Orang Musafir Boleh Jamakkan Solat

Orang Musafir Boleh Jamakkan Solat

www.ilmusunnah.com

Di dalam sebuah hadis menyebutkan bahawa safar adalah sebahagian dari bentuk kepayahan, atau adzab (yang memberatkan). Safar biasanya akan menjadi beban yang menghalangi seseorang dari makan, tidur, keluarganya, dan bahkan menghalanginya dari amalan ibadah sehariannya sebagaimana ketika mukim.

perjalanan-jamak

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ الْعَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ، فَإِذَا قَضَى أَحَدُكُمْ نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ، فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

“Safar adalah potongan dari adzab, ia menghalangi kalian dari makanannya, minumannya, dan tidurnya. Maka apabila salah seorang dari kalian telah menunaikan keperluannya, maka hendaklah dia segera pulang kepada keluarganya.” (Shahih Al-Bukhari, 1804. Muslim, no. 1927)

Namun, di balik kesulitan pasti diiringi dengan kemudahan. Demikianlah yang telah ditetapkan pada safar (perjalanan jauh). Bagi orang-orang yang safar dari kalangan kaum muslimin itu diturunkan untuk mereka beberapa keringanan dalam ibadah.

Di antara rukhshah bagi para musafir, yakni bagi orang-orang yang sedang dalam safar (perjalanan jauh), adalah dia dianjurkan untuk mengqasharkan solat fardhunya, yakni meringkaskan solat yang empat raka’at menjadi dua raka’at sahaja. Dan rukhshah mengqasharkan solat ini merupakan rukhshah khusus bagi para musafir.

Bahkan mengqasharkan solat ini merupakan rukhshah yang sangat dianjurkan untuk diambil berdasarkan petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana Nabi tidak pernah tidak mengqasharkan solat jika sedang dalam safar. Maka, siapa yang tidak mengqasharkan solat ketika safar sebenarnya dia telah meninggalkan sesuatu yang lebih utama, walaupun solatnya tetap sah. Dan sebahagian ulama berpandangan bahawa orang yang sengaja meninggalkan qashar ketika safar sebenarnya dia telah menyelisihi sunnah, yakni menyelisihi petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Selain mengqasharkan solat, orang-orang yang sedang dalam safar juga boleh memilih untuk menjamakkan antara dua solat dalam masa yang sama jika mereka memerlukannya, yakni menjamakkan sama ada antara Zuhur dengan ‘Ashar, atau Maghrib dengan Isyak, pada salah satu di antara dua waktu pilihan (waktu solat yang pertama, atau waktu solat yang kedua). Di mana rukhshah bolehnya menjamak dua solat ini merupakan rukhshah yang berbentuk pilihan ketika mana keadaan seseorang memerlukannya, yakni bukanlah suatu rukhshah yang bersifat khusus bagi safar sebagaimana anjuran mengqasharkan solat.[1]

Di antaran dalil-dalil yang menjelaskan bolehnya menjamakkan solat ketika safar adalah sebagaimana berikut,

1, Jamak Ketika Perjalanan Haji (di ‘Arafah, Mudzdalifah, Mina),

Dari hadis Ibnu Syihab Az-Zuhri rahimahullah, bahawa Salim (bin ‘Abdullah bin ‘Umar) berkata kepadanya:

أَنَّ الحَجَّاجَ بْنَ يُوسُفَ، عَامَ نَزَلَ بِابْنِ الزُّبَيْرِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، سَأَلَ عَبْدَ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَيْفَ تَصْنَعُ فِي المَوْقِفِ يَوْمَ عَرَفَةَ؟ فَقَالَ سَالِمٌ: «إِنْ كُنْتَ تُرِيدُ السُّنَّةَ فَهَجِّرْ بِالصَّلاَةِ يَوْمَ عَرَفَةَ»، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ: «صَدَقَ، إِنَّهُمْ كَانُوا يَجْمَعُونَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ فِي السُّنَّةِ»، فَقُلْتُ لِسَالِمٍ: أَفَعَلَ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَقَالَ سَالِمٌ: «وَهَلْ تَتَّبِعُونَ فِي ذَلِكَ إِلَّا سُنَّتَهُ

“Pada saat tahun Al-Hajjaj bin Yusuf (Ats-Tsaqafi) memerangi (memberontak) Ibnu Az-Zubair radhiyallahu ‘anhuma, beliau bertanya kepada ‘Abdullah (bin ‘Umar) radhiyallahu ‘anhu, “Bagaimana engkau melaksanakan solat ketika wuquf di hari ‘Arafah?”

Kata Salim, “Jika engkau menginginkan sunnah pada hari ‘Arafah, maka segerakan solat pada awal waktunya (ketika waktu terik di tengah hari).”

Maka ‘Abdullah bin ‘Umar pun berkata, “Benar, dahulu mereka (Nabi bersama para sahabatnya) menjamakkan dua solat, yakni Zuhur dan ‘Ashr bersesuaian dengan sunnah.”

Aku (Ibnu Syihab) bertanya, “Adakah demikian yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?”

Maka Jawab Salim, “Dan bukankah dalam hal yang demikian kalian tidak harus mengikuti melainkan sunnah?!” (Shahih Al-Bukhari, no. 1662)

Dalam sebuah hadis yang panjang tentang turutan perjalanan haji Nabi, yakni ketika beliau sedang menuju ke ‘Arafah, beliau berhenti di suatu lembah lalu berkhuthbah, sebaik khuthbah, beliau pun solat Zuhur dan ‘Ashar dengan dijamakkan keduanya.

Kata Jaabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi bersabda dalam khuthbahnya:

وَأَنْتُمْ تُسْأَلُونَ عَنِّي فَمَا أَنْتُمْ قَائِلُونَ قَالُوا نَشْهَدُ أَنَّكَ قَدْ بَلَّغْتَ وَأَدَّيْتَ وَنَصَحْتَ فَقَالَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ يَرْفَعُهَا إِلَى السَّمَاءِ وَيَنْكُتُهَا إِلَى النَّاسِ اللَّهُمَّ اشْهَدْ اللَّهُمَّ اشْهَدْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ثُمَّ أَذَّنَ ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الظُّهْرَ ثُمَّ أَقَامَ فَصَلَّى الْعَصْرَ وَلَمْ يُصَلِّ بَيْنَهُمَا شَيْئًا ثُمَّ رَكِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَتَى الْمَوْقِفَ

“Bahawa kalian semua akan ditanya tentang diriku, lalu bagaimana akan kalian jawab nanti?”

Mereka jawab, “Kami bersaksi bahawa engkau benar-benar telah menyampaikan, engkau telah menunaikan tugas, dan engkau telah menasihati kami.”

Kemudian beliau (Nabi) bersabda sambil mengangkat jari telunjuknya ke atas langit lalu menunjuk (mengisyaratkan) kepada orang ramai:

“Ya Allah saksikanlah, Ya Allah saksikanlah, ya Allah saksikanlah.”

Setelah itu, adzan pun dilaungkan kemudian iqamat, lalu langsung solat Zuhur. Kemudian iqamat sekali lagi dan solat ‘Ashar pula dilaksanakan tanpa ada sebarang solat sunnah pun di antara keduanya. Setelah itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menunggang meneruskan perjalanan menuju ke tempat wukuf.”

Kata Jaabir lagi:

حَتَّى أَتَى الْمُزْدَلِفَةَ فَصَلَّى بِهَا الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ بِأَذَانٍ وَاحِدٍ وَإِقَامَتَيْنِ وَلَمْ يُسَبِّحْ بَيْنَهُمَا شَيْئًا ثُمَّ اضْطَجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى طَلَعَ الْفَجْرُ وَصَلَّى الْفَجْرَ حِينَ تَبَيَّنَ لَهُ الصُّبْحُ بِأَذَانٍ وَإِقَامَةٍ ثُمَّ رَكِبَ الْقَصْوَاءَ حَتَّى أَتَى الْمَشْعَرَ الْحَرَامَ

… Sampai di Muzdalifah beliau pun solat Maghrib dan Isya’ dengan satu kali adzan dan dua iqamat tanpa ada sujud (solat sunnah) pun di antara dua solat tersebut. Kemudian beliau tidur hingga terbit fajar.

Sebaik masuk Subuh, beliau pun solat Subuh dengan dikumandangkan adzan sekali dan iqamat sekali. Kemudian beliau menunggang Qashwa’ (yakni unta Rasulullah) meneruskan perjalanan sampailah ke Masy’aril Haram….” (Shahih Muslim, no. 2137)

Dari hadis oleh Katsir bin Qarawanda, beliau berkata:

سَأَلْنَا سَالِمَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ عَنِ الصَّلَاة فِي السَّفَرِ فَقُلْنَا: أَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يَجْمَعُ بَيْنَ شَيْءٍ مِنَ الصَّلَوَاتِ فِي السَّفَرِ؟ فَقَالَ: لَا. إِلَّا بِجَمْعٍ

“Aku pernah bertanya kepada Saalim bin ‘Abdillah tentang solat ketika safar, lalu aku tanyakan:

“Adakah ‘Abdullah bin ‘Umar (ayah beliau) pernah menjamakkan di antara dua solat di dalam safar?”

Maka Salim bin ‘Abdillah menjawab, “Tidak, kecuali ketika di Muzdalifah.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 597)

Hadis ini menjelaskan bahawa menjamakkan solat bukanlah rukhshah khusus untuk musafir sebagaimana rukhshah qashar, tetapi jamak solat ini lebih luas lagi, yakni ia merupakan suatu rukhshah yang bersifat pilihan ketika kita tertimpa dengan sesuatu hal yang memberatkan untuk melaksanakan solat pada waktunya.[2]

Dari hadis Abu Ayyub Al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «جَمَعَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ المَغْرِبَ وَالعِشَاءَ بِالْمُزْدَلِفَةِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak pada masa haji wada’ ketika di Muzdalifah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1674)

Dari hadis Saalim bin ‘Abdillah, dari ayahnya ‘Abdullah bin ‘Umar, kata beliau:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ بِالْمُزْدَلِفَةِ جَمِيعًا

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak di Muzdalifah.” (Shahih Muslim, no. 703)

Dari hadis ‘Ubaidallah  bin ‘Abdillah bin ‘Umar, dari ‘Abdullah bin ‘Umar, beliau berkata:

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِجَمْعٍ لَيْسَ بَيْنَهُمَا سَجْدَةٌ، وَصَلَّى الْمَغْرِبَ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ، وَصَلَّى الْعِشَاءَ رَكْعَتَيْنِ» فَكَانَ عَبْدُ اللهِ يُصَلِّي بِجَمْعٍ كَذَلِكَ، حَتَّى لَحِقَ بِاللهِ تَعَالَى

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak tanpa diiringi sujud (solat sunnah) di antara keduanya, yakni solat Maghrib tiga raka’at dan Isyak dua raka’at.”

Maka demikianlah juga ‘Abdullah bin ‘Umar melaksanakan solat jamak, sampailah dia dipanggil Allah Ta’ala.” (Shahih Muslim, no. 1288)

Dari hadis Sa’id bin Jubair, dari Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

جَمَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِجَمْعٍ، صَلَّى الْمَغْرِبَ ثَلَاثًا وَالْعِشَاءَ رَكْعَتَيْنِ بِإِقَامَةٍ وَاحِدَةٍ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak, solat Maghrib tiga raka’at dan Isyak dua rakaat, dengan satu kali iqamat.” (Shahih Muslim, no. 1288)

Kata Sa’id bin Jubair rahimahullah:

أَفَضْنَا مَعَ ابْنِ عُمَرَ حَتَّى أَتَيْنَا جَمْعًا، فَصَلَّى بِنَا الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ بِإِقَامَةٍ وَاحِدَةٍ، ثُمَّ انْصَرَفَ، فَقَالَ: هَكَذَا صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَا الْمَكَانِ

“Kami pernah berangkat pergi bersama-sama Ibnu ‘Umar sampailah tiba di Jam’i (Muzdalifah). Lalu kami pun melaksanakan solat Maghrib dan Isyak dengan satu kali iqamat (yakni dijamakkan), kemudian setelah selesai, beliau pun berpaling (kepada kami) seraya berkata:

“Beginilah kami melaksanakan solat bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di tempat ini (di Muzdalifah – yakni dengan dijamakkan).” (Shahih Muslim, no. 1288)

Dari Kuraib Maula Ibnu ‘Abbas, bahawa beliau mendengar Usamah bin Zayd radhiyallahu ‘anhu berkata:

دَفَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَرَفَةَ حَتَّى إِذَا كَانَ بِالشِّعْبِ نَزَلَ فَبَالَ ثُمَّ تَوَضَّأَ وَلَمْ يُسْبِغِ الْوُضُوءَ، فَقُلْتُ لَهُ: الصَّلَاةَ، قَالَ: الصَّلَاةُ أَمَامَكَ فَرَكِبَ، فَلَمَّا جَاءَ الْمُزْدَلِفَةَ نَزَلَ فَتَوَضَّأَ، فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ، ثُمَّ أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَصَلَّى الْمَغْرِبَ، ثُمَّ أَنَاخَ كُلُّ إِنْسَانٍ بَعِيرَهُ فِي مَنْزِلِهِ، ثُمَّ أُقِيمَتِ الْعِشَاءُ فَصَلَّاهَا، وَلَمْ يُصَلِّ بَيْنَهُمَا شَيْئًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berangkat dari ‘Arafah sampailah apabila tiba di suatu persimpangan (perbukitan), beliau pun turun (dari tunggangannya), lalu pergi buang air lalu kemudian beliau wudhu’ dengan wudhu’ yang sederhana (ringkas). Lalu aku berkata kepadanya, “Adakah kita akan solat (di sini)?” Jawab Rasulullah, “Akan datang tempat untuk solat di depan-mu (yakni di persinggahan berikutnya).” Lalu beliau pun kembali menunggang (meneruskan perjalanan).

Ketika tiba di Muzdalifah, beliau pun turun lalu berwudhu’ dengan wudhu’ yang sempurna. Kemudian iqamat dikumandangkan lalu solat Maghrib pun dilaksanakan, semua orang dan tunggangannya pun berhenti di situ. Kemudian iqamat solat Isyak pula langsung dikumandangkan, lalu solat Isyak pun dilaksanakan, tanpa diselangi (atau diiringi) dengan sebarang solat sunnah antara keduanya (yakni tiada iringan solat sunnah mengiringi antara Maghrib dan Isyak).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1672. Muslim, no. 1280)

Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat judul bab dengan hadis ini:

بَابُ الجَمْعِ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ بِالْمُزْدَلِفَةِ

“Bab menjamakkan dua solat ketika di Muzdalifah.”

Dalam riwayat yang lain, dari hadis Usamah bin Zayd radhiyallahu ‘anhu beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ رَدِيفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَفَاضَ مِنْ عَرَفَةَ، فَلَمَّا جَاءَ الشِّعْبَ أَنَاخَ رَاحِلَتَهُ، ثُمَّ ذَهَبَ إِلَى الْغَائِطِ، فَلَمَّا رَجَعَ صَبَبْتُ عَلَيْهِ مِنَ الْإِدَاوَةِ، فَتَوَضَّأَ ثُمَّ رَكِبَ، ثُمَّ أَتَى الْمُزْدَلِفَةَ فَجَمَعَ بِهَا بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

“Aku pernah dibonceng di belakang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika berangkat dari ‘Arafah, lalu sampailah di suatu persimpangan/bukit, beliau pun menambatkan tunggangannya, kemudian beliau menuju ke tempat buang air. Setelah itu beliau pun kembali dan aku tuangkan air wudhu’ untuk beliau, maka beliau pun berwudhu’ seraya kemudian beliau langsung kembali menunggang (meneruskan perjalanan).

Kemudian ketika tiba di Muzdalifah, beliau pun menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak.” (Shahih Muslim, no. 1280)

Al-Imam An-Nawawi meletakkan bab bagi hadis-hadis ini dalam Syarah beliau dengan bab:

واستحباب صلاتي المغرب والعشاء جمعا بالمزدلفة في هذه الليلة

“Disunnahkan menjamakkan solat Maghrib dan Isyak pada malam di Muzdalifah.”

Kemudian beliau menyebutkan:

وهذا مجمع عليه لكن اختلفوا في حكمه فمذهبنا أنه على الاستحباب فلو صلاهما في وقت المغرب أو في الطريق أو كل واحدة في وقتها جاز وفاتته الفضيلة

“Dan perkara ini (menjamakkan solat Maghrib dan Isyak ketika bermalam di Muzdalifah) adalah suatu yang telah disepakati (oleh para ulama), namun mereka berselisih tentang hukumnya. Adapun menurut mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i), ianya adalah sunnah yang dianjurkan. Adapun sekiranya mereka tetap menunaikan solat Magrib dan Isyak tersebut pada waktunya masing-masing, maka itu tetap dibolehkan namun dia tidak mendapatkan keutamaan (dalam rangka meneladani sunnah Rasulullah – pent.).” (Syarh Shahih Muslim, 9/30-31)

Dari hadis Abu Juhaifah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالهَاجِرَةِ، فَأُتِيَ بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ، فَجَعَلَ النَّاسُ يَأْخُذُونَ مِنْ فَضْلِ وَضُوئِهِ فَيَتَمَسَّحُونَ بِهِ، فَصَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ، وَالعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ، وَبَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةٌ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah keluar kepada kami ketika tengah hari yang panas. Lalu didatangkan air wudhu’ kepadanya, maka beliau pun berwudhu’. Lalu orang-orang mengambil sisa-sisa air wudhu’ Nabi seraya mengusap-usapkannya.

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun solat Zuhur dua raka’at dan ‘Ashar dua raka’at, dan di depannya ditancapkan tombak (sebagai sutrah).” (Shahih Al-Bukhari, no. 187)

Dalam lafaz yang lain,

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالهَاجِرَةِ إِلَى البَطْحَاءِ، فَتَوَضَّأَ ثُمَّ صَلَّى الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ، وَالعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ، وَبَيْنَ يَدَيْهِ عَنَزَةٌ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah keluar ke Al-Bath-haa’ di siang hari yang panas. Lalu beliau berwudhu’ kemudian solat Zuhur dua raka’at dan ‘Ashar dua raka’at, sementara di depannya ditancapkan tombak (sebagai sutrah).” (Shahih Al-Bukhari, no. 3553)

Dari hadis-hadis ini menjelaskan bahawa di antara sunnah ketika perjalanan haji, khasnya ketika wuquf baik di ‘Arafah, Muzdalifah, dan Mina adalah menjamakkan solat.

Dan Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan tentang Ibnu ‘Umar:

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا إِذَا فَاتَتْهُ الصَّلاَةُ مَعَ الإِمَامِ جَمَعَ بَيْنَهُمَا

“Bahawa Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma apabila beliau tertinggal solat bersama imam (pada hari ‘Arafah), beliau akan tetap menjamakkan solat.”

Pada bab:

بَابُ الجَمْعِ بَيْنَ الصَّلاَتَيْنِ بِعَرَفَةَ

“Bab menjamakkan dua solat ketika di ‘Arafah.”

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَمِنْ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ جَمَعَ بِالْمُسْلِمِينَ جَمِيعِهِمْ بِعَرَفَةَ بَيْنَ الظُّهْر وَالْعَصْرِ وبمزدلفة بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ . وَكَانَ مَعَهُ خَلْقٌ كَثِيرٌ مِمَّنْ مَنْزِلُهُ دُونَ مَسَافَةِ الْقَصْرِ مِنْ أَهْلِ مَكَّةَ وَمَا حَوْلَهَا . وَلَمْ يَأْمُرْ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ بِتَفْرِيقِ كُلِّ صَلَاةٍ فِي وَقْتِهَا وَلَا أَنْ يَعْتَزِلَ الْمَكِّيُّونَ وَنَحْوُهُمْ فَلَمْ يُصَلُّوا مَعَهُ الْعَصْرَ وَأَنْ يَنْفَرِدُوا فَيُصَلُّوهَا فِي أَثْنَاءِ الْوَقْتِ دُونَ سَائِرِ الْمُسْلِمِينَ . فَإِنَّ هَذَا مِمَّا يُعْلَمُ بِالِاضْطِرَارِ لِمَنْ تَتَبَّعَ الْأَحَادِيثَ أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ . وَهُوَ قَوْلُ مَالِكٍ وَطَائِفَةٍ مِنْ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ وَأَحْمَد وَعَلَيْهِ يَدُلُّ كَلَامُ أَحْمَد

“Termasuk sebahagian dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah beliau menjamakkan solat antara Zuhur dengan ‘Ashar bersama seluruh kaum muslimin di ‘Arafah, dan ketika di Muzdalifah beliau menjamakkan Maghrib dengan Isyak.

Dan bersama-sama beliau ketika itu adalah ramainya manusia yang hadir, termasuklah orang-orang yang tidak memenuhi jarak qashar (bukan termasuk kategori orang safar) dari kalangan penduduk Makkah dan sekitarnya. Dan Nabi tidak memerintahkan orang yang biasa solat di Masjid Al-Haram tersebut supaya memisahkan diri agar mereka solat pada waktunya masing-masing (namun mereka tetap menjamakkan solat bersama-sama Nabi dan yang lainnya pada waktu tersebut – pent.).

Beliau juga tidak memerintahkan penduduk Makkah dan sekitarnya supaya memisahkan diri agar tidak sama-sama menjamakkan solat ‘Ashar bersama-sama mereka, sehingga mereka melaksanakan solat pada waktunya masing-masing sebagaimana biasa, dan tidak melaksanakannya (secara jamak) bersama-sama seluruh kaum muslimin yang lain (yang berhaji) pada ketika itu. Kerana ini adalah apa yang difahami secara mendalam bagi siapa yang mengikuti dan menelusuri hadis-hadis Nabi, dia tidak akan memisahkan diri. Dan ini adalah pendapat Malik dan sejumlah kelompok dari kalangan tokoh-tokoh mazhab Asy-Syafi’i, Ahmad, dan ini adalah yang menjadi pendapat Ahmad.” (Majmu’ Al-Fatawa, 26/168)

Kata Ibnu Taimiyyah lagi:

فَالْجَمْعُ بِعَرَفَةَ وَمُزْدَلِفَةَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ وَهُوَ مَنْقُولٌ بِالتَّوَاتُرِ فَلَمْ يَتَنَازَعُوا فِيهِ

“Adapun jamak ketika di ‘Arafah dan ketika di Muzdalifah, ianya telah disepakati atasnya, dan ianya dinukil secara mutawatir, tidak ada yang menyelisihi atau mengingkarinya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/23)

2, Ketika Dalam Ekspedisi Perang,

Dari hadis Abu Thufail ‘Aamir bin Watsilah, bahawa Mu’adz mengkhabarkan kepada beliau:

أَنَّهُمْ خَرَجُوا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ تَبُوكَ، فَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ . قَالَ: وَأَخَّرَ الصَّلَاةَ، ثُمَّ خَرَجَ فَصَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا، ثُمَّ دَخَلَ، ثُمَّ خَرَجَ فَصَلَّى الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا

“Bahawa mereka (para sahabat) pernah keluar bersama-sama Rasulullah di peperangan Tabuk, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat Zuhur dengan ‘Ashar dan Maghrib dengan Isyak.

(Kata Mu’adz), Rasulullah melewatkan solat Zuhur, kemudian beliau keluar (dari khemahnya) lalu melaksanakan solat Zuhur dan ‘Ashar dengan dijamakkan keduanya. Kemudian beliau masuk (kembali ke khemah). Lalu kemudian beliau keluar lagi dan melaksanakan solat Maghrib dan Isyak dengan dijamakkan.” (Musnad Ahmad, no. 22070. Sunan Abi Dawud, no. 1206. Sunan An-Nasaa’i, no. 587. Shahih Ibn Hibban, no. 1595)

footsteps-in-sand

Dari Abu Thufail, dari Mu’adz bin Jabal, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ، إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ زَيْغِ الشَّمْسِ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى أَنْ يَجْمَعَهَا إِلَى العَصْرِ فَيُصَلِّيَهُمَا جَمِيعًا، وَإِذَا [ص:439] ارْتَحَلَ بَعْدَ زَيْغِ الشَّمْسِ عَجَّلَ العَصْرَ إِلَى الظُّهْرِ وَصَلَّى الظُّهْرَ وَالعَصْرَ جَمِيعًا ثُمَّ سَارَ، وَكَانَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ المَغْرِبِ أَخَّرَ المَغْرِبَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ العِشَاءِ، وَإِذَا ارْتَحَلَ بَعْدَ المَغْرِبِ عَجَّلَ العِشَاءَ فَصَلَّاهَا مَعَ المَغْرِبِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada peperangan Tabuk, apabila beliau berangkat sebelum tergelincir matahari, beliau akan melewatkan solat Zuhur hingga masuk ke waktu ‘Ashar lalu beliau akan menjamakkan kedua-dua solat (Zuhur dan ‘Ashar) dalam waktu ‘Ashar.

Dan apabila beliau berangkat setelah tergelincir matahari, beliau akan awalkan solat ‘Ashar ke dalam waktu Zuhur, dan beliau menjamakkan Zuhur dan ‘Ashar (di waktu Zuhur) lalu kemudian barulah berangkat.

Dan bahawasanya beliau apabila berangkat sebelum Maghrib, beliau akan melewatkan solat Maghrib sampailah beliau melaksanakannya bersama-sama solat ‘Isyak (dalam waktu Isyak). Dan bila beliau berangkat setelah masuk waktu Maghrib, beliau akan awalkan solat Isyak lalu melaksanakannya bersama-sama solat Maghrib (yakni menjamakkannya dalam waktu Maghrib).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 553)

Dalam riwayat yang lain:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ فِي غَزْوَةِ تَبُوكَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، وَبَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan di antara solat Zuhur dengan ‘Ashar, dan di antara Maghrib dengan Isyak ketika perang Tabuk.”

Kata Al-Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H):

وَبِهَذَا الحَدِيثِ يَقُولُ الشَّافِعِيُّ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ، يَقُولَانِ: لَا بَأْسَ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ فِي السَّفَرِ فِي وَقْتِ إِحْدَاهُمَا

“Dan berdasarkan hadis ini, telah berkata Asy-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaaq, bahawa mereka mengatakan:

“Tidak mengapa menjamakkan di antara dua solat ketika di dalam safar pada mana-mana salah satu waktu antara keduanya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 554)

Al-Imam An-Nawawi menyebutkan di Syarh Shahih Muslim:

قال الشافعي والأكثرون يجوز الجمع بين الظهر والعصر في وقت أيتهما شاء وبين المغرب والعشاء في وقت أيتهما شاء في السفر الطويل

“Telah berkata Al-Imam Asy-Syafi’i dan kebanyakan ulama, adalah boleh menjamakkan di antara dua solat; Zuhur dengan ‘Ashar pada mana-mana salah satu waktu (Zuhur atau ‘Ashar), dan Maghrib dengan Isyak pada mana-mana salah satu waktu (Maghrib atau Isyak) pada ketika sedang safar yang panjang..” (Syarh Shahih Muslim, 5/212)

3, Menjamakkan Solat Ketika Ingin Mempercepatkan Perjalanan Dalam Safar,

Dari Saalim, dari ayahnya (‘Abdullah bin ‘Umar) radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ إِذَا جَدَّ بِهِ السَّيْرُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak ketika bersungguh-sungguh (terus-menerus dan ingin cepat) dalam perjalanan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1106)

Dari ‘Ikrimah, dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menjamakkan solat Zuhur dengan ‘Ashar ketika sedang di atas tunggangannya ketika dalam perjalanan, dan beliau juga menjamakkan Maghrib dengan Isyak.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1107)

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ فِي السَّفَرِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat Maghrib dan Isyak ketika dalam safar.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1108)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab pada hadis ini dengan judul:

بَابُ الجَمْعِ فِي السَّفَرِ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

“Bab menjamakkan solat Maghrib dan Isyak ketika safar.”

Dari Saalim bin ‘Abdillah, dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَعْجَلَهُ السَّيْرُ فِي السَّفَرِ، يُؤَخِّرُ صَلاَةَ المَغْرِبِ حَتَّى يَجْمَعَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ العِشَاءِ» قَالَ سَالِمٌ: «وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَفْعَلُهُ إِذَا أَعْجَلَهُ السَّيْرُ وَيُقِيمُ المَغْرِبَ، فَيُصَلِّيهَا ثَلاَثًا، ثُمَّ يُسَلِّمُ، ثُمَّ قَلَّمَا يَلْبَثُ حَتَّى يُقِيمَ العِشَاءَ، فَيُصَلِّيهَا رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يُسَلِّمُ، وَلاَ يُسَبِّحُ بَيْنَهُمَا بِرَكْعَةٍ، وَلاَ بَعْدَ العِشَاءِ بِسَجْدَةٍ، حَتَّى يَقُومَ مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ

“Aku melihat melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila tergesa-gesa (ingin cepat) di dalam Safar, beliau akan melewatkan solat Maghrib lalu menjamakkannya dengan solat Isyak (dalam waktu Isyak).”

Kata Saalim, “Bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma (yakni ayah beliau) akan melakukan hal yang sama ketika tergesa-gesa dalam suatu perjalanan. ‘Abdullah bin ‘Umar melaksanakan solat Maghrib tiga raka’at, kemudian salam, kemudian menyambung dengan Isyak dua raka’at, kemudian salam. Dan beliau tidak melaksanakan solat sunnah di antara keduanya walaupun dengan satu raka’at, dan tidak pula setelah solat Isyak, sampailah beliau qiyam di pertengahan malam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1109)

Dari hadis oleh Katsir bin Qarawanda, (merupakan penggalan dari salah satu hadis di atas) bahawa Salim bin ‘Abdillah menceritakan:

كَانَتْ عِنْدَهُ صَفِيَّةُ فَأَرْسَلَتْ إِلَيْهِ: أَنِّي فِي آخِرِ يَوْمٍ مِنَ الدُّنْيَا وَأَوَّلِ يَوْمٍ مِنَ الْآخِرَةِ، فَرَكِبَ وَأَنَا مَعَهُ فَأَسْرَعَ السَّيْرَ حَتَّى حَانَتِ الصَّلَاةُ، فَقَالَ لَهُ الْمُؤَذِّنُ: الصَّلَاةَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ فَسَارَ حَتَّى إِذَا كَانَ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ نَزَلَ فَقَالَ لِلْمُؤَذِّنِ: «أَقِمْ. فَإِذَا سَلَّمْتُ مِنَ الظُّهْرِ فَأَقِمْ مَكَانَكَ، فَأَقَامَ فَصَلَّى الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ أَقَامَ مَكَانَهُ فَصَلَّى الْعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ رَكِبَ فَأَسْرَعَ السَّيْرَ حَتَّى غَابَتِ الشَّمْسُ» فَقَالَ لَهُ الْمُؤَذِّنُ: الصَّلَاةَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ فَقَالَ: كَفِعْلِكَ الْأَوَّلِ فَسَارَ حَتَّى إِذَا اشْتَبَكَتِ النُّجُومُ نَزَلَ فَقَالَ: ” أَقِمْ، فَإِذَا سَلَّمْتُ فَأَقِمْ فَصَلَّى الْمَغْرِبَ ثَلَاثًا، ثُمَّ أَقَامَ مَكَانَهُ فَصَلَّى الْعِشَاء الْآخِرَةَ ثُمَّ سَلَّمَ وَاحِدَةً تِلْقَاءَ وَجْهِهِ، ثُمَّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمْ أَمْرٌ يَخْشَى فَوْتَهُ فَلْيُصَلِّ هَذِهِ الصَّلَاةَ

“Bahawasanya ketika aku berada bersama ‘Abdullah bin ‘Umar (ayahnya), Shofiyyah (isteri ‘Abdullah Ibnu ‘Umar) telah mengutuskan surat (mengatakan), “Sesungguhnya aku sekarang sedang berada di hari-hari terakhir di dunia dan awal-awal hari dari akhirat…”

Lalu ‘Abdullah pun lantas bergegas menaiki tunggangannya bersamaku (untuk pulang menemui isterinya) sampailah ketika mendekati waktu solat, maka mu’adzin (tukang adzan) pun mengatakan kepadanya, “Solat wahai Abu ‘Abdirrahman (Ibnu ‘Umar), namun beliau tetap meneruskan perjalanannya sampailah masuk ke waktu solat yang berikutnya (‘Ashar), beliau pun berhenti dan turun dari tunggangannya seraya berkata kepada mu’adzin, “Iqamatlah, dan apabila aku selesai dari solat Zuhur, maka iqamatlah di tempat engkau (untuk solat ‘Ashar) pula.”

Maka iqamat pun dilaungkan lalu solat Zuhur dua raka’at, kemudian salam, lalu mu’adzin pun langsung iqamat di tempatnya (untuk solat ‘Ashar pula), maka solat ‘Ashar pun dilaksanakan dua raka’at.

Kemudian beliau langsung menunggang tunggangannya dan bergegas meneruskan perjalanannya sampailah matahari pun terbenam (masuk waktu Maghrib), lalu berkatalah mu’adzin kepada ‘Abdullah (Ibnu ‘Umar), “Solat wahai Abu ‘Abdirrahman (‘Abdullah  bin ‘Umar).”

Maka jawab ‘Abdullah bin ‘Umar, “Engkau lakukanlah sebagaimana yang telah engkau lakukan awal tadi (ketika solat Zuhur dan ‘Ashar).” Lalu perjalanan diteruskan sampailah tampak bintang-bintang bertebaran (masuk waktu Isyak).

Kemudian ‘Abdullah bin ‘Umar pun berhenti dan turun dari tunggangannya seraya berkata, “Iqamatlah (untuk solat Maghrib), lalu apabila aku salam, maka iqamatlah lagi (untuk solat Isyak).” Maka solat Maghrib pun dilaksanakan tiga raka’at. Kemudian iqamat (untuk Isyak) dilaungkan di tempatnya, lalu solat Isyak pun dilaksanakan, kemudian beliau mengucapkan satu kali salam, dan menghadapkan wajahnya (kepada kami) kemudian beliau berkata:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila kalian berhadapan dengan suatu urusan penting yang menyibukkan yang kalian risau akan terluput darinya, maka laksanakanlah solat seperti ini (yakni solat tersebut dijamakkan).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 597)

Dari Naafi’, beliau berkata:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ، اسْتُصْرِخَ عَلَى صَفِيَّةَ وَهُوَ بِمَكَّةَ، فَسَارَ حَتَّى غَرَبَتِ الشَّمْسُ، وَبَدَتِ النُّجُومُ، فَقَالَ: «إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا عَجِلَ بِهِ أَمْرٌ فِي سَفَرٍ، جَمَعَ بَيْنَ هَاتَيْنِ الصَّلَاتَيْنِ، فَسَارَ حَتَّى غَابَ الشَّفَقُ، فَنَزَلَ فَجَمَعَ بَيْنَهُمَا

“Bahawa ketika sedang berada di Makkah, Ibnu ‘Umar dikhabarkan tentang Shofiyyah (isteri beliau) yang sedang nazak. Lantas Ibnu ‘Umar pun langsung bergegas (pulang menuju Madinah) sampailah matahari telah terbenam, dan bintang-bintang telah tampak bertebaran. Lalu beliau pun berkata:

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila sedang tergesa-gesa untuk suatu urusan di dalam safar, beliau akan menjamakkan antara dua solatnya.”

Lalu beliau pun meneruskan perjalanan sampailah cahaya merah menghilang (tamatnya waktu Maghrib dan masuknya waktu Isyak), lalu beliau pun turun (dari tunggangannya) kemudian beliau menjamakkan kedua-dua solatnya (Maghrib dengan Isyak – dalam waktu Isyak).” (Sunan Abi Dawud, no. 1207)

Dari hadis Ibn Syihab dari Anas radhiyallahu ‘anhu dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau (Anas) berkata:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا عَجِلَ بِهِ السَّيْرُ يُؤَخِّرُ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ الْعَصْرِ فَيَجْمَعُ بَيْنَهُمَا، وَيُؤَخِّرُ الْمَغْرِبَ حَتَّى يَجْمَعَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ الْعِشَاء حَتَّى يَغِيبَ الشَّفَقُ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila beliau sedang dalam perjalanan yang tergesa-gesa (kerana ingin cepat), maka beliau akan melewatkan solat Zuhur hingga masuk ke waktu ‘Ashar, lalu beliau pun menjamakkan kedua-dua solat tersebut (dalam waktu ‘Ashar). Dan beliau juga akan melewatkan solat Maghrib sampailah cahaya merah di ufuk menghilang tidak kelihatan (yakni telah masuk waktu Isyak), lalu beliau pun menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak (dalam waktu Isyak tersebut).” (Sunan An-Nasaa’i, no. 594)

Dari Saalim, dari ayahnya (yakni Ibn ‘Umar), beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ إِذَا جَدَّ بِهِ السَّيْرُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat maghrib dengan isyak apabila ingin mempercepatkan perjalanan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1106)

Dalam riwayat yang lain, Ibn ‘Umar berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ إِذَا جَدَّ بِهِ السَّيْرُ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjamakkan solat maghrib dengan isyak apabila ingin mempercepatkan perjalanan.” (Shahih Muslim, no. 703)

Dari Jabir bin Zaid, dari Ibnu ‘Abbas, bahawa Jabir bin Zaid berkata:

أَنَّهُ صَلَّى بِالْبَصْرَةِ الْأُولَى، وَالْعَصْرَ لَيْسَ بَيْنَهُمَا شَيْءٌ، وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاء لَيْسَ بَيْنَهُمَا شَيْءٌ فَعَلَ ذَلِكَ مِنْ شُغْلٍ». وَزَعَمَ ابْنُ عَبَّاسٍ «أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْأُولَى، وَالْعَصْرَ ثَمَانِ سَجَدَاتٍ لَيْسَ بَيْنَهُمَا شَيْءٌ

“Bahawa Ibnu ‘Abbas pernah solat ketika di Bashrah (dalam keadaan muqim, bukan safar) dengan menjamakkan Zuhur dengan ‘Ashar tanpa diiringi dengan sebarang solat sunnah (rawatib) di antara keduanya, demikian pula Maghrib dengan Isyak juga dijamakkan tanpa diiringi solat sunnah di antara keduanya. Beliau lakukan demikian adalah disebabkan oleh suatu yang sangat menyibukkan.

Bahawasanya menurut beliau (Ibnu ‘Abbas), beliau pernah solat di Madinah (dalam keadaan mukim) bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan menjamakkan Zuhur dan ‘Ashar tanpa diiringi atau diselangi dengan sebarang sujud (solat sunnah) sedikit pun.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 590. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Imam An-Nasaa’i rahimahullah (Wafat: 303H) membuat bab dengan hadis ini, “Menjamakkan solat ketika muqim.”

Pada hadis ini menjelaskan menjamakkan dua solat ke dalam salah satu waktu itu bukan khusus ketika safar, namun turut dibolehkan ketika sedang dalam keadaan yang sukar, sulit, atau tertimpa kesibukan.

Pada sebahagian hadis-hadis yang telah dikemukakan turut menjelaskan bahawa solat-solat sunnah rawatib ketika di dalam safar (atau ketika solat dijamakkan) itu tidaklah disunnahkan, kerana dari hadis-hadis ini dan juga hadis-hadis yang sebelumnya di atas menjelaskan ianya ditinggalkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ditinggalkan pula oleh para sahabat beliau. Namun, solat sunnah yang tetap mereka lazimi ketika sedang safar adalah solat di malam hari dan solat sunnah dua raka’at sebelum fardhu Subuh.Syarah_Riyadhus_Shalihin_Syaikh_Salim_1

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menjelaskan:

وكان من هديه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في سفره الاقتصارُ على الفرض، ولم يُحفظ عنه أنه صلى سُنة الصلاة قبلَها ولا بعدَها، إلا ما كان من الوِتر وسنة الفجر، فإنه لم يكن ليدعهما حَضراً، ولا سفراً. قال ابنُ عمر وقد سئل عن ذلَك: فقال: صحبتُ اَلنبى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فلم أره يُسبِّح في السفر، وقال الله عز وجل: {لَقَدْ كَانَ لَكُمْ في رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ} [الأحزاب: 21]، ومراده بالتسبيح: السنة الراتبة، وإلا فقد صحّ عنه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أنه كان يُسبِّح على ظهر راحلته حيث كان وجهه. وفي “الصحيحين”، عن ابن عمر، قال: كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصلي في السفر على راحلته حيثُ توجهت، يُومئ إيماءً صلاةَ الليل، إلا الفرائضَ ويُوتر على راحلته

“Termasuk petunjuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di ketika dalam safar adalah mencukupkan dengan mengerjakan solat yang fardhu. Tidak dinukil bahawa beliau mengerjakan solat sunnah sama ada sebelum atau pun setelah solat fardhu melainkan solat witir dan solat sunnah Subuh. Kedua solat ini tidak pernah ditinggalkan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sama ada ketika mukim atau pun safar.

Ibnu ‘Umar berkata ketika ditanya mengenai perkara tersebut, “Aku menemani Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka aku tidak melihat beliau melaksanakan solat sunnah di ketika sedang safar, sementara Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:

“Telah ada bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik.” (Surah Al-Ahdzab, 33: 21)

Maksud solat sunnah di sini adalah sunnah rawatib. Kerana telah dinukil melalui jalur yang sahih bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat sunnah di atas haiwan tunggangannya ke mana sahaja haiwan tersebut menghadap (selain solat sunnah rawatib). Dalam Ash-Shahihain (dua kitab Shahih) daripada Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

Biasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di atas haiwan tunggangannya ketika dalam safar dengan menghadap ke mana sahaja haiwan tersebut menghadap. Beliau melakukannya dengan isyarat untuk solat malam, melainkan solat-solat fadhu. Dan beliau juga solat witir di atas haiwan tunggangannya.” (Zaad Al-Ma’ad, 1/474)

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ العَصْرِ، ثُمَّ يَجْمَعُ بَيْنَهُمَا، وَإِذَا زَاغَتْ صَلَّى الظُّهْرَ ثُمَّ رَكِبَ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar rumah (untuk safar) sebelum matahari tergelincir (yakni sebelum masuk waktu Zuhur), beliau akan melewatkan solat Zuhur sampailah masuk waktu ‘Ashar, lalu kemudian beliau jamakkan kedua-duanya (dalam waktu ‘Ashar).

Tetapi jika beliau keluar setelah matahari tergelincir, beliau pun solat Zuhur terlebih dahulu lalu kemudian langsung menaiki tunggangannya (dan memulakan perjalanannya).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1111. Muslim, no. 704. Abu Dawud, no. 1218)

Dalam riwayat yang lain:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ، أَخَّرَ الظُّهْرَ إِلَى وَقْتِ العَصْرِ، ثُمَّ نَزَلَ فَجَمَعَ بَيْنَهُمَا، فَإِنْ زَاغَتِ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَرْتَحِلَ صَلَّى الظُّهْرَ ثُمَّ رَكِبَ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar meninggalkan rumah (untuk safar) sebelum matahari tergelincir, beliau akan melewatkan solat Zuhur ke waktu ‘Ashar, kemudian beliau turun (dari haiwan tunggangannya) lalu beliau pun menjamakkan keduanya (solat Zuhur dengan ‘Ashar).

Tetapi jika matahari telah tergelincir (yakni Zuhur telah masuk) sebelum beliau memulakan perjalanan, maka beliau pun laksanakan solat Zuhur lalu kemudian barulah menunggang (dan memulakan perjalanan).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1112)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) membuat bab bagi hadis ini dengan judul:

بَابُ يُؤَخِّرُ الظُّهْرَ إِلَى العَصْرِ إِذَا ارْتَحَلَ قَبْلَ أَنْ تَزِيغَ الشَّمْسُ

“Bab melewatkan solat Zuhur ke dalam waktu ‘Ashar apabila keluar memulakan perjalanan sebelum matahari tergelincir.”

Berdasarkan dalil ini, bagi sesiapa yang memilih untuk menjamakkan solat ketika hendak memulakan safar, maka yang afdhalnya adalah sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam hadis ini. Yakni jika dia keluar untuk safar sebelum masuknya waktu solat yang pertama, maka solat yang pertama dianjakkan sehingga masuk ke waktu solat yang kedua, lalu kedua-dua solat dijamakkan dalam waktu solat yang kedua.

Sekiranya dia keluar ketika waktu solat yang pertama telah tiba, maka yang afdhalnya adalah dia melaksanakan solat terlebih dahulu (tanpa menjamakkan) lalu kemudian barulah dia keluar (untuk safar).

 

Wallaahu a’lam.


[1] Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

فَلَيْسَ الْقَصْرُ كَالْجَمْعِ بَلْ الْقَصْرُ سُنَّةٌ رَاتِبَةٌ وَأَمَّا الْجَمْعُ فَإِنَّهُ رُخْصَةٌ عَارِضَةٌ وَمَنْ سَوَّى مِنْ الْعَامَّةِ بَيْنَ الْجَمْعِ وَالْقَصْرِ فَهُوَ جَاهِلٌ بِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِأَقْوَالِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ

“Dan tidaklah qashar itu seperti jamak, tetapi qashar itu merupakan sunnah yang berlaku khusus bagi orang-orang safar. Adapun menjamakkan dua solat, ia adalah rukhshah bagi yang mengalami keudzuran, dan siapa yang dari kalangan awam yang menyamakan antara jamak dengan qashar, maka dia jahil terhadap sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan terhadap perkataan para ulama kaum muslimin.” (Majmu’ Al-Fatawa, 2/761)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) juga:

وَالْقَصْرُ سَبَبُهُ السَّفَرُ خَاصَّةً لَا يَجُوزُ فِي غَيْرِ السَّفَرِ وَأَمَّا الْجَمْعُ فَسَبَبُهُ الْحَاجَةُ وَالْعُذْرُ فَإِذَا احْتَاجَ إلَيْهِ جَمَعَ فِي السَّفَرِ الْقَصِيرِ وَالطَّوِيلِ وَكَذَلِكَ الْجَمْعُ لِلْمَطَرِ وَنَحْوِهِ وَلِلْمَرَضِ وَنَحْوِهِ وَلِغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ الْأَسْبَابِ فَإِنَّ الْمَقْصُودَ بِهِ رَفْعُ الْحَرَجِ عَنْ الْأُمَّةِ

“Sebab dibolehkan untuk mengqashar solat itu adalah khusus kerana safar. Tidak boleh mengqasharkan solat untuk selain dari safar.

Adapun menjamakkan solat, sebabnya adalah kerana wujudnya hajat (keperluan yang mendesak) dan ‘udzur (yang memberatkan). Jika seseorang perlu kepada jama’ di saat safar, maka dia boleh untuk menjamakkan solat sama ada pada safar yang pendek mahupun yang panjang. Dan demikianlah juga menjamakkan solat dengan sebab hujan lebat dan seumpamanya, atau dengan sebab sakit dan yang seumpamanya dari selain yang demikian dari sebab-sebab (yang memberatkan). Kerana maksud dari tujuan dibolehkan jama’ itu adalah bagi mengangkat kesukaran dari ummah (kaum muslimin).” (Majmu’ Al-Fatawa, 22/292)

[2] Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَهَذَا يُبَيِّنُ أَنَّ الْجَمْعَ لَيْسَ مِنْ سُنَّةِ السَّفَرِ كَالْقَصْرِ؛ بَلْ يُفْعَلُ لِلْحَاجَةِ سَوَاءٌ كَانَ فِي السَّفَرِ أَوْ الْحَضَرِ فَإِنَّهُ قَدْ جَمَعَ أَيْضًا فِي الْحَضَرِ لِئَلَّا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ . فَالْمُسَافِرُ إذَا احْتَاجَ إلَى الْجَمْعِ جَمَعَ سَوَاءٌ كَانَ ذَلِكَ لِسَيْرِهِ وَقْتَ الثَّانِيَةِ أَوْ وَقْتَ الْأُولَى وَشَقَّ النُّزُولُ عَلَيْهِ أَوْ كَانَ مَعَ نُزُولِهِ لِحَاجَةٍ أُخْرَى : مِثْلَ أَنْ يَحْتَاجَ إلَى النَّوْمِ وَالِاسْتِرَاحَةِ وَقْتَ الظُّهْرِ وَوَقْتَ الْعِشَاءِ فَيَنْزِلُ وَقْتَ الظُّهْرِ وَهُوَ تعبان سَهْرَانُ جَائِعٌ مُحْتَاجٌ إلَى رَاحَةٍ وَأَكْلٍ وَنَوْمٍ فَيُؤَخِّرُ الظُّهْرَ إلَى وَقْتِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَحْتَاجُ أَنْ يُقَدِّمَ الْعِشَاءَ مَعَ الْمَغْرِبِ وَيَنَامَ بَعْدَ ذَلِكَ لِيَسْتَيْقِظَ نِصْفَ اللَّيْلِ لِسَفَرِهِ فَهَذَا وَنَحْوُهُ يُبَاحُ لَهُ الْجَمْعُ. وَأَمَّا النَّازِلُ أَيَّامًا فِي قَرْيَةٍ أَوْ مِصْرٍ وَهُوَ فِي ذَلِكَ كَأَهْلِ الْمِصْرِ : فَهَذَا وَإِنْ كَانَ يَقْصُرُ لِأَنَّهُ مُسَافِرٌ فَلَا يَجْمَعُ

“Ini adalah penjelasan bahawa menjamakkan solat ini bukanlah merupakan sunnah yang bersifat khusus ketika safar sebagaimana qashar. Akan tetapi menjamakkan solat ini boleh dilakukan ketika memiliki keperluan (yang memberatkan), sama ada ketika sedang dalam safar mahu pun mukim. Ini adalah kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah menjamakkan solat ketika di luar dari safar (yakni ketika bukan dalam perjalanan). Yang demikian ini adalah dalam rangka untuk memberi kemudahan kepada umatnya (di ketika tertimpa sesuatu yang memberatkan).

Maka, (dengan demikian) orang-orang yang safar (musafir) jika dia perlu kepada jamak maka dia boleh melakukannya, sama ada safarnya tersebut berlangsung pada waktu solat yang kedua mahupun pertama, dan ketika dia merasa payah untuk singgah, atau ketika mana turunnya dari kenderaan (berhenti untuk singgah di suatu tempat) digunakan untuk keperluan yang lainnya semisal tidur atau berehat pada waktu Zuhur atau Isyak.

Maka, apabila dia singgah pada waktu Zuhur kerana keletihan, perlu kepada tidur, atau kerana lapar sehingga dia benar-benar memerlukan rehat, makan, atau tidur, maka dia boleh memilih untuk melewatkan solat Zuhur dan melaksanakannya di waktu ‘Ashar (yakni menjamakkannya di waktu ‘Ashar).

Kemudian dia boleh pula mengawalkan solat Isyak dengan menjamakkanya ke dalam waktu Maghrib agar dapat menggunakan waktu Isyak untuk tidur lebih awal sehingga dia mampu untuk bangun di tengah malam untuk kembali meneruskan perjalanannya.

Orang yang melakukan hal tersebut dan yang semisal dengannya boleh menjamakkan solat. Adapun orang yang singgah beberapa hari di suatu perkampungan atau kota, yang dia mendapatkan kemudahan yang sama sebagaimana penduduk di tempat tersebut, maka walaupun dia boleh mengqasharkan solat kerana dia masih dalam makna safar, namun dia tidak sepatutnya menjamakkan solatnya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/64-65)