Tarian Sufi dan Mazhabnya

Fatwa Al-Imam Abu Bakar Ath-Thurthusyi rahimahullah (Wafat: 520H)
www.ilmusunnah.com

Beliau pernah diajukan pertanyaan berkenaan keadaan orang-orang yang membaca sebahagian ayat al-Qur’an (dari kelompok sufi), kemudian dikumandangkan kepada mereka rangkap-rangkap sya’ir (qashidah dan seumpama), maka mereka pun menari dan berdendang, memukul rebana dan rebab… adakah dibolehkan untuk turut serta bersama-sama mereka?

Beliau pun menjawab:

مذهب الصوفية بطالة وجهالة وضلالة، وما الإسلام إلا كتاب الله وسنة رسول، وأما الرقص والتواجد فأول من أحدثه أصحاب السامري، لما اتخذ لهم عجلا جسدا له خوار قاموا يرقصون حواليه ويتواجدون؛ فهو دين الكفار وعباد العجل؛ وأما القضيب فأول من اتخذه الزنادقة ليشغلوا به المسلمين عن كتاب الله تعالى؛ وإنما كان يجلس النبي صلى الله عليه وسلم مع أصحابه كأنما على رؤوسهم الطير من الوقار؛ فينبغي للسلطان ونوابه أن يمنعهم عن الحضور في المساجد وغيرها؛ ولا يحل لأحد يؤمن بالله واليوم الآخر أن يحضر معهم، ولا يعينهم على باطلهم؛ هذا مذهب مالك وأبي حنيفة والشافعي وأحمد بن حنبل وغيرهم من أئمة المسلمين وبالله التوفيق.

“Mazhab sufi adalah mazhab yang terbina dengan kemalasan, kebodohan dan kesesatan. Islam hanyalah kitab Allah dan Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Adapun menari dan mengolah perasaan adalah perkara pertama yang direka-reka oleh para pengikut Samiri ketika Samiri membina untuk mereka sebuah patung anak lembu yang berbentuk jasad (lembu) yang mengeluarkan suara. Mereka pun menari-nari di sekelilingnya dan saling berdendang dengannya riang gembira. Tarian adalah agama orang-orang kafir dan para penyembah anak lembu.

Adapun acara memukul gendang, golongan pertama yang melakukannya adalah kalangan zindiq yang dengannya telah menyibukkan kaum muslimin dari Kitab Allah Ta’ala.

Sedangkan majlis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat beliau adalah majlis ketika kepala-kepala mereka seolah-olah dihinggapi burung kerana kekhusyukkan mereka (tekun dan khusyu’). Maka, sepatutnya bagi para penguasa dan kakitangannya supaya melarang orang-orang seperti ini agar tidak melakukannya atau hadir di masjid dan seumpamanya. Tidak dihalalkan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat untuk turut serta bersama mereka, juga tidak boleh untuk menolong mereka dalam kebathilan. Inilah mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafi’i, dan Ahmad bin Hanbal serta para ulama kaum muslimin yang lainnya. Dan kepada Allah kita memohon Taufiq.”

Disebutkan oleh Al-Imam Al-Qurthubi dalam Al-Jami’ li Ahkamil Qur’an (Tafsir Al-Qurthubi), 11/238. Muhammad Al-Amin Asy-Syanqithi dalam Adhwa’ul Bayan, 4/88. Dan Al-Albani dalam Tahrim Alat Ath-Tharb, m/s. 168)

Kata Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) tentang Abu Bakar Ath-Thurthusyi:

“Beliau adalah Al-Imam Al-‘Allamah, Al-Qudwah (contoh ikutan), zuhud, Syaikh Al-Malikiyah (ulama besar mazhab Maliki), Abu Bakar Muhammad bin Al-Walid bin Kholaf bin Sulaiman bin Ayyub Al-Fihri Al-Andalusi Ath-Thurthusyi Al-Faqih ‘alim Iskandariyah (ilmuan dan penyebar ilmu di Iskandariyah, Mesir).” (Adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam An-Nubala’, 19/490)

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest