Tidak Ada Sambutan Malam Israk Mikraj Dalam Islam

Asy-Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz At-Tuwaijiri
www.ilmusunnah.com

israk-mikraj-perjalanan-nabi

أجمع السلف الصلح على أن اتخاذ موسم غير المواسم الشرعية من البدع المحدثة التي نهى عنها صلى الله عليه وسلم (( إياكم ومحدثات الأمور، فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة )) بقوله صلى الله عليه وسلم (( من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد )). بقوله صلى الله عليه وسلم: (( من عمل عملاً ليس عليه أمرنا فهو رد )).

Para ulama generasi salaf ash-sholih telah ijma’ (bersepakat) bahawa mengadakan suatu perayaan (atau hari-hari peringatan) selain dari perayaan yang disyari’atkan adalah merupakan bid’ah yang diada-adakan yang telah dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau bersabda:

“Berhati-hatilah kalian terhadap perkara baru yang diada-adakan (di dalam agama), kerana setiap perkara baru yang diada-adakan (di dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah kesesatan.”[1]

Beliau juga bersabda:

“Siapa yang mengada-adakan sesuatu yang baru dalam urusan kami (agama Islam) ini, yang bukan darinya, maka ianya tertolak.”[2]

Juga sabdanya:

“Siapa yang melakukan suatu amalan yang tidak ada perintahnya dari kami maka ianya tertolak.”[3]

فالاحتفال بليلة الإسراء والمعراج بدعة محدثة لم يفعلها الصحابة والتابعون ، ومن تبعهم من السلف الصالح، وهم أحرص الناس على الخير والعمل الصالح.

Sambutan (atau perayaan peringatan) sempena malam Al-Isra’ wal Mi’raj adalah bid’ah yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh para sahabat, para tabi’in, dan orang-orang yang mengikuti mereka dari kalangan as-salaf ash-sholih. Sedangkan mereka adalah golongan manusia yang paling bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kebaikan dan amal-amal yang soleh.

قال ابن قيم الجوزية:

(( قال شيخ الإسلام ابن تيمية – رحمه الله -: ولا يعرف عن أحد من المسلمين أن جعل لليلة الإسراء فضيلة على غيرها، لاسيما على ليلة القدر، ولا كان الصحابة والتابعون لهم بإحسان يقصدون تخصيص ليلة الإسراء بأمر من الأمور ولا يذكرونها، ولهذا لا يعرف أي ليلة كانت )) .

Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

“Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata, “Tidak pernah dikenal dari seorang pun ulama kaum muslimin yang menjadikan peristiwa malam Al-Isra’ sebagai malam yang punya keutamaan berbanding malam-malam selainnya, apatah lagi jika dibandingkan dengan malam Al-Qadr. Para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik tidak pernah mengkhususkan malam tersebut dengan melakukan ibadah-ibadah tertentu, bahkan mereka tidak pernah menjadikannya sebagai malam peringatan. Atas sebab itulah, malam Al-Isra’ tidak pernah diketahui berlaku pada malam yang mana.

وإن كان الإسراء من أعظم فضائله صلى الله عليه وسلم ومع هذا فلم يشرع تخصيص ذلك الزمان، ولا ذلك المكان، بعبادة شرعية، بل غار حراء الذي ابتديء فيه بنزول الوحي، وكان يتحراه قبل النبوة،لم يقصده هو ولا أحد من الصحابة بعد النبوة مدة مقامه بمكة، ولا خصَّ اليوم الذي أنزل فيه الوحي بعبادة ولا غيرها، ولا خص المكان الذي ابتديء فيه بالوحي ولا الزمان بشيء.

Peristiwa Al-Isra’ termasuk mu’jizat yang menunjukkan agungnya keutamaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Walaupun yang demikian, beliau tidak pernah mensyari’atkan sesuatu ibadah yang khusus sempena dengan waktu mahupun tempat peristiwa tersebut berlangsung. Bahkan Gua Hira’ yang merupakan tempat turunnya wahyu pertama dan tempat yang sering beliau kunjungi sebelum kenabian itu sendiri pun tidak pernah lagi beliau datangi, dan tidak pula oleh seorang pun dari sahabat-sahabat beliau, walaupun setelah mereka kembali menetap di Makkah. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga tidak pernah mengkhususkan hari turunnya wahyu pertama tersebut dengan melakukan ibadah atau amalan-amalan yang lainnya. Beliau juga tidak pernah menganggap tempat tersebut sebagai tempat khusus yang memiliki keistimewaan, dan tidak pula dijadikan peringatan sempena dengan peristiwa tersebut dengan sesuatu amalan.

ومن خص الأمكنة والأزمنة من عنده بعبادات لأجل هذا وأمثاله، كان من جنس أهل الكتاب الذين جعلوا زمان أحوال المسيح مواسم وعبادات كيوم الميلاد، ويوم التعميد، وغير ذلك من أحواله.

Maka sesiapa yang mengkhususkan tempat atau waktu isra’ dan mi’raj ini atau yang semisalnya (selain isra’ dan mi’raj) dengan suatu ibadah tertentu (tanpa ada ketetapan dari Al-Qur’an mahupun As-Sunnah – pent.), maka dia termasuk dari jenis Ahli Kitab yang telah menjadikan pelbagai peristiwa yang pernah dilalui atau dialami oleh ‘Isa Al-Masih sebagai hari-hari peringatan (perayaan) atau hari-hari untuk beribadah; seperti hari kelahiran, hari pembaptisan, dan hari-hari yang lainnya yang terkait dengan dirinya.

وقد رأى عمر بن الخطاب – رضي الله عنه- جماعة يتبادرون مكاناً يصلون فيه فقال: ما هذا؟ قالوا: مكان صلى فيه رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: أتريدون أن تتخذوا آثار أنبيائكم مساجد؟! إنما هلك من كان قبلكم بهذا، فمن أدركته فيه الصلاة فليصل وإلا فليمض

Bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah melihat sekumpulan orang berlumba-lumba menuju suatu tempat untuk melakukan solat padanya, maka ‘Umar pun bertanya:

“Kenapa ini?”

Maka mereka pun menjawab, “Di sanalah tempat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mendirikan solat.”

Maka ‘Umar pun berkata:

“Adakah kalian hendak menjadikan bekas Nabi kalian sebagai masjid (tempat ibadah atau tempat sujud)? Sungguh, disebabkan perbuatan seperti inilah umat-umat sebelum kalian dibinasakan. Maka, sesiapa yang memang melalui tempat tersebut (tanpa dirancang), maka solatlah, tetapi jika tidak demikian, maka menjauhlah (jangan sengaja bersolat di situ).”[4].”[5]

وقال شيخ الإسلام ابن تيمية – رحمه الله -:

وأما اتخاذ موسم غير المواسم الشرعية كبعض ليالي شهر ربيع الأول التي يقال أنها ليلة المولد، أو بعض ليالي رجب، أو ثامن عشر ذي الحجة، أو أول جمعة من رجب، أو ثامن شوال الذي يسميه الجهال عيد الأبرار، فإنها من البدع التي لم يستحبها السلف ولم يفعلوها، والله سبحانه وتعالى أعلم

Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

“Adapun mengadakan sambutan-sambutan (atau masa-masa khas) perayaan (atau peribadahan) selain dari yang disyari’atkan, seperti di sebahagian malam-malam bulan Rabi’ Al-Awwal yang mana disebut sebagai malam Maulid (Nabi), atau memperingati (atau merayakan) sebahagian dari malam-malam bulan Rajab, atau sempena tarikh 18 Dzulhijjah, atau Juma’at pertama di bulan Rajab, atau hari ke-8 bulan Syawwal yang disebutkan oleh orang-orang yang jahil dengan nama ‘Ied Al-Abraar (kerana selesai puasa 6 hari di bulan Syawwal – pent.), maka semua itu termasuk bid’ah yang tidak disunnahkan oleh para salaf dan tidak pernah dilakukan oleh mereka. Wallaahu Subhanahu wa Ta’ala A’lam.”[6]

وقال ابن الحاج:

ومن البدع التي أحدثوها فيه أعني في شهر رجب ليلة السابع والعشرين منه التي هي ليلة المعراج….

Al-Imam Ibnu Hajj Al-Abdari Al-Maliki rahimahullah (Wafat: 737H) berkata:

“Di antara bid’ah yang telah diada-adakan oleh mereka padanya di bulan Rejab pada malam yang ke 27[7] darinya yang merupakan malam Al-Mi’raj (malam isra’ dan mi’raj)….”[8]

ثم ذكر كثيراً من البدع التي أحدثوها في تلك الليلة من الاجتماع في المساجد، والاختلاط بين النساء والرجال، وزيادة وقود القناديل فيه، والخلط بين قراءة القرآن وقراءة الأشعار بألحان مختلفة، وذكر الاحتفال بليلة الإسراء والمعراج ضمن المواسم التي نسبوها إلى الشرع وليست منه

Kemudian Ibnu Hajj menyebutkan sebahagian dari bid’ah-bid’ah yang banyak mereka lakukan pada malam sambutan tersebut, bermula dari berkumpul-kumpul di masjid, bercampur-baur antara lelaki dan perempuan, ditambahkan lampu-lampu padanya, dan juga diadakan bacaan yang bercampur-campur di antara bacaan-bacaan Al-Qur’an dengan bacaan-bacaan sya’ir-sya’ir dengan intonasi yang bermacam-macam. Dan sambutan malam Al-Isra’ wal Mi’raj ini dimasukkan ke dalam sebahagian dari sambutan-sambutan yang dinisbatkan kepada syara’, sedangkan ianya bukanlah dari syara’.[9]

Sekian nukilan.

Sumber: Disarikan dari Kitab Al-Bida’ Al-Hauliyyah karya ‘Abdullah bin ‘Abdul ‘Aziz At-Tuwaijiri, m/s. 274-276 – Cet. 1, 1421H (Daar Al-Fadhilah, Riyadh). Merupakan hasil Thesis Master di bidang ‘aqidah Universiti Imam Muhammad Su’ud (‘Arab Saudi) dengan keputusan mumtaz.


 

[1] Musnad Ahmad, no. 17144, 17145. Sunan Abi Dawud, no. 4607.

[2] Shahih Al-Bukhari, no. 2697. Muslim, no. 1718.

[3] Shahih Muslim, no. 1718.

[4] Mushannaf Ibn Abi Syaibah, 2/376-377. Lathaa’if Al-Ma’aarif oleh Ibn Rajab, m/s. 168.

[5] Zaad Al-Ma’ad, 1/58-59.

[6] Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah, 27/298.

[7] Al-Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) menegaskan:

وقد روي أنه كان في شهر رجب حوادث عظيمة، ولم يصح شيء من ذلك، فروي أن النبي صلى الله عليه وسلم ولد في أول ليلة منه، وأنه بعث في السابع والعشرين منه، وقيل: في الخامس والعشرين، ولا يصح شيء من ذلك

“Ada diriwayatkan bahawa pada bulan Rejab telah terjadi beberapa peristiwa yang besar, tetapi tidak ada satu hadis pun yang sahih tentangnya. Ada yang meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dilahirkan pada malam pertama bulan Rejab, dan kemudian beliau diutuskan pula sebagai Rasul pada hari ke 27nya (yakni 27 Rejab). Ada juga yang mengatakan 25 Rejab, tetapi tidak ada satu pun riwayat yang sahih berhubung dengannya.” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 168)

Al-Imam Abu Syamah rahimahullah (Wafat: 665H) menegaskan:

وذكر بعض القصاص أن الأسرى كان في رجب وذلك عند أهل التعديل والتجريح عين الكذب

“Sebahagian qushshash (tukang cerita) telah menyebutkan bahawa malam Al-Isra’ itu berlaku pada bulan Rejab. Adapun yang demikian di sisi ahli ta’dil wa at-tajrih (yakni kalangan ahli hadis), itu adalah merupakan kedustaan.” (lihat: Al-Baa’its ‘ala Inkaril Bida’ wal-Hawadits, m/s. 171).

[8] Al-Madkhal, 1/294.

[9] Al-Madkhal, 1/294-298. Al-Ibdaa’, m/s. 272.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest