Negara Islam Menurut Ahlus Sunnah wal-Jamaah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Memiliki tanah dan kawasan tempat bernaung adalah salah satu lambang atau tanda kewujudan sesebuah negara. Setiap negara perlu memiliki kawasan (tanah) yang meliputi ruang daratan, bumi atau lautan, serta udara. Tanah adalah unsur utama dalam pembinaan sesebuah negara. Sesuatu kelompok masyarakat tidak akan dikatakan memiliki daulah dan kuasa pemerintahan selagi mereka tidak memiliki tanah.

Penguasaan terhadap tanah adalah lambang berdirinya sesebuah negara sebagai tempat penduduknya berlindung menjalani kehidupan serta sebagai pusat menegakkan ketuanannya. Fungsi tanah tidak hanya menyentuh aspek geografi, tetapi juga berperanan dalam membina kekuatan maknawi dan menonjolkan ciri-ciri peribadinya. Setelah penguasaan terhadap tanah dapat difahami, barulah ia pergi kepada konteks keperibadian yang ditonjolkan olehnya yang sekaligus menentukan sifat dan wajah sesebuah negara.

Asalnya, definisi atau penentuan sesebuah negara sebagai negara Islam tidak disebutkan secara khusus melalui al-Qur’an mahupun as-sunnah. Namun, dengan bertunjangkan prinsip-prinsip umum yang dijelaskan oleh dalil-dalil nabawi dan penegasan para ulama Ahli Sunnah wal-Jama’ah, maka kita akan dapat lihat bahawa sesebuah Negara itu adalah Negara atau wilayah Islam (Daar al-Islam) apabila ia dipimpin dan dikuasai oleh umat Islam, pemimpinnya muslim, dan syi’ar solat bebas dilaksanakan di dalamnya tanpa sekatan. Kriteria asas ini kemudian dikuatkan lagi dengan majoriti penduduknya yang teguh berpegang kepada agama dan perundangan syari’ah pula ditegakkan di dalamnya.

Dasar paling asas ini dapat dilihat melalui sejarah pembentukan kota Islam Madinah selaku Negara Islam pertama oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ketika baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki kota Madinah, perkara pertama yang ditegakkan oleh beliau adalah syi’ar-syi’ar solat. Ini difahami melalui langkah pertama beliau membina masjid Nabawi diikuti seruan azan. Setelah fasa tersebut berlangsung, Rasulullah bertindak mempersaudarakan kaum anshar dan muhajirin pula sebagai langkah awal semaian benih-benih perpaduan di kalangan umat Islam. Seterusnya berlaku pula perjanjian keamanan dengan golongan bukan Islam sehingga akhirnya Madinah terus berkembang sebagai sebuah kota Islam. Peristiwa bersejarah ini dapat dihayati melalui pelbagai kitab-kitab Sirah yang kredibel, baik yang terdahulu atau susunan masa kini.

Apabila kriteria asas ini dapat difahami, suara-suara sumbang pengkafiran dan penafian keislaman terhadap sesebuah negara yang dikuasai dan dipimpin oleh umat Islam tidak sepatutnya berlaku. Perlu kita fahami bahawa selagi seseorang pemimpin muslim menegakkan syi’ar solat dan masih menzahirkan keislamannya maka ia tetap wajib ditaati dan negara yang dipimpinnya adalah negara Islam sekalipun mungkin ia bertindak zalim serta berlaku fasiq. Ini kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengkafirkan seseorang atas alasan semata-mata zalim dan fasiq. Maka, begitu juga dengan status sesebuah negara yang ia pimpin. Lebih-lebih lagi dalam masa sama, syari’at sendiri telah menjelaskan kaedah bermu’amalah dengan pemerintah sama ada yang adil mahupun sebaliknya. Dan perkara ini telah penulis jelaskan melalui beberapa siri tulisan yang lain.

Persoalan ini perlu dikembalikan kepada kaedah ukur yang benar. Di mana bagi seseorang muslim yang zalim dan fasiq, ia masih tetap dianggap seorang muslim selagi mana ia melaksanakan solat dan menzahirkan keislamannya. Demikian juga bagi sesebuah negara, ia tidak dianggap berstatus kafir hanya disebabkan pemimpinnya yang zalim atau fasiq, atau dalam sistem pentadbirannya tidak melaksanakan sepenuhnya dari hukum-hukum Allah seperti perundangan hudud, ekonomi Islam, atau selainnya atas sebab-sebab (atau kekangan) yang tidak dapat dielakkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

“Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Di setiap kali ikatannya terlepas, ia diikuti oleh manusia (ikatan seterusnya akan terlepas). Dan yang pertama kali terlepas adalah hukum (perundangan) dan yang terakhir sekali adalah solat.” (Musnad Ahmad, no. 22160. Isnadnya jayyid menurut Syu’aib Al-Arnauth)

Berdasarkan hadis ini menunjukkan bahawa hukum Allah yang terpenting sekali dalam penzahiran keislaman adalah syi’ar solat. Dan batas ukuran inilah yang menjadi titik penting dalam penzahiran keperibadian seseorang Muslim, sekaligus membezakan di antara kafir dengan muslim. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ

“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Shahih Muslim, no. 82)

Ini mudah difahami kerana seseorang pemimpin dan pentadbiran sesebuah negara tidak bersifat maksum. Mereka dan kita secara umumnya sentiasa terdedah kepada pelbagai kekurangan dan kelemahan yang perlu sama-sama diperbaiki dan diperbetulkan. Bukan untuk sentiasa dikecam dan dikritik tanpa mahu dibina.

Persoalan ini juga antaranya dapat diteliti berdasarkan dalil-dalil tentang kewajiban mentaati pemerintah dan wujudnya larangan memerangi, menentang, dan menzahirkan sifat kepembangkangan kepada para pemimpin selagi mana mereka (para pemimpin) menzahirkan keislaman dan tetap melaksanakan solat. Dalil-dalil dalam persoalan ini saling berkait-rapat dengan dalil-dalil yang membentuk prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal-Jama’ah dalam mentaati pemerintah. InsyaAllah persoalan ini akan diperincikan dalam tulisan seterusnya.

Walau bagaimanapun secara ringkasnya di antara dalil utama yang digunakan dalam bab ini adalah sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّهُ يُسْتَعْمَلُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ، فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ، فَمَنْ كَرِهَ فَقَدْ بَرِئَ، وَمَنْ أَنْكَرَ فَقَدْ سَلِمَ، وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَلَا نُقَاتِلُهُمْ؟ قَالَ: لاَ، مَا صَلَّوْا، أَيْ مَنْ كَرِهَ بِقَلْبِهِ وَأَنْكَرَ بِقَلْبِهِ

“Akan diangkat para pemerintah untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian kamu mengingkarinya (kerana ia telah melakukan kejahatan). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh kepada keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh menentangnya?” Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat. Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Shahih Muslim, no. 1854)

Untuk kefahaman hadis ini, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan perkataan Al-Qadhi ‘Iyadh:

أجمع العلماء على أن الإمامة لا تنعقد لكافر، وعلى أنه لو طرأ عليه الكفر انعزل. قال: وكذا لو ترك إقامة الصلوات والدعاء إليها

“Para ‘ulama telah ijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir dan apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka ia dilucutkan (sebagai pemimpin). Dan beliau turut menyatakan, “Begitu juga apabila ia meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya (seruan solat).” (Syarh Shahih Muslim, 12/229)

Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari al-Hanafi (Wafat: 1014H) ketika menjelaskan hadis tersebut, beliau berkata:

إقامتهم الصلاة فيما بينكم لأنها علامة اجتماع الكلمة في الأمة قال الطيبي فيه إشعار بتعظيم أمر الصلاة وإن تركها موجب لنزع اليد عن الطاعة

“Mereka menegakkan solat bersama-sama kamu, kerana perkara tersebut merupakan tanda perpaduan bagi ummat (masyarakat). Telah berkata ath-Thiibi, “Pada hadis tersebut terdapat maklumat yang menunjukkan keagungan persoalan solat di mana apabila ia ditinggalkan akan memberi kesan (akibat) terlepasnya tangan dari ketaatan.” (Mirqah Al-Mafatih Syarh Misykah Al-Mashabih oleh ‘Ali al-Qari, Kitab Al-Imarah wal-Qadha’, 11/307 – Al-Meshkah)

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) mengingatkan melalui katanya sebagaimana dinukil oleh As-Suyuthi:

والسمع لأولي الأمر ما داموا يصلون والموالاة لهم، ولا يخرج عليهم بالسيف

“Dan hendaklah kamu tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan hendaklah memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan senjata (menjadi pemberontak) terhadap mereka.” (Al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’ oleh As-Suyuthi, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman – Daar Ibnul Qayyim)

Hadis ini memberi kefahaman bahawa suatu masa nanti akan berlaku pengangkatan kepimpinan yang dibenci di kalangan umat Islam.

Keduanya, hadis ini memberi indikasi bahawa sesebuah pemerintahan Islam itu tidak tergugur (dan tidak boleh dijatuhkan) selagi mana syi’ar solat ditegakkan, walaupun padanya terdapat beberapa bentuk kemungkaran dan kefasikan.

Ketiganya, hadis ini membatalkan sebahagian pandangan yang menyatakan bolehnya menzahirkan penentangan, kepembangkangan, dan menafikan hak kepimpinan seorang pemimpin di negaranya disebabkan kelemahan tertentu, serta gagal melaksanakan perundangan syari’ah seperti hudud dan qishash.

Manakala sebahagian pandangan yang lain ada yang menafikan keabsahan kepimpinan sesebuah negara semata-mata padanya tidak ditegakkan Daulah Khilafah. Pandangan tersasar dan simplistik ini sebenarnya mendekati ciri-ciri kelompok sesat Khawarij, Syi’ah (Rafidhah), dan Mu’tazilah pada era awal Islam.

Seterusnya, bentuk kefahaman tentang kriteria asas sesebuah negara Islam ini juga dapat diambil berdasarkan penegasan para ulama. Di antaranya adalah penjelasan Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) yang mengatakan:

“Bahawasanya penilaian terhadap sesebuah negara sama ada ia negara kafir atau iman (Islam) atau fasiq, ianya bergantung kepada sifat penduduknya. Jika penduduk negara tersebut adalah orang-orang mukmin, maka itu adalah negara Islam (aulia Allah) pada masa tersebut. Jika penduduknya adalah orang-orang kafir maka itu adalah negara kafir pada masa tersebut. Jika penduduknya adalah orang-orang fasiq, maka itu adalah negara fasiq pada masa tersebut. Dan sekiranya berlaku suatu masa penduduknya berganti, maka status negaranya juga berganti.

Sebagaimana sesebuah masjid apabila ditukar menjadi tempat memproses khamar (arak), atau tempat untuk bersuka-ria (berpesta), atau tempat kesesatan, atau gereja di mana padanya tempat mensyirikkan Allah. Begitulah juga rumah memperoses arak dan pusat hiburan (tempat maksiat) dan selainnya apabila dijadikan (ditukar menjadi) masjid yang padanya tempat mengabdikan diri (beribadah) kepada Allah akan menjadi mulia dan terpuji berdasarkan apa yang diperlakukan padanya. Begitu juga sebagaimana seseorang lelaki yang soleh berubah menjadi fasiq, dan yang kafir pula berubah menjadi mukmin (beriman) atau mukmin berubah menjadi kafir atau yang sewaktu dengannya, semuanya itu adalah bergantung pada ciri-ciri yang menghiasi dirinya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 18/282 – Daar al-Wafaa’)

Kata Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

قال الجمهور: دار الإسلام هي التي نزلها المسلمون وجرت عليها أحكام الإسلام وما لم تجر عليه أحكام الإسلام لم يكن دار إسلام وإن لاصقها

“Jumhur ulama berkata: Daar al-Islam (negara atau wilayah Islam) adalah negara yang dikuasai oleh kaum muslimin dan berlaku padanya hukum-hukum Islam. Dan negara yang sama sekali tidak berlangsung padanya hukum-hukum Islam, maka ia bukan termasuk Daar al-Islam walaupun ia berhubung langsung (dengan negara Islam).” (Ahkaam Ahl Adz-Dzimmah, 1/268)

Al-Imam Al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) berkata:

لِأَنَّ الْأَذَانَ هُوَ الْعَلَامَةُ الدَّالَّةُ الْمُفَرِّقَةُ بَيْنَ دَارِ الْإِسْلَامِ وَدَارِ الْكُفْرِ، وكان رسول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً قَالَ لَهُمْ: (إذا سَمِعْتُمُ الْأَذَانَ فَأَمْسِكُوا وَكُفُّوا وَإِنْ لَمْ تَسْمَعُوا الْأَذَانَ فَأَغِيرُوا- أَوْ قَالَ- فَشُنُّوا الْغَارَةَ). وَفِي صَحِيحِ مُسْلِمٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرَ، فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلَّا أَغَارَ

Bahawasanya adzan merupakan sebahagian dari tanda yang menunjukkan perbezaan antara Daar al-Islaam (negara Islam) dengan Daar al-Kufr (negara Kafir).

Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila mengutus pasukan perang, maka beliau berkata kepada mereka: “Apabila kalian mendengar dari mereka adzan, maka tahanlah dan cegahlah (jangan menyerang). Tetapi apabila kalian tidak mendengar adzan, maka seranglah mereka – atau beliau berkata:

“Seranglah dari segala arah (apabila tidak kedengaran adzan dari mereka).” Dalam Shahih Muslim disebutkan: Dahulu Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam pernah hendak menyerang suatu daerah ketika terbit fajar. Beliau menunggu suara adzan, jika beliau mendengar suara adzan maka beliau menahan diri. Tetapi jika beliau tidak mendengar, maka beliau pun menyerang.” (Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an oleh Al-Qurthubi, 6/225-226)

Lebih awal lagi, penegasan oleh Imam Abu Bakr al-Isma’ili rahimahullah (Wafat: 371H):

ويرون الدار دار الإسلام لا دار الكفر كما رأته المعتزلة، ما دام النداء بالصلاة والإقامة ظاهرين وأهلها ممكنين منها آمنين

“Dan mereka (Ahli Sunnah wal-Jama’ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah negara adalah negara Islam bukan negara kafir sebagaimana pandangan al-Mu’tazilah, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya) pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman.” (I’tiqad A’immatil Hadits oleh Abu Bakr Al-Isma’ili, m/s. 31, Bab: Daar Al-Islam – Maktabah Syamilah)

Dari kalangan ulama mutaakhirin, Al-Imam Muhammad bin Ali Asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1255H) turut menjelaskan:

الاعتبار بظهور الكلمة فإن كانت الأوامر والنواهي في الدار لأهل الإسلام بحيث لا يستطيع من فيها من الكفار أن يتظاهر بكفره إلا لكونه مأذونا له بذلك من أهل الإسلام فهذه دار إسلام ولا يضر ظهور الخصال الكفرية فيها لأنها لم تظهر بقوة الكفار ولا بصولتهم كما هو مشاهد في أهل الذمة من اليهود والنصارى والمعاهدين الساكنين في المدائن الإسلامية وإذا كان الأمر العكس فالدار بالعكس

“Ukuran bagi menentukan sesebuah negara Islam itu adalah dizahirkankan (tampak) tanda-tanda agama, iaitu perundangannya sama ada yang bersifat perintah atau larangan di bawah kawal-selia umat Islam, manakala orang kafir tidak menampakkan (menzahirkan) kekufurannya melainkan setelah mendapat kebenaran daripada penduduk negara Islam tersebut. Maka dengan keadaan yang demikian, sesebuah wilayah itu disebut sebagai negara Islam dan keberadaan tanda atau syi’ar kekufuran yang wujud (kelihatan) tidak menafikan penamaan ini kerana ia bukan disebabkan usaha dan kekuatan dari orang-orang kafir sebagaimana ahludz dzimmah yang mendiami negara atau bandar umat Islam dari kalangan orang Yahudi dan Nashara serta sekutu mereka yang tunduk (kepada peraturan) berlindung dalam naungan negara Islam. Sekiranya keadaan ini adalah sebaliknya, maka status negara juga adalah begitu.” (As-Sailul Jarrar Al-Mutadafiq ‘ala Hada’iqil Azhar oleh Asy-Syaukani, 1/976 – Maktabah Syamilah)

Dengan demikian, cerminan atau status sesebuah negara adalah merujuk kepada amalan pemimpin dan masyarakat yang mendiaminya. Dari sudut asasnya, sesebuah negara adalah negara Islam apabila ia dikuasai dan dipimpin oleh pemimpin muslim, dan syi’ar solat dipraktikkan dengan bebas. Status sesebuah negara tidak dianggap kafir hanya semata-mata di dalamnya tidak menegakkan hukum hudud atau perundangan Islam lainnya atas sebab kelemahan tertentu. Ia juga tidak boleh dianggap sebagai negara kafir semata-mata kerana dipimpin oleh pemimpin yang zalim dan fasiq.

Kelancangan dalam melabelkan sesebuah negara sebagai negara kafir (Daar al-Harb) atau tidak Islam atau sekuler, ditakuti kelak boleh mengakibatkan lahirnya tanggapan atau pandangan bahawa halalnya memerangi sesebuah negara Islam (termasuk Malaysia), sekaligus menimbulkan hilangnya kredibiliti, munculnya bibit-bibit pemberontakan, kecelaruan, ketegangan, masuknya ideologi-ideologi sesat yang lebih dahsyat, dan suasana bertukar huru-hara sebagaimana yang banyak berlaku pada negara-negara luar tertentu.

Secara logiknya, jika sesebuah negara itu bukan negara Islam; Contohnya sekiranya keislaman negara Malaysia ini mahu ditolak, maka apakah relevannya lagi tuntutan perundangan hudud dilakukan? Jabatan-jabatan agama diwujudkan? Masjib-masjid pula dibina dengan besar dan umat Islam bebas mengimarahkannya? Institusi-institusi agama juga turut disemarakkan dengan gah? Institusi zakat berlangsung dengan baik. Bukankah perbincangan-perbincangan tentang Islam juga dapat berlangsung dengan baik. Mahukah kita jika hak-hak seperti ini dimusnahkan akibat dari sikat rakus dan terburu-buru kita sendiri dalam mengkafirkan negara dan pemerintah kaum muslimin?

Bukankah kerana negara ini adalah negara Islam, maka perkara tersebut dapat kita langsungkannya?

Sebaliknya, jika Malaysia diiktiraf sebagai bukan negara Islam, tidak bimbangkah kita nanti akan ada tuntutan untuk membina institusi atau jabatan-jabatan agama selain dari agama Islam? Hak-hak orang kafir pula akan disama-ratakan dengan hak-hak orang Islam sebagaimana yang sedang hangat diperkatakan sekarang tentang ancaman “perjuangan hak asasi manusia” dan “hak kebebasan bersuara”? Atau lebih buruk, mungkin akan dinafikan sama sekali.

Dari itu, setiap kelemahan dan kelompangan yang terdapat dalam sesebuah negara umat Islam itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai dalil untuk bermudah-mudah melabelkan kafir atau tidak Islam terhadapnya. Sebaliknya, setiap kelemahan dan kelompangan tersebut perlulah sungguh-sungguh diperbaiki dan ditopang secara bersama oleh para pemimpin, para ulama, dan masyarakatnya dengan kaedah-kaedah yang syar’i lagi berhikmah.

Bahkan disebutkan oleh Asy-Syarbini rahimahullah dalam Mughni Al-Muhtaaj tentang salah satu i’tiqad kaum sesat khawarij adalah:

اعتقاد الخوارج: أن دار الإمام [يعني إمام المسلمين] صارت بظهور الكبائر فيها دار كفر وإباحة. فلذلك طعنوا في الأئمة، ولم يصلوا خلفهم، وتجنبوا الجمعة والجماعة

“Menurut fahaman ‘aqidah khawarij: bahawasanya negara, iaitu pemerintahan Islam itu menjadi daar al-Kufr (negara kafir) dengan terzahirnya dosa-dosa besar di dalamnya dan dibolehkan (untuk menentangnya).

Oleh sebab itulah mereka (kaum khawarij) mencela para pemimpin (kaum muslimin) yang berbuat dosa, kaum khawarij enggan solat di belakang mereka (di belakang pemerintah), dan menjauhkan diri dari melaksanakan solat Juma’at dan berjama’ah (bersama-sama kaum muslimin dan pemerintahnya).” (Mughni Al-Muhtaaj, 4/124)

Dan i’tiqad kaum khawarij ini memang jelas bertentangan dengan apa yang difahami oleh ahli sunnah wal-jama’ah! InsyaAllah ini akan dibentangkan dengan lebih terperinci dalam perbahasan seterusnya nanti.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Anonymous
    January 6, 2011 at 10:47 pm

    salam
    faedah untuk mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang isytihar Islam sebagai agama rasminya adalah membolehkan Kerajaan mengambil dana dari pembayar cukai untuk pembangunan umat Islam seperti gaji pegawai ugama, jabatan agama, masjid dll tanpa tantangan kuat dari non muslim.
    Raja Melayu dan DYMM mempunyai wibawa melantik wali hakim untuk uruan munakahat, apajadi jika wali tak diiktiraf apa jadi pada institusi keluarga kita, tentu porak poranda.
    Cuma bezanya yg membangkang tu punyai parti, hizb yg matlamatnya merebut amanah memimpin rakyat dan mengurus agama. Bukankah nabi tidak suka memberi jawatan kepada yg meminta yg tak layak tapi hanya menonjolkan diri.Yg ditekan adalah amanah ini akan disoal di akhirat nanti.
    Apakah merebut amanah jawatan pemerintah ini ada motivasi dunia atau untuk dakwah dan melaksanakan syariat?
    Kenapa tidak bersyukur dengan tahap yg ada dan buat pembaikan ikut kemampuan saja, tanpa menyebabkan kerosakan dan mudharat yg lebih besar dengan perebutan ini. Bila ada perebutan tentu masing2 menonjol kebaikan diri dan parti dan menonjol aib lawan dan keburukannya bukan untuk membaikinya tapi supaya rakyat benci dan menjatuhkannya.
    Inilah punca negara umat Islam tak stabil, banyak tenaga dan wang digunakan untuk belanja kempen merebut, dan kempen mempertahankan parti yg ada.
    Itu dulu wallahu'alam.

  2. abu idris
    January 10, 2011 at 12:19 pm

    salam … tak berfaedah pun jika mengatakan malaysia ini negara islam jika menghina Allah dengan mengabaikan hukum-hukumnya yang tertulis di dalam Allah.

    adalah sebaiknya dikatakan bahawa malaysia ini adalah negara sekular warisan penjajah kafir laknatullah lord reid kerana memisahkan agama dari pemerintahan.

    pemerintahan cuma ambil agama sebahagian dan tinggal sebahagian.
    tu jelas negara sekular.

    Rasulullah saw tidak pun buat begitu.
    Ijmak sahabat pun tak buat begitu.

    Wahai kaum muslimin.. sedarlah. Apa yang telah berlaku?
    Islam pada hari ini, cuma diamalkan sebahagian sahaja.

    Insya Allah. Janji Allah, Daulah Khilafah mengikut jalan kenabian pasti kembali.

    Berusahalah kalian.

  3. abu idris
    January 10, 2011 at 12:20 pm

    salam … tak berfaedah pun jika mengatakan malaysia ini negara islam jika menghina Allah dengan mengabaikan hukum-hukumnya yang tertulis di dalam Al Quran.

    adalah sebaiknya dikatakan bahawa malaysia ini adalah negara sekular warisan penjajah kafir laknatullah lord reid kerana memisahkan agama dari pemerintahan.

    pemerintahan cuma ambil agama sebahagian dan tinggal sebahagian.
    tu jelas negara sekular.

    Rasulullah saw tidak pun buat begitu.
    Ijmak sahabat pun tak buat begitu.

    Wahai kaum muslimin.. sedarlah. Apa yang telah berlaku?
    Islam pada hari ini, cuma diamalkan sebahagian sahaja.

    Insya Allah. Janji Allah, Daulah Khilafah mengikut jalan kenabian pasti kembali.

    Berusahalah kalian.

  4. Abu Numair
    January 10, 2011 at 12:38 pm

    Wa 'alaikumussalam…

    Hendaklah kita menyatakan sebagaimana yg dinyatakan agama dan para ulama…

    Jgn kerana sentimen kebencian, kita sendiri yg akhirnya menolak Islam…

  5. ibnuyassir
    January 13, 2011 at 12:30 pm

    Hendaklah kita memuhasabah pemerintah sebagaimana yg dinyatakan agama dan para ulama…

    Jgn kerana sentimen suka, kita tunduk kepada arahan pemerintahan, nanti kita sendiri yg akhirnya menolak Islam…

  6. Anonymous
    January 20, 2011 at 2:06 am

    Nawawi nak tanya sikit;
    1) semasa Fathu Mekah, Rasulullah membawa tentera menawan Mekah (meskipun tidak perang) apakah penduduk Mekah semuannnya kafir? Apakah status Negara Mekah pada masa itu? Adakah darul Islam atau Darul Fasiq atau darul Kufur

    2) Mengikut Ibn Taimiyyah status penduduk menentukan negara Islam atau Kafir? saya nak tanya Malaysia bukan negara Islam sepenuhnyalah kerana 54% penduduknya Islam, selebihnya kafir, ini tidak termasuk ahli bidaah dan sebagainya, tareekat yang sesat dan syiah ada 40,000 lebih apakah malaysia jadi negara Islam.

    3) Mengikut kata2 iman Syawkaani, selama mana Islam itu di'muliakan'…ringkasan, sekarang apakah di Parlimen undang2 Islam dimuliakan, apa sudah jadi dengan Mahkama Syariah yang menjalankan hukuman tidak Islam, dan Mahkamah Sivil tidak menjalankan hukum muamalah Islam? Apakah ianya dikira sebagai memuliakan Islam?

    4) Bagaimana pula pendapat Nawawi dengan sikap maksiat terbuka isteri pemimpin negara 'Islam' Malaysia yang terang-terangan tidak memakai tudung atau menutup aurat, adakah perbuatan itu memuliakan Islam, bukankah tidak ada hukuman Islam di Negara ini untuk maksiat yang nyata ini?

    sila email saya, kalau ada jawapan yang benar…

  7. Nawawi
    January 20, 2011 at 8:07 am

    Respon:

    1 – Siapa pemerintah Makkah pada masa itu? Apa status penduduk makkah pada ketika itu? Bukankah umat Islam sudah diajak berhijrah? Kemudian, adakah umat Islam yg ada di Makkah bebas amalkan agamanya?

    2 – Ahli maksiat, ahli bid'ah, ahli tarekat… Adakah mereka automatik kafir?

    3 – Kenapa Islam tidak dimuliakan? Melainkan kerana kejahilan mereka sendiri. Tanggungjawab anda utk memuliakannya dengan cara dan langkah2 yg syar'i.

    Kriteria asas telah saya nyatakan dalam artikel tersebut. Selebihnya, perlu diusahakan dgn syar'i, bukan hanya tahu melahirkan sikap pemberontakan.

    4 – Orang tak pakai tudung jatuh kafir ke? Atau kena dijatuhkan hukuman dengan hukuman maki dan caci?

    Saudara-mara atau jiran tetangga anda yg perempuan semua pakai tudung ke? Anda buat apa terhadap mereka? Caci dan maki ke?

  8. Anonymous
    January 22, 2011 at 4:01 pm

    Good dispatch and this post helped me alot in my college assignement. Gratefulness you as your information..

Comments are closed.