Solat Sunnah Gerhana
Berikut adalah sebahagian dari hadis-hadis berkaitan tuntutan melaksanakan solat sunnah di ketika berlakunya fenomena Gerhana:
Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
أَنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ مُنَادِيًا الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ فَاجْتَمَعُوا وَتَقَدَّمَ فَكَبَّرَ وَصَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ
“Bahawasanya matahari pernah mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau meminta seseorang berseru (memanggil) dengan “Ash-Shalaatu Jaami’ah” (ayuh solat berjama’ah). Maka orang-orang pun berkumpul, beliau pun lantas tampil ke hadapan, bertakbir, dan melaksanakan solat dua raka’at yang di dalamnya dilaksanakan empat kali ruku’ dan empat kali sujud.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 901)
Dari hadis Abu Mas’oud (Uqbah bin ‘Amir) Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ يُخَوِّفُ اللَّهُ بِهِمَا عِبَادَهُ وَإِنَّهُمَا لَا يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَصَلُّوا وَادْعُوا اللَّهَ حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ
“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang dengan keduanya Allah hendak menjadikan hamba-hamba-Nya berperasaan takut. Keduanya (matahari dan bulan) tidak mengalami gerhana dengan sebab matinya seseorang manusia dan tidak pula kerana hidupnya seseorang manusia. Sekiranya kamu melihat salah satu dari dua gerhana tersebut, maka solatlah dan berdoalah kepada Allah selagi mana ia dapat kamu lihat.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 911)
Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الْأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا
“Matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau (Rasulullah) berdiri dan bersolat bersama-sama yang lain, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri, kemudian ruku’ lalu memanjangkan (melamakan tempoh) ruku’, kemudian berdiri dan memanjangkan tempoh berdiri namun lebih pendek dari tempoh berdiri yang pertama (sebelumnya). Kemudian ruku’ lalu memanjangkan ruku’, namun lebih pendek tempohnya berbanding ruku’ yang pertama, kemudian sujud dan memanjangkan tempoh sujud. Kemudian mengerjakannya di dalam rakaat yang lain sebagaimana beliau melaksanakannya di dalam raka’at yang pertama. Kemudian beliau beranjak sementara matahari sudah kelihatan, lalu menyampaikan khutbah kepada mereka yang hadir sambil memuji Allah dan menyanjung-Nya. Kemudian beliau bersabda:
“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kekuasaan dari tanda-tanda kekuasaan Allah, yang gerhana ini tidaklah berlaku dengan sebab kematian seseorang atau kehidupan seseorang. Sekiranya kamu melihat gerhana maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, solatlah, dan bersedekahlah.”
Kemudian beliau bersabda:
“Wahai umat Muhammad, demi Allah, tiada seseorang pun yang lebih cemburu daripada Allah sekiranya hambanya yang lelaki berzina atau hambanya yang wanita berzina. Wahai umat Muhammad, demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, tentu kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis.” (Shahih Al-Bukhari, Bab Ash-Shodaqah fil Kusuuf, no. 1044)
Dari hadis Abi Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلَاةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ إِنَّ هَذِهِ الْآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ
“Matahari mengalami gerhana pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu (beliau) berdiri dalam keadaan takut, kerana khuwatir (bimbang) hari kiamat telah tiba, sehingga beliau tiba di masjid, beliau berdiri lalu solat, ruku’, dan sujud dengan sangat lama. Aku sama sekali tidak pernah melihat beliau melakukan seperti itu pada mana-mana solat pun. Kemudian beliau bersabda:
“Sesungguhnya ini merupakan al-ayaat (tanda-tanda kekuasaan) yang diutuskan Allah, yang tidak terjadi disebabkan kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupan seseorang, tetapi Allah mengutuskannya untuk menjadikan hamba-hamba-Nya takut. Sekiranya kamu melihat sebahagian gerhana tersebut, maka bersegeralah berzikir (mengingati Allah), berdoa kepada-Nya, dan memohon keampunan kepada-Nya.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 912)
Beberapa Faedah dan Pengajaran Hadis
1, Kejadian gerhana adalah termasuk peringatan dan tanda-tanda kebesaran Allah. Setiap makhluk baik yang besar mahupun yang kecil, semuanya tunduk di bawah penguasaan Allah. Maka seharusnya ia menjadi peringatan untuk kita beribadah hanya kepada Allah.
2, Kejadian gerhana seharusnya membuat kita merasa takut seraya bersegera mengingat Allah dengan memperbanyak doa, istighfar, melaksanakan solat (yakni solat sunnah kusuuf bagi yang menyaksikannya), dan memperbanyakkan amal-amal soleh (seperti sedekah, memerdekakan hamba, dan yang lainnya). Demikianlah yang terdapat dalam hadis-hadis Nabi, dan melaksanakannya adalah termasuk rangka ittiba’ kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukannya malah meniru budaya orang-orang kafir dengan bergembira dan berpeleseran melihat gerhana.
3, Pada hadis-hadis tersebut mengandungi bantahan terhadap sebahagian kepercayaan khurafat terhadap matahari, bulan dan kejadian gerhana seperti kepercayaan yang menganggap gerhana terjadi dengan sebab kematian atau kelahiran seseorang.
4, Apabila berlaku kejadian alam yang luar biasa, hendaklah segera mengingat Allah dan menjadikan Allah sebagai tempat kembali.
5, Menjauhi hal-hal yang membuat banyak tertawa.
Definisi dan makna
Imam Muhammad bin Isma’il Ash-Shan’ani rahimahullah berkata:
يقال: كسفت الشمس: بفتح الكاف وتضم نادراً وانكسفت وخسفت بفتح الخاء وتضم نادراً وانخسفت. واختلف العلماء في اللفظين هلا يستعملان في الشمس والقمر، أو يختص كل لفظ بواحد منهما؟ وقد ثبت في القرآن نسبة الخسوف إلى القمر، وورد في الحديث خسفت الشمس كما ثبت في نسبة الكسوف إليهما وثبت استعمالهما منسوبين إليهما فيقال فيهما: الشمس والقمر ينخسفان، وينكسفان إنما الذي لم يرد في الأحاديث نسبة الكسوف إلى القمر على جهة الانفراد، وعلى هذا يدل استعمال الفقهاء فإنهم يخصون الكسوف بالشمس والخسوف بالقمر: واختاره ثعلب، وقال الجوهري: إنه أفصح، وقيل يقال بهما في كل منهما.
“Disebutkan (dengan lafaz) “Kasafat Asy-Syam”, Inkasafat dan Khasafat, begitu juga khasafat. Para ulama berbeza pendapat di dalam penggunaan dua lafaz tersebut (Al-Kusuuf dan Al-Khusuuf) sama ada keduanya digunakan untuk matahari dan bulan, atau masing-masing lafaz tersebut memiliki pasangannya sendiri dari keduanya.
Dalam Al-Qur’an, penisbahan kata al-Khusuuf kepada bulan, namun di dalam hadis terdapat penyandaran al-Khusuuf kepada matahari sebagaimana tsabit juga penyandaran kata al-Kusuuf kepada matahari. Terdapat penggunaan kedua-dua bentuk lafaz tersebut kepada matahari dan bulan, sebagaimana disebutkan “asy-Syamsu wal Qomari yankhasifani wa yankasifani”, tetapi tidak ditemui lafaz al-Kusuuf dinisbahkan kepada bulan dengan cara menyendiri. Dengan alasan ini para ulama mengkhususkan lafaz kusuuf untuk matahari dan lafaz khusuuf untuk bulan, dan inilah yang dipilih oleh Tsa’lab, dan Al-Jauhari berkata:
“Ini lebih fasih (mendekati kebenaran), dan juga dinyatakan, kedua istilah tersebut (al-Kusuuf dan al-Khusuuf) digunakan untuk keduanya (matahari dan bulan).”.” (lihat: Subulus Salam, 2/73)
Bgitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani:
والمشهور في استعمال الفقهاء أن الكسوف للشمس والخسوف للقمر واختاره ثعلب وذكر الجوهري أنه أفصح وقيل يتعين ذلك
“Telah masyhur penggunaan lafaz tersebut di kalangan ulama bahawasanya al-Kusuuf untuk matahari dan al-Khusuuf untuk bulan sebagaimana yang dipilih oleh Tsa’lab dan disebutkan oleh Al-Jauhari bahawasanya ia lebih fasih (mendekati kebenaran) disebutkan demikian. (Fathul Bari, 2/535)
Penyusun kitab Shahih Fiqh As-Sunnah, Syaikh Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim hafizahullah berkata:
الكسوف: هو ذهاب ضوء أحد النيري (الشمس والقمر) أو بعضه، وتغيره إلى سواد، والخسف مرادف له، وقيل: الكسوف للشمس، والخسوف للقمر، وهو الشهر فى اللغة. والصلاة الكسوف: صلاة تؤدى بكيفية مخصوصة، عند ظلمه أحد النيرين أو بعضهما
“Al-Kusuf: Ia adalah menghilangnya (perginya) seluruh cahaya salah satu dari dua benda langit yang bercahaya (iaitu matahari dan bulan) atau sebahagian darinya dan berubah menjadi gelap (hitam). Sementara al-Khusuf adalah yang bersamaan dengannya. Dikatakan al-Kusuuf merujuk untuk matahari, manakala al-Khusuuf pula merujuk kepada bulan, dan inilah yang dikenali dalam bahasa ‘Arab.
Dan solat al-Kusuuf (gerhana): Adalah solat yang dilaksanakan dengan tatacara yang khusus di ketika terjadinya gerhana matahari atau bulan sama ada gerhana secara penuh atau sebahagian darinya.” (lihat: Shahih Fiqh As-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib Al-A’immah, 1/432)
Hukum Melaksanakan Solat Sunnah Gerhana (Solat Kusuuf/Khusuuf)
Dalam Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan:
أي مشروعيتها وهو أمر متفق عليه لكن اختلف في الحكم وفي الصفة فالجمهور على أنها سنة مؤكدة وصرح أبو عوانة في صحيحه بوجوبها ولم أره لغيره إلا ما حكى عن مالك أنه أجراها مجرى الجمعة ونقل الزين بن المنير عن أبي حنيفة أنه أوجبها وكذا نقل بعض مصنفي الحنفية أنها واجبة
“(Bahawa Solat gerhana ini) pensyari’atannya telah disepakati (diperakui), hanya cuma terdapat perbezaan pada penentuan hukum dan tatacara perlaksanaannya. Jumhur (majoriti) ulama menyatakan hukumnya adalah sunnah mu’akkadah. Abu ‘Awanah menegaskan hukumnya wajib dalam kitab Shahihnya. Aku tidak melihat mereka yang meletakkan hukum wajib ini selain daripada beliau (Abu ‘Awanah) kecuali apa yang diriwayatkan daripada Imam Malik bahawasanya beliau meletakkan kedudukan solat gerhana sama seperti solat Juma’at. Dan dinukilkan daripada Az-Zain bin Al-Munayyir daripada Abi Hanifah bahawa beliau mewajibkannya sebagaimana yang dinukil oleh sebahagian pencatat (atau penulis) dari kalangan mazhab Hanafi.” (Fathul Bari, 2/527)
Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) dalam kitabnya Al-Mughni, beliau berkata:
وَصَلَاةُ الْكُسُوفِ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَهَا، وَأَمَرَ بِهَا، وَوَقْتُهَا مِنْ حِينِ الْكُسُوفِ إلَى حِينِ التَّجَلِّي، فَإِنْ فَاتَتْ لَمْ تُقْضَ؛ لِأَنَّهُ رُوِيَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { أَنَّهُ قَالَ: إذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَافْزَعُوا إلَى الصَّلَاةِ حَتَّى تَنْجَلِيَ }. فَجَعَلَ الِانْجِلَاءَ غَايَةً لِلصَّلَاةِ
“Solat gerhana hukumnya sunnah mu’akkadah, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan dan memerintahkannya. Waktunya adalah ketika berlakunya gerhana sehingga terang kembali (selesai gerhana). Apabila telah berlalu maka tidak diqadha, kerana beliau bersabda: “Apabila kamu melihatnya (gerhana) maka lakukanlah solat sampai gerhana selesai.” Beliau menetapkan “Sehingga gerhana selesai (kembali terang)” sebagai batas waktu berakhirnya perlaksanaan solat.” (Al-Mughni, 4/318 – Asy-Syamilah)
Ibnu Rusyd di dalam Bidayatul Mujtahid:
اتفقوا على أن صلاة كسوف الشمس سنة وأنها في جماعة
“Telah ittifaq (dipersetujui dan diperakui oleh para ulama) bahawa solat kusuuf (gerhana) matahari adalah sunnah dan ia dilaksanakan secara berjama’ah (yakni bersama imam di masjid).” (Bidayatul Mujtahid, 1/210)
Imam Muhammad bin Isma’il Ash-Shan’ani berkata:
والأمر دليل الوجوب إلا أنه حمله الجمهور على أنه سنة مؤكدة لانحصار الواجبات في الخمس الصلوات
“Perintah solat gerhana melalui hadis ini menunjukkan perintah wajib, walaubagaimana pun majoriti ulama (jumhur) menyatakannya sebagai sunnah mu’akkadah kerana solat yang wajib hanyalah solat fardhu yang lima.” (lihat: Subulus Salam, 2/73)
Syaikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul menyimpulkan:
صلاة الكسوف والخسوف سنة مؤكدة ، يستحب للمسلم فعلها استحباباً مؤكداً
“Solat Kusuuf (gerhana matahari) dan Khusuuf (gerhana bulan) adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang sangat dianjurkan). Disunnahkan bagi umat Islam melaksanakannya.”
Beliau menjelaskan lagi:
قلت: ووجه دلالة الحديث أن الأمر بالصلاة جاء مقروناً بالأمر بالتكبير والدعاء والصدقة، ولا قائل بوجوب الصدقة والتكبير والدعاء عند الكسوف؛ فالأمر فيها للاستحباب إجماعاً، فكذا الأمر بالصلاة المقترن بها. والله الموفق
“Aku katakan: Melalui dalil ini, ia adalah perintah melaksanakan solat bersamaan dengannya perintah untuk bertakbir, berdoa, dan bersedekah. Dan tidak ada seorang pun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir, dan berdoa di ketika terjadinya gerhana. Dengan itu, menurut kesepakatan (ijma’) bahawa perintah tersebut adalah bersifat sunnah. Demikian juga dengan perintah untuk melaksanakan solat yang bersamaan dengannya. Wallahul Muwaffiq. (lihat: Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 75, saaid.net)
Kesimpulan: Hukumnya adalah sunnah mu’akkad bagi mereka yang melihatnya. Dan dilaksanakan secara berjama’ah bersama imam di masjid.
Masa Perlaksanaan Solat Gerhana
Waktunya: Waktu yang disunnahkan untuk solat gerhana adalah sebaik ketika gerhana mula terjadi dan terlihat sampailah gerhana selesai.
Berikut dinukilkan beberapa perkataan para ulama dalam hal ini:
Dalam Al-Mughni, Al-Imam Ibnu Qudamah menjelaskan:
فَقَالَ الْقَاضِي: يُصَلِّي؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَذْهَبْ وَقْتُ الِانْتِفَاعِ بِنُورِهِ وَضَوْئِهِ. وَيَحْتَمِلُ أَنْ لَا يُصَلِّيَ؛ لِأَنَّ مَا يُصَلِّي لَهُ قَدْ غَابَ، أَشْبَهَ مَا لَوْ غَابَتْ الشَّمْسُ. وَإِنْ فَرَغَ مِنْ الصَّلَاةِ وَالْكُسُوفُ قَائِمٌ لَمْ يَزِدْ، وَاشْتَغَلَ بِالذِّكْرِ وَالدُّعَاءِ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ .
“Al-Qadhi berkata: “Dilaksanakan solat gerhana disebabkan waktu untuk memanfaatkan cahaya dan sinarnya.” Kemungkinan juga tidak dilaksanakan solat gerhana disebabkan penyebabnya yang telah tiada sebagaimana apabila matahari tidak kelihatan. Apabila solat gerhana telah selesai awal tetapi gerhana masih berlangsung, maka tidak ditambah solatnya, namun sibukkanlah diri dengan zikir dan doa, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya tidak lebih dari dua raka’at.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/318)
Abu Malik Kamal As-Sayyid Salim mengatakan:
وقت صلاة الكسوف ظهر الكسوف إلى حسين زوله، لقول النبى صلى الله عليه وسلم (المتقدم): إذا رأيتموهما فادعوا الله وصلوا حتى ينجلى. فجعل الانجلاء غاية للصلاة، لأنها شرعت رغبة إلى لله فى رد نعمة الضوء، فإذا حصل ذلك حصل المقصود من الصلاة
“Waktu solat gerhana bermula pada ketika gerhana mula terjadi sehingga gerhana selesai. Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Apabila kamu melihat keduanya (fenomena gerhana), maka berdoalah kepada Allah dan solatlah sehingga gerhana tersebut selesai.”
Beliau menetapkan berakhirnya gerhana sebagai tanda berakhirnya solat. Kerana solat gerhana ini disyari’atkan sebagai harapan kepada Allah supaya mengembalikan nikmat cahaya. Sekiranya perkara tersebut telah tercapai, maka tercapailah maksud dari solat tersebut.” (lihat: Shahih Fiqh As-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Mazahib Al-A’immah, 1/433)
Al-Imam Muhammad bin Isma’il Ash-Shan’ani berkata:
وجعل صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم غاية وقت الدعاء والصلاة انكشاف الكسوف، فدل على أنها تفوت الصلاة بالانجلاء، فإذا انجلت وهو في الصلاة فلا يتمها، بل يقتصر على ما فعل إلا أن في رواية لمسلم: “فسلم وقد انجلت”، فدل أنه يتم الصلاة وإن كان قد حصل الانجلاء، ويؤيده القياس على سائر الصلوات فإنها تقيد بركعة كما سلف، فإذا أتى بركعة أتمها. وفيه دليل على أن فعلها يتقيد بحصول السبب في أي وقت كان من الأوقات، وإليه ذهب الجمهور
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdoa dan solat sehingga hujung (akhir) waktu tersingkapnya gerhana, dan ini menunjukkan bahawa habis waktu untuk bersolat adalah dengan tersingkapnya matahari. Dan sekiranya matahari sudah jelas terang (kelihatan/tamat gerhana) tetapi beliau masih di dalam keadaan solat, maka beliau pun menyempurnakan solatnya, akan tetapi cukup dengan apa yang telah dilakukan.
Tetapi, dalam riwayat Muslim, “Rasulullah memberi salam sedangkan matahari telah jelas tersingkap (tamat gerhana).”
Hadis ini menunjukkan bahawa beliau menyempurnakan solat walaupun matahari telah tersingkap. Perkara ini diperkuatkan dengan qiyas terhadap seluruh solat, iaitu setiap solat dibatasi oleh raka’at sebagaimana penjelasan yang lalu, iaitu sekiranya ia telah mendapatkan satu raka’at maka ia (hanya perlu) menyelesaikannya. Dan pada dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa melaksanakan solat gerhana adalah dengan sebab terjadinya sebuah sebab di dalam waktu-waktu tertentu bila-bila sahaja (ia berlaku). Dan ini merupakan pendapat majoriti (jumhur ulama).” (lihat: Subulus Salam, 2/73)
Tentang Perlaksanaan Solat Gerhana
1, Dilaksanakan di masjid secara berjama’ah bersama imam. Dan inilah yang menepati hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Wanita juga boleh turut keluar mengikuti solat gerhana berjama’ah di masjid sekiranya terhindar (bebas) dari fitnah.
Selain dalil-dalil sebagaimana di atas, berikut dalil yang menunjukkan wanita juga boleh turut serta melaksanakannya secara berjama’ah:
Dari hadis Asma’ binti Abi Bakr bahawasanya beliau berkata:
أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي
“Aku datang kepada ‘Aisyah, isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika sedang berlakunya gerhana matahari. Maka aku pun melihat sekumpulan manusia berdiri melaksanakan solat dan beliau (‘Aisyah) pun turut melaksanakan solat juga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1053. Bab Sholat An-Nisaa’ ma’a Ar-Rijaal fi Al-Kusuuf)
2, Seruan untuk solat, iaitu menyerukan untuk bersolat dengan lafaz:
الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ
“Ash-Shalaatu Jaami’ah (ayuh solat berjama’ah). Dengan tanpa azan dan iqamah.”
Imam Muhammad bin Isma’il Ash-Shan’ani berkata:
وهو دليل على مشروعية الإعلام بهذا اللفظ للاجتماع لها ولم يرد الأمر بهذا اللفظ عنه صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم إلا في هذه الصلاة
“Hadis ini (berkenaan lafaz seruan Ash-Shalatu Jaami’ah) menunjukkan disyari’atkan untuk mengumumkan solat kusuuf dengan lafaz ini bagi tujuan mengumpulkan orang melaksanakannya. Tidak terdapat satu riwayat pun yang datang daripada Rasulullah (berkenaan seruan solat dengan lafaz tersebut) melainkan bagi solat ini (solat gerhana).” (Subulus Salam, 2/74)
Syaikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul menjelaskan:
اتفق العلماء على أنه لا يؤذن لصلاة الكسوف ولا يقام، والمستحب أن ينادى لها بـ الصلاة جامعة
“Para ulama telah bersepakat untuk tidak mengumandangkan azan dan iqamah bagi solat kusuuf (gerhana). Dan yang mustahab (yakni yang disunnahkan lagi disukai) adalah menyerukan dengan lafaz: “Ash-Sholaatu Jaami’ah.” (Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 75, saaid.net)
3, Dilaksanakan dengan dua raka’at. Di dalamnya dilaksanakan sama ada dengan dua (2) kali ruku’, tiga (3) kali ruku’ atau empat (4) kali ruku bagi setiap raka’at.
Disebutkan oleh Ibnu Rusyd dalam Bidayatul Mujtahid:
وكان إسحاق بن راهويه يقول: لا يتعدى بذلك أربع ركعات في كل ركعة لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أكثر من ذلك. وقال أبو بكر بن المنذر وكان بعض أصحابنا يقول: الاختيار في صلاة الكسوف عين وإن شاء ثلاثة وإن شاء أربعة
“Ishak bin Rahawaih berkata:
“Tidak boleh melebihi empat kali ruku’ dalam satu raka’at. Kerana tiada riwayat yang menunjukkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ruku’ lebih dari empat kali.”
Abu Bakr bin Al-Mundzir berkata:
“Ada beberapa sahabat kami menyatakan bahawa memilih tatacara solat kusuuf memiliki landasan hukum. Mereka yang mahu solat kusuuf dibolehkan memilih mana-mana tatacara yang dikehendakinya, sama ada dua kali ruku’ dalam setiap raka’at, tiga kali ruku’ dalam setiap raka’at, atau empat kali ruku’ dalam setiap raka’at.” (Bidayatul Mujtahid, 1/121)
Dalil-dalilnya:
Dari hadis Jaabir, beliau berkata:
انْكَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ ابْنُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّاسُ إِنَّمَا انْكَسَفَتْ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ فَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ سِتَّ رَكَعَاتٍ بِأَرْبَعِ سَجَدَاتٍ
“Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika hari kematian Ibrahim putra Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka orang ramai pun mengatakan yang kejadian tersebut disebabkan oleh kematian Ibrahim, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdiri menunaikan solat bersama-sama orang ramai dengan enam kali ruku’ dan empat kali sujud…” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 904)
Dari hadis Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:
صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ كَسَفَتْ الشَّمْسُ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersolat di ketika terjadi gerhana matahari lapan kali ruku’ dengan empat kali sujud.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 908)
Hadis ini dilemahkan oleh sebahagian ulama antaranya dinilai dha’if oleh Ibnu Hibban dalam Shohih-nya, 7/98 – Perawi bernama Habib tidak mendengar daripada Thowus)
4, Merupakan solat yang panjang (lama), berbanding solat-solat yang lain.
Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Abbas, beliau berkata:
انْخَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلًا ثُمَّ رَفَعَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ
“Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian beliau solat dengan berdiri lama sekira-kira membaca surah Al-Baqarah, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang lama, kemudian bangun berdiri (qiyam) dengan berdiri yang lama, namun lebih pendek dari berdiri yang pertama… (sehingga seterusnya).” (Shahih Al-Bukhari, Kitab Al-Jama’ah, no. 1052. lihat juga hadis-hadis di atas)
Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah, beliau berkata:
كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمٍ شَدِيدِ الْحَرِّ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَصْحَابِهِ فَأَطَالَ الْقِيَامَ حَتَّى جَعَلُوا يَخِرُّونَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ رَفَعَ فَأَطَالَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ ثُمَّ قَامَ فَصَنَعَ نَحْوًا مِنْ ذَاكَ فَكَانَتْ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ
“Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada hari yang sangat panas. Kemudian beliau solat bersama para sahabatnya, dengan memanjangkan (melamakan tempoh) berdiri sehingga menjadikan mereka hampir-hampir jatuh tersungkur.
Kemudian beliau ruku’ dengan panjang, kemudian mengangkat kepalanya dan berdiri dengan masa yang panjang (lama). Kemudian ruku’ kembali dengan waktu yang panjang (lama), kemudian mengangkat kepalanya dan berdiri dengan masa yang panjang (lama).
Lalu kemudian beliau sujud dua kali, kemudian berdiri kembali. Beliau mengulanginya sebagaimana raka’at yang pertama. Maka, solat tersebut adalah dengan empat kali ruku’ dan empat kali sujud.” (Shahih Muslim, Kitab Al-Kusuuf, no. 904)
5, Bacaan Al-Fatihah dan surah pada setiap raka’at hendaklah dijahrkan (yakni diperdengarkan oleh imam) sebagaimana solat di malam hari. Berlaku untuk solat gerhana bulan dan matahari.
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam perkara ini. Beberapa perbezaan pendapat tersebut adalah sebagaimana berikut:
Pendapat pertama: Dikeraskan/dikuatkan (jahr) bacaan sama ada pada solat gerhana bulan (malam) atau pun matahari (siang). Pendapat ini dikemukakan (dipegang) oleh Al-Imam Ahmad, Ishaq, Abu Hanifah, Ibnu Khuzaimah, Ibn Al-Mundzir, dan selainnya.
Pendapat kedua: Diperlahankan (sirr) bacaan sama ada untuk solat gerhana matahari atau pun bulan. Pendapat ini dipegang oleh Al-Imam Asy-Syafi’i.
Pendapat ketiga: Dibolehkan memilih sama ada mahu mengeraskan (jahr) bacaan atau memperlahankannya (sirr).
Pendapat keempat: Diperlahankan (sirr) pada solat gerhana matahari (siang), dan dikeraskan (jahr) pada solat gerhana bulan (malam). Pendapat ini adalah berdasarkan qiyas kepada solat fardhu. (Diringkaskan dari: Subulus Salam oleh Al-Imam Ash-Shan’ani, 2/74)
Ada pun yang dipilih (wallahu a’lam) adalah pendapat yang pertama berdasarkan beberapa dalil.
Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:
جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلَاةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjahrkan (mengeraskan dan memperdengarkan) bacaan pada Al-Khusuuf (solat gerhana bulan). Apabila selesai bacaannya, beliau pun bertakbir dan ruku’. Setelah bangun dari ruku’, beliau mengucapkan “Sami’Allaahuliman hamidah, Rabbana wa lakalhamd.” Kemudian beliau kembali mengulangi bacaan pada Al-Kusuuf (solat gerhana). Empat kali ruku’ di dalam dua raka’at dan dengan empat kali sujud. (Shahih Al-Bukhari, no. 1065. Bab Al-Jahr bi Al-Qiraa’ati fi Al-Kusuuf)
Al-Imam Al-Bukhari meletakkan hadis ini pada bab:
بَاب الْجَهْرِ بِالْقِرَاءَةِ فِي الْكُسُوفِ
“Bab al-jahr (dikeraskan dan diperdengarkan) bacaan pada Al-Kusuuf (solat gerhana).”
Juga hadis yang menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan perkara yang sama apabila berlaku gerhana (merujuk kedua-dua gerhana). (Lihat pada penjelasan berikutnya)
Solat gerhana juga dilakukan secara berjama’ah di masjid sebagaimana solat Istisqa’, solat Juma’at, dan solat ‘Ied. Maka bacaannya pun dijahrkan sebagaimana solat-solat tersebut.
Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) berkata:
وَلِأَنَّهَا نَافِلَةٌ شُرِعَتْ لَهَا الْجَمَاعَةُ، فَكَانَ مِنْ سُنَنِهَا الْجَهْرُ كَصَلَاةِ الِاسْتِسْقَاءِ وَالْعِيدِ وَالتَّرَاوِيحِ
“Dan solat ini adalah merupakan solat naafilah yang disyari’atkan dilaksanakan dengan berjama’ah, maka di antara Sunnahnya adalah mengeraskan bacaan sebagaimana solat al-istisqa’ (solat memohon hujan), solat ‘Ied, dan solat taraawih.” (Al-Mughni, 4/312)
Ulama yang menyatakan bacaan di dalam solat gerhana adalah perlahan (sirr) antaranya berdalilkan dengan riwayat berikut:
Pertama, dari hadis ‘Abdullah bin ‘Abbas, beliau berkata:
فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلًا نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ
“… kemudian beliau solat dengan berdiri lama sekira-kira membaca surah Al-Baqarah… (Shahih Al-Bukhari, Kitab Al-Jama’ah, no. 1052. lihat juga hadis-hadis di atas)
Mereka menjelaskan: Sekiranya bacaan dikeraskan/dikuatkan (jahr), maka beliau (Ibnu ‘Abbas) tidak perlu mengukurnya (mengira-ngira atau mengagak-agak) dengan apa yang disebutkan.
Sebahagian ulama membantahnya: Ini tidaklah bermakna bahawa bacaan tidak dikeraskan. Ada kemungkinan bahawa Ibnu ‘Abbas mendengar daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam surah yang lain (atau beberapa bacaan surah), yang panjang bacaannya sekira-kira surah Al-Baqarah. Atau boleh jadi, Ibnu ‘Abbas mendengarnya dari jarak (tempat berdiri) yang agak jauh sehingga menjadikannya tidak mendengar apa yang dibaca oleh Nabi dengan jelas, lalu beliau pun mengagak-agak.
Kedua, dari hadis Samurah bin Jundab, beliau berkata:
صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْكُسُوفِ فَلَا نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di ketika terjadinya gerhana matahari, namun aku tidak mendengar suara beliau.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1264)
Al-Imam Ash-Shan’ani membawakan riwayat dari hadis Ibnu ‘Abbas:
أنه قام بجنب النبي صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم في الكسوف فلم يسمع منه حرفاً
“Bahawasanya beliau (Ibnu ‘Abbas) berdiri di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika melaksanakan solat gerhana, beliau (Ibnu ‘Abbas) tidak mendengar walau satu huruf pun (dari Nabi).” (lihat: Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/74)
Bantahan daripada sebahagian ulama: Hadis Samurah bin Jundab tersebut dha’if. Dinilai dha’if antaranya oleh Asy-Syaikh Al-Albani di dalam Dha’if Sunan Ibnu Majah, Al-Miyskah Al-Mashaabih, dan Tamamul Minnah.
Hadis dari Ibnu ‘Abbas tersebut juga dha’if. Al-Imam Ash-Shan’ani menyatakan bahawa hadis ini dimau-shulkan (disambungkan) oleh Al-Imam Al-Baihaqi dari tiga jalan yang pada semua sanadnya terdapat wahiyah (kelemahan). Ini menjadikan hadis ini dha’if. Dianggap mauquf oleh Al-Imam Adz-Dzahabi. Dan turut dilemahkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Dha’if Sunan Abi Daud.
Ketiga, dari hadis ‘Aisyah, beliau berkata:
كُسِفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ فَقَامَ فَحَزَرْتُ قِرَاءَتَهُ فَرَأَيْتُ أَنَّهُ قَرَأَ بِسُورَةِ الْبَقَرَةِ
“Telah terjadi gerhana matahari di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun keluar dan berdiri menunaikan solat bersama-sama dengan orang ramai. Kemudian aku meneka-neka apa yang dibaca oleh beliau (Rasulullah), bahawasanya beliau membaca surah Al-Baqarah…” (Sunan Abi Daud, no. 1187. Dinilai hasan oleh Al-Albani)
Mereka berhujjah bahawa sekiranya Nabi mengeraskan (jahr) bacaannya, sudah tentu ‘Aisyah tidak perlu meneka-neka apa yang beliau baca.
Bantahan sebahagian ulama: Pertamanya, hadis ini menyelisihi hadis yang lebih sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah juga bahawa Nabi mengeraskan bacaan ketika solat gerhana.
Boleh jadi juga, ‘Aisyah berada di tempat yang agak jauh dan tidak begitu jelas mendengar apa yang dibaca oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika itu, lalu beliau pun meneka-neka apa yang dibaca oleh Nabi ketika itu.
6, Diadakan khutbah setelah solat. Khutbah dimulakan dengan pujian kepada Allah.
Ibnu Rusyd berkata:
واختلفوا أيضا هل من شروطها الخطبة بعد الصلاة؟ فذهب الشافعي إلى أن ذلك من شرطها. وذهب مالك وأبو حنيفة إلى أنه لا خطبة في صلاة الكسوف
والسبب في اختلافهم اختلاف العلة التي من أجلها خطب رسول الله صلى الله عليه وسلم الناس لما انصرف من صلاة الكسوف على ما في حديث عائشة وذلك أنها روت أنه لما انصرف من الصلاة وقد تجلت الشمس حمد الله وأثنى عليه ثم قال: “إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته” الحديث فزعم الشافعي أنه إنما خطب لأن من سنة هذه الصلاة الخطبة كالحال في صلاة العيدين والاستسقاء. وزعم بعض من قال بقول أولئك أن خطبة النبي عليه الصلاة والسلام إنما كانت يومئذ لأن الناس زعموا أن الشمس إنما كسفت لموت إبراهيم ابنه عليه السلام
“Para ulama juga berbeza pendapat sama ada khutbah termasuk syarat solat gerhana atau tidak. Pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i, ia termasuk sebahagian dari syaratnya. Malik dan Abu Hanifah berpendapat, tidak ada khutbah pada solat gerhana (yakni khutbah bukanlah syarat).
Sebab terjadinya perbezaan pendapat adalah dari tujuan khutbah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika selesainya solat gerhana sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua gerhana itu tidaklah terjadi disebabkan oleh kematian atau kehidupan seseorang.”
Al-Imam Asy-Syafi’i menjelaskan dari hadis ini bahawa khutbah termasuk dalam syarat solat gerhana sebagaimana solat ‘Ied dan Istisqaa’. Beberapa ulama yang lain menyatakan bahawa Nabi berkhutbah hanya disebabkan pada masa tersebut orang ramai menganggap gerhana berlaku disebabkan oleh kematian Ibrahim anak lelaki beliau.” (Bidayatul Mujtahid, 1/213)
Al-Imam Ibnu Qudamah pula menjelaskan:
وَلَنَا ، هَذَا الْخَبَرُ، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُمْ بِالصَّلَاةِ وَالدُّعَاءِ وَالتَّكْبِيرِ وَالصَّدَقَةِ، وَلَمْ يَأْمُرْهُمْ بِخُطْبَةٍ ، وَلَوْ كَانَتْ سُنَّةً لَأَمَرَهُمْ بِهَا، وَلِأَنَّهَا صَلَاةٌ يَفْعَلُهَا الْمُنْفَرِدُ فِي بَيْتِه ، فَلَمْ يُشْرَعْ لَهَا خُطْبَةٌ، وَإِنَّمَا خَطَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ الصَّلَاةِ لِيُعَلِّمَهُمْ حُكْمَهَا، وَهَذَا مُخْتَصٌّ بِهِ، وَلَيْسَ فِي الْخَبَرِ مَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ خَطَبَ كَخُطْبَتَيْ الْجُمُعَةِ
“Menurut kami, pada khabar tersebut, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan mereka supaya solat, berdoa, bertakbir, dan bersedekah. Beliau tidak memerintahkan supaya berkhutbah. Sekiranya khutbah itu disyari’atkan, sudah tentu beliau akan memerintahkannya. Solat ini juga boleh dilaksanakan secara sendirian di rumah (tanpa khutbah). Maka tidak disyari’atkan untuk berkhutbah. Ada pun khutbah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam setelah solat tersebut, bertujuan memberitahu mereka tentang hukumnya, dan khutbah tersebut dikhususkan bagi beliau. Pada khabar ini juga tidak menunjukkan bahawa beliau berkhutbah sebagaimana dua khutbah solat Juma’at.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 4/315)
Namun pendapat yang menyatakan khutbah tidak disyari’atkan (sebagaimana pendapat Abu Hanifah, Malik, Ahmad, dan Ibnu Qudamah) dibantah pula oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
وتعقب بما في الأحاديث الصحيحة من التصريح بالخطبة وحكاية شرائطها من الحمد والثناء والموعظة وغير ذلك مما تضمنته الأحاديث فلم يقتصر على الإعلام بسبب الكسوف والأصل مشروعية الاتباع والخصائص لا تثبت إلا بدليل
“Ia dibantah dengan apa yang disebutkan pada hadis-hadis sahih, iaitu penegasan adanya khutbah dan penjelasan tentang syarat-syarat khutbah berupa pujian dan sanjungan (kepada Allah), nasihat, dan selainnya yang terkandung dalam hadis-hadis tersebut. Beliau tidak hanya setakat memberitahu berkenaan sebab terjadinya gerhana. Oleh itu, hukum asalnya adalah disyari’atkan untuk ittiba’ (mengikuti Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) dan kekhususan tidak ditetapkan melainkan dengan dalil.” (lihat: Fathul Bari, 2/534) Wallahu a’lam.
7, Solat Gerhana Matahari sama dengan solat gerhana bulan.
Asy-Syaikh Syaikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul menjelaskan:
يصلى لكسوف القمر كما يصلى لخسوف الشمس ، والدليل قوله صلى الله عليه وسلم: ” إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله، لا ينخسفان لموت أحد ولا لحياته، فإذا رأيتم ذلك؛ فادعوا الله وكبروا وصلوا وتصدقوا”. أخرجه الشيخان. قلت: فالرسول صلى الله عليه وسلم صلى لخسوف الشمس، وأمرنا أن نصنع مثل ذلك في كسوف القمر، وهذا ظاهر بين، و الله أعلم.
قال ابن المنذر: “ويصلى لكسوف القمر كما يصلى لخسوف الشمس”
“(Dari sudut tatacara); Solat gerhana bulan dilaksanakan sama sebagaimana solat gerhana matahari dilaksanakan. Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Keduanya tidak mengalami gerhana disebabkan kematian seseorang atau kehidupan seseorang. Oleh itu, sekiranya kamu melihat gerhana tersebut, hendaklah kamu berdoa kepada Allah, bertakbir, solat, dan bersedekah.” (Dikeluarkan oleh Asy-Syaikhan (Al-Bukhari dan Muslim pada Shahih-nya)
Aku katakan: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melaksanakan solat gerhana matahari dan beliau memerintahkan kita supaya melakukan perkara yang sama di ketika gerhana bulan. Perkara ini sangat jelas dan terang. Wallahu a’lam.
Berkata Ibn Al-Mundzir: “Solat gerhana bulan dilaksanakan sama sebagaimana gerhana matahari.” (Lihat: Bughayatul Mutathawwi’ fii Sholaatit Tathawwu’, m/s. 79, saaid.net)
Ringkasan tatacara solat gerhana
1, Disunnahkan bagi yang telah menyaksikannya. Solat dilaksanakan di masjid bersama imam apabila gerhana telah mula terlihat. Mengumpulkan orang ramai untuk solat berjama’ah. Seorang mu’adzin menyerukan “Ash-Sholaatu Jaami’ah” bagi tujuan mengumpulkan orang dan melaksanakan solat berjama’ah.
2, Bertakbir (takbiratul ihram), membaca doa istiftah, surah Al-fatihah, membaca surah (disunnahkan membaca surah yang panjang baacaannya). Bacaan dibaca secara jahr (yakni jika imam berpegang kepada pendapat menjahrkan bacaan).
3, Ruku’ dengan ruku’ yang panjang (lama).
4, Bangun dari ruku’ dan mengucapkan Sami’allaahu liman hamidah rabbana wa lakalhamd. Tetapi tidak langsung sujud, tetapi kembali membaca surah Al-Fatihah dan surah yang panjang (namun lebih pendek dari surah yang pertama).
5, Kemudian ruku’ dengan ruku’ yang panjang, namun lebih pendek dari ruku’ yang pertama.
6, Bangun dari ruku’ dan mengucapkan Sami’allaahu liman hamidah rabbana wa lakalhamd.
7, Setelah itu sujud dengan sujud yang panjang (dengan mengulang-ulang bacaan sujud). Kemudian duduk (iftirasy) di antara dua sujud (dengan duduk yang lama), lalu sujud semula (namun lebih pendek dari sujud yang pertama).
8, Kemudian bangun (qiyam) semula untuk raka’at yang kedua. Ia dilaksanakan sama sebagaimana raka’at yang pertama, namun lebih pendek dari raka’at yang pertama. Sehinggalah kepada duduk tasyahhud (iftirasy), membaca tahiyyat, selawat, dan memberi salam.
9, Khuthbah disampaikan oleh Imam (jika imam berpegang kepada pendapat adanya khuthbah) untuk memberi peringatan tentang kebesaran Allah dan menggalakkan amal-amal kebaikan.
10, Waktu melaksanakan solat gerhana adalah sepanjang terjadinya gerhana, apabila gerhana telah selesai tetapi solatnya belum selesai, maka hendaklah solatnya dipendekkan (disegerakan), dan tidak dipanjangkan (atau dilamakan), sampailah selesai.
Wallahu a’lam…