Menilai Kembali Tradisi Berhari-Raya Di Perkuburan
Abu Numair
www.ilmusunnah.com
Alhamdulillah, kita telah selesai menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan untuk tahun ini. Dan sekaligus, telah selesai juga kita berhari raya (‘Idul fitri). Cumanya, ada sedikit perkara yang mahu penulis sentuh. Iaitu berkaitan amalan menjadikan perkuburan sebagai salah satu destinasi atau lokasi berhari-raya.
Di mana, sejak kebelakangan ini amalan mengkhususkan hari raya sebagai salah satu waktu untuk menziarahi kubur begitu jelas dizahirkan. Begitu ramai umat Islam yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk datang dan berhimpun di tanah-tanah perkuburan. Sampai sebahagian kawasan tanah-tanah perkuburan menjadi sesak, demikian juga jalan-jalan sekitarnya. Kemudian ada pula khabar yang sampai kepada penulis di mana ada yang membuat ritual atau majlis tahlilan di perkuburan, membaca Al-Qur’an, beresak-tangis, menghias kubur, dan memasang pelita di atas kubur-kubur umat Islam sempena satu Syawwal (‘Idul fitri). Ada dari kalangan warga kota pula yang beralasan bahawa inilah waktu yang baik bagi menziarahi kubur kaum kerabat (keluarga) khasnya yang jauh di kampung, dengan alasan lapangnya waktu sempena cuti hari raya, dan sempena hari baik bulan baik. Wallahu a’lam…
Bahkan di sebahagian tempat, mereka menjadikan hari raya sebagai momen khas untuk berhimpun di sebahagian tanah-tanah perkuburan dengan mengadakan ritual-ritual khas tertentu termasuk tahlilan dan jamuan. Namun hakikatnya hal ini jelas menyelisihi makna asal pensyariatan ziarah kubur. Selain itu, amalan seperti ini tidak pernah ada pensyariatannya dari Al-Quran, hadis-hadis Rasulullah, mahupun amalan para sahabat radhiyallahu ‘anhum.
Di sebahagian tempat pula, terdapat fahaman yang menganggap bahawa ziarah kubur nenek-moyang harus didahulukan sebelum melakukan ziarah kepada sanak-saudara. Sampai demikian sekali.
Sedangkan jika difahami dengan mendalam, tujuan asal menziarahi kubur itu adalah dalam rangka merealisasikan salah satu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bertujuan untuk melahirkan rasa mengingati kematian (akhirat), melembutkan hati, dan mengambil pelajaran bagi yang mengunjungi. Manakala bagi si mati (ahli kubur yang muslim) mereka mendapat manfaat dengan doa-doa kebaikan daripada yang menziarahi. Ia merupakan sunnah yang berlaku umum, tidak dikhususkan dengan hari atau momen khusus tertentu, dan tidak semestinya kubur-kubur yang khas tertentu sahaja. (lihat: Artikel Adab-adab Ketika Ziarah Kubur)
Sedang hari raya pula adalah waktu untuk menzahirkan kegembiraan dengan kegembiraan yang syar’i dan membesarkan Allah. Bukan hari menzahirkan kesedihan, apatah lagi ratapan. Dan bukan juga hari untuk mengada-adakan sesuatu amalan yang tidak pernah disyari’atkan dalam agama.
Di antara dalil-dalil hadis berkaitan bimbingan ziarah kubur adalah sebagaimana berikut:
زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا
“Menziarahi kubur itu melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil.” (Musnad Ahmad, no. 13000. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 1342. Hadis daripada Anas bin Malik. Ta’liq Syaikh Syu’aib Al-Arnauth: Hadis ini Sahih dengan syawahid)
Daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhu, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَخْرُجُ إِلَى الْبَقِيعِ فَيَدْعُو لَهُمْ
“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah pergi ke tanah perkuburan Baqi’. Kemudian, beliau mendoakan para penghuninya.” (Musnad Ahmad, no. 24952. Sanadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih sebagaimanya dinyatakan oleh Syaikh al-Albani di dalam Ahkamul Jana’iz, m/s. 189)
(lihat dalil-dalil yang lain di artikel kami, Adab-adab Ketika Ziarah Kubur)
Adapun amalan memberi salam kepada ahli kubur, mendoakannya, dan memohon keampunan baginya, ini adalah khusus untuk kubur umat Islam sahaja. (lihat: Ahkamul Jana’iz oleh A-Albani, m/s. 189)
Dan sunnah menziarahi kubur ini adalah umum, boleh dilakukan oleh sama ada lelaki mahupun wanita. Namun bagi wanita, kebanyakan ulama tidak membolehkan dan tidak menggalakkan mereka menziarahi kubur dan padanya punya perbahasan tersendiri, manakala sebahagian ulama membolehkannya dengan syarat-syarat.
Kemudian, yang diziarahi tersebut sama ada kubur umat Islam, mahupun kafir, keduanya adalah dibenarkan. Ini adalah sebagaimana disebutkan di dalam Kitab ‘Umdatul Qari di ketika penulis (Al-Imam ‘Al-Aini) mengulas hadis tentang saranan menziarahi kubur dalam Shohih Al-Bukhari dengan katanya:
وسواء كان المزور مسلما أو كافرا، لعدم الفصل في ذلك
“Di dalam hadis tersebut memiliki pengertian yang membolehkan perbuatan menziarahi kubur secara mutlak, sama ada lelaki mahu pun perempuan, atau yang diziarahi itu Muslim atau pun kafir disebabkan tiadanya pembezaan (pengasingan) berkenaan dengannya.” (‘Umdatul Qari Syarh Shohih Al-Bukhari, 12/273)
Juga sebagaimana disebutkan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) bahawa perbuatan menziarahi kubur adalah umum (dibolehkan secara mutlak) sama ada kubur orang Islam atau orang kafir:
قال النووي: وبالجواز قطع الجمهور، وقال صاحب الحاوي: لا تجوز زيارة قبر الكافر وهو غلط
“Secara pasti bahawa jumhur (majoriti) ulama membolehkan ziarah kubur. Penulis kitab Al-Haawii (Abul Hasan Al-Mawardi) berkata: “Tidak dibolehkan menziarahi kubur orang kafir”. Dalam perkara ini, beliau telah salah.” (Fathul Bari Syarh Shohih Al-Bukhari, 3/150)
Juga di dalam Syarh Shohih Muslim di ketika menjelaskan hadis anjuran menziarahi kubur, katanya:
فيه جواز زيارة المشركين في الحياة وقبورهم بعد الوفاة لأنه اذا جازت زيارتهم بعد الوفاة ففي الحياة
“Hadis ini menunjukkan bolehnya menziarahi orang-orang musyrik yang masih hidup dan bolehnya menziarahi kuburan mereka setelah mereka meninggal. Kerana sekiranya menziarahi mereka ketika meninggal dibolehkan, sudah tentu menziarahi mereka di ketika masih hidup lebih boleh lagi.” (Syarh Shohih Muslim oleh An-Nawawi, 7/45)
Jadi, untuk melaksanakan sunnah ziarah kubur ini, secara umumnya tidak perlu mencari-cari kubur tertentu dan menunggu masa-masa khusus sehingga melakukan perjalanan yang jauh dan memerlukan hari cuti yang khusus. Maka, beberapa amalan tradisi ziarah kubur yang sering difahami oleh kebanyakan kalangan masyarakat kita hari ini mungkin perlu dinilai kembali dan dilihat semula tujuannya agar seiring dengan anjuran dan tujuan pensyari’atannya oleh agama, agar ia tidak hanya semata-mata adat dan melayani perasaan sangka baik tanpa didasari dalil yang benar.
Adapun menjadikan perkuburan sebagai salah satu tempat untuk kita sentiasa mendatanginya atau mengunjunginya secara khusus dan rutin pada waktu-waktu tertentu, maka di sana terdapat hadis yang menegahnya. Dengan itu, perbuatan menzahirkan aktiviti sempena hari-raya dengan mengunjungi perkuburan secara khusus, maka ia adalah suatu yang ditegah oleh agama. Sehingga ada yang bertindak berjalan jauh dan memperuntukkan masa-masa khusus untuk mengunjungi perkuburan tertentu, sedangkan perkuburan yang dekat tidak pernah dimanfaatkan dalam rangka merealisasikan sunnah Rasulullah dalam persoalan ini seperti anjuran mengingati mati dan akhirat dengan menziarahi kubur secara umum. Ini juga adalah di antara bentuk-bentuk salah faham terhadap sunnah menziarahi kubur.
Kubur Bukan Tempat Hari Raya dan Berhimpun
Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لا تَتَّخِذُوا قَبْرِي عِيدًا وَلَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَحَيْثُمَا كُنْتُمْ فَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِي
“Janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat ‘Ied (perayaan), dan janganlah pula kalian menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Di mana pun kalian berada, berselawatlah kalian ke atasku, kerana sesungguhnya selawat kalian tersebut sampai kepadaku.” (Musnad Ahmad, no. 8804. Sunan Abi Dawud, no. 2042. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Ahkam Al-Jana’iz, m/s. 219)
Penyusun kitab ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud (Muhammad Syams Al-Haq Abadi) menyebutkan:
وَالْعِيد اِسْم مَا يَعُود مِنْ الِاجْتِمَاع الْعَامّ عَلَى وَجْه مُعْتَاد عَائِدًا مَا يَعُود السَّنَة أَوْ يَعُود الْأُسْبُوع أَوْ الشَّهْر وَنَحْو ذَلِكَ
“Dan yang dinamakan ‘Ied adalah apa yang berulang dari perhimpunan umum dalam bentuk yang berlaku secara rutin lagi berulang-ulang, sama ada ulangan itu secara tahunan, atau mingguan, atau bulanan, dan yang seumpama dengannya.” (‘Aun Al-Ma’bud, 6/23)
Asy-Syaikh Al-Albani turut menjelaskan maksud ‘Ied tersebut dengan katanya:
والعيد إذا جعل اسما للمكان فهو المكان الذي يقصد الاجتماع فيه وإتيانه للعبادة عنده أو لغير العبادة، كما أن المسجد الحرام ومنى ومزدلفة وعرفة جعلها الله عيدا مثابة للناس، يجتمعون فيها وينتابونها للدعاء والذكر والنسك. وكان للمشركين أمكنة ينتابونها للاجتماع عندها، فلما جاء الاسلام محا الله ذلك كله. وهذا النوع من الامكنة يدخل فيه قبور الانبياء والصالحين
“Maksud perkataan ‘Ied dalam hadis ini sekiranya dijadikan sebagai ism bagi tempat, ia membawa maksud tempat yang digunakan untuk berkumpul (berhimpun) dan mendatanginya bagi tujuan melaksanakan ibadah atau yang selainnya, seperti Masjidil Haram, Mina, Muzdalifah, dan ‘Arafah yang telah dijadikan sebagai tempat ‘Ied (perayaan dan berhimpun saban tahun) oleh Allah bagi ummat manusia. Di tempat-tempat tersebutlah mereka berkumpul lalu memanjatkan doa dan zikir serta manasik (haji dan ‘umrah). Manakala kaum musyrikin (Yahudi dan Nashrani) pula turut memiliki tempat-tempat untuk mereka berkumpul. Kemudian ketika datangnya Islam, Allah pun menghapuskan tempat-tempat kaum musyrikin tersebut yang termasuk di dalamnya kubur para Nabi dan orang-orang soleh (bagi tujuan membasmi bid’ah dan kesyirikan).” (lihat: Ahkamul Jana’iz oleh Al-Albani, m/s. 221)
Dari hadis ini kita dapat lihat dari dua sisi, iaitu makam Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah makam terbaik di muka bumi, tetapi beliau telah melarangnya dari dijadikan sebagai tempat perayaan (dan melakukan perjalanan jauh demi untuk mengunjunginya semata-mata – pent.). Dengan itu, kubur siapapun selain beliau tentu lebih wajar untuk tidak dijadikan sebagai tempat perayaan, yakni dalam rangka sebagai tempat untuk berhimpun dan diziarahi secara rutinan, dan bukan pula untuk membuat ritual-ritual yang tidak disyariatkan padanya. Kemudian, beliau mengiringi perkataan beliau dengan sabdanya:
“Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti perkuburan.”
Maksudnya di sini adalah supaya tidak melakukan solat dan berdoa (memohon hajat untuk kita) serta membaca Al-Qur’an di kubur, tetapi hendaklah melakukannya di rumah-rumah kita. Supaya rumah kita tidak menjadi sebagaimana suasana di perkuburan. Dengan itulah beliau memerintahkan supaya kita melakukan ibadah di dalam rumah dan melarang melaksanakannya di perkuburan. Perkara ini jauh berbeza dengan amalan orang-orang musyrik dari kalangan Yahudi dan Nashrani serta yang mengikutinya yang menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat beribadah (dan tempat perayaan). (lihat: Ahkamul Jana’iz, m/s. 221)
Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
حتي إن بعض القبور يجتمع عندها في يوم من السنة، ويسافر إليها إما في المحرم أو رجب أو شعبان أو ذي الحجة أو غيرها. وبعضها يجتمع عندها في يوم عاشوراء، وبعضها في يوم عرفة، وبعضها في النصف من شعبان. وبعضها في وقت آخر. بحيث يكون لها يوم من السنة تقصد فيه. ويجتمع عندها فيه. كما تقصد عرفة ومزدلفة ومنى في أيام معلومة من السنة، وكما يقصد مصلى المصر يوم العيدين… وهذا السفر لا أعلم بين المسلمين خلافا في النهي عنه
وفي الجملة هذا الذي يفعل عند هذه القبور هو بعينه الذي نهى عنه رسول الله صلى الله عليه و سلم بقوله لا تتخذوا قبري عيدا. فإن اعتياد قصد المكان المعين في وقت معين عائد بعود السنة أو الشهر أو الأسبوع هو بعينه معنى العيد ثم ينهى عن دق ذلك وجله وهذا هو الذي تقدم عن الإمام أحمد إنكاره قال وقد أفرط الناس في هذا جدا وأكثروا وذكر ما يفعل عند قبر الحسين
“Ada beberapa perkuburan yang dijadikan tempat berkumpul pada hari-hari tertentu dalam setiap tahun (oleh golongan yang menyimpang – pent.). Mereka menuju ke tempat-tempat tersebut, sama ada pada bulan Muharram, Rejab, Sya’ban, Dzulhijjah, atau selainnya. Sebahagian kuburan lainnya didatangi pada hari Asyura, manakala sebahagian lain pada hari ‘Arafah, pertengahan Sya’ban, serta yang lainnya yang seumpamanya. Yang jelas, dalam satu tahun itu ada hari-hari tertentu untuk mereka kunjunginya. Kubur-kubur itu menjadi tempat tujuan (tumpuan) pada hari-hari tententu dalam setiap tahun. Sebagaimana Mushalla Al-Mishri (tempat perlaksanaan solat ‘Ied) menjadi tujuan perjalanan pada dua hari raya… Maka, perjalanan seperti ini (ke kubur-kubur) adalah jelas dilarang tanpa adanya perbezaan dari kalangan kaum muslimin.
Sebenarnya, kebiasaan mendatangi suatu tempat tertentu dan pada waktu tertentu (dalam maksud ibadah atau keagamaan – pent.) yang dilakukan secara rutin, sama ada tahunan, bulanan, ataupun mingguan, semua ini termasuk ke dalam istilah ‘Ied (perayaan). Benar-benar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang perbuatan tersebut, sama ada kecil atau besar. Inilah yang dilarang keras oleh Imam Ahmad dengan katanya:
“Ramai orang yang berlebih-lebihan melakukan perkara tersebut.”
Kemudian, beliau menyebutkan apa yang dilakukan oleh sebahagian pihak (kaum Syi’ah dan sufi) di makam (kubur) Al-Hussain.” (Lihat: Iqtidha’ Ash-Shiraat Al-Mustaqim oleh Ibn Taimiyyah, m/s. 375-376)
Menjadikan kebiasaan mendatangi kubur-kubur pada waktu-waktu tertentu (seperti di setiap hari raya) dan diadakan pula padanya perhimpunan secara umum (termasuk seperti untuk bertahlilan dan membacakan Al-Qur’an), maka ia adalah termasuk menjadikan kubur sebagai tempat berhari-raya. Dan adat menjadikan kuburan sebagai tempat berhimpun ini adalah merupakan sebahagian dari amalan kaum musyrikin dari kalangan Yahudi dan Nashrani, bahkan termasuk amalan sesat kaum Syi’ah yang banyak berkembang saat ini di Iran, Pakistan, Iraq, dan sebahagian tempat di Yaman.
Maka, kita perlulah berusaha menjauhi amalan dan adat tersebut lalu mencukupkannya dengan sekadar apa yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Untuk mengetahui sunnah-sunnah tersebut, maka tidak dapat tidak hendaklah kita berusaha untuk menyemak dan mempelajarinya dari lembaran kitab-kitab yang diiktiraf oleh Ahlus sunnah wal-Jama’ah, terutamanya dari ulama generasi awal umat Islam yang jelas sumber rujukannya.
Beberapa perkara lain lagi yang turut dilarang diperlakukan ke atas kubur-kubur umat Islam adalah seperti perbuatan menghias perkuburan sebagaimana diketahui umum ianya telah berlaku ke atas masyarakat kita secara meluas. Sahabat Rasulullah, Jabir radhiyallahu ‘anhu menyebutkan:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَأَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang menembok kubur, duduk di atasnya, dan didirikan (dibina) bangunan di atasnya.” (Shahih Muslim, no. 970)
Al-Imam Muhammad bin Ismail Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) menjelaskan:
الحديث دليل على تحريم الثلاثة المذكورة لأنه الأصل في النهي
وقد وردت الأحاديث في النهي عن البناء على القبور والكتب عليها والتسريج وأن يزاد فيها وأن توطأ
“Hadis ini adalah sebagai dalil yang menunjukkan haramnya tiga perbuatan yang disebutkan, kerana keharaman itulah yang pada dasarnya terdapat dalam kata larangan tersebut.
Dan terdapat beberapa hadis lain lagi yang menjelaskan tentang larangan membina bangunan (binaan) di atas kubur (termasuk memasang lampu-lampu pelita – pent.), larangan menulis pada batu nisan (kecuali hanya untuk sekadar penanda), larangan mencantikkan (menghias) kubur, larangan menambah atau melebihkan dari sejengkal dengan meninggikan tanah di atasnya.” (Subulus Salam Syarh Bulugh Al-Maram oleh Ash-Shan’ani, 2/111)
Maka, dari itu hendaklah kita berusaha untuk bertindak dan memahami setiap apa yang kita lakukan agar sentiasa seiring dan selari dengan saranan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Begitu jugalah dalam persoalan ziarah kubur ini, hendaklah kita melaksanakannya seiring dengan petunjuk agama. Maka dari itu, sama-samalah kita semak kembali beberapa amalan tersebut dengan neraca yang benar, agar dengannya kita mampu meraih berkah dan pahala. Sekaligus menjauhi tokok-tambah (pencemaran) dalam amalan-amalan agama yang tidak pernah disyari’atkan oleh Islam. Wallahu a’lam…
Baca juga artikel kami dengan judul Adab-adab Ziarah Kubur menurut Sunnah.