Merenungi Kesederhanaan Nabi Dalam Urusan Makanan

www.ilmusunnah.com

Kebiasaannya, set meja makan dan pinggan/mangkuk akan selalu silih berganti di ruang para pembesar dan penguasa. Namun berbeza halnya dengan Nabi umat ini, sedang negara dan rakyatnya di bawah kekuasaan beliau.

Unta yang penuh dengan muatan tidak henti-hentinya datang kepada beliau. Emas dan perak selalu terhampar di hadapan beliau.makan hasil jerih payah sendiri

Tahukah anda makanan dan minuman beliau? Adakah laksana hidangan santapan diraja? Ataukah lebih mewah lagi? Ataukah seperti hidangan para hartawan? Atau lebih melimpah-ruah lagi?

Janganlah terkejut melihat hidangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang penuh dengan kesederhanaan.

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu mengkhabarkan:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَجْتَمِعْ لَهُ غَدَاءٌ، وَلَا عَشَاءٌ مِنْ خُبْزٍ وَلَحْمٍ، إِلَّا عَلَى ضَفَفٍ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah makan tengah hari mahupun malam dengan hidangan daging berserta roti melainkan untuk menjamu para tamu.” (Musnad Ahmad, no. 13859. Shahih Ibn Hibbab, no. 6359)

Adapun makanan kebiasaan beliau hanyalah sekadar roti, air sejuk, dan tamr atau apa-apa yang merupakan makanan kebiasaan masyarakat beliau ketika itu. Dan dengan makanan tersebut pun beliau tidaklah melaziminya untuk berkenyang-kenyangan dengannya, dan tidak pula bermewah-mewah pada hal tersebut.

Dari hadis Sahl Ibn Sa’d radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

مَا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّقِيَّ، مِنْ حِينَ ابْتَعَثَهُ اللَّهُ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ قَالَ: فَقُلْتُ: هَلْ كَانَتْ لَكُمْ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنَاخِلُ؟ قَالَ: «مَا رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْخُلًا، مِنْ حِينَ ابْتَعَثَهُ اللَّهُ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ» قَالَ: قُلْتُ: كَيْفَ كُنْتُمْ تَأْكُلُونَ الشَّعِيرَ غَيْرَ مَنْخُولٍ؟ قَالَ: كُنَّا نَطْحَنُهُ وَنَنْفُخُهُ، فَيَطِيرُ مَا طَارَ، وَمَا بَقِيَ ثَرَّيْنَاهُ فَأَكَلْنَاهُ

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam makan (roti) dari jenis gandum yang benar-benar diperoses secara teliti semenjak diutus oleh Allah sampailah beliau wafat.”

Sahl ditanya:

“Adakah di zaman Rasulullah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak terdapat alat pemprosesan (atau penapisan) gandum?”

Beliau jawab:

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah pun melihat alat tersebut semenjak beliau diutus oleh Allah sampailah beliau dipanggil oleh Allah (yakni wafat).”

Sahl ditanya lagi:

“Jadi bagaimana cara kalian makan sya’iir (sejenis barli) jika tidak diproses (atau ditapis kulit-kulitnya)?”

Beliau jawab:

“Kami menumbuknya kemudian meniupnya, maka beterbanganlah benda-benda yang dapat terbang darinya, dan apa-apa yang tersisa, maka itulah yang kami adun (untuk membuat roti) lalu memakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5413)

Dalam hadis yang lain, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُنْذُ قَدِمَ المَدِينَةَ، مِنْ طَعَامِ البُرِّ ثَلاَثَ لَيَالٍ تِبَاعًا، حَتَّى قُبِضَ

“Semenjak di Madinah, keluarga Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah makan makanan dari burr (sejenis gandum) dengan kenyang untuk tiga malam (atau tiga hari) secara berturut-turut sampailah beliau wafat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5416)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الدُّنْيَا وَلَمْ يَشْبَعْ مِنْ خُبْزِ الشَّعِيرِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam meninggal dunia dalam keadaan belum pernah kekenyangan (walau dengan) roti asy-sya’iir (roti terbuat dari barli).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5414)makan jangan melampau

Dari Abu Umaamah Al-Bahili radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

مَا كَانَ يَفْضُلُ عَنْ أَهْلِ بَيْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُبْزُ الشَّعِيرِ

“Tidak ada makanan yang lebih baik bagi keluarga Muhammad dari roti sya’iir.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2359)

Dalam masyarakat ‘Arab, bahan asas membuat roti biasa disebut dengan kata burr (gandum), sya’irr (barli dengan kualiti sederhana atau lebih rendah lagi), atau khinthah (gandum).

Maksudnya, keluarga Nabi hanya makan untuk keperluannya dengan sekadarnya serta sederhana. Beliau dan keluarganya tidak membiasakan diri untuk berlebih-lebihan pada hal makanan dan tidak pula membiasakan untuk memakan makanan sampai kekenyangan walaupun pada makanan ruji mereka.

Bahkan turut diriwayatkan dalam hadis bahawa keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adakalanya bermalam dalam keadaan lapar atau tanpa makanan.

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبِيتُ اللَّيَالِي المُتَتَابِعَةَ طَاوِيًا وَأَهْلُهُ لَا يَجِدُونَ عَشَاءً وَكَانَ أَكْثَرُ خُبْزِهِمْ خُبْزَ الشَّعِيرِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bermalam dengan keluarganya dalam keadaan berlapar selama beberapa malam berturut-turut. Mereka tidak mendapatkan hidangan untuk makan malam, dan kebiasaan roti yang menjadi menu mereka (keluarga Nabi) adalah dari jenis roti sya’iir.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2360. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Keadaan sedemikian bukanlah disebabkan beliau tidak punya kemampuan, atau miskin harta. Bahkan harta beliau melimpah-ruah dan negara berada dalam genggaman beliau. Bahkan banyak pula harta-harta yang dihamparkan di hadapan beliau dari pelbagai sumber. Akan tetapi, demikianlah Allah memuliakan dan mengangkat kedudukan beliau dibandingkan seluruh manusia.

Sahabat Nabi, ‘Uqbah bin Al-Harits berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ العَصْرَ، فَأَسْرَعَ، ثُمَّ دَخَلَ البَيْتَ فَلَمْ يَلْبَثْ أَنْ خَرَجَ، فَقُلْتُ أَوْ قِيلَ لَهُ، فَقَالَ: «كُنْتُ خَلَّفْتُ فِي البَيْتِ تِبْرًا مِنَ الصَّدَقَةِ، فَكَرِهْتُ أَنْ أُبَيِّتَهُ، فَقَسَمْتُهُ

“Pernah suatu hari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengimami kami solat ‘Ashr. Sebaik selesai solat beliau langsung memasuki rumahnya dan tidak lama dari itu beliau pun keluar semula. Aku bertanya kepada beliau (tentang tindakan beliau seperti itu), maka beliau pun jawab:

“Aku tadi meninggalkan sepotong emas dari harta sedeqah di rumah, aku tidak suka jika membiarkannya berada di tanganku (walaupun sekejap), kerana itulah aku mahu segera mengagihkannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1430)

Kedermawanan beliau yang menakjubkan dan pemberian yang tiada bandingannya hanya dapat ditemui pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu mengatakan:

مَا سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْإِسْلَامِ شَيْئًا إِلَّا أَعْطَاهُ، قَالَ: فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَأَعْطَاهُ غَنَمًا بَيْنَ جَبَلَيْنِ، فَرَجَعَ إِلَى قَوْمِهِ، فَقَالَ: يَا قَوْمِ أَسْلِمُوا، فَإِنَّ مُحَمَّدًا يُعْطِي عَطَاءً لَا يَخْشَى الْفَاقَةَ

“Tidaklah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diminta dengan sesuatu permintaan kerana Islam, melainkan beliau pasti akan memberinya. Suatu hari datang seorang lelaki kepada beliau, lalu beliau memberinya dengan seekor kambing yang digembala dari kawasan antara dua gunung (yakni kambing yang gemuk dan baik), lalu ketika lelaki itu kembali kepada kaumnya, dia pun berkata:

“Wahai kaumku, masuklah Islam, sesungguhnya Muhammad selalu memenuhi permintaan seakan-akan tidak takut jatuh miskin.” (Shahih Muslim, no. 2312)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiallahu’anhuma:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu dengan Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al-Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melebihi angin yang menghembus.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6, 1902, 3220)

Sedemikian harta terhampar atas beliau, dan dengan besarnya kedermawanan dan pemberian beliau, namun lihatlah keadaan diri beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lihatlah gaya dan keadaan hidup beliau. Cukup bersederhana, jauh dari melampui keperluan, apatah lagi bermewah-mewahan. Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu mengkhabarkan kepada kita:

لَمْ يَأْكُلِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى خِوَانٍ حَتَّى مَاتَ، وَمَا أَكَلَ خُبْزًا مُرَقَّقًا حَتَّى مَاتَ

“Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam tidak pernah makan di atas meja sampai wafatnya, dan tidak pernah makan roti gandum yang halus (yakni gandum dari jenis kualiti terbaik – pent.) sampailah beliau wafat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6450 – Bab: Keutamaan Orang-orang Faqir)

‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِينِي، فَيَقُولُ: أَعِنْدَكِ غَدَاءٌ؟، فَأَقُولُ: لاَ، فَيَقُولُ: إِنِّي صَائِمٌ، قَالَتْ: فَأَتَانِي يَوْمًا، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّهُ قَدْ أُهْدِيَتْ لَنَا هَدِيَّةٌ، قَالَ: وَمَا هِيَ؟، قَالَتْ: قُلْتُ: حَيْسٌ، قَالَ: أَمَا إِنِّي قَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا، قَالَتْ: ثُمَّ أَكَلَ.

“Pernah suatu hari Nabi mendatangiku, lalu beliau berkata, “Adakah makanan untuk hari ini?” Maka aku jawab, “Tiada.” Lalu beliau mengatakan, “Tak mengapa, aku puasa hari ini.”

(Kata ‘Aisyah lagi), di hari yang lain beliau datang lagi dan aku katakan padanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kita diberi hadiah berupa makanan.” Beliau bertanya, “Apa dia?” Maka aku katakan, “Hays (yakni sejenis makanan dari adunan kurma, minyak dan tepung).” Beliau pun berkata:

“Sebenarnya tadi aku telah berniat puasa.” Kemudian beliau pun memakannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 734)

Dalam hadis yang lain juga dari hadis Ummul Mukminiin ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau menceritakan:

إِنْ كُنَّا آلَ مُحَمَّدٍ نَمْكُثُ شَهْرًا مَا نَسْتَوْقِدُ بِنَارٍ إِنْ هُوَ إِلَّا المَاءُ وَالتَّمْرُ

“Bahawa kami, yakni keluarga Muhammad pernah tidak menyalakan dapur dengan api untuk tempoh sebulan lamanya, makanan kami ketika itu hanyalah air sejuk dan at-tamr (kurma kering).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2471)

Dari hadis Muhammad bin ‘Amr, dari Abu Salamah, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

لَقَدْ كَانَ يَأْتِي عَلَى آلِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الشَّهْرُ مَا يُرَى فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِهِ الدُّخَانُ»، قُلْتُ: فَمَا كَانَ طَعَامُهُمْ؟ قَالَتْ: ” الْأَسْوَدَانِ: التَّمْرُ، وَالْمَاءُ، غَيْرَ أَنَّهُ كَانَ لَنَا جِيرَانٌ مِنَ الْأَنْصَارِ، جِيرَانُ صِدْقٍ، وَكَانَتْ لَهُمْ رَبَائِبُ، فَكَانُوا يَبْعَثُونَ إِلَيْهِ أَلْبَانَهَا ” قَالَ مُحَمَّدٌ: وَكَانُوا تِسْعَةَ أَبْيَاتٍ

“Bahawa pernah datang ke atas keluarga Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam suatu bulan di mana rumah dari rumah-rumah mereka tidak kelihatan berasap (yakni tiada makanan untuk dimasak/dimakan).

Aku (Abu Salamah) bertanya, “Jadi, apa yang mereka makan?”

‘Aisyah berkata, “Al-Aswadaan (dua benda hitam); yakni At-Tamr dan air kosong. Tetapi kami juga memiliki jiran yang baik lagi jujur dari kalangan Anshar, dan mereka memiliki haiwan ternak, yang mana mereka sering mengirimkan susunya kepada Rasulullah.”

Muhammad bin ‘Amr berkata, “Bahawa Rasulullah memiliki sembilan rumah (keluarga/isteri).” (Sunan Ibn Majah, 4145. Musnad Ahmad, no. 25491, 26004)

Di hadis yang lain, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

مَا أَكَلَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْلَتَيْنِ فِي يَوْمٍ إِلَّا إِحْدَاهُمَا تَمْرٌ

“Tidaklah makan keluarga Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dua kali dalam sehari, kecuali salah satunya hanya makan kurma.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6455)

Meskipun sedemikian sederhananya hidangan dan menu seharian beliau, namun beliau tidak pernah lupa untuk bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah atas beliau, malah bahkan beliau adalah orang yang paling bersyukur dan merupakan teladan bagi seluruh manusia agar mensyukuri setiap nikmat yang ada pada mereka.

Ditambah pula, banyaknya sedekah dan pemberian beliau. Sungguh pada yang demikian ini menggambarkan kepada kita betapa luhur dan tingginya cerminan akhlak yang beliau contohkan buat kita.

Beliau juga tidak pernah lupa untuk berterima kasih kepada orang yang menghidangkan mailmu lebih penting dari makan dan minumkanan, dan beliau tidak pernah pula mencela apa yang terhidang meskipun hanya sekadar makanan biasa-biasa atau apa-apa yang kurang menepati selera beliau.

Beliau juga tidak pernah menolak apa yang terhidang untuknya, dan tidak pula mencari-cari dan menuntut dari apa-apa yang tidak terhidang. Bila dihidangkan dengan roti dan daging, beliau memakannya. Bila dihidangkan buah-buahan, beliau memakannya. Jika dihidangkan dengan roti sahaja, atau dengan kurma sahaja, beliau tetap memakannya.

Bahkan beliau berpesan agar mendoakan orang-orang yang memberi dan menjamu makanan.

Ini semua antaranya sebagaimana termaktub dalam hadis, antaranya dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ، وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ

“Nabi tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Jika beliau mahu, beliau makan, dan jika tidak suka, beliau membiarkannya (untuk orang lain).” (Shahih Al-Bukhari, no. 5409)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الْأُدُمَ، فَقَالُوا: مَا عِنْدَنَا إِلَّا خَلٌّ، فَدَعَا بِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ بِهِ، وَيَقُولُ: «نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ، نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah meminta lauk daripada para isterinya. Maka para isterinya berkata, “Tiada apa di sisi kami kecuali khal (cuka).” Maka beliau pun meminta dibawakan cuka tersebut lalu beliau pun makan berlauk dengannya. Dan beliau mengatakan, “Lauk yang paling nikmat (enak) adalah cuka, lauk yang paling nikmat adalah cuka.” (Shahih Muslim, no. 2052)

Dari sini benar-benar beliau memberikan teladan pada kita agar tidak sampai berlebih-lebihan dan menyibukkan diri pada urusan perut dan makanan. Cukuplah dengan apa-apa yang baik, ringkas, dan mudah lagi tidak membebankan. Tampak dari sini betapa qona’ah dan zuhudnya beliau pada urusan makanan. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencukupkan dengan apa seadanya, tidak bermewah-mewah sehingga membebankan, dan malah beliau ringan untuk memuji para isterinya yang membantu dalam menyediakan makanan. Jauh sekali dari sikap berkeluh dan bermasam muka semata-mata atas alasan makanan.

Demikianlah sebaik-baik contoh dan petunjuk. Bandingkanlah dengan apa-apa yang terhidang di hadapan kita sehari-hari? Sudahkah kita mensyukurinya?

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan kepada kita supaya makan dari makanan yang baik-baik, dan memerintahkan kepada kita supaya banyak bersyukur kepada-Nya.

Allah Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik-baik dari apa-apa yang Kami kurniakan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kalian mengabdikan diri.” (Surah Al-Baqarah, 2: 172)

Siapa yang tidak bersyukur, benar-benar dia telah menyia-nyiakan nikmat dan kurniaan dari Allah. Sungguh nikmat-nikmat Allah terbentang luas buat para hamba-Nya, sama ada benar-benar menjadi nikmat atau menjadi batu ujian buat kita.

Dan petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah sebaik-baik petunjuk, pedoman terbaik, dan paling benar dalam mensyukuri nikmat-nikmat. Semoga setiap dari apa yang kita makan dapat melahirkan rasa syukur dan menggerakkan kita untuk beramal dengan amal-amal yang bermanfaat, seraya menjauhi amal-amal yang tidak bermanfaat yang hanya membuat kita jauh dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Wallaahu a’lam.

barley_2

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest