Puasa Sunnah Hari Arafah Berserta Keutamaannya
Umumnya, puasa hari ‘Arafah ini dilaksanakan pada hari ke 9 di bulan Dzulhijjah, yakni hari di mana orang-orang berhaji sedang wuquf di ‘Arafah.
Dari hadis Abi Qotadah Al-Anshari, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Puasa tiga hari setiap bulan dan puasa Ramadhan ke Ramadhan berikutnya maka ini menyamai berpuasa sepanjang masa (atau sepanjang tahun). Manakala puasa hari ‘Arafah, aku memohon (berharap) kepada Allah agar puasa tersebut dapat menghapus dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun sesudahnya (yakni setahun berikutnya). Adapun puasa pada hari ‘Asyura’, aku memohon kepada Allah agar puasa tersebut dapat menghapus dosa setahun sebelumnya.” (Shahih Muslim, no. 1162)
Dalam lafaz yang lain:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
“Puasa di hari ‘Arafah, aku memohon (yakni berharap) kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang sesudahnya (yakni setahun berikutnya).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 749. Syarh As-Sunnah oleh Al-Baghawi, no. 1790)
Dalam lafaz yang lain dari riwayat Muslim dari Abu Qotadah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ؟ فَقَالَ: «يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
“Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ditanya tentang puasa hari ‘Arafah, lalu beliau pun bersabda:
“Puasa hari ‘Arafah itu menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu dan setahun berikutnya.” (Shahih Muslim, no. 1162)
Dalam Lafaz Ibn Majah:
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ، إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَالَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari ‘Arafah, sesungguhnya aku memohon (yakni berharap) kepada Allah agar ianya dapat menghapus dosa setahun yang telah lalu dan dosa-dosa setahun setelahnya.” (Sunan Ibn Majah, no. 1730. Liha juga Shahih Ibn Hibban, no. 3632. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)
Dalam riwayat An-Nasaa’i:
صَوْمُ عَرَفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ سَنَةٍ مَاضِيَةٍ وَسَنَةٍ مُسْتَقْبِلَةٍ، وَصَوْمُ عَاشُورَاءَ كَفَّارَةُ سَنَةٍ
“Puasa hari ‘Arafah itu menjadi kaffarah (penghapus dosa) setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang, manakala puasa ‘Asyura’ adalah kaffarah dosa-dosa setahun yang lalu.” (Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 2815)
Dalam riwayat lain di Sunan An-Nasaa’i, dari ‘Iyaas bin Harmalah, dari Abu Qotadah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
صَوْمُ عَاشُورَاءَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ، وَصَوْمُ عَرَفَةَ يُكَفِّرُ سَنَتَيْنِ الْمَاضِيَةَ وَالْمُسْتَقَبَلَةَ
“Puasa ‘Asyura’ itu dapat menghapus dosa-dosa setahun yang telah lalu, manakala puasa ‘Arafah pula ianya dapat menghapus dosa-dosa dua tahun, iaitu dosa-dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 1809)
Dalam Shahih Ibn Khuzaimah dari Abu Qotadah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي لَأَحْسَبُ عَلَى اللَّه أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ فَإِنِّي لَأَحْسَبُ عَلَى اللَّه أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
“Puasa hari ‘Asyura sesungguhnya aku berharap kepada Allah agar ianya dapat menghapus dosa setahun yang telah lalu, dan puasa hari ‘Arafah maka sesungguhnya aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapus dosa-dosa setahun sebelumnya dan setahun setelahnya.”
Kemudian Al-Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) menyebutkan perkataan Abu Bakar:
فَإِنَّ النَبِيّ – صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَدْ أَعْلَمَ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ، فَدَلَّ أَنَّ الْعَمَلَ الصَّالِحَ قَدْ يَتَقَدَّمُ الْفِعْلَ، فَيَكُونُ الْعَمَلُ الصَّالِحُ الْمُتَقَدِّمُ [يُكَفَّرُ] السَّنَةَ الَّتِي تَكُونُ بَعْدَهُ.
“Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberitahu bahawa puasa hari ‘Arafah ini dapat menghapus dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa-dosa setahun setelahnya. Maka ini adalah dallil yang menunjukkan bahawa amal-amal soleh itu dapat mendahului suatu perbuatan, sehingga menjadilah amal-amal soleh tersebut mampu menghapus dosa-dosa setahun setelahnya (atau berikutnya).” (Shahih Ibn Khuzaimah, no. 2087)
Al-Imam Ibn Khuzaimah menyebutkan pada bab hadis ini sebagaimana berikut:
بَاب ذِكْر تَكْفِيرِ الذُّنُوبِ بِصِيَامِ عَاشُورَاءَ، وَالْبَيَانِ أَنَّ الْعَمَلَ الصَّالِحَ يَتَقَدَّمُ الْفِعْلَ، الشَّيْءُ يَكُونُ بَعْدَهُ، فَيُكَفِّرُ الْعَمَلُ الصَّالِحُ الذُّنُوبَ، تَكُونُ بَعْدَ الْعَمَلِ الصَّالِحِ
“Bab yang menyebutkan tentang dihapuskan dosa-dosa dengan puasa ‘Asyura dan penjelasan bahawa amal-amal soleh dapat mendahului suatu perbuatan dan sesuatu yang terjadi setelahnya, yang mana amal-amal soleh dapat menjadi penghapus dosa-dosa yang terjadi setelah itu.” (Shahih Ibn Khuzaimah, 2/1003)
Hadis Abu Qotadah ini telah dinilai sahih oleh para ulama hadis dahulu dan kini, selain itu ianya memiliki riwayat pendukung dari jalan yang lain.
Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) setelah membawakan hadis Abu Qotadah Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:
هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ، أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ، عَنْ قُتَيْبَةَ، عَنْ حَمَّادِ بْنِ زَيْدٍ
“Ini adalah hadis yang sahih, diriwayatkan oleh Muslim dari Qutaibah, dari Hammaad bin Zayd.”
Dan kata Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) setelah menyebutkan hadis ini:
حَدِيثُ أَبِي قَتَادَةَ حَدِيثٌ حَسَنٌ، وَقْدِ اسْتَحَبَّ أَهْلُ العِلْمِ صِيَامَ يَوْمِ عَرَفَةَ، إِلَّا بِعَرَفَةَ
“Hadis Abu Qotadah ini adalah hadis yang hasan, para ahli ilmu telah menganjurkan agar berpuasa pada hari ‘Arafah kecuali bagi mereka yang sedang berada di ‘Arafah (yakni wukuf atau sedang berhaji – pent.).” (Sunan At-Tirmidzi, 3/115)
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
معناه يكفر ذنوب صائمه في السنتين قالوا والمراد بها الصغائر
“Maknanya, puasa ‘Arafah ini dapat menghapuskan dosa-dosa orang yang berpuasa pada hari tersebut untuk tempoh dua tahun. Para ulama mengatakan, yakni menghapuskan dosa-dosa kecil.” (Syarh Shahih Muslim, 8/51)
Manakala dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab beliau menyebutkan:
قوله صلى الله عليه وسلم في يوم عرفة ” يكفر السنة الماضية والمستقبلة ” قال الماوردى في الحاوى فيه تأويلان (أحدهما) ان الله تعالي يغفر له ذنوب سنتين (والثانى) ان الله تعالي يعصمه في هاتين السنتين فلا يعص فيهما وقال السرخسي أما السنة الاولي فتكفر ما جرى فيها قال واختلف العلماء في معنى تكفير السنة الباقية المستقبلة وقال بعضهم معناه إذا ارتكب فيها معصية جعل الله تعالي صوم يوم عرفة الماضي كفارة لها كما جعله مكفرا لما في السنة الماضية وقال بعضهم معناه ان الله تعالي يعصمه في السنة المستقبلة عن ارتكاب ما يحتاج فيه إلى كفارة
“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkaitan puasa hari ‘Arafah, “Ianya dapat menghapus dosa-dosa setahun yang lalu dan setahun yang berikutnya…”
Al-Imam Al-Maawardi berkata dalam kitab beliau Al-Haawi bahawa pada hadis ini terdapat dua penafsiran. Salah satunya, Allah Ta’ala mengampuni dosa-dosanya selama dua tahun. Dan penafsiran yang kedua, bahawa Allah Ta’ala menjaganya dari melakukan dosa-dosa selama dua tahun.
Manakala menurut Al-Imam As-Sarkhasi, beliau berkata, “Adapun tahun yang pertama, maka diampuni padanya dosa-dosanya yang telah lalu.” Kata beliau lagi, “Para ulama telah berbeza pendapat pada memahami makna “menghapus dosa-dosa setahun berikutnya…” Sebahagian mereka mengatakan, maknanya adalah jika seseorang melakukan maksiat pada tahun tersebut, Allah Ta’ala akan menjadikan puasa hari ‘Arafah yang telah dia lakukan di tahun lalu sebagai kaffarah (penghapusnya) sebagaimana ia menjadi penghapus dosa-dosa di tahun sebelumnya. Manakala sebahagian ulama yang lain berpendapat, maknanya adalah sesungguhnya Allah Ta’ala menjaganya dari melakukan dosa (atau maksiat) di setahun berikutnya.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 6/381)
Siapa Yang Dianjurkan Berpuasa?
Puasa hari ‘Arafah adalah khusus bagi mereka yang tidak melaksanakan haji pada tahun tersebut, yakni bagi mereka yang bukan sedang berada di ‘Arafah. Adapun bagi mereka yang sedang berhaji atau sedang wuquf di ‘Arafah, maka sunnah puasa ‘Arafah ini tidak dianjurkan untuk mereka sebagaimana keterangan berikut.
Ini adalah sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْطَرَ بِعَرَفَةَ، وَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ أُمُّ الفَضْلِ بِلَبَنٍ فَشَرِبَ
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak berpuasa ketika di ‘Arafah. Dihidangkan kepada beliau oleh Ummu Al-Fadhl dengan minuman susu, beliau pun meminumnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 750. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
حَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ» وَقَدْ رُوِيَ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: «حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَصُمْهُ – يَعْنِي يَوْمَ عَرَفَةَ – وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ، وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ، وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ» وَالعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَ أَكْثَرِ أَهْلِ العِلْمِ: يَسْتَحِبُّونَ الإِفْطَارَ بِعَرَفَةَ لِيَتَقَوَّى بِهِ الرَّجُلُ عَلَى الدُّعَاءِ، وَقَدْ صَامَ بَعْضُ أَهْلِ العِلْمِ يَوْمَ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ
“Hadis Ibn ‘Abbas ini adalah hadis hasan sahih. Telah diriwayatkan dari Ibn ‘Umar bahawa beliau berkata:
“Aku pernah berhaji bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau tidak berpuasa (yakni puasa ‘Arafah), dan aku pernah bersama Abu Bakr dan beliau juga tidak berpuasa, dan aku pernah berhaji bersama ‘Umar dan beliau juga tidak berpuasa, demikian pula ketika berhaji bersama ‘Utsman beliau juga tidak berpuasa.”
Kebanyakan ahli ilmu beramal dengan hadis ini (yakni tidak berpuasa ketika di ‘Arafah, atau ketika berhaji), mereka menganjurkan agar tidak berpuasa (yakni hendaklah berbuka) ketika berada di ‘Arafah supaya punya kekuatan untuk berdoa. Namun ada sebahagian ahli ilmu yang tetap berpuasa hari ‘Arafah ketika berada di ‘Arafah.” (Sunan At-Tirmidzi, 3/115)
Demikianlah bahawa puasa sunnah di hari ‘Arafah ini telah sangat dikenal dan masyhur sekali semenjak di zaman Nabi dan sahabat lagi, cuma ada sebahagian dari mereka ketika itu berselisih apakah ketika berada di ‘Arafah tetap dianjurkan berpuasa ataupun tidak.
Ini adalah sebagaimana hadis dari Umm Al-Fadhl bint Al-Haarits, beliau berkata:
أَنَّ نَاسًا تَمَارَوْا عِنْدَهَا يَوْمَ عَرَفَةَ فِي صَوْمِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: هُوَ صَائِمٌ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَيْسَ بِصَائِمٍ، «فَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ بِقَدَحِ لَبَنٍ وَهُوَ وَاقِفٌ عَلَى بَعِيرِهِ، فَشَرِبَهُ
“Bahawa orang-orang sibuk bertekak di sisi beliau pada hari ‘Arafah berkaitan sama ada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpuasa atau tidak. Sebahagian mereka berkata, “Beliau berpuasa.” Sebahagian yang lain mengatakan, “Beliau tidak berpuasa.”
Lalu aku (Umm Al-Fadhl) pun mengirimkan kepada beliau dengan suatu bekas berisikan susu ketika beliau sedang wuquf di atas untanya. Maka beliau pun meminumnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1988. Muslim, no. 1123)
Dalam riwayat Muslim disebutkan:
شَكَّ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صِيَامِ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَنَحْنُ بِهَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَرْسَلْتُ إِلَيْهِ بِقَعْبٍ فِيهِ لَبَنٌ، وَهُوَ بِعَرَفَةَ، فَشَرِبَهُ
“Sebahagian orang dari kalangan sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah merasa syak (yakni ragu) tentang puasa hari ‘Arafah (ketika sedang wuquf). Dan kami ketika itu sedang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Lalu aku kirimkan kepada beliau susu yang ketika itu beliau sedang berada di ‘Arafah, lalu beliau pun meminumnya.” (Shahih Muslim, no. 1123)
Demikian juga sebagaimana kata Ibnu ‘Umar, tatkala beliau berhaji bersama Nabi, Nabi tidak berpuasa ketika hari ‘Arafah, demikian juga ketika berhaji bersama Abu Bakr, demikian juga ketika bersama ‘Umar, juga ketika berhaji bersama ‘Utsman, mereka juga tidak berpuasa ketika di ‘Arafah tatkala berhaji.
Dari Ibn Abi Najiih, dari ayahnya (yakni Abu Najiih), beliau berkata:
سُئِلَ ابْنُ عُمَرَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ بِعَرَفَةَ، فَقَالَ: «حَجَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَصُمْهُ»، وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ فَلَمْ يَصُمْهُ، وَمَعَ عُمَرَ فَلَمْ يَصُمْهُ، وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ يَصُمْهُ، وَأَنَا لَا أَصُومُهُ، وَلَا آمُرُ بِهِ، وَلَا أَنْهَى عَنْهُ
Ditanya kepada Ibnu ‘Umar tentang puasa ‘Arafah, lalu beliau pun menjawab:
“Aku pernah berhaji bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau tidak berpuasa, dan aku pernah berhaji bersama Abu Bakar dan beliau tidak berpuasa, dan aku berhaji bersama ‘Umar dan beliau tidak berpuasa, dan aku juga pernah berhaji bersama ‘Utsman dan beliau juga tidak berpuasa. Dan adapun aku, aku juga tidak berpuasa, namun aku tidak memerintahkannya, dan tidak pula melarangnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 751)
Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah:
(أما) حكم المسألة فقال الشافعي والاصحاب يستحب صوم يوم عرفة لغير من هو بعرفة (واما) الحاج الحاضر في عرفة فقال الشافعي في المختصر والاصحاب يستحب له فطره لحديث أم الفضل وقال جماعة من أصحابنا يكره له
“Adapun hukum permasalahan ini (puasa ‘Arafah), maka berkata Al-Imam Asy-Syafi’i dan Al-Ash-haab (yakni para ulama bermazhab Asy-Syafi’i), mereka menganjurkan agar berpuasa hari ‘Arafah bagi sesiapa yang tidak berada di ‘Arafah (yakni bagi mereka yang tidak berhaji pada tahun tersebut). Adapun bagi mereka yang sedang berhaji dan sedang berada di ‘Arafah, maka kata Al-Imam Asy-Syafi’i sebagaimana dalam Al-Mukhatshar dan berdasarkan pendapat para ulama Syafi’iyyah, adalah dianjurkan bagi mereka untuk berbuka (yakni tidak berpuasa) berdasarkan hadis Umm Al-Fadhl (sebagaimana dikemukakan di atas – pent.) dan telah berkata sejumlah dari jama’ah sahabat-sahabat kami (yakni dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i), mereka membencinya (yakni mereka tidak menganjurkan bagi orang-orang yang berhaji untuk berpuasa hari ‘Arafah).” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 6/380)
Bila hari untuk puasa ‘Arafah?
Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:
قَال أَصْحَابُنَا: وَليْسَ يَوْمُ الفِطْرِ أَوَّل شَوَّالٍ مُطْلقًا وَإِنَّمَا هُوَ اليَوْمُ الذِي يُفْطِرُ فِيهِ النَّاسُ بِدَليل الحَدِيثِ السَّابِقِ، وَكَذَلكَ يَوْمَ النَّحْرِ، وَكَذَا يَوْمَ عَرَفَةَ هُوَ اليَوْمُ الذِي يَظْهَرُ للنَّاسِ أَنَّهُ يَوْمَ عَرَفَةَ، سَوَاءٌ كَانَ التَّاسِعَ أَوْ العَاشِرَ قَال الشَّافِعِيُّ فِي الأُمِّ عَقِبَ هَذَا الحَدِيثِ: فَبِهَذَا نَأْخُذُ
“Sahabat-sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i) berkata:
Tidaklah ‘Ied Al-Fithri itu (memberi pengertian) hari pertama dari bulan Syawwal secara muthlaq. Tetapi ia adalah hari di mana orang-orang berbuka (yakni behari-raya) padanya berdasarkan dalil hadis terdahulu (yakni hadis: “Berbukalah (yakni berhari-rayalah) kalian di hari kalian berbuka (berhari-raya), dan berkorbanlah kalian di hari mereka berkorban…”).
Demikianlah pula dengan hari menyembelih (yakni hari raya korban dan hari-hari Tasyriq). Demikian juga dengan hari ‘Arafah, ia adalah hari yang zahir bagi orang ramai bahawa hari tersebut adalah hari ‘Arafah (yakni hari di mana orang-orang berhaji sedang berwukuf di ‘Arafah). Sama saja sama ada ianya terjadi pada hari ke sembilan atau hari ke sepuluh (dari bulan Dzulhijjah). Telah berkata Asy-Syafi’i di kitab beliau Al-Umm ketika menyentuh hadis ini:
“Maka dengan inilah kami berpendapat.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 5/26)
Lihat juga, https://ilmusunnah.com/?p=11430
Wallaahu a’lam.