Pandang Pada Agamanya, itulah terbaik…

www.ilmusunnah.com

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru (mengabdikan diri kepada) Rabb-nya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah Al-Kahfi, 18: 28)

Dalam ayat ini Allah memerintahkan Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan orang-orang yang beriman untuk duduk bersama hamba-hamba Allah yang berdzikir, bertahlil, bertahmid, bertasbih dan bertakbir, serta bersama orang-orang yang memohon kepada-Nya di pagi dan petang hari, sama ada mereka itu miskin atau kaya, kuat atau pun lemah. Termasuk orang-orang yang menyeru kepada Rabb-nya adalah mereka yang sentiasa berada dalam majlis-majlis ilmu dan mempelajari ilmu-ilmu yang benar.

Ayat ini sama sekali tidak membezakan darjat kedudukan kita dari erti-kata keduniaan, seperti kaya atau miskin, tua ataupun muda, kuat mahupun lemah; Allah telah perintahkan agar kita sentiasa bersama-sama dalam bertauhid dan larangan membeza-bezakan manusia semata-mata kerana kelebihan atau kekurangan duniawinya.

Pernah dikisahkan sebagaimana dalam sebuah hadis daripada Sahl bin Sa’ad As-Sa’idi radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

مَرَّ رَجُلٌ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَا تَقُولُونَ فِي هَذَا؟ قَالُوا: حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ يُنْكَحَ، وَإِنْ شَفَعَ أَنْ يُشَفَّعَ، وَإِنْ قَالَ أَنْ يُسْتَمَعَ، قَالَ: ثُمَّ سَكَتَ، فَمَرَّ رَجُلٌ مِنْ فُقَرَاءِ المُسْلِمِينَ، فَقَالَ: مَا تَقُولُونَ فِي هَذَا؟ قَالُوا: حَرِيٌّ إِنْ خَطَبَ أَنْ لاَ يُنْكَحَ، وَإِنْ شَفَعَ أَنْ لاَ يُشَفَّعَ، وَإِنْ قَالَ أَنْ لاَ يُسْتَمَعَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَذَا خَيْرٌ مِنْ مِلْءِ الأَرْضِ مِثْلَ هَذَا

“Seorang lelaki (yang elok dipandang) melintas di hadapan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka beliau bertanya:

“Apa pendapat kalian tentang orang ini?” Mereka (para sahabat) menjawab:

“Jika dia meminang pasti pinangannya diterima, jika memintakan pertolongan maka akan ditolong, dan jika dia berkata maka kata-katanya akan didengar.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun diam.

Maka kemudian, lalu pula seorang lelaki dari kaum muslimin yang fakir, maka Rasulullah bertanya:

“Apa pendapat kalian tentang orang ini?” Mereka (para sahabat) menjawab:

“Sudah pasti jika dia pergi meminang maka pinangannya akan ditolak, jika memintakan pertolongan maka tidak akan diterima, dan jika berkata maka kata-katanya tidak akan didengar.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Orang ini lebih baik berbanding seramai seisi bumi orang seperti tadi.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5091, 6447)

Dari hadis ini dapat difahami beberapa faedah yang sangat bermanfaat. Di antaranya:

1, Para sahabat radhiyallahu ‘anhum itu umumnya selalu bersama-sama Nabi dan menemaninya, tidak menjauhkan diri, selalu bergaul, mengambil pelbagai faedah dan manfaat, sehingga tidak ada kebaikan dari diri Rasulullah melainkan dapat mereka kuasainya.

2, Hadis ini menunjukkan salah satu akhlak atau kaedah dalam mendidik antaranya adalah dengan cara mengemukakan persoalan kepada para pelajarnya. Ini adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dalam hadis tersebut.

3, Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak melihat rupa-paras, harta, kekayaan, ketampanan, dan nasab manusia semata. Sebaliknya Allah menilai dari apa yang ada di dalam hati dan amal-amal perbuatan mereka. Ini sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ، وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ

“Sesungguhnya Allah tidaklah melihat kepada rupa-paras dan harta-harta kalian. Akan tetapi, Allah melihat kepada hati-hati dan amal-amal kalian.” (Shahih Muslim, no. 2564)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berkabilah-kabilah supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling TAQWA di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 13)

4, Tidak boleh merendah-rendahkan dan bersangka buruk terhadap orang-orang yang miskin. Kerana boleh jadi mereka ini termasuk orang yang memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah dengan sebab amal kebaikannya yang tidak diketahui, yang dikerjakannya secara sembunyi-sembunyi, dan dengan sebab ketaqwaan mereka kepada Allah Ta’ala, kemudian dengan sebab kesabaran dan sikap redha mereka pada apa-apa yang diberikan Allah untuk diri mereka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala befirman:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِلْمُؤْمِنِينَ

“… Dan berendah hatilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Hijr, 15: 88)

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رُبَّ أَشْعَثَ، مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللهِ لَأَبَرَّهُ

“Boleh jadi orang yang kusut-masai, yang pintu-pintu tertutup untuknya, seandainya dia bersumpah atas nama Allah, Allah pun memberi kepadanya (dari apa-apa yang diingininya).” (Shahih Muslim, no. 2622)

5, Anjuran menikahkan anak-anak dengan orang yang soleh walaupun keadaannya tidak seberapa dari sisi nilai harta dan keduniaan. Kerana dengan sebab kesolehannya tersebut dia pasti tidak akan mengabaikan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya walaupun dia sendiri sedang berada dalam keadaan yang susah.

6, Ketampanan, kemasyhuran, harta kekayaan, dan rupa yang menawan, itu semua tidak akan bererti seandainya tidak diiringi dengan ketaqwaan dan rasa syukur. Sebaliknya, ujian, musibah, kemiskinan dan kesusahan seandainya diiringi dengan kesabaran, pasti Allah akan mengangkat darjatnya.

7, Hadis tersebut juga turut mengkhabarkan bahawa tindakan menjelaskan keadaan sebenar seseorang tertentu agar tidak membuat orang lain terpedaya dengannya adalah suatu yang dibolehkan dan ia tidaklah termasuk bentuk ghibah yang diharamkan.

Wallahu a’lam..

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest