Tarawih Rasulullah
Hari ini solat tarawih telah menjadi satu syi’ar besar di setiap datangnya bulan Ramadhan. Ia begitu subur dilaksanakan di seluruh dunia umat Islam.
Ketika zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya, istilah tarawih belum lagi dipopularkan. Sebaliknya solat tarawih adalah sebahagian dari solat-solat sunnah di malam hari yang biasa seperti witir, tahajjud, atau qiyamullail yang dilaksanakan pada malam-malam Ramadhan.
Dalam sebuah hadis, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menjelaskan bahawa solat malam Rasulullah itu tidak melebihi sebelas rakaat sama ada di bulan Ramadhan atau selain dari bulan Ramadhan. Dari penjelasan yang dikemukakan ‘Aisyah ini menunjukkan asalnya solat malam di malam-malam bulan Ramadhan (Tarawih) dengan solat malam di luar Ramadhan adalah sama. Solat malam ini secara umumnya merujuk sama ada qiyamullail, solatullail, witir, atau tahajjud. Tetapi apabila ia dilaksanakan ketika malam-malam Ramadhan, maka ia tercakup pula sebagai sebahagian dari qiyam Ramadhan yang kemudian dikenali pula sebagai Solat At-Tarawih (Solat Tarawih).
Cuma apabila tiba bulan Ramadhan, solat-solat malam ini dianjurkan oleh Rasulullah dan para sahabatnya agar disemarakkan dan dilaksanakan secara berjama’ah. Iaitu di antara waktu setelah selesai solat fardhu ‘isya’ berserta rawatibnya sehingga sebelum masuk waktu Subuh. Ia dilaksanakan dengan dua raka’at-dua raka’at (tanpa batas jumlah yang khusus), dan kemudian ditutup atau diakhiri dengan witr (rakaat ganjil). Solat tarawih boleh dilaksanakan sama ada di awal malam mahupun akhir malam, sebelum tidur atau setelah bangun tidur di akhir malam.
Di antara dalilnya adalah sebagaimana sabda Rasulullah Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَمَدَّكُمْ بِصَلَاةٍ، وَهِيَ خَيْرٌ لَكُمْ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ، وَهِيَ الْوِتْرُ، فَجَعَلَهَا لَكُمْ فِيمَا بَيْنَ الْعِشَاءِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah melapangkan kalian dengan suatu solat yang lebih baik dari unta merah bagi kalian, iaitu solat witr. Allah telah menjadikan solat tersebut untuk kalian (supaya dilaksanakan) antara Isya’ sampai terbit fajr.” (Sunan Abi Dawud, no. 1418, dari hadits Abul Walid Al-‘Adawi)
Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salla bersabda:
صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا رَأَيْتَ أَنَّ الصُّبْحَ يُدْرِكُكَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ». فَقِيلَ لِابْنِ عُمَرَ: مَا مَثْنَى مَثْنَى؟ قَالَ: «أَنْ تُسَلِّمَ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
“Solat malam itu dua raka’at-dua raka’at, apabila engkau melihat Subuh akan menjelang, maka berwitirlah satu raka’at.”
Ibnu ‘Umar bertanya kepada Nabi:
“Apa yang dimaksudkan dengan dua raka’at-dua raka’at?”
Jawab Nabi, “Yakni hendaklah engkau salam pada setiap dua raka’at.” (Shahih Muslim, no. 749)
Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
إِنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ؟ قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ، فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, bagaimana solat malam?” Rasulullah pun bersabda, “Dua raka’at-dua raka’at, apabila bimbang Subuh akan menjelang, maka berwitirlah satu raka’at.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1137)
Dari hadis ‘Amr bin Al-‘Ash dari Abu Bashrah Al-Ghifari radhiyallahu ‘anhum, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ اللهَ زَادَكُمْ صَلَاةً، وَهِيَ الْوِتْرُ، فَصَلُّوهَا فِيمَا بَيْنَ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى صَلَاةِ الْفَجْرِ
“Sesungguhnya Allah telah menjadikan solat tambahan bagi kalian, yakni al-witr. Maka laksanakanlah solat ini di antara solat ‘isya’ hingga solat al-fajr (Subuh).” (Musnad Ahmad, no. 23851)
Di hadis yang lain dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا طَلَعَ الفَجْرُ فَقَدْ ذَهَبَ كُلُّ صَلَاةِ اللَّيْلِ، وَالوِتْرُ، فَأَوْتِرُوا قَبْلَ طُلُوعِ الفَجْرِ
“Apabila telah terbit fajar, maka telah habislah seluruh waktu solat malam dan witir. Maka berwitirlah sebelum terbit fajar.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 469)
Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhaa, beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِيمَا بَيْنَ أَنْ يَفْرُغَ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ – وَهِيَ الَّتِي يَدْعُو النَّاسُ الْعَتَمَةَ – إِلَى الْفَجْرِ، إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، يُسَلِّمُ بَيْنَ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ، وَيُوتِرُ بِوَاحِدَةٍ، فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ مِنْ صَلَاةِ الْفَجْرِ، وَتَبَيَّنَ لَهُ الْفَجْرُ، وَجَاءَهُ الْمُؤَذِّنُ، قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ، ثُمَّ اضْطَجَعَ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، حَتَّى يَأْتِيَهُ الْمُؤَذِّنُ لِلْإِقَامَةِ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat malam di antara selesainya ‘Isya’ (yang disebut sebahagian orang ketika itu sebagai solat solat Al-‘Atamah) hingga fajar sebanyak 11 raka’at, beliau salam setiap dua raka’at, dan beliau berwitir dengan 1 raka’at. Apabila mu’adzin solat fajar telah diam, dan fajar telah jelas, sementara mu’adzin telah datang kepadanya, maka beliau mendirikan solat dua raka’at ringan (solat sunnah fajar). Kemudian beliau baring seketika dengan mengiring ke kanan, sampailah datang kepadanya mu’adzin untuk iqamah.” (Shahih Muslim, no. 736)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
يدخل وقت التراويح بالفراغ من صلاة العشاء ذكره البغوي وغيره ويبقى إلى طلوع الفجر وليصلها ركعتين ركعتين
“Masuknya waktu untuk tarawih itu adalah dengan selesainya menunaikan solat fardhu ‘Isyak sebagaimana disebutkan oleh Al-Baghawi dan selainnya, dan waktu tersebut terus berlangsung sehingga terbitnya fajar, dan solat tarawih dilaksanakan dengan dua raka’at dua raka’at.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/32)
Dan jika ia telah menjamak (menggabungkan) ‘isya’nya di waktu maghrib mungkin atas sebab musafir atau yang lainnya, maka sebaik selesai ‘isya’nya, dia boleh langsung melaksanakan solat malamnya, atau witirnya walaupun belum masuk waktu ‘isya’. Wallaahu a’lam.
Dan inilah yang telah dilaksanakan oleh Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam, para sahabatnya, dan para salaf lainnya.
Istilah Tarawih
Nama tarawih mula dipopularkan kalangan salaf kerana ia disertakan dengan duduk istirehat di setiap dua rakaat atau empat rakaat yang panjang sebagaimana dinyatakan oleh para ulama.
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) dan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
أن المراد بقيام رمضان صلاة التراويح
“Bahawa yang dimaksudkan dengan qiyaam Ramadhan (solat di malam-malam bulan Ramadhan) adalah solat tarawih.” (Syarh Shahih Muslim, 6/39. Fath Al-Bari, 4/251)
Dalam Lisaan Al-‘Araab oleh Ibn Manzhur (Wafat: 711H), dinyatakan bahawa:
والتَّرْوِيحةُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ: سمِّيت بِذَلِكَ لِاسْتِرَاحَةِ الْقَوْمِ بَعْدَ كُلِّ أَربع رَكَعَاتٍ
“At-Tarwiihah (solat tarawih) pada bulan Ramadhan: disebut demikian kerana para jama’ah beristirehat setelah (melaksanakan) di setiap 4 raka’at solat.” (Lisaan Al-‘Arab, 2/462)
وَفِي الْحَدِيثِ: صَلَاةُ التَّرَاوِيحِ؛ لأَنهم كَانُوا يَسْتَرِيحُونَ بَيْنَ كُلِّ تَسْلِيمَتَيْنِ
“Dan dalam hadis: (dinamakan) solat tarawih kerana mereka beristirehat di antara setiap 2 kali salam (iaitu setiap dua solat atau setelah empat raka’at).” (Lisaan Al-‘Arab, 2/462)
وَالتَّرَاوِيحُ: جَمْعُ تَرْوِيحة، وَهِيَ الْمَرَّةُ الْوَاحِدَةُ مِنَ الرَّاحَةِ
“At-Taraawih” (dalam bahasa ‘Arab) adalah jama’ dari kata تَرْوِيحَةٌ (tarwiihah), dan ia adalah salah satu masa dari ar-rahah (masa-masa rehat).” (Lisan Al-‘Arab, 2/462)
Selain nama tarawih, ia juga dikenali dengan sebutan qiyaam Ramadhan sebagaimana dinyatakan dalam hadis-hadis, bab-bab di kitab-kitab hadis dan juga di kitab-kitab fiqh para ulama.
Ini adalah sebagaimana hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Siapa yang melaksanakan qiyam Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala, diampunkanlah baginya dari dosa-dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 37, 2009)
Para imam-imam hadis membuat bab bagi hadis ini dengan judul, Bab Qiyam Ramadhan.
Cuma kata qiyaam lebih umum tidak hanya khusus merujuk solat tarawih. Solat Al-Layl, tahajjud, witr, atau qiyam al-lail sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan secara umumnya adalah merujuk kepada qiyam (atau solat malam), dan ianya dilaksanakan dengan dua raka’at-dua raka’at, kemudian ditutup (atau diakhirkan) dengan rakaat yang ganjil (yakni solat witr).
Ini sebagaimana hadis yang telah dikemukakan dinyatakan bahawa:
صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَنْصَرِفَ فَارْكَعْ رَكْعَةً تُوتِرُ لَكَ مَا صَلَّيْتَ
“Solat malam itu dua raka’at-dua raka’at. Apabila kamu hendak berhenti, solatlah satu rakaat ganjil (witr) untuk menututupnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 993)
Dan solat malam Rasulullah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Aisyah, sama ada di bulan Ramadhan mahupun selain Ramadhan, ia adalah sama secara umumnya. Cuma kata tarawih digunakan oleh ulama terkemudian sebagai pengkhususn istilah bagi solat malam di malam-malam Ramadhan, khasnya yang dilaksanakan secara berjama’ah serta disemarakkan (sebagai salah satu Syi’ar di malam-malam Ramadhan di masjid-masjid kaum muslimin).
Hukum Solat Tarawih
Al-Imam Ibn Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menyebutkan:
(وَقِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ عِشْرُونَ رَكْعَةً) . (يَعْنِي) (صَلَاةَ التَّرَاوِيحِ) وَهِيَ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ، وَأَوَّلُ مَنْ سَنَّهَا رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Adapun qiyam di bulan Ramadhan adalah 20 raka’at (menurut mazhab Ahmad), yakni solat tarawih, dan hukumnya adalah sunnah mu’akkadah. Orang yang paling awal mensunnahkannya adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Al-Mughni, 2/122)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:
فصلاة التراويح سنة باجماع العلماء
“Solat Tarawih adalah sunnah dengan ijma’ para ulama.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/31)
Panjang Bacaannya
Solat tarawih boleh dilaksanakan secara sendirian mahupun berjama’ah. Tetapi lebih utama supaya dilaksanakan dengan berjama’ah bersama-sama imam dan didirikan dengan bacaan Al-Qur’an yang panjang selagi mana tidak memberatkan para jama’ah. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis berupa penjelasan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkenaan sifat solat tarawih Rasulullah:
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي
Daripada Abi Salamah bin ‘Abdirrahman, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
(Beliau bertanya) “Bagaimananakah solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika bulan Ramadhan?”
(‘Aisyah menjawab) “Apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada di bulan Ramadhan mahu pun di bulan-bulan selainnya, beliau tidak pernah solat malam melebihi sebelas raka’at. Beliau solat empat raka’at, jangan ditanya tentang bagus dan panjangnya. Kemudian beliau solat lagi empat raka’at, jangan ditanya tentang bagus dan panjangnya. Kemudian beliau menutup dengan tiga raka’at solat (witr). Aku bertanya (kepada Rasulullah):
“Wahai Rasulullah, adakah engkau tidur terlebih dahulu sebelum melaksanakan solat witir?”
Rasulullah jawab, “Wahai ‘Aisyah, mata aku tidur, tetapi hati aku tetap berjaga.” (Shahih Al-Bukhari, Kitab Solat Tarawih, Bab: Qiyam Nabi di Bulan Ramadhan dan Selainnya, no. 1147. Bab: Kebaikan Ramadhan, no. 2013)
Dalam Shahih Muslim, Hudzaifah bin Al-Yaman menyatakan bahawa Rasulullah pernah solat malam dengan membaca surah Al-Baqarah, Ali ‘Imran, dan An-Nisaa’ dalam satu raka’at yang panjang. Beliau membacanya dengan penuh tartil iaitu dengan perlahan-lahan dan ayat demi ayat. (lihat: Shahih Muslim, no. 772)
Demikian pula yang dilakukan di era pemerintahan sahabat, As-Sa’ib bin Yazid rahimahullah menjelaskan:
أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ
“Umar Al-Khaththab memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim Ad-Daari untuk mengimami solat tarawih orang ramai dengan 11 raka’at. (Beliau menjelaskan lagi):
Dan pada ketika itu, seorang qari (imam) biasanya akan membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa bersandar kepada tongkat-tongkat kami kerana terlalu lamanya berdiri. Dan setelah begitu lama, barulah kami selesai solat ketika hampir masuknya Subuh.” (Muwaththa’ Malik, Bab: Qiyam Ramadhan, no. 232. Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 4287. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Akan tetapi dalam hal ini, seorang imam harus faqih dalam membimbing, memahami dan menyantuni para jama’ahnya, dia boleh dan bahkan dianjurkan memanjangkan solatnya selagi mana tidak memberatkan para jama’ahnya.
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا مَا قَامَ أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ الصَّلَاةَ فَإِنَّ فِيهِمْ الْكَبِيرَ وَفِيهِمْ الضَّعِيفَ وَإِذَا قَامَ وَحْدَهُ فَلْيُطِلْ صَلَاتَهُ مَا شَاءَ
“Apabila salah seorang dari kalian menjadi imam, maka ringankanlah solat tersebut. Kerana di antara para makmum ada orang tua dan ada orang yang lemah. Adapun jika dia melaksanakan solat sendirian, maka dia boleh memanjangkannya berdasarkan apa yang dia inginkan.” (Shahih Muslim, no. 467)
Adapun secara asalnya, yang afdhal adalah dengan membaguskan solat malamnya (dengan khusyu’), memanjangkannya (baik berdirinya, ruku’nya, mahupun sujudnya), serta memperpanjangkan bacaan Al-Qur’annya dalam solat malamnya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya.
Dari hadis Jaabir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أَفْضَلُ الصَّلَاةِ طُولُ الْقُنُوتِ
“Solat yang afdhal (utama) adalah yang panjang qunutnya (yakni yang lama berdirinya).” (Shahih Muslim, no. 756)
Al-Qunuut dalam hadis ini adalah yang lama berdirinya (kerana panjangnya bacaannya), manakala sebahagian yang lain berpendapat yang lama solatnya namun seimbang panjangnya antara berdirinya (bacaan surahnya), ruku’nya, dan sujudnya. Wallaahu a’lam.
Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dari atsar Abu ‘Utsman Al-Hindi rahimahumullah, beliau berkata:
دَعَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ بِثَلَاثِ قُرَّاءٍ فَاسْتَقْرَأَهُمْ، فَأَمَرَ أَسْرَعَهُمْ قِرَاءَةً أَنْ يَقْرَأَ لِلنَّاسَ ثَلَاثِينَ آيَةً، وَأَمَرَ أَوْسَطَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ خَمْسًا وَعِشْرِينَ، وَأَمَرَ أَبْطَأَهُمْ أَنْ يَقْرَأَ لِلنَّاسِ عِشْرِينَ آيَةً
“‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah menjemput tiga orang Qari Al-Qur’an, lalu meminta mereka membaca Al-Qur’an (yakni sebagai imam solat tarawih). Beliau memerintahkan yang paling cepat bacaannya agar membaca kepada para jama’ah tiga puluh ayat, dan memerintahkan yang sederhana bacaannya agar membaca dua puluh lima ayat, manakala yang perlahan bacaannya agar membaca dua puluh ayat.” (As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 4295)
Al-Imam Ibn Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata:
قَالَ أَحْمَدُ، – رَحِمَهُ اللَّهُ -: يَقْرَأُ بِالْقَوْمِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَا يَخِفُّ عَلَى النَّاسِ، وَلَا يَشُقُّ عَلَيْهِمْ، وَلَا سِيَّمَا فِي اللَّيَالِي الْقِصَارِ، وَالْأَمْرُ عَلَى مَا يَحْتَمِلُهُ النَّاسُ. وَقَالَ الْقَاضِي: لَا يُسْتَحَبُّ النُّقْصَانُ عَنْ خَتْمِهِ فِي الشَّهْرِ؛ لِيَسْمَعَ النَّاسُ جَمِيعَ الْقُرْآنِ، وَلَا يَزِيدُ عَلَى خَتْمِهِ كَرَاهِيَةَ الْمَشَقَّةِ عَلَى مَنْ خَلْفَهُ. وَالتَّقْدِيرُ بِحَالِ النَّاسِ أَوْلَى؛ فَإِنَّهُ لَوْ اتَّفَقَ جَمَاعَةٌ يَرْضَوْنَ بِالتَّطْوِيلِ وَيَخْتَارُونَهُ، كَانَ أَفْضَلَ. كَمَا رَوَى أَبُو ذَرٍّ، قَالَ: «قُمْنَا مَعَ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – حَتَّى خَشِينَا أَنْ يَفُوتَنَا الْفَلَاحُ. يَعْنِي السُّحُورَ.» وَقَدْ كَانَ السَّلَفُ يُطِيلُونَ الصَّلَاةَ، حَتَّى قَالَ بَعْضُهُمْ: كَانُوا إذَا انْصَرَفُوا يَسْتَعْجِلُونَ خَدَمَهُمْ بِالطَّعَامِ، مَخَافَةَ طُلُوعِ الْفَجْرِ، وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِائَتَيْنِ.
“Imam Ahmad rahimahullah berkata: Seorang imam (bagi solat tarawih) hendaklah membaca sebahagian dari Al-Qur’an pada bulan Ramadhan dengan kadar yang ringan untuk orang ramai (jama’ah), dan jangan sampai membuatkan para makmum merasa berat lebih-lebih lagi pada malam-malam yang pendek. Hendaklah mereka melaksanakannya pada batas yang mampu dijangkau oleh para jama’ah.
Al-Qadhi berkata: Tidak disukai (bagi seorang imam) membaca Al-Qur’an dalam sepanjang Ramadhan kurang dari sekali khatam, (tujuannya) agar dia dapat memperdengarkan orang ramai dengan keseluruhan Al-Qur’an (bagi sepanjang tempoh bulan Ramadhan). Dan tidak disukai lebih dari sekali khatam kerana akan memberatkan jama’ah.
Tetapi hendaklah dia mengikuti kadar yang bersesuaian dengan keadaan orang ramai (para jama’ah). Jika para jama’ah sepakat dan redha dengan bacaan yang panjang, maka itulah yang afdhal. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Dzarr, beliau berkata:
“Kami pernah solat bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sampai kami merasa risau akan terluput dari Al-Falaah, yakni sahur.”
Para salaf terdahulu dikenal sentiasa memanjangkan solat, sampailah sebahagian mereka berkata, “Bahawasanya mereka apabila selesai dari melaksanakan solat malam di bulan Ramadhan, mereka pun langsung tergesa-gesa makan sahur kerana bimbang terbit fajar, dan imam pada ketika itu biasanya akan membaca sehingga dua ratusan ayat (untuk solat malam atau tarawih mereka).” (Al-Mughni, 2/124-125)
Tarawih Berjama’ah
Sunnah solat tarawih berjama’ah telah berlangsung sejak hayat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi. Hanya cuma kemudian Rasulullah menghentikan dari mengimami orang ramai bagi suatu tempoh atas sebab kerisauan Rasulullah jika solat tarawih tersebut akan diwajibkan ke atas umat Islam.
Ini adalah sebagaimana penjelasan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلَاتِهِ نَاسٌ ثُمَّ صَلَّى مِنْ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوْ الرَّابِعَةِ فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنْ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلَّا أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ
“Bahawasanya pada suatu malam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan solat di masjid, kemudian orang ramai pun mengikuti solat beliau. Pada malam berikutnya beliau kembali melaksanakan solat di masjid dan orang yang mengikutinya pun bertambah ramai. Pada malam ke-tiga atau ke-empat, orang ramai telah berkumpul tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak keluar untuk solat bersama-sama mereka. Ketika pagi hari beliau tampil menjelaskan:
“Sesungguhnya aku mengetahui apa yang kalian lakukan tadi malam dan tidak ada yang menghalang aku untuk keluar solat bersama-sama kalian melainkan kerana aku bimbang jika solat tersebut akan diwajibkan ke atas kalian.”
(‘Aisyah menyambung), Kejadian ini berlaku di bulan Ramadhan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1129)
Di hadis yang lain dari Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ، وَأَوْتَرَ، فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الْقَابِلَةُ اجْتَمَعْنَا فِي الْمَسْجِدِ، وَرَجَوْنَا أَنْ يَخْرُجَ فَيُصَلِّيَ بِنَا، فَأَقَمْنَا فِيهِ حَتَّى أَصْبَحْنَا، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، رَجَوْنَا أَنْ تَخْرُجَ فَتُصَلِّيَ بِنَا، قَالَ: «إِنِّي كَرِهْتُ – أَوْ خَشِيتُ – أَنْ يُكْتَبَ عَلَيْكُمُ الْوِتْرُ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat bersama kami pada bulan Ramadhan 8 raka’at, kemudian berwitir. Ketika malam berikutnya, kami berkumpul di masjid dengan harapan beliau tetap solat bersama kami. Maka kami terus berada di masjid sampailah pagi, kemudian kami masuk bertanya:
“Wahai Rasulullah, tadi malam kami berkumpul di masjid, berharap engkau akan solat bersama kami.”
Maka beliau bersabda, “Sesungguhnya aku tidak menyukai – atau merasa bimbang jika ia diwajibkan atas kalian.” (Shahih Ibn Hibban, no. 2409. Al-Mu’jam Ash-Shoghir, no. 525. Solat At-Tarawih oleh Al-Albani, m/s. 21)
Walaupun demikian, solat tarawih sebenarnya tetap berlangsung setelah itu, hanya cuma tidak dilaksanakan dalam satu bentuk jama’ah yang menyeluruh sebagaimana pernah dilakukan di zaman Rasulullah. Tetapi masyarakat ketika itu melaksanakannya dengan terpisah-pisah sama ada dengan sendirian mahupun dengan jama’ah masing-masing.
Al-Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri rahimahullah berkata:
فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ ثُمَّ كَانَ الْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ فِي خِلَافَةِ أَبِي بَكْرٍ وَصَدْرًا مِنْ خِلَافَةِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
“Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam wafat, orang ramai tetap meneruskan tradisi solat di malam-malam Ramadhan, keadaan tersebut berterusan hingga ke era kekhalifahan Abu Bakar dan awal-awal kekhalifahan ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2009)
Setelah sebab-sebab kerisauan dan kebimbangan di zaman Rasulullah hilang, maka solat sunnah tarawih secara berjama’ah yang menyeluruh dan rasmi pun kembali dihidupkan ketika pemerintahan ‘Umar Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu dengan imam yang dipilih oleh beliau (‘Umar).
Dalam satu atsar, dari Ibnu Syihab dari ‘Urwah bin Az-Zubair dari ‘Abdurrahman bin ‘Abdul Qaari bahawa beliau berkata:
خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ـ رضى الله عنه ـ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ، إِلَى الْمَسْجِدِ، فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ، وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ. ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَىِّ بْنِ كَعْبٍ، ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى، وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ، قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ، وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنَ الَّتِي يَقُومُونَ. يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ، وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ.
“Aku keluar bersama ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pada malam Ramadhan menuju masjid, ternyata orang-orang solat dengan berkelompok-kelompok dan secara terpisah-pisah, ada yang solat sendiri-sendiri dan ada seorang yang solat diikuti oleh makmum yang jumlahnya kurang dari sepuluh orang. Maka ‘Umar berkata:
“Aku berpendapat seandainya mereka semuanya solat berjama’ah dengan dipimpin oleh seorang imam, itu adalah lebih baik.”
Kemudian ‘Umar meneguhkan hasrat dan keinginannya tersebut lalu mengumpulkan mereka dalam satu jama’ah yang dipimpin oleh Ubay bin Ka’ab.
Kemudian aku keluar lagi bersamanya di malam yang lain dan ternyata orang-orang solat dalam satu jama’ah dengan dipimpin oleh seorang imam, lalu ‘Umar pun berkata:
“Sebaik-baiknya bid’ah adalah ini. Dan mereka yang tidur terlebih dahulu adalah lebih baik daripada mereka yang solat di awal malam.”
Yang beliau maksudkan adalah hasratnya untuk mendirikan solat di akhir malam, sedangkan orang ramai secara umum melaksanakannya di awal malam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2010)
Adapun yang dimaksudkan bid’ah oleh ‘Umar di sini adalah sunnah yang telah lama ditinggalkan (seakan-akan dilupakan), iaitu sunnah menghimpunkan sejumlah besar kaum muslimin untuk melaksanakan solat sunnah tarawih di bawah pimpinan seorang imam di masjid sebagaimana telah dilakukan di zaman Rasulullah. Dan perbuatan ‘Umar ini didukung pula oleh para sahabatnya yang lain. Antaranya sebagaimana kata Al-Imam Al-Hakim rahimahullah (Wafat: 405H):
وَفِيهِ الدَّلِيلُ الْوَاضِحُ أَنَّ : صَلاَةَ التَّرَاوِيحِ فِي مَسَاجِدِ الْمُسْلِمِينَ سُنَّةٌ مَسْنُونَةٌ ، وَقَدْ كَانَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ يَحُثُّ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَى إِقَامَةِ هَذِهِ السُّنَّةِ إِلَى أَنْ أَقَامَهَا.
“Padanya adalah dalil yang jelas bahawa solat At-Tarawih di masjid kaum muslimin adalah sunnah yang disyari’atkan (pada waktu sebelumnya), di mana ‘Ali bin Abi Thalib telah mendorong ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma agar melaksanakan sunnah ini sampai benar-benar ia ditegakkan.” (Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, di hadis no. 1608)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan:
عن عروة بن الزبير ان عمر بن الخطاب رضي الله عنه جمع الناس علي قيام شهر رمضان الرجال علي ابي بن كعب والنساء علي سليمان ابن ابي حثمة وعن عرفجة الثقفى قال كان علي بن ابى طالب رضي الله عنه يأمر الناس بقيام شهر رمضان ويجعل للرجال إماما وللنساء فكنت انا إمام النساء رواهما البيهقي
“Dari ‘Urwah bin Az-Zubayr, bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah mengumpulkan orang ramai untuk qiyam bulan Ramadhan, para lelaki diimami oleh Ubai bin Ka’ab, manakala kaum wanita diimami oleh Sulaiman bin Abi Hatsmah. Diriwayatkan pula dari ‘Arfajah Ats-Tsaqafi, beliau berkata, “Bahawa ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu memerintahkan orang ramai agar qiyam bulan Ramadhan berjama’ah, dan beliau menjadikan bagi lelaki seorang imam, manakala bagi wanita pula seorang imam. Dan aku dijadikan imam untuk kaum wanita.” Keduanya diriwayatkan oleh Al-Baihaqi.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/35)
Mana Lebih Utama, Tarawih Sendirian Atau Berjama’ah di Masjid?
Sebahagian kecil ulama berpendapat solat tarawih sendirian itu lebih utama, manakala jumhur berpendapat solat tarawih lebih afdhal dilaksanakan berjama’ah di masjid bersama imam dan kaum muslimin (di masjid).
Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) menyebutkan:
وَاخْتَارَ ابْنُ المُبَارَكِ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ: الصَّلَاةَ مَعَ الإِمَامِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ وَاخْتَارَ الشَّافِعِيُّ: أَنْ يُصَلِّيَ الرَّجُلُ وَحْدَهُ إِذَا كَانَ قَارِئًا
“Al-Imam Ibn Al-Mubaarak, Ahmad, dan Ishaq telah memilih solat tarawih itu dilaksanakan bersama imam di bulan Ramadhan. Manakala pendapat yang dipilih oleh Al-Imam Asy-Syafi’i adalah apabila seseorang itu merupakan qari (pembaca dan penghafaz Al-Qur’an) maka dia solat sendirian.” (Sunan At-Tirmidzi, 3/160; pada hadis no. 806)
Lihat juga Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 4/123.
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) menyebutkan:
وَالْمُخْتَارُ عِنْدَ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ ، فِعْلُهَا فِي الْجَمَاعَةِ ، قَالَ ، فِي رِوَايَةِ يُوسُفَ بْنِ مُوسَى : الْجَمَاعَةُ فِي التَّرَاوِيحِ أَفْضَلُ
“Pendapat yang dipilih di sisi Abi ‘Abdillah (Imam Ahmad bin Hanbal) adalah melaksanakannya secara berjama’ah. Dalam riwayat Yusuf bin Musa, “Berjama’ah pada solat tarawih adalah lebih afdhal.”
Imam Ahmad berkata:
كَانَ جَابِرٌ، وَعَلِيٌّ وَعَبْدُ اللَّهِ يُصَلُّونَهَا فِي جَمَاعَةٍ
“Bahawa Jaabir, ‘Ali, dan ‘Abdullah (yakni para sahabat Nabi) adalah orang-orang yang melaksanakannya dengan berjama’ah.”
Ibnu Qudamah menyebutkan:
وَقَالَ مَالِكٌ ، وَالشَّافِعِيُّ : قِيَامُ رَمَضَانَ لِمَنْ قَوِيَ فِي الْبَيْتِ أَحَبُّ إلَيْنَا
“Imam Malik dan Asy-Syafi’i mengatakan, melaksanakan qiyam Ramadhan di rumah itu lebih kami cintai bagi siapa yang kuat.”
Dalil yang mereka pegang:
Dari hadis Zaid bin Tsabit, beliau berkata:
احْتَجَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُجَيْرَةً بِخَصَفَةٍ، أَوْ حَصِيرٍ، فَخَرَجَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِيهَا، قَالَ: فَتَتَبَّعَ إِلَيْهِ رِجَالٌ وَجَاءُوا يُصَلُّونَ بِصَلَاتِهِ، قَالَ: ثُمَّ جَاءُوا لَيْلَةً فَحَضَرُوا، وَأَبْطَأَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُمْ، قَالَ: فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ، فَرَفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ وَحَصَبُوا الْبَابَ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُغْضَبًا، فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا زَالَ بِكُمْ صَنِيعُكُمْ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُكْتَبُ عَلَيْكُمْ، فَعَلَيْكُمْ بِالصَّلَاةِ فِي بُيُوتِكُمْ، فَإِنَّ خَيْرَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasang seperti bilik kecil dari tikar atau tirai (di masjid), lalu beliau pun keluar dan bersolat padanya. Maka sebahagian sahabat pun datang padanya dan turut serta solat mengikutinya. Kemudian mereka datang lagi pada suatu malam yang lain, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lambat keluar, sehingga beliau benar-benar tidak keluar kepada mereka. Lalu mereka pun mengangkat suara dan membaling batu-batu kecil pada pintu. Maka keluarlah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada mereka dalam keadaan marah. Rasulullah pun bersabda kepada mereka:
“Janganlah kalian berbuat demikian sampai aku beranggapan (bimbang) jika ianya akan diwajibkan atas kalian. Maka solatlah di rumah-rumah kalian, kerana sebaik-baik solat seseorang dari kalian adalah di rumahnya kecuali solat wajib (solat fardhu lima waktu).” (Shahih Al-Bukhari, no. 6113. Muslim, no. 781)
Kemudian Al-Imam Ibnu Qudamah menyebutkan bantahannya:
وَلَنَا إجْمَاعُ الصَّحَابَةِ عَلَى ذَلِكَ، وَجَمْعُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَصْحَابَهُ وَأَهْلَهُ فِي حَدِيثِ أَبِي ذَرٍّ، وَقَوْلُهُ لَهُ: { إنَّ الْقَوْمَ إذَا صَلَّوْا مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ ، كُتِبَ لَهُمْ قِيَامُ تِلْكَ اللَّيْلَةِ } .وَهَذَا خَاصٌّ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ، فَيُقَدَّمُ عَلَى عُمُومِ مَا احْتَجُّوا بِهِ، وَقَوْلُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَلِكَ لَهُمْ مُعَلَّلٌ بِخَشْيَةِ فَرْضِهِ عَلَيْهِمْ، وَلِهَذَا تَرَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِيَامَ بِهِمْ مُعَلَّلًا بِذَلِكَ أَيْضًا، أَوْ خَشْيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهُ النَّاسُ فَرْضًا، وَقَدْ أُمِنَ هَذَا أَنْ يُفْعَلَ بَعْدَهُ.
“Adapun dalil kami pada perkara ini adalah ijma’ para sahabat. Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri berjama’ah bersama-sama para sahabatnya dan ahli keluarganya sebagaimana dalam hadis Abu Dzar, dan juga berdasarkan sabda beliau:
“Sesungguhnya suatu kaum apabila solat bersama imam sehingga selesai, ditulislah baginya solat pada malam tersebut (semalaman penuh).”
Dan ini adalah dalil khas sempena qiyam Ramadhan, maka ianya harus didahulukan berbanding keumuman dalil yang mereka pegang.
Kemudian, perkataan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bimbang jika solat tersebut akan difardhukan yang mana ianya menjadi sebab Nabi meninggalkan sebahagian malam dari qiyam secara berjama’ah bersama para sahabat (di masjid – pent.), kerana itulah Nabi sengaja meninggalkan sebahagian malam untuk qiyam bersama para sahabat. Atau kerana bimbang manusia akan menganggapnya sebagai sebahagian dari kefardhuan. Dan demikianlah yang dilaksanakan setelahnya.” (Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 3/390-391)
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
وتجوز منفردا وجماعة وأيهما أفضل فيه وجهان مشهوران كما ذكر المصنف وحكاهما جماعة قولين (الصحيح) باتفاق الاصحاب أن الجماعة أفضل وهو المنصوص في البويطي وبه قال أكثر أصحابنا المتقدمين (والثاني) الانفراد أفضل وقد ذكر المصنف دليلهما قال اصحابنا العراقيون والصيدلاني والبغوى وغيرهما من الخراسانيين الخلاف فيمن يحفظ القرآن ولا يخاف الكسل عنها لو انفرد ولا تختل الجماعة في المسجد بتخلفه فان فقد أحد هذه الامور فالجماعة أفضل بلا خلاف
“Dibolehkan melaksanakan tarawih secara munfarid (yakni solat sendirian) dan boleh juga berjama’ah. Tetapi, manakah yang lebih afdhal?
Pada permasalahan ini terdapat dua pendapat yang masyhur sebagaimana disebutkan oleh penulis (Asy-Syirazi). Dan diriwayatkan oleh jama’ah (dari tokoh-tokoh mazhab Asy-Syafi’i) sebagai dua pendapat.
Yang sahih (benar) dengan kesepakatan sahabat-sahabat kami (dalam kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i) bahawa tarawih berjama’ah adalah lebih utama dan ianya dinashkan oleh Al-Buwaithi dan dengannyalah dipegang oleh kebanyakan sahabat-sahabat kami yang terdahulu. Pendapat kedua pula menyatakan: Solat tarawih sendirian lebih afdhal…
Para sahabat kami (dari kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i) berkata:
Perselisihan pendapat terjadi pada orang-orang yang hendak menjaga hafazan Al-Qur’an (yakni jika dia solat sendirian, akan lebih fokus serta membantu dan menjaga hafalannya – pent.), tidak ada kebimbangan yang muncul disebabkan kerana kemalasan jika melaksanakannya secara sendirian (yakni tidak menjadikannya malas), dan tidak menghambat keadaan jama’ah di masjid dengan sebab ketidak-hadirannya (yakni tidak menjadikan masjid kosong atau timbulnya fitnah – pent.). Jika salah satu di antara perkara-perkara ini tidak terpenuhi, maka solat bersama jama’ah di masjid adalah lebih utama tanpa adanya perbezaan pendapat.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/31)
Di halaman berikutnya, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah menegaskan lagi:
قد ذكرنا ان الصحيح عندنا ان فعل التراويح في جماعة افضل من الانفراد وبه قال جماهير العلماء
“Telah kami sebutkan bahawa yang sahih di sisi kami, solat tarawih secara berjama’ah (di masjid bersama kaum muslimin) itu adalah lebih afdhal berbanding tarawih secara sendirian, dan inilah yang menjadi pendapat jumhur para ulama.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/35)
Kata beliau juga:
إذا استحببنا الجماعة في التراويح استحبت الجماعة أيضا في الوتر بعدها باتفاق الاصحاب
“Apabila kami menganjurkan berjama’ah pada solat tarawih, bermakna solat witir juga dianjurkan agar dilaksanakan secara berjama’ah setelahnya (bersama imam) dengan ittifaq (kesepakatan) sahabat-sahabat kami (para ulama Syafi’iyyah).” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/15)
Namun seandainya solat tarawih di masjid dilaksanakan dalam keadaan tergesa-gesa dan dicampur-adukkan pula dengan pelbagai bentuk bid’ah sehingga menghilangkan khusyu’ dan tujuan solat itu sendiri sebagaimana yang banyak berlaku pada hari ini, maka solat tarawih sendirian adalah lebih utama, insyaAllah. Namun solat fardhu tetap dilaksanakan di masjid kaum muslimin. Wallaahu a’lam.
‘Umar memerintahkan Tarawih 11 Rakaat atau 23 Rakaat?
As-Sa’ib bin Yazid menjelaskan:
أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ
“Umar Al-Khaththab memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim Ad-Daari untuk mengimami solat tarawih orang ramai dengan 11 raka’at. (Beliau menjelaskan lagi):
Dan pada ketika itu, seorang qari (imam) biasanya akan membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa bersandar kepada tongkat-tongkat kami kerana terlalu lamanya berdiri. Dan setelah begitu lama, barulah kami selesai solat ketika hampir masuknya Subuh.” (Muwaththa’ Malik, Bab: Qiyam Ramadhan, no. 232. Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 4287. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Apa yang diperintahkan ‘Umar ini selari dengan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana penjelasan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً
“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada di bulan Ramadhan mahu pun di bulan-bulan selainnya, beliau tidak pernah solat malam melebihi 11 raka’at.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1147)
Dalam sebahagian riwayat yang lain disebutkan tidak melebihi 13 rakaat termasuk rawatib ‘Isya’ atau Subuh sebagaimana penjelasan antaranya oleh Al-Imam An-Nawawi dan Asy-Syaikh Al-Albani rahimahumallah. Juga sebagaimana kata ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
كَانَتْ صَلَاتُهُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ وَغَيْرِهِ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً بِاللَّيْلِ مِنْهَا رَكْعَتَا الْفَجْرِ
“Solat beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada di bulan Ramadhan atau selainnya adalah tiga belas raka’at pada waktu malam yang di antaranya merupakan dua rakaat sunnah Subuh.” (Shahih Muslim, no. 738)
Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Bazz rahimahullah menjelaskan:
ومن تأمل سنته صلى الله عليه وسلم علم أن الأفضل في هذا كله هو صلاة إحدى عشرة ركعة، أو ثلاث عشرة ركعة، في رمضان وغيره؛ لكون ذلك هو الموافق لفعل النبي صلى الله عليه وسلم في غالب أحواله، ولأنه أرفق بالمصلين وأقرب إلى الخشوع والطمأنينة، ومن زاد فلا حرج ولا كراهية كما سبق
“Sesiapa yang mengambil berat sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dia akan faham bahawa yang afdhal (lebih utama) dalam perkara ini semua adalah solat malam itu sebanyak 11 rakaat atau 13 rakaat, sama ada dalam bulan Ramadhan atau pun selainnya. Ini kerana ianya menepati amalan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ia juga lebih ringan bagi para jama’ah, serta lebih dekat kepada khusyu’ serta thuma’ninah. Walau bagaimanapun bagi sesiapa yang menambah lebih dari itu maka tidak mengapa dan tidak dibenci sebagaimana telah berlalu penjelasannya.” (Ibnu Baaz, http://www.binbaz.org.sa/mat/8399)
Manakala bagi mereka yang menyatakan bolehnya (atau dianjurkan) solat tarawih dengan bilangan raka’at lebih dari itu, mereka berdalilkan dengan hadis solat malam dua rakaat-dua raka’at tanpa dibatasi jumlahnya, dan ditutup dengan witr (dalam jumlah raka’at ganjil) sebagaimana telah penulis sebutkan. Juga sebagaimana amalan sebahagian salaf yang solat tarawih dengan 23 raka’at, 20 raka’at, 29 raka’at, 39 raka’at, 41 raka’at, atau lebih dari itu. (lihat: Sunan At-Tirmidzi, 3/160. Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 4/120-123. Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 4/253-254. Shahih Fiqh As-Sunnah oleh Abu Malik Kamal, 1/419)
Terdapat pula dalam riwayat yang lain menyebutkan ‘Umar juga turut memerintahkan tarawih dengan 23 raka’at (yakni bukan hanya 11 rakaat), dan riwayat ini turut disahihkan bukan sedikit ulama dari kalangan ahli hadis yang antaranya adalah Al-Imam An-Nawawi, Az-Zaila’i, Al-‘Aini, dan Ibn Baz rahimahumullah. (lihat: Al-Mushannaf oleh Abdurrozzaq, no. 7730. Mushannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 7682. Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, 4289)
Riwayat dimaksudkan tersebut juga datang dari jalan As-Sa’ib bin Yazid, beliau berkata:
أَنَّ عُمَرَ: جَمَعَ النَّاسَ فِي رَمَضَانَ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ، وَعَلَى تَمِيمٍ الدَّارِيِّ عَلَى إِحْدَى وَعِشْرِينَ رَكْعَةُ يَقْرَءُونَ بِالْمِئِينَ وَيَنْصَرِفُونَ عِنْدَ فُرُوعِ الْفَجْرِ
“Bahawa ‘Umar pernah mengumpulkan manusia di bulan Ramadhan, di bawah pimpinan Ubay bin Ka’ab dan Tamim Ad-Daari yang menjadi imam dengan melaksanakan solat 21 raka’at. Ketika itu imam membaca ratusan ayat, dan solat tersebut hanya selesai ketika hampir menjelang fajr (masuk subuh).” (Mushannaf ‘Abdurrozzaq, no. 7730)
Sehingga sebahagian ulama menyatakan dalam rangka kompromi (menjamakkan antara riwayat), adakalanya masyarakat ketika itu sebenarnya melaksanakan tarawih dengan 23 rakaat, dan adakalanya dengan 11 rakaat.
Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) berkomentar setelah menyebutkan kedua-dua riwayat tersebut:
وَيُمْكِنُ الْجَمْعُ بَيْنَ الرِّوَايَتَيْنِ، فَإِنَّهُمْ كَانُوا يَقُومُونَ بِإِحْدَى عَشْرَةَ، ثُمَّ كَانُوا يَقُومُونَ بِعِشْرِينَ وَيُوتِرُونَ بِثَلَاثٍ، وَاللهُ أَعْلَمُ
“Dan mungkin boleh kita jamakkan (yakni gabungkan) antara dua riwayat (antara 11 dan 23), bahawasanya mereka melaksanakan dengan 11 raka’at, kemudian (di waktu yang lain) mereka juga turut melaksanakan dengan 20 raka’at dan 3 raka’at witr, wallaahu a’lam.” (Sunan Al-Kubra, 2/699. Di hadis no. 4289)
Hal yang sama turut dikemukakan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) di kitab beliau, Fath Al-Bari (4/253).
Beliau rahimahullah mengemukakan:
والجمع بين هذه الروايات ممكن باختلاف الأحوال ويحتمل أن ذلك الاختلاف بحسب تطويل القراءة وتخفيفها فحيث يطيل القراءة تقل الركعات وبالعكس وبذلك جزم الداودي وغيره
“Al-Jam’u (penggabungan) antara riwayat yang berselisih (sama ada yang menyebutkan 11 raka’at atau 23 raka’at) adalah memiliki kemungkinan dengan kita katakan bahawa mereka melaksanakan solat tersebut (tarawih) dengan melihat kepada keadaannya. Di mana adakalanya bacaan (pada setiap raka’atnya) mereka panjangkan, dan adakalanya mereka ringankan. Maka, di ketika bacaan tersebut dipanjangkan, maka jumlah raka’atnya pun menjadi lebih sedikit. Demikian pula jika sebaliknya. Dan inilah yang ditegaskan oleh Ad-Dawudi dan ulama yang lainnya.” (Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 4/253)
Adapun bagi mereka yang menguatkan tarawih hanyalah dengan 11 raka’at atau tidak lebih dari itu, mereka menganggap syadz dan lemah hadis tersebut. Ini antaranya semisal Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah. Beliau mengambil jalan tarjih dengan menyatakan dua riwayat tersebut saling bertentangan serta tidak mungkin untuk dijamakkan (digabungkan atau dikompromikan).
Selain itu, mereka berhujah agar mencontohi tarawih Rasulullah, di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertarawih tidak lebih dari sebelas raka’at dengan berdiri yang panjang. Sebagaimana yang kita maklum, Rasulullah adalah sebaik-baik contoh dan teladan untuk kita ikuti. Apatah lagi para sahabat sendiri pun tetap bertarawih dengan tidak melebihi 11 raka’at sebagaimana pandangan yang dikuatkan sebahagian ulama semisal Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah yang melemahkan riwayat lebih dari 11 raka’at.
Adapun riwayat-riwayat yang menyebutkan para sahabat pernah melaksanakan solat sunnah tarawih lebih dari 11 raka’at, menurut Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah semuanya adalah dha’if (lemah) sehingga tidak boleh dijadikan hujjah atau sandaran. Kata Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah:
وقد أشار الترمذي في سننه إلى عدم ثبةت عدد العشرين عن عمر ويره من الصحابة
“Al-Imam At-Tirmidzi telah mengisyaratkan dalam kitab Sunannya tentang tidak benarnya riwayat 20 raka’at tarawih yang disandarkan kepada ‘Umar serta para sahabat manapaun.” (Solat At-Tarawih, m/s. 65)
Walaupun demikian, tidak ditemui dari kalangan salaf yang melarang melaksanakan tarawih atau solat malam di bulan Ramadhan lebih dari 11 raka’at, dan mereka tidak pula memahami perbuatan nabi tersebut sebagai batas ketentuan jumlah raka’at tarawih. Dan bahawasanya agama ini diambil dari kefahaman mereka.
Bahkan diriwayatkan sejumlah besar dari mereka, mereka melaksanakan solat tarawih di bulan Ramadhan dengan jumlah raka’at yang berbeza-beza dan mereka menganggap hal tersebut sebagai suatu yang luas. Manakala Al-Imam Al-Baghawi menyebutkan dalam Syarh As-Sunnah, adapun kebanyakan ahli ilmu mereka melaksanakan dengan 20 raka’at. Riwayat-riwayat seumpama boleh disemak antaranya dalam Al-Mushannaf oleh Ibn Abi Syaibah mahupun ‘Abdurrozzaq.
Di antara mereka, Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) diriwayatkan berkata:
رأيت الناس يقومون بالمدينة بتسع وثلاثين وبمكة بثلاث وعشرين وليس في شيء من ذلك ضيق
“Aku melihat orang-orang di Madinah melaksanakan tarawih 39 raka’at, manakala orang-orang di Makkah melaksanakannya 23 raka’at, dan tidak ada masalahan pada hal yang demikian.”
Kemudian beliau juga berkata:
أن اطالوا القيام واقلوا السجود فحسن وأن أكثروا السجود واخفوا القراءة فحسن والأول أحب إلى
“Apabila mereka memanjangkan qiyam (berdiri) dan menyedikitkan sujud, maka itu adalah baik. Namun jika mereka memperbanyakkan sujud dan meringankan bacaannya maka itu juga baik. Namun yang pertama lebih aku sukai.” (Fath Al-Bari, 4/253)
Sebagaimana terdapat juga sebahagian riwayat dari kalangan tabi’in, jika imam hendak meringankan solat (tarawih), maka mereka pun memperbanyakkan jumlah raka’atnya (agar tidak terlalu lama berdirinya).
Dari Dawud bin Al-Hushain, beliau mendengar ‘Abdurrahman bin Hurmuz rahimahullah (Wafat: 117H) berkata:
مَا أَدْرَكْتُ النَّاسَ إِلَّا وَهُمْ يَلْعَنُونَ الْكَفَرَةَ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ قَالَ: فَكَانَ الْقُرَّاءُ يَقُومُونَ بِسُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي ثَمَانِ رَكَعَاتٍ، فَإِذَا قَامَ بِهَا الْقُرَّاءُ فِي اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً رَأَى النَّاسُ أَنَّهُ قَدْ خَفَّفَ عَنْهُمْ
“Tidaklah aku bertemu dan melihat orang ramai, melainkan mereka mendoakan laknat atas orang-orang kafir pada bulan Ramadhan (yakni dalam solat tarawih/witir mereka – pent.).”
Kata beliau lagi, “Bahawasanya para qari (imam) pada ketika itu qiyam (solat tarawih) dengan membacakan Surah Al-Baqarah pada 8 raka’at solat. Jika para qari (imam) membacanya dalam 12 raka’at solat, orang ramai menganggap bahawa qari (imam) telah meringankan untuk mereka.” (Mushannaf oleh ‘Abdurrazzaq, no. 7734)
Sehingga para ulama antaranya Al-Imam Ibn ‘Abdil Barr rahimahullah (Wafat: 463H) berkata:
وقد أجمع العلماء على أن لا حد ولا شيء مقدرا في صلاة الليل وأنها نافلة فمن شاء أطال فيها القيام وقلت ركعاته ومن شاء أكثر الركوع والسجود
“Para ulama telah ijma’ (bersepakat) bahawa tidak ada batas dan ketentuan yang khusus dalam penetapan jumlah bilangan raka’at solat malam, kerana itu merupakan hal yang sunnah. Sesiapa yang mahu, maka dia boleh memperlamakan berdirinya dan mengurangi raka’atnya, dan sesiapa yang mahu, maka dia boleh memperbanyak ruku’ dan sujudnya (yakni menambah jumlah raka’atnya di setiap dua raka’at salam – pent.).” (Al-Istidzkaar Al-Jaami’ li Madzhabi Fuqahaa’ Al-Amshaar oleh Ibn ‘Abdil Barr, 2/102)
Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) pula menegaskan:
وَمَنْ ظَنَّ أَنَّ قِيَامَ رَمَضَانَ فِيهِ عَدَدٌ مُوَقَّتٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُزَادُ فِيهِ وَلَا يُنْقَصُ مِنْهُ فَقَدْ أَخْطَأَ
“Sesiapa yang beranggapan bahawa solat malam di bulan Ramadhan memiliki jumlah raka’at tertentu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan tidak boleh menambahnya, serta tidak boleh menguranginya, maka dia telah salah.” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/272)
Dan beliau juga menyatakan:
وَأَنَّهُ لَا يتوقت فِي قِيَامِ رَمَضَانَ عَدَدٌ فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يُوَقِّتْ فِيهَا عَدَدًا وَحِينَئِذٍ فَيَكُونُ تَكْثِيرُ الرَّكَعَاتِ وَتَقْلِيلُهَا بِحَسَبِ طُولِ الْقِيَامِ وَقِصَرِهِ
“Tidak ada pengkhususan jumlah raka’at tertentu pada perlaksanaan solat malam di bulan Ramadhan. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menentukan jumlah raka’atnya, maka dari itu, banyak atau sedikitnya raka’at adalah bersesuaian dengan lama atau pendeknya dia berdiri ketika solat.” (Majmu’ Al-Fatawa, 23/113)
Solat Tarawih Kurang 11 Rakaat
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam selain solat malam dengan 11 atau 13 raka’at, sahih dari perbuatan beliau sendiri bersolat malam dengan 7 raka’at dan 9 raka’at untuk satu-satu malam.
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menjelaskan:
كَانَ يُوتِرُ بِأَرْبَعٍ وَثَلَاثٍ وَسِتٍّ وَثَلَاثٍ وَثَمَانٍ وَثَلَاثٍ وَعَشْرٍ وَثَلَاثٍ وَلَمْ يَكُنْ يُوتِرُ بِأَنْقَصَ مِنْ سَبْعٍ وَلَا بِأَكْثَرَ مِنْ ثَلَاثَ عَشْرَةَ
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa berwitir dengan empat raka’at kemudian tiga raka’at, enam raka’at dan tiga raka’at, lapan raka’at kemudian tiga raka’at, juga sepuluh raka’at kemudian tiga raka’at. Beliau tidak pernah melaksanakan witir (yakni solat malam) kurang dari tujuh raka’at dan lebih dari tiga belas raka’at.” (Sunan Abi Dawud, no. 1362. Dinilai sahih oleh Al-‘Iraqi dan Al-Albani)
Dari apa yang disebutkan oleh ‘Aisyah ini juga dapat kita fahami bahawa solat malam secara umumnya juga disebut sebagai witir. ‘Aisyah tidak membezakan di antara solat yang genap dengan yang ganjil. Secara umumnya, witir dan solat sunnah lainnya yang dilakukan di malam hari adalah termasuk solat malam. Namun sebahagian ulama membezakan dan memisahkan antara keduanya berdasarkan hadis-hadis sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas.
Kemudian sahih dari sabda beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bolehnya solat malam dengan 5 raka’at, 3 raka’at, atau 1 raka’at. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
الْوِتْرُ حَقٌّ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُوتِرْ بِخَمْسٍ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُوتِرْ بِثَلَاثٍ وَمَنْ شَاءَ فَلْيُوتِرْ بِوَاحِدَةٍ
“Solat witir adalah haq. Maka sesiapa hendak berwitir, dibolehkan dengan lima raka’at, atau tiga raka’at, atau satu raka’at.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1180. An-Nasaa’i, no. 1692. Ad-Daruquthni, no. 2. Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan, “Disahihkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim.” Dinilai sahih oleh al-Albani)
Sebagaimana dalam satu riwayat yang sahih, ‘Utsman pernah mengkhatamkan Al-Qur’an dalam satu malam dengan 1 raka’at witir tanpa diiringi solat-solat malam lainnya. Begitu juga dengan Sa’ad bin Abi Waqqash dan Mu’awiyah juga pernah melakukan 1 raka’at witir untuk satu malam tanpa diiringi solat-solat sunnah lainnya. Berwitir dengan satu raka’at tanpa iringan solat-solat sunnah lainnya adalah sebahagian amalan sejumlah sahabat. (lihat: Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 2/482)
Asy-Syaikh Husain bin ‘Audah Al-Awaisyah adalah antara yang menyatakan bolehnya tarawih (Qiyam Ramadhan) dengan 1 raka’at, 3 raka’at, atau 5 raka’at dengan satu salam. Walau bagaimanapun beliau menyatakan, yang afdhal adalah dengan dua raka’at-dua raka’at, iaitu satu salam bagi setiap dua raka’at. Beliau menyatakan dalam kitabnya, Al-Mausuu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Muyassarah pada bab Solat At-Tarawih. Begitu juga dengan guru beliau Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah melalui kitabnya, Solat At-Tarawih menganjurkan solat tarawih (Qiyam Ramadhan) asalkan tidak lebih dari 11 raka’at. Wallahu a’lam.
Asy-Syaikh Al-Albani adalah di antara barisan ulama yang berpegang kepada pendapat solat malam termasuk tarawih (Qiyam Ramadhan) itu tidak lebih dari 11 raka’at.
Demikianlah sebahagian pandangan dari sekian banyak pandangan para ulama berkait solat malam di bulan Ramadhan (Tarawih).
Dan Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyatakan:
وَمَنْ ظَنَّ أَنَّ قِيَامَ رَمَضَانَ فِيهِ عَدَدٌ مُوَقَّتٌ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُزَادُ فِيهِ وَلَا يُنْقَصُ مِنْهُ فَقَدْ أَخْطَأَ
“Sesiapa yang beranggapan bahawa solat malam di bulan Ramadhan memiliki jumlah raka’at tertentu dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan tidak boleh menambahnya, serta tidak boleh menguranginya, maka dia telah salah.” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/272)
Keutamaan Tarawih; Menghapuskan Dosa
Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang melaksanakan qiyam Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dari dosa-dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 37, 2009)
Dan fadhilah atau keutamaan pada solat tarawih ini sebenarnya sangatlah banyak sebagaimana solat-solat malam lainnya. Ia disebutkan sama ada dalam Al-Qur’an mahupun hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Fadhilat Solat Bersama Imam
Dari Abi Dzar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
“Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama-sama imam (dalam qiyam Ramadhan) sehingga selesai, akan ditulis baginya ganjaran solat satu malam penuh.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 806. Bab: Apa yang datang pada Qiyaam bulan Ramadhan)
Bagi seorang imam yang melaksanakan dengan 11 raka’at, maka hendaklah makmumnya menghabiskan dengan 11 raka’at. Bagi yang melaksanakan lebih dari itu, maka hendaklah dia mengikuti sehingga selesai juga. Begitu juga sekiranya imam melaksanakan kurang dari 11 raka’at atau selainnya, hendaklah dia menyelesaikannya bersama-sama imam bagi meraih ganjaran solat semalaman sebagaimana hadis ini.
Witir Sebagai Penutup Solat Malam
Sebagaimana penjelasan dalam banyak hadis-hadis yang berkaitan dalam perkara ini dan juga berdasarkan sunnah-sunnah beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara umum, solat-solat malam itu ditutup (atau diakhirkan) dengan raka’at-raka’at yang ganjil atau disebut sebagai witir. Sama ada dengan 1, 3, 5, 7, atau 9 rakaat. Di antara hadis yang menganjurkan demikian adalah sebagaimana berikut.
Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salla bersabda:
صَلَاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا رَأَيْتَ أَنَّ الصُّبْحَ يُدْرِكُكَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ». فَقِيلَ لِابْنِ عُمَرَ: مَا مَثْنَى مَثْنَى؟ قَالَ: «أَنْ تُسَلِّمَ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ
“Solat malam itu dua raka’at-dua raka’at, apabila engkau melihat Subuh akan menjelang, maka berwitirlah satu raka’at.”
Ibnu ‘Umar bertanya kepada Nabi:
“Apa yang dimaksudkan dengan dua raka’at-dua raka’at?”
Jawab Nabi, “Yakni hendaklah engkau salam pada setiap dua raka’at.” (Shahih Muslim, no. 749)
Dari hadis Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا
“Jadikanlah yang terakhir dari solat-solat malam kalian itu yang ganjil raka’atnya (solat witir).” (Shahih Al-Bukhari, no. 998. Muslim, no. 751)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga menjelaskan bahawa satu solat witir (solat yang ganjil raka’atnya) adalah hanya untuk sekali sahaja bagi setiap satu malam. Beliau bersabda:
لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ
“Tiada dua witir dalam satu malam.” (Musnad Ahmad, no. 16296. Sunan At-Tirmidzi, no. 470. An-Nasaa’i, no. 1679. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1101)
Walaupun terdapat hadis yang menganjurkan supaya mengakhirkan witir dari solat-solat malam lainnya, ini bukan bererti terlarang untuk melaksanakan solat-solat sunnah lainnya setelah berwitir. Kerana tsabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri beliau tetap ada melaksanakan solat sunnah lainnya setelah melakukan witir. Begitu juga dengan sebahagian sahabat juga demikian. Namun ia bukanlah untuk dijadikan sebagai kebiasaan.
Doa Rasulullah Ketika Sujud di Akhir Witir
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menceritakan:
فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari katil (atau tempat tidur), maka aku pun mencarinya. Tiba-tiba tanganku menyentuh kedua telapak kaki beliau (dalam keadaan tegak lagi lurus) yang mana beliau sedang bersujud. Beliau ketika itu sedang mengucapkan (berdoa):
اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Ya Allah, aku berlindung dengan redha-Mu dari murka-Mu, dengan ampunan-Mu dari siksaan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari azab-Mu. Aku tidak dapat menghitung segala pujian ke atas-Mu. Engkau adalah sebagaimana Engkau memuji ke atas diri-Mu sendiri.” (Shahih Muslim, no. 486)
‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي آخِرِ وِتْرِهِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سُخْطِكَ وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berdoa di hujung solat witir dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ، لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ
“Ya Allah, aku berlindung dengan redha-Mu dari murka-Mu, dengan ampunan-Mu dari siksaan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari azab-Mu. Aku tidak dapat menghitung segala pujian ke atas-Mu. Engkau adalah sebagaimana Engkau memuji ke atas diri-Mu sendiri.” (Sunan Abi Dawud, Bab: Qunut Witir, no. 1427. An-Nasaa’i, Bab: Doa Ketika Witir, no. 1100. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Al-Arnauth)
Sebagaimana zahir dari hadis ini, doa tersebut dibaca ketika dalam sujud (yang terakhir) atau di akhir tasyahhud sebelum salam.
Ucapan Setelah Witir
Ubay bin Ka’ab radhiyallahu ‘anhu berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ فِي الْوِتْرِ قَالَ سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila selesai memberi salam dari solat witir, beliau pun mengucapkan Subhaanal Malikil Qudduus.” (Sunan Abi Dawud, no. 1430. Dinilai sahih oleh Al-Albani)
Al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah meriwayatkan dalam Musnadnya:
أَنَّ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُوتِرُ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، وَكَانَ إِذَا سَلَّمَ قَالَ: سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، ثَلَاثًا يَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالْآخِرَةِ
“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berwitir, beliau membaca Sabbihisma Rabbikal A’la, kemudian Qul Ya Ayyuhal Kaafiruun, dan kemudian Qul huwallahu Ahad. Dan apabila beliau selesai memberi salam, beliau pun mengucapkan, “Subhaanal Malikil Qudduus” sebanyak tiga kali dan pada ucapan yang ketiga beliau mengeraskan suaranya.” (Musnad Ahmad, no. 15358. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)
Tarawih di 10 Malam Terakhir Ramadhan
Apabila tiba sahaja 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama ahli keluarganya serta para sahabat yang lainnya akan lebih bersungguh-sungguh dalam ibadah dan menghidupkan malam-malamnya di masjid.
‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila memasuki fasa 10 hari yang akhir (dari bulan Ramadhan), beliau mengikat pakaiannya kuat-kuat, beliau menghidupkan malamnya dengan beribadah, dan beliau membangunkan keluarganya (isteri-isterinya).” (Shahih Al-Bukhari, Kitab: Solat At-Tarawih, no. 2024)
Sahabat Nabi, Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu menceritakan:
صُمْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُصَلِّ بِنَا حَتَّى بَقِيَ سَبْعٌ مِنْ الشَّهْرِ فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ وَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ اللَّيْلِ فَقُلْنَا لَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ثُمَّ لَمْ يُصَلِّ بِنَا حَتَّى بَقِيَ ثَلَاثٌ مِنْ الشَّهْرِ وَصَلَّى بِنَا فِي الثَّالِثَةِ وَدَعَا أَهْلَهُ وَنِسَاءَهُ فَقَامَ بِنَا حَتَّى تَخَوَّفْنَا الْفَلَاحَ قُلْتُ لَهُ وَمَا الْفَلَاحُ قَالَ السُّحُورُ
“Kami berpuasa bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada suatu bulan (Ramadhan), dan beliau tidak pernah sedikit pun melaksanakan solat malam bersama-sama kami di bulan tersebut sehingga berbaki tujuh hari (pada malam ke-23). Kemudian beliau solat bersama-sama kami (sebagai imam) sehingga berlalu sepertiga malam. Kemudian beliau tidak solat bersama-sama kami pada malam yang keenam. Dan beliau kembali solat bersama-sama kami pada malam yang kelima sehingga berlalu sebahagian malam. Kami pun segera bertanya:
“Wahai Rasulullah, alangkah baiknya jika engkau melaksanakan solat bersama-sama kami pada baki malam kami ini?”
Beliau menjawab, “Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama-sama imam sehingga selesai, akan ditulis baginya ganjaran solat satu malam penuh.”
Kemudian beliau tidak keluar mengimami kami pada malam yang keenam, dan beliau mengimami kami lagi pada baki tiga malam (dari Ramadhan tersebut). Beliau solat bersama-sama kami untuk ketiga kalinya dengan mengajak sama ahli keluarga dan isteri-isteri beliau. Lalu kami pun solat bersama-sama beliau sehingga risau akan ketinggalan al-falah.
Aku (Jabir bin Nufair: perawi Abu Dzar) bertanya, “Apa dia Al-Falah?”
Abu Dzar menjawab, “Makan Sahur.”.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 806. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Iringan Selawat dan Doa
Sebahagian besar dari kalangan masyarakat Islam di negara kita hari ini menyangka solat tarawih tanpa diselang-selikan dengan zikir-zikir tertentu, selawat-selawat, dan juga doa-doa berjama’ah maka ianya tidak sempurna. Sedangkan apa yang benar lagi sempurna adalah apa yang ditunjukkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada kita. Dan kita telah melihat sebahagian dalil-dalilnya di atas, tidak ada satu pun dalil yang mengisyaratkan adanya amalan tarawih dengan iringan selawatan atau doa-doa khusus tertentu sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat di sini.
Dan sebenar-benar amalan ibadah itu adalah apa-apa yang bersesuai dan bertepatan dengan petunjuk Nabi serta dilaksanakan dengan tulus/ikhlas kerana mengharapkan wajah Allah.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya qiyam di malam-malam Ramadhan (tarawih) tanpa ada selawat-selawat khusus tertentu mengiringinya, tiada adegan sahut-menyahut bacaan selawat dengan menjerit-jerit. Tiada juga doa-doa khusus yang dibaca secara berjama’ah melainkan apa yang disebutkan dalam sebahagian riwayat iaitu doa qunut di akhir raka’at witir (secara berjama’ah) atau doa-doa di sujud yang akhir (secara sendiri-sendiri) sebagaimana telah disebutkan di atas. Adakah yang berani mengatakan tarawih mereka tidak sempurna?!
Apa yang lebih membimbangkan, ada di kalangan umat Islam hari ini yang mereka-cipta selawat-selawat khusus ke atas Rasulullah, Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman, dan ‘Ali bagi mengiringi solat-solat tarawih mereka, lalu ianya dihafal dan disebarkan seakan-akan amalan yang sunnah! Sedangkan lafaz-lafaz selawat perlu diambil dari hadis-hadis yang sahih sebagaimana diajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bukan kita yang memandai-mandai mereka-ciptanya sendiri dan mengkhususkannya pada tempat-tempat tertentu serta dengan fadhilat-fadhilat tertentu pula.
Lebih parah, apa yang mereka reka ini kemudian mereka bukukan dan sebarkan. Bagi mereka yang melaksanakan tarawih tanpa iringan doa mahupun selawat mula dipandang sinis dan serong pula. Akibat dari budaya suka mengubah-suai ibadah ini, ramai di kalangan umat Islam sendiri akhirnya keliru dan bingung sehingga tidak mengetahui tatacara sebenar tarawih Rasulullah yang sahih. Sebaliknya mereka menganggap apa yang telah diubah-suai itu pula sebenarnya yang datang dari Rasulullah?! Bahkan malah memberatkan sebahagian kaum muslimin! Seakan solat tanpa iringan selawat, tanpa sahutan selawat, dan tanpa doa jama’i adakah tidak sempurna?!
Bahkan betapa ramai orang, mereka tidak mengetahui tentang hakikat kaifiyyat (tata cara) tarawih melainkan suatu solat yang padanya terdapat iringan-iringan selawat?! Subhanallaah.
Dari itu, penulis amat berharap supaya hati dan dada-dada umat Islam hari ini dilapangkan dan dimudahkan untuk melihat kembali tatacara solat tarawih Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari sumbernya yang benar berupa hadis-hadis dan sunnah-sunnah beliau yang mulia lagi sahih. Sekaligus menjauhi tokok-tambah yang tidak disyari’atkan lagi memberat-beratkan masyarakat. Biarlah kita beramal kelihatan sedikit tetapi menepati petunjuk Allah dan Rasul-Nya.
Bulan Ramadhan adalah waktu untuk kita memperbanyakkan amalan-amalan Sunnah, tidak perlu kepada amalan-amalan yang bid’ah atau amalan-amalan yang direka-reka, yang tidak ada sandarannya dari Nabi dan para sahabat. Kerana amalan-amalan sunnah sendiri telah benar-benar mencukupi dan berat jika benar-benar dilakukan seluruhnya.
Manakala amalan-amalan bid’ah, tidak lain melainkan menatijahkan keletihan dan sia-sia. Bahkan ia merupakan maksiat atas nama Allah dan Rasul-Nya.
Sahabat Nabi, ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:
اتبعوا ولا تبتدعوا فقد كفيتم كل ضلالة
“Ittiba’lah (ikutilah sunnah) dan jangan ibtida’ (berbuat bid’ah), kerana sunnah itu telah mencukupi bagi kalian, dan setiap bid’ah adalah kesesatan.” (Al-Bida’ oleh Ibn Wadhdhah, no. 13. As-Sunnah lil Marwazi, no. 78)
Sahabat Nabi, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةُ وَإِنْ رَآهَا النَّاس حَسَنَة
“Setiap bid’ah adalah sesat, walaupun manusia menganggapnya hasanah (baik).” (Dzamm Al-Kalaam, no. 276. Syarh Ushul I’tiqad, no. 126)
Kata salah seorang tokoh besar mazhab Asy-Syafi’i muta’akhirin, yakni Ibnu hajar Al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H), beliau pernah ditanya dalam masalah ini:
هل تُسَنُّ الصَّلَاةُ عليه صلى اللَّهُ عليه وسلم بين تَسْلِيمَاتِ التَّرَاوِيحِ أو هِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عنها فَأَجَابَ بِقَوْلِهِ الصَّلَاةُ في هذا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ لم نَرَ شيئا في السُّنَّةِ وَلَا في كَلَامِ أَصْحَابِنَا فَهِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عنها من يَأْتِي بها بِقَصْدِ كَوْنِهَا سُنَّةً في هذا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ دُونَ من يَأْتِي بها لَا بهذا الْقَصْدِ كَأَنْ يَقْصِدَ أنها في كل وَقْتٍ سُنَّةٌ من حَيْثُ الْعُمُومُ بَلْ جاء في أَحَادِيثَ ما يُؤَيِّدُ الْخُصُوصَ إلَّا أَنَّهُ غَيْرُ كَافٍ في الدَّلَالَةِ لِذَلِكَ
“Adakah disunnahkan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di selang antara salam solat-solat tarawih, atau adakah ianya merupakan bid’ah yang ditegah dari melakukannya?”
Maka dijawab dengan perkataannya, “Selawat pada tempat tersebut secara khusus tidaklah kami melihat ada sesuatu (sebagai dalil sandarannya) di dalam As-Sunnah, dan tidak pula dari perkataan sahabat-sahabat kami (yang bermazhab Asy-Syafi’i). Maka ia adalah suatu bid’ah yang ditegah dari melakukannya, (yakni) bagi sesiapa yang melakukannya dengan maksud ia merupakan sunnah pada tempat/masa tersebut secara khusus, kecuali bagi orang yang melakukannya bukan dengan maksud ini, seperti dia maksudkan selawat itu pada bila-bila masa adalah sunnah secara umum (tanpa mengkhususkannya untuk mengiringi tarawih – maka tidaklah mengapa), sebaliknya telah datang pada hadis-hadis yang menguatkan selawat-selawat pada tempat-tempat yang khusus, tetapi ianya tidaklah cukup untuk menjadi dalil bagi amalan yang demikian (pada mengiringi tarawih secara khsus).” (Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, 1/186)
Wallahu a’lam.
2 Comments
Subhanallah , mohon share ye . jzk
Habis tu kenapa mazhab pilih 20..Kat Mekah pun solat tarawih dulu, ikut mazhab hanbali….Kau ingat mazhab takde dalil ke? Sayyidina Umar buat 20 bukan 8.