Sanggahan Ke Atas Kaum Sufi Oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani

Sanggahan Ke Atas Kaum Sufi Oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H)
www.ilmusunnah.com

Dalam satu riwayat hadis daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha (isteri Nabi), beliau berkata:

دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ، قَالَتْ: وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَ

“Abu Bakar masuk ke dalam rumahku dan ketika itu aku sedang bersama-sama dua hamba wanita (kanak-kanak) dari kalangan Anshar, mereka berdua sedang mengalunkan (menyanyikan) sya’ir yang kebiasaannya diucapkan oleh kaum Anshar ketika perang Bu’ats.”

‘Aisyah menyatakan, “Dan mereka berdua bukan dari kalangan penyanyi.”

Pada ketika itu apabila Abu Bakr melihatnya, beliau pun berkata, “Wajarkah seruling syaitan dibunyikan di rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Dan pada hari itu adalah hari ‘Ied (hari raya). Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata, “Wahai Abu Bakr, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan ini adalah hari raya kita.” (Shahih Al-Bukhari, no. 952)

Dalam redaksi yang lain daripada ‘Urwah, dari ‘Aisyah:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا جَارِيَتَانِ فِي أَيَّامِ مِنَى تُدَفِّفَانِ وَتَضْرِبَانِ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَغَشٍّ بِثَوْبِهِ فَانْتَهَرَهُمَا أَبُو بَكْرٍ فَكَشَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَجْهِهِ فَقَالَ دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ فَإِنَّهَا أَيَّامُ عِيدٍ وَتِلْكَ الأَيَّامُ أَيَّامُ مِنًى

“Bahawasanya Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu masuk menemuinya (‘Aisyah) di mana di sisinya ada dua orang hamba perempuan yang sedang memukul duff (kompang) pada hari Mina. Adapun Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu sedang dalam keadaan menutup wajah dengan bajunya. Ketika melihat keadaan tersebut, maka Abu Bakar pun mengherdik kedua-dua hamba kanak-kanak perempuan tadi. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian membuka bajunya yang menutup wajahnya lalu berkata, “Biarkan mereka wahai Abu Bakr, sesungguhnya hari ini adalah hari raya Mina.” Pada ketika itu adalah hari-hari Mina.” (Shahih Al-Bukhari, no. 987)

Hadis ini menunjukkan sebuah pengkhususan bahawa dibenarkan mendengar nyanyian yang dinyanyikan oleh hamba perempuan kanak-kanak pada hari raya (‘Ied).

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan:

ففيه تعليل الأمر بتركهما وإيضاح خلاف ما ظنه الصديق من أنهما فعلتا ذلك بغير علمه صلى الله عليه و سلم لكونه دخل فوجده مغطى بثوبه فظنه نائما فتوجه له الإنكار على ابنته من هذه الأوجه مستصحبا لما تقرر عنده من منع الغناء واللهو فبادر إلى إنكار ذلك قياما عن النبي صلى الله عليه و سلم بذلك مستندا إلى ما ظهر له فأوضح له النبي صلى الله عليه و سلم الحال وعرفه الحكم مقرونا ببيان الحكمة بأنه يوم عيد أي يوم سرور شرعى فلا ينكر فيه مثل هذا كما لا ينكر في الاعراس وبهذا يرتفع الإشكال عمن قال كيف ساغ للصديق إنكار شيء أقره النبي صلى الله عليه و سلم

“Dalam hadis tersebut terdapat alasan dan penjelasan yang bertolak belakang dengan apa yang dijangkakan oleh ash-Shiddiq (Abu Bakar), bahawasannya mereka berdua (iaitu dua hamba kanak-kanak kecil yang bernyanyi) melakukannya tanpa pengetahuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ini disebabkan, ketika Abu Bakar masuk, ia melihat beliau (Nabi) dalam keadaan berselimut pakaiannya yang ia sangka sedang tidur. Maka Abu Bakar pun cuba melarangnya berdasarkan apa yang ia fahami secara zahir daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (bahawa nyanyian dan muzik adalah dilarang). Maka kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan perkara tersebut kepadanya, dan memberitahu tentang hukum yang berhubung dengan hikmah yang terkandung dalam hari ‘Ied, iaitu kegembiraan yang disyari’atkan. Maka, tidaklah perkara tersebut diingkari sebagaimana ianya juga tidak dilarang (ditegah) ketika majlis pernikahan. Dengan itu maka terjawablah pertanyaan orang yang menanyakan, “Bagaimana mungkin Abu Bakar mengingkari apa yang dibenarkan oleh Rasulullah?”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/442)

Kata al-Hafiz lagi, “Sebahagian jama’ah kaum sufi berdalil dengan hadis ini tentang bolehnya menyanyi dan mendengar nyanyian sama ada dengan diiringi alat muzik ataupun tidak. Tetapi pendapat ini tertolak dengan hadis ‘Aisyah yang disebutkan di bab setelahnya iaitu perkataan ‘Aisyah, “Mereka berdua bukanlah penyanyi.” Di sini secara makna ‘Aisyah menolak pernyataan Abu Bakar yang mengatakan bahawa itu adalah nyanyian, kerana nyanyian disebutkan untuk suara yang dikeraskan dan memiliki alunan yang disebut orang ‘Arab dengan nama nashb serta didendangkan (dengan irama tertentu).

Al-Qurthubi berkata, “Ucapan ‘Aisyah, “Mereka berdua bukanlah penyanyi.” di mana kedua hamba wanita tersebut bukanlah orang yang dikenali sebagai penyanyi sebagaimana para artis wanita yang dikenali. Ini merupakan larangan untuk menyanyikan lagu yang menjadi kebiasaan orang-orang tertentu. Iaitu yang dapat memancing ghairah orang yang sedang diam dan yang dapat membangunkan orang yang dalam keadaan tenang…”

Kata al-Qurthubi lagi, “Adapun kebid’ahan yang dilakukan orang-orang sufi, ia termasuk perkara yang telah disepakati keharamannya. Hanya saja dalam persoalan ini hawa nafsu lebih menguasai kebanyakan orang yang menyandarkan dirinya kepada kebaikan. Malah dari kebanyakan mereka muncul tingkah laku seperti orang gila dan kanak-kanak kecil sehingga mereka menari (menggoyang-goyangkan badan) dengan gerakan yang dapat kita lihat dan dengan irama sya’ir yang bersahut-sahutan.”

Bahkan tidak dinafikan tanpa rasa malu di kalangan mereka, sebahagian kaum ada yang menjadikan perkara tersebut sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah dan termasuk amal soleh yang dapat mendatangkan keadaan mulia pula. Padahal sebenarnya ini adalah pengaruh orang-orang zindiq dan pendapat orang-orang yang telah hilang (atau rosak) akal. Hanya kepada Allah kita memohon pertolongan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 2/442)

Wallahu a’lam.