Sadl Dalam Solat Menurut Al-Imam Al-Baghawi (Mazhab Syafi’i)
Imam al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H)
www.ilmusunnah.com
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ السَّدْلِ فِي الصَّلاةِ
“Rasulullah melarang sadl dalam solat.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 378. Bab: Dibencinya sadl di Dalam Solat)
Kata at-Tirmidzi, “Kami tidak mengetahui dari hadis ‘Athaa’, daripada Abu Hurairah secara marfu’ melainkan hadis ‘Isl B. Sufyan.”
Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «نَهَى عَنِ السَّدْلِ فِي الصَّلَاةِ وَأَنْ يُغَطِّيَ الرَّجُلُ فَاهُ»
“Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang kaum lelaki melakukan sadl dan menutup mulut di dalam solat.” (Sunan Abi Dawud, no. 643. Bab: Sadl di Dalam Solat)
Kata Imam al-Baghawi:
هُوَ إِرْسَالُ الثَّوْبِ حَتَّى يُصِيبُ الأَرْضَ
“As-Sadl (السَّدْلِ) adalah menjulurkan pakaian sehingga menyeret tanah.” (Al-Baghawi mengikuti pendapat al-Khaththabi dengan menyamakan sadl dengan isbal).
Sedangkan ulama yang lain menjelaskan bahawa as-Sadl adalah pakaian luar (pakaian kedua) yang disarungkan atau diselimutkan ke tubuh seperti jubah atau mantel yang labuh.
Para ulama berbeza pendapat dalam permasalahan ini. Sebahagian mereka berpendapat bahawa sadl itu makruh (dibenci) dilakukan di dalam solat, dan demikianlah yang biasa dilakukan oleh Yahudi.
Dalam ‘Aunul Ma’bud, disebutkan bahawa:
“As-Sadl itu adalah perbuatan Yahudi sebagaimana diriwayatkan oleh al-Khallaal dalam al-‘Ilal dan Abu ‘Ubaid dalam al-Ghariib dari riwayat ‘Abdurrahman B. Sa’id B. Wahb daripada ayahnya daripada ‘Ali bahawa dia keluar dan melihat sekelompok orang yang solat dengan keadaan pakaian mereka yang sadl. Ali pun berkata:
كلهم اليهود خرجوا من قهرهم
“Semua mereka adalah Yahudi yang keluar dari qahr mereka.”
Abu ‘Ubaid mengatakan bahawa qahr adalah tempat pengajian mereka di mana mereka biasa berhimpun.” (Abu Thayyib, ‘Aunul Ma’bud, 2/245)
Di antara mereka yang memakruhkannya adalah Ibnul Mubarak, Sufyan ats-Tsauri, dan asy-Syafi’i pula memakruhkannya (membencinya) ketika solat sebagaimana beliau membencinya di luar solat. (Lihat juga: Sunan At-Tirmidzi, 1/488. ‘Aunul Ma’bud, 2/245)
Manakala sebahagian ulama yang lainnya memberikan rukhshah (keringanan) terhadap perbuatan sadl di dalam solat sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Athaa’, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Makhul, dan dengannyalah az-Zuhri dan Malik berpendapat.
Al-Khaththabi mengatakan:
وَيُشْبِهُ أَنْ يَكُونَ إِنَّمَا فَرَّقُوا بَيْنَ السَّدْلِ فِي الصَّلاةِ، وَخَارِجِ الصَّلاةِ، لأَنَّ الْمُصَلِّيَ ثَابِتٌ فِي مَكَانٍ وَاحِدٍ، وَغَيْرَ الْمُصَلِّيَ يَمْشِي فِيهِ، فَالسَّدْلُ فِي حَقِّ الْمَاشِي مِنَ الْخُيَلاءِ الْمَنْهِيُّ عَنْهُ
“Seakan-akan mereka membezakan antara sadl di dalam solat dengan di luar solat kerana orang yang bersolat tetap berada di satu tempat, manakala orang yang tidak solat berjalan menggunakan pakaian tersebut. Maka bagi yang berjalan, mereka dilarang berbuat sadl kerana telah masuk ke dalam kategori sombong.”
Imam Ahmad mengatakan, “Sadl itu dibenci ketika solat jika dia hanya mengenakan satu pakaian. Manakala jika dia berbuat sadl dengan pakaian yang disarungkan di luar, maka itu tidak mengapa.” (Lihat juga: Sunan At-Tirmidzi, 1/488)
Adapun mereka yang melarang sadl secara mutlak, mereka berdalil dengan hadis Ibnu Mas’oud yang dimarfu’kan oleh sebahagian rawi dan sebahagian lagi memauqufkannya, (iaitu):
مَنْ أَسْبَلَ إِزَارَهُ فِي صَلَاتِهِ خُيَلَاءَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي حِلٍّ وَلَا حَرَامٍ
“Sesiapa yang menjulurkan pakaiannya dalam keadaan sombong ketika solat, maka dia tidak memiliki bahagian apa pun daripada Allah sama ada yang halal ataupun yang haram.” (Sunan Abu Daud, no. 63. Bab: Isbal di Dalam Solat). (Syarhus Sunnah oleh Al-Baghawi, 2/426-428)
Wallahu a’lam.