ بَعْضِهِمْ خَارِجُ الصَّلَاةِ. وَأمَّا فِيْ الصَّلَاةِ فَهُوَ عَمَلٌ لَمْ يُثْبِتْ بِخَبَرٍ صَحِيْحٍ وَ لَا أَثَرٌ ثَابِتٌ وَلَا قِيَاسٌ، فَالْأَوْلَى أَنْ لَا يَفْعَلَهُ وَيَقْتَصِرُ عَلَى مَا فَعَلَهُ السَّلَفُ رَضِىَ اللهُ عَنْهُمْ مِنْ رَفْعِ الْيَدَيْنِ دُوْنَ مَسْحِهِمَا بِالْوَجْهِ فِيْ الصَّلَاةِ.

“Adapun menyapu muka dengan kedua tangan sebaik selesai berdoa, tidak ada yang aku hafaz dari seorang pun ulama Salaf (terdahulu) ia dilakukan pada qunut, walaupun ada diriwayatkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hadis yang dha’if (berkaitan mengusap muka pada doa di luar solat – pent.), dan diamalkan oleh sebahagian mereka di luar solat.

Adapun menyapu muka dalam solat, maka itu adalah amalan yang tidak tsabit dengan dalil sahih (yakni tiada sandaran yang sahih). Tidak ada atsar (riwayat) yang tsabit, dan tidak pula qiyas. Maka yang aula (utama) adalah tidak melakukannya. Memadai dengan apa yang telah dilakukan oleh para salaf radhiyallahu ‘anhum dari amalan mengangat tangan (ketika berdoa) tanpa mengusapkan keduanya pada wajah di dalam solat.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, 2/300)

Al-Imam Al-‘Izz bin ‘Abdis Salam rahimahullah (Wafat: 660H) berkata:

وَلَا يَمْسَحُ وَجْهَهُ بِيَدَيْهِ عَقِبَ الدُّعَاءِ إِلَّا جَاهِلٌ

“Dan tidaklah ada yang mengusap muka dengan kedua tangannya setelah selesai berdoa melainkan orang yang jahil (tidak mengetahui).” (Fatawa Al-‘Izz bin ‘Abdis Salam, m/s. 47)

Al-Imam Al-Baihaqi dan Al-‘Izz ‘Abdissalam adalah termasuk jajaran tokoh besar dalam mazhab Asy-Syafi’i.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan dalam kitab beliau yang merupakan kitab yang menghimpun dan membahas pendapat-pendapat ulama Syafi’iyyah:

قلت لا يستحب مسح غير وجهه قطعا بل نص جماعة على كراهته

“Aku katakan, tidak mustahab (yakni tidak dianjurkan) mengusap selain muka sama sekali, bahkan sejumlah dari kalangan ulama berpendapat bahawa hal tersebut adalah makruh (dibenci).” (Raudhah At-Thalibin, 1/255)

Manakala di Syarah Al-Muhadzdzab beliau menegaskan:

والحاصل لاصحابنا ثلاثة أوجه (الصحيح) يستحب رفع يديه دون مسح الوجه (والثاني) لا يستحبان (والثالث) يستحبان وأما غير الوجه من الصدر وغيره فاتفق أصحابنا علي أنه لا يستحب بل قال ابن الصباغ وغيره هو مكروه والله أعلم

“Dan kesimpulannya di sisi mazhab kami ada tiga pendapat (dalam hal ini) dan yang sahih (yakni yang benar) adalah dianjurkan mengangkat tangan (ketika berdoa) tanpa mengusap wajah (muka).

Dua pendapat yang lain (dalam mazhab kami) menyatakan: Tidak dianjurkan kedua-duanya (yakni sama ada mengangkat tangan mahupun mengusap muka), dan pendapat yang ketiga menyatakan, dianjurkan kedua-duanya (yakni sama ada mengangkat tangan mahupun mengusap muka).

Adapun mengusap selain wajah (muka) seperti mengusap dada dan selainnya, telah ittifaq (disepakati) di sisi mazhab kami atasnya bahawa amalan ini tidak dianjurkan, sebaliknya kata Ibn Ash-Shobaagh dan selainnya, ia adalah makruh (dibenci). Wallaahu a’lam.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 3/501)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَأَمَّا رَفْعُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ: فَقَدْ جَاءَ فِيهِ أَحَادِيثُ كَثِيرَةٌ صَحِيحَةٌ وَأَمَّا مَسْحُهُ وَجْهَهُ بِيَدَيْهِ فَلَيْسَ عَنْهُ فِيهِ إلَّا حَدِيثٌ أَوْ حَدِيثَانِ لَا يَقُومُ بِهِمَا حُجَّةٌ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

“Adapun tentang Nabi mengangkat tangannya ketika berdoa, telah datang banyak hadis-hadis yang sahih yang menjelaskannya.

 Adapun tentang menyapu muka dengan tangannya (sebaik selesai berdoa), maka tidaklah ada darinya melainkan hanya ada satu atau dua hadis (yang lemah) tentangnya, yang ianya tidak dapat dijadikan sebagai hujah (atau sandaran). Wallahu a’lam.” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/519)

Adapun menurut Syaikh Ibn Baaz rahimahullah, beliau pernah ditanya dengan soalan:

سمعت أن المسح على الوجه بعد الدعاء بدعة، وأن تقبيل القرآن الكريم بدعة، أفيدونا عن ذلك؟ جزاكم الله خيراً.

“Aku pernah mendengar ada yang mengatakan bahawa mengusap (atau menyapu) muka setelah berdoa adalah bid’ah. Dan bahawa mencium Al-Qur’an Al-Karim juga bid’ah? Berilah kami faedah (penjelasan) tentang yang demikian. Jazakumullahu khairan.”

Maka jawaban beliau:

مسح الوجه بعد الدعاء ليس بدعة، لكن تركه أفضل للأحاديث الضعيفة وقد ذهب جماعة إلى تحسينها؛ لأنها من باب الحسن لغيره، كما ذلك الحافظ بن حجر -رحمه الله- في آخر بلوغ المرام، وذكر ذلك آخرون، فمن رآها من باب الحسن استحب المسح، ومن رآها من قبيل الضعيف لم يستحب المسح، والأحاديث الصحيحة ليس فيها مسح الوجه بعد الدعاء، الأحاديث المعروفة في الصحيحين، أو في أحدهما في أحد الصحيحين ليس فيها مسح، إنما فيها الدعاء، فمن مسح فلا حرج، ومن ترك فهو أفضل؛ لأن الأحاديث التي في المسح بعد الدعاء مثلما تقدم ضعيفة، ولكن من مسح فلا حرج، ولا ينكر عليه، ولا يقال بدعة،أيش السؤال الثاني؟ يقول: تقبيل المصحف؟ كذلك تقبيل المصحف لا حرج فيه، ولا يسمى بدعة؛ لأنه من باب تعظيم القرآن، ومن باب محبته، وقد روي عن عكرمة بن أبي جهل -رضي الله عنه- كان يقبله، ويقول هذا كلام ربي، لكن ما هو بمشروع تركه أفضل. إنما لو قبل؟ لا حرج. جزاكم الله خيراً

“Mengusap muka setelah doa bukanlah bid’ah. Akan tetapi meninggalkannya adalah afdhal (lebih utama) kerana lemahnya hadis-hadis tentangnya. Tetapi sejumlah ulama ada yang menghasankannya dari sisi lain (yakni hasan lighairihi). Di antaranya adalah sebagaimana Al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah dalam akhir kitabnya Bulughul Maram. Demikian pula disebutkan oleh ulama yang lainnya. Sesiapa yang berpendapat  hadisnya hasan, maka disunnahkan baginya untuk mengusap muka. Manakala bagi siapa berpendapat hadis-hadisnya dha’if (lemah), maka tidak disunnahkan (atau dianjurkan) baginya untuk mengusap. Namun memang tidak ada hadis yang sahih yang menganjurkan mengusap muka setelah berdoa. Hadis-hadis yang telah ma’ruf (diketahui) dalam dua kitab Shahih (Al-Bukhari dan Muslim) atau salah satu dari keduanya tidak ada menyebutkan tentang mengusap muka setelah berdoa, yang disebutkan hanyalah tentang doa. Maka sesiapa yang mengusap muka setelah berdoa, tidaklah mengapa. Tetapi meninggalkannya adalah afdhal (lebih utama). Kerana sebagaimana disebutkan bahawa hadis-hadis yang menyebutkan tentang mengusap muka setelah berdoa adalah hadis-hadis yang dha’if. Tetapi bagi mereka yang mengusap, tidaklah mengapa. Dan tidak diingkari atasnya serta tidak pula dikatakan bid’ah.

Tentang soalan kedua, ditanya tentang mencium mushhaf? Demikian tentang mencium mushhaf, ianya tidaklah mengapa, dan tidak pula dinamakan bid’ah. Kerana ia termasuk bab mengangungkan Al-Qur’an, termasuk bab mencintainya. Diriwayatkan daripada ‘Ikrimah Ibn Abi Jahl radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau menciumnya dan beliau mengatakan, ini Kalam Rabb-ku. Walau bagaimanapun ia tidaklah masyru’ (tidak disyari’atkan), meninggalkannya adalah afdhal (lebih utama). Jadi, bagaimana jika menciumnya? (Jawabnya) Tidaklah mengapa. Jazakumullaahu khayran.” (Fatwa Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baaz; http://www.binbaz.org.sa/mat/11228)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest