Mukaddimah Ibnul Qayyim Dalam Kitab Ighaatsatul Lahfaan min Mashaayidisy Syaithaan

Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H)
www.ilmusunnah.com

Segala puji bagi Allah yang telah menampakkan sifat-sifat mulia-Nya kepada para kekasih-Nya; menyinari hati mereka dengan mempersaksikan sifat-sifat-Nya yang maha Sempurna, memperkenalkan diri kepada mereka melalui huluran nikmat dan kurniaan-Nya, sehingga mereka memahami bahawa Allah adalah al-Waahidul Ahad dan al-Fardhush-Shomad yang tiada sekutu bagi-Nya sama ada dalam dzat, sifat, mahupun perbuatan.

Dia memiliki sifat-sifat sebagaimana yang disifatkan-Nya sendiri, melebihi yang dapat digambarkan oleh siapa pun di antara para hamba-Nya.

Tidak seorang pun mampu menghitung pujian bagi-Nya. Tetapi Dia sebagaimana yang dipujikan-Nya sendiri, melalui segenap hamba-Nya yang dimuliakan-Nya dengan diutus-Nya sebagai rasul. Dia adalah al-Awwal, maka tidak ada sesuatu pun sebelum-Nya. Dia adalah al-Aakhir, maka tidak ada sesuatu pun setelah-Nya. Dia adalah al-Baathin, maka tidak ada sesuatu di bawah-Nya dan tidak ada seorang manusia pun mampu bersembunyi di sebalik pakaiannya.

Dia juga al-Hayyu (yang maha Hidup), al-Qayyum (yang sentiasa Mentadbir makhluk), dan al-Waahidul Ahad (yang maha Esa). Dia-lah al-Fardhush-Shomad, iaitu satu-satunya dzat yang Kekal, sedangkan setiap makhluk akan berakhir menuju kemusnahakan.

Dia adalah as-Samii’, maka Dia mendengar hingar-bingar suara yang diucapkan dengan pelbagai bahasa dan dalam pelbagai ragam hajat (serta keperluan). Bila Dia mendengar suatu suara, Dia tidak akan terhalang dari mendengar suara-suara yang lainnya. Dan Dia tidak akan salah dalam mendengar permohonan serta tidak akan bosan kepada orang-orang yang yang terus bersungguh-sungguh dalam memohon kepada-Nya.

Dia juga adalah al-Bashiir, yang melihat perjalanan semut hitam di atas batu hitam dan dalam kegelapan malam yang pekat di mana pun berada sama ada di dataran rendah mahupun di pergunungan. Bahkan Dia melihat berubah-ubahnya hati dan keadaan hamba-Nya.

Apabila seorang hamba menghadapkan diri kepada-Nya, nescaya Dia menyambutnya, bahkan tidaklah seseorang menghadapkan diri kepada-Nya melainkan berkat perhatian daripada-Nya.

Adapun apabila hamba-Nya berpaling, Dia tidak membiarkannya dibinasakan oleh musuh dan tidak mengabaikannya. Bahkan kasih-sayang-Nya lebih besar dari kasih-sayang seorang ibu kepada anaknya, yang mengandung, yang menyusui, dan yang menyapih (cerai susu) dengan lemah-lembut.

Apabila hamba tersebut bertaubat maka Dia bergembira dengan taubat tersebut, melebihi kegembiraan musafir yang kehilangan unta pembawa makanan dan minumannya di tengah padang sahara yang gersang dan ganas, ketika menemukannya padahal ia telah bersiap-siap menghadapi kematian.

Tetapi apabila tekad berpaling, tidak mahu menempuh jalan menuju rahmat-Nya, malah sentiasa melakukan kemaksiatan dan bersekongkol dengan musuh-Nya seraya memutuskan hubungan dengan “Tuan”-nya, maka ia berhak untuk menerima kebinasaan. Hanya orang yang celaka yang dibinasakan oleh Allah, kerana kasih-sayang dan kurnia-Nya sangatlah besar.

Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya, Tuhan yang Waahid, Ahad, Fard, dan Shomad. Dia maha Mulia sehingga tidak ada yang setara dengan-Nya. Dia maha Suci, sehingga tidak ada sekutu bagi-Nya. Tidak ada yang dapat menolak apa yang Dia berikan dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tolak. Tidak ada yang mampu membantah keputusan-Nya dan tidak ada yang dapat membatalkan perintah-Nya.

Apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah ar-Ra’d, 13: 11)

Saya juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya yang telah melaksanakan kewajiban terhadapnya, terpercaya dalam mengemban wahyu dan dipilih di antara segenap manusia. Allah telah mengutusnya sebagai rahmat bagi alam semesta, imam bagi orang-orang bertaqwa, penyesalan bagi orang-orang kafir dan hujah (alasan) bagi seluruh hamba.

Allah mengutus beliau di masa kekosongan Rasul dan dengan kehadiran beliau Allah membimbing kepada jalan yang paling lurus, dan paling terang. Allah mewajibkan seluruh hamba mentaati, mencintai, mengagungkan, dan menghomati, serta menunaikan hak-haknya.

Allah telah menutup seluruh jalan menuju Syurga-Nya dan tidak membukakannya untuk sesiapa pun melainkan bagi mereka yang mengikuti jalan beliau.

Allah telah melapangkan dada, menghilangkan beban, dan meninggikan nama beliau. Allah pasti menimpakan kehinaan dan kerendahan bagi sesiapa sahaja yang menyelisihi perintah beliau. Allah telah ebrsumpah dalam al-Qur’an dengan hidup beliau dan menyeiringkan nama beliau dengan nama-Nya, sehingga setiap kali Dia disebut maka beliau juga turut disebut, seperti dalam tasyahud, khutbah, dan adzan.

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sentiasa melaksanakan perintah Allah tanpa ada yang dapat menghalangnya, dan beliau bekerja dalam redha-Nya tanpa ada yang dapat menegah, sehingga dunia menjadi terang-benderang dengan risalah beliau dan manusia berbondong-bondong memasuki agama Allah. Dakwah beliau berjalan bak mentari yang berputar menyinari penjuru bumi. Agama beliau yang lurus itu mencapai seluruh tempat yang dapat dicapai oleh malam dan siang.

Kemudian Allah memanggil beliau untuk memberi beliau apa yang telah dijanjikan-Nya dalam al-Qur’an, setelah beliau menyampaikan risalah, melaksanakan amanah, menasihati umat, berjihad di jalan Allah dengan sebenar-benarnya, menegakkan agama, dan meninggalkan umatnya di atas jalan yang terang-benderang. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah: “Inilah jalan-ku, aku dan orang-orang yang mengikuti mengajak kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.”.” (Surah Yusuf, 12: 108)

Allah tidak menciptakan manusia dengan percuma, melainkan membebani mereka dengan kewajiban, perintah, dan larangan. Dia mewajibkan mereka untuk memahami, secara umum mahupun terperinci akan petunjuk yang telah dijelaskan oleh-Nya kepada mereka. Allah membahagikan mereka menjadi dua golongan, iaitu golongan yang celaka dan golongan yang berbahagia, setiap mereka masing-masing telah disediakan tempat sendiri-sendiri. Allah telah memberikan untuk mereka sarana-sarana untuk meraih ilmu dan beramal berupa hati, pendengaran, penglihatan, dan anggota badan, sebagai nikmat dan anugerah.

Sesiapa yang menggunakan sarana-sarana tersebut untuk melayani hawa nafsu tanpa mempedulikan hak Penciptanya, nescaya dia akan menyesal dan merasakan kesedihan yang berpanjangan ketika dimintakan pertanggungan jawab. Sungguh, perhitungan tentang setiap anggota badan tersebut pasti terjadi, tidak mungkin dapat dielakkan. Kerana allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“…Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semua itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Israa’, 17: 36)

Kerana di antara seluruh anggota badan, hati itu memiliki kedudukan seperti raja yang mengatur pasukan dengan kekuasaan mutlak, mengeluarkan arahan, dan menggunakan dengan kehendaknya, maka seluruh anggota badan tunduk kepada kekuasaannya. Dia menentukan apakah seluruh anggota badan istiqomah atau menyimpang. Dia yang menjadikan ikutan seluruh anggota badan, yang menguatkan tekad atau yang memudarkannya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ

“Ketahuilah bahawa di dalam jasad ini terdapat segumpal daging, apabila baik maka seluruh jasad pun menjadi baik.” (Shahih al-Bukhari, no. 52. Muslim, no. 1599)

Jadi, hati adalah raja bagi seluruh anggota badan. Seluruh anggota badan akan melaksanakan perintahnya dan menerima pemberiannya. Tidak ada satu perbuatan yang dapat dilaksanakan dengan benar kecuali apabila terbit dari keinginan dan lubuk hati. Hati-lah yang bertanggungjawab terhadap seluruh anggota badan, kerana “Setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”

Dari itu, memperbaiki dan meluruskan hati merupakan fokus utama orang-orang yang menempuh jalan menuju redha Allah. Meneliti pelbagai penyakit hati diikuti terapi rawatannya merupakan tindakan yang paling penting yang dilakukan oleh para ahli ibadah.

Iblis musuh Allah, ia mengetahui bahawa hati ibarat landasan dan tiang. Sebab itulah ia mensasarkan pelbagai godaan kepadanya, mendatanginya dengan membawa pelbagai bentuk tipu-daya yang menarik perhatian syahwat, menghiasi pelbagai sifat dan perbuatan yang dapat menghalanginya dari jalan yang benar, memberinya pelbagai sarana penyimpangan yang menghalang dari taufiq, serta memasang jerat dan perangkap yang seandainya tidak berjaya menjebaknya, paling tidak akan menghambat perjalanannya.

Tidak ada jalan untuk menyelamatkan diri dari jebakkan dan tipu daya Iblis melainkan dengan sentiasa memohon pertolongan Allah, menempuh jalan keredhaan-Nya, pasrah (tunduk), dan mempersembahkan hati kepada-Nya di dalam gerak mahupun diam, serta benar-benar tunduk beribadah kepada-Nya, di mana ketundukan ini merupakan pakaian pertama yang wajib dikenakan oleh manusia bagi tujuan meraih jaminan Allah.

“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka…” (Surah Al-Hijr, 15: 42)

Sifat ini pula yang memisahkan seorang hamba dari Syaitan. Ini juga merupakan jalan untuk meraih maqam ‘ubudiyyah kepada Rabb semesta alam, menumbuhkan keikhlasan beramal dan melestarikan keyakinan di hati. Apabila hati telah memiliki karektor ‘ubudiyyah dan keikhlasan, maka di sisi Allah ia termasuk dalam golongan orang-orang yang didekatkan (muqarabin), dan dalam pengecualian yang terdapat dalam firman Allah:

إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

“Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka.” (Surah Shad, 38: 83)

Allah yang maha Mulia dengan ke-maha-luasan-Nya telah mengurniakan kepada saya ilmu (dari al-Qur’an dan as-Sunnah – pent.) tentang pelbagai bentuk penyakit hati, godaan Syaitan terhadapnya, perilaku yang disebabkan oleh godaan tersebut, dan pelbagai keadaan yang akan menimpa hati setelahnya.

Perbuatan buruk itu berpunca dari kehendak hati yang salah. Kemudian perbuatan yang buruk tersebut menjadikan hati membatu, sehingga penyakitnya semakin parah dan akhirnya mematikannya, tidak ada lagi kehidupan dan cahaya di dalamnya. Pangkal dari semua itu adalah kerana ia terikut-ikut ajakan (godaan) Syaitan dan cenderung kepada musuhnya, sedangkan dia tidak akan beruntung melainkan orang yang terang-terangan menantangnya.

Maka dari itu, saya menuliskan setiap persoalan tersebut dalam kitab ini agar menjadi catatan yang pada waktu-waktu mendatang dapat saya pelajari (sebagai ingatan) sambil mengakui kurniaan dari Allah di dalamnya dan agar dimanfaatkan oleh sesiapa yang membaca kita ini seraya mendoakan penulisnya agar mendapatkan keampunan, rahmat, dan redha Allah. Judul yang saya berikut untuk kitab ini adalah:

Ighaatsatul Lahfaan min Mashaayidisy Syaithaan.” (Menyelamatkan hati dari tipu-daya Syaithan)

Saya menjadikan di dalamnya tiga belas bab (iaitu):

1, Pembahagian hati menjadi: Sihat, sakit, dan mati.

2, Hakikat penyakit hati.

3, Ubat penyakit hati secara fitrah dan syar’i.

4, Kehidupan dan cahaya pangkal kebaikan hati, kematian dan kegelapan pangkal keburukan dan bencana hati.

5, Hati hidup dan sihat hanya apabila ia berilmu, menghendaki, dan mengutamakan kebenaran.

6, Hati bahagia dan baik hanya apabila ia menjadikan Allah sebagai satu-satunya yang diibadahi, puncak keinginan dan yang paling dicintai.

7, Al-Qur’an mengandungi ubat seluruh penyakit.

8, Zakaatul Qalb (bertambah baiknya hati).

9, Kebersihan hati dari noda-noda najis.

10, Tanda-tanda hati yang sakit dan sihat.

11, Mengubati penyakit hati akibat dikuasai hawa nafsu.

12, Mengubati penyakit hati kerana tipu-daya Syaitan.

13, Tipu-daya Syaitan terhadap manusia. Dan bab ini adalah fokus penulisan kitab ini. Di dalamnya terdapat pasal-pasal yang mengandungi banyak manfaat dan kebaikan.

Semoga Allah menjadikan amalan ini ikhlas untuk menggapai redha-Nya, menghindarkan dari dikembalikan kepada suatu yang merugikan dan semoga Allah menjadikan buku ini bermanfaat kepada yang menyusunnya, menulis, seta yang membacanya, di dunia mahupun di akhirat. Sungguh, Dia maha Mendengar lagi maha Melihat. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang maha Tinggi lagi maha Agung.

Al-Hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H)
Mukaddimah kitab Ighaatsatul Lahfaan min Mashaayidisy Syaithaan.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest