Pakaian Wanita Labuh Menyeret Tanah, Sucikah?
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Hadis pertama:
Dari hadis Ibnu ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ: فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ؟ قَالَ: «يُرْخِينَ شِبْرًا»، فَقَالَتْ: إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ، قَالَ: فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا، لَا يَزِدْنَ عَلَيْهِ
“Sesiapa yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan melihatnya (dengan pandangan kasih sayang) pada hari kiamat.
Maka Ummu Salamah pun bertanya, “Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Hendaklah mereka menurunkan (melabuhkannya) satu jengkal dari pertengahan betis.”
Ummu Salamah berkata, “Jika begitu, sudah tentu telapak kaki mereka masih akan tersingkap (kelihatan).”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menerangkan, “Sekiranya begitu, hendaklah mereka menurunkannya satu hasta (sekaki dari pertengahan betis) dan jangan lebih dari itu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1731. Bab: Melabuhkan hujung pakaian bagi wanita. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)
Hadis kedua:
Ummu Walad kepada Ibrahim bin ‘Abdurrahman bin ‘Auf berkata:
قُلْتُ لِأُمِّ سَلَمَةَ: إِنِّي امْرَأَةٌ أُطِيلُ ذَيْلِي وَأَمْشِي فِي المَكَانِ القَذِرِ؟ فَقَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يُطَهِّرُهُ مَا بَعْدَهُ
“Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah (isteri Rasulullah):
“Sesungguhnya aku adalah seorang perempuan yang biasa memanjangkan (melabuhkan) pakaianku dan (adakalanya) aku berjalan di tempat yang kotor…” maka Ummu Salamah pun mengatakan:
“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Tanah yang berikutnya menjadi pembersih kepadanya.” (Al-Muwaththa’, no. 24/65. Sunan Abi Dawud, no. 383. Sunan At-Tirmidzi, no. 143)
Hadis ketiga:
Dari hadis seorang wanita dari bani ‘Abd Al-Asyhal, beliau berkata:
قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ لَنَا طَرِيقًا إِلَى الْمَسْجِد مُنْتِنَةً فَكَيْفَ نَفْعَلُ إِذَا مُطِرْنَا؟ قَالَ: «أَلَيْسَ بَعْدَهَا طَرِيقٌ هِيَ أَطْيَبُ مِنْهَا؟» قَالَتْ: قُلْتُ: بَلَى. قَالَ: «فَهَذِهِ بِهَذِهِ
“Aku bertanya (kepada Rasulullah):
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya jalan kami menuju masjid ada banyak kotoran, jadi bagaimana yang patut kami lakukan jika hujan turun (sehingga jalan menjadi becak – pent.)?”
Jawab Rasulullah:
“Bukankah setelah jalan yang kotor masih ada jalan yang lebih bersih (untuk menyucikannya)?”
Aku berkata, “Benar.” Jawab Rasulullah, “Maka yang ini dengan yang ini.” (Sunan Abi Dawud, no. 384)
Faedah hadis:
1, Menunjukkan adanya larangan melabuhkan pakaian, namun larangan tersebut dikhususkan bagi kaum lelaki. Terkhusus bagi mereka yang sombong, maka ancamannya lebih berat yang antaranya Allah tidak akan memandang padanya pada hari Kiamat (dengan pandangan kasih-syaang).
Boleh lihat rinciannya di artikel berikut: https://ilmusunnah.com/hukum-pakaian-labuh-bagi-lelaki-menyingkap-fenomena-isbal-kontemporari-2/
2, Menunjukkan adanya perintah atau sunnah bahawa asal pakaian bagi wanita adalah labuh menutupi kaki.
3, Padanya terdapat dalil menunjukkan wanita wajib menutupi kaki-kaki mereka kerana ianya termasuk aurat.
4, Ukuran labuhnya pakaian wanita adalah seukuran satu hasta ke bawah dari pertengahan betis.
5, Jika ada yang beralasan pakaian yang labuh akan membuatnya terseret lalu terkena kotoran, maka ini dijawab dengan hadis Nabi:
“Tanah yang berikutnya menjadi pembersih kepadanya.”
Terdapat juga dalil-dalil lain yang menguatkan, sebagaimana dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِذَا وَطِئَ الْأَذَى بِخُفَّيْهِ، فَطَهُورُهُمَا التُّرَابُ
“Apabila melekat (atau terkena) kotoran pada khufnya (kasutnya), maka sucikanlah keduanya dengan tanah.” (Sunan Abi Dawud, no. 386 dan 387)
Kerana pada zaman Nabi mereka solat dengan memakai kasut atau khuf di masjid. Lalu apabila pada kasut atau khuf mereka terdapat kotoran atau najis, maka cara mereka menyucikannya adalah dengan menggeserkannya pada tanah.
Dalam lafaz atau riwayat yang lain:
إِذَا وَطِئَ أَحَدُكُمْ بِنَعْلِهِ الْأَذَى، فَإِنَّ التُّرَابَ لَهُ طَهُورٌ
“Apabila salah seorang di antara kalian terkena kotoran pada kasut (atau capalnya), maka tanah dapat menyucikannya.” (Sunan Abi Dawud, no. 385)
Sahabat Nabi, ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata:
إِنْ وَطِئْتَ عَلَى قَذَرٍ رَطْبٍ، فَاغْسِلْهُ، وَإِنْ كَانَ يَابِسًا فَلا
“Jika engkau terpijak (atau terkena) kotoran basah, maka basuhlah. Tetapi jika ia kotoran yang kering, maka tidak mengapa (jika tidak membasuhnya).” (lihat: Al-Baghawi, Syarh As-Sunnah, 2/94)
Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H) berkata:
ذَهَبَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ إِلَى ظَاهِرِ هَذَا الْحَدِيثِ، مِنْهُمُ النَّخَعِيّ، كَانَ يَمْسَحُ النَّعْلَ أَوِ الْخُفَّ يَكُونُ بِهِ السِّرْقِينُ عِنْدَ بَابِ الْمَسْجِدِ، فَيُصَلِّي بِالْقَوْمِ، وَبِهِ قَالَ الأَوْزَاعِيُّ، وَأَبُو ثَوْرٍ
“Sebahagian ahli ilmu (para ulama) berpegang kepada zahir hadis ini, yakni dari kalangan mereka antaranya adalah Al-Imam Ibrahim An-Nakha’i, mereka menyatakan dibolehkan membersihkan kotoran (atau najis) pada kasut-kasut dengan cara menggeser-geserkan kasut atau khuf mereka dari kotoran di depan masjid sebelum dipakai atau dibawa masuk untuk bersolat. Ini juga merupakan pendapat Al-Auza’i dan Abu Tsaur.” (Syarh As-Sunnah, 2/93)
Juga dinukilkan, beliau berkata:
إن هذا الحديث محمول على النجاسة اليابسة التي أصابت الثوب ثم تناثرت بعد ذلك ففيه نظر لأن النجاسة التي تتعلق بالذيل في المشي في المكان القذر تكون رطبة في غالب الأحوال وهو معلوم بالقطع في عادة الناس فإخراج الشيء الذي تحقق وجوده قطعا أو غالبا عن حالته الأصلية بعيد
“Bahawa hadis ini ada yang memahami ia mengisyaratkan pada najis yang sifatnya kering saja. Ini pendapat yang sebenarnya perlu diteliti. Kerana najis yang mengenai pakaian wanita secara umumnya didapatkan ketika melalui tempat-tempat yang kotor dan di sana secara umumnya terdapat kotoran yang sifatnya basah. Inilah situasi yang biasa dapat kita lihat. Jadi, jika seseorang mengeluarkan maksud kotoran yang sifatnya basah ini dari maksud asal hadis tersebut, maka ini adalah anggapan yang jauh.” (Tuhfatul Ahwadzi, 1/372)
Jadi, sama ada najis atau kotoran yang terkena pada pakaian tersebut sifatnya basah atau kering, maka ianya telah atau boleh disucikan dengan tanah yang berikutnya.
6, Padanya terdapat dalil yang menjelaskan bahagian yang disucikan adalah pada tempat yang terkena najis sahaja dan tidak diperintahkan agar menyucikan seluruh pakaian.
7, Padanya terdapat dalil yang mana kita tidaklah dituntut untuk mencari-cari bahagian pada pakaian kita yang terkena najis ketika hendak solat, namun cukup sekadar secara pandangan umum yang pakaian kita adalah suci maka ia boleh dipakai untuk solat. Ini sekaligus dapat mengelakkan dari timbulnya penyakit was-was yang banyak menimpa sebahagian orang hari ini.
8, Padanya terdapat dalil yang menunjukkan tanah adalah suci dan dapat digunakan untuk menyucikan kotoran atau najis.
Sebagaimana dalam hadis Abu Sa’id, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
كُلُّ الْأَرْضِ مَسْجِدٌ وَطَهُورٌ إِلَّا الْمَقْبَرَةَ وَالْحَمَّامَ
“Bumi ini seluruhnya adalah masjid (yakni dibolehkan untuk melaksanakan ibadah padanya) dan menyucikan, melainkan perkuburan dan tempat permandian (tandas, bilik air atau tempat buang hajat – pent.).” (Musnad Ahmad, no. 11784)
Dan hal ini turut diperjelaskan lagi dengan dalil berikut:
Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu:
بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاتَهُ، قَالَ: «مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَاءِ نِعَالِكُمْ»، قَالُوا: رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا – أَوْ قَالَ: أَذًى – ” وَقَالَ: ” إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ: فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat bersama para sahabatnya, tiba tiba beliau menanggalkan kedua kasutnya lalu meletakkannya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat tindakan beliau tersebut, mereka pun ikut menanggalkan kasut-kasut mereka. Maka ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam selesai dari solat, beliau pun bersabda:
“Apakah sebab yang membuat kalian menanggalkan kasut-kasut kalian?”
Mereka jawab:
“Kami melihat engkau melakukannya, maka kami pun mengikuti dengan menanggalkan kasut-kasut kami.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:
“Sesungguhnya Jibril Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah datang kepadaku, lalu mengkhabarkan kepadaku bahawa pada sepasang kasutku ada najis (atau kotoran).” Kemudian beliau bersabda lagi:
“Apabila salah seorang di antara kalian datang ke masjid, maka perhatikanlah, jika dia melihat di sepasang sandalnya terdapat najis atau kotoran maka bersihkanlah, dan solatlah dengan sepasang sandalnya itu.” (Sunan Abi Dawud, no. 650)
Dan cara membersihkannya adalah dengan menggeserkannya pada tanah sebelum memasuki masjid sebagaimana dijelaskan dalam riwayat yang telah disebutkan di atas.
Wallaahu a’lam.