Murah Hati Ketika Berniaga

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ، سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى، سَمْحًا إِذَا اقْتَضَى، سَمْحًا إِذَا قَضَى

“Allah merahmati hamba-Nya yang murah hati apabila menjual, murah hati apabila membeli, dan murah hati apabila menagih hutang.” (Sunan Ibnu Majah, no. 2194. Bab: Bermurah hati ketika berniaga)

Catatan: Murah hati tidak tertumpu hanya pada harga yang rendah, tetapi lebih dari itu merujuk servis atau perkhidmatan yang mesra dan pantas, layanan baik, sikap jujur, urusan yang mudah, maklumat yang tepat, barangan berkualiti, pandai mengambil hati pelanggan dengan cara makruf, dan seumpamanya.

Sebahagian dari kita, khasnya para peniaga Melayu Islam yang baru hendak memulakan perniagaan di negara kita mereka melihat aspek nilai atau harga yang murah sebagai kriteria untuk menarik pelanggan. Walhal perkara tersebut sebenarnya  kurang tepat, melainkan sekiranya dengan harga yang murah; kualiti produk, layanan, dan perkhidmatan dapat ditingkatkan atau dikekalkan.

Kita ambil katalah McD dan KFC sebagai contoh. Kita lihat produk burger atau ayam goreng mereka. Harganya berganda-ganda mahal berbanding ayam goreng dan burger di tempat lain. Sedangkan rasa dan kualitinya boleh dikatakan sama sahaja, tiada beza. Tetapi apa yang membezakan mereka sehingga KFC dan McD walaupun harga yang dikenakan tinggi berganda-ganda, namun pelanggan tetap mendatangi dan berpuas hati dengan mereka? Keuntungan mereka pun boleh tahan, pelanggan yang datang tidak putus-putus.

Sebenarnya keuntungan mereka bukan semata-mata dibina melalui harga yang tinggi. Sebaliknya mereka menukarkan harga yang tinggi tersebut dengan layanan mesra, perkhidmatan yang mudah dan pantas, pengiklanan (maklumat) berkesan, tempat yang selesa, lokasi yang strategik, dan metode hidangan yang menarik.

Lalu, apabila para pelanggan rasa berpuas hati dan selesa, mereka pun akan kembali lagi untuk membeli sekaligus menikmati kemurahan hati yang dipersembahkan dalam bentuk layanan, perkhidmatan, maklumat tepat, dan hidangan yang menarik. Maka, dari sinilah keuntungan perniagaan mereka dijana. Iaitu dari kepercayaan dan kepuasan hati pelanggan yang mereka usahakan.

Jadi, berusahalah menjadi peniaga yang murah hati dengan cara menjaga dan mengambil hati pelanggan dengan cara yang makruf, kreatif, ilmu, dan bijaksana. Bukan hanya pelanggan yang gembira, bahkan yang lebih penting adalah Allah menurunkan rahmat-Nya kepada orang yang murah hati ketika berniaga. Wallahu a’lam…

Disediakan oleh:

Abu Numair,
05/03/2013.
www.ilmusunnah.com.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest