Tafsir Ibnu Katsir Dalam Pandangan Ulama
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Tafsir Ibnu Katsir Menurut Pandangan Ulama Kontemporari
Menurut Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah (Wafat: 1377H)
“Menurut kami, Tafsir al-Hafiz Ibnu Katsir adalah kitab Tafsir yang paling bagus, indah, dan lengkap setelah Tafsir Imam para ahli Tafsir, iaitu Abu Ja’far ath-Thabari. Kami tidak bertujuan membandingkan antara keduanya, atau antaranya dengan yang lainnya, kerana menurut kami, tidak ada tafsir yang dapat menyamai keduanya, atau bahkan menghampirinya.
Al-Hafiz Ibnu Katsir telah berusaha dengan gigih untuk menafsirkan Al-Qur’an dengan Al-Qur’an, kemudian dengan As-Sunnah yang sahih yang merupakan keterangan dan penjelas Al-Qur’an. Selanjutnya beliau menyebutkan perkataan para ulama salaf tentang tafsir ayat-ayat yang ada.
Beliau juga membawakan banyak hadis (pada banyak tempat di dalam tafsirnya) berserta sanad-sanadnya dari kitab-kitab as-Sunnah dan sumbernya. Beliau banyak mengemukakan alasan kedha’ifan hadis, akan tetapi beliau sangat bersungguh-sungguh untuk menyebutkan hadis-hadis yang sahih walaupun dalam masa yang sama turut menyertakan hadis-hadis yang dha’if bersama. Maka kitab beliau tersebut (di samping merupakan kitab Tafsir al-Qur’an), ia juga sekaligus sebagai ilmu dan petunjuk bagi para penuntut ilmu hadis. Darinya dapat diketahui kaedah menganalisa dan meneliti sanad-sanad dan matan-matan hadis, serta mengetahui perbezaan hadis-hadis sahih dan selainnya. Jadi, dilihat dari makna ini, maka ia adalah kitab yang memberi pelajaran yang agung dan manfaatnya besar sekali.” (Lihat: Mukaddimah ‘Umdatut Tafsir ‘an Al-Hafiz Ibn Katsir) [Disediakan oleh krew Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Menurut Syaikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri rahimahullah:
“Sesungguhnya al-Qur’an yang mulia adalah kitab paling agung yang dengannya Allah memuliakan umat Islam ini. Al-Qur’an adalah kitab mulia yang tidak datang kepadanya kebathilan sama ada dari depan atau pun dari belakangnya, diturunkan dari Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji, dan memberikan petunjuk ke jalan yang paling lurus. Dan sesiapa yang meninggalkannya, sungguh dia berada dalam kerugian.
Umat Islam telah memberikan perhatian yang tiada tara terhadap Al-Qur’an sejak generasi Salaf yang telah berlalu dari umat ini. Para ulama umat ini telah membahaskan tentang al-Qur’an sama ada dalam permasalahan hukum-hakam, penjelasan, nasihat, faedah, pelbagai peristiwa dan kejadian, ibarat (perumpamaan), mukjizat, i’rab (huraian perkataan), pelbagai jenis qira’at (jenis bacaan), kepelbagaian lahjah (loghat), sehingga keadaan geografi tempat-tempat yang disebutkan di dalam Al-Qur’an, dan masih banyak lagi perbahasan-perbahasan lainnya.
Tafsir Ibnu Katsir merupakan kitab paling penting yang ditulis dalam bab tafsir Al-Qur’an, paling agung, paling banyak pula diterima dan tersebar di tengah-tengah umat ini. Kerana Ibnu Katsir rahimahullah adalah seorang yang ahli tentang ilmu-ilmu Al-Qur’an dan As-Sunnah, serta ilmu tentang sejarah umat-umat terdahulu dan yang akan datang, ditambah lagi dengan kurniaan Allah ke atas beliau berupa pandangan yang tajam dan mendalam tentang sunnatullah yang terjadi berkaitan dengan kemaslahatan, kerosakan, kemajuan, kemunduran, serta kehancuran umat ini.
Beliau memiliki pengetahuan yang luas atas apa yang diisyaratkan pada dasar-dasar perbahasan sebelumnya. Dan beliau rahimahullah memilih riwayat-riwayat tafsir yang ma’tsur (yang datang daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dalam menafsirkan al-Qur’an. Beliau banyak membawa hadis-hadis yang marfu’ (bersambung sampai kepada Nabi), perkataan-perkataan para salaf ash-Sholeh dari kalangan sahabat, tabi’in, dan para imam pembawa petunjuk yang datang setelah mereka serta dari kalangan ulama yang memiliki kekuatan ilmu dan pandangan dalam bidang tafsir Al-Qur’an dengan tidak mengabaikan sisi-sisi lain yang telah kami sebutkan. Oleh kerana itulah tafsir ini merangkum dua seni riwayah dan dirayah, serta manqul dan ma’qul. Kaum muslimin dapat menuai faedah yang sangat besar, dan kitab tafsir ini dapat diterima serta mendapat perhatian yang lebih berbanding dari kitab-kitab tafsir lainnya.” (lihat: Mukaddimah Al-Mishbah al-Munir fii Tahdzib Tafsir Ibnu Katsir) [Disediakan oleh krew Atsar Ent., www.atsar.ilmusunnah.com]
Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah ada menyenaraikan kitab-kitab penting untuk para penuntut ilmu dalam kitab beliau, Kitab Al-‘Ilm. Dan pada bahagian senarai Kitab-kitab Tafsir, beliau menyenaraikan Tafsir Ibn Katsir sebagai kitab di pilihan yang pertama, lalu beliau menyebutkan:
“Kitab Tafsir Al-Qur’an Al-Adziim karya Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah, ia adalah kitab yang bagus dalam permasalahan tafsir dengan atsar (riwayat-riwayat; Al-Qur’an, hadis-hadis, dan perkataan-perkataan para salaf – pent.), sangat bermanfaat dan sejahtera kandungannya.”
Pujian Para Ulama Ke Atas Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah
Keilmuan dan kesolehan Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah telah pun diakui para ulama sejak di zamannya serta begitu ramai lagi para ulama setelahnya. Antaranya, Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) berkata:
“Beliau adalah seorang imam dan seorang mufti (pemberi fatwa), ulama hadis yang pakar, faqih yang luas pandangannya, ahli tafsir, dan beliau memiliki banyak sekali tulisan yang bermanfaat.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:
“Beliau sentiasa menyibukkan diri dengan hadis, menela’ah matan dan rijal hadis. Beliau adalah orang yang memiliki hafalan yang banyak, kecerdasannya bagus, memiliki banyak karya tulis semasa hayatnya, dan telah memberikan manfaat yang sangat banyak kepada orang-orang setelah beliau.”
Salah seorang muridnya, Abu Al-Mahasin Jamaluddin Yusuf Ibn Syihabuddin berkata:
“Beliau adalah Syaikh, Al-Imam, Al-‘Allamah Imaduddin Abu Al-Fida’. Seorang ulama yang banyak menulis (berkarya), sentiasa bekerja, meraih ilmu dan menulis, pakar dalam bidang fiqh, tafsir, dan hadis. Beliau mengumpulkan, mengarang, mengajar, dan menyampaikan hadis serta menulis. Beliau memiliki telahan yang sangat luas dalam ilmu hadis, tafsir, fiqh, bahasa ‘Arab, dan ilmu-ilmu lainnya. Beliau mengeluarkan fatwa dan mengajar sehingga wafat. Semoga Allah merahmati beliau. Beliau dikenal sebagai ulama yang memiliki hafalan yang kuat dan tulisan yang bagus. Beliau telah mencapai puncak dalam ilmu sejarah, hadis, dan tafsir.”
Edisi Terjemahan Tafsir Ibnu Katsir Setakat Hari Ini
Sepengetahuan penulis, terdapat sekurang-kurangnya 7 edisi terjemahan bahasa Melayu Tafsir Ibnu Katsir yang telah diterbitkan untuk pasaran Nusantara. Di sini penulis senaraikan edisi tersebut secara ringkas.
Pertama, Terjemahan Tafsir Ibnu Ibnu Katsir terbitan Victorie Agency (Kuala Lumpur) dengan kerjasama PT Bina Ilmu (Surabaya, Indonesia), antara terjemahan paling awal dengan cetakan pertamanya pada tahun 1988. Namun, ini adalah edisi ringkasan yang sangat ringkas sehingga menghilangkan identiti asal Tafsir Ibnu Katsir. Dan edisi ini banyak mengambil tempat di kebanyakan perpustakaan universiti-universiti tempatan.
Kedua, Edisi terjemahan yang diterbitkan oleh Sinar Baru Algensido (Bandung, Indonesia). Ini adalah satu-satunya edisi terjemahan terlengkap setakat ini dan termasuk antara cetakan terjemahan terawal, iaitu cetakan pertamanya pada tahun 2000M, dan edisi ini telah masuk ke cetakan ke-tujuh (tahun 2012) setakat tulisan ini disiapkan. Namun padanya tidak disertakan sebarang catatan, nota kaki, dan catatan pentahqiq atau takhrij sebagaimana edisi lainnya yang akan penulis sebutkan. Sudah tentu ia menjadi kurang sesuai untuk bacaan kalangan awam kerana padanya masih terdapat riwayat-riwayat isra’iliyyat yang banyak, hadis-hadis yang tidak sahih, dan huraian-huraian yang sukar difahami. Kerana dimaklumi para pembaca dari kalangan awam amnya, kurang memiliki kemampuan untuk membezakan antara hadis atau riwayat-riwayat yang sahih dengan yang tidak sahih. (Klik untuk review)
Ketiga, Edisi terjemahan oleh penerbit Gema Insani Press (Indonesia) dengan tahqiq Asy-Syaikh Muhammad bin Nashir Ar-Rifa’i rahimahullah. Edisi ini terbit menjadi empat jilid lengkap, yang juga merupakan edisi ringkasan (mukhtashar).
Keempat, Edisi terjemahan oleh Pustaka Salam (KL), dan edisi ini tidak jauh bezanya dengan edisi terbitan Victorie Agenciy, namun dengan editing dan kualiti cetakan yang lebih baik.
Kelima, Edisi terjemahan oleh Penerbit Pustaka Imam Asy-Syafi’i (Bogor, Indonesia). Ini termasuk edisi terjemahan yang bagus dan telah diulang-cetak beberapa kali dalam masa yang singkat. Sepengetahuan penulis setakat tulisan ini ditulis, ia telah diulang-cetak lebih dari 10 kali cetakan dengan design yang diperkemaskan dan dengan revisi terjemahan semenjak pertama kali diterbitkan pada 2006M (lengkap dengan edisi 8 jilid – di saat awal terbitannya).
Edisi terbitan Pustaka Imam Asy-Syafi’i adalah edisi terjemahan dari cetakan yang ditahqiq dan diringkas oleh Asy-Syaikh ‘Abdullah bin ‘Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh berjudul Lubab At-Tafsir min Ibn Katsir. Hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang tidak sahih padanya telah disaring dengan baik, manakala sebahagian hadis dhaif tetap dikekalkan dengan disertakan catatan kaki bagi mengekalkan maksud asal penafsiran. Sebahagian riwayat (atsar) yang berulang juga telah diminimakan agar tidak menjadikannya terlalu panjang.
Bagi edisi terkini, pihak Pustaka Imam Asy-Syafi’i telah menerbitkannya menjadi dua edisi (design); ada edisi 6 jilid (bersaiz besar dan premium), serta bersaiz standard 10 jilid. (Klik untuk review)
Keenam, Edisi terjemahan oleh Penerbit Pustaka Ibnu Katsir (Jakarta, Indonesia). Edisi ini diterjemahkan dari edisi tahdzib atau ringkasan yang diselenggara oleh team Asy-Syaikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri rahimahullah, berjudul Al-Mishbahul Munir fii Tahdzib Tafsir Ibni Katsir cet. Darus Salam (Riyard – 2000M). Edisi terjemahan ini pertama kali diterbitkan pada April tahun 2006M dan siap menjadi 9 jilid lengkap sekitar tahun 2008M. Dan edisi ini termasuk edisi yang terlaris di pasaran yang kini telah diulang cetak sebanyak 12 kali ulang cetak semenjak diterbitkan pertama kali, dan cetakan yang terkini adalah pada 2014M setakat tulisan ini ditulis.
Edisi ini turut diterbitkan oleh dua penerbit yang lain seingat penulis, iaitu dari pihak Syamil Al-Qur’an (atau Sygma Pustaka), dan satu lagi penerbit yang lain namun penulis tidak dapat mengingat namanya buat masa ini. Namun edisi terbitan dan terjemahan dari Pustaka Ibnu Katsir adalah yang terbaik bagi edisi ini, dengan kualiti terjemahan yang baik, kemasan editing yang cantik, disertakan sub-tajuk di sela-sela perbahasannya, dan dimuatkan dengan nota kaki hadis yang sangat membantu. Ianya sangat sesuai untuk kalangan penuntut ilmu dari kalangan pemula dan kalangan awam secara umum. (Klik untuk review)
Ketujuh, Edisi terjemahan oleh Penerbit Darus Sunnah (Jakarta, Indonesia). Ia diterbitkan dari edisi ringkasan terbaik (menurut sebahagian ahli ilmu) yakni yang berjudul ‘Umdatut Tafsir ‘an Al-Hafiz Ibn Katsir dengan tahqiq Asy-Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah (ulama hadis dari Mesir, Wafat: 1377H). Ia mula memasuki pasaran sekitar hujung tahun 2011M atau awal tahun 2012M setelah siap cetakan pertama bagi jilid pertamanya pada September 2011. Ia siap sepenuhnya pada hujung tahun 2012/13 menjadi 6 jilid lengkap semuanya. Dan kini ia mula memasuki fasa cetakan kedua di pasaran. (Klik untuk review)
Wallaahu a’lam.